14
Troli yang penuh dengan barangan
dapur aku tolak perlahan menyelusuri antara rak di dalam pasaraya. Alia, Azira
dan Amira setia berada di sampingku sepanjang aku membeli belah barangan
keperluan harian. Entah mengapa hari ini mereka bertiga mahu bersama-sama mengikutku,
sedangkan selalunya hanya Amira sahaja yang beria-ia mahu menjadi peneman setia
tatkala menjejakkan kaki ke pasaraya ini.
“Ada nak beli apa-apa ke?” Soalku
pada adik-adikku. Alia dan Azira menggelengkan kepala. Namun Amira sudah
tersenyum-senyum memandangku. Pasti ada sesuatu yang bermain di mindanya, atau
yang sebenarnya sudah ada perkara yang telah mereka rancangankan. Aku terus
beratur di kaunter bayaran, apabila tiba sahaja giliranku, Alia membantuku
meletakkan barangan di atas kaunter untuk dikira.
Setelah selesai membuat bayaran aku
menolak troli untuk ke parking lot yang berada di luar bangunan giant ini.
“Along, nak makan KFC boleh?” Amira
membuat permintaan.
Permintaan Amira itu mengundang
tanda tanya dalam diri. Sejak bila Amira sudah berani membuat permintaan padaku?
Aku akui, antara mereka bertiga, memang Amira yang agak rapat denganku
berbanding adik-adikku yang lain. Mungkin kerana dia yang paling bongsu. Walaupun
begitu, namun selama ini dia amat jarang mahu meminta denganku. Malah Alia
selalunya menjadi tempat untuk dia menyatakan sebarang keinginan. Paling tidak
pun, apa yang dihidangkan di hadapannya itu yang akan diambilnya, tanpa banyak
soal.
“Boleh tak along?” soal Amira lagi
apabila aku hanya memandang wajahnya. Sejak kebelakangan ini wajah comelnya itu
sering kali mengusik hatiku.
“Okay.” Aku terus berjalan, namun tidak
aku dengar derapan kaki mereka
mengekoriku. Lantas aku hentikan langkah, dan menoleh ke belakang memandang
mereka semua yang masih kaku di tempat tadi. Tidak henti mereka memandang antara
satu sama lain.
“Kenapa?” Aku terus menyoal, namun
mereka masih lagi kaku di situ memandangku.
“Betul ke ni along?” Alia bersuara
bagi pihak mereka semua. Seolah-olah tidak percaya.
“Yelah,” aku mengiakan. Amira
akhirnya melonjak riang. Pantas Azira menegah kelakuan Amira yang mengundang
beberapa mata memandangnya.
“Dah, cepat jalan.” Arahku, kemudian
aku kembali berjalan menghampiri restauran KFC yang tidak jauh dari situ.
Entahlah, aku pun tidak tahu mengapa aku mahu menurut kemahuan Amira hari ini.
Sejak kebelakang ini aku perasaan yang aku jarang sekali menolak segala
permintaan Amira. Sejak dia baik dari demam tempoh hari, aku asyik menurut
semua kemahuannya. Aku sudah terasa seperti aku bukan ‘Along’ mereka yang
dahulu.
Sampai sahaja di dalam restauran itu,
aku menyerahkan wang kepada Alia agar dia membeli makanan di kaunter.
Melihatkan ramai pengunjung yang beratur panjang di kaunter itu membuatkan aku
terasa malas untuk beratur. Tambahan pula kakiku sudah mula terasa kejang. Aku
hanya memerhati Alia dan Azira yang begitu riang beratur menanti giliran mereka
tiba.
“Along… Along nak tahu tak?”
Aku memandang Amira yang duduk di
sebelahku. “Tahu apa?” aku kehairanan.
“Amira suka sangat tengok muka Along
sekarang ini. Along makin lama makin cantiklah.” Puji Amira dengan menupangkan
dagunya di meja.
Hatiku terusik sebenarnya menerima
pujian darinya, namun aku pura-pura tiada hati dengan setiap kata-katanya. “Tak
payah nak puji-puji sangatlah, along tak makan pujian, along…”
Tiba-tiba Amira memetik jarinya.
“Amira tahu, along makan ayamkan?”
Aku menjengkilkan mata padanya,
geram apabila dia memotong kataku.
“Along sabar ye, nanti kak Alia
bawakan ayam, untuk along.” Tambah Amira lagi seolah-olah tidak takut aku akan
memarahinya.
“Bukan main lagi sekarang ye.” Aku
mencubit pipinya, geram. Amira ketawa berdekah-dekah. Bukan main gembira lagi
dia hari ini.
Alia dan Azira sudah datang semula
ke meja dengan membawa dua dulang yang penuh dengan makanan dan minuman yang
telah dipesan. Azira terus duduk membiarkan Alia mengaturkan makanan dan
minuman.
Setelah selesai aku mengarahkan
Amira untuk membaca doa makan. Aku mengarahkan mereka semua makan setelah
mengaminkan doa. Baru sahaja aku mahu menyedut air, satu suara memberikan salam
padaku. Aku berpaling dan terus terkedu seketika melihat Wafi yang sedang
memegang sedulang makanan tersenyum memandangku.
“Boleh
joint?”
Soalan Wafi itu membuatkan fikiranku
tersekat seketika. Aku pandang Alia dan Azira yang sudah berbisik sesama sendiri.
Amira pula begitu ralit memandang Wafi, tidak berganjak walau seinci. Apa
jawapan yang harus aku berikan?
“Tak boleh ke?” desak Wafi dalam
diam.
“Er… boleh… kot!” dalam rasa serba
salah aku memberikan kebenaran.
Mendengar sahaja jawapan dariku dia
terus meletakkan dulungnya di kepala meja bersebelahan Amira dan Alia.
“Perghhh… hensemkan Lia?”
Aku sudah membesarkan mata pada
Azira sewaktu dia membisikkan ayat itu pada Alia. Geram betul aku dengan
tingkah Azira ini, kalau benar pun nak memuji janganlah berbisik sekuat itu.
Nanti apa pula kata Wafi jika dia mendengarnya. Aku benar-benar berharap Wafi
tidak mendengar bisikan Azira itu, tapi melihat bibir Wafi yang melirik
senyuman panjang membuatkan aku yakin dia mendengar dengan jelas bisikan Azira
itu.
“Siapa ni along?” Azira tidak sabar
hendak mengetahui lelaki yang dikatakan kacak. Renungan tajamku tadi tidak
memberikan sebarang kesan padanya.
“Ni abang Wafi, dia kerja satu wisma
dengan along.” Terangku tapi mata masih lagi merenung tajam dirinya,
mengharapkan yang dia mengerti bahawa aku tidak mahu dia melakukan perkara atau
menyatakan apa-apa yang bukan-bukan di hadapan Wafi.
“Oh… Ingatkan pakwe along tadi.”
Astagfirullahalazim. Aku sudah
beristigfar panjang dalam hati, Azira ini suka-suka dia sahaja menyatakan
perkara yang bukan-bukan di hadapan Wafi. Sudahlah aku tidak mahu Wafi salah
faham dengan hubungan aku dan dia, tapi kata-kata Azira itu mungkin akan
menyebabkan perkara yang sebaliknya akan berlaku.
“Along mana ada pakwe!” tegas sekali
suara Amira tika ini. Dia memasamkan wajah pada Azira. Aku sendiri tidak
menyangka yang Amira akan menjawab sebegitu, bagi pihakku
“Oh, kakak adik tak ada pakwe lagi
ye. Kalau abang jadi pakwe kakak adik boleh?” Wafi menyoal sambil mengusap
kepala Amira.
Sudah! Kan aku sudah cakap tadi,
pasti Wafi akan fikir yang bukan-bukan.
“Tak boleh!” balas Amira pantas dan memandang Wafi pula.
Wafi sudah ketawa besar mendengar
balasan Amira. Tangannya masih mengusap kepala Amira. “Adik-adik awak ke ni?”
Wafi menyoal sewaktu tawanya semakin mengendur.
“Ha’ah, yang ni adik bongsu saya,
Amira dan…”
“Saya Azira.” Belum sempat aku
menghabiskan ayat Azira sudah terlebih dahulu mencelah dan melambaikan tangan
tanda perkenalan pada Wafi. “Ini Alia dan yang paling cantik ni along
kitaorang, Suraya.” Laju sahaja Alia bersuara. Sungguh dia kelihatan teruja
dengan kehadiran Wafi.
Wafi terus ketawa mendengar
kata-kata Azira dan Azira tersenyum panjang apabila mendapat reaksi sebegitu
daripada Wafi.
“Yang paling cantik ni, awal-awal
lagi abang dah kenal.” Sambung Wafi, menyahut gurauan Azira.
“Kau buat apa kat sini Wafi?” Aku
terus menukar topik perbualan tidak mahu mereka terus berbual mengenaiku.
“Makan.” Wafi menayangkan burgernya
padaku.
“Seorang aje?”
“Yelah, saya ajak orang tu dah
berkali-kali. Asyik kena reject je.”
Secara tak langsung Wafi sengaja mahu mengenakanku.
Aku buat muka selamba, walaupun agak
terkesan dengan kata-katanya. Sudah tentu ayat tu ditujukan padaku. Bukannya
ada orang lain di sini yang mengenalinya sebelum ini.
“Abang Wafi kerja apa?” Azira sudah
memulakan sesi wawancara. Dari mula kemunculan Wafi tadi nampak sangat yang dia
amat menyenangi lelaki ini.
“Jurutera Lapangan.” Jawab Wafi dan
sekarang dia menumpukan perhatian pada Azira sepenuhnya.
“Wow, bestnya. Azira pun nak jadi jurutera juga. Tapi jurutera
perisianlah.”
Dan sepanjang makan tengahari itu
Azira dan Wafi yang paling rancak berbual. Aku dan Alia hanya menyampuk sekali
sekala. Pelbagai perkara yang mereka bincangkan dari hal yang besar sehingga
hal yang remeh-temeh, semuanya dibincangkan.
Aku menangkap pandangan Alia yang
tidak lepas memandangku. Aku mengangkat kening bertanyakan dalam diam, bukan
apa takut pertanyaanku nanti menganggu perbualan Azira dan Wafi yang sentiasa
rancak.
Alia memandang Wafi seketika,
kemudian dia memandangku semula dan mengelengkan kepalanya berkali-kali sambil
mencebikkan bibirnya. Berkerut dahiku cuba memahami maksud yang tersirat
disebalik tingkahnya itu. Aku benar-benar tidak faham.
“Apanya?” Soalan yang aku ajukan
pada Alia agak kuat membuatkan Wafi dan Azira memberhentikan perbualan mereka
dan memandangku. Aku sudah serba salah, Alia pula terus menyedut airnya sambil
memandang Amira. Matanya sudah tidak ditujukan padaku lagi. Jadi aku
terkial-kial mencari kata seterusnya.
“Er… semua dah habis makankan? Jom
kita geraklah, along ada kerja lagi kat rumah ni.” Ayat selamat dariku sebelum
disoal yang bukan-bukan oleh Wafi. Aku menarik nafas lega apabila Alia terus
bangun dan mendapatkan Amira. Melihat aku juga telah bangun Azira yang
kelihatan berat untuk meninggalkan KFC ini turut bangun.
“Parking kereta kat mana?” tanya
Wafi.
“Parking depan.”
“Okay, jom.” Wafi terus menolak
troli yang penuh dengan baranganku yang aku baru mahu tolak. Dengan pantas aku
menahan troli itu, sekaligus menghalang Wafi daripada terus bergerak.
“Kau nak buat apa ni?” Tanganku
masih memegang troli tersebut.
“Bukan saya nak bawa lari
barang-barang awak ni. Saya nak tolong hantarkan sampai kereta awak je.”
“Eh, tak apa aku boleh buat
sendiri.” Aku cuba menghalang.
“Tak apalah bukannya saya nak minta
upah pun.” Tanpa menghiraukanku Wafi terus sahaja menolak troli tersebut
kehadapan.
Alia, Azira dan Amira sudah meluru
ke hadapan meninggal aku dan Wafi di belakang. Aku tahu ini semua rancangan
Azira kerana dia yang beria-ia menarik tangan Alia dan Amira agar berjalan
bersama-sama dengannya di hadapan.
“Tengah hari esok kita lunch sama-sama.” Pelawa Wafi entah buat
yang keberapa kali. Sudah tidak terhintung rasanya.
Aku mengambil langkah mendiamkan
diri. Berharap soalan itu akan berlalu begitu sahaja seperti selalu.
“Tolong jangan cakap tak boleh. Saya
dan jenuh dengar ayat tu keluar dari bibir awak untuk saya.” Wafi makin
memperlahankan langkah kakinya apabila terlihat adik-adikk sudah bersandar di
sisi keretaku.
“Aku tak boleh janjilah Wafi.” Aku ambil
langkah selamat. Kemudian aku melajukan langkah menuju ke kereta. Alat pengera
segera aku tekan, membenarkan adik-adikku masuk terlebih dahulu ke dalam
kereta. Kesian pula melihat mereka menunggu di luar.
Sewaktu aku memasukkan barangan yang
dibeli, Wafi turut membantu. Aku jadi tak selesa apabila dia membuka pintu
kereta untukku setelah kerja-kerja memunggah barang selesai. Aku hanya
melemparkan senyuman kecil padanya apabila aku sudah berada di dalam kereta.
Aku cuba menarik pintu kereta untuk menutupnya tapi tangannya masih lagi
memegang pintu itu skelaigus menghalang aku menutup pintu itu.
“Wafi aku nak balik.”
“Janji dulu yang awak akan keluar lunch dengan saya esok.”
Aku sudah merengus kasar, namun Wafi
masih lagi dengan wajah selambanya tersenyum padaku. Aku tahu, Wafi pasti tidak
akan memberikan laluan selagi aku tidak bersetuju dengan permintaannya itu.
“Yelah, yelah.” Akhirnya aku
memberikan persetujuan. Tidak jujur, sekadar menempatkan janji.
“Okay, bawa kereta elok-elok.” Wafi
terus menutup pintu keretaku. Dia melambaikan tangan apabila aku sudah mula
mengerakkan kereta.
Aku menarik nafas lega. Kepala aku
gelengkan. Sesak nafas apabila lelaki itu ada.
“Azira sukalah dengan abang Wafi tu,
baik sangat.” Azira terus menyatakan pendapatnya saat keretaku sudah berada di
jalan raya.
“Amira suka Zul. Abang Zul lagi baik”
Amira yang berada disebelahku cepat mencelah.
“Ye, betul tu, akak setuju. Give me five.” Alia cepat-cepat menyokong
Amira dan
mereka sama-sama menepuk tangan.
“Eleh, orang tak cakap pun yang
abang Zul tu jahat. Orang cakap abang Wafi tu baik plus hensem lagi.” Azira tidak mahu mengalah. Dia tetap mahu
mempertahankan pendapatnya.
“Abang Zul pun hensem apa.” Balas Alia.
“Sudah, sudah! Yang kau orang semua
bergaduh pasal benda ni buat apa? Bukannya ada faedah pun.” Marahku, cuba untuk
menenangkan suasana yang makin tegang di antara mereka. Aku tidak mahu mereka
adik-beradik bergaduh hanya kerana dua kawan lelakiku itu.
Amira sudah pura-pura tidur, Alia
dan Azira pula sudah mendiamkan diri di belakang. Suasana kembali sunyi sepi.
Aku menarik nafas lega. Rimas aku mendengar mereka bertegang urat tadi.
TERASA
lambat pula lif ini untuk sampai ke bawahi. Aku masih setia menanti. Sebaik
sahaja pintu lif terbuka, wajah Wafi yang tersenyum panjang kelihatan. Aduh,
kalau aku tahu aku akan terserempak dengan dia di depan lif ini, aku lebih rela
menapak menaiki tangga ke tingkat atas. Aku bukan sengaja mahu mengelak, cuma
aku berasa tidak selesa bila dia sentiasa memandang dan tersenyum padaku.
“Kebetulan pula jumpa.” Dia terus
menapak ke hadapanku, menghalangku dari menaiki lif.
“Ha’ah, kebetulan pula.” Aku
memandang ke belakangnya. Pintu lif sudah tertutup rapat. Maknanya aku perlu
menunggu lagi untuk naik ke pejabat hari ini.
“Lawa Su hari ni.”
Entahkah ikhlas atau tidak
kata-katanya itu, aku sendiri tidak tahu, tapi aku hanya tersenyum simpul.
Tidak mahu memberikan apa-apa komen tentang pujiannya itu.
“Jangan lupa tau, janji awak hari
ni.”
“Hah, janji apa?” aku sudah
terkejut, bila masa pula aku ada berjanji dengannya sehingga dia menuntutnya
hari ini? Sungguh aku tak ingat apa-apa.
“Lupalah tu.” Wafi melirik matanya
memandangku dan aku hanya mengelengkan kepala.
“Semalamkan awak dah janji nak makan
tengah hari dengan saya hari ni.” Dia mengingatkannya semula padaku.
Alamak! Aku benar-benar terlupa
tentang itu. Wafi ni tajam pula ingatannya, mengingati semua perkara ini. Tidah
bolehkah dia berfikir perkara lain berbanding perkara remeh-temeh ini. Pantas
kepalaku mencari idea untuk mengelak.
“Aduh, sorrylah Wafi aku baru ingatlah. Aku ada meeting pukul dua petang nanti. So,
tak bolehlah nak keluar lunch dengan
kau, takut tak sempat balik pejabat.” Helahku. Entahkan dia percaya ataupun
tidak. Helah biasa yang aku gunakan, aku sendiri tidak terkira entah berapa
kali aku menggunakan helah ini padanya setiap kali dia mempelawaku. Otak aku
ini sudah tidak dapat memikirkan helah yang lain. Helah ini sahaja yang aku
rasakan relevan buat masa ini.
“Alah, meeting pukul duakan? Rehat pukul satu. Ada sejam untuk kita makan.
Tak payah makan kat tempat jauh-jauh kita makan kat restauran sebelah ni je.
Okay.” Wafi terus membuat rancangan. Nampak sangat yang dia tidak mahu
rancangannya hari ini tergendala sekali lagi.
“Er… yelah, tapi aku…”
“No,
I don’t care. Kita jumpa tepat pukul satu kat lobi ni ek. Okay.” Kemudian
di terus berlalu meninggalkanku.
Aku berpaling memandangnya yang
sengaja melajukan langkah meninggalkanku. “Wafi, aku tak bolehlah.” Jeritku
padanya.
“No,
saya tak peduli.” Jerit Wafi juga sambil menutup kedua-dua belah telinganya
dengan tangan. Dia terus meluru laju keluar dari wisma ini melepasi pintu kaca
yang sudah terbuka dengan ketibaannya.
Degil pula Wafi hari ini, selalunya
dia akan mendengar dan menerima semua alasan yang aku berikan dengan mudah.
Agaknya dia sudah dapat mengagak yang aku hanya memberikan pelbagai alasan padanya.
Aku sudahnya duduk termenung sahaja di hadapan lif ini, menantikan lif yang
tidak kunjung tiba.
“Lambat masuk pejabat hari ini?”
Aku menoleh memandang Zulhairi yang
sudah bersandar di dinding lif sambil memeluk tubuh. Kepalanya dilentokkan juga
di dinding lif sambil memandangku.
“Apa pula lambatnya? Standardlah ni aku sampai waktu-waktu
macam ni.” Aku memandang jam tanganku. Baru pukul 8.30 pagi. Dan sememangnya
aku akan sampai pada waktu-waktu begini.
Aku memandang Zulhairi semula
apabila dia tidak membalas kata-kataku. Dia hanya tersenyum memandangku. Aku
jadi semakin gusar, nasib baik tidak ramai orang di lobi lif ini, jika tidak
pasti mereka semua berfikir yang bukan-bukan melihat dia memandangku sebegitu.
“Cantik hari ni.”
Sekali lagi aku menerima pujian.
Tadi dari Wafi dan kini dari Zulhairi pula. Aku memandang baju kurung moden
yang tersarung di badanku. Rasanya aku seperti biasa sahaja hari ini, tidak
lebih dan tidak kurang. Sama sahaja seperti hari-hari biasa. Baju itu juga
sudah biasa aku gunakan. Tapi kenapa kedua-dua mereka memuji aku sebegitu pula?
“Ikhlas ke?” Sengaja aku menyoalnya
begitu.
Zulhairi tertawa kecil. Dia berdiri
tegak dan memasukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam kocek seluar. “Jom lunch sama-sama hari ni. Teringin pula
nak belanja kau makan.” Soalan aku tidak dijawabnya, kini dia mempelawaku pula
untuk makan bersama-samanya.
“Teringin nak belanja aku makan?
Bukan kau memang selalu belanja aku makan ke?” Rasanya, sepanjang aku keluar
bersama-sama dengannya hanya sekali dua sahaja yang aku mengeluarkan wang
sakunya dan membelanjanya makan. Selalunya memang dia sahaja yang akan ke
kaunter bayaran dan menjelaskan bil.
“Hari ni aku ingat nak belanja kau
kat tempat special sikit.” Tambahnya
lagi.
“Alah tak payah nak special sangatlah. Aku kalau kat kedai
mamak tu pun aku dah bersyukur sangat-sangat.” Balasku. Aku memang bukan jenis
yang memilih, lebih-lebih lagi tempat makan. Asalkan tempat itu menyediakan
makanan yang halal dan bersih, aku akan masuk.
“So,
kira jadilah ni ye?” Soal Zul sambil aku dan dia melangkah masuk ke dalam lif
yang sudah terbuka luas pintunya.
Aku tersenyum, bersetuju dalam diam.
Tapi ada sesuatu yang menerjah kepalaku saat ini. Macam mana dengan Wafi? Tidak
baik pula jika aku membiarkan dia tertunggu-tunggu aku sebegitu. Lagipun aku
terlebih dahulu sudah berjanji padanya. Malah sudah lama dia mengajakku makan
bersama-sama dengannya. Kesian pula kalau aku menolak juga kali ini. Tidak
mengapalah biarlah hari ini hari pertama dan terakhir aku keluar makan bersama
Wafi.
“Aku tunggu kau…”
“Er… rasanya hari ni tak bolehlah
Zul.” Pantas aku memotong sebelum Zulhairi meneruskan membuat perancangan.
“Kenapa pula?” Zulhairi sudah
berkerut keningnya memandangku. Nampak sangat yang dia tidak puas hati.
“Aku dah janji dengan kawanlah hari
ni. So, tak bolehlah aku nak keluar
dengan kau.”
“Kawan? Siapa? Sejak bila pula kau
banyak kawan ni?”
“Kawan sekerja aku dulu. Kau tak kenal.”
Aku terpaksa berbohong. Bukan aku sengaja, jika aku memberitahunya yang aku
akan keluar dengan Wafi hari ini pasti Zul akan fikir yang bukan-bukan, buatnya
jadi bahan cerita. Ish.. tak nak aku!
“Erm… kalau macam tu tak apalah.
Lain kali jelah.” Rendah sahaja nada yang Zulhairi alunkan tika ini. Matanya
tidak lagi memandangku, dia hanya memandang nombor-nombor yang berkelip-kelip
di dalam lif ini.
Aku menarik nafas lega. Nasib baik
dia tidak banyak soal hari ini. Jika tidak memang sukar untukku menyediakan
jawapan yang boleh memuaskan hatinya.
WAFI
mula mengambil tempat di hadapanku. Gembira benar dia kelihatan apabila aku
menunaikan janjiku. Restauran ini agak lengang, padahal selalunya pada
masa-masa begini memang restaurant ini agak sesak dengan pelanggan yang kebanyakannya
pekerja-pekerja pejabat di sekitar kawasan ini.
Telefon bimbitku berdering lagi. Dan
pemanggilnya masih lagi orang yang sama iaitu Zulhairi. Sejak aku keluar dari
pejabat tadi, Zulhairi asyik menghubungiku. Entah apa yang dimahukannya aku pun
tak tahu. Namun aku masih lagi enggan menyahut panggilannya. Bukannya apa, aku
punya sebab tertentu. Aku risau kalau-kalau dia ingin mengetahui di mana aku
berada pada tika ini, dan yang paling aku khuatirkan ialah, dia muncul di sini.
Oh tidak! Nahas jadinya. Mana tidaknya, aku sudah melakukan pembohongan
dengannya. Mustahil hati boleh jadi senang dan tenang. Daripada menimbulkan
syak wasangka dan amarah dalam dirinya, lebih baik aku tidak menjawab
panggilannya. Tidak mengapa, balik sahaja ke pejabat nanti aku akan terus
menghubunginya. Aku membuat janji.
“Sebelum kita makan, saya nak tanya
sikit boleh?” Wafi menyerahkan semula menu kepada pelayan yang berada di sisi
meja sebelum mengarahkannya pergi terlebih dahulu.
“Apa dia?”
“Kenapa saya rasa awak layan saya
lain sangat?” Soal Wafi.
Aku hanya mampu memandang Wafi, tidak
sangka dia akan bertanya sebegitu. Terasa sangatkah dirinya dengan layananku
padanya sebelum ini. “Eh, mana ada aku rasa sama je.” Aku cuba mempertahankan
diri, walaupun sudah jelas ketara jawapan yang sebenarnya.
“Tak, tak sama. Cara awak layan saya
tak sama dengan cara awak layan Zul. Dengan Zul awak okay je, dengan saya tak
pula.” Luahnya lagi.
“Kau kena faham… aku kenal dia dah lama, dari
kecil lagi kita orang dah sama-sama. Dari sekolah rendah sampai universiti kita
orang berdua. Apa-apa yang kita orang buat, kita orang buat sama-sama. Aku dah
betul-betul kenal dia, macam tu juga dengan dia. So, kau tak boleh nak samakan kau dengan dia. Dia kawan baik aku!”
Aku cuba untuk memahamkan Wafi. Kalau sudah dari kecil aku bersama-sama dengan
Zulhairi, tidak mungkin kami tidak akan menjadi kawan baik.
“Kawan baik aje?”
Pelik sungguh soalan yang Wafi
ajukan. “Yelah.”
“Bukan kau orang tengah bercinta
ke?”
Aku sudah mengelengkan kepala. “Aku
tak fahamlah, kenapa bila lelaki dengan perempuan berkawan, semua orang anggap
itu cinta? Ingat lelaki dengan perempuan ni tak boleh berkawan aje ke?” aku
bidas soalan yang betul-betul tidak aku senangi.
“Sebab cinta akan mudah berputik
jika kita rapat dan mengenali seseorang itu sepenuhnya. So, dalam kes awak dengan Zul ni, saya rasa perasaan cinta tu mesti
ada.” Wafi menyuarakan pendapatnya, pendapat yang langsung tidak boleh aku
terima sama sekali.
“Kau silaplah Wafi. Sampai bila-bilapun,
dia tetap kawan aku. Kalau kita orang ni bercinta, dah lama dah kita orang
kahwin. Aku sayangkan dia sebab dia kawan baik aku. Kawan yang sentiasa ada
masa aku susah dan senang. Macam tu juga dengan dia. Kau memang takkan faham.”
Aku terus mempertahankan pendapatku. Dan ini yang aku pegang selama aku
berkawan dengan Zulhairi. Dia tetap kawan aku selamanya.
“Boleh saya minta sesuatu?”
Pelik sungguh aku dengan dia ini.
Tadi mengeluarkan pendapat yang langsung tidak boleh aku terima, sekarang
tiba-tiba nak buat permintaan pula. “Apa?”
“Tolong jangan layan saya macam orang asing. Saya betul-betul nak jadi kawan awak. Kawan yang sentiasa ada bersama awak waktu awak susah dan senang. Macam Zul. Saya Ikhlas.” Pinta Wafi denga wajah yang penuh dengan pengharapan.
“Tolong jangan layan saya macam orang asing. Saya betul-betul nak jadi kawan awak. Kawan yang sentiasa ada bersama awak waktu awak susah dan senang. Macam Zul. Saya Ikhlas.” Pinta Wafi denga wajah yang penuh dengan pengharapan.
Sudah kali kedua aku mendengar ayat
begini dari Wafi. Rasanya dia betul-betul ikhlas mahu berkawan denganku. Namun
aku sahaja yang selama ini susah sangat mahu menerima dia sebagai kawanku
dengan ikhlas. Sebenarnya aku pun tidak tahu apa yang menyekat aku untuk
menerimanya menjadi kawanku. Patutkan aku tolak untuk kali ini juga? Tidak
mungkin, sampai bila aku harus menolak permintaannya yang kecil ini. Lagipun dapat
aku rasa tulus hatinya membicarakan itu. jadi tidak salah jika aku menerima dia
menjadi kawanku. Rasanya hari ini, aku patut bersedia menerimanya sebagai
kawanku sepenuhnya.
“Susah tau kalau jadi kawan aku.
Nanti jangan meneysal pula!” Gurauku dalam masa yang sama bersetuju dengan
permintaanya itu.
Wafi sudah ketawa, mungkin faham
dengan maksud kata-kataku itu. “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke
tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.” Dia berpantun pula
denganku.
Aku sudah ketawa sambil
mengeleng-gelengkan kepala. Macam-macam perangai si Wafi ini. Telefon yang
tidak berhenti berbunyi memaksa aku pantas mengeluarkan telefon bimbitku yang
berada di dalam tas tanganku. Zulhairi masih lagi cuba menghubungiku. Hatiku
sudah berasa tidak selesa. Tidak pernah dia sebegini sebelum ini. Mungkinkah
Zulhairi dalam kesusahan dan memerlukan bantuanku?
“Assalamualaikum.”
Aku dan Wafi berpaling memandang
wajah wanita yang memberi salam kepada kami. Aku menjawab salam dengan senyuman
pada Madihah namun senyumanku mati apabila terlihat Zulhairi berada di
sebelahnya yang sedang sibuk memandang telefon bimbitnya. Aku sudah menelan
liur. Mataku terkebil-kebil seketika sebaik sahaja Zulhairi mengangkat wajahnya
dan terpandang wajahku. Dengan pantas dia memadang Wafi dan aku silih berganti.
“Boleh duduk?” Madihah meminta izin.
Aku mengangguk tapi mataku masih
memandang Zulhairi yang sudah mengambil tempat duduk di sebelah Wafi. Wajahnya kelat
seperti tadi, matanya langsung tidak menyinggah lagi di wajahku, dan aku tahu
dia pasti marah dengan diriku ini. Mana taknya, tadi aku kata aku ingin makan
bersama kawan sekerjaku tapi yang berada di hadapanku adalah Wafi, orang yang
dia kenal. Kalau aku jadi dia, aku pun marah kerana tidak berterus-terang.
Walhal aku dengan dia bukan orang lain. Selalunya tiada rahsia antara kami. Tambahan
pula aku langsung tidak mengangkat panggilannya sejak tadi, pasti dia terasa
dengan sikapku.
“Kita order makananlah.” Wafi mengangkat tangan memanggil pelayan yang
berada berhampiran dengan meja kami.
Madihah
memesan makanan untuk dirinya dan juga untuk Zulhairi sekali kerana Zulhairi
langsung tidak mahu menyentuh menu yang tersedia di depannya, dia lebih selesa
Madihah yang memilih untuknya. Wafi pula memesan makanan untuk dirinya dan aku
sekali. Aku membiarkan sahaja dia memesankan makanan untukku. Aku benar-benar
susah hati saat ini, apa yang perlu aku katakana pada Zulhairi atas
pembohonganku.
Sepanjang
menunggu pesanan tiba Zulhairi masih membisu, dia hanya menjawab soalan yang
Madihah ajukan. Tangannya asyik dengan telefon bimibitnya sedari tadi. Sewaktu
pesanan tiba aku sedikit terkejut memilih hidangan untuk Zulhairi dan Madihah
adalah nasi seafood. Dan sebaik
sahaja pelangan yang menghidangkan makanan untuk kami semua beredar Zulhairi
cepat-cepat mengetuai bacaan doa makan, dia seolah-olah tidak sabar untuk
menghabiskan hidangan yang dipesan Madihah untuknya itu.
“Wei,
Zul kejap.” Aku menahan Zulhairi dari menyuap nasi ke dalam mulutnya. Bukan
sahaja dia yang memberhentikan tindakannya, Wafi dan Madihah juga sama, berhenti
sebelum sempat mahu menjamu suapan yang pertama. Pandangan dari mereka tidak
aku hirau, yang penting sekarang Zulhairi, bukan orang lain.
“Kenapa?”
Dengan muka yang tak puas hati Zulhaiti memandangku. Dan sejak dia mula duduk
tadi, kali inilah baru kami bertentangan mata.
“Kau mana boleh makan seafood. Nak-nak udang tu, kau allergic kan? So…”
Belum sempat aku menghabiskan kata,
Madihah pantas memotong kataku. “Abang Zul allergic
dengan seafood ke?” Dia memandang aku
dan Zulhairi silih berganti.
“Ha’ah, nanti badan dengan muka
semua tumbuh ruam. Mata pun merah sekali.” jawabku.
“Sorry,
Ihah tak tahu,” Pantas Madihah memohon maaf pada Zulhairi. Nampak sangat yang
dia rasa bersalah kerana memesan makanan itu untuk Zulhairi.
“Tak apa Ihah, bukannya ada orang kisah pun.”
Tanpa menghiraukan aku yang masih memandangnya Zulhairi terus mahu menyuap nasi
itu ke dalam mulutnya.
“Kalau orang lain tak kisah, aku tak peduli. Yang aku tahu, aku
kisah! Bak sini nasi tu.” Aku terus merampas sudu yang dia gunakan. Pinggannya
yang berisi nasi seafood itu aku
angkat dan aku bawa ke hadapanku. Chicken
Grill Rice yang Wafi pesankan untukku tadi aku letakkan di hadapannya pula.
“Apasal pula ni?” Zulhairi memandang
pelik nasi yang sudah berada di hadapannya.
“Makan ajelah nasi tu. Jangan banyak
cakap.” Aku sudah tidak menghiraukan mata Wafi yang tajam memandangku dan mata
Madihah yang kelihatan terkejut dengan tindakanku.
Gila
betul Zul ni. Kalau iyapun marahkan aku, tak payahlah nak boikot sampai macam
tu!
Yang
aku tahu aku tak mahu Zulhairi sakit. Kalau dia sakit bukan sahaja mak dia akan
risaukan dia, malah aku pun sama, silap hari bulan dengan aku sekali tak boleh
tidur kerana memikirkan tentang dia.
Bersambung...
Kata AH:
Assalamualaikum. Terima kasih masih ada utk mmbaca karya AH. Semoga anda semua dirahmati ALLAH SWT. Insya'ALLAH next entry akan AH postkan nanti ya :)
6 comments:
Lalalalala.... Zulhairi dah pandai cemburu dgn Suraya + wafi. Kenapa suraya asyik reject wafi? Is there something wrong wz wafi?
Suraya pulak takder langsung feelings for zul ker?
Kesian Suraya...terlalu memikirkan ttg amanat arwahnya sampai taknak bercinta ya??? Zul kan OK tu....
hai tak sabar nak tunggu cite selanjutnya....
mesti zul kembang hatinya bila suraya ambil berat pasal zul...
harap wafi gorat madiah ...
ambil berat betul su ngan zul..tu pun su masih kata hanya kawan heheh..x sabar tunggu selanjutnya
NAK SU NGAN ZUL..
Thanks for the n3 Adah! Rasa mcm suspen pulak nak tunggu sambungan....Wafi jgn jealous ok, Su tu ckp aje takde feeling but actually dia dah jatuh cinta kat Zul tanpa dia sedar...To Zul,...teruskan utk pikat Su sbb skrg ni awak dah ada competitor tau!
Post a Comment