10
Rasa bersalah telah membuatkan aku
bangun lebih awal daripada kebiasaan. Pada awalnya aku ingin mengorbankan masa
lena hari sabtu begini untuk menyediakan sedikit juadah buat Zulhairi. Oleh
kerana aku gagal memikirkan juadah yang sesuai, ditambah pula rasa malas, maka
sudahnya aku mengambil keputusan untuk membeli nasi lemak di simpang jalan yang
menjadi kegilaan Zulhairi.
Lagi pula semalam ada aku terdengar
perbualan Amira dengan Alia. Dia meminta Alia untuk memasak nasi lemak. Aku
tersenyum mendengar permintaan si kecil itu. Rasanya dah lama mereka tidak
menikmati juadah nasi lemak untuk sarapan pagi. Balik-balik makan roti bersama
jem buah-buahan. Maka kerana itu jugalah juadah nasi lemak yang telah aku beli,
sudah aku sediakan di atas meja buat Alia, Azira dan Amira. Sebelum menghantar
bungkusan ke rumah Zulhairi, aku harus uruskan mereka bertiga terlebih dahulu.
“Bangun… Sarapan dah sediakan atas
meja. Dah makan jangan lupa kemas!” Kataku sebaik sahaja pintu bilik mereka aku
buka. “Alia, jaga adik-adik kau, aku nak keluar kejap” lagi pesanan kau berikan
sebelum pintu bilik aku tutup kembali. Bungkusan nasi lemak yang sudah aku beli
untuk Zulhairi, aku ambil dari atas meja lalu mula keluar dari rumah.
Pintu pagar rumah Zulhairi terbuka
lapang waktu aku sampai. Jadi aku terus melangkah masuk menuju ke pintu utama.
Pintu itu juga terbuka, namun kali ini aku tidak melangkah terus untuk masuk.
Sebaliknya aku membuka suara, memberikan salam. Salamku bersambut, derapan kaki
mula kedengaran menghampiri pintu.
“Eh, Su rupanya. Masuk, Su.” Kak
Zarina menampakkan senyuman.
“Tak apalah kak, Su datang ni nak
bagi nasi lemak ni pada Zul aje.” Bungkusan nasi lemak dalam plastik berwarna
merah itu aku tunjukkan pada kak Zarina.
“Untuk Zul seorang, aje? Untuk kita
orang yang lain, tak ada, ke?”
Pertanyaan yang kak Zarina ajukan
membuatkan aku terdiam seketika. Memang aku hanya belikan nasi lemak itu buat
Zulhairi sahaja. Bukan aku tidak ingat pada mereka yang ada dalam rumah itu,
cumanya, faktor kewangan tidak mengizinkan untuk aku berbelanja dengan sesuka
hati. Untuk Zulhairi pun aku hanya mampu membelikannya nasi lemak biasa. Tiada sebarang
lauk tambahan. “Bajet ciput kak Ina. Inipun sebab Zul sakit, kalau tak, saya
tak beli.” Dengan penjelasan itu, aku harap kak Zarina memahaminya.
“Akak faham situasi Su, tapikan Su,
lagi banyak kita keluarkan, lagi banyak pulangan yang akan Allah SWT ganti
nanti. Itu janji Allah, percayalah!” Lembut tutur kata Kak Zarina.
Mendengarkan itu, aku jadi tertunduk
seketika. Satu peringatan yang menyentuh hati. Aku akui, aku bukanlah orang
yang rajin menderma dan bersedekah. Setiap sen wang yang ada aku kawal
sebaik-baiknya. Risau kalau duit yang ada, kering sebelum gaji masuk. Jika itu
berlaku, tak berasaplah dapur rumah jawabnya. Mungkin kerana itu aku tidak
pernah rasa cukup dengan apa yang ada!
“Lagi satu, sedekah ni boleh
mensucikan jiwa dan menenangkan hati tau, Su” sambung Kak Zarina.
“Kak Ina, Su…”
“Su, kak Ina dah anggap Su macam
adik kandung kak Ina sendiri. Macam mana Su nak yang terbaik untuk Alia, Azira
dengan Amira… Macam itulah juga akak nak yang terbaik untuk Su. Jadi mulai hari
ini, Su kena janji dengan akak, yang Su tak akan berkira lagi soal duit. Insya’ALLAH,
Su, selagi kita masih bernyawa, selagi itu rezeki kita ada.”
Aku menganggukkan kepala. Semua
nasihat itu akan aku simpan dalam hati. Nampaknya, ada satu tabiat buruk yang
perlu aku ubah sekarang. Aku akan mengikut saranan kak Zarina.
“Terima kasih kak Ina” ungkapan itu
aku perdengarkan.
“Dah jom masuk” pelawa kak Zarina
“Tak apalah kak Ina. Su datangpun
nak bagi nasi lemak ni, aje. Lagipun Su nak cepat ni, risau pula budak tiga
orang kat rumah tu”
“Kalau macam tu, tak apalah. Ada nak
tinggalkan apa-apa pesanan untuk Zul, tak?”
“Erm… tak ada kut, kak Ina. Su minta
diri dulu ya”
“Iyalah… hati-hati jalan tu” pesan
kak Zarina.
Aku tersenyum, kemudian kaki pantas
melangkah, meninggalkan rumah Zulhairi. Rasa bersalah kian bertambah kini.
Kenapalah aku terlalu berkira? Tak pasal-pasal jadi malu sendiri. Langkahku
kian perlahan, menyudahkan jarak perjalanan yang tinggal sambil memikirkan
sebuah masa depan. Masa depan? Apakah aku punya peluang untuk memiliki masa
depan? Ya, Alia, Azira dan Amira adalah masa depanku. Berjaya mereka, maka
berjayalah aku!
Tatkala wanita-wanita lain melukis
masa depan bersama suami dan anak-anak tersayang, aku pula tidak mampu
menyimpan impian sebegitu. Tanggungjawab yang ada terlalu berat untuk aku
kendong. Aku tidak mahu mencabar kemampuanku sedang aku tahu takat mana aku
mampu berdiri teguh. Mungkin ini boleh aku jadikan bukti pada arwah ayah yang
aku mampu menjadi ketua pada sebuah keluarga, seperti mahunya.
“Su, tunggu…”
Teriakan yang kendengaran
menerbangkan semua keluhan fikiran. Kaki juga mula berhenti bergerak. Terpaku
di situ menanti Zulhairi yang laju jalannya cuba menghampiriku. Senyuman
terukir kini. Boleh pula si Zulhairi tu mengejar aku? entah apa mahunya? Paling
tidakpun, pasti mahu mengucapkan terima kasih atas pemberianku tadi. Zulhairi…
Zulhairi. SMS kan boleh!
“Aduhai… penatnya…”
tercunggap-cunggap Zulhairi.
“Hah, tahupun penat, yang kau kejar
aku ni kenapa?”
“Ni hah…” Zulhairi mengangkat
plastik merah yang dipegangnya.
Aku amati plastik itu. Rasanya itu
bungkusan nasi lemak yang aku bagi tadi. Ya, memang itu bungkusannya. Aku
yakin, aku tidak silap.
“Kenapa kau bagi aku nasi lemak ni?
soal Zulhairi penuh hairan.
Alamak! Apa jawapan yang perlu aku
bagi pada Zulhairi? Kalau boleh aku tidak mahu dia tahu bahawa aku sudah
mendapat jawapan tepat tentang mata lebamnya. Tak boleh… dia tak boleh tahu.
Kalau dia tahu yang aku dah tahu, aku sendiri juga yang malu. Oh.. tak boleh…
“Alah, sajalah nak belanja kau
sarapan. Kebetulan aku belikan untuk budak tiga orang kat rumah tu. Bila
teringatkan kau suka nasi lemak ni, aku belilah untuk kau sekali.” saat ini aku
memang tak mampu nak cipta sebarang alasan. Maka aku jadikan semua itu sebagai
satu kebetulan yang tidak dirancang. Harap, Zulhairi mempercayainya. “Yang kau
terkejut sangat ni apahal? Macamlah aku tak pernah belanja kau makan” aku
sambung kata, biar nampak benar semua penyataanku sebentar tadi.
“Memanglah kau pernah belanja aku
makan, tapi bila kau ada buat salah kat aku ajekan? Kalau tidak, tak ada
maknanya aku dapat merasa duit kau tu” Zulhairi kelihatan seakan tidak percaya
dengan kataku.
“Apa salah yang kau dah buat kali
ni?” Zulhairi menekan dengan soalan.
“Alah, salah apa pula ni, Zul. Aku
memang ikhlas belanja kau nasi lemak tu. Aku tak buat apa-apa salahpun” dengan
pantas aku mengelak. Boleh pula Zulhairi baca hati aku. Atau yang sebenarnya
akulah puncanya yang menjadikan Zulhairi begitu masak dengan perangaiku
sendiri. Aduh… lecehlah macam ni!
“Dah… dah kau jangan nak membohong.
Baik kau cakap betul-betul, apa yang kau dah buat sebenarnya? Zulhairi enggan
percaya.
“Aku cakap tak ada apa… tak ada
apalah… yang kau susah sangat nak percaya ni kenapa?” kali ini aku membuat
bantahan. Susah benar nak membuatkan Zulhairi percaya.
“Eh, Su… Kau belum buang tabiat nak
belanja aku makan sesuka hati. Kau ingat aku baru kenal kau pagi tadi? Spesis
haji bakhil macam kau ni, tak payah nak menipulah, Su. Cakap cepat!” panjang
lebar Zulhairi membebel. Mengalahkan emaknya sendiri.
Aku mula garu kepala. Nampak gayanya
Zulhairi tidak mahu mendengar kata. Semua alasan yang aku beri, semuanya
dihamburkan semula. Ini bermakna harus ada backup
plan untuk menutup semuanya.
“Iyalah… iyalah. Alang-alang kau dah
boleh hidu, maka terpaksalah aku buat muka tak malu, bagi tahu kau hal
sebenarnya” aku pura-pura mengaku kalah. Walhal, tiada apa yang ingin ku
kisahkan padanya. Aku hanya bermain dengan kata-kata.
“Aku dah agak dah! Kalau kau cakap
dari tadikan senang. Hah, apa kes? Apa yang kau dah buat kali ni?” bukan main gembira wajah Zulhairi, macam Yang
Amat Berhormat yang baru menang undian pilihanraya pula.
“Tak payalah sebut kali ni. Macamlah
aku dah buat salah banyak kali” sedikit rasa tak puas hati aku perdengarkan.
“Memang banyak kali pun, cuma aku
tak ada masa nak rekodkan dalam sistem. Kau tu yang tak perasan” Yakin sungguh tutur kata Zulhairi. “Dah,
cepat buat pengakuan, nanti sejuk pula nasi lemak aku ni”
Sengaja aku pandang Zulhairi tajam.
Buat-buat marah sambil memikirkan ayat seterusnya. Apa aku nak cakap?
“Alahai, tiba-tiba bisulah pula. Woi
Cik Suraya, cepatlah. Nak mengaku salahpun susah ke?” Zulhairi nampak mula
berang.
“Iyalah, nak cakaplah ni.
Sebenarnya, aku tak ada buat salah apapun. Aku buat baik ni sebab nak minta
tolong kau, boleh? aku sudah tidak ada pilihan lain, nampaknya aku terpaksa
tukar cerita.
‘Tolong apa?” kerut pada dahi
Zulhairi mula jelas kelihatan.
“Kau tolong carikan cikgu tuisyen
untuk Alia dengan Azira boleh? Aku nak cikgu yang biasa buat home tuition. Setiap hari ahad. Tapi
kalau boleh, janganlah mahal sangat yuran dia” kali ini baru aku boleh
tersenyum. Dengan mencipta bentuk bantuan yang aku perlukan itu,
setidak-tidaknya, Zulhairi dapatlah selesaikan masalah yang memang tengah
memeningkan kepala aku ni.
“Subjek apa?” Zulhairi seakan
berminat untuk memberikan pertolongan.
“Azira, Math… Alia Add Math.
Boleh tak?”
“No
problem. Kau anggap aje masalah kau tu dah selesai!” Zulhairi senyum lebar.
“Kau ni biar betul, Zul? Aku cakap
serius ni” aku rasa kurang yakin dengan jawapan Zulhairi, sebab setahu aku, Zulhairi
tak ada kenalan yang kerja dalam profesion perguruan ni. Ke, Si Zul ni nak
kenakan aku sebenarnya? Tapi ini soal masa depan Alia dan Azira, mustahil
Zulhairi nak buat perkara yang bukan-bukan pula.
“Betullah. Kau tunggu aje, esok hari
ahad kan. So esok aku bawa datang
rumah kau” Zulhairi bersungguh.
“Eh, Zul… kalau iyapun tanyalah
bayaran dulu. Buatnya ratus-ratus, mana aku nak cari duit? Kau jangan buat
aniaya aku pula” aku memang ragu-ragu.
“Tu kau jangan risau. Tahulah aku
nak minta diskaun nanti” Zulhairi memberikan keyakinan.
ADA
sepuluh minit lagi sebelum pukul sembilan pagi. Jadi sementara menunggu
Zulhairi datang, membawa cikgu tuisyen untuk Alia dan Azira, aku mengelap meja
yang memang sudah aku kosongkan setelah selesai sarapan tadinya. Entah sudah
berapa kali aku membersihkan meja itu. Rasanya, aku pula yang terlebih
bersemangat hari ini.
Alia dan Azira sudah aku arahkan
supaya bersiap sedia. Mereka harus terlebih dahulu ada di meja sebelum cikgu
baru mereka sampai. Itu akan lebih menampakkan kesungguhkan mereka, dan aku
yakin, cikgu mereka juga nanti akan rasa lebih dihormati.
“Belajar betul-betul. Jangan nak
maik-main!” Teguran pertama aku berikan sebaik sahaja Alia dan Azira mengambil
tempat. Alia mengangguk, manakala Azira hanya memandang buku dan alat tulis
yang turut dibawanya bersama.
Bunyi loceng rumah yang kedengaran
membuatkan langkahku menghantar aku segera ke muka pintu bersama senyuman lega.
Akhirnya, tertunai juga salah satu daripada impianku. Wajah insan yang bakal
mencurahkan ilmu pada Alia dan Azira segera aku cari. Namun yang ada cuma wajah
Zulhairi. Selipar aku sarung, kemudian pantas aku berjalan mendapatkan Zulhairi
di muka pintu.
“Assalamualaikum” Zulhairi
menghulurkan salam
“Wa’alaikumusalam. Sampai juga kau
ya. Mana cikgunya? Tak nampakpun?” kata itu meluncur laju, menjadi pertanyaan
yang perlu ada jawapannya.
“Kau ni buta ke, apa Su? Cikgu duk
terpacak depan mata kau pun, kau tak nampak lagi?” Zulhairi pantas memberi
maklum balas.
“Depan mata aku? Kau janga
main-main, Zul, mana cikgunya?” Aku memang tidak puas hati dengan jawapan yang
Zulhairi berikan. Mustahil aku tak nampak!
“Main-main apanya, ingat kita kat
taman permainan ke? Akupun kau dah tak nampak?” Zulhairi menggelengkan kepala.
“Hah, kau…?” aku terkejut.
“Iyalah, apa kau ingat aku tak boleh
jadi cikgu ke?”
“Kau biar betul, Zul. Boleh ke, kau
mengajar add math ni? Subjek
matematik pun aku tak yakin kau boleh ajar!” aku terus terang.
“Excuse
me, Cik Suraya. For your information, i have a Master of Science in Accounting
Forensic, okay!” laju sahaja Zulhairi mengingatkan tentang tahap
pendidikannya.
“Itu aku tahulah. Maksud aku, kau
tahu ke teknik nak mengajar ni. Bukan semua orang dilahirkan sebagai pendidik.
Boleh ke, kau mengajar ni?”
“Amboi Su… bunyi macam lupa daratan
aje. Siapa yang selalu ajar kau masa zaman kita sekolah dulu? Lupa? Itu belum
aku buka balik cerita zaman universiti kita” Zulhairi mula tarik muka.
“Iya, aku tak lupa. Kau yang banyak ajar
aku. Tapi kau kena ingat, itu zaman bila? sekarang ni silibus pun dah tukar”
aku masih tidak berpuas hati. Bukan dengan sengaja mahu mempertikai Zulhairi,
tapi aku betul-betul mahukan yang terbaik untuk Alia dan Azira.
“Silibus aje tukar, tapi otak aku ni
masih sama bijak macam dulu. Kau pun kena ingat tu” Zulhairi enggan mengalah
daripada menyakinkan kebolehannya.
“Senang macam nilah, Zul. Aku tak
nak ambil risiko. Kalau boleh jadi cikgu Alia dengan Azira, tapi dengan dua
syarat…”
“Dua syarat?” Zulhairi kelihatan
sedikit terkejut.
“Iyalah”
“Dahlah letak syarat, sampai dua
pula tu. Tak pernah berlaku dalam sejarah ni. Ha, apa dia syarat-syaratnya?”
“Pertama, kau kena tunjukkan
peningkatan prestasi dia orang dalam tempoh sebulan. Kebetulan, dia orangpun
dah mula banyak ujian sekarang ni. Kalau tak ada sebarang peningkatan, aku
takkan teragak-agak untuk cari cikgu baru menggantikan kau” aku menjelaskan
secara terperinci. Mahu Zulhairi faham semuanya.
“Senang! Syarat kedua?” Zulhairi
nampak cukup yakin dan tenang.
“Okay, syarat kedua… Disebabkan aku
tak pasti lagi apa akan jadi dalam tempoh sebulan ni. Jadi, kau tak boleh
kenakan aku sebarang bayaran. Kira macam percubaanlah ni”
“Wah… ini dah melampau, Su. Mana
boleh free! Kau ingat aku tengah buat
program kebajikan ke? Zulhairi ternyata tidak bersetuju dengan syarat kedua
yang diperdengarkan.
“Kalau kau tak setuju, kau boleh
balik.” Aku terus berpusing. Memandangkan Zulhairi tidak bersetuju dengan
syarat yang aku kemukakan, maka ada baiknya aku kembali saja ke pintu utama,
meninggalkan Zulhairi keseorangan di pintu pagar.
“Iyalah… iyalah. Free of charge!” suara Zulhairi jelas
kedengaran.
Mendengar kata persetujuan itu,
dengan pantas aku membuat pusingan u, berjalan ke arah Zulhairi. “Kalau cakap dari
awal tadikan senang”
“Untuk bulan ni aje, free. Next month sila bayar” Zulhairi memberikan penekanan pada ayat
terakhirnya.
“Tengok dululah pencapaian dia orang
macam mana. Aku tak nak buat pelaburan yang salah” balasku.
“Yang kau tercegat aje kat sini buat
apa? Bukalah pagar ni, bagi aku masuk” Zulhairi mengeluarkan arahan.
‘Ops… nanti dulu. Kau tunggu sini
kejap. Nanti aku datang balik” akhirnya, Zulhairi aku tinggalkan di situ. Walaupun
Zulhairi adalah guru tuisyen kepada Alia dan Azira, aku tetap tidak dapat
membenarkan Zulhairi masuk ke dalam rumah. Dia tetap seorang lelaki! Lelaki lain,
yang tidak ada sebarang pertalian darah tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah
sekiranya ayah tiada. Undang-undang yang ditetapkan oleh arwah ayah itu masih
aku guna pakai sehingga ke hari ini.
Meja lipat yang disimpan di dalam
setor bawah tangga aku keluarkan. Meja itu aku bawa ke luar. Alia dan Azira aku
arahkan supaya masing-masing membawa kerusi dari meja makan. Mereka akan
belajar di luar. Bagus juga, udara pagi yang nyaman, pastinya akan membuatkan
otak mereka menjadi lebih segar. Jadi, ilmu akan mudah masuk.
Sambil duduk, Zulhairi memandangku
dengan renungan tajam. Aku hanya mampu membalasnya dengan senyuman. Aku tahu
dia faham! Tidak perlu aku jelaskan sebab perbuatanku itu. Zulhairi pasti ada
jawapannya.
“Kalau tak faham, cakap aje tak
faham. Tak payah nak buat-buat faham, tahu!” peringatan itu aku layangkan buat
Alia dan Azira. Peringatan itu jugalah yang membuatkan aku menerima jelingan
tajam daripada Zulhairi.
“Potong jarilah, kalau dia orang tak
faham!” Zulhairi tunjuk muka lagaknya. Alia
dan Azira pula dah mula tersenyum simpul.
“Okay, Alia… Azira, jom kita mula”
Zulhairi memulakan kelas.
Tidak mahu mengganggu, lantas aku
bawa diri untuk masuk ke dalam rumah. Hati penuh harapan semoga Alia dan Azira
mudah menerima setiap perkara yang diajarkan oleh Zulhairi. Terima kasih Zul!
Bersambung...
Kata AH: Insya'ALLAH AH sedang berusaha keras untuk menyiapkan manuskrip SAC untuk diterbitkan. Semoga doa dan sokongan daripada semua rakan2 pembaca setia AH akan memudahkan segalanya. Terima kasih.
Salam Ukhwah
Adah Hamidah
7 comments:
smoga manuskrip SAC berjalan lancar kaq adah. n GOODLUCK ! :) menanti saat ada cinta utk terbit
kDija
xsabar bk jadikan sac ni salah satu novel koleksi saya!!
mudah2an Allah permudahkan urasan ini, aminnn.
thanks a lot kak adah,
rindu zul dengan su. sweet walaupun tak macam couple. i like!
untuk manuskrip tu.
go go kak adah! jangan hilang minat nak menulis... *terbaca kt fb* hihihi.
btw, novel nanti jangan tebal2 sangat!
saya tak ada bajet banyak untuk novel. huhuhu.
good luck, sedia menanti...
Alhamdulillah... tumpang gembira untuk
K Adah.. Semoga Allah permudahkan urusan
menyiapkan manuskrip SAC ni..
xsabar tggu novel ni kluar..!!
Gud luck K Adah.. =)
best! thanks Adah, for the new entry. This story is unpredictable. Tapi suka Su & Zul, sweet.. walaupun belum jadik couple. Tapi I think both of them need some encouragement to take their friendship to the next level...dah suka tu on je la kan....anyway good luck for the manuskrip..... definitely will be one of my collection.....
Post a Comment