Wednesday, July 11, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 10


10
            Rasa bersalah telah membuatkan aku bangun lebih awal daripada kebiasaan. Pada awalnya aku ingin mengorbankan masa lena hari sabtu begini untuk menyediakan sedikit juadah buat Zulhairi. Oleh kerana aku gagal memikirkan juadah yang sesuai, ditambah pula rasa malas, maka sudahnya aku mengambil keputusan untuk membeli nasi lemak di simpang jalan yang menjadi kegilaan Zulhairi.
            Lagi pula semalam ada aku terdengar perbualan Amira dengan Alia. Dia meminta Alia untuk memasak nasi lemak. Aku tersenyum mendengar permintaan si kecil itu. Rasanya dah lama mereka tidak menikmati juadah nasi lemak untuk sarapan pagi. Balik-balik makan roti bersama jem buah-buahan. Maka kerana itu jugalah juadah nasi lemak yang telah aku beli, sudah aku sediakan di atas meja buat Alia, Azira dan Amira. Sebelum menghantar bungkusan ke rumah Zulhairi, aku harus uruskan mereka bertiga terlebih dahulu.
            “Bangun… Sarapan dah sediakan atas meja. Dah makan jangan lupa kemas!” Kataku sebaik sahaja pintu bilik mereka aku buka. “Alia, jaga adik-adik kau, aku nak keluar kejap” lagi pesanan kau berikan sebelum pintu bilik aku tutup kembali. Bungkusan nasi lemak yang sudah aku beli untuk Zulhairi, aku ambil dari atas meja lalu mula keluar dari rumah.
            Pintu pagar rumah Zulhairi terbuka lapang waktu aku sampai. Jadi aku terus melangkah masuk menuju ke pintu utama. Pintu itu juga terbuka, namun kali ini aku tidak melangkah terus untuk masuk. Sebaliknya aku membuka suara, memberikan salam. Salamku bersambut, derapan kaki mula kedengaran menghampiri pintu.
            “Eh, Su rupanya. Masuk, Su.” Kak Zarina menampakkan senyuman.
            “Tak apalah kak, Su datang ni nak bagi nasi lemak ni pada Zul aje.” Bungkusan nasi lemak dalam plastik berwarna merah itu aku tunjukkan pada kak Zarina.
            “Untuk Zul seorang, aje? Untuk kita orang yang lain, tak ada, ke?”
            Pertanyaan yang kak Zarina ajukan membuatkan aku terdiam seketika. Memang aku hanya belikan nasi lemak itu buat Zulhairi sahaja. Bukan aku tidak ingat pada mereka yang ada dalam rumah itu, cumanya, faktor kewangan tidak mengizinkan untuk aku berbelanja dengan sesuka hati. Untuk Zulhairi pun aku hanya mampu membelikannya nasi lemak biasa. Tiada sebarang lauk tambahan. “Bajet ciput kak Ina. Inipun sebab Zul sakit, kalau tak, saya tak beli.” Dengan penjelasan itu, aku harap kak Zarina memahaminya.
            “Akak faham situasi Su, tapikan Su, lagi banyak kita keluarkan, lagi banyak pulangan yang akan Allah SWT ganti nanti. Itu janji Allah, percayalah!” Lembut tutur kata Kak Zarina.
            Mendengarkan itu, aku jadi tertunduk seketika. Satu peringatan yang menyentuh hati. Aku akui, aku bukanlah orang yang rajin menderma dan bersedekah. Setiap sen wang yang ada aku kawal sebaik-baiknya. Risau kalau duit yang ada, kering sebelum gaji masuk. Jika itu berlaku, tak berasaplah dapur rumah jawabnya. Mungkin kerana itu aku tidak pernah rasa cukup dengan apa yang ada!
            “Lagi satu, sedekah ni boleh mensucikan jiwa dan menenangkan hati tau, Su” sambung Kak Zarina.
            “Kak Ina, Su…”
            “Su, kak Ina dah anggap Su macam adik kandung kak Ina sendiri. Macam mana Su nak yang terbaik untuk Alia, Azira dengan Amira… Macam itulah juga akak nak yang terbaik untuk Su. Jadi mulai hari ini, Su kena janji dengan akak, yang Su tak akan berkira lagi soal duit. Insya’ALLAH, Su, selagi kita masih bernyawa, selagi itu rezeki kita ada.”   
            Aku menganggukkan kepala. Semua nasihat itu akan aku simpan dalam hati. Nampaknya, ada satu tabiat buruk yang perlu aku ubah sekarang. Aku akan mengikut saranan kak Zarina.
            “Terima kasih kak Ina” ungkapan itu aku perdengarkan.
            “Dah jom masuk” pelawa kak Zarina
            “Tak apalah kak Ina. Su datangpun nak bagi nasi lemak ni, aje. Lagipun Su nak cepat ni, risau pula budak tiga orang kat rumah tu”
            “Kalau macam tu, tak apalah. Ada nak tinggalkan apa-apa pesanan untuk Zul, tak?”
            “Erm… tak ada kut, kak Ina. Su minta diri dulu ya”
            “Iyalah… hati-hati jalan tu” pesan kak Zarina.
            Aku tersenyum, kemudian kaki pantas melangkah, meninggalkan rumah Zulhairi. Rasa bersalah kian bertambah kini. Kenapalah aku terlalu berkira? Tak pasal-pasal jadi malu sendiri. Langkahku kian perlahan, menyudahkan jarak perjalanan yang tinggal sambil memikirkan sebuah masa depan. Masa depan? Apakah aku punya peluang untuk memiliki masa depan? Ya, Alia, Azira dan Amira adalah masa depanku. Berjaya mereka, maka berjayalah aku!
            Tatkala wanita-wanita lain melukis masa depan bersama suami dan anak-anak tersayang, aku pula tidak mampu menyimpan impian sebegitu. Tanggungjawab yang ada terlalu berat untuk aku kendong. Aku tidak mahu mencabar kemampuanku sedang aku tahu takat mana aku mampu berdiri teguh. Mungkin ini boleh aku jadikan bukti pada arwah ayah yang aku mampu menjadi ketua pada sebuah keluarga, seperti mahunya.
            “Su, tunggu…”
            Teriakan yang kendengaran menerbangkan semua keluhan fikiran. Kaki juga mula berhenti bergerak. Terpaku di situ menanti Zulhairi yang laju jalannya cuba menghampiriku. Senyuman terukir kini. Boleh pula si Zulhairi tu mengejar aku? entah apa mahunya? Paling tidakpun, pasti mahu mengucapkan terima kasih atas pemberianku tadi. Zulhairi… Zulhairi. SMS kan boleh!
            “Aduhai… penatnya…” tercunggap-cunggap Zulhairi.
            “Hah, tahupun penat, yang kau kejar aku ni kenapa?”
            “Ni hah…” Zulhairi mengangkat plastik merah yang dipegangnya.
            Aku amati plastik itu. Rasanya itu bungkusan nasi lemak yang aku bagi tadi. Ya, memang itu bungkusannya. Aku yakin, aku tidak silap.
            “Kenapa kau bagi aku nasi lemak ni? soal Zulhairi penuh hairan.
            Alamak! Apa jawapan yang perlu aku bagi pada Zulhairi? Kalau boleh aku tidak mahu dia tahu bahawa aku sudah mendapat jawapan tepat tentang mata lebamnya. Tak boleh… dia tak boleh tahu. Kalau dia tahu yang aku dah tahu, aku sendiri juga yang malu. Oh.. tak boleh…
            “Alah, sajalah nak belanja kau sarapan. Kebetulan aku belikan untuk budak tiga orang kat rumah tu. Bila teringatkan kau suka nasi lemak ni, aku belilah untuk kau sekali.” saat ini aku memang tak mampu nak cipta sebarang alasan. Maka aku jadikan semua itu sebagai satu kebetulan yang tidak dirancang. Harap, Zulhairi mempercayainya. “Yang kau terkejut sangat ni apahal? Macamlah aku tak pernah belanja kau makan” aku sambung kata, biar nampak benar semua penyataanku sebentar tadi.
            “Memanglah kau pernah belanja aku makan, tapi bila kau ada buat salah kat aku ajekan? Kalau tidak, tak ada maknanya aku dapat merasa duit kau tu” Zulhairi kelihatan seakan tidak percaya dengan kataku.
            “Apa salah yang kau dah buat kali ni?” Zulhairi menekan dengan soalan.
            “Alah, salah apa pula ni, Zul. Aku memang ikhlas belanja kau nasi lemak tu. Aku tak buat apa-apa salahpun” dengan pantas aku mengelak. Boleh pula Zulhairi baca hati aku. Atau yang sebenarnya akulah puncanya yang menjadikan Zulhairi begitu masak dengan perangaiku sendiri. Aduh… lecehlah macam ni!
            “Dah… dah kau jangan nak membohong. Baik kau cakap betul-betul, apa yang kau dah buat sebenarnya? Zulhairi enggan percaya.
            “Aku cakap tak ada apa… tak ada apalah… yang kau susah sangat nak percaya ni kenapa?” kali ini aku membuat bantahan. Susah benar nak membuatkan Zulhairi percaya.
            “Eh, Su… Kau belum buang tabiat nak belanja aku makan sesuka hati. Kau ingat aku baru kenal kau pagi tadi? Spesis haji bakhil macam kau ni, tak payah nak menipulah, Su. Cakap cepat!” panjang lebar Zulhairi membebel. Mengalahkan emaknya sendiri.
            Aku mula garu kepala. Nampak gayanya Zulhairi tidak mahu mendengar kata. Semua alasan yang aku beri, semuanya dihamburkan semula. Ini bermakna harus ada backup plan untuk menutup semuanya.
            “Iyalah… iyalah. Alang-alang kau dah boleh hidu, maka terpaksalah aku buat muka tak malu, bagi tahu kau hal sebenarnya” aku pura-pura mengaku kalah. Walhal, tiada apa yang ingin ku kisahkan padanya. Aku hanya bermain dengan kata-kata.
            “Aku dah agak dah! Kalau kau cakap dari tadikan senang. Hah, apa kes? Apa yang kau dah buat kali ni?”  bukan main gembira wajah Zulhairi, macam Yang Amat Berhormat yang baru menang undian pilihanraya pula.
            “Tak payalah sebut kali ni. Macamlah aku dah buat salah banyak kali” sedikit rasa tak puas hati aku perdengarkan.
            “Memang banyak kali pun, cuma aku tak ada masa nak rekodkan dalam sistem. Kau tu yang tak perasan”  Yakin sungguh tutur kata Zulhairi. “Dah, cepat buat pengakuan, nanti sejuk pula nasi lemak aku ni”
            Sengaja aku pandang Zulhairi tajam. Buat-buat marah sambil memikirkan ayat seterusnya. Apa aku nak cakap?
            “Alahai, tiba-tiba bisulah pula. Woi Cik Suraya, cepatlah. Nak mengaku salahpun susah ke?” Zulhairi nampak mula berang.
            “Iyalah, nak cakaplah ni. Sebenarnya, aku tak ada buat salah apapun. Aku buat baik ni sebab nak minta tolong kau, boleh? aku sudah tidak ada pilihan lain, nampaknya aku terpaksa tukar cerita.
            ‘Tolong apa?” kerut pada dahi Zulhairi mula jelas kelihatan.
            “Kau tolong carikan cikgu tuisyen untuk Alia dengan Azira boleh? Aku nak cikgu yang biasa buat home tuition. Setiap hari ahad. Tapi kalau boleh, janganlah mahal sangat yuran dia” kali ini baru aku boleh tersenyum. Dengan mencipta bentuk bantuan yang aku perlukan itu, setidak-tidaknya, Zulhairi dapatlah selesaikan masalah yang memang tengah memeningkan kepala aku ni.
            “Subjek apa?” Zulhairi seakan berminat untuk memberikan pertolongan.
            “Azira, Math… Alia Add Math. Boleh tak?”  
            “No problem. Kau anggap aje masalah kau tu dah selesai!” Zulhairi senyum lebar.
            “Kau ni biar betul, Zul? Aku cakap serius ni” aku rasa kurang yakin dengan jawapan Zulhairi, sebab setahu aku, Zulhairi tak ada kenalan yang kerja dalam profesion perguruan ni. Ke, Si Zul ni nak kenakan aku sebenarnya? Tapi ini soal masa depan Alia dan Azira, mustahil Zulhairi nak buat perkara yang bukan-bukan pula.  
            “Betullah. Kau tunggu aje, esok hari ahad kan. So esok aku bawa datang rumah kau” Zulhairi bersungguh.
            “Eh, Zul… kalau iyapun tanyalah bayaran dulu. Buatnya ratus-ratus, mana aku nak cari duit? Kau jangan buat aniaya aku pula” aku memang ragu-ragu.
            “Tu kau jangan risau. Tahulah aku nak minta diskaun nanti” Zulhairi memberikan keyakinan.

ADA sepuluh minit lagi sebelum pukul sembilan pagi. Jadi sementara menunggu Zulhairi datang, membawa cikgu tuisyen untuk Alia dan Azira, aku mengelap meja yang memang sudah aku kosongkan setelah selesai sarapan tadinya. Entah sudah berapa kali aku membersihkan meja itu. Rasanya, aku pula yang terlebih bersemangat hari ini.
            Alia dan Azira sudah aku arahkan supaya bersiap sedia. Mereka harus terlebih dahulu ada di meja sebelum cikgu baru mereka sampai. Itu akan lebih menampakkan kesungguhkan mereka, dan aku yakin, cikgu mereka juga nanti akan rasa lebih dihormati.
            “Belajar betul-betul. Jangan nak maik-main!” Teguran pertama aku berikan sebaik sahaja Alia dan Azira mengambil tempat. Alia mengangguk, manakala Azira hanya memandang buku dan alat tulis yang turut dibawanya bersama.
            Bunyi loceng rumah yang kedengaran membuatkan langkahku menghantar aku segera ke muka pintu bersama senyuman lega. Akhirnya, tertunai juga salah satu daripada impianku. Wajah insan yang bakal mencurahkan ilmu pada Alia dan Azira segera aku cari. Namun yang ada cuma wajah Zulhairi. Selipar aku sarung, kemudian pantas aku berjalan mendapatkan Zulhairi di muka pintu.
            “Assalamualaikum” Zulhairi menghulurkan salam
            “Wa’alaikumusalam. Sampai juga kau ya. Mana cikgunya? Tak nampakpun?” kata itu meluncur laju, menjadi pertanyaan yang perlu ada jawapannya.  
            “Kau ni buta ke, apa Su? Cikgu duk terpacak depan mata kau pun, kau tak nampak lagi?” Zulhairi pantas memberi maklum balas.
            “Depan mata aku? Kau janga main-main, Zul, mana cikgunya?” Aku memang tidak puas hati dengan jawapan yang Zulhairi berikan. Mustahil aku tak nampak!
            “Main-main apanya, ingat kita kat taman permainan ke? Akupun kau dah tak nampak?” Zulhairi menggelengkan kepala.
            “Hah, kau…?” aku terkejut.
            “Iyalah, apa kau ingat aku tak boleh jadi cikgu ke?”
            “Kau biar betul, Zul. Boleh ke, kau mengajar add math ni? Subjek matematik pun aku tak yakin kau boleh ajar!” aku terus terang.    
            “Excuse me, Cik Suraya. For your information, i have a Master of Science in Accounting Forensic, okay!” laju sahaja Zulhairi mengingatkan tentang tahap pendidikannya.
            “Itu aku tahulah. Maksud aku, kau tahu ke teknik nak mengajar ni. Bukan semua orang dilahirkan sebagai pendidik. Boleh ke, kau mengajar ni?”
            “Amboi Su… bunyi macam lupa daratan aje. Siapa yang selalu ajar kau masa zaman kita sekolah dulu? Lupa? Itu belum aku buka balik cerita zaman universiti kita” Zulhairi mula tarik muka. 
            “Iya, aku tak lupa. Kau yang banyak ajar aku. Tapi kau kena ingat, itu zaman bila? sekarang ni silibus pun dah tukar” aku masih tidak berpuas hati. Bukan dengan sengaja mahu mempertikai Zulhairi, tapi aku betul-betul mahukan yang terbaik untuk Alia dan Azira.
            “Silibus aje tukar, tapi otak aku ni masih sama bijak macam dulu. Kau pun kena ingat tu” Zulhairi enggan mengalah daripada menyakinkan kebolehannya.
            “Senang macam nilah, Zul. Aku tak nak ambil risiko. Kalau boleh jadi cikgu Alia dengan Azira, tapi dengan dua syarat…”
            “Dua syarat?” Zulhairi kelihatan sedikit terkejut.
            “Iyalah”
            “Dahlah letak syarat, sampai dua pula tu. Tak pernah berlaku dalam sejarah ni. Ha, apa dia syarat-syaratnya?”
            “Pertama, kau kena tunjukkan peningkatan prestasi dia orang dalam tempoh sebulan. Kebetulan, dia orangpun dah mula banyak ujian sekarang ni. Kalau tak ada sebarang peningkatan, aku takkan teragak-agak untuk cari cikgu baru menggantikan kau” aku menjelaskan secara terperinci. Mahu Zulhairi faham semuanya.
            “Senang! Syarat kedua?” Zulhairi nampak cukup yakin dan tenang.
            “Okay, syarat kedua… Disebabkan aku tak pasti lagi apa akan jadi dalam tempoh sebulan ni. Jadi, kau tak boleh kenakan aku sebarang bayaran. Kira macam percubaanlah ni”
            “Wah… ini dah melampau, Su. Mana boleh free! Kau ingat aku tengah buat program kebajikan ke? Zulhairi ternyata tidak bersetuju dengan syarat kedua yang diperdengarkan.
            “Kalau kau tak setuju, kau boleh balik.” Aku terus berpusing. Memandangkan Zulhairi tidak bersetuju dengan syarat yang aku kemukakan, maka ada baiknya aku kembali saja ke pintu utama, meninggalkan Zulhairi keseorangan di pintu pagar.
            “Iyalah… iyalah. Free of charge!” suara Zulhairi jelas kedengaran.  
            Mendengar kata persetujuan itu, dengan pantas aku membuat pusingan u, berjalan ke arah Zulhairi. “Kalau cakap dari awal tadikan senang”
            “Untuk bulan ni aje, free. Next month sila bayar” Zulhairi memberikan penekanan pada ayat terakhirnya.
            “Tengok dululah pencapaian dia orang macam mana. Aku tak nak buat pelaburan yang salah”  balasku.
            “Yang kau tercegat aje kat sini buat apa? Bukalah pagar ni, bagi aku masuk” Zulhairi mengeluarkan arahan.
            ‘Ops… nanti dulu. Kau tunggu sini kejap. Nanti aku datang balik” akhirnya, Zulhairi aku tinggalkan di situ. Walaupun Zulhairi adalah guru tuisyen kepada Alia dan Azira, aku tetap tidak dapat membenarkan Zulhairi masuk ke dalam rumah. Dia tetap seorang lelaki! Lelaki lain, yang tidak ada sebarang pertalian darah tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah sekiranya ayah tiada. Undang-undang yang ditetapkan oleh arwah ayah itu masih aku guna pakai sehingga ke hari ini.
            Meja lipat yang disimpan di dalam setor bawah tangga aku keluarkan. Meja itu aku bawa ke luar. Alia dan Azira aku arahkan supaya masing-masing membawa kerusi dari meja makan. Mereka akan belajar di luar. Bagus juga, udara pagi yang nyaman, pastinya akan membuatkan otak mereka menjadi lebih segar. Jadi, ilmu akan mudah masuk.
            Sambil duduk, Zulhairi memandangku dengan renungan tajam. Aku hanya mampu membalasnya dengan senyuman. Aku tahu dia faham! Tidak perlu aku jelaskan sebab perbuatanku itu. Zulhairi pasti ada jawapannya.
            “Kalau tak faham, cakap aje tak faham. Tak payah nak buat-buat faham, tahu!” peringatan itu aku layangkan buat Alia dan Azira. Peringatan itu jugalah yang membuatkan aku menerima jelingan tajam daripada Zulhairi.
            “Potong jarilah, kalau dia orang tak faham!”  Zulhairi tunjuk muka lagaknya. Alia dan Azira pula dah mula tersenyum simpul.
            “Okay, Alia… Azira, jom kita mula” Zulhairi memulakan kelas.
            Tidak mahu mengganggu, lantas aku bawa diri untuk masuk ke dalam rumah. Hati penuh harapan semoga Alia dan Azira mudah menerima setiap perkara yang diajarkan oleh Zulhairi. Terima kasih Zul! 

Bersambung... 

Kata AH: Insya'ALLAH AH sedang berusaha keras untuk menyiapkan manuskrip SAC untuk diterbitkan. Semoga doa dan sokongan daripada semua rakan2 pembaca setia AH akan memudahkan segalanya. Terima kasih.

Salam Ukhwah
Adah Hamidah

7 comments:

Anonymous said...

smoga manuskrip SAC berjalan lancar kaq adah. n GOODLUCK ! :) menanti saat ada cinta utk terbit


kDija

Unknown said...

xsabar bk jadikan sac ni salah satu novel koleksi saya!!

che`leen said...

mudah2an Allah permudahkan urasan ini, aminnn.

nadiah said...

thanks a lot kak adah,
rindu zul dengan su. sweet walaupun tak macam couple. i like!
untuk manuskrip tu.
go go kak adah! jangan hilang minat nak menulis... *terbaca kt fb* hihihi.
btw, novel nanti jangan tebal2 sangat!
saya tak ada bajet banyak untuk novel. huhuhu.

mila said...

good luck, sedia menanti...

fara said...

Alhamdulillah... tumpang gembira untuk
K Adah.. Semoga Allah permudahkan urusan
menyiapkan manuskrip SAC ni..
xsabar tggu novel ni kluar..!!
Gud luck K Adah.. =)

ida said...

best! thanks Adah, for the new entry. This story is unpredictable. Tapi suka Su & Zul, sweet.. walaupun belum jadik couple. Tapi I think both of them need some encouragement to take their friendship to the next level...dah suka tu on je la kan....anyway good luck for the manuskrip..... definitely will be one of my collection.....

Post a Comment