Sunday, February 5, 2012

Pertandingan Cerpen : Dia Kurniaan Illahi

DIA KURNIAAN ILLAHI
“ (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan  lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (Surah An Nur, ayat 26)”
Tafsir di tangan ku tutup. Lima tahun, ya, kenangan lima tahun kembali berputar dalam kotak ingatanku. Memori lalu terimbau kembali. Sejak kejadian di surau itu, aku tidak lagi bertembung muka dengan Ustaz Huzaifah. Telah ku bulatkan hatiku untuk berubah kerana Allah s.w.t. dan bukan sebab keinginanku padanya. Percaya atau tidak, sejak hari itu, aku terus menjauhkan diri dari dia. Kelas tajwid yang aku hadiri juga akan kupastikan sesinya sentiasa bersama Fatanah.
Aku sudah mula berjinak-jinak dengan baju kurung kemana sahaja aku pergi. Tiada lagi t-shirt lengan pendek seperti dahulu. Aku sebaik mungkin menjaga aurat dan pandanganku. Alhamdulillah, kehadiran Ustaz Huzaifah akhirnya memberi ruang untukku lebih mengenal agama. Dia menjadi punca untukku membentuk kembali sahsiah diri dan selebihnya aku bersyukur kepada Ilahi, kerana masih memberi aku peluang untuk mendekati Nya dalam erti kata yang sebenar. Dalam pada sibuk mengelakkan diri dari Ustaz Huzaifah, Allah membuka jalan bagiku. Ayah mendapat tawaran kenaikan pangkat dan ditukarkan ke Sungai Besi. Walaupun kebiasaanya ayah hanya pergi kesana selama seminggu dan kemudian balik semula kemari, namun, akhirnya dalam diam, dia meminta untuk ditukarkan terus kesana. Alasannya, dia sudah penat. Dan akhirnya permohonan itu diluluskan. Aku pastinya gembira kerana tidak perlu lagi bersembunyi di siang hari lagi. Sebulan kemudiannya, kami berpindah ke sini. Walaupun Ustaz Huzaifah ada menjenguk pada hari terakhir kami disana, namun aku sengaja bersembunyi di dalam bilik. Dengan alasan sakit kepala. Aku tidak mahu bersua muka dengannya, lebih-lebih lagi ini adalah pertemuan terakhir kami. Aku tidak ingin menambah catatan duka dalam kamus hidupku. Aku hanya mendengar dia bertanya perihalku kepada emak. Biarlah, aku malas hendak ambil pusing tentang semua itu. Yang pasti, aku bakal meninggalkan kampung ini dan juga dirinya esok hari. Dan kini, aku sudah bisa melupakan segala termasuk dirinya, cuma tatkala aku mengulang baca surah An-nur, pasti aku akan terkenangkannya. Terkenang kisah lima tahun dahulu. Betapa masa telah memisahkan kami. Aku tersenyum sendiri.
“Ya Allah budak ini, dari tadi mak panggil Dahlia kenapa tak jawab? Boleh pulak dia termenung tersengih kat sini, fikirkan apa ni?” sergah emak mematikan lamunanku.
“Eh, bila mak panggil Dahlia? Tak dengar pun.” aku membela diri.
“Mana nak dengar kalau dah termenung panjang macam tu? Semalam Dahlia pesan kat mak suruh ingatkan Dahlia untuk jumpa Ustazah Hafiya.” sungguh aku telah terlupa akan hal ini. Mana tak nya, asyik sangat mengelamun Cik Dahlia oi. Aku mengukir senyum.
“Yelah mak, Dahlia nak siap-siap lah ni. Nanti dah siap Dahlia turun ye. Terima kasih.” Emak menggeleng kepala dan berjalan keluar dari bilikku. Aku terus bersiap-siap untuk bertemu dengan Ustazah Hafiya seperti yang dijanjikan. Kami berjumpa di tempat biasa. Rumah Anak Yatim Nur Qaseh. Di sini aku banyak belajar erti kemanusiaan. Pertemuaan tanpa sengaja dengan Ustazah Hafiya membuka ruang untuk aku menjadi manusia yang lebih menghargai. Kerana itu, aku sering sahaja menghabiskan masa lapangku untuk mendekati adik-adik disini.
“Assalamualaikum, bila Dahlia sampai? Dah lama ke? Maaflah, akak tak perasan tadi?
“Waalaikumussalam. Baru je kak. Nampak budak Alia ni, jumpa dia kejap.” kataku sambil pipi comel Alia aku cubit. Dia menarik muka. Dengan dia aku sering sahaja tercuit. Aksinya selalu sahaja menghibur hatiku dan harus aku akui bahawa, aku sudah mula menyayanginya. Sangat-sangat.
“Dahlia kalau dengan Alia memang macam tu kan. Manjakan dia sangat sampai dia pun dah terikut-ikut. Sekarang dia dah pandai merajuk tau.”
“Betul ke sayang?” Alia hanya buat tak endah akan pertanyaanku. Matanya asyik memandang dua ekor kucing yang berkejaran di padang tidak jauh dari tempat duduk kami.
“Akak nak beritahu ni. Minggu depan pakcik Alia akan datang ambil dia. Lepas ni Dahlia dah tak boleh jumpa Alia lagilah nampaknya. Dia akan bawa Alia duduk dengannya.”
“Eh, sejak bila pula Alia ni ada pakcik kak? Dahlia tak pernah tahu pun?” keterangan Ustazah Hafiya menyentak hatiku. Aku baru sahaja mula bermanja-manja dengan Alia.
            “Ada, tapi pakcik dia ke oversea sebelum ni. Futher study katanya. Sekarang dia dah balik dan nak bawa Alia tinggal sekali lah.”
            “Eh, tak ape ke kalau kita biarkan dia jaga Alia kak? ”
            “Dia lebih berhak Dahlia. Dia ada hubungan darah dengan Alia. Dia nampak macam orang baik. Pengajian pun dalam bidang agama. Insyallah, harap-harap dapatlah dia jaga Alia dengan baik. Kelmarin, dia ada datang dengan neneknya Alia ni. Bincang dengan Ustaz Fahim nak ambil semula Alia .” terang Ustazah Hafiya.
            “Harapnya macam itulah. Tapi kan kak, kenapa dia tak tuntut hak penjagaan sebelum ini? Kenapa baru sekarang?” soalku masih belum berpuas hati.
            “Sebelum ni, mak dia tu duduk sorang-sorang, berpenyakit pulak tu, susah kalau nak jaga budak Alia ni. Kemudahan semua tak ada. Jadi takut nak ambil sebarang risiko, dia bincang dengan akak dan Ustaz Fahim untuk tumpangkan Alia kat sini sementara anaknya tu habis belajar. Dan sekarang kira dah sampai masa untuk dia ambil balik Alia untuk duduk dengan mereka.” penjelasan panjang lebar Ustazah Hafiya sedikit sebanyak membuatkan aku bersedih. Betapa tidak, Alia ini adalah salah satu sebab mengapa aku suka datang ke sini. Dan kini, dia akan pergi meninggalkan kami semua. Sedikit sebanyak terkesan juga dihatiku.
“Ha, kenapa muka tiba-tiba jadi macam itu?” aku melepaskan sebuah keluhan.
“Entahlah kak, dah rasa sayang sangat dah kat Alia ni. Macam tak sanggup pula nak lepaskan dia pergi duduk dengan mereka.” kataku dalam sendu.
“Kalau dah suka sangat dengan budak-budak ni Dahlia, carilah pasangan, kahwin, insyaAllah, adalah pengganti Alia ni nanti. Boleh dikelek kemana pergi, kan?” senyumnya penuh makna.
“Hish akak ni, ke situ pula. Dahlia bukan apa, rasa macam baru aje lagi dekat dengan Alia ni. Erm, bila pakcik Alia nak ambil dia kak?” tanyaku sekaligus menukar topik.
“Hujung minggu ni. Hari Sabtu dalam pukul 5.00 petang katanya. Itulah, akak ingat nak adakan majlis perpisahan dan mendoa sikit untuk Alia Sabtu tu. Lepas Zohor dalam pukul tiga macam tu. Nanti Dahlia datang lah sekali ya.” ajak Ustazah Hafiya.
“InsyaAllah kak, tapi saya tak janji. Sebab Sabtu  ini ada kenduri dekat dengan rumah. Mak pun dah ingatkan banyak kali dah. Kalau sempat lepas kenduri, saya datang ya.” kataku tidak berani membuat janji.
“Erm, yelah. Jomlah kita masuk. Sekejap lagi Ustaz Fahim nak start ceramah dah. Sambungan untuk topik semalam. Lepas itu kita boleh temankan dia orang ini berriadah pula.” kata Ustazah Hafiya seraya berjalan menuju ke dewan ceramah. Aku hanya membuntutinya sambil memimpin tangan Alia.
“Akak ni shantiklah. Alia cuke tingok akak tau. Cayang akak.” puji Alia tiba-tiba. Aku sekadar mencebikkan bibirku dan tersenyum padanya. Berumur empat tahun lebih, dengan pipi yang montel kemerahan dan tuturnya sedikit pelat menjadikan dia sangat comel pada pandanganku. Dengan mudah aku boleh jatuh sayang padanya. Tambahan pula aku memang suka dengan budak-budak. Keletahnya sering membuahkan senyum dibibirku. Sambil mengetap bibir, aku cuit lagi pipinya dan kami terus mengikut jejak Ustazah Hafiya ke dewan ceramah.

Hari Sabtu sesudah kenduri, aku bergegas ke Rumah Anak Yatim Nur Qaseh. Lelah juga aku berkejar dari sana ke mari untuk memastikan aku sempat melihat dan menghantar Alia. Mungkin juga pertemuan ini adalah yang terakhir kalinya untuk aku dan dia. Siapa tahu? Kita manusia hanya mampu merancang. Selebihnya terserah pada Dia. Namun aku amat mengharapkan agar bibit-bibit kemesraan ini akan berkekalan selamanya.
Sewaktu aku tiba, ada dua tiga orang yang telah beransur pulang. Melalui pemakaiannya aku tahu, mereka adalah jemaah masjid. Mungkin dari masjid terdekat. Setelah mereka keluar dari perkarangan rumah, aku segera turun dari kereta dan mengunci keretaku. Aku berjalan terus ke dewan bagi memastikan yang aku tidak ketinggalan untuk berjumpa dengan Alia. Sebaik sahaja sampai di pintu utama dewan, mataku melingas ke sana sini mencari Ustazah Hafiya atau Alia mungkin. Pandanganku tertancap pada Alia yang dikerumuni rakan-rakannya. Disampingnya berdiri seorang lelaki dan seorang perempuan yang berumur kira-kira enam atau tujuh tahun lebih tua dari emak. Lelaki itu tidak dapat pula aku pastikan kerana dia membelakangiku. Aku sedikit tersentak tatkala terasa ada tepukan lembut dibahuku.
“Kenapa berdiri kat sini aje ni Dahlia? Tak nak masuk jumpa Alia ke?” entah dari mana datangnya Ustazah Hafiya secara tiba-tiba dan mengejutkanku.
“Nak masuklah ni kak, cari akak tadi, tak jumpa pula.” kataku sambil mengukir senyum.
“Oh, akak pergi ambil ini kejap.” Diangkat beg kertas berwarna ungu itu di hadapanku. Di tanganku turut terdapat satu beg kertas bewarna merah jambu. Sedikit buah tangan untuk Alia. Aku pasti dia akan menyukainya, lantaran dia pernah bercerita tentang minatnya terhadap buku ini padaku suatu ketika dahulu.
“Dah, jomlah masuk. Boleh kita jumpa Alia.” aku hanya menurut jejaknya masuk ke dalam dewan.
“Makcik Hasnah, saya perkenalkan, ini Dahlia. Dia ini rapat dengan Alia. Alia pun manja dengan Dahlia ni. Kalau dia datang, asyik berkepit aje. Yang ini pula pakcik Alia.” Aku terus tunduk bersalaman dengan nenek Alia. Sebaik sahaja aku mengangkat muka dan memandang pakcik Alia, aku terasa waktu seakan terhenti. Jantungku berdegup kencang. Dia juga seakan terkedu melihat aku. Kami saling memandang. Hanya mata menjadi pengantara. Mulut seolah terkunci sudah. Ya Allah, dugaan apakah ini. Kenapa dalam banyak-banyak manusia, aku boleh bertemu dengannya di sini. Dan yang paling teruk sekali, dia adalah pakciknya Alia. Aduh!
“Huzaifah, kamu kenal ke dengan Dahlia ini?” tanya makcik Hasnah pada anaknya.
“Oh, kami pernah berjumpa sebelum ini ummi. Masa saya berkhidmat di Perak dua tahun lepas.” lembut dia menjawab pertanyaan umminya lantas memandang tepat kepadaku.
“Assalamualaikum Dahlia, lama kita tak berjumpa ya.” tegur Ustaz Huzaifah.
“Waalaikummussalam, hmm…ye Ustaz.” kataku sambil mengangguk. Dia masih terus menerus merenungku. Dalam kalut aku mengalih pandang pada Alia.
“Alia dah nak pergi ya? Ini kak Dahlia bagi barang sikit untuk Alia.” dia memandangku sayu. Terkesankah dihatinya akan  perpisahan kami ini? Aku menahan rasa. Cuba untuk tidak mengalirkan airmata walaupun saat ini dapat aku rasakan kesedihan yang melanda diriku.
“Alia jaga diri baik-baik ya sayang. Kalau ada masa ajak nenek datang sini lagi. Nanti kita boleh jumpa lagi kan.” kataku sambil tersenyum padanya. Aku gagal mengawal airmata bilamana Alia terus memelukku erat sebaik sahaja aku menyudahkan ayat tersebut. Aku membalas pelukannya dengan linangan airmata. Aku cium kedua belah pipinya dan dia membalas ciuman itu.
“Alia, dahlah tu sayang. Pak ngah janji nanti pak ngah akan selalu bawa Alia datang jumpa Kak Dahlia ye?” pujuk Ustaz Huzaifah.
“Janji?” kata Alia pinta pengertian.
“Pak ngah janji. Bila ada masa kita datang jumpa Kak Dahlia, ok?” janji Ustaz Huzaifah membuatkan aku gamam. Kalau dia mengotakan janjinya, bermakna akan ada pertemuan seterusnya antara kami. Aku tidak ambil pusing. Yang penting sekarang adalah memujuk Alia. Dan mungkin Ustaz Huzaifah sekadar menabur janji kosong bagi menutup kesedihan Alia saat ini. Alia lantas tersenyum mendengarnya. Aku turut membalas senyum si comel itu.
“Baiklah Alia, sekarang waktu Asar pun dah masuk. Apa kata kita sama-sama pergi surau dan lepas tu Alia boleh ikut pak ngah dan nenek balik ye.” usul Ustazah Hafiya pula. Alia mengganguk dan kami sama-sama berjalan ke surau. Alia mencangkuk jari kelingkingnya dengan jari kelingkingku. Aku tersenyum memandangnya. Begitu juga Makcik Hasnah.
Seusai solat, aku dekati Makcik Hasnah dan Alia. Setelah bersalaman dan berpelukan, aku meminta diri untuk pulang. Bimbang jika berlama-lama dan menyaksikan sendiri keberangkatan Alia, aku jadi tidak sampai hati pula. Aku berjalan menuju ke keretaku dan setelah hampir, alat kawalan jauh ku tekan.
            “Nak balik dah?” entah dari mana suara itu datang membuatkan aku terkejut. Tapi aku maklum akan pemilik suara itu. Suara yang pernah membuatkan siang dan malamku indah suatu ketika dahulu. Astaghfirullahalazim, aku beristighfar dalam hati. Masih sempat lagi syaitan menglibang-libukan hatiku saat ini.
“Erm..saya..eh..Dahlia, a’ah, nak balik dah Ustaz. Tadi dah cakap dengan emak datang sini sekejapa saja,” entah mengapa sukar benar untukku berhadapan dengan lelaki ini buat masa sekarang. Lantas patah bicara yang keluar pun bunyinya seperti satu macam sahaja.
“ Dan macam biasa Dahlia akan pergi tanpa sepatah kata pun. Tetap nak larikan diri dari saya macam dulu kan? Apa salah yang saya dah buat, Dahlia? Kenapa sampai sekarang pun Dahlia masih nak menjauhkan diri dari saya?” Nah!  Itu dia, seperti peluru pula kurasakan soalan-soalan yang keluar daripada mulut Ustaz Huzaifah saat ini.
“Apa maksud Ustaz ni? Saya tak faham. Dan saya tak rasa saya melarikan atau menjauhkan diri daripada sesiapa pun.” nafiku buat-buat tak faham.
“Saya rasa Dahlia sangat-sangat faham maksud saya tadi. Boleh Dahlia terangkan kenapa?” Dia masih mahukan penjelasan. Dan bagaimana harus aku jelaskan padanya. Ya Allah, bantulah hambamu ini. Takkanlah aku hendak berterus terang bahawa tindakan itu adalah kerana aku mulai sedar yang aku bukan setaraf dengannya. Aku menjauhkan diri kerana aku cemburukan hubungannya dengan Fatanah. Tidak mungkin. Akan aku simpan semua itu kemas dalam kotak hatiku. Berterus terang beerti aku menggantung diriku sendiri. Dalam berkira-kira mencari alasan, Ustaz Fahim menghampiri kami dan menegurku.
“Eh, nak balik dah Dahlia? Kenapa tak tunggu dulu, boleh kita jemaah maghrib dan makan bersama dengan adik-adik nanti.” soalan Ustaz Fahim memutuskan perbualan antara aku dan Ustaz Huzaifah. Syukur, dia datang tepat pada masanya.
“Erm, tak apalah ustaz, saya dah cakap dengan mak nak balik awal tadi. Datang pun nak jenguk Alia saja sebelum dia pergi. Saya minta diri dululah ustaz. Assalamualaikum.” aku terus menghidupkan enjin kereta dan berlalu pergi. Aku tidak lagi menoleh dan memandang ke arah mereka kerana aku sangat yakin yang Ustaz Huzaifah memang tidak berpuas hati dengan caraku yang meninggalkannya dengan tergesa-gesa tanpa menjawab soalannya tadi.
 Sepanjang perjalanan kerumah, aku diamuk resah. Terkenang kembali saat pertemuan kami sebentar tadi. Langsung tidak aku sangka, Ustaz Huzaifah merupakan pakcik kepada Alia. Kalau aku tahu, mungkin aku tidak akan pergi ke majlis itu. Namun apa yang boleh aku lakukan, semuanya berlaku diluar permintaanku dan ia telah pun terjadi. Aku tiada kuasa untuk mengundurkannya kembali. Harapan aku semoga tiada lagi pertemuan antara kami kelak. Cukuplah masa satu jam tadi menjadikan aku nanar dan tidak senang duduk. Sekali lagi aku terpaksa melarikan diri seperti lima tahun dahulu. Ya Allah, kau berilah ketenangan untuk hambaMu ini. Aku pohon bantuanMu Ya Allah. Amin.

 

Aku bersenang lenang di atas katil sambil membaca buku bertajuk 101 Rekreasi Hati: Buat Diriku Yang Mudah Lupa karangan Ustaz Zahazan. Persembahan santai serta humor dan dalam masa yang sama menerapkan ilmu dan pendekatan dakwah untuk pembaca. Aku memang sejak dulu lagi menyukai karangan Ustaz Zahazan ini.

Suara Maher Zain berkumandang di telefon bimbitku menandakan ada mesej masuk. Aku menggapainya dan membuka mesej tersebut.

Assalamualaikum, Dahlia sihat? Alia rindu nak jumpa Dahlia. Bila kita boleh berjumpa?

Tersentak aku membaca mesej itu. Setelah hampir sebulan tiada khabar mengenai Alia dan secara tiba-tiba mesej ini dihantar kepadaku.  Soalannya kini, siapakah yang bertanggungjawab menghantarnya? Makcik Hasnah? Atau Ustaz Huzaifah? Aku jadi takut sendiri. Lantas aku mengambil keputusan untuk membiarkannya sahaja. Setelah dua puluh minit aku menyepi, sekali lagi lagu berkumandang dari telefonku. Namun, kali ini lebih lama menandakan ada panggilan masuk. Tanpa berfikir panjang, aku terus mengangkat panggilan tersebut.

“Assalamualaikum.” kataku memula bicara.

“Waalaikummussalam. Dahlia sihat. Maaf mengganggu ye.” Demi mendengarkan suara itu, aku hampir pengsan. Ustaz Huzaifah? Mana dia dapat nombor telefon aku ini?

“Ha..erm…sihat. Mana Ustaz dapat nombor Dahlia ini?” tanpa berfikir panjang aku terus bertanyakan soalan. Biar kedengaran bodoh, tapi aku perlu tahu.

“Oh, maaflah, saya terdersak. Alia ini dah tiga hari merengek nak berjumpa dengan Dahlia. Tak sampai hati saya tengok. Jadi, saya terpaksa minta daripada Ustaz Fahim nombor Dahlia. Saya harap Dahlia tak marah.”

“Oh, erm..Alia mana? Dia sihat ke ustaz?” Entah bagaimana harus aku lontarkan kata-kata. Soalan apa harus aku tanya pun aku tidak tahu. Aku mendengar dia ketawa kecil. Lucu sangatkan soalan aku tadi?

“Alia sihat. Dia beria benar nak berjumpa dengan Dahlia. Macam inilah, apa kata Dahlia bagi alamat rumah Dahlia dan saya akan bawa Alia kesana. Nak ajak Dahlia datang rumah, ummi pula tak ada. Dia ke rumah makcik saya. Nak berjumpa ditempat lain, tak manis pula kita nak berjumpa di luar bertiga sahaja kan. Maaflah Dahlia, saya tahu agak keterlaluan bila buat perancangan mengejut macam ini, tapi hari ini saja saya free. Takut lama-lama nanti dah tak ada masa pula ”  Wah! Cadangan yang sangat bernas telah dihidangkan oleh Ustaz Huzaifah. Mahu pitam emak kalau perkara ini benar-benar berlaku. Mana tidaknya, kami telah terputus hubungan selama hampir lima tahun dan kini tiba-tiba sahaja dia terpacul depan rumahku membawa seorang budak kecil. Apa pula kata emak nanti. Tapi bila memikirkan Alia dan ini sahaja jalan yang aku ada, aku harus akur. Takkan lah aku hendak mengajak dia berjumpa di tempat lain pula. Lagilah tidak masuk akal. Akhirnya aku bersetuju.

“Baiklah, ustaz boleh bawa Alia datang sini. Dalam pukul 2 petang nanti.” Aku memberi persetujuan dan setelah alamat kuberikan padanya aku mengucapkan salam lalu menamatkan perbualan. Aku terus meluru mencari emak dan memberitahu perihal sebenar. Emak hanya tersenyum meleret mendengar kisah itu.

“Kalau dah jodoh tak kemana, kan Dahlia?”

“Mak, dia datang nak bawa Alia jumpa Dahlia ajelah. Mana ada lebih-lebih. Dia pun entah-entah dah beranak pinak sekarang ini. Lima tahun dah mak, mana kita tahu kan? Tak baik pandang serong niat orang mak.” aku menerangkan kepada emak dan sekaligus membela diri.

“Hmm, betul sangatlah tu. Kalau dia dah berkahwin, kenapa tak diajak Dahlia kerumah dia saja. Bukan salah pun kan.” Aku malas ambil pusing kata-kata emak lalu terus ke dapur untuk menyediakan hidangan makan tengahari. Tepat pukul 2.05 petang, dia dan Alia sampai dirumahku. Aku biarkan ayah dan emak menjemput mereka masuk. Setelah berbual-bual seketika, aku menjemput mereka makan tengahari. Sesudah mengemas meja makan, aku terus menarik tangan Alia untuk naik kebilikku. Sengaja aku merebut peuluang ini untuk bersama dengan Alia dan memberi peluang pada emak dan ayah berbual dengan Ustaz Huzaifah. Pastilah banyak yang ingin dibicarakan lantaran kami telah terpisah lebih 5 tahun. Dan aku, lebih senang menjauhkan diri dari mereka. Cukup ada Alia denganku buat masa ini. Aku terus berbual-bual dan bergurau dengan Alia. Rindu sungguh aku padanya.

Suara emak memanggil Alia menghentikan perbualan kami. Aku menilik jam ditangan dan rupa-rupanya telah hampir dua jam aku bersama dengan Alia. Cepatnya masa berlalu tanpa aku sedari. Terasa seakan belum puas aku bersama dengannya. Aku pimpin tangannya turun kebawah. Ustaz Huzaifah meminta diri untuk pulang kemudiannya. Dia hanya melemparkan pandangannya padaku. Nyata dalam matanya ada rasa tidak puas hati. Pasti kerana aku masih mengelakkan diri darinya. Biarlah, aku cuma tidak mahu merumitkan perasaanku yang telah gundah-gulana sejak hadirnya dia kembali dalam hidupku. Ya, walau telah hampir lima tahun dan aku telah berjaya melupakan dirinya, namun harus aku akui yang aku sebenarnya tidak mampu menipu diri bahawa kini, sejak dia kembali semula, dia telah menyemarakkan rasaku yang satu itu.  Entah bagaimana boleh jadi begitu, aku pun tidak mengerti.

Dan lebih kurang empat puluh lima minit kemudian aku terima mesej darinya yang berbunyi:

Assalamualaikum, kami dah selamat smp rumah. Terima kasih atas segalanya, tapi mengapa perlu melarikan diri lagi, Dahlia?

Aku tidak tahu apa yang perlu aku jawab dan sekali lagi aku rasa berdiam adalah jalan terbaik. Ya Allah, tunjukkan aku jalan yang benar. Seandainya dia bukan untukku, maka jauhkan aku dari perasaan yang satu ini. Bantulah aku menjauhkan diri darinya. Amin. Doaku dalam hati.

Sejak dari hari itu, boleh dikatakan sebulan sekali Ustaz Huzaifah pasti membawa Alia menemuiku. Dan kebanyakan masa hanya emak dan ayah sahaja yang melayannya. Aku pula, lebih senang bersama Alia di dalam bilikku. Sehingga pernah Alia bertanya kepadaku mengapa aku begitu membenci pak ngah nya. Sukar juga untuk aku menjawab soalan itu. Sudahnya aku hanya menerangkan yang agak tidak manis untuk aku selalu berbual-bual dengan pak ngah nya. Nasib baik dia terus mengangguk tanda menerima alasanku.
Emak dan ayah pula kelihatannya sangat menyenangi Ustaz Huzaifah. Sering juga aku dengar pujian-pujian melambung untuknya. Daripada mereka juga aku tahu yang Ustaz Huzaifah masih belum mendirikan rumahtangga. Dia baru sahaja menamatkan pengajiannya iaitu PHD dalam bidang Usuluddin. Dan kini, aku punyai satu lagi sebab untuk membezakan kufu kami. Bertambah yakin lagi yang diri ini sangat-sangat tidak sesuai dengannya. Namun ada juga kadang-kadang emak membuai rasaku dengan pesanan demi pesanan daripada Ustaz Huzaifah. Walaupun aku masih bermain sembunyi-sembunyi, namun dia seperti telah boleh menerima perlakuanku yang satu ini. Mula-mula dahulu kerap dia menunjukkan dan bertanya tentang ‘pengasinganku’. Tetapi, lama-kelamaan dia senyap begitu sahaja seperti sudah maklum akan perangaiku itu. Sehinggalah pada suatu hari sewaktu aku memasak di dapur bersama emak.
            “Tadi pagi, Ustaz Huzaifah ada datang dengan Alia dan umminya.” emak memulakan bicara. Aku hanya diam menunggu butir bicara selanjutnya. Namun dalam hati terselit rasa hairan dengan kunjungan mereka sewaktu ketiadaanku. Emak melemparkan senyum manis.
            “Hm, mereka datang tanyakan Dahlia. Merisik. Emak dengan ayah dah setuju. Tunggu Dahlia punya keputusan saja sekarang ni. Sebab kami tahu Dahlia belum ada sesiapa lagi kan?” Terlepas senduk nasi ditanganku demi mendengarkan ayat dari emak. Aku terkaku seketika. Hatiku dilanda tsunami. Aku beristighfar dan setelah hilang gundah, aku terus membalas kata-kata emak tadi.
            “Mak, tak baik main-main dalam hal macam ni. Takkan lah dia hendakkan Dahlia ni.”
            “Kenapa? Apa yang kurang dengan anak mak ni? Dahlia cukup segalanya. Lengkap pakej untuk jadi seorang isteri. Mak rasa Dahlia memang sesuai dengan dia dan mak tak main-main. Memang dia tanyakan Dahlia dan berniat nak ambil Dahlia jadi isteri dia. Kalau semua setuju, enam bulan dari sekarang, kamu bernikah.”
Aku gamam. Gembirakah aku dengan khabar yang satu ini? Atau perlukah aku melarikan diri lantas menolak rahmat ini? Ya, inilah satu rahmat yang tidak pernah aku sangka menjadi takdir hidupku. Tapi mengapa sedikit rasa suka pun tiada dalam hatiku saat ini? Mengapa hati seolah merusuh apabila mendapat khabar ini? Apa yang perlu aku beritakan pada emak dan ayah tentang keputusanku? Bila mereka sudah bersetuju, apa pula alasan aku untuk menolak? Ya Allah, bantulah hambaMu yang lemah ini. Tunjukkanlah jalan yang benar yang Kau redhai.
           
Setelah seminggu berfikir dan setelah tiga kali menunaikan solat istikharah, aku akhirnya bersetuju. Bila ditimbang-timbang semula, tiada sebab mengapa aku harus menolak. Cuma, hati masih lagi sukar menerima yang aku bakal menjadi isterinya. Dia yang pernah aku cintai sepenuh hati. Dia yang aku sangkakan tidak layak untuk aku gapai cintanya. Dia yang padaku terlalu jauh bezanya. Namun takdir Allah, siapa dapat mengubahnya. Dan dengan izin Ilahi, enam bulan kemudiannya aku sah menjadi isteri kepada Ustaz Huzaifah.
            Siang tadi telah berlangsung majlis akad nikah kami. Majlis yang hanya ada upacara akad nikah dan sedikit sesi bergambar. Bagi kami cukuplah sekadar majlis ringkas yang berlandaskan syariat. Tidak perlu berlebih-lebih kerana padaku, ijab dan qabul yang penting. Setelah berkemas dan semuanya selesai, aku terus mandi dan mengerjakan solat isyak. Suamiku pula mengambil giliran selepasku. Sepanjang hari aku hanya diam. Tidak tahu untuk berbicara dan berkata-kata.
            “Kenapa sembahyang tak tunggu abang? Dan kenapa isteri abang ini senyap aje dari tadi? Dahlia tak suka ke dapat kahwin dengan abang?” dia memula bicara. Tanganku terasa menggigil saat ini. Sungguh, kalau aku boleh lari, aku ingin lari sejauh mungkin.
            “Eh, tak delah. Hm, Dahlia cuma tak tahu nak cakap apa. Semuanya berlaku sekelip mata.  Tiba-tiba saje, ustaz dah jadi suami Dahlia. Dah…” Dia terus meletakkan jarinya ke bibirku sebelum sempat aku meneruskan bicara. Aku terkedu.
            “Bukan ustaz. Abang, panggil abang. Sekarang abang dah jadi suami Dahlia. Abang bersyukur sangat dengan takdir hidup abang sekarang ini. Abang harap kita dapat jalankan tanggungjawab kita sebagai suami isteri dengan baik. Jadi untuk permulaan, kita kena start dengan panggilan manis untuk diri masing-masing. Dahlia kena panggil abang ‘abang’, dan abang akan panggil Dahlia ‘ayang’. Boleh? ” Terasa darah sudah menyerbu ke muka sebaik sahaja suamiku menghabiskan ayatnya itu. Aku tidak mampu menjawab pertanyaannya lantas kepala sahaja aku anggukkan.
            “Ayang dah jadi diam sangat sejak kita berjumpa semula. Banyak benda abang nak tanya ayang, dan kalau ayang terus senyap macam ini, macam mana kita nak berkomunikasi. Boleh tak ayang berkerjasama dengan abang?” pohonnya penuh mengharap. Aku jadi tidak sampai hati. Dan serta merta aku rasa sudah sampai masanya untuk aku berpijak di bumi yang nyata. Mungkin inilah masanya untuk aku leraikan semua kekusutan ini. Lantas aku memulakan bicara.
            “Baiklah, apa yang ustaz, eh abang nak tanyakan pada Dahlia, eh, erm..ayang? tanyaku sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Janggal untuk mengubah panggilan diri. Dia tersenyum memandangku. Senyuman yang sangat menawan. Aku membalas senyumannya.
            “Banyak. Yang pertama, kenapa ayang selalu menjauhkan diri dari abang dulu? Abang ada buat salah ke dengan ayang?” Dia mula mengungkit kisah lima tahun dahulu. Apa yang harus aku jawab kini? Baru aku hendak memulakan bicara, dia telah bersuara kembali.
            “Ayang tahu tak, abang asyik tertanya-tanya kenapa ayang berubah sedemikian rupa? Abang cuba cari silap abang tapi tak pernah berjumpa. Kalau tak dulu ayang suka tegur abang. Pantang nampak, mesti ayang panggil abang. Tapi entah sejak bila ayang berubah, abang pun tak pasti. Abang akui, abang suka perubahan ayang. Ayang dah mula jaga diri, jaga aurat, jaga pandangan. Abang nampak semua tu. Satu pun perubahan ayang tak lepas dari pengetahuan abang walalupun masa itu ayang tak nak langsung bertemu dengan abang. Fatanah takkan lepaskan walaupun satu cerita tentang ayang tau.” Bila nama Fatanah disebut, aku terus mengangkat muka. Hati tertanya-tanya, mengapa perlunya Fatanah menceritakan hal aku kepadanya? Bukankah saat itu mereka sedang memadu kasih?
            “Fatanah? Abang bukan dengan Fatanah ke masa tu? Wazir kata abang dengan Fatanah nak berkahwin, tapi kenapa Fatanah ceritakan pada abang semua pasal ayang? soalku polos.
            “Wazir? Dia ada cakap macam tu ke? Bila?” tanyanya sambil berfikir.
            “Oh, masa yang hari kita nak sambut Maulud Nabi dulu tu ya? Yang masa abang jumpa ayang dekat pondok tu? Wazir main-main sajelah masa tu. Ayang tahu ajelah dia tu kan. Eh, kejap-kejap, jangan-jangan ayang cemburu tak? Dan sebab itu ayang menjauhkan diri daripada abang?” duganya. Dapat aku rasakan mukaku yang sudah merona merah. Mengaku bermakna aku memalukan diriku sendiri.
            “Eh, mana ada. Abang ni pandai-pandai je. Ayang menjauhkan diri sebab ayang rasa ayang ni tak layak bergandingan dengan abang. Abang punya segalanya. Pakej lengkap seorang muslimin sejati, sedangkan ayang masa tu, aurat pun tak tahu nak jaga. Bila Fatanah balik, ayang tahu, abang mesti akan bersama dengan dia. Lagipun pak imam kan berkenan nak abang jadi menantu dia. Manalah abang nak nampak ayang yang macam ini, kan?”
            “ Oh, maksudnya ayang memang cemburulah ye? Cemburukan abang dengan Fatanah?” Aku membuat muka cemberut. Merajuk. Lantas aku memalingkan wajahku ke arah lain.
            “Ok-ok sorry, abang memain aje la. Pandang sini. Dengar apa yang abang nak cakap ni. Sebenarnya memang pak imam tu berkenan nak jadikan abang menantu dia. Tapi, abang tak pernah terlintas pun nak jadikan Fatanah isteri. Macam mana abang nak kahwin dengan orang yang abang tak cintai, sedangkan dalam hati abang ini dah ada satu nama dan tempat istimewa untuk dia. Ayang tahu tak, abang dah mula sukakan ayang sejak ayang tunjukkan perubahan ayang. Abang dapat rasa yang ayang tercipta untuk abang. Tapi abang tak nak la tergersa-gesa, sebab abang rasa abang punya banyak masa lagi untuk itu. Tambahan pula masa tu, kita sekampung. Jadi, mesti tak susah untuk abang. Tapi makin lama abang rasa makin jauh dengan ayang, sampailah hari terakhir ayang kat kampung, abang masih gagahkan juga diri untuk pergi jenguk ayang, tapi ayang pula tak sudi berjumpa dengan abang. Abang sedih sangat masa tu. Tapi abang yakin, kalau dah jodoh tak kemana. Sebab tu lah, lepas je ayang sekeluarga tinggalkan kampung tu, abang ambil keputusan untuk sambung belajar. Ha, kalau ayang nak tahu, waktu tu pun Fatanah dah ada seseorang. Setahun lepas ayang pergi, mereka berkahwin. Sebenarnya, Fatanah tahu perasaan abang pada ayang. Abang selalu sampaikan pada dia dan dia pula selalu bercerita pada abang pasal ayang. Tapi sayang, tuan punya badan tak sukakan kita.” Ucapnya sayu. Aku memandang wajahnya. Sungguh tidak aku sangka, kami berkongsi rasa yang serupa. Dia mengesat airmata yang turun dipipiku dengan wajah sedikit risau.
            “Kenapa ayang menangis ni? Abang ada salah cakap ke? Maafkan abang sayang.” Habis sahaja dia mengucapkan maaf, dia terus merangkul tubuhku. Hanya kesalan yang bermukim dihatiku. Airmata seolah tidak mahu berhenti. Alangkah indahnya kalau aku ketahui hakikat ini lima tahun dahulu. Pasti kini kami sedang diulit bahagia.
            “Dah-dah. Abang nak ayang berhenti menangis. Tak ada apa yang hendak disedihkan lagi. Sekarang kita dah bersatu. Lepas ni jangan jauhkan diri lagi ya sayang. Nanti abang pula yang menangis.” guraunya. Aku melepaskan pelukan dan tersenyum ke arahnya.
            “Ayang sayangkan abang. Dulu ayang ingat kita tak ada jodoh, sebab mak kata lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik. Ayang tak sesuai langsung untuk abang.” Dia seperti terkejut mendengar pengakuan dariku. Sungguh, aku menyatakannya daripada lubuk hati yang paling dalam. Demi mendengarkan pengakuannya sebentar tadi, aku tahu, tidak salah untuk aku berkongsi dengannya perasaan yang pernah aku alami satu ketika dahulu.
            “Sayang, ajal, maut, jodoh pertemuan semua ditangan Nya. Rasa cinta abang untuk ayang telah wujud lama dulu. Cinta itu makin mendalam bila abang tengok cara ayang layan Alia. Abang tahu abang tak salah pilih. Hanya ayang yang layak untuk abang jadikan isteri. Abang harap sangat yang cinta kita ni kekal di dunia dan akhirat. Semoga kasih sayang kita berpanjangan hingga ke syurga. Abang cintakan ayang sepenuh hati. Abang janji akan jaga dan cintai ayang dan juga anak-anak sepanjang hayat abang. Hanya Allah yang dapat memisahkan kita. InsyaAllah. ” Sekali lagi aku dibawa ke dalam pelukannya. Kali ini lebih erat.
Aku mengucap syukur dalam hati. Siapa sangka, akhirnya kami bersatu jua. Sesungguhnya ketentuan Allah itu adalah yang terbaik. Inilah takdir yang terindah buatku. Hadirnya seakan telah melengkapkan dan menyempurnakan hidupku. Dia satu anugerah buatku. Kurniaan dari Ilahi. Semoga kasih sayang kami sentiasa mekar dan kekal dalam rahmat Allah. Amin.
TAMAT

8 comments:

lina said...

ok la cute jugak

tp mcm meleret sikit

fatin atihah said...

senyum sendiri ah.. best! :)

umi kalsom said...

best! :)

Anonymous said...

Terbaekk la ! Thumbs up to the writer ! Sangat berbakat . Hihi ~

[syaza]

dri_eni said...
This comment has been removed by the author.
ija zuana said...

Terbaik la wok...hrap2 bkat akn trun kt adk2...hehehehe The Best..

Are Ku said...

Alhamdulillah....
Best!!... ada campuran hindustan n KD skit hehehe
tahniah... tak malu untuk menang okeh!! tak pernah tahu pun ada pertandingan macam nieh hehehehe... keep up ur good work my dear!!

Are Ku said...

okeh pas ni ur turn... make sure join next round okeh!!...

Post a Comment