Friday, November 11, 2011

Jangan Jatuh Cinta - Bab 1


1
MASUK saja dalam rumah teres dua tingkat itu, aku terus di bawa ke ruang tamu. Pak Lang dan Mak Lang tidak henti-henti tersenyum memandangku sejak mereka menyambut kedatanganku di KLIA lagi. Mungkin terlalu gembira menerima aku sebagai tetamu dalam rumahnya ini. Setidak-tidaknya, senyuman mereka itu membuatkan hatiku menjadi sedikit lega. Mana tidaknya, aku akan menumpang untuk satu jangka masa yang lama di sini. Mujur Pak Lang dan Mak Lang yang merupakan sepupu kepada ayahku mengizinkan aku menetap di rumah mereka sepanjang tempoh aku menjalani latihan praktikal di Kuala Lumpur ini. Jika tidak, entah dimana aku mahu tinggal.
“Ana ingat lagi tak dengan rumah ni?” Pak Lang meletakkan kunci kereta miliknya di atas meja kopi.
“Ingat, Pak Lang.” Jawabku ringkas bersama senyuman kecil. Mana mungkin aku lupakan rumah itu walaupun sudah banyak perbezaannya. Lima belas tahun terpisah jauh dari rumah itu tidak langsung membuatkan aku menjadi lupa pada semua kenangan yang ada.
Aku masih ingat setiap ruangan yang menempatkan kenanganku bersama Abang Naim. Zaman kanak-kanak yang tidak pernah lekang dari ingatanku. Naim Zulkarnain! Lelaki itulah yang amat aku kagumi sejak kecil. Dia pakar dalam semua perkara. Ketika rantai basikalku tercabut, dialah yang membetulkannya semula. Di saat aku menangis, dialah yang memujuk jiwa dengan menghadiahkan lolipop kepadaku. Pada waktu aku terjatuh dan tercedera, dialah doktor pakar yang selalu memberikan rawatan segera. Jadi amat mustahil untukku meninggalkan semua memori indah dahulu.
“Tak payahlah nak malu-malu dengan Pak Lang dan Mak Lang, Ana. Kamu dah macam anak kami sendiri.” Pak Lang mula bersuara sebaik saja duduk di atas sofa.
“Betul tu, Ana. Tak ada apa yang nak dimalukan. Buatlah rumah ni, macam rumah Ana sendiri.” Sambung Mak Lang, melengkapkan maksud Pak Lang.
“Terima kasih Pak Lang, Mak Lang.” balasku penuh kesyukuran di dada.
“Ana duduk dulu, ya. Biar Mak Lang ke dapur sekejap, buatkan ai.r” Mak Lang mula bangun dari duduknya yang tidak lama mana.
“Biar Ana tolong.” aku juga bingkas bangun. Tidak elok menjadi puan besar dalam rumah yang mana aku duduk menumpang di dalamnya.
“Eh, tak payah. Ana duduk aje, berehat dulu. Lama duduk dalam kapal terbang tu, mesti letihkan. Biar Mak Lang yang buatkan.” Mak Lang enggan membenarkan aku membantunya.
“Iyalah, Ana. Kamu duduk aje sini, temankan Pak Lang. Boleh kita berbual panjang. Lagipun dah lama Pak Lang tak berbual. Nak harapkan Abang Naim kamu tu, tak ada maknanya. Sejak kerja, bukan main sibuk lagi dia. Mengalahkan tokoh korpora.t” Pak Lang menggeleng-gelengkan kepala.
Aku tersentak saat nama Abang Naim keluar dari mulut Pak Lang. Nama itulah yang aku mahu dengar khabarnya sejak dari tadi. Namun tidak ada seorangpun yang bersuara, berceritakan tentang diri Abang Naim. Apa khabar agaknya Abang Naim? Bagaimana dia kini? Masih ingatkah dia padaku? Soalan-soalan itu bermain-main di benak fikiran. Rasa tidak sabar bertemu dengan Abang Naim. Secara jujurnya, aku amat merinduinya. Sejak berpisah dengan Abang Naim dahulu, hatiku menjadi kosong, dan kekosongan itu tidak pernah terisi sehingga ke hari ini.
“Abang Naim kerja apa sekarang, Pak Lang?” soalku, cuba membuka lembaran kisah Abang Naim yang sudah lama tidak aku ketahui.
“Abang Naim kamu dah jadi kaunselor sekarang!” Pak Lang membuka kisah.
“Kaunselor? Wah, hebat ya Abang Naim tu, Pak Lang, Aku terkejut menerima perkhabaran itu. Kaunselor! Memang sesuai dengan diri Abang Naim.
“Dah rezeki dia, Ana” Pak Lang memperlihatkan senyumannya. Pasti dia berbangga mempunyai anak seperti Abang Naim.“Hah, yang Ana ni, praktikal kat company mana pula? Bila mulanya?”
“Esok dah mula, Pak Lang. Company kecil aje. Buat kerja-kerja printing.” Balasku.
“Tak apalah, cari pengalaman dulu. Kerja kat mana-mana pun sama aje, Ana. Yang penting niat kita betul,” Pak Lang memberikan nasihat.
“Iyalah Pak Lang, Ana pun tak kisah juga sebenarnya. Inipun mujur kawan Ana tolong dapatkan tempat kat company abang dia. Kalau tidak, tak tahulah Ana nak praktikal kat mana.” aku mula bercerita.
“Dah memang takdir, Ana kena praktikal kat KL ni. Adalah hikmahnya tu.” Pak Lang masih meneruskan bicara. “Habis tu, esok nak ke sana macam mana? Nak Pak Lang hantarkan?” Pelawaan itu dibuat oleh Pak Lang.
“Eh, tak apalah, Pak Lang. Ana naik PUTRA LRT ajelah.” Aku menolak bantuan yang ingin Pak Lang hulurkan. Bukan apa, aku tidak mahu terus menyusahkan orang-orang di dalam rumah itu. Dapat tumpang tinggal di situ saja sudah amat aku bersyukur dengannya.
“PUTRA LRT? Ana tahu ke?”
“Insya’Allah, Ana tahu, Pak Lang. Lagipun kawan Ana dah bagi Ana kursus dulu dah sebelum Ana sampai sini. Tak ada masalah rasanya.”
“Ikut suka Analah. Tapi kalau perlukan apa-apa, jangan segan-segan pula nak bagi tahu Pak Lang.”
“Terima kasih, Pak Lang.” Aku terus tersenyum.

AKU membelek satu persatu pakaian yang ada di atas katil. Esok merupakan hari pertama aku menjalani latihan praktikal. Aku tahu, aku harus berpenampilan kemas. Tapi aku runsing, pakaian bagaimana yang perlu aku pakai? Kata pensyarah, first impression sangat penting! Jadi, adakah itu bermakna aku harus berpakaian formal? Aku mula kusut. Hendak menghubungi Fina, telefon bimbitku kehabisan kredit pula.
            “Argh... pakai ajelah baju kurung ni, habis cerita.” aku sudahnya mencapai baju kurung hijau berbunga jingga. Malas mahu memikirkan apa-apa lagi. Setelah tekad dengan keputusan itu, aku kembali menyusun pakaian-pakaian yang tadinya aku lambakkan di atas katil itu. Satu persatu aku sangkut pada penyangkut baju yang tersedia ada di dalam almari kayu yang kosong.
            Selesai menyudahkan kerja-kerja mengemas baju. Aku terus saja keluar dari bilik untuk bertemu dengan Mak Lang bagi mendapatkan seterika. Aku mahu bersiap lebih awal. Tidak mahu terkocoh-kocoh esok hari. Perlahan-lahan aku bawa kaki menuruni anak tangga. Melilau mataku memandang ruang tamu. Namun tidak ada sesiapa di situ. Aku teruskan juga langkah untuk menjejaki Mak Lang. Di dapur juga Mak Lang tiada, jadi di mana mereka? Mungkin di dalam bilik, dugaku.
            Aku matikan niat untuk terus mendapatkan Mak Lang. Mustahil bagiku untuk mengetuk pintu bilik Mak Lang. Tidak mahu menjadi pengganggu. Sudahnya, aku rebahkan punggungku di atas sofa. Berehat seketika. Sempat juga mataku memandang jam besar pada dinding rumah. Hampir pukul 10.30 malam. Nampak gayanya, aku harus bangun lebih awal esok hari. Keletihan tiba-tiba saja terasa. Lantas aku baringkan diri di atas sofa itu. Malas pula mahu melangkah, menaiki anak tangga untuk menuju ke bilik.
            “Macam manalah dengan esok...” omelku sendiri. Tiba-tiba saja ada gentar menemani hati. Lebih-lebih lagi apabila terfikirkan semua peringatan yang Fina berikan tentang abangnya, merangkap bosku nanti.
            “Baik aku test, macam mana nak perkenalkan diri esok. Tak adalah gabra nanti.” aku tersenyum.
            Hello everybody. My name is Marina and you all can call me, Ana.  Aku terdiam seketika. “Alahai, macam pelik aje, bunyinya. Cakap Melayu dahlah!” aku membuat penilaian sendiri. “Cuba sekali lagi.”
            “Assalamualaikum semua. Nama saya Marina, boleh panggil saya, Ana je.” kali ini aku tersenyum. Amat berpuas hati.
            “Wa’alaikumusalam.”
            Aku tersentak apabila mendengar salam yang tidak aku berniat tujukan kepada sesiapa itu, bersambut. Dengan pantas aku bangun daripada pembaringan dan menoleh ke arah suara yang kedengaran jelas itu.
            “Nama saya Naim Zulkarnain, Ana boleh panggil saya, Naim.”
            “Abang Naim!” aku terkejut. Tidak pasal-pasal nama itu meluncur keluar dari mulutku.
            “Abang Naim? Erm... okey juga panggilan tu,” Abang Naim tersenyum nipis bersama mukanya yang bersahaja. “Okeylah, Abang naik dulu.” Abang Naim akhirnya terus berlalu begitu sahaja.
            “Abang Naim!” Pantas nama lelaki yang amat aku rindu itu, aku panggil. Abang Naim kembali menghentikan langkahnya, menolehkan kepala, memandangku.
            “Abang Naim, ingat Ana lagi tak?” dengan berani aku bertanyakan tentang itu. Sekadar ingin mengetahui apakah namaku masih tersimpan dalam memorinya.
            “Ana, budak manja yang selalu menangis tu, ke?” Abang Naim tersenyum lagi.
            Aku terkedu. Ternyata dia masih ingat padaku.
            “Abang naik dulu. Have a good rest.
            Aku menganggukkan kepala. Hanya isyarat itu  yang dapat aku berikan sebagai balas kata. Hati berbunga bahagia. Sangat gembira kerana Abang Naim masih mengingatiku, sama seperti aku mengingati dirinya. Seorang lelaki yang akan sentiasa aku kagumi.

PAGI-PAGI lagi, Fina sudah menghubungiku. Mengingatkan tentang itu dan ini. Kerisauan yang dia tunjukkan membuatkan aku benar-benar terharu. Dia kawan baikku, dan akan kekal menjadi kawan baikku buat selama-lamanya. Hakikat yang tidak mungkin dapat diubah.
            “Abang aku tu, lain macam sikit orangnya. Kau jangan kecil hati pula.” Fina tidak henti-henti memberikan amaran.
            “Lain macam apanya? Abang kau ada tiga kepala macam raksasa dalam cerita Ultraman tu, ke? Atau dia ada kuasa sakti yang boleh buat aku menangis tak henti-henti?” aku gelak. Sedikit pun tidak mengambil serius kata-kata Fina.
            “Main-mainlah kau, nanti dah kena, baru kau tahu langit tu tinggi ke, rendah. Masa tu nanti, kau jangan kata aku tak pesan apa-apa pula.” Fina masih serius dengan katanya.
            “Alah Fina, janganlah marah. Aku bukan apa... hari tu, kau yang cakap kat aku yang abang kau tu jenis yang pendiam, tak banyak cakap dengan orang lain. Hari ni, kau cakap lain pula. Mana satu yang betul ni?”
            “Memanglah abang aku tu spesis yang pendiam. Tapi kalau dia dah start bercakap, boleh bernanah telinga orang yang mendengarnya, kau tau tak!” Fina menjelaskan.
            “Alah, tak ada hallah. Pandai-pandailah aku nanti. Lagipun, orang yang pendiam ni, senang nak handle,” aku cuba menyakinkan Fina.
            “Pandai-pandai kaulah. Tapi jangan jatuh cinta dengan abang aku, sudah! Pantang datuk, nenek, moyang aku, kalau kawan aku, suka kat abang aku.” sempat juga Fina memberikan peringatan sama, yang pernah diperdengarkan padaku dulu.
            “Alah tak ada maknanya. Kalau jenis pendiam macam tu, jangan kata jatuh cinta, jatuh suka pun belum tentu.” Dengan yakin aku melafazkan kata-kata itu.
            “That’s good! Okeylah, jalan elok-elok. Apa-apa hal nanti kau contact aku!”
            “Okey, adik bos!” Talian dimatikan sudahnya. Kemudian aku memasukkan telefon bimbitku itu ke dalam beg tangan yang tidak berjenama yang sempat aku beli sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.
            Setelah menyarungkan jilbab jingga di kepala. Aku segera keluar dari bilik dan bergegas menuruni anak tangga. Pak Lang, Mak Lang dan Abang Naim sudah mula menikmati hidangan sarapan pagi sewaktu aku turun. Lantas aku mengambil tempat duduk di sebelah Mak Lang setelah diarahkan oleh Pak Lang.
            “Takkan tengok aje, makanlah, Ana.” Mak lang mula menuangkan teh ke dalam cawan. Cawan teh itu kemudiannya diserahkan padaku.
            “Terima Kasih, Mak Lang.” aku menyambut cawan teh yang dihulurkan itu.
            “Naim, alang-alang kau nak pergi kerja ni, kau tolong hantarkan Ana kat stesen PUTRA sekali, boleh? Takkan kita nak biarkan Ana jalan kaki. Ana bukannya biasa lagi dengan tempat ni.” Pak Lang mengarahkan Abang Naim.
            Pantas mata Abang Naim memandangku. Kemudian dia mengerling jam ditangannya. Aku pula kelu. Mencari kata untuk menolak cadangan Pak Lang itu. Daripada pemerhatianku, dapat aku rasakan yang dia sebenarnya keberatan untuk menumpangkan aku. Mungkin dia sendiri sudah terlewat.
            “Boleh tak ni?” Pak Lang bertanya sekali lagi.
            “Tak apalah Pak Lang. Biar Ana jalan kaki aje. Lagipun, bila lagi Ana nak biasakan diri dengan kawasan sini,” aku terlebih dahulu bersuara. Tidak mahu menyusahkan Abang Naim mahupun sesiapa. Mujur ada juga alasan yang muncul di minda.  
            “Biarlah Ana belajar berdikari, ayah. Lagipun dia dah besar. Dia tahulah nak jaga diri.”
            Jawapan yang Abang Naim berikan membuatkan aku tidak tertelan roti bakar yang sudahpun aku kunyah lumat itu. Rasanya, Abang Naim di hadapanku kini, bukan lagi Abang Naim yang pernah aku kenal dulu. Tiba-tiba sahaja ada rasa sedih di hati. Kerinduan pada Abang Naim yang selalu menjadikan aku sebagai keutamaannya muncul kembali. Ternyata masa telah merubah segalanya.
            “Ana pergi dulu ya, Pak Lang, Mak Lang.” pantas aku bangun, bersalaman dengan kedua orang tua itu, mahu segera bergerak meninggalkan meja makan. Bukan merajuk pada sesiapa, namun situasi sebegitu hanya menjerat diriku sendiri. Risau jika kehadiranku hanya menimbulkan rasa susah mereka.
            “Biar Pak Lang hantarkan Ana, ajelah.” Pak Lang mula berdiri.
            “Eh, tak apalah Pak Lang. Ana memang nak pergi sendiri. Pak Lang tak payah susah-susah. Betul cakap Abang Naim, Ana kena belajar berdikari,” aku tidak membenarkan Pak Lang meneruskan niatnya. “Ana pergi dulu ya, assalamualaikum.” kakiku melangkah laju, meninggalkan mereka semua. Aku berharap, semoga itu merupakan kali pertama dan kali terakhir situasi sebegitu terjadi padaku.

AKU memandang bangunan kedai tiga tingkat di hadapanku itu. Papan tanda yang tertulis perkataan Arena Printing Enterprise jelas kelihatan pada lot kedai paling hujung. Aku kembali melipat kertas yang terlakar peta perjalanan dari Stesen Masjid Jamek hinggalah ke bangunan berwarna merah bernyala itu. Tepat sekali lakaran Fina. Langsung aku tidak sesat. Bangunan merah bernyala itu masih aku renung. Sudah kelihatan sepert balai bomba sahaja. Mengenangkan itu, aku ketawa sendirian.
            Setelah menarik nafas panjang, aku mula melangkah menghampiri bangunan itu. Aku ingin terus masuk ke dalam bangunan Arena Printing Enterprise, namun laluanku di halang oleh seorang lelaki yang begitu khusyuk membaca akhbar di hadapan pintu kaca syarikat itu. Mungkin pengawal keselamatan di situ.
            “Assalamualaikum encik, tumpang lalu, boleh?” akhirnya aku bersuara. Tidak sanggup berdiri lebih lama di situ.
            Lelaki berpakaian serba hitam itu menghentikan bacaannya. Surat khabar yang tadinya menutup wajahnya, kini tidak lagi menjadi penghalang. Wajah lelaki itu jelas kelihatan. Dia hanya memandangku tepat, dari atas hingga bawah. Berulang kali dia memandangku begitu, membuatkan aku rasa tidak selesa.
            “Kenapa encik pandang saya macam tu? Saya pakai baju terbalik, ke?” soalku, sengaja menyedarkan dirinya bahawa pandangannya itu merimaskan diriku.
            “Kau siapa?” lelaki itu kembali menyoal.
            Aku tersentak. Kasar sungguh bahasa lelaki itu. Sudahlah pakaian macam orang jahat. T-shirt hitam, jeans hitam, Kasut hitam. Perangai pun hitam juga. Dah sah-sah gelap masa depan!
            “Encik ni siapa pula? Tiba-tiba aje nak tanya saya siapa, apa hal?” Aku tunjuk garang. Sama seperti pesan emak. Perlu berhati-hati dengan sesiapa pun juga. Lelaki itu tidak mampu membalas kata-kataku. Jadi, kemenangan berpihak padaku.
            “Apa kes ni?” tanya seorang lagi lelaki yang tiba-tiba saja muncul di situ.
            Aku jadi cuak seketika. Mana tidaknya, dibuatnya lelaki yang satu itu pun bersekutu dengan lelaki serba hitam itu, mahu nahas aku jadinya.
            “Joe, kau tolong settle budak ni. Menyemak aje!” lelaki serba hitam itu terus saja berlalu pergi setelah mengeluarkan arahan itu kepada lelaki yang seorang lagi.
            Aku hanya mampu memandang lelaki itu pergi dengan penuh rasa marah. Boleh pula dia kata aku menyemak! Hatiku betul-betul sakit. Kurang ajar sungguh! Jerit hatiku.
            “Adik ni, nak cari siapa?”
            Pandanganku pada lelaki yang tidak aku tahu namanya itu mati begitu saja apabila lelaki yang bernama Joe itu memulakan pertanyaan.
            “Saya student praktikal kat sini. Saya nak daftar diri, jadi boleh saya jumpa dengan Encik Muhammad Afdhal?” Aku segera mengeluarkan fail dari dalam beg tanganku. Surat pengesahan penerimaan dan penempatan praktikal aku tarik keluar dari dalam fail, lalu aku menyerahkannya kepada Joe sebagai bukti.
            “Lah... kenapa tak cakap dari tadi?” Joe tersenyum.
            “Kenapa pula encik?” aku bertanya apabila rasa tidak sedap hati mendengar nadanya itu.
            “Yang tadi tulah, Encik Muhammad Afdhal.” 
            “Hah?” Fail di tanganku, terlepas dengan serta merta. Rasa seperti tidak mahu percaya dengan apa yang baru saja aku dengar. “Betul ke ni, encik?” walaupun aku sudah mengetahui hakikatnya, tapi aku tetap mahu bertanya sekali lagi.
            “Iya, betul. Dah, tak payah nak formal sangat kat sini. Panggil Abang Joe pun dah kira okay. Tak payah nak berencik-encik! Kerja kat sini tak payah nak berprotokol, redah aje. Apa-apa hal pun, jom kita bincang kat dalam office.” Joe membuka pintu kaca seluas-luasnya setelah mengutip failku di atas lantai kaki lima. Setelah fail itu dikembalikan kepadaku, Joe mempersilakan aku masuk ke dalam pejabat.
Dengan hati yang berat, aku melangkah juga. Muhammad Afdhal? Tidak sesuai sungguh nama itu dengan dirinya! Aku tahu, aku akan berhadapan dengan masalah besar di situ. Aku menampar pipiku perlahan, memang sengaja mencari nahas! Habislah...

Bersambung....

P/S : Alhamdulillah akhirnya sempat juga AH postkan first entry utk e-novel terbaru AH. Harap sudi utk terus mengikuti kisah ini. Thank to all...

4 comments:

cactaceous opuntia said...

adoi...first day da gaduh ngn bos ni..adei..si afdhal tu pn awat serius beno...fina betul2 serius ke yg die kate pntg kwn2 die suke kt abg die?awat?uih2

Anonymous said...

tak sabar nak tunggu lanjutan citer ni..
salam
kak idA

Anonymous said...

errrmmmm.....@bluescarf

blinkalltheday said...

synopsis cite ni pasal ape ea adah??

Post a Comment