Friday, November 4, 2011

Ada Di Hati - Bab 29


BAB DUA PULUH SEMBILAN
            “Macam mana semalam?” Soalan pertamaku pada Zafril. Zafril kelihatan begitu tekun dengan pemanduannya. Perjalanan menuju ke rumah Shania untuk menjemputnya berjalan dengan lancar pada ketika ini. Ingin bersama-sama menuju ke majlis perkahwinan Amy.
            “Macam mana apa?” Zafril mengerling padaku seketika.
            “Macam mana Nia dengan makcik semalam? Okay ke?” soalku semula. Alhamdulillah akhirnya Shania setuju dengan cadanganku dan mak lang supaya dia berjumpa dengan orang tua Zafril yang juga ibu saudaranya. Dan malam semalam mereka sekeluarga bertemu semula. Aku mahu tahu kisah di sebalik pertemuan itu.
            “Makcik? Makcik mana?” Zafril masih tidak memahami pertanyaanku.
            “Makcik Hasnahlah, mama Zaf.” Terus sahaja aku menerangkan.
            “Oh... tapi kenapa Safi panggil mama Zaf, makcik?”
            “Laaa... Kalau tak panggil makcik nak panggil apa pula?” laju aku bertanya, tidak mahu bertangguh lagi. Aku sudah tidak sabar mahu mengetahui cerita mereka semalam.
            “Panggillah mama, mama Zaf kan mama Safi juga.” Usik Zafril tiba-tiba.
            “Ish, Zaf ni main-main pula, Safi tanya betul-betul ni.” Aku menarik muka masam. Sebenarnya aku sedang melindungi rasa malu dalam hati.
            Zafril ketawa besar mendengar rajukku. “Alhamdulillah semua okay. Shania pun bukan main rapat lagi dengan mama. Rasanya dah tak ada apa-apa masalah lagilah lepas ni.” Akhirnya dia bercerita juga apa yang ingin aku ketahui.
            “Alhamdulilah, harap-harap lepas ni Nia dah lupakan semua perkara-perkara lama tu.” Aku mula tersenyum.
            “Zaf pun harap macam tu juga.” Zafril turut tersenyum padaku.
Aku benar-benar berharap Shania akan melalui hari-hari yang lebih ceria selepas ini. Aku tahu sejak dari kecil lagi dia berendam dengan air mata walaupun di hadapan kami dia berlagak ceria dan cuba menjadi gadis yang periang. Aku mahu dia gembira dan aku yakin selepas berjumpa dengan Zafril dan keluarga Zafril dia akan menjadi gadis yang lebih ceria selepas ini.
Zafril membunyikan hon kereta bertalu-talu di hadapan rumah Shania, namun bayang-bayang Shania masih tidak kelihatan. Sudah hampir lima minit kami menunggu di sini.
“Zaf, Safi masuk sekejaplah, panggilkan Nia.” Aku memberi cadangan, takut pula ada apa-apa terjadi padanya dengan pintu rumah yang terbuka luas sejak aku sampai tadi.
Setelah Zafril menganggukkan kepala, kakiku pantas keluar dari kereta dan terus masuk ke dalam rumah teres dua tingkat itu. Laju kakiku membawa aku menuju ke bilik Shania. Aku nyari-nyaris bertembung dengannya yang tergesa-gesa hendak keluar dari biliknya. Kami sama-sama terkejut kecil.
“Sorry kak, lambat sikit.” Terus sahaja Shania meminta maaf sebelum sempat aku membuka bicara. “Nia dan siap, jom.” Shania menarik tanganku sama-sama keluar dari kereta.
“Mak lang mana?” soalku ketika Shania sedang mengunci pintu pagar.
“Dah keluar, jumpa kawan.” Jawab Shania sebelum terus membuka pintu kereta penumpang hadapan dan terus melangkah masuk.
Melihat Shania yang meluru masuk ke dalam kereta, Zafril pantas memandangku. Matanya dan mataku bertentangan seketika. Dia kelihatan serba salah tika ini. Aku melemparkan senyuman padanya dan terus masuk ke dalam kereta di penumpang belakang. Biarlah Shania duduk di situ.
MAJLIS persandingan amy begitu meriah sekali, gabungan warna merah dan putih begitu menambat hatiku. Setelah bertemu dengan pasangan pengantin dan menghulurkan hadiah yang sudah siap dibalut rapi aku, Zafril dan Shania terus menuju ke ruang bufet yang tersedia di dewan orang ramai. Di saat itu aku merasakan sedikit terpinggir. Shania lebih banyak berbual dengan Zafril sepanjang masa. Hanya sesekali sahaja aku disapa oleh Zafril dan Shania. Oleh itu, kebanyakkan masaku hanya dihabiskan dengan memerhati kawasan sekeliling dan para jemputan.
Sewaktu kebosananku sampai pada tahap kemuncak, mujur aku terpandang Kak Ros  bersama dua orang anaknya yang sedang menjamu selera. Tanpa membung masa, aku terus sahaja menuju ke meja yang dihuni Kak Ros di hujung dewan. Aku berlalu begitu sahaja tanpa memberitahu Zafril atau Shania terlebih dahulu kerana aku tidak mahu menganggu perbualan dua saudara yang begitu rancak sekali.
“Husband Kak Ros mana?” tanyaku sebaik sahaja melabuhkan punggung di sebelah Kak Ros. Sempat juga aku mengusap rambut anak Kak Ros yang berumur tujuh tahun, yang masih leka menjamu nasi minyak di hadapannya.
“Outstation. Asyik outstation aje kerjanya. Kadang-kadang bengang juga.” Bebel Kak Ros sambil menolak pinggan yang telah kosong ke hadapan.
“Dah kerja nak buat macam mana kak. Lagipun kalau tak kerja tak adalah pula duit untuk akak pergi shopping hujung bulan ni.” Sengaja aku megusik apabila melihat Kak Ros yang makin panjang muncungnya.
“Amboi, bukan main lagi kau membela dia ye. Esok-esok kalau kau dah kawin, lepas tu laki kau tu asyik outstation, baru kau tahu apa yang akak rasa sekarang ni.”
Aku tergelak mendengar kata-kata Kak Ros. Nampaknya marah betul dia pada suaminya kali ini. Geli hatiku melihat mukanya yang masam mencuka. Tiada langsung masnis mukanya seperti selalu di pejabat.
“Mama nak pergi toilet.” Rengekkan anak bungsu Kak Ros mematikan tawaku.
“Safi tolong tengokkan Hani dulu ye. Akak nak bawa Hadi pergi toilet sekejap.”
Aku tersenyum dan Kak Ros terus bangun membawa anaknya keluar dari dewan. Aku masih memerhati gelagat dua beranak itu yang terkejar-kejar keluar dari dewan.
“Kenapa tukar tempat?”
Terkejut aku, fobia apabila mendengar suara lelaki yang betul-betul berada disebelahku. Pantas aku menoleh padanya yang sudahpun mengambil alih tempat duduk Kak Ros sebentar tadi.
“Kenapa tukar tempat?” Soal Zafril sekali lagi apabila aku seperti enggan menjawab soalannya.
“Saja tak nak kacau Zaf berbual dengan Nia.” Balasku sambil memandang Amy dan suaminya yang sedang bersanding di atas pelamin. Lagu-lagu pengantin jelas kedengaran di setiap ruangan dewan dan tetamu pula silih berganti menepung tawar pengantin di atas pelamin.
“Majlis kahwin kita nanti, Safi nak guna tema warna apa?”
Terkedu aku mendengar soalan Zafril. Entah kenapa dalam banyak-banyak soalan di dunia ini, soalan itu yang terkeluar dari bibirnya ketika ini. Aku merenung Zafril yang masih lagi setia memandangku tanpa berkelip.
“Ish, perasan, siapa nak kahwin dengan Zaf.” Selorohku untuk melindungi rasa terkejutku tadi.
“Yelah siapalah nak kahwin dengan Zaf ni. Orang kat sebelah Zaf ni pun kalau diacu senapang M16 sekalipun kat kepala tu, belum tentu dia sudikan.” Katanya sambil matanya telah tertumpu ke hadapan memandang pelamin merah yang tersergam indah.
Aku tersenyum simpul mendengar kata-katanya. Terasa hatikah dia dengan kata-kataku tadi? Atau mungkin tersinggungkah perasaannya denga kata-kata yang pernah aku katakan padanya sewaktu di majlis perkhwinan kakak Fuad enam ahun lalu?
“Zaf ingat lagi kata-kata Safi dulu?” aku cuba menyingkap semula kisah kami enam tahun lalu. Pada awal pertemuan dan perkenalan aku dan dirinya yang penuh dengan rasa benci dalam diriku.
Zafril merenungku kembali sebelum memulakan kata. “Bukan hanya kata-kata, semua benda pasal Safi, Zaf masih ingat. Tak pernah sekalipun Zaf lupa.”
Aku tersenyu mendengar jawapan Zafril, aku yakin dengan kata-katanya. Sepanjang enam tahun terpisah dia masih mengingatiku dan tidak pernah melupakanku. Tapi aku pula sepanjang enam tahun itu, tidak pernah sekalipun wajah itu dikenang olehku dan tidak pernah sekalipun namanya meniti lagi di bibirku. Dahulu aku terlalu tidak menyenanginya sehingga tidak pernah terlintas bahawa lelaki itu akan menakluki hatiku suatu hari nanti.
“Kalau safi nak guna warna oren untuk majlis kahwin kita nanti, Zaf setuju tak?” luahku apabila mataku bertentangan semula dengan matanya. Jingga memenag warna kegemaranku dan sejak dahulu aku memang mahu mengabadikan warna itu pada majlis bersejarahku dengan bakal suamiku.
Hatiku bertambah girang apabila senyuman Zafril mula mekar dan pantas dia menganggukkan kepala menyatakan persetujuannya denagn pemilihan warna yang telah aku lakukan. Aku turut tersenyum lebar melihat reaksi yang dia berikan.
“Eh, you pun ada sekali Zaf?” tiba-tiba Kak Ros muncul dan mengambil tempat duduk yang masih kosong di sebelah Zafril, anaknya Hadi diletakkan di atas pangkuannya.
“You datang berdua dengan Safi ke?”
“Taklah, datang bertiga dengan Shania sekali.” Jawab Zafril sambil menghulurkan tangannya pada Hadi dan mengambilnya dari Kak Ros.
“Dah tu mana Shanianya?”
Mendengar soalan Kak Ros itu membuatkan aku turut berfikir di manakah Shania kini. Mataku mula melilau di sekitar dewan mencari-cari kelibat Shania.
“Entah, tadi kata nak pergi toilet sekejap.” Jawab Zafril lagi tapi tumpuannya hanya pada Hadi yang bermain-main di atas pangkuannya. “Husband you mana?” Kini giliran Zafril pula yang mengajukan soalan.
“Outstation.”
Aku tergelak mendengar jawapan ringkas Kak Ros dan dia membeliakkan mata padaku, tidak senang dengan tawaku. Zafril pula terpingga-pingga melihat telatah aku dan Kak Ros.
“Hah, you pula kalau dah kawin dengan Safi nanti jangan asyik outstation je. Merana pula safi tu tinggal sorang-sorang kat rumah.”
Kini aku pula membeliakkan mata memandang Kak Ros. Entah kenapa tiba-tiba pula Kak Ros membangkitkan tentang perkahwinanku dengan Zafril. Atau dia telah mengetahui kini aku sedang bercinta dengan Zafril? Tapi setahuku kisah aku dan Zafril tiada seorang pun di pejabat itu lagi yang mengetahuinya.
“I kalau dah kahwin dengan Safi, tak ada masanya I nak pergi outstation ni. Kalau boleh kerja pun I tak nak pergi, rasa macam nak berkepit aje 24 jam dengan dia kat rumah.” Balas Zafril dengan memek muka serius.
Malu aku mendengar kata-kata balas daripada Zafril, lantas segera aku mencubit lengannya dan dia mula ketawa besar.
“Hah eloklah kalau dah macam tu, nikah aje terus hari ni. Tu pelamin tu pun tengah kosong tak berpengantin. Senang-senang bersanding aje sekali terus, maklumlah baju pun dah sedondon warna hijaunya.” Tambah Kak Ros lagi.
Aku mengetap  bibir mendengar usikkan Kak Ros yang bertubi-tubi seolah-olah tidak mahu berhenti. Begitu juga dengan Zafril yang ketawanya seakan-akan bersambung-sambung sejak tadi, gembira benar dia mendengar usikkan Kak Ros. Aku hanya mampu mendiamkan diri, jika aku menambah, pasti lebih teruk lagi Kak Ros akan mengusik diriku ini.

KERETA aku letakkan betul-betul di bahu jalan bersebelahan rumah orang tua Zafril. Entah mengapa begitu berat hatiku menuruti kata-kata Shania yang ingin aku turut serta masuk ke dalam rumah itu. Bukannya aku tidak pernah datang ke rumah itu, tapi hatiku benar-benar tidak sedap hari ini. Jika Shania tidak bersungguh-sungguh meminta pertolongan daripadaku supaya menghantarnya ke sisi, sudah pasti aku lebih senang duduk di rumah petang-petang ahad begini.
            “Jomlah kak, sekejap je singgah, tunjuk muka.”
            Akhirnya aku menurut juga kata-kata Shania. Alang-alang sudah sampai ke sini tidak manis pula jika aku tidak singgah sebentar. Sampai sahaja di pintu pagar makcik Hasnah yang kebetulan berada di Gazebo di taman itu pantas mendapatkan Shania dan aku yang baru sahaja melepasi pintu pagar.
            Setelah bersalaman dan berpelukkan dengan Shania, dia bersalaman pula denganku. Kegembiraan jelas terpancar di mata wanita itu apabila memandang Shania. Aku yakin Makcik Hasnah begitu menyayangi Shania. Akhirnya kegembiraan berpihak pada Shania setelah sekian lama menyulam derita dahulu.
            Makcik Hasnah mempelawa kami masuk ke dalam rumah tetapi aku berkeras untuk duduk sahaja di gazebo, sengaja mahu mengambil angin petang.
            “Mak long, Abang Add mana?”
            “Ke surau, jemaah Asar kat sana. Kejab lagi baliklah tu. Abang Add kau tu kalau ada masa memang dia suka sembahyang jemaah kat surau taman perumahan ni. Kadang-kadang tu ajk surau suruh dia jadi muazzin kalau dia datang jemaah sama-sama.” Terang Puan Hasnah panjang lebar tentang satu-satunya anak bujangnya.
            Aku agak terkejut mendengar cerita Makcik Hasnah walaupun sebenarnya aku tahu Zafril memang seorang yang tidak cuai dalam mengerjakan solatnya. Mana tidaknya, ketika di pejabat, dia bukan sahaja menunaikan solat di awal waktu, tetapi dia juga sering mengingatkanku supaya meninggalkan dahulu kerja-kerja agar tidak melewatkan solat. Dan nasihat itu acapkali aku dengar di pejabat. Rasa kagumku mula bertambah pada lelaki yang sudah bertapak kukuh di hatiku.
            Suara Makcik Hasnah yang meminta diri untuk masuk seketika ke dalam rumah menyentak lamunanku. Lantas aku memandangnya yang sudah meluncur laju memasuki rumah teres itu.
            “Kak Safi. Nia peliklah dengan akak sekarang ni.”
            “Pelik dengan akak. Kenapa pula?” berkerut dahiku mendengar kata-kata Shania sebentar tadi. Apakah yang yang dipelikkan Shania tentang dirinya?
            “Tak adalah, sekarang ni susah betul nak contact akak waktu malam. Busy aje talian tu memanjang. Akak bergayut dengan siapa?” rungut Shania.
            Aku tahu pasti Shania pelik dengan tingkahku kebelakangan ini. Dan pasti dia berkecil hati denganku yang tidak lagi berbual dengannya di talian, berkongsi cerita pada waktu malam seperti selalu. Namun aku tidak boleh berbuat apa-apa, memang hampir setiap malam Zafril akan menghubungi dan berbual panjang denganku sedangkan sepanjang hari kami bertemu di pejabat. Namun apabila tiba waktu malam, Zafril tetap mahu menghubungiku bercerita itu dan ini. Hinggakan aku sudah terbiasa dengan rutin baruku itu.
            “Oh... akak bergayut dengan pakwe ye.”Shania mula meneka apabila aku hanya mendiamkan diri.
            Kini senyumanku bertukar menjadi tawa. Sengaja aku mendiamkan diri membiarkan Shania terus meneka.
            “Siapa kak, pakwe akak? Em... tak apa biar Nia teka.” Shania memandang bumbung Gazebo, seolah-olah benar-benar sedang berusaha memikirkan sesuatu. “Hah, mesti pakwe akak tu Faizkan! Mesti dia yang selalu telefon akan setiap malamkan.” Bersungguh-sungguh Shania meneka.
            Aku terkejut mendengar andaian Shania itu. Mengapa Faiz pula yang boleh terlintas di fikiran Shania pada waktu ini? Memang Faiz ada menghubungiku tapi perbualanku dengannya tidak lama kerana aku lebih menanti panggilan daripada Zafril setiap malam. Nampaknya Shania telah tersalah sangka kali ini.
            Shania mengangkat keningnya sambil memandangku. Aku bukan sengaja tidak mahu memaklumkan Shania tentang hubunganku dengan Zafri, cuma kebelakangan ini banyak perkara yang perlu Shania dan Zafril selesaikan. Aku mahu mereka menyelesaikan perkara-perkara yang penting itu terlebih dahulu. Nampaknya Shania harus segera tahu tentang hubunganku dengan Zafril sebelum dia terus meneka dan memikirkan yang bukan-bukan tentang hubunganku dengan Faiz.
            “Sebenarnya akak ada benda nak cerita pada Nia...” aku memulakan bicara dengan senyuman yang mekar di bibir. Aku amat pasti Shania juga akan tumpang gembira dengan berita yang akan aku sampaikan.
            “Ye ke. Apa dia?” Shania kelihatan sudah tidak sabar-sabar mahu mendengar pengakuanku.
            “Assalamualaikum.”
Aku dan Shania berpaling memandang Zafril yang sedang berjalan mendapatkan kami di gazebo. Apabila pandangan Zafril tertumpu padaku, aku memekarkan senyuman. Melihat Zafril menggenakan baju melayu, dan kopia di kepala megusik hatiku. Dia kelihatan kacak petang ini.
            “Hai, Abang Add.” Sapa Shania ceria apabila Zafril sudah berdiri di hadapanku.
            “Hai, dah lama sampai.” Soal Zafril yang masih lagi berdiri.
            “Baru je,” balas Shania apabila aku mendiamkan diri sejak Zafril turut berada di Gazebo ini. Apabila Shania ternampak Makcik Hasnah yang baru keluar dari rumah bersama dulang yang berisi air, pantas Shania berlari anak mendapatkan mak longnya itu untuk membantu.
            Zafril menyoroti pandangan Shania yang mendapatkan mamanya. Kemudian dia memandangku semula yang masih lagi memandangnya. Dia berdehem dan tersenyum kecil sebelum memulakan kata. “Hensem sangat ke Zaf hari ni, sampai tak berkelip mata tu pandang?”
            Panas mukaku apabila dia berkata begitu. Aku mengetap bibir, aku tidak sedar dengan kelakuanku tadi yang tidak sudah-sudah merenung Zafril. Tapi timbul juga rasa geram mendengar usikkannya itu.
            “Perasan! Siapa pandang Zaf?” dalihku cuba menutup rasa malu yang sudah mengunung.
            “Habis tu kalau bukan pandang Zaf, Safi pandang siapa?” Zafril masih lagi terus mengusikku dan duduk pada bangku di hadapanku.
            “Safi pandang makcik Hasnah tu hah.” Aku menjuihkan bibir pada makcik Hasnah dan Shania yang semakin menghampiri Gazebo coklat itu. Dia juga turut menoleh ke belakang memadang mamanya dan Shania yang menatang dulang di tangan.
            “Oh ye ke? Tapi kenapa panahan mata Safi tu boleh tembus sampai ke hati Zaf ni pula? Safi tak pandang Zaf tapi hati Zaf ni pula yang berdebar-debar. Pelikkan?”
            Aku sudah kehilnagan kata. Tidak tahu apa yang perlu diluahkan bagi membidas kata-kata Zafril. Lidahku seakan kelu untuk meluahkan kata. Aku hanya mampu memandang Zafril yang masih lagi menanti kata-kataku.
            “Kenapa diam aje ni Safi. Gaduh dengan bos ke?” Gurau Makcik Hasnah sebaik sahaja tiba dan duduk bersama kami. Shania pula sedang sibuk menghidangkan air dan sepiring kuih keria di atas meja di hadapan kami.
            “Mana ada gaduh mama. Add mana sampai hati nak bergaduh dengan perempuan cantik macam Safi ni.”  Zafril terus menjawab sebelum aku yang memberikan jawapan.
            Aku yang tidak senang diusik sebegitu di hadapan keluarga Zafril terus mengambil teko air dan menuangkan air din setiap cawan yang telah Shania letakkan di atas meja. Geram aku dengan perangainya yang suka mengusikku tidak mengira masa dan tempat. Makcik Hasnah dan Shania pula sudah tersenyum simpul mendengar usikan Zafril.
            “Add nak minum ke? Nanti mama ambilkan cawan lain. Tadi mama ingatkan Add tak balik lagi.” Cadang Makcik Hasnah apabila teringat hanya ada tiga cawan yang dibawanya keluar sebentar tadi.
            “Tak apalah mama. Add nak tukar baju dulu. Takut nanti ada yang tak boleh tidur pula malam ni, asyik terbayang-bayang.”
            Makcik Hasnah dan Shania tercenggang mendengar kata-kata Zafril. Aku membesarkan mata memandang Zafril yang sudah ketawa dan bangun berlalu masuk ke dalam rumah.
            “Abang Add cakap pasal siapa tu kak?”
            “Entah,” aku menjungkitkan bahu, pura-pura tidak tahu. Untuk mengelak soalan Shania yang seterusnya aku segera menyuakan pering berisi kuih keria pada Makcik Hasnah dan dirinya, aku berharap Shania tidak meneruskan lagi soalan tentang kata-kata Zafril sebentar tadi.
            “Shania duduk dulu berbual dengan Safi ye. Mak long nak telefon pak long kamu sekejab, dah petang-petang macam ni pun tak balik lagi dari pejabat. Orang lain hari minggu cuti, dia sibuk nak kerja. Cepat-cepatlah Shania ambil alih syarikat tu. Tak sanggup dah mak long kena tinggal hari-hari macam ni.” Bebel Makcik Hasnah panjang lebar sebelum berlalu masuk semula ke dalam rumah.
            “Bila Nia nak mula kerja kat Tiara Holding?” Tumpuanku menjurus pada Shania semula. Shania telah memaklumkan padaku yang dia sudah bersedia untuk mengambilalih syarikat arwah ayahnya itu. Itu pun setelah dipujuk berkali-kali oleh Zafril, baru Shania setuju. Tiara Holding ditubuhkan oleh arwah ayah Shania menggunakan nama ibu Shania iaitu Tiara dan apabila ayahnya meninggal dunia, ayahnya mengamanahkan pakcik Zul supaya menjaga syarikat itu sebelum berjumpa dengan Shania dan menyerahkan syarikat itu pada anak tunggalnya.
            “Hujung bulan ni kot. Tapi macam taknaklah kerja kat situ.” Wajah Shania tiba-tiba berubah muram.
            “La... kenapa pula?”
            “Yelah, kalau Nia kerja kat Tiara Holding tak dapatlah Nia nak jumpa Abang Add selalu.”
            “Ish, kan Nia boleh jumpa Abang Add setiap hujung minggu.”Aku cuba menyedapkan hatinya. Aku tahu dia amat rapat dengan Zafril lebih-lebih lagi apabila dia mula bekerja di Adni Maju.
            “Alah, seminggu sekali je. Rindulah pula nanti. Macam mana nak buat kerja?”
            Hatiku mula tidak senang mendengar kata-kata Shania. Apa maksud sebenar Shania tentang perkataan itu? Aku menelan liurku sendiri. Apa sebenarnya perasaan Shania pada Zafril? Melihat Shania yang tergelak kecil makin menghimpit hatiku.
            “Sebenarnya Nia ada benda nak cerita kat akak.” Ujar Shania sambil mengenggam kedua-dua belah tanganku yang berada di atas meja.
            Aku memejam mata seketika. Apa yang Shania ingin katakan padaku? Hatiku makin dihimpit seolah-olah tiada ruang untuk berasa tenang.
            “Nia sebenarnya cintakan Abang Add.”
            Sejurus mendengar kata-katanya itu, mataku membulat memandangnya yang tersenyum-senyum sedari tadi. Kini jantungku bagai menendang dada, sakitnya tidak terkata. Benarkah apa yang aku dengari ini? Apa yang perlu aku lakukan? Resah kian bercambah di dalam diri, takut untuk mnghadapi kenyataan yang baru terbuka ini.
            “Akak ni janganlah buat muka macam tu. Tapi akak janji tau jangan bagitahu Abang Add.” Shania makin teruja berkongsi rasa hatinya denganku.
            Aku tidak mampu berkata apa-apa. Tiada apa yang dapat aku luahkan. Nafas yang kuhela juga tidak selancar tadi, bagai tersekat-sekat sahaja alirannya. Bagaimana aku harus menghadapi situasi ini? Apabila melihat Zafril yang sudah pun menukar pakaian dan menghampiri kami dengan senyuman mekar, hatiku bagai dihiris-hiris. Dan alam ku rasakan berputar laju hingga memeningkan kepalaku. Dugaan baru bermula buatku. Bagaimana menghadapainya?
           
Bersambung...

P/S : Terima kasih krn masih setia membaca ADH. AH nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA buat semua. Semoga setiap korban yang kita niatkan ibadah kerana-Nya mendapat sebaik-baik ganjaran di sisi Allah Swt. Amin. Selain itu AH juga nk maklumkan sekali lagi bahawa ADH akan diberhentikan selama seminggu. Ini bermakna takkan ada posting untuk ADH sepanjang minggu hadapan. NAMUN... AH akan postkan karya terbaru AH yang bertajuk 'Jangan Jatuh Cinta' (JJC) bermula pada minggu hadapan. Harap semua maklum ya. Thnks to all... Luv you :)

12 comments:

intan abd wahab said...

SALAM AIDIL ADHA BUAT SEMUA PMBACA...

Anonymous said...

sakitnya hati dengan Shania..bergolak la lagi hubungan zafril dengan safi..tak suka tak suka tak suka @bluescarf

zuraidah said...

kan dah agak dah dari dulu lagi, mesti shania tu ada hati kat zafril...betul tekaan ku....eeeiiii tak sukalah shania ni...kacau daun betul....eeeiiii geraaammmmmnyaaa....perasaaannnn....

Anonymous said...

dah agak dh mesti nia ade hati kat zaf...x sukalah...jgnlah byk sgt dugaan utk safi & zaf ye adah...cian diaorg...

Anonymous said...

pjg lagi ke cite ni??hope x meleret leret jln cite nye..sb dah byk rintangan yg dilalui oleh safi dan zaf..

blinkalltheday said...

yap, setuju..sian kat zaf dan safi..

evy said...

jgn la SAfi mengalah kerana Shania....

umi kalsom said...

safi... tolong la.. jgn terfikir nk buat pengorbanan perasaan tak bertempat!
please.....!!!

SALAM AIDILADHA kak Adah :)

kak ida said...

ala dik..kenapa shania tu gediks dan masuk line pulak..awat minah tu tak cakap aje yg mrk sdg bercinta selama 6 tahun..akak berharap agar zaf cepat cepat melamar safi..

Miss Nurul said...

Hhhmmm...dh agak dh... Mst nia tu ad hati dgn zafril.. Eeeiiiii....Geramnya... Sibuk btol la nia tu... Kesian kt safi. Hrap2 zafril sedar pasal Hal ni n cpt2 terus terang pasal hubungan dia dgn safi.. Jgn la nia tu snggup rampas zafril dr safi..

ieda ismail said...

ala, x nk la Zaf ngan Nia.....nk Zaf ngan Safi gak.....dugaan tol la percintaan Safi ni..Safi, trs trg la ngan Nia cpt

Anonymous said...

laa.. zaf tu pun terus je masuk meminang safi tak yah tunggu lama-lama.... and safi kental kan hati dengan dugaan ini....

Post a Comment