BAB DUA PULUH LAPAN
“Betul ke nak dinner kat sini?”
Aku hanya tersenyum, menjawab soalan Zafril. Lantas aku terus mengambil tempat duduk di dalam restoran mamak yang agak sesak. Ramai yang memenuhi setiap meja di restoran itu. Ada yang benar-benar ingin menjamu selera dan ada juga sekadar mahu menjamu mata menyaksikan perlawanan bola sepak yang berlangsung melalui siaran Astro. Aku masih lagi memandang Zafril yang kelat wajahnya sewaktu mengambil tempat duduk yang bertentangan denganku. Aku tahu dia tidak puas hati apabila aku memilih untuk makan malam di sini. Dia yang memintaku membuat pilihan, ini pilihanku dan dia harus menerimanya.
“Kita cari restoran lainlah ye, bisinglah kat sini.” Pantas Zafril memberi cadangan apabila kebanyakan pelangan di situ mula bersorak sewaktu bola masuk ke dalam gawang.
“Buat apa nak tukar? Okay apa kat sini.” Aku menolak lembut cadangan Zafril. Dia mula menarik muka apabila cadangannya ditolak. Aku tahu jika dia yang membuat pilihan tempat malam ini, pasti restoran mewah yang akan menjadi pilihanya. Aku sebenarnya agak kekok keluar berdua bersamanya hari ini. Bukan aku tidak pernah keluar berdua sahaja dengannya sebelum ini, cuma situasi waktu itu aku sekadar seorang pekerja, manakala Zafril majikanku. Namun malam ini begitu berbeza. Jadi perasaan itu turut berubah malam ini. Terasa perbezaannya.
“Okay apanya, bising betul.” Zafril masih cuba membantah untuk kami terus berada di sini. Aku tahu dia pastinya mahukan restoran yang tenang dan memberikan suasana yang romantik. Tapi aku benar-benar segan untuk ke tempat sebegitu bersama-samanya waktu ini.
“Okaylah ni, Encik Zafril tu aje yang cerewet.”
Mata Zafril membulat memandangku, aku masih tersenyum, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sedangkan aku baru sahaja mengatanya.
“Safi ni kan!” Zafril menghentikan katanya dan mengeluh perlahan.
“Kenapa?” Soalku tidak faham.
“Safikan dah jadi kekasih Zaf, kenapa Safi masih nak berencik-encik dengan Zaf? Kan dah banyak kali Zaf kata, Zaf tak nak Safi berencik-encik dengan Zaf.” Lembut Zafril menerangkan dalam suasana restoran yang masih hiruk pikuk.
Aku terdiam sudahnya, aku fikirkan dia marah apabila aku mengatakannya cerewet tapi rupa-rupanya soal panggilan itu yang dibangkitkannya. Bukan aku sengaja mahu memanggilnya sebegitu tapi aku sudah terbiasa.
“Mulai hari ni, Zaf tak nak dengar lagi Safi berencik-encik dengan Zaf. Safi panggil Zaf je okay. Em... tak pun Safi panggil Zaf abang, boleh?” Zafril tersenyum nakal padaku.
Mulutku makin memberat. Abang? Aduh, biar betul takkan nak panggil abang, malulah pula. Nak sebut namanya tanpa sapaan encik di hadapan pun jiwaku boleh bergetar hebat inikan pula nak dipanggil abang. Biar betul.
“Bukan apa, senang bila kita dah kahwin nanti. Sayang dah praktis awal-awal.” Senyuman zafril makin melebar dan wajahku rasanya sudah semakin memerah menahan malu.
Abang? Kahwin? Sayang? Tiga perkataan itu betul-betul menyesakkan nafasku tika ini. Kahwin? Aku belum terfikir lagi sehingga ke situ tapi dia sudah mendahului berfikir terlalu jauh ke hadapan. Aku benar-benar malu apabila zafril berbicara tentang perkahwinan. Dudukku mula tidak senang. Rasa maluku makin menebal apabila dia terus merenungku tanpa berkelip.
“Sayang okay tak ni?”
Hampir pitam aku apabila perkataan sayang itu keluar buat kali kedua dari mulutnya. Malu.... memang malu, tapi hatiku senang mendengar panggilan itu. Rasa bahagia mula menerpa laju ke dalam jiwa namun ianya masih tidak dapat mengatasi rasa maluku yang mengunung.
“Kita order makanan dululah ye, Encik Zafril.” Pantas aku memanggil mamak yang sedang mengemas meja di sebelah meja yang kami duduki ini.
Setelah membuat pesanan, aku hanya mendiamkan diri. Zafril pula sibuk menyaksikan perlawanan bola yang berlangsung di tv di hadapannya. Aku ingin terus berbual dengannya tapi tiada idea yang singgah untukku meneruskan kata. Jadi aku mendiamkan diri berharap agar dia yang memulakan semula perbualan kami yang terhenti tadi.
Sepuluh minit kemudian hidangan sampai ke meja, aku masih diam sambil menjamu nasi goreng di hadapanku begitu juga dengan Zafril. Sekali sekala aku mengerling padanya yang masih lagi mengunci bibir. Matanya hanya tertumpu pada skrin tv dan sekali sekala pandangan mata itu jatuh di pinggan nasinya. Aku yang berada di hadapannya tidak langsung dihiraukan, seolah-olah aku sememangnya tiada di hadapannya.
Ish, orang lelaki ni kalau dengan bola memang hidup. Awek depan mata pun tak layan, bebel hatiku.
“Zaf!” panggilku. Dengan mata yang masih memandang tv Zafril tersenyum lebar, namun mata itu masih lagi kaku di kaca tv. Geram aku melihatnya.
“Zaf!” panggilku sekali lagi.
Zafril masih tersenyum, dia memandang pinggannya terlebih dahulu dan meletakkan sudu dan grafu semula di tempatnya, kemudian barulah dia memandangku yang setia memerhati gerak-gerinya dari tadi.
“Boleh pun tak sebut sebut perkataan encik tu.”
Aku terdiam semula. Hari ini semua tindakanku aku rasakan tidak kena. Tutur katanya malam ini, mengusik hatiku. Pandangan matanya malam ini pun tidak boleh kubalas lama, akhirnya aku saja yang asyik melarikan pandangan.
Apabila pelanggan-pelanggan di dalam restoran itu menjerit kerana bola memasuki gawang, mata Zafril tetap padaku, sedikit pun tidak menoleh pada tv. Melihat tindakan Zafril itu barulah aku tahu, sebentar tadi dia bukannya mahu sangat menonton perlawanan bola itu tetapi Zafril mahu aku yang memulakan perbualan terlebih dahulu atau mungkin dia tidak mahu bertegur sapa denganku jika aku masih memanggilnya encik. Aku yakin dengan telahanku, geram pula aku bila memikirkan gelagatnya itu.
“Hai, Zafril!”
Aku melirik mata memadang wanita yang telah pun duduk di kerusi di sebelah Zafril. Rambut wanita itu yang lurus keperangan, mata yang galak dan wajah yang bujur sireh itu mengingatkan aku pada seseorang tapi aku lupa di mana aku pernah bertemu dengannya.
“Hai, you buat apa kat sini?” Soal Zafril pada wanita itu sambil mengalihkan badannya yang semakin dihimpit wanita itu.
“Makan-makan dengan member.” Jawab wanita itu manja sekali pada Zafril, sambil melirik padaku seketika.
“You makan dengan member kat sini? Miracle.” Zafril mempamerkan wajah hairannya.
Wanita itu galak ketawa apabila apabila mendengar kata-kata Zafril. Aku pula membukam, nampak sangat wanita itu ketawa hanya untuk menarik perhatian Zafril, tergedik-gedik semacam sahaja aku melihatnya. Tangan wanita itu pula seperti tidak tahu duduk diam, sekejab dia cuba memegang bahu Zafril kemudian lengan Zafril pula yang menjadi sasaran. Zafril pula sudah tidak senang duduk, asyik menepis tangan wanita itu. Banyak kali dia bergerak membetulkan duduknya. Aku yang mula terasa panas hati mula mengalihkan pandangan, malas mahu menonton drama di hadapanku ini.
“You ni dah empat tahun balik dari Australia langsung tak cari I.” Lunak sungguh wanita itu mengalunkan suara.
“I busylah.”
Melihat Zafril melayannya antara mahu dan tidak sahaja wanita itu pantas menjelingku tajam apabila mata kami bertentangan. “Girlfriend ke?” Soal wanita itu pada Zafril sambil matanya menjurus padaku, sedangkan aku sudah pun mengalihkan pandangan darinya.
Zafril menganggukkan kepala sambil tersenyum lebar, menjawab soalan wanita itu.
“Special?” waniita itu masih menyoal mungkin masih tidak berpuas hati.
“More than that!” tambah Zafril lagi.
Aku yang mendengar jawapan Zafril menjerit girang di dalam hati. Sekurang-kurannya wanita itu tahu Zafril kini bersamaku. Walaupun gembira mataku masih memandang tv, tidak mahu mencampuri perbualan mereka.
“Sejak bila pandai ada special girlfriend.” Wanita itu masih tidak puas hati.
“Sejak I jumpa dia.” Zafril berkata dengan penuh yakin.
Aku cuba menyembunyikan senyuman yang bergayut di bibirku sewaktu mendengar jawapan yang Zafril berikan pada wanita itu. Hatiku benar-benar gembira dengan setiap jawapan yang keluar dari mulutnya malam ini.
“Okaylah, I pergi dulu, member I dah lama tunggu tu.” Tanpa menunggu jawapan balasan dari Zafril wanita iu terus berlalu meninggalkan meja ini.
Aku menyoroti pandangan Zafril yang sedang memerhati wanita itu keluar duduk bersama teman-temannya. “Siapa tu?” Tanyaku.
Zafril memandangku semula. “Lisa!” jawabnya sambil menghabiskan sisa air necafe aisnya.
“Lisa? Macam pernah jumpalah sebelum ni denga dia, Tapi tak sure kat mana?” Aku memandang wanita yang bernama Lisa itu semula, dan tidak aku sangka dia juga turut membalas pandanganku tapi hanya seketika kemudian dia menjelingku tajam.
Aku tersentak seketika. Bukan kerana aku menerima jelingan darinya cuma jelingannya itu mengenangkan aku semula di mana aku pernah bertemu dengannya. “Hah, Safi dah ingat Safi jumpa dia kat mana. Enam tahun lepas masa kenduri kahwin kakak Abang Fuad.” Ujarku agak teruja kerana berjaya mengingati wajah itu walaupun setelah sekian lama perjumpaan itu berlaku.
Aku masih ingat dengan wajah itu. Wajah itulah yang kerap menjelingku sewaktu majlis berlangsung. Waktu itu pantang kami bertembung pasti jelingan tajam yang akan aku terima darinya, tanpa aku tahu apa salahku padanya ketika itu.
“Amboi, tajamnya ingatan Safi. Dah enam tahun tu, still boleh ingat lagi?”
“Mestilah ingat, perempuan tulah yang berkepit 24 jam dengan Zafkan masa kenduri tu.”
Zafril ketawa kuat sehinggakan pelanggan dari dari meja sebelah turut memandang kami. “Mana ada Zaf berkepit 24 jam dengan dia. Lisa tukan sepupu Fuad juga. Tu yang dia pun ada kat majlis tu.”
Zafril diam seketika, tawanya telah mati namun bibirnya sempat mengukirkan senyuman nakal buatku. “Oh... patutlah ingat sampai sekarang. Masa tu lagi Safi dah start cemburu ye.”
Aku menjuirkan bibir, waktu itu sedikitpun aku tidak berasa cemburu yang aku rasakan waktu itu hanyalah meluat yang teramat sangat. Meluat melihat mereka berdua yang seperti pasangan kekasih.
“Tak ada masa nak cemburu waktu tu.” Aku segera meningkah.
“Habis tu, tadi masa Lisa duduk sebelah Zaf pun Safi tak cemburu juga ke?” Zafril memang sengaja mahu mendugaku.
“Tak! Safi bukan buat cemburu.” Aku meningkah sekali lagi, aku tidak mahu dia melabelku sebagai perempuan yang kuat cemburu.
“Kalau tak cemburu kenapa tadi muka tu monyok je?” Zafril segera menguatkan pendapatnya.
Aku sudah kehilangan kata. Ketara sungguhkah perubahan wajahku sebentar tadi sehingga dia dapat menghidu apa yang ada di dalam hatiku sewaktu melihat dia duduk bersebelahan dengan Lisa? Zafril mengangkat-angkat keningnya menantikan jawapan dariku.
“Jom balik.” Aku bergegas bangun menuju keluar dan menuju ke kereta Zafril yang diparkir di tempat letak kereta. Aku mahu mengelak dari menjawab soalan Zafril itu.
“Safi, tunggu...” terdengar jeritan kecil daripada Zafril.
“Safi, tunggu...” terdengar jeritan kecil daripada Zafril.
“Hantar Safi kat rumah Nia.” Pintaku apabila aku dan dia sudahpun berada di dalam kereta. Mujur dia tidak mengungkit lagi tentang soalannya sebentar tadi. Mungkn dia tahu aku tidak mahu menjawab soalan itu.
“Kenapa nak pergi rumah Shania?”
“Saja,”
Zafril diam seketika sebelum menyambung kata. “Zaf tak tahu macam mana nak pujuk lagi Shania supaya dia jumpa mama dengan papa. Mama dengan papa memang dah lama nak jumpa dia. Nampaknya dia masih tak boleh maafkan perbuatan mama dulu. Zaf pun tak tahu macam mana nak yakinkan dia lagi yang mama dah berubah, tak macam dulu lagi.”
“Itulah, Safi tengok pun kebelakangan ni dia asyik termenung je. Risaulah Safi dengan dia tu.” Aku turut bimbang dengan masalah yang menimpa Shania ketika ini. Aku tahu Shania tidak mahu berjumpa dengan Makcik Hasnah. Kemarahannya pada wanita itu masih tidak mampu dipadamkan sehingga saat ni.
“Tulah, Zaf pun dah buntu.”
“Tak apalah, nanti Safi pula cuba pujuk dia, okay.” Aku cuba memberikan harapan pada Zafril. Aku tahu hati Shania tidaklah sekeras itu. Namun hambatan kecewanya pada saudara kandungnya sendiri sukar untuk dipadam begitu sahaja.
SHANIA mengerling memandangku yang duduk di kerusi meja soleknya. Sudah banyak kali aku cuba memujuknya sebelum ini namun dia tidak pernah mengambil peduli setiap pujukanku itu. Namun kali ini dia tidak akan dapat melarikan diri lagi. Aku sudah bertegas untuk terus memujuknya. Malam ini saja sudah banyak kali dia cuba mengubah topik perbualan tapi tidak berjaya, akhirnya perbualan ini masih berlegar-legar di ruangan bilik ini.
“Walau apa pun mereka tetap saudara kandung Nia. Nia kena ingat tu.” Aku masih lagi cuba memujuk, walaupu telah banyak kali aku lakukannya namun aku tidak akan berputus asa.
Aku tahu hati Shania masih lagi sakit dengan perbuatan makcik Hasnah yang menjadi punca ayah Shania menghalau ibunya dari rumah mereka. Sedangkan pada waktu tu dia masih kecil yang memerlukan kasih sayang. Lebih-lebih lagi, ibunya pula seorang mualaf yang memerlukan bimbingan dan perlindungan daripada suami sendiri, tapi apa yang berlaku pula sebaliknya. Selepas dihalau, ibu Shania dan Shania menumpang pula di rumah mak langku, kawan baik ibu Shania. Nasib baik sewaktu ibu Shania menghembuskan nafas yang terakhir mak lang sudi menjaganya.
Semua itu tidak akan berlaku jika Makcik Hasnah yang merupakan kakak kepada ayah Shania tidak cuba memporak perandakan rumah tangga adiknya sendiri. Kerana marah adiknya tidak berkahwin dengan pilihan keluarga Makcik Hasnah sanggup menabur fitnah yang bukan-bukan sehingga ayah Shania termakan hasutan itu. Aku benar-benar tidak menyangka Makcik Hasnah sanggup melakukan perkara sebegitu. Sedangkan sejak aku bertemu dengan wanita itu, dia adalah wanita yang sangat baik. Mungkin betul kata Zafril yang mamanya sudah menyesali perbuatan lampaunya dan mahu menebus segala kesalahannya pada Shania pula.
“Kalau marah sangat pun takkan sampai hati Nia tak nak ziarah kubur arwah ayah Nia sendiri. Abang Add dah ceria kat Niakan betapa menyesalnya arwah bila dia halau Nia dan ibu Nia dulu. Arwah pun sebenarnya berusaha cari ibu Nia dengan Nia. Nia tak percaya dengan kata-kata Abang Add ke?” aku terus berusaha.
“Memang patut ayah menyesal. Tak patut dia buat Nia dan Ibu macam tu.” Luah Shania dalam tangisan kecil yang baru bermula. Tisu di tangan diramas seolah-olah melepaskan geram.
Aku tekedu seketika melihat tangisannya. Semenjak aku memujuk dirinya dua tiga hari ini, kali ini barulah dia menitiskan air mata di hadapanku.
“Tak boleh ke Nia maafkan arwah?”
Aku dan Shania berpaling memandang mak langku yang sudahpun berdiri di muka pintu. Dengan perlahan mak lang menghampiri Shania dan duduk di atas katil di sebelah Shania dan mengusap lembut wajah yang banyak mewarisi wajah ayah Shania. Cuma warna kulit dan hidungnya sahaja yang sama seperti ibunya, itulah kata-kata mak lang padaku dulu.
“Tapi mama, ayah..”
“Nia... walau apa pun dia tetap ayah Nia. Kalau tak ada dia, tak adalah Nia dalam dunia ni, sayang.” Kini mak lang pula mengambil alih tempatku memujuk Shania untuk menziarahi kubur arwah ayahnya dan berjumpa dengan orang tua Zafril.
“Lagipun arwah dah tak ada, takkan Nia masih nak berdendam lagi.” Tambah mak lang.
Shania mengelengkan kepalanya. Aku pula hanya mampu menjadi pemerhati kali ini.
“Nia ingat lagi kan kata-kata ibu Nia sebelum dia meninggal dulu?” mak lang cuba memancing perhatian Nia yang tertunduk.
Pantas dia merenung wajah mak lang.
“Ibu Nia tak mahu Nia membenci ayah sendri sebab ibu Nia yakin di dalam hati ayah Nia dia amat menyayangi dan mencintai Nia dan ibu. Cuma ayah Nia buat kesalahan kecil kerana rasa marah. Ibu Nia dah lama maafkan ayah Nia dan keluarganya. Dia anggap ini semua sudah jalan takdirnya, dan dia terima dengan redha. Kalau ibu Nia boleh maafkan semua orang yang pernah menyakiti hatinya, kenapa Nia tak boleh nak jadi semulia ibu Nia sendiri?” pujuk mak lang lembut pada anak angkatnya itu.
Shania masih mendiamkan diri, aku sendiri sudah terharu dengan kata-kata mak lang. Sungguh mulia hati ibu kandung Shania.
“Kalau ibu Nia masih hidup mesti dia terkilan sebab Nia tak mahu ikut segala nasihat dia. Mesti ibu Nia kecewa dapat anak yang keras hati macam Nia.” Kali ini barulah aku mendengar mak lang mengeraskan suaranya.
Shania kelihatan tersentak, lantas dia terus merenungku seketika sebelum merenung mak lang. Seketika kemudian dia memeluk mak lang erat, tidak mahu dilepaskannya dengan linangan air mata yang makin laju mengalir.
Bersambung...
P/S : Mohon maaf atas kelewatan mengpostkan entry 28 ni, AH mengikuti kursus, lupa untuk memaklumkan pada semua pembaca. Maaf kerana membuatkan semua tertunggu-tunggu. Sori ek. Selamat mmbaca ;)
7 comments:
apepun still best =))
yes... waiting for next entry.
sentiasa best! :)
adoooaiiiiiii....senyum simpul baca kisah zaf n safi niee, bestttt!!!
belum berapa romantik sangat ADAH..perlu lebih feeling ye...@bluescarf
hehe..nk lgi babak safi n zaf...
mmg best..sentiasa menanti n3 baru...:)
tip top ! mmg the BEST !
looks so sweet bila zafril bahasakan diri dia zaf.. hehehe.. same goes to safi.
harap2 diaorg cpt2 dirikan rmh tangga.
can't wait for dat moment...good job Kak AH.
Post a Comment