Thursday, August 18, 2011

Ada Di Hati - Bab 14


EMPAT BELAS
            “Kau buat jelah kerja macam biasa. Tak payah nak fikirkan sangat pasal hal kau dengan dia yang dulu tu. Benda dah lepaslah, tak payah nak di fikir-fikir lagi.”
            Ayat nasihat dari Fitri sebelum aku melangkah keluar dari rumah pagi tadi masih terngiang-ngiang di telingaku ini. Dari semalam pelbagai nasihat diberikan padaku, mengalahkan ibuku pula lagaknya. Malas mahu memikirkan semua nasihat-nasihat Fitri itu, aku dengan pantas mengemas bilik Zafril pagi ini. Aku tidak mahu sewaktu aku membersihkan bilik itu Zafril ada bersama-sama denganku dalam satu bilik.
            Aku masih lagi dihambat dengan kenangan lamaku dengan Zafril. Aku benar-benar keliru saat ini, dapatkah aku bekerjasama dengan baik bersama orang yang selalu membuatkanku sakit hati, meluat, geram dan pelbagai lagi perasaan. Sesungguhnya dia sudah aku lupakan, namun kini dia kembali muncul dalam ingatan.
            Tiba-tiba ada rasa takut apbila mengenangkan itu semua. Mengenang cara layananku pada Zafril enam tahun lalu, adakah Zafril akan mengingatinya? dan kalau dia mahu, pasti kini dia boleh sahaja membalas segala sikapku dahulu, maklumlah dia kan bosku. Mengapa aku perlu takut dengan lelaki itu? Aku tiada berhutang apa-apa dengan dirinya. Tapi, kalau...
            Arghhh… berhenti kerja ajelah kalau macam ni, keluhku. Itulah yang aku fikirkan sejak semalam, berhenti kerja! Tapi kalau aku berhenti kerja dimana pula aku mahu bekerja selepas ini dan apa yang perlu aku jelaskan pada ibu dan ayah nanti? Pasti ceramah berjam-jam akan diadakan khas buatku dan pastinya Puan Zuria adalah penceramah utama dan Encik Irfan akan menjadi penceramah jemputan. Mana tidaknya, belum sampai seminggu bekerja telah berhenti, nampak seperti aku tidak bersungguh-sungguh dan sekadar main-main.
            Tapi adakah mereka akan faham akan perasaanku saat ini yang mana setiap hari perlu berjumpa dengan Zafril dan mengadap muka yang sering aku mahu hindari sejak enam tahun lalu. Aku benar-benar keliru, tidak tahu apa yang perlu aku lakukan.
            Jam dinding di bilik Zafril menunjukkan 8.30 pagi dan pada bila-bila masa sahaja Zafril akan muncul di hadapanku. Sebelum Zafril tiba-tiba berada di depan muka pintu, lebih baik aku terlebih dahulu mengangkat kaki, keluar dari bilik itu. Aku cuba menyibukkan diri di mejaku dengan fail-fail lama yang sepatutnya berada di dalam bilik fail.
            “Assalamualaikum…”
            Terlambung pen dari tanganku mendengar salam daripada Zafril yang tiba-tiba muncul di hadapanku. Dia tergelak kecil melihat ulahku itu. Dia membongkokkan badannya dan mengambil pen yang terjatuh berhampiran kakinya, kemudian diserahkan padaku.
            “Awak ni memang mudah terkejut ke? Tak tahu pula saya.” Zafril masih lagi tertawa.
            Aku menyambut pen dari tangan Zafril dan cuba menenangkan diriku. “Waalaikumusalam.” Jawabku walaupun debar di dada masih ada.
            “Safi, Safi…” Zafril mengelengkan kepalnya berkali-kali dan terus berlalu masuk ke dalam biliknya dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya.
            Aku marah pada diriku sendiri. Mengapa aku boleh menjadi begitu cemerkap hari ini? Sehingga Zafril berjaya mentertawakan diriku. Geram sungguh diriku apabila mendengar tawa Zafril tadi.
            Aku berkalih pada interkomku apabila ia berbunyi.
            “Safi…”
            “Ye, Encik Zafril.” Laju sahaja tutur kataku. Sebenarnya tiada apa yang perlu aku takutkan pada dirinya itu. Terkenang pula kata-kata kak Ros padaku dulu yang Zafril bukannya harimau yang perlu ditakutkan.
            “Masuk sekejap.” Tegas pula suara Zafril tika ini.
            “Baik, Encik Zafril.” Balasku dan tanpa berlengah lagi aku terus melangkah ke bilik Zafril.
            Aku mengetuk pintu bilik yang tidak tertutup. Sebaik sahaja Zafril memberikan kebenaran, barulah aku melangkah masuk ke dalam mengadap Zafril. “Ada apa Encik Zafril?”
            “Surat khabar saya mana?” Soal Zafril yang duduk di atas sofa tetamu.
            Aduh, macam mana aku boleh lupa. “Maaf encik saya terlupa. Em… saya pergi ambil sekarang.” Aku segera berpaling ingin keluar dari bilik itu. Akibat ingin terlalu cepat mendapatkan surat khabar untuknya, aku tersepak kaki sofa yang diduduki Zafril. Aku mengaduh perlahan. Pantas tanganku memegang kaki yang terasa berdenyut.
            Nasib baik tak jatuh buat malu je, bebelku dalam hati.
            “Awak tak apa-apa ke?” Soal Zafril yang kini telah berada di sebelahku. Badannya turut dibongkokkan agar setara denganku yang kini sedang mengurut kaki.
            Terkebil-kebil mataku melihat Zafril yang berada di sebelahku itu. “Er…” lidahku kelu tiba-tiba.
            “Kenapa kelam kabut sangat ini. Saya tanya aje, bukannya saya paksa awak ambil surat khabar tu sekarang juga. Awak okay ke tak ni?” Soal Zafril sekali lagi.
            “Er… okay… saya okay.” Lantas aku segera berdiri tegak semula walaupun kakiku masih berdenyut kesakitan.
            “Betul ni? Takkan sekejap je dah okay?” Zafril seperti tahu sahaja aku membohonginya.
            Aku mengangguk laju. “Betul… Saya pergi ambil surat khabar dulu.” Aku segera berjalan laju keluar dari bilik itu.
            “Jangan berlari pula, nanti jatuh tak pasa-pasal masuk hospital.” Jerit Zafril dari biliknya.
            Sakit hatiku apabila mendengar jeritan itu. Beberapa pekerja yang berdekatan dengan bilik Zafril, menoleh dan tersenyum padaku. Aku malu bukan kepalang, namun aku lirikkan jua senyuman pada mereka semua.
            “Amy, surat khabar untuk Encik Zafril mana?” Aku terus menyoal Amy apabila sampai di meja penyambut tetamu itu.
            “Ni hah kak. Kenapa kabut semacam je kak? Encik Zafril marah ke surat khabar dia tak ada atas meja?” Soal Amy yang mungkin telah faham benar dengan perangai bos kami itu.
            Marah ke Zafril tadi? Entahlah aku pun tidak pasti, nak kata marah macam tidak marah, tapi nak kata tak marah macam marah pun ada juga. “Tak adalah. Okay Amy, waktu rehat nanti kita lunch sama-sama ya.” Aku cuba mengubah topik perbualan sebelum berlalu.
            “Okay…”
            Aku melemparkan senyuman pada Amy sebelum melangkah pergi.
            “Ini surat khabarnya Encik Zafril.” Aku meletakkan surat khabar itu di atas meja Zafril dan dia hanya memandang sekilas surat khabar itu dan kemudian dia merenungku. Surat khabar itu langsung tidak diusiknya.
            “Ily tak ada bagitahu awak apa-apa ke?” Tanya Zafril setelah lama merenungku.
            “Bagi tahu apa Encik Zafril?” Aku pula yang menyoal Zafril.
            “Em…” Zafril berhenti seketika seperti mahu menyusun kata. “Bagi tahu apa yang perlu dan tidak perlu masa bekerja dengan saya.”
            “Oh… Ada.”
            “Habis kenapa…”
            “Kalau pasal surat khabar ni, saya minta maaf, kak Ily memang ada bagi tahu saya, cuma saya terlupa.” Belum sempat Zafril menyambung katanya aku pantas memotong, tidak mahu kak Ily pula yang disalahkan atas kecuaianku sendiri.
            Zafril cuma menganggukkan kepala.
            “Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu.” Aku segera berpaling.
            “Safi…”
            Aku berpaling memandang Zafril semula.
            “Buatkan saya secawan kopi.” Pinta Zafril tanpa memandangku, matanya telah melekap pada dada akhbar di tangannya.
            “Er… kopi?” aku ingin kepastian. Adakah benar Zafril memintaku membuatkan secawan kopi untuknya. Tapi menurut kak Ily Zafril akan membuat air sendiri dan sepanjang kak Ily bekerja dengannya tidak pernah Zafril memintanya membuatkan air untuk bosnya itu.
            “Yup… kenapa ada masalah ke? Atau awak tak tahu nak buat kopi?” ujar Zafril yang kini telah menatapku semula.
            “Tak… cuma Kak Ily pernah bagitahu saya yang Encik Zafril lebih suka buat air sendiri.” Aku ajukan jua persoalan yang bermain di mindaku.
            Zafril tertawa kecil. “Itu dengan Ily, tapi kalau dengan awak saya lebih suka kalau awak yang buatkan saya air” Zafril tersenyum lebar. Barangkali senyumannya itu lebih lebir daripada jalur lebar.  “Lagipun awak kena tunaikan janji.” Zafrl bersuara lagi.
            Aku semakin pelik, apa bezanya diriku dengan Kak Ily? Aku yakin Kak Ily juga mampu menyediakan air seperti yang dipinta oleh bosku itu. Dan... bila masa pula aku berjanji dengannya? apa yang pernah aku janji padanya? Aku mengaru kepala yang tidak gatal. Dari dulu sampai sekarang macam-macam perangai lelaki ini, semuanya menyesakkan otakku.
            “Baiklah Encik Zafril.” Malas mahu bertelagah Zafril,  aku dengan pantas menuju ke pantry untuk menyediakan air seperti yang dipinta. Buat aje mengikut arahan. Tidak ada kuasa mahu melayan bicaranya yang entah apa-apa.
            Setelah selesai menyediakan air kopi itu untuk Zafril, dengan pantas aku menghantar air itu ke bilik Zafril. Aku tidak tahu sama ada air itu akan dapat memenuhi selera Zafril ataupun tidak dan aku tidak peduli tentang hal itu. Hendak sangat air yang aku buat, jadi dia perlu menerima seadanya apa yang aku sediakan.
            “Ini airnya Encik Zafril.” Aku meletakkan air itu ke atas meja. “Saya keluar dulu.”
            “Nanti dulu.” Zafril menghalangku dari keluar.
            Aku segera berpaling.
            “Duduk dulu.”
            Aduh, nak apa lagi ni? Aku mula rimas namun aku masih menurut semua arahan Zafril itu. Apa lagilah yang dimahukannya?
            Zafril mengambil air kopi yang aku sediakan dan air itu mula diteguk perlahan. Zafril tersenyum kecil sebelum meletakkan semula cawan itu ke tempat asalnya tadi.
            As I told you before, I will make sure that you have to make me a cup of coffee one day. So, tak sia-sia saya tunggu enam tahun.” Zafril merenungku dengan senyuman yang tak henti-henti..
            Berkerut dahiku mendengar bicara lelaki itu, aku tidak faham dengan butir bicaranya. Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh lelaki itu?
            “Awak ni Safi, dahlah mudah terperanjat, pelupa pula tu. Teringin pula saya nak bawa awak pergi berubat,” dalam tawa Zafril sempat mengenakanku.
            Geram sungguh aku dengan dirinya. Kenapalah lelaki seorang ini masih tidak mampu merubah perangainya yang menyakitkan hati tiu. Setiap tutur katanya sejak dahulu pasti berjaya menimbulkan kemarahan. Kalau hari-hari begini, macam aku tak rasa yang aku mampu memberikan berkerjasama dengan baik?
            “Tengah hari ni kita lunch sama-sama.” Cadang Zafril sewaktu aku sedang cuba memadamkan rasa geram padanya.
            Oh… tidak... tidak sama sekali! Tak mahu aku lunch bersama dengan lelaki itu, baru berbicara seketika aku sudah sakit hati dengan bicaranya, inikan pula makan tengah hari bersamanya? Entah apa-apa lagi bicaranya yang mampu menyakitkan hatiku. “Maaflah Encik Zafril, saya dah janji nak lunch dengan Amy. Lagipun saya…”
            No… Tukar aje janji awak dengan Amy tu esok atau lusa. But today, we have to lunch together. You may go now.” Tegas Zafril yang kemudiannya terus memandang desktop miliknya.
            Amboi, mentang-mentanglah dia bos suka-suka dia sahaja mengarahkan aku. Maknanya aku sudah tiada pilihan lagi, terpaksa juga aku menerima pelawaan Zafril itu. Eh, tidak… bukan pelawaan tapi satu arahan yang tidak dapat aku elakkan.

AKU duduk mengadap Zafril dalam restaurant yang terletak di dalam hotel Grand Season. Zafril di depanku hanya mengadap menu sedari tadi. Semua menu disemak satu persatu olehnya. Dia kelihatan agak cerewet dalam memilih makanan. Aku mengeluh kecil, kalau aku keluar makan bersama Amy tadi, tidak perlulah aku melangkah sejauh ini, dan pasti sudah selesai sepingan nasi aku habiskan. Nasib baik juga Amy tidak kisah aku membatalkan janjiku dengannya untuk keluar makan bersama. Pada Amy juga aku suarakan ketidakselesaanku keluar makan bersama-sama Zafril tengah hari ini. Tapi menurut Amy, Zafril sememangnya begitu, setiap dia pasti akan membelanja pekerja baru makan tengah hari bersamanya, pada hari pertama pekerja tersebut bekerja di Adni Maju. Sengaja ingin merapatkan hubungan dan saling mengenali antara pekerja-pekerjanya. Dan atas alasan itu jugalah baru ringan hatiku untuk  menurut langkah Zafril hingga ke sini.
            “Awak nak makan apa?”
            Soalan dari Zafril itu mencantas lamunanku. Aku pantas melihat semula menu yang berada di tanganku apabila seorang pelayan telah sedia menunggu di sebelah meja yang kami duduki untuk mengambil pesanan.
            “Er…” Aku serba salah untuk membuat pilihan kerana harga-harga makanan di sini agak mahal. “Nasi ayam.” Ujarku setelah berkali-kali membelek menu itu.
            “Minum?” Soal pelayan itu.
            Aku menoleh pada Zafril seketika. Menu yang berada di tangannya tadi telah ditutup dan diletakkan saja di atas meja, sepertinya semua menu itu tidak dapat memenuhi citarasanya saat ini. “Ice lemon tea.” Pintaku sambil menyerahkan semula menu pada pelayan itu.
            “Ice lemon tea?” Berkerut dahi Zafril mengungkapkan nama air yang aku sebut tadi.
            “Ha’ah, kenapa air tu tak ada kat sini ke?” Soalku pula yang agak terperanjat dengan reaksi yang Zafril berikan.
            Zafril mengelengkan kepala. “Bukan macam tu… Tapi kenapa awak order air tu?”
            “Sajalah. Lagipun that was my favorite drink.”
            Your favorite drink?”
            Aku mengangguk laju. Kemudian setelah memesan menu yang sama sepertiku, Zafril segera menyerahkan menu yang tadinya berada di atas meja kepada pelayan itu, seperti menghalau pelayan itu agar cepat berlalu dari situ lagaknya.
            “Tapi dulu awak beritahu saya, awak tak suka ice lemon tea?”
            Kini keningku pula yang berkerut seribu. Bila masa pula aku menyatakan begitu padanya? “Bila masa pula?” Ish, ada-ada sajalah lelaki ini.
            “Masa kat Genting dulu.” Laju Zafril memberikan jawapan.
            Aku tersentak, benarkah aku ada berkata begitu sewaktu di Genting dahulu. Aku sudah lupa, benar-benar lupa sama sekali. Tapi bagaimana Zafril boleh mengingati perkara-perkara kecil sebegini walaupun sudah enam tahun berlalu.
            “Er… Encik Zafril salah dengar kot.”
            “Mana pula, memang…” Belum sempat Zafril menghabiskan  kata telefon bimbitnya berbunyi. Melihat sahaja nama yang tertera dengan segera Zafril menekan butang menjawab panggilan. “One minute.” Ujar Zafril sambil menghalakan jari telunjuknya padaku sebelum memulakan perbualan dengan pemanggil.
            Aku menarik nafas lega, sekurang-kurangnya aku terlepas sebentar daripada cengkaman soalan-soalan Zafril tentang enam tahun lalu. Seketika kemudian telefon bimbitku pula yang berbunyi lantang. Aku cepat-cepat mengeluarkan telefon dari tas tangan. Aku tahu Zafril yang sedang berbual di telefonnya memandangku sewaktu telefonku berbunyi tapi aku sedikit pun tidak menghiraukan pandangan Zafril dan segera berlalu ke sudut restoran yang tidak jauh dari meja yangku duduki tadi.
            “Assalamualaikum.” Aku memulakan perbualan dengan Amy yang berada di hujung talian.
            “Akak kat mana?”
            “Grand Season.”
            “Fuyooo… Grand Season tu. Bukan main akak ye, Encik Zafril belanja sampai ke Grand Season.” Terdengar tawa kecil Amy di hujung talian.
            “Apa pula, bukan ke Amy yang cakap tadi Encik Zafril memang selalu belanja staff barukan?” aku yang mula tidak sedap hati mendengar tawa Amy itu pantas mencelah.
            “Memanglah kak tapi selalunya dia belanjan kat restoran biasa aje macam Restoran Tupai-Tupai ke,. Ni dengan akak sampai ke hotel perginya. Ada apa-apa yang perlu Amy tahu ke ni?” Amy masih lagi ketawa mengkekek di hujung talian.
            “Dah, tak ada apa-apanya. Jangan nak merepek. Ni telefon ni nak apa?” aku sengaja hendak mengubah topik perbualan. Aku tidak mahu Amy beranggapan yang bukan-bukan pula.
            “Tak ada apa, saja nak kacau daun. Akak dengan Encik Zafril tak payah masuk balik pejabatlah hari ni.”
            “Kenapa pula?” aku kehairanan kenapa aku tidak perlu masuk ke pejabat semula hari ni? Ada apa-apa perkara yang berlakukah di syarikat?
            “Lepas lunch ni akak ajaklah Encik Zafril pergi shopping. Suruh dia belanja. Kalau lunch pun dia sanggup belanja akak kat hotel, so shopping pun gerenti dia sanggup sponsor juga.”
            Bertambah geram diriku apabila Amy masih lagi cuba untuk menggenakanku. Tawa amy itu langsung tidak mahu hilang dari sebalik talian. Malas aku mahu melayan, nanti macam-macam lagi yang kelaur dari mulut becok itu. “Oh, kenakan akak ya, tak apa balik nanti tahulah akak kerjakan Amy.”
            Setelah memberi salam pada Amy aku kembali ke meja, makanan telah pun sedia terhidang di atas meja dan Zafril masih lagi duduk di situ tanpa menyentuh sedikit pun hidangan di hadapannya.
            “Siapa call?” Tanya Zafril sebaik sahaja aku duduk.
            “Amy.”
            “Nak apa?”
            “Tak ada apa-apa, saja aje.” Sibuk aje nak tahu! Bentak hatiku
            Zafril menganguk kecil dan mula membetulkan duduknya. “Sampai mana kita tadi?”
            Aku mula mencari idea, kerana tidak mahu meneruskan perbincangan tentang ice lemon tea itu. Aku benar-benar sudah tidak mengingati perkara itu, sungguh. “Kita makan dulu boleh tak encik, saya dah laparlah.” Helahku, aku benar-benar berharap Zafril termakan dengan helahku itu.
            Zafril menadah tangan membaca doa makan. Aku turut serta mengaminkan doa yang dibacanya.
            “Er… Encik Zafril dulu belajar kat Melbourne kan?” Soalku memecahkan kesunyian yang menyelubungi sebaik sahaja kami mula menjamu selera.
            Zafril tersenyum hambar. “Yang tu ingat pula awak. Saya ingat satu apa pun perkara tentang saya awak dah tak ingat.” Nada Zafril seolah-olah merajuk.
            Aku terdiam mendengar nada yang Zafril gunakan.
            “Ha’ah saya belajar kat situ, kenapa?” Zafril menjawab juga soalan dariku setelah melihat aku hanya mendiamkan diri selepas mendengar kata-katanya tadi.
            “Er…” Ingatanku teralih semula ada Mona. Kawan baikku suatu masa dahulu. Aku benar-benar ingin mengetahui perkembangan terbaru Mona yang telah lama menyepikan diri. Pasti Zafril tahu di mana dan bagaimana keadaan Mona kerana mereka pernah belajar dalam satu universiti yang sama. Lagipun bukankah Zafril teman lelaki Mona.
            “Mona apa khabar? Dia kat mana sekarang?” aku meneruskan niatku tadi.
            “Mona? Mona mana?” Zafril meletakkan sudu dan grafu yang digunakannya itu dan pandangannya terarah tepat pada Safi.
            Pelik aku mendengar soalannya. “Mona Suzana.” Aku memberikan nama penuh Mona.
            “Oh…” panjang pula Zafril melagukan perkataan yang pendek itu. “Entahlah, saya pun dah lama tak jumpa dia. Last sekali masa hari konvokesyen saya. Tu pun beberapa tahun lepas.”
            Sukar untuk aku mempercayai kata-kata Zafril itu. Tidak mungkin sudah beberapa tahun dia tidak berjumpa dengan Mona. Atau Zafril sengaja menyembunyikan hal Mona dari pengetahuanku. Sengaja berpura-pura tidak mengetahui hal Mona. Boleh jadi juga!
            But, she your best friend right. Takkan awak tak tahu dia sekarang kat mana?” Zafril kembali menyoal padaku
            Aku mengeluh mendengar kata-kata Zafril itu. Jika aku tahu di mana Mona berada tidak mungkin aku akan bertanya lagi pada dirinya.
            “Kenapa Encik Zafril dah lama tak jumpa dia? bukan ke, Encik Zafril dengan Mona tu…” aku memberhentikan kata apabila Zafril mula merenungku tajam seolah-olah dia sudah dapat membaca apa yang ingin aku katakan. Dari riak wajah yang ditunjukkan itu, rasanya dia tidak menyukainya apa yang mahu akau katakan itu. “Encik dengan Mona dah putus ke?” Sengaja aku menukarkan bentuk soalan yang ingin aku ajukan padanya. Aku tidak mahu menimbulkan masalah dengan bosku itu. Namun dalam masa yang sama aku mahu melihat sejauh mana kejujuran lelaki itu pada Mona.
            “Putus?” Zafril pura-pura tidak mengerti dengan maksudku.
            “Putus… putus cinta.” Aku terus menyatakan maksudku.
            “Macam mana saya nak putus cinta dengan dia, sedangkan bercinta dengan dia pun tak pernah.” Tegas Zafril dengan wajah yang sudah kelat seribu.
            Aku menayangkan muka selamba, tidak takut dengan wajah kelat yang berada di hadapanku itu. Jawapan yang Zafril berikan itu telah aku agak sejak dari tadi. Entah mengapalah sejak dari dulu lelaki ini suka sangat menafikan hubungannya dengan Mona. Apa sebenarnya kemahuan lelaki ini?

Bersambung...

7 comments:

Anonymous said...

pa yg blaku sbnrnya ni?adooiii..zafril2,safi2.....nxt n3 plz...hehe (",)..

blinkalltheday said...

safi ni suke serkap jarang..zafril,better terus terang..

evy said...

nampaknya Zafril perlu b'kerja keras utk tackle Safi sbb Safi mmg x fhm hati Zafril..hehehe..

Anonymous said...

aduhai... heroin kita nie mmg selalu blur kan.. hehe, nice entry cik penulis, teruskan usaha anda...

~Aisy~

Aida Sherry said...

pening kepala ni...blur...ceciter apa sebenarnya yg berlaku??????????

isma irah said...

cita kak adah suma bez...:P

Nurul QisDhira said...

suka...suka...
sambung lagi.... hehehe
untung safi, zafril bwk dia lunch di hotel..

Post a Comment