Thursday, September 15, 2011

Ada Di Hati - Bab 17


TUJUH BELAS
            Telefon bimbitku yang berada di dalam bilik bernyanyi lantang. Segera  aku meletakkan sudu ke dalam pinggan, dan masuk ke dalam bilik mencari telefon bimbitku. Sampai sahaja di dalam bilik, nyanyian telefon bimbit itu sudah berhenti. Aku mengeluh kecil, buat penat berlari aje!
            Namun  aku teruskan juga langkah ke meja solek untuk mengambil telefon itu, sengaja mahu melihat siapa yang mencariku pagi sabtu begini. Berkerut dahiku apabila telefon bimbitku tiada di situ. Seingatku, sebelum aku masuk tidur semalam, aku meletakkan telefon bimbit di atas meja ini. Aduh, mana pula ni? Aku pantas mencari di sekitar bilik.
            Tiba-tiba telefon bimbit itu berlagu sekali lagi, aku mengerling ke arah katil apabila mendengar lagu itu datang dari arah sana. Aku mengangkat bantal pelukku.
            “Ish, kat sini rupanya,” bebelku sendirian.
            “Zafril?” Bisikku perlahan apabila melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitku. Tidak dapat aku teka apa lagi yang diinginkan oleh dia pagi-pagi begini. Dia baru sahaja menghubungiku pada pukul 1 malam tadi, dan perbualan itu berlanjutan hampir dua jam. Perbualan yang lebih dikuasai Zafril. Bersemangat sungguh dia bercerita itu dan ini padaku tanpa rasa jemu. Kalau diikutkan rasa hatiku, malas aku mahu melayan karenahnya malam tadi, rasa mengantuk waktu itu begitu mencengkam diri namun aku tetap meneruskan perbualan, bukan apa, aku cuma takut bosku itu terasa hati jika aku berbuat begitu padanya.
            Kini telefon itu berlagu buat kali yang ketiga, hendak tak hendak, terpaksalah juga aku menjawab panggilannya. Entah mengapa semenjak kebelakangan ini acapkali dia menelefonku tak kira siang atau malam. Main redah sahaja.
            “Assalamualaikum.” Perlahan sahaja aku memulakan perbualan.
            “Kenapa lambat sangat nak jawab?” Soal Zafril sebaik sahaja selepas dia menyambut salamku.
            “Kat dapur tadi. Itu yang lambat sikit. Kenapa Encik Zafril?” dengan malas aku bertanya, kaki pula sudah mula melangkah menuju ke meja makan semula. Duduk di tempat asal dan kembali menyambung sesi mengisi perut.
            “Cepat bersiap!”
            “Bersiap?” Soalku sepatah. Nasi goreng yang ingin kusuapkan ke dalam  mulut kuletakkan semula ke dalam pinggan.
            “Ha’ah awak temankan saya keluar hari ni.” Ujar Zafril begitu ceria.
            “Keluar? Ke mana?” pelik rasanya dengan permintaan Zafril. Tidak pernah kami keluar bersama selama ini. Kalau ada pun hanya pada waktu pejabat dan atas urusan syarikat. Bukan pada hari-hari cuti begini.
            “Adalah, nanti saya bagi tahu. Cepat sikit, saya dah tunggu kat bawah ni.” Kemudian dia terus mematikan talian.
            Aku termangu serta merta. Benarkah dia telah bersedia menungguku di bawah pangsapuriku ini. Aku terus melangkah menuju ke balkoni untuk memastikan kebenaran kata-katanya. Aku mengeluh berat apabila melihat Zafril telah pun sedia menantiku di bawah sambil bersandar pada kereta Nissan Sylphynya itu.
            Dengan keadaan terpaksa aku menuju ke bilik untuk menukar pakaian. Setelah melihat Zafril berada di bawah, aku yakin tiada ruang untuk diriku menolak permintaannya. Sakit pula hatiku apabila dia mengarahkanku sesuka hati sahaja walaupun pada hari-hari cuti begini.
            Selang 30 minit kemudian aku melangkah menuju ke arahnya yang sedang menanti di sebelah kereta. Senyumannya makin melebar melihat aku makin dekat dengannya.
            “Lamanya bersiap, mengalahkan artis.” Omel Zafril sambil tersenyum apabila aku sudah betul-betul berada di hadapannya.
            “Biasalah perempuan,” aku memberikan alasan, sedangkan aku memang sengaja bersiap perlahan-lahan sebentar tadi. Sebenarnya, sekadar menyarungkan baju blaus paras lutut berwarna merah jambu, berseluar jeans putih, tudung bawal yang juga berwarna merah jambu, serta muka yang dilapik dengan bedak dan secalit pelembab bibir tidak perlu memakan masa selama itu. Tapi aku sengaja melengah-lengahkan waktu membiarkan dia menungguku. Mendera sedikit lelaki di hadapanku ini.
            Zafril pantas membuka pintu penumpang hadapan untukku.
            “Eh, tak apa encik Zafril. Saya boleh buka sendiri,” aku cuba menghalang tindakannya. Aku tidak selesa apabila diperlakukan sebegitu.
            Dia langsung tidak mempedulikan kata-kataku, dia memberikan isyarat mata agar aku masuk ke dalam kereta. Aku mengeluh sekali lagi, aku benar-benar tidak selesa dengan keadaan itu. Tolonglah aku terasa lain macam sahaja.
            “Nak ke mana ni?” soalku apabila kereta Zafril telah berada di atas jalan raya.
            “Awak dah sarapan?” Zafril pula yang menyoal apabila lama membisu dari menjawab soalanku.
            Aku mengerling jam pada dashboard kereta itu. Hampir pukul 11.00 pagi, logikkah soalan itu ditanyakan pada waktu ini?
            “Dah. Nak ke mana sebenarnya ni Encik Zafril?” aku bertanya lagi. Selagi aku tidak tahu ke mana hala tuju hari ini, selagi itu aku tidak berpuas hati.
            “Awak ni Safi, degil betulkan. Sekarang ni bukan waktu pejabat tak payahlah nak berencik-encik dengan saya.”
            “Nak ke mana sebenarnya ni?” Aku tidak mempedulikan kata-katanya, dia memang tidak mahu aku memanggilnya dengan pangkal nama encik, kalau boleh di waktu pejabat pun dia tidak mahu aku berencik-encik dengannya, telah acapkali aku mendengar ayat itu keluar dari bibirnya. Aku sudah lali. Bukan itu yang aku mahu dengar kini. Apa yang aku mahu dengar darinya kini adalah hala tuju kami sekarang, itu sahaja!
            Zafril merengus seketika. “Saya nak awak temankan saya pergi beli barang sikit. Tapi sebelum tu kita tengok wayang dulu, okay.”
            Amboi, pergi beli barang pun nak ajak aku ke? Ingat aku ni orang gaji dia ke? Siap bersyarat sebelum beli barang kena tengok wayang dulu pula tu. Ni dah lebih ni.
            “Terus aje pergi beli barang tu tak boleh ke encik? Tak payahlah nak tengok-tengok wayang ni. Jimat sikit masa” Cadangku pula. Aku tidak mahu terlalu mengikut semua kemahuannya. Nanti entah apa-apa lagi yang dirancangnya.
            “Eh, mana boleh. Baru pukul berapa ni, banyak kedai tak buka lagi. Kita tengok wayang dulu lepas tu kita makan tengahari sama-sama. Petang sikit baru pergi beli barang, okay.”
            Nah, ditambah pula satu lagi agenda, makan tengah hari bersama. Aku ingin membuka mulut membantah, tapi aku batalkan sahaja niatku itu apabila mengenangkan berkemungkinan besar Zafril akan membuat rancangan tambahan jika aku bersuara. Ish, tak logik betul dah pukul 11 lebih takkan banyak kedai tak buka lagi. Ishh… geramnya…
            Sebaik sahaja sampai di pusat membeli belah midvalley itu aku terus menuju ke kaunter tiket. Tanpa meminta apa-apa cadangan atau buah fikiran dariku filem mana yang hendak ditonton dia lantas membeli dua tiket.
            “Jom,” ujar Zafril sambil menyerahkan air pepsi padaku.
            Aku hanya mengekori langkahnya memasuki panggung wayang. Malas aku ingin mengambil tahu filem apa yang bakal tersaji di depan mataku sebentar lagi.
            Ish, kedekut betul, satu popcorn je dia beli. Sempat aku membebel dalam hati apabila melihat sekotak popcorn yang berada di gengamannya.
            Sebaik sahaja aku dan Zafril duduk di bangku panggung itu, terlayar tajuk filem yang akan kami tonton sebentar lagi. Melihat sahaja tajuk itu aku pantas memandang Zafril yang berada di sebelah kananku.
            “Awak memang suka tengok cerita Johnny Depp kan?” Soal Zafril dengan senyuman.
            “Memandai je.” Ujarku sambil menutup resah di hati. Aku memandang semula skrin besar yang terlayar di hadapanku. Bagaimana Zafril tahu tentang perkara itu?
            “Alah, tak payah nak tipulah, saya dah dengar semalam awak cakap pada Amy yang awak teringin sangat nak tengok filem ni kan?” Zafril terus cuba menyelongkar rasa hatiku.
            Aku memandang Zafril kembali. Adakah Zafril mengajakku keluar hari ini adalah semata-mata untuk memenuhi keinginan yang aku katakan pada Amy semalam? Wajah Zafril terus kutatap, cuba mencari keikhlasan di wajahnya.
            Zafril menghulurkan popcorn yang sedari tadi dipegangnya padaku. “Kita kongsi, em…” ujar Zafril perlahan.
            Aku tersenyum nipis dan mengangguk. Aku mengambil beberapa butir popcorn kemudian memandang semula layar dihadapan. Mengapa harus sebegini sekali layanannya padaku? Aku menjadi resah seketika.

ZAFRIL menolak perlahan troli yang agak sarat dengan barangan, matanya melilau mencari pelbagai jenis barangan yang tersusun rapi di atas rak-rak yang tersedia. Aku sedikit terkejut melihat Zafril membeli terlalu banyak barangan dapur. Seingatku dia duduk bujang di sebuah kondominium di Cheras dan sesekali sahaja pada hujung minggu dia akan pulang ke rumah orang tuanya di Sri Kembangan. Jadi apa perlu barangan dapur sebanyak itu?
            “Awak selalu minum yang mana satu?
            Tercantas lamunanku apabila mendengar soalan dari Zafril. Aku merenung tin milo dan vico yang dipegangnya. Tanpa banyak fikir aku menunjukkan tin milo. Kemudian dia menyimpan semula tin vico di rak semula. Dua tin milo di ambil dan diletakkan ke dalam troli.
            “Encik selalu minum yang mana satu?” Sengaja  aku ingin mengetahui selera pilihan minuman berperisa coklatnya.
            “Yang tu.” Zafril menunjukkan tin vico yang telah disimpan semula ke rak. Dia menolak troli itu ke rak barangan di sebelah pula.
            “Habis tu kenapa encik beli jenama ni?” Aku semakin pelik, jika jenama itu yang menjadi pilihannya selalu, mengapa jenama ini pula yang ingin dibelinya. Sampai dua pula tu.
            Zafril hanya tersenyum mendengar soalan dariku. Dibiarkan sahaja soalanku tergantung tanpa jawapan.
            “Kalau biskut pula awak selalu beli yang mana?” Zafril sudahpun berhenti di hadapan rak yang mempamerkan pelbagai jenis dan jenama biskut.
            Aku mengaru kepala yang tidak gatal. Pelik benar aku dengan perangai Zafril. Semua barang yang ingin dibelinya hari ini memerlukan aku yang membuat pilihan. Selepas makan tengah hari tadi, dia sempat membeli beberapa helai kemeja dan kesemua kemeja itu dibeli atas pilihanku. Daripada segi tekstil kain dan warna, semuanya Zafril meminta aku yang membuat pilihan dan dia hanya membayar kemeja yang telah aku pilih tanpa sebarang bantahan.
            “Pandai awak pilih.”
            Hanya itu ayat yang terkeluar dari bibir Zafril setiap kali aku selesai membuat pilihan kemeja yang aku rasakan sesuai dengannya. Benarkah aku pandai memilih atau dia sengaja mahu menjaga hatiku ini? Aku mula terfikir, tidak mungkin semua pilihanku menepati citarasanya.
            “Yang mana ni?”
            Aku pantas memandang Zafril yang sedang meneliti sebungkus biskut di tangannya. Tanpa berlengah lagi aku menunjukkan biskut yang selalu aku beli ketika membeli-belah dengan Fitri setiap hujung bulan. Dan seperti biasa Zafril mengapai dua tin biskut yang aku tunjukkan lalu dimasukkan ke dalam troli.
            Hampir sejam setengah kami berada di dalam pasaraya itu. Setelah membuat bayaran Zafril menolak troli menuju ketempat letak kereta. Apabila sampai sahaja di basement aku membantu Zafril memasukkan barang-barang yang dibeli tadi ke dalam boot.
            “Kita baliklah ye Encik Zafril. Penatlah.” Aku terlebih dahulu membuat permintaan sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Aku tidak mahu Zafril membuat rancangan tambahan lagi selepas ini. Cukuplah, aku benar-benar telah keletihan.
            “Okay,” Zafril terus sahaja bersetuju tanpa sebarang bantahan. Dia memandu laju menghantarku pulang ke rumah.
            Sampai sahaja di pangsapuriku, Zafril segera mematikan enjin keretanya.
            “Awak tunggu sekejap.” Zafril terus turun dari keretanya dan menuju ke boot keretanya.
            Aku yang pelik dengan perangai Zafril segera turun dari kereta dan melihat Zafril yang sedang mengasingkan barang-barang dapur yang dibelinya tadi.
            “Dah, jom.” Zafril menutup boot keretanya dan mengunci keretanya. Dia membimbit ampat beg plastik yang sarat dengan barangan dapur di kiri dan kanan tangannya.
            “Rumah awak kat tingkat dua kan?” Soal Zafril apabila aku dan dia sudah berada di dalam lif.
            “Encik Zafril nak buat apa sebenarnya ni?” tanyaku yang makin keliru apabila Zafril turut menaiki lif bersamaku. Punat yang bernombor dua itu Zafril tekan. Takkan Zafril ingin mengikutku pulang ke rumah?
            “Saya nak hantar barang-barang ni kat rumah awaklah.”
            Aku terkedu seketika. “Barang-barang ni encik…” kata-kataku terhenti di situ. aku menelan liur. Cuba mencerna semula setiap patah kata yang keluar dari bibirnya.
            “Ye, saya beli untuk awak.” Zafril terus keluar dari lif apabila pintu lif telah terbuka luas sebaik sahaja sampai di tingkat dua dan aku jua turut keluar dari lif itu dan mematikan langkah di hadapan pintu lif yang telah tertutup rapat.
            “Er… tapi encik saya…”
            “Dah jangan nak banyak cakap. Saya beli ni ikhlas untuk awak. Terima jelah.” Pantas Zafril memotong sebelum aku sempat menghabiskan kata.
            “Tapi encik saya tak boleh terima banyak sangat ni.” Aku terus meluahkan apa yang aku rasakan. Barangan yang berada di tangannya aku renung satu persatu. Keempat-empat plastik itu penuh dengan barangan dapur.
            “Habis tu betullah tak nak ni?” Zafril mula merenungku yang berada di sebelahnya.
            Mendengar soalannya itu aku pantas mengangguk laju. Aku benar-benar-benar tidak mahu.
            Tiba-tiba dengan kasar Zafril meletakkan keempat-empat plastik itu dihadapanku. Aku terkejut mendengar bunyi yang terhasil dari hentakkan barangan itu ke lantai. Wajahku direnung tajam, rahangnya bergerak-gerak seolah-olah menahan marah.
“Saya beli semua tu memang untuk awak. Tapi kalau awak dah tak nak, buang aje semua tu kat tong sampah.” marah Zafril padaku. Kemudian dia berpaling dan menekan butang untuk turun ke bawah. Sebaik sahaja lif terbuka dia memboloskan diri ke dalam lif tanpa sedikit pun menoleh kepadaku lagi.
Aku terdiam melihat Zafril yang berlalu begitu sahaja. Kecil hatikah dia padaku? Aku bukan sengaja berbuat begitu, aku cuma tidak mahu dilihat mengambil kesempatan ke atas kebaikannya pada diriku ini.
Aku kian serba salah. Takkan mahu  dibuang ke semua barangan itu. Setelah lama berfikir, akhirnya aku menjinjit kesemua barangan itu dan kubawa masuk ke dalam rumah.

Bersambung...

Tuesday, September 6, 2011

Anda Ingin Memiliki Novel JAUH DARI CINTA?

Assalamualaikum & Salam sejahtera...

Mampukah Nysa membawa Lily kembali ke dalam hidup Aqil? Benarkah Aqil langusung tidak pernah dapat menerima Nysa lebih daripada seorang 'adik'? Anda ingin tahu kesudahan kisah Nysa dan Aqil?  Berita gembira buat rakan2 pembaca yang sudah lama menunggu Jauh Dari Cinta. Anda boleh mula membuat tempahan secara online melalui laman web KARYASENI pada hari JUMAAT (9/9/2011). Selamat membaca dan jangan lupa kirimkan komen anda kepada AH untuk AH baiki lagi mutu penulisan pada masa akan datang. Terima kasih buat semua yang sudi memiliki JDC. Semoga JDC menjadi salah sebuah koleksi kesayangan anda. Special utk anda, trailer JDC untuk tatapan semua. 


Monday, September 5, 2011

Ada Di Hati - Bab 16


ENAM BELAS
            Terkejut aku melihat wanita yang kini berada di hadapanku. Dengan skrit dan baju yang agak terdedah itu, dia kelihatan benar-benar seksi. Tidak tergamak aku melihatnya, melihatnya sahaja sudah membuatkan aku malu sendiri.
            “Cik, tunggu sebentar ye.” Kataku sejurus bangun mendapatkan Zafril di dalam biliknya.
            “Encik Zafril, Cik Khaty dah sampai.” Kataku sebaik sahaja telah berdiri di hadapan Zafril.
            “Datuk Razali tak datang sekali ke?” Zafril mempamerkan wajah bingungnya. Memang sepatutnya hari ini dia mempunyai temujanji dengan Datuk Razali.
            “Cik Khaty kata Datuk Razali ada kat bawah jumpa kawan, tu yang Cik Khaty naik dulu.” Aku mengulangi maklumat yang disampaikan oleh Khaty padaku seawal ketibaannya sebentar tadi.
            “Okaylah, suruh dia masuk.”
            Aku mengangguk dan berjalan semula menuju keluar dari bilik Zafril tapi belum sempat aku memulas tombol pintu itu Zafril memanggilku.
            “Bila Khaty masuk nanti, biarkan pintu itu terbuka je. Tak payah tutup.” Arah Zafril.
            Aku mengangguk sekali lagi. Setelah mendapatkan Khaty dan membawanya masuk ke dalam bilik Zafril, aku membiarkan pintu itu terbuka luas seperti arahannya sebentar tadi, lalu kemudiannya, aku menuju ke pantry untuk menyediakan minuman untuk tetamunya itu.
            “Tangan you tu tak boleh nak duduk diam, ke?”
            Aku tersentak, kasar betul nada Zafril tika ini. Aku yang baru sahaja mahu masuk ke dalam bilik itu terpaksa mematikan langkah, tidak jadi masuk. Kakiku seolah-olah terpasak di lantai depan pintu bilik itu bersama dulang yang masih lagi ku pegang erat. Nak masuk ke tak ni? Aku mula berkira-kira di dalam hati. Aku menjenggukkan kepala, mengintai melihat Zafril dan Khaty yang berada di set sofa yang terdapat di dalam bilik itu.
            “Rilekslah, takkan tu pun you nak marah.” Bisik Khaty dengan manja.
            Zafril kelihatan menderukan nafas kencang. Rahangnya sudah bergerak-gerak seolah-olah menahan marah. Khaty kini sudah bangun dan duduk di sebelah Zafril, makin lama Khaty makin dekat dengan dirinya. Pantas Zafril bangun dari duduknya.
            “Khaty kalau you dah tak tahu nak hormat diri you tu, boleh tak you hormat sikit kat I?” Zafril kini sudah mencekak pinggangnya. Marah benar dia kali ini dengan Khaty.
            Khaty juga lantas bangun mengadap begitu rapat dengan Zafril. “Yang you nak marah-marah ni kenapa? I tak buat apa-apa pun kat you.”
            Aku terkedu melihat kemanjaan Khaty dan kini Khaty cuba menyentuh bahu Zafril.
            “Hei you ni…”
            Aku pantas mengetuk pintu bilik Zafril. Melihat situasi tadi, aku tahu Zafril sudah hilang sabar dengan wanita itu. Sebelum perkara yang lebih buruk terjadi lebih baik aku meredakan suasana yang tegang itu. Zafril dan Khaty pantas memandangku yang berada di muka pintu.
            “Maaf menganggu. Saya nak hantar air.” Aku mula bergerak dan mendekati set sofa di dalam bilik itu. Namun belum sempat aku sampai ke meja kopi itu Zafril telah berdiri dihadapanku, menghalang laluanku.
            “Tumpang lalu Encik Zafril, saya nak letak…” Dan belum sempat aku menghabiskan ayatku, Zafril telah mengambil dulang yang berada di tanganku dan diletakkan ke atas meja kopi yang berada beberapa langkah di belakangnya. Kemudian dia kembali semula padaku dan menarik lenganku agar menjauhi sedikit set sofa yang sedang diduduki Khaty tika ini.
            “Look Safi, apa yang awak nampak tu, bukan macam apa yang awak fikirkan.”  Laju sungguh ayat itu keluar dari bibir Zafril. Wajah gusar jelas kelihatan di wajahnya.
            “Apa yang saya fikirkan?” aku mengerutkan dahi tidak faham dengan maksud Zafril.
            “Pasal tadi tu. Bukan saya yang… Tapi dia…” ujar Zafril tersekat-sekat dan kelihatan masih cuba menyusun ayat yang sesuai untuk dikatakan.
            Aku tersenyum melihat Zafril yang sudah tidak keruan itu. Aku faham maksudnya. “Encik Zafril takut saya salah faham ke?’
            Zafril mengangguk laju dan kelihatan bersungguh-sungguh.
            Aku menahan tawa melihat ulah Zafril itu. Memang aku akan salah faham jika aku tidak melihat dan mendengar sendiri apa yang berlaku sebenarnya tadi. Tapi melihatkan apa yang berlaku tadi aku dapat mengagak pasti Khaty mempunyai suatu niat lain.
            “Tapi saya tak fikir yang bukan-bukan pun pasal encik.” Kataku jujur kerana aku yakin bukan Zafril yang memulakan semua itu dahulu, walaupun lelaki ini mempunyai sikap yang menjurus ke arah itu suatu masa dahulu.
            “Betul?” Laju Zafril bertanya.
            “Kenapa, encik tak percaya ke?”
            Zafril menarik nafas lega. “Tak adalah manalah tahu lepas ini awak tukar nama gelaran saya dari buaya tembaga ke buaya plantinum pula ke?”
            Buaya plantinum? Saat ini aku sudah tidak boleh menahan tawa lagi. Aku ketawa kuat. Tidak pernah pula aku mendengar ada buaya platinum. Ditambah pula dengan muncungnya yang berdepa-depa, bertambah geli hatiku.
            Zafril bercekak pinggang dan mengjengkilkan matanya padaku. Mungkin sakit hati melihat buat pertama kalinya aku mentertawakannya sehingga sebegitu.
            “Seronok ketawa.”
            Mendengar sahaja suara garau dari belakangku, aku lantas mematikan tawaku. Kepala aku palingkan ke belakang, memandang seorang lelaki akhir 40-an berdiri tegak di muka pintu bilik Zafril, matanya tertacap pada Zafril. Lelaki yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Kini mata lelaki itu terarah pula padaku, aku direnung tajam olehnya.
            Aku mula tidak sedap hati dengan renungan tajam dari lelaki itu. Aku lantas bergerak perlahan menghampiri Zafril dan berdiri rapat dengannya. Aku dan Zafril berbalas pandangan seketika sebelum dia memandang semula lelaki itu yang telah pun berada betul-betul di hadapan kami.
            Lelaki itu menghulurkan tangannya padaku dan belum sempat lelaki itu bersuara Zafril terlebih dahulu berjabat tangan dengannya sekaligus menghalang lelaki itu dari terus merapatiku.
            “Welcome to Adni Maju Consulting, Datuk Razali.” Zafril mengenggam kuat tangan lelaki yang dipanggil Datuk Razali itu.
            “Em…” Datuk Razali mengangguk kecil pada Zafril kemudian matanya melirik padaku semula. “And you are…”
            “My secretary, Safiah Aisyah.” Zafril menjawab bagi pihakku.
            Aku merenung wajah Zafril yang seolah-olah tidak senang dengan Datuk Razali.
            “Safi awak boleh sambung kerja awak.” Pantas Zafril meningkah sebelum sempat Datuk Razali yang ingin mengatakan sesuatu padaku memulakan kata. Zafril mengerakkan matanya memberikan isyarat padaku supaya keluar dari bilikku segera.
            Aku yang faham dengan isyarat dari Zafril itu pantas keluar, tidak sanggup berhadapan dengan Datuk yang kelihatan semacam dari tadi.

DENGAN langkah perlahan aku menuju ke arah Zafril yang sedang meneliti menu di tangannya. Muka Zafril kelat sahaja tika ini. Aku tahu walaupun dia sibuk menyelak menu di tangannya tapi fikirannya tiada di menu itu.
            “Encik Zafril.”
            Zafril terus memandangku yang kini berada di hadapannya. “Macam mana, dapat?” terus Zafril bertanya.
            “Encik Sufian kata dia tak dapat datang hari ini. Ada urgent kes, dia minta maaf. Tapi dia janji esok dia akan jumpa Encik Zafril.”
            Zafril mengeluh berat. Aku tumpang simpati dengan dirinya, susah sekali untuk dia berurusan dengan syarikat-syarikat yang masih berhutang dengan Adni Maju. Jika pertemuan telah diaturkan pasti ada sahaja alasan untuk mereka melepaskan diri. Jika hanya satu atau dua syarikat sahaja yang begitu tidak mengapa, tapi ini lebih dari lima buah syarikat yang tidak menjelaskan bayaran mengikut perjanjian. Jika ini berterusan susah Adni Maju untuk bertahan.
            “Er… Encik Zafril saya orderkan air dulu ye.” Aku cuba memberikan cadangan. Aku tahu pasti Zafril sedang susah hati saat ini. Masalah kewangan syarikat begitu meruncing saat ini sehingga Datuk Razali mengambil kesempatan itu untuk membeli Adni Maju dengan menawarkan harga yang agak lumayan. Dan rupanya itulah tujuan kedatangan Datuk Razali dan Khaty datang ke Adni Maju semalam. Namun Zafril tidak mungkin menjualkan hasil titik peluh kakaknya itu.
            “Kenapa awak risaukan saya ke?” bergayut secalit senyuman di wajahnya tika ini.
            “Er…” Aku terkelu, tidak tahu apa yang perlu dijawab. Melihat senyuman Zafril itu menambahkan resahku.
            “Jom.” Zafril lantas bangun dari kerusinya.
            “Nak kemana Encik Zafril?” aku masih lagi mahu bertanya walaupun kaki telah mengekori langkahnya. Bukankan aku dan dia datang ke restauran ini untuk makan tengah hari sambil membincangkan soal pembayaran dengan Encik Sufian. Walaupun Encik Sufian tidak jadi datang, tapi takkan aku dan dirinya tidak perlu makan tengah hari.
            “Saya nak bawa awak pergi Thailand. Nikah terus kat sana.”
            Aku yang baru mahu memakai tali pinggang keledar terus terhenti seketika apabila mendengar kata Zafril itu. Aku memandang dirinya yang tika ini sudah mula memandu kereta Nissan Sylphynya. Peluh mula merintik di dahiku. Gila apa? Siapa nak kahwin dengan dia? Kat Thailand pula tu!
            Seketika kemudian Zafril ketawa dan tawanya itu membuatkan aku yakin dia ingin menggenakan diriku. Aku mengetap bibir, sakit hati dengan perangainya yang suka menggenakan diriku.
            “Tak payahlah buat muka blur tu. Kalau dah sampai jodoh kita nanti, saya terus suruh mama dengan papa saya merisik awak dan saya sendiri yang akan jumpa dengan ibu dan ayah awak minta izin. Tak mainlah kahwin lari macam tu. Tak gentleman langsung.” Zafril masih lagi tertawa dan sesekali dia melirik padaku.
            “Encik Zafril ni boleh tak jangan main-main.” Marahku apabila Zafril masih lagi tidak berhenti dari ketawa. Kalau ikutkan hati yang sedang sakit ini mahu sahaja aku menumbuk mukanya.
            “Alah, kalau setakat penumbuk awak tu, tak terkesan langsung kat muka saya ni.”
            Aku pantas berpaling memandang Zafril di sebelahku. Terkejut! bagaimana Zafril tahu apa yang ingin aku lakukan padanya tika ini? Bagaimana dia boleh membaca hatiku?
            “Simpan ajelah penumbuk awak tu.” Zafril mengerling sekilas pada tangan kiriku yang sedang meramas tangan kanan yang kugenggam rapi. Dia masih lagi tersenyum mengejek.
            Aku pantas memeluk tubuh. Aku sendiri tidak perasan bila masanya aku mula meramas tanganku begitu. Zafril di sebelah kukerling sekilas, walaupun mata Zafril sedang tertumpu pada jalan di hadapannya tapi senyuman masih bergayut di bibir itu.
            “Rumah siapa ni encik?” Soalku sejurus menutup pintu kereta Zafril. Rumah teres lot tepi dua tingkat itu kutatap. Aku menyoroti langkahnya hingga ke muka pintu.
            “Rumah saya,” Zafril membuka luas pintu rumahnya.
            Mendengar sahaja jawapan daripada Zafril aku terus mematikan langkah. Aku berdiri tegak di hadapan pintu rumah itu. Tidak mungkin aku akan masuk ke dalam rumahnya. Berdua-duaan dengan Zafril di dalam rumah itu pasti mengundang bencana. Tak pasal-pasal kena cekup.
            Aku mula berundur setapak, menjauhi pintu itu. Pelbagai perkara buruk bermain di fikirankku pada masa ini. Apa perlu dia membawaku ke sini. Walaupun pada waktu siang hari, tapi jika dilihat oleh jiran tetangganya apa pula kata mereka nanti.
            “Lah... apasal tak masuk lagi?” Soal Zafril apabila melihatku yang masih berada di luar rumahnya, tidak turut serta dengannya yang pada masa ini telah pun melangkah berada di dalam rumah.
            “Awak tak payah risaulah. Bukan kita berdua je kat rumah ni. Mama saya ada sekali. Saya masih tahu bezakan halal dan haram…”
            “Eh, kenapa tak bagitahu anak mama nak balik rumah hari ni?” Sebelum sempat Zafril menghabiskan katanya seorang wanita pertengahan 50-an berjalan menghampirinya.
            Zafril berpaling dan menyalami tangan wanita itu.
            “Balik makan je mama.”
            “Lah, dah pukul 2 petang belum makan tengahari lagi ke?”
            Zafril mengelengkan kepala. Aku pula masih memerhati mereka yang saling bersoal jawab. Pasti wanita ini ibu Zafril. Aku melemparkan senyuman pada wanita itu apabila dia memandangku.
            “Siapa tu?”
            Zafril berpaling memandangku. “Safi, masuklah.” Laung Zafril.
            Kali ini barulah aku berani menginjakkan kaki ke dalam rumah itu. Dengan adanya ibu Zafril di dalam rumah itu, barulah aku terasa selamat untuk terus berada di situ. Jejak sahaja kakiku di dalam rumah itu, aku terus menyalami dan mencium tangan wanita yang hampir sebaya dengan ibuku.
            “Siapa ni?” sekali lagi ibu Zafril menyoal Zafril.
            “Special friend, mama. Nama dia Safiah Aisyah. Mama panggil dia Safi je.”
            Special friend? Kenapa Zafril memperkenalkan diriku dengan gelaran itu? Bukankah lebih baik jika aku diperkenalkan sebagai pekerjanya sahaja? “Er… sebenarnya saya setiusaha Encik Zafril, puan.” Aku berterus-terang. Zafril pula terus memandang wajahku dengan pandangan yang aku sendiri tidak faham maksudnya, namun matanya sempat menikam anak mataku, membuatkan aku segera melarikan pandangan ke tempat lain.
            “Oh… Alah Safi tak payah berpuan-puan, panggil makcik Hasnah je.” Ramah sungguh ibu Zafril ini.
            Aku hanya tersenyum, aku yakin makcik Hasnah ini pasti seorang ibu yang baik.
            “Eh, dahlah jom makan. Mesti Safi laparkan.” Makcik Hasnah menarik tanganku dan membawaku ke meja makan, anaknya pula dibiarkan terus berdiri di situ.
            Sepanjang makan tengah hari itu Makcik Hasnah sibuk berbual itu dan ini denganku. Aku amat menyenangi Makcik Hasnah dan selesa berbual dengannya. Zafril pula yang asyik tersenyum dari tadi, cuma sesekali sahaja dia menyampuk perbualanku dengan Makcik Hasnah, dalam kebanyakkan masa, dia hanya bertindak sebagai pemerhati sahaja.
            Selesai sahaja makan, aku membantu Makcik Hasnah membasuh pinggan. Walaupun Makcik Hasnah melarang tapi aku tetap ingin membantu, bukan nak tunjuk rajin, tapi tidak selesa pula membiarkan wanita itu membuat kerja sendirian sedangkan aku duduk bersenang lenang. Sebaik selesai membasuh pinggan aku menumpang solat di sebuah bilik di rumah itu.
            Selesai sahaja menunaikan perintah wajib itu, aku turun ke bawah mencari Zafril, namun hanya Makcik Hasnah sahaja yang berada di ruang tamu ketika ini. Aku mengerling memandang jam di dinding, hampir pukul 3.30 petang dan aku masih lagi di sini. Pasti pekerja-pekerja lain tertanya-tanya mengapa aku masih lagi tidak masuk pejabat.
            “Makcik, Encik Zafril mana?”
            “Dia solat kat atas, kejap lagi turunlah tu. Safi duduklah dulu.” Makcik Hasnah mengesot ke kiri memberi ruang padaku untuk duduk di sebelahnya. “Safi, makcik nak tanya sikit boleh?” Soal Makcik Hasnah, dia mula menutup majalah yang dibacanya tadi dan diletakkan ke atas meja kopi di hadapannya.
            Aku menganggukkan kepala, membenarkan wanita itu bertanyakan soalan padaku.
            “Safi ada apa-apa hubungan ke dengan anak makcik tu?” Makcik Hasnah melirik senyuman.
            Aku yang tidak menyangka soalan itu yang akan keluar dari bibir wanita itu, terdiam seketika. “Eh, tak adalah makcik, mana ada hubungan apa-apa. Saya dengan Encik Zafril tu cuma pekerja dengan majikan saja.” Terangku bersungguh-sungguh. Aku tidak mahu hubunganku dengan Zafril disalah ertikan. Hubungan kami setakat itu sahaja. Tidak pernah aku terfikir untuk lebih dari itu. Lebih-lebih lagi aku hanya seorang pekerja.
            “Betul?” Makcik Hasnah seolah-olah tidak percaya.
            Aku mengangguk laju.
            “Maaflah kalau makcik tanya macam tu. Makcik ni bukannya apa. Anak makcik tu belum pernah lagi dia bawa mana-mana perempuan balik rumah. Safilah perempuan pertama yang dia bawa jumpa makcik. Itu yang makcik ingat Safi ni teman wanita dia.”
            Teman wanita? Aku menelan liurku sendiri. Tidak mungkin aku akan menjadi teman wanita kepada kekasih kawan baikku sendiri. Semenjak aku bekerja dengan Zafril, tidak pernah aku menganggap Zafril lebih dari sekadar majikanku. Walaupun kini aku sudah tidak lagi membenci dirinya seperti enam tahun lalu, tapi tidak pernah pula aku terfikir untuk menjadi teman wanita lelaki itu. Tidak pernah sekali pun!
            “Maklumlah umur dia pun dah hampir 30 tahun, makcik nak juga tengok dia berumah tangga. Tapi tulah bila suruh bawa balik teman wanita ke rumah ni untuk kenalkan dengan family, jawapan dia, nantilah... nantilah. Ish, risau juga makcik dibuatnya.” Ujar Makcik Hasnah panjang lebar bercerita tentang anak terunanya itu.
            “Orang perempuan ni kalau dah jumpa, tak ada kerja lain, mesti mengumpat.”
            Aku dan Makcik Hasnah mendongak memandang Zafril yang sudah berdiri di sisi kami.
            “Amboi sedapnya mulut tu mengata mama.” Makcik Hasnah pura-pura memarahi anaknya.
            Zafril tertawa kecil memandang mata ibunya yang mula membulat. “Jom Safi. Mama kita orang minta diri dulu ye.”
            Aku segera bangun dan bersalaman dengan Makcik Hasnah begitu dengan Zafril. Makcik Hasnah menghantarku dan Zafril sehingga ke muka pintu.
            “Datanglah lagi rumah makcik ye Safi.” Pelawanya.
            “InsyaALLAH makcik.” Seketika kemudian aku memasuki kereta Zafril. Sewaktu kereta Zafril mula bergerak aku membalas lambaian tangan Makcik Hasnah. Berat pula hatiku untuk meninggalkannya, walaupun baru beberapa jam berjumpa dan berkenalan, dia melayanku dengan begitu baik sekali. Banyak perkara yang dibualkan seperti telah lama berkenalan.
            “Berbual apa dengan mama saya tadi?” Soal Zafril membuka bicara pertamanya setelah lama menyepi sejak berada di dalam kereta.
            Perlukah aku memberitahu dia yang Makcik Hasah menyangka diriku ini teman wanitanya? Oh… tidak mungkin, kalau Zafril tahu tentang perkara itu pasti makin panjang ceritanya.
            “Tak ada apa-apa, borak-borak kosong aje.” Aku diam seketika mencari idea supaya dia tidak mengorek topik perbualanku dengan Makcik Hasnah lebih lanjut. “Ayah encik mana? Saya tak nampak pun tadi?”
            “Ayah saya kerjalah.”
            “Ayah encik kerja apa?”
            “Ayah saya kerja kat Tiara Holding.”
            Aku sedikit teruja mendengar nama syarikat itu. Siapa yang tidak kenal dengan Tiara Holding? Sebuah syarikat perladangan yang termasyur di negara ini dan hampir sedekat lalu Tiara Holding mengembangkan perniagaannya dalam industri perladangan, makan dan ternakan. Dan sebagai rakyat negara ini, aku berbangga syarikat milik penuh bumiputera itu boleh berjaya sehingga begitu sekali.
            “Ayah encik kerja sebagai apa di Tiara Holding?”
            “Pengarah urusan.”
            Keterujaanku sebentar tadi berubah menjadi kejutan. Maknanya ayah Zafril merupakan pemilik Tiara Holding. Tapi mengapa dia tidak bekerja sahaja dengan ayahnya dan sekaligus bakal mewarisi legasi perniagaan ternama itu. Dan rumah yang didiami keluarganya mengapa hanya rumah teres lot tepi sahaja. Pengarah urusan syarikat sebesar itu sekurang-kurangnya tinggal di rumah banglo di pinggir bandar, tidak pun di kawasan perumahan elit, di lereng-lereng bukit, sesuai dengan imej yang dibawa.
            “Ayah saya pemegang amanah aje di syarikat tu.” Jelas Zafril yang mungkin tahu apa yang sedang bermain di mindaku.
             “Oh…” aku hanya mampu mengiakan walaupun yang sebenarnya aku kurang faham dengan penjelasannya. Aku ingin bertanya lagi tetapi apabila melihat Zafril seola-olah tidak mahu lagi berbicara tentang perkara itu aku mengambil langkah mendiamkan diri.
            “Dah sampai,”
            Aku tersentak dari lamunan dan dengan pantas aku menoleh ke kiri memandang pangsapuri yang tersegam. Aku tidak faham mengapa Zafril menghantarku pulang ke rumah, bukankah sepatutnya aku dan dia pulang ke pejabat.
            “Dah nak pukul lima petang dah pun. Dah alang-alang, tak payah masuk pejabatlah petang ni.”
            Aku mengerling memandang jam di tanganku. Ada lagi 45 minit sebelum masa pejabat tamat. Bukankah lebih elok mereka pulang ke pejabat sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan apa-apa kerja yang patut.
            “Tapi Encik Zafril saya tak punch card lagi ni,”
            “Tak apa nanti saya bagitahu Roslina. Alah, arahan bos siapa berani lawankan.” Bersungguh-sungguh dia menyakinkanku.
            Malas aku mahu bersoal jawab dengan bosku itu, pasti dia tidak mahu mengaku kalah. Dan pastinya aku yang harus mengalah. Selepas mengucapkan terima kasih pantas aku turun dari kereta itu dan melangkah laju menuju ke rumahku yang berada di tingkat dua.
            “Eh, awal kau balik hari ni Safi.” Ujar Fitri sewaktu aku menutup semula pintu rumah.
            “Tak masuk pejabat pun petang ni,” aku melabuhkan badan pada kerusi panjang di ruang tamu. Aku menutup mata, tiba-tiba terasa ngatuk yang teramat sangat.
            “Kenapa pula tak masuk pejabat?” Fitri masih lagi ingin berbual denganku walaupun aku telah menutup mataku.
            Soalan dari Fitri itu aku biarkan sepi tanpa jawapan. Aku tidak mahu melayan soalannya, aku hanya mahu melayan mata yang telah terasa makin berat. Namun Fitri yang masih lagi tidak berpuas hati terus mengerakkan tubuhku berulangkali.
            “Ye, Cikgu Fitri ada apa?” Aku bangun dari pembaringan dan duduk di kerusi itu, namun mata masih terpejam rapat.
            “Aku tanya kenapa kau tak masuk pejabat petang ni?” Fitri mengulangi soalannya.
            “Tengah hari tadi aku dengan Zafril jumpa customer, tapi customer tu tak jadi datang. Lepas tu dia bawa aku pergi rumah dia, ma…”
            “Bawa pergi rumah dia? Kau biar betul?” belum sempat aku menghabiskan kata Fitri telah memotong dan kini dia duduk di sebelahku. Mug air yang dipegang sedari tadi, diletakkan ke atas meja.
            “Korang berdua aje ke kat rumah dia tu? Korang buat apa?” sambung Fitri.
            “Ish, merepek aje kau ni, takkan aku berdua aje dengan dia kat dalam rumah tu, nak mampus. Mak dia ada sekalilah.” Mataku yang mengantuk tadi segar bugar tiba-tiba apabila mendengar telahan teman baikku itu.
            “Oh, ni kira nak perkenalkan bakal isteri kat mak dialah ni kan.” Fitri tersenyum sumbing sambil mengangkat keningnya padaku.
            “Ish, merepek aje kau ni. Mana ada.” Pantas aku menyangkal andaiannya.
            “Eleh, siap bawa jumpa mak dia lagi tu apa kes pula? Oh… kau ada apa-apa ye dengan bos kau tu?”
            “Eh, mana ada. Kau ni jangan nak buat fitnah pula ye kat sini.” kataku geram apabila Fitri sengaja menambah andaian sesuka hati.
            “Tak ada maknyanya aku nak fitnah kau. Amboi, dulu bukan main beria-ia tak nak kerja kat situ lepas tahu bos kau tu Zafril yang kau benci sangat tu. Tub..tub..sekarang ni dah terpikat pula ye?” usik Fitri lagi.
            Aku mengeluh kecil. “Memanglah aku benci kat dia dulu, tapi lepas aku kerja dengan dia barulah aku tahu dia tu taklah sejahat mana pun. Tu yang aku boleh tahan kerja dengan dia sampai sekarang. Tapi taklah sampai aku dah terpikat dengan dia. Eh, dia tu bos aku je tau.” Beria-ia aku menerangkan pada Fitri yang tidak sudah-sudah tersenyum. Tidak penatkah bibirnya menguntum senyuman sedari tadi.
            “Okaylah mungkinlah kau tak suka kat dia. Tapikan Safi aku rasakan dia dah suka kat kaulah. Iyalah sebab tulah dia sanggup bawa kau jumpa mak dia. Orang lelaki ni Safi kalau kau nak tahu, dia orang takkan bawa sebarangan perempuan jumpa mak dia orang tau kecuali kalau dia orang dah betul-betul suka dengan perempuan tu.” Fitri membentangkan pendapatnya.
            Aku mencebik bibir, aku tidak yakin langsung dengan hujahnya. Yang aku yakin dan pasti Zafril tiada niat lain sewaktu membawaku berjumpa dengan Makcik Hasnah.
            “Eh, Safi entah-entah, si Zafril tu syok kat kau sejak enam tahun lepas tak?” Teka Fitri lagi.
            Sepantas kilat aku memukul bahu Fitri. “Kau ni asyik merapu ajekan. Kan aku dah cerita kat kau si Zafril tu pakwe kawan aku, Mona. Kau ni, kalau nak serkap jarang pun agak-agaklah.”
            “Alah, entah betul ke tidak Zafril tu pakwe Mona kawan kau tu. Selama kau kerja dengan dia ada kau nampak dia keluar makan dengan Mona atau mana-mana perempuan, berbual dalam telefon berjam-jam dengan mana-mana perempuan? Tak adakan? Tu maknanya dia solo lagi tau. Kalau betul pun Mona tu makwe dia, alah tu cerita enam tahun lepaslah, entah-entah dah lama diorang putus. Kita mana nak tahu.” Fitri pula yang mencebikkan bibir padaku.
            Aku memadang sekilas kawan serumahku ini. Nama sahaja cikgu tetapi bila bergosip mengalahkan wartawan hiburan. Aku bangun dari duduk dan berlalu ke bilik, malas aku mahu melayan andaian-andaian Fitri yang bukan-bukan itu.
            “Eh, Safi kalau kau tak nak kat Zafril tu, kau bagi kat aku jelah, ek.” entah kenapalah ayat itu boleh terlintas di bibir Fitri, tapi ianya sedikit pun tidak mengusik hatiku ini.
            “Ambillah, tak heran pun.” Ujarku selamba sambil menutup rapat pintu bilikku.
           
 Bersambung...