Wednesday, August 10, 2011

Ada Di Hati - Bab 11


SEBELAS
            Tepat pukul 9 pagi Kak Munah sudah berada di rumah sewaku. Aku tersenyum simpul sewaktu memasuki kereta Gen2 milik Kak Munah. Bersungguh-sungguh betul Kak Munah ingin aku meohon jawatan itu. Malam tadi entah berapa kali dia menghubungiku mengingatkan aku akan rancangannya pagi ini, seolah dia yang ingin memohon jawatan itu.
            “Tersengih-sengih dari tadi... mengata akak dalam hatilah tu.” Kata Kak Munah sebaik sahaja keretanya membelah kesibukan bandaraya KL ini.
            “Memandai-mandai aje akak ni,” dalihku apabila Kak Munah seolah-olah dapat membaca apa yang ada di fikiranku.
            “Alah, macamlah akak tak kenal kau tu. Resume semua dah siap ke?” Akak Munah mengerling seketika ke sampul yang erat dalam gengamanku.
            “Dah kak. Dah siap semuanya. Akak jangan risaulah ye.” Aku pula yang memandang sampul coklat yang membaluti resume ku. Buat pertama kalinya aku menyiapkan sebuah resume dengan separuh hati, rasanya cincai sahaja aku menyiapkan semuanya. Malas mahu bersungguh-sungguh seperti sebelum ini.
            “Kalau ada rezeki tak kemana Safi.” Kata Kak Munah apabila melihat aku merenung lama resume itu.
            Aku tersenyum mendengar kata-kata Kak Munah itu. Iya, kalau ada rezeki tak kemana.
            Setelah hampir setengah jam merempuh kesesakkan jalan raya akhirnya kereta Gen2 Kak Munah berhenti di hadapan sebuah bangunan 18 tingkat. Aku mendongakkan kepala memandang wisma yang berdiri megah di situ.
            “Susah nak cari parkinglah kat sini Safi. Em… akak tunggu Safi dalam kereta ajelah ya.”
            “Okay, no hal.” Aku pantas turun dari kereta dan memasuki wisma itu dan mencari lif untuk membawaku ke atas, tingkat 8, unit 1 yang menempatkan pejabat consulting ICT ini.
            Keluar sahaja dari lif terpampang nama Adni Maju Consulting Sdn Bhd di pintu kaca beberapa meter di hadapanku. Dengan tidak membuang masa aku terus menuju ke pintu kaca itu dan membukannya perlahan. Kepala kujengahkan dahulu sebelum melangkah masuk ke dalam ruang pejabat itu.
            Tiba-tiba hatiku berdebar hebat, gugup pun terselit jua di ruangan hati, seperti ingin melangkah kaki untuk ditemuduga pula. Aku menarik nafas panjang sebelum mengatur langkah menuju ke bahagian receptionis yang berlatarkan nama dan logo syarikat itu.
            Debaran di dadaku makin kuat apabila menghampiri meja penyambut tetamu yang dihuni seorang wanita. Di hadapan wanita itu kelihatan seorang lelaki berkot kemas, yang membelakangkan diriku sedang sibuk meneliti fail di tangannya. Aku menarik dan menghembus nafas berkali-kali, membetulkan sistem pernafasanku yang makin tak keruan gayanya. Rileks, Safi kau nak hantar resume aje pun, bukan nak ditemuduga, hatiku berbisik memberikan kekuatan pada diri sendiri.
            “Assalamualaikum…”
            “Amy…”
            Kataku dan lelaki berkot kemas itu serentak pada penyambut tetamu syarikat. Aku berpaling memandang lelaki itu dan lelaki itu turut berpaling memandang wajahku. Berkerut dahiku memandang lelaki itu yang berubah terus wajahnya apabila memandangku, seolah-olah terperanjat sebaik sahaja melihat wajahku ini. Lelaki itu membetulkan  posisi berdirinya sambil terus merenungku.
            Em… hensem juga. Aduh, sempat pula aku memikirkan benda-benda sebegitu pada saat-saat begini.
            Aku mula kaget apabila lelaki itu terus menerus memandangku tanpa sebarang kata, sudah beberapa minit aku dan dia saling berpandangan begini. Aku menelan liur, ada yang tidak kena ke pada wajahku yang tidak mengenakan sebarang make-up ini sehinggakan lelaki itu merenungku sehingga sebegitu sekali.
            Aku berdehem beberapa kali cuba untuk menghentikan renungan lelaki berkot itu padaku. Menyedari aku tidak selesa direnung sebegitu, pantas lelaki itu mematikan renungannya dan melemparkan sebuah senyuman kecil padaku. Aduh! Sah, memang hensem, hatiku terus bersuara.
            Setelah membalas senyuman itu aku terus berpaling semula memandang penyambut tetamu yang kecil molek orangnya. Aku mendiamkan diri, membiarkan lelaki itu meneruskan bicara dengan pekerja yang dipanggil Amy itu terlebih dahulu. Tetapi setelah beberapa minit, lelaki berkot itu masih mengunci mulutnya, tidak berkata apa, hanya matanya yang masih lagi memandangku walaupun aku tidak lagi membalas pandangannya pada kali ini.
            Memandangkan lelaki itu tidak mahu bersuara, jadi aku meneruskan niatku yang tergendala sebentar tadi. “Cik, saya sebenarnya…”
            “Sebentar ya cik.” Pantas Amy memotong kataku dan kini pandangannya terarah pada lelaki di sebelahku. “Encik…”
            “It’s okay. Ladies first.” Belum sempat Amy menghabiskan pertanyaannya lelaki itu terlebih dahulu mencelah kata dan menghalakan tangan kanannya padaku, mengisyaratkan membenarkan aku meneruskan urusanku terlebih dahulu.
            Amy menganggukkan kepalanya dan berpaling memandangku yang sedari tadi memandangnya. “Ada apa-apa yang boleh saya bantu, cik?” Lembut sahaja soalan itu keluar dari bibir Amy.
            “Saya nak hantar resume saya untuk jawatan setiausaha yang diiklankan minggu lepas.” Terus sahaja aku menyatakan tujuanku ke sini. Mata tidak lagi aku halakan ke kananku di mana lelaki berkot itu sedang tegak berdiri kerana aku tahu lelaki itu masih lagi tidak lepas-lepas memandangku.
            “Oh… tak apa serahkan pada saya, nanti saya akan serahkan pada pengurus bahagian HR.” Kata Amy sambil tersenyum.
            Aku menyerahkan resume ku padanya. “Er… boleh saya tahu bila temuduga dijalankan ye?”
            “Temuduga akan diadakan minggu hadapan setelah permohonan disemak pengurus.”
            “Minggu hadapan?” Soalku sekali lagi.
            “Ya, minggu hadapan.” Balas Amy.
            “Kalau macam tu tak apalah. Terima kasih ya.”
            “Sama-sama.” Jawab lelaki berkot itu sebelum sempat Amy bersuara.
            Aku memandang lelaki itu dan tersenyum, kemudian senyuman aku lemparkan pula pada Amy. Segera aku keluar dari pejabat itu, tidak mahu lagi menerima renungan dari lelaki itu.
            Turun sahaja dari wisma itu aku terus mendapatkan kereta Kak Munah yang berada di seberang jalan, bukan susah untukku mengecam kereta berwarna hijau muda itu.
            “Dah hantar dah?” Soal Kak Munah sebaik sahaja aku naik ke keretanya.
            “Dah…”
            “Kita terus ke butiklah ye,”
            Aku menganggukkan kepala, bersetuju dengan cadangan Kak Munah. Baru beberapa minit kereta Kak Munah menyusuri jalan raya itu telefon bimbitku menyanyi lantang. Aku pantas mengangkat telefon bimbitku, bimabang nyanyian lagu telefon itu akan menganggu konsentrasi Kak Munah terganggu. Aku sedia maklum yang Kak Munah tidak boleh mendengar sebarang lagu sewaktu memandu, boleh hilang konsentrasi katanya.
            “Assalamualaikum…” Aku memulakan bicara.
“Waalaikumusalam. Ini Cik Safiah Aisyah Binti Muhammad Irfan ke?” suara dihujung talian mula menerjah masuk ke dalam telingaku.
“Ye, saya.”
“Saya Puan Roslina dari Adni Maju Consulting Sdn Bhd.”
“Oh… Ada apa ye puan?” Soalku gugup. Mengapa pekerja syarikat itu menghubungiku. Ada apa-apa perkara yang berlaku sewaktu kedatangannya ke syarikat itu sebentar tadi.
“Cik Safiah ada menghantar permohonan untuk jawatan setiausaha di syarikat ini sebentar tadi?”
“Ye, saya.” Aku mengerling memandang Kak Munah di sebelahku. Kak Munah mengangkat-angkat keningnya mengisyaratkan pertanyaan siapa yang menelefonku. Aku mengangkat tangan menyuruh Kak Munah menunggu sebentar.
“Boleh Cik Safiah Aisyah datang semula ke pejabat sekarang untuk di temuduga.”
            “Sekarang?” soalku tidak percaya. Kenapa pula sekarang, menurut Amy temuduga akan dijalankan pada minggu hadapan.
            “Ya, sekarang.”
            “Tapi sijil-sijil asal saya semua di rumah.” Aku masih lagi teragak-agak memberikan persetujuan.
            “Tak apa, salinan yang cik bagi ni pun sudah memadai.” Wanita itu masih lagi setia menjawab semua persoalanku.
            “Er… Baiklah saya datang sekarang. Terima kasih.” Sejurus wanita itu menjawab salamnya aku terus sahaja mematikan talian. Kak Munah yang berada di sebelahku kurenung sekilas.
            “Kenapa? Kenapa pucat semacam je ni?” Soal Kak Munah cemas.
            Aku menyentuh pipiku. Pucat ke? Aduh, penyakit aku datang semula. Penyakit gugup dan gementar yang sentiasa menemani apabila soal temuduga dibangkitkan. “Syarikat yang Safi hantar resume tadi call.”
            “Hah, kenapa pula?”
            “Dia suruh datang temuduga sekarang.” Lambat-lambat aku menutur kata.
            “Eh… iya ke? Baguslah tu.” Teruja betul Kak Munah nampaknya.
            “Tapi… saya tak sedia apa-apa lagi ni kak. Lagipun penyambut tetamu tadi cakap temuduga minggu depan.” Aku makin gugup. Temuduga tanpa sebarang persiapan mengundang kegelisahan yang makin tebal. Sekurang-kurangnya aku memerlukan sehari untuk membuat persediaan fizikal dan mental.
            “Alah, pergi jelah mana tahu rezeki Safi. Dah jangan banyak cakap, akak patah balik ke syarikat tu sekarang.” Teruja benar Kak Munah membelok keretanya, berpatah semula ke wisma tadi.
            “Kenapa diam je ni?”
            Aku mengelengkan kepala. Otak ligat berfikir bagaimanaa temuduga yang sepatutnya berlangsung minggu hadapan boleh bertukar ke hari ini? Tidak mungkin penyambut tetamu itu tidak tahu maklumat terperinci tentang temuduga itu. Dan mana mungkin resume ku telah diteliti dan dinilai hanya dalam masa sepuluh minit. Terasa macam ada yang tidak kena pula.
            “Alah, tak payahlah kau nak fikir banyak-banyak. Mungkin syarikat tu dah terdesak nak guna orang. Tu yang sepantas kilat buat keputusan. Yang Safi nak risau sangat ni buat apa? Mana tahu memang dah rezaki kau, entah-entah dalam masa terdekat ni dah boleh mula kerja kat situ.” ujar Kak Munah panjang lebar seakan memahami perasaanku kini.
            “Kalau Safi dapat kerja tu dan dia orang suruh mula kerja dalam masa terdekat ni, butik dengan Kak Munah macam mana?” risau pula aku apabila mengenangkan hal itu.
            “Safi ni kan, tak habis-habis nak fikirkan pasal orang lain. Fikirkan pasal diri tu dulu. Tentang akak dengan butik tu Safi tak payah risau, kan akak ada lagi pekerja lain. Kalau syarikat tu suruh Safi mula kerja cepat Safi terima je tak paah nak bagi notis 24 jam kat akak pun tak apa. Akak memang suka kau dapat kerja tu. Yelahkan, manalah tahu kau dapat kahwin dengan bos ke, anak bos ke, bolehlah kau ambil pakej perkahwinan kat butik akak tu.” Seloroh Kak Munah dengan ketawa panjang.
            “Ish, Kak Munah ni main-main pula. Saya tengah nervous ni tau.” Aku tidak gemar dengan butir bicara Kak Munah itu.
            Ketawa Kak Munah makin kuat memenuhi ruang kereta itu. “Yelah, mana tahu kalau dah jodoh…”

PINTU kaca yang tercatit nama Adni Maju Consulting dihadapanku, ku tenung seketika. Kemudian aku merenung pula baju yang kini tersarung di badanku. Blaus putih, jeans hitam dan tudung berwarna putih, pakaian yang langsung tidak sesuai untuk menghadiri sesi temuduga. Perasaan berdebar entah kenapa tidak mahu lenyap sejak menerima panggilan dari Puan Roslina sebentar tadi.
            Aku menarik nafas dalam dan mula berdoa dalam hati semoga ALLAH menenangkan hatiku dan memudahkan semua urusanku nanti. Dengan lafas bismillah aku membuka pintu kaca itu dan terus menuju ke meja penyambut tetamu yang aku tinggalkan setengah jam tadi.
            “Assalamualaikum.”
            “Waalaikumusalam. Eh, Cik Safiah Aisyah. Tunggu sebentar ya.” Dan serentak itu Amy mengapai telefon disisinya dan membuat panggilan.
            Persoalan mula menerjah ke benakku. Bagaimana Amy boleh mengetahui namaku, sedangkan aku tidak memperkenalkan diri padanya sewaktu bertemu setengah jam tadi?
            Sejurus berbual seketika di talian dan meletakkan semula gangangnya ke tempat asal Amy memandangku semula. “Mari ikut saya.”
            Aku menurut sahaja langkah kaki Amy. Ruang pejabat itu agak luas dan tersusun kemas itu berjaya mengundang senyuman di wajahku. Warna biru laut yang digunakan hampir pada semua ruang di dalam pejabat itu berjaya mendamaikan sedikit hatinya yang gundah sedari tadi.
            Aku memberhentikan langkah apabila Amy berbuat begitu. Amy membuka luas pintu bilik itu apabila terdengar suara seorang wanita membenarkan kami masuk. Setelah aku masuk ke dalam bilik itu Amy segera kelaur dan menutup rapat pintu semula.
            Aku berjalan merapati wanita yang sedia berdiri sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam kamarnya sebentar tadi. “Assalamualaikum.”
            “Waalaikumusalam. Cik Safiah Aisyah ke?” Soal wanita itu meminta kepastian.
            Aku menganggukkan kepala.
            “Saya Puan Roslina Rosli. Pengurus HR, Adni Maju Consulting Sdn Bhd.” Puan Roslina menghulurkan tangan padaku dan aku menyambutnya dengan senyuman.
            “Jemput duduk.”
            Aku turut duduk apabila Puan Roslina telah pun duduk di kerusinya. Resume ku yang berada dihadapannya diselak satu persatu sebelum memandang wajahku.
            “Safiah Aisyah Muhammad Irfan, berumur 26 tahun, memiliki ijazah Pengurusan Perniagaan dan Diploma Sains Kesetiausahaan.” Puan Roslina memandangku sambil menyampaikan maklumat peribadiku kepada diriku sendiri dan aku sekadar menganggukkan kepala dan tersenyum padanya.
            “Cik Safiah ada pengalaman ke sebagai setiausaha sebelum ini?”
            Nah! Ini dia soalan yang paling tidak aku gemari sewaktu ditemuduga. Soalan sterotaip daripada mana-mana syarikat yang boleh menjerat graduan sepertiku. Dan kali ini aku hanya mampu mengelengkan kepala.
            “Okay tak apa, masalah kecil aje tu. Sekarang Cik Safiah bekerja di mana?” 
            “Butik pengantin di Ampang Point sebagai pembantu butik.” Aku memberi jawapan ikhlas tidak berselindung.
            “Tak cuba cari kerja lain ke?”
            Aku tersenyum mendengar soalan itu. “Dah cuba tapi belum ada rezaki agaknya.”
            Kali ini giliran Puan Roslina pula menganggukkan kepalanya berulang kali. “Baiklah, begini Cik Safiah. Syarikat kami memang memerlukan seorang setiausaha secepat mungkin dan pihak kami merasakan Cik Safiah adalah calon yang paling sesuai mengisi jawatan ini.”
            Terkedu aku mendengar berita itu. “Maksud... puan?” teragak-agak aku mengajukan soalan itu.
            “Maksud saya Cik Safiah diterima bekerja di sini. Dan Cik Safiah diminta melaporkan diri hari isnin ini.” Terang Puan Roslina dengan lebih lanjut.
            Terbeliak mataku mendengar berita itu. Aku diterima berkerja di sini dan diminta melaporkan diri dalam masa tiga hari lagi. Bagaikan tidak percaya. Baru sebentar tadi aku menghantar resume dan tidak sampai lima minit aku ditemuduga dengan temuduga yang tidak memerlukan aku banyak berbicara, aku telah diterima berkerja. Biar betul?
            “Kami akan serahkan surat perlantikan apabila Cik Safiah melapor diri hari isnin ini.” Sambung Puan Roslina apabila aku masih membisukan diri.
            Aku masih lagi tidak percaya dengan apa yang aku dengar kini. Setelah lama aku mencari kerjaya yang bersesuaian dengan kelayakkanku, hari ini tidak sampai sehari aku menghantar resume, aku telah diterima bekerja.
            “Cik Safiah Aisya!”
            “Er… ye… saya… erm… baiklah, terima kasih. Saya akan melaporkan diri hari isnin ini.” Ujarku tergagap-gagap.
            “Selamat datang ke Adni Maju Consulting Sdn Bhd.” Ucap Puan Roslina sambil bangun dan menghulurkan tangan padaku.
            Aku turut bangun dan menyambut tangan Roslina. Sejujurnya aku masih lagi terkejut dan tidak sangka rezeki datang bergolek di hadapanku hari ini. Kalau ibu mendengar beritaku ini, pasti ibu orang yang paling gembira sekali. Alhamdulillah.

Friday, August 5, 2011

Ada Di Hati - Bab 10


SEPULUH
Enam Tahun Kemudian…
            Ruang tamu rumah itu terasa amat berbahang tika ini walaupun kipas siling telah dihidupkan pada kekuatan yang maksimum. Sepatutnya pada waktu malam begini udara seharusnya terasa dingin bukannya sepanas ini. Aku menanggalkan tudung yang menutupi kepala dan kusangkutkan pada penyandar sofa yang sedang aku duduki kini. Papan bahuku terasa amat sakit, aku mengerakkan kepala ke kiri dan ke kanan, cuba menghilangkan kesakitan yang ada.
            “Nah, minum air ni,”
            Aku menoleh melihat ibu yang telah duduk disebelahku setelah meletakkan secawan mug berisi milo panas di atas meja kopi.
            “Alah ibu taknaklah milo panas, nak milo ais.” Aku merengek persis anak kecil dan menyandarkan kepalaku ke bahu ibu. Tidak sanggup rasanya untuk minum air panas itu, aku perlukan air sejuk untuk meredakan kepanasan badanku ini.
            “Amboi, sajak benarlah tu nak minum ais malam-malam macam ni. Tak ada ais aisnya. Minum aje air tu. Kalau tak nak biar ibu je yang minum.” Pantas ibu ingin mencapai mug di atas meja.
            Belum sempat tangan ibu mencapai mug itu, tanganku telah terlebih dahulu mencapai mug yang begitu hampir di hadapanku. “Safi minum dulu ye bu.” Aku tersenyum kecil dan terus meneguk perlahan air yang ibu sediakan, maklumlah tidak mahu menghampakan ibu yang telah berpenat lelah menyediakan air untuknya.
            “Sampai bila nak kerja kat butik tu Safi? Tak teringin nak cari kerja lain ke?”
            Terbantut aku meneruskan suapan air ke mulutku. Ayat yang sama yang sering diucapkan padaku apabila balik bercuti awal minggu begini. “Alah, ibu ni, masa Safi baru habis belajar dulu ibu asyik suruh Safi cepat-cepat cari kerja. Bila Safi dah kerja ibu bising pula.” Aku turut meluahkan ayat yang sama yang pernah aku jawab pada ibu dulu.
            “Ibu bukan apa, Safi taknak ke kerja yang sesaui dengan kelulusan Safi sekarang ni? Takkan nak kerja kat butik tu je sampai bila-bila?” Risau benar ibu dengan status kerjaku.
            “Alah, ibu ni… Janji kerja.”
            “Memanglah kerja, tapi ijazah yang Safi ada tu nak biar terperuk je kat dalam fail tu?” ibu memandangku dengan pandangan geramnya.
            “Sekarang ni bukannya senang nak dapat kerja bu. Kat luar tu berapa ramai graduan yang menganggur.” Aku masih lagi cuba membela diri.
            “Memanglah tapi kalau…”
            “Okaylah bu, Safi masuk bilik dulu ye, penatlah bu. Safi nak tidur. Selamat malam.” Aku terus mencium kedua-dua belah pipi ibu sebelum laju menaiki tangga menuju ke bilikku. Malas aku mahu mendengar bebelan Cikgu Zuria, bekas guru sejarah itu, kalau sudah berhujah habis semua fakta-fakta dikeluarkannya dan yang cuba membalas bicaranya pasti akan terkunci rapat mulutnya, tidak mampu melawan semula.
            Sampai sahaja di bilik aku mengapai fail di dalam almari buku. Kuselak satu-persatu sijil-sijil yang terdapat di dalamnya. Sampai sahaja pada ijazahku, aku terhenti seketika. Ya, sudah lama aku tidak menggunakan ijazahku untuk mencari kerja. Pada waktu mula-mula mendapat segulung ijazah itu, aku terus berusaha membawa ijazah itu ke banyak syarikat untuk mencari pekerjaan, tetapi mungkin kerana belum ada rezeki untukku, setiap permohonanku tiada balasan.
            Setelah hampir beberapa bulan tidak mempunyai pekerjaan, aku bernekad untuk tidak terlalu bergantung pada ijazahku itu untuk mencari pekerjaan. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk memohon kerja sebagai pembantu butik di sebuah butik di Ampang Point. Dan kini telah lebih setahun aku bekerja di situ. Dan sepanjang aku berkerja di situ, aku tidak pernah lagi menghantar resume ku ke mana-mana syarikat. Dapat berkerja di butik itu pun sudah satu rahmat begiku daripada tidak bekerja langsung.
            Aku tahu ibu mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya. Pasti ibu ingin melihat aku memiliki kerjaya yang baik setelah berpenat lelah di menara gading. Aku tahu ibu begitu berharap, dan aku dapat merasakan yang bukan selamanya aku akan bekerja di butik itu, satu hari nanti pasti aku akan mendapat pekerjaan yang setara dengan kelulusanku.
            Arghhh… malas aku mahu mengusutkan kepalaya dengan perkara itu. Lantas aku menyimpan semula failku itu dan mengeluarkan komputer riba yang sudah seminggu terperuk di atas mejaku. Aku hanya dibenarkan bercuti pada hari selasa itu pun secara bergilir-gilir dengan pekerja lain, maklumlah butik itu dibuka setiap hari, jadi amat mustahil untuk aku bercuti pada hari ahad kerana pada hari itulah kebiasaanya ramai pelangan yang akan datang. Jadi hanya sekali seminggu sahaja aku akan pulang ke rumah orang tuaku ini kerana aku duduk menyewa bersama kawanku Fitri.
            Aku membuka facebookku. Mata terus sahaja tertacap pada nama Nia yang sedang online. Pantas aku menyapa adikku itu.
+ Assalamualaikum, Nia… Tak ada kelas ke hari ni?
            Aku menatap computer ribaku, mengharap Nia membalas kata-kataku itu. Setelah hampir sepuluh minit menunggu barulah balasan dari Nia keluar pada skrin komputer ribaku.
-  Waalaikumusalam, tak…
            Hanya dua perkataan itu sahaja yang ditaip oleh Nia sepanjang sepuluh minit itu. Aku mengeluh, terasa benar kini aku dan Nia sudah tidak serapat dahulu. Semasa aku berada di tahun kedua di universiti, Nia pula mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Bermula dari itulah hubunganku dengannya tidak serapat dahulu. Walaupun masih berhubung antara satu sama lain dan saling bertanya khabar tetapi entah kenapa aku dapat rasakan dia semakin jauh dariku.
+ Nia sihat? Akak n family kat sini sihat, Alhamdulillah…
-  Sihat… Akak kerja kat butik tu lagi?
            Tersenyum aku sektika membaca tulisan Nia itu.
+ Ha’ah, kenapa?
            Sengaja aku menduga adikku itu.
-  Tak nak tukar kerja lain ke kak?
+ Nanti-nantilah cari kerja lain. Tak pun buka business sendiri. Erm… macam   menarik juga tu kan.
-  Akak buatlah apa yang akak rasa baik untuk akak. Nia tetap sokong akak dari belakang.
+ Thanks, my lovely sister…
-  Hehehe… okla kak, Nia nak pergi library… love u…
+ Okay… take care… love u 2…

AKU menjengah keluar rumah melihat ibu dan ayah yang sedang bersantai-santai di lama rumah. Aku pantas menyarungkan selipar dan terus menuju ke bangku kayu yang boleh menempatkan empat orang di situ.
            “Oh, minum petang tak ajak Safi pun ye.” Aku pantas duduk di kerusi itu dan mengapai sebiji karipap yang terdapat di dalam piring.
            “Ayah malam ni hantar Safi balik rumah sewa Safi ye.” Pintaku sambil mengunyah karipap air tangan ibu yang sememang enak sejak dari dulu.
            “Nak balik pukul berapa?”
            “Macam biasalah yah, lepas maghrib. Boleh?” aku sengaja bertanya untuk mendapatkan persetujuan dari ayah, walaupun aku tahu ayah akan bersetuku kerana setiap minggu, selepas habis cuti, ayah yang akan menghantarku pulang ke rumah sewaku.
            “Itulah ibu suruh beli kereta tak mahu.” Celah ibu sebelum sempat ayah menjawab.
            “Alah, ibu ni, gaji orang tu berapalah sangat sampai nak beli kereta. Lepas tu nak kena isi minyak pula. Banyak pakai duitlah bu.” Bukan aku tidak mahu memiliki kereta tetapi gajiku yang kecil itu tidak memungkinkan aku untuk memiliki kereta sendiri. Silap-silap hari bulan pakai tak sampai setahun kereta dah kena tarik dengan bank. Keretanya tak ada, hutang aje yang menimbun.
            “Hah, tahu pun gaji tu kecil. Kalau dah tahu carilah kerja lain.”
            Aduh! Persoalan itu lagi yang dibangkitkan oleh ibu. Dari malam semalam, pagi tadi dan kini membawa ke petang persoalan itu juga lagi yang timbul. Pening kepalaku dibuatnya.
            “Okaylah, Safi janji nanti Safi cari kerja yang lebih baik, cepat-cepat ye.” Lembut aku menuturkan suara, berharap agar hati ibu juga lembut nanti.
            “Hem… Dah berpuluh kali ibu dengar Safi janji macam tu tapi habuk pun tak ada.” Ibu mencebikkan bibirnya, mungkin tidak yakin dengan janji-janjiku.
            “Awak ni Zu, biarlah dia nak kerja apa pun. Asalkan kerja tu halal, cukuplah.” Akhirnya ayah seperti biasa membuka bicara dan menjadi penyokong kuatku.
            “Hah, belalah sangat anak kesayangan abang tu.” Aju ibu sebelum berlalu masuk ke dalam rumah.
            Aku dan ayah berpandangan sambil tersenyum. Aku mengangkat ibu jari dan mengeyitkan mata pada ayah, simbolik mengucapkan terima kasih kerana membantuku. Ayah mengelengkan kepalanya melihat gelagatku.
             
MENDENGAR sahaja bunyi loceng pintu yang baru di buka di butik aku pantas meletakkan baju yang sedang aku jahitkan maniknya ke atas meja. Jarum yang diguknakan tadi aku sematkan pada baju itu agar memudahkanku untuk menyambung semula kerjaku itu sebentar lagi. Sebagai pembantu butik di butik pengantin itu, aku bukan sahaja melayan pelanggan yang datang tapi aku juga ditugaskan untuk menjahit manik pada pakaian pengantin yang ditempah. Setiap baju pengantin yang dijahit aku akan menerima bayaran tambahan.
            “Ya, cik, boleh saya bantu?” Soalku dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.
            “Eh, Safikan?”
            Berkerut dahiku merenung wanita yang sedang mendukung bayi berusia dalam lingkungan dua tahun itu. Eh, dia ni macam aku kenal je, siapa ek? Wajah itu ku renung bersungguh-sungguh.
            “Ish, takkan member sendiri pun dah lupa?”
            Otakku bekerja dengan lebih kuat apabila mendengar kata-kata wanita itu. Segala memori cuba diimbas satu persatu. Member? “Eh! Siti Jamilah ya… Politeknik Sabak Bernam, kan?” aku sudah menjerit kegirangan apabila dapat mengingati salah seorang gengku sewaktu di politeknik dahulu.
            “Hah, ingat pun kau dengan aku. Dah lama kita tak jumpa kan. Lebih 5 tahun jugalah. Lepas vacation kat genting tu langsung lost contact.” Tergambar perasaan gembira di muka Siti.
            “Ha’ahlah… Lima tahun lama tu, patutlah aku dah tak cam kau. Eh, makin tembam kau ye. Ni anak kau ke?” aku mencubit pipi kanak-kanak yang berada di dalam dukungan Siti itu. Comel benar pada pandanganku.
            “Ha’ah ni anak aku.”
            “Iya ke? Bila kau kahwin? Amboi kahwin tak jemput aku pun.” Aku menarik muka.
            “Aku kahwin tiga tahun lepas. Eh, bukan aku sengaja tak nak jemput kau tapi kau tu pindah rumah pun tak bagitahu. Nombor telefon kau aku contact tak pernah dapat. Apa kes?”
            Aku tersengih mendengar kata-kata Siti itu. “Sorry lah, aku bukan tak nak bagitahu korang semua aku pindah tapi masa kat U dulu handphone aku hilang, so nombor telefon kau orang semua pun hilanglah sama.”
            “Jadi bukan salah akulahkan tak jemput kau masa kenduri aku.” Siti masih lagi terus membela diri dan tidak mahu dituduh melupakan kawan.
            “Okaylah bukan salah kau. Aku yang salah. Puas hati, Puan Siti?” aku menyerah kalah, malas pula mahu berbalas kata dengan orang yang petah berkata-kata.
            “Tahu tak apa… Hah, lagi satu, Mona apa cerita?”
            Aku mengangkat bahu. Sememangnya aku tidak tahu apa-apa perkembangan terkini tentang Mona. Sejak Mona menghantar aku pulang dari genting beberapa tahun lalu Mona tidak berhubung lagi denganku. Puas aku cuba menghubungi Mona tapi tiada satu pun panggilanku berbalas.
            “Kau pun lost contact dengan dia ke?” bulat mata Siti memandangku. Mungkin dia tidak percaya aku akan terputus hubungan dengan Mona sedangkan aku dan Mona amat rapat.
            “Erm… Yang aku tahu dia belajar kat Australia. Tapi aku pun pelik lepas kat gathering kita kat genting tu terus sunyi sepi je dia.” Aku pun tidak tahu mengapa kawan yang paling rapat denganku boleh melupakanku begitu sahaja.
            “Em… Pelik juga. Eh! Dahlah, kau kerja kat sini ke?”
            “Ha’ah.”
            “Eh, biar betul. Kau ada ijazah kan?”
            Berkerut dahiku mendengar soalan Siti itu. Apa kena-menggena ijazahnya dengan kerjanya di butik ini? Atau mungkin pendapat Siti sama sahaja dengan pendapat ibuku dan Nia. “Kenapa ada ijazah tak boleh kerja kat sini ke?”
            “Bukan macam tu, tapi selalunya graduan macam kau ni kan memilih sikit kerjanya.”
            “Tolong sikit ye, bukan semua graduan macam tu okay. Amboi, sedap aje mulut kau bercakap ye.” Aku bukan sahaja membela diri sendiri tapi juga cuba membela graduan-graduan yang lain. Aku yakin bukan semua gradan begitu. Graduan sekarang bukan lagi begitu asalkan kerja halal dan berbaloi dengan gajinya, semuanya okay sahaja.
            “Amboi marahnya, aku gurau jelah…” Siti tersenyum dan cuba meredakan marahku.
            “Bukan marah tapi geram.” Aku mengetap bibir, cuba mengambarkan pada Siti perasaannya. Kemudian aku dan dia sama-sama ketawa.
            “Jadi, kau datang sini kenapa? Takkan nak bersanding kali kedua kot?” aku pula yang cuba bergurau kali ini.
            “Ish, kau ni mulut… Ni hah, aku temankan adik aku ambil baju nikah dia yang dia tempah minggu lepas. Dah siap ke?” Siti mengerling seketika pada adik perempuannya yang hanya mendiamkan diri sedari tadi.
            “Oh… Okay, jom ikut aku. Aku semak dah siap ke belum baju tu.” Aku berlalu menuju ke meja di sudut butik itu. Segala maklumat tentang pelanggan tercatat di dalam komputer itu.

“SAFI… Safi…”
            Aku berpaling memandang Kak Munah yang baru masuk ke dalam butik dengan melambai-lambaikan sehelai kertas surat khabar yang telah siap digunting padaku. Dalam masa yang sama langkahnya begitu laju mendapatkanku yang berada di kaunter pembayaran butik.
            “Nah, ambil ni,” Kak Munah menyerahkan keratan surat khabar yang sedari tadi dipegangnya padaku.
            “Apa ni?” aku menyambut keratan surat khabar dari tangan Kak Munah, pemilik butik pengantin ini.
            “Jawatan kosong kat syarikat consulting ICT. Cubalah mohon, mana tahu rezeki Safi. Tak payahlah Safi nak kerja kat butik ni lagi.” Ceria Kak Munah menyuarakan pendapatnya.
            Kata-kata Kak Munah itu sedikit sebanyak menguris hatiku. Apa buruk sangatkah prestasi kerja yang aku tunjukkan sehingga khidmatku tidak lagi diperlukan di butik ini. Rasanya aku telah memberikan perkhidmatan yang terbaik di sini. “Amboi, kak macam menghalau je bunyinya. Dah tak suka Safi kerja kat sini ke?” ujarku sayu, kertas yang berada di dalam genggaman kupandang sepi.
            “Ish, bukan macam tulah. Akak suka Safi kerja kat sini. Kerja yang Safi buat semuanya bagus dan tip top. Tapi akak taknaklah Safi sia-siakan ijazah Safi macam tu aje. Takkan Safi nak kerja kat sini selama-lamanya. Akak sayang Safi sebab tu akak nak Safi bina kerjaya Safi.” Terang Kak Munah panjang lebar.
            “Habis kalau Safi kerja lain, akak dengan butik ni macam mana?” Aku mula risau. Aku tidak boleh mementingkan diri sendiri dan ketepikan Kak Munah dan butik ini. Iklan jawatan kosong itu aku baca sepintas lalu sahaja.
            “Alah pasal akak dengan butik ni kau tak payah risaulah. Akakkan ada ramai lagi pekerja lain.” Kak Munah cuba menyakinkanku.
            “Tak payahlah kak, sure tak boleh dapat punya jawatan ni. Cuba akak baca ni, sekurang-kurangnya mempunyai setahun pengalaman dalam bidang kesetiausahaan. Safi ni kak bukannya setahun, sehari pengalaman jadi setiausaha pun tak ada kak.”  Melihat pada syarat itu sudah cukup membuatan aku sedar diri tidak layak memohon jawatan itu apatah lagi mengisi kekosongan yang ada.
            “Cubalah dulu kalau tak cuba mana tahu dapat ke tidak. At least Safi dah cubakan. Safi ingatkan firman ALLAH yang ALLAH tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum itu sehingga kaum itu mengubah nasibnya sendiri.” Hujah Kak Munah cuba menaikkan semangat juangku.
            Aku tersenyum mendengar hujah Kak Munah itu. Ada benarnya kata Kak Munah itu, tidak salah aku mencuba setelah hampir setahun aku tidak menghantar permohonan pada mana-mana syarikat. Manalah tahu hasrat ibu untuk melihatku mendapat kerja lain tercapai. “Okaylah kak minggu depan Safi hantar resume kat syarikat ni.” Aku mengalah jua akhirnya.
            “Eh, tak ada minggu depannya. Cuba tengok kat bawah iklan tu, esok tau tarikh tutup permohonan.” Kak Munah menarik keratab akhbar dari tanganku dan menunjukkan tarikah akhir permohonan yang tertera di bawah iklan.
            “Cepatnya tarikh tutup dia.” Aku sedikit terperanjat.
            “Ni bukan surat khabar hari nilah. Ni surat khabar minggu lepas. Akak jumpa surat khabar ni pun masa makan nasi lemak tadi. Jadi pembungkus nasi lemak ni tau.”
            Aku tergelak mendengar kata-kata Kak Munah. Sempat pula dia menyelak surat khabar yang menjadi pembalut nasi lemak sewaktu menjamu hidangan itu. memang suka membaca betul usahawan muda ni.
            “Kalau esok... tak bolehlah kak. Mana sempat nak ambil sijil-sijil kat rumah ibu, nak print resume, nak fotostat sijil-sijil tu semua.”
            “Dah jangan nak banyak songel. Hari ni Safi kerja setengah hari aje. Esok pagi-pagi biar akak ambil Safi kat rumah lepas tu akak hantar Safi pergi hantar resume kat syarikat tu, okay.” Kak Munah memberikan cadangan.
            “Beria-ia benarlah kak Munah ni,” aku tersengih melihat betapa bersemangatnya Kak Munah hari ini, macam dia pula yang ingin memohon jawatan itu.
            “By hock or by crock. Akak akan pastikan kau mohon jawatan ni esok.” Ujar Kak Munah sejurus masuk ke dalam biliknya.

Bersambung....

Monday, August 1, 2011

Ada Di Hati - Bab 9

SEMBILAN
            “Betul lah, Safi, kita orang tunggu kau punyalah lama kat café tu.” Siti mula membela dirinya dan kawan-kawan yang lain. Kesemua rakan-rakanku memenuhi bilik hotel aku dan Mona, ada yang duduk bersama-samaku di atas katil dan ada juga yang bersantai di lantai.
            “Iyalah tu. Eh, aku yang tunggu kau orang lama kat situ tau. Batang hidung kau orang pun tak nampak. Kau orang tau tak, dari tengah hari aku tak makan. Sampai dah malam macam ni pun perut aku ni masih kosong lagi, tau tak!” Aku juga turut membela diriku.
            “Engkau pun satu, kenapa kau tak makan masa kau tunggu kita orang kat café tu? Apa kau buat kat café tu? Takkan duduk melangguk aje kut?” Luah Anis pula yang tadinya hanya duduk diam.
            “Ha’ah dahlah kita orang call tak berjawab. Ke, kau ada dating dengan mana-mana pakwe kat café tu kot sampai tak nampak kita orang.”
            “Ha…” Semua yang ada di situ berkata serentak sambil mengerakkan jari telunjuk padaku.
            Dating? Dengan siapa? Dengan Zafril? Tolonglah tak ingin aku dating dengan ‘buaya tembaga’ tu. Buat menyakitkan hati sahaja bila berbual dengannya. Nasib baiklah pertemuanku dengan Zafril tadi hanya sekejap, jika tidak pasti mereka semua dapat melihat aku bersama-sama teman lelaki Mona itu. Kalau itu yang terjadi, tak dapat aku gambarkan macam mana situasinya, mahu kecoh jadinya.
            “Eh, mana pula perginya Mona ni? Dah pukul 9 pun, masih tak nampak lagi batang hidung dia…” aku cuba mengubah topik perbualan, aku tidak mahu teruskan perbualan tentang Zafril. Lebih daripada itu, sebenarnya aku memang terlalu risaukan Mona yang masih lagi belum pulang setelah keluar dari bilik, petang tadi.
            “Ha’ah, mana Mona pergi ya? Dahlah hari ni aku tengok dia moody semacam je. Kenapa ek?”
            “Hah… Tu kau kena tanya kawan baik dia si Safi ni ha. Dia mesti tahu punyalah,”
            Aku mendiamkan diri, aku tidak tahu sama ada hendak menceritakan apa yang menyebabkan Mona jadi begitu pada mereka semua atau tidak? Perlukah aku membuka cerita? Rasanya tidak perlu, tetapi aku kenal benar dengan kawan-kawanku itu, selagi mereka tidak mendapat cerita yang sebenar, pasti mereka akan mengorek rahsia itu sampai dapat.
            “Alah Safi nak berahsia-rahsia pulak. Cerita ajelah, Mona tu pun kawan kita orang jugak, so kita orang pun nak tahu juga apa masalah dia tu?” Siti memulakan sesi soal siasatnya.
            “Adalah masalahnya tu, sebab tulah moody semacam je.” aku cuba memberi jawapan selamat dan moga-moga mereka tidak bertanya apa-apa lagi.
            “Iyalah mestilah ada masalah, tapi apa masalahnya? Kau mesti tahukan?”
            Aku mengaru kepala, apa yang perlu aku katakan bagi menjawab semua persoalan kawan-kawanku itu. Buntu jadinya. Mereka semua ini memang amat layak menjadi wartawan kerana pandai mengorek rahsia.
            “Mana aku tahu?” Balasku ringkas. Masih enggan berkongsi cerita.
            “Takkan kau tak tahu?” Balas Anis pula.
            “Betul... aku tak tahu…” aku menyebut satu persatu perkataan itu.
            “Takkan dia tak cerita kat kau kut?”
            “Tak!”
            “Ah! Tipulah kau Safi, aku tahu Mona mesti ada cerita masalah dia kat kau punya. Baik kau bagitahu kita orang cepat.”
            “Ish, korang ni tak faham bahasa Melayulah. Kan aku dah cakap Mona…” Belum sempat aku menghabiskan kata-kata Mona sudah muncul di balik pintu. Aku menarik nafas lega, sekurang-kurangnya dengan kepulangan Mona itu aku terselamat dari buruan soalan-soalan yang tidak mahu berhenti.
            “Kau ke mana Mona? Dah malam-malam macam ni baru balik?” Anis bertanya seumpama seorang emak yang begitu khuatir akan keselamatan anak daranya yang keluar pada waktu malam.
            “Ish…” Mona merengus kasar apabila ditanya sebegitu oleh Anis. Dia terus masuk ke dalam bilik air tanpa mempedulikan kami yang sedang memerhatikan tingkah lakunya dari tadi. Berdentum pintu bilik air sejurus Mona masuk ke dalamnya.
            Aku dan yang lain terperanjat dan serentak itu juga berpandangan di antara satu sama lain. Pelik aku melihat sikap Mona itu, tadi petang sebelum dia keluar Mona kelihatan begitu gembira sekali kerana akhirnya petang tadi Zafril menghubungi Mona dan ingin berjumpa dengannya. Tapi kenapa setelah beberapa jam Mona boleh berubah sehingga sebegitu sekali. Pelbagai andaian dan tanggapan mula bersarang di dalam benakku.
            Aku terkejut apabila satu tamparan hinggap di lengganku. Aku mengusap lengan yang terasa pedih sambil memandang Siti di sebelahku.
            “Kita bercakap dengan dia, dia boleh termenung pula.” Omel Siti apabila aku tidak mengendahkan dirinya.
            “Ish, sakit tau tak?” Aku masih mengusap lenganku. “Apa dia?”
            “Kenapa tu?” Siti memuncungkan mulutnya kea rah bilik air member isyarat bertanyakan tentang Mona.
            “Entah,” Aku mengangkat kedua-dua belah bahu. Memang aku tidak tahu apa yang telah berlaku pada Mona sehingga boleh naik angin sebegitu.
            “Apa dia buat dalam bilik air tu. Tak dengar bunyi air pun?” Soal Anis pula yang mula risau. Telah lama Mona berada dalam bilik air itu tapi bilik air itu sunyi sepi tanpa sebarang suara mahupun dari paip air.
            “Tak apa, biar aku pergi tengok,” aku yang mahu bangun dari katil membatalkan niatku itu apabila Mona telah terlebih dahulu keluar dari bilik air.
            Bilik itu sunyi sepi seketika, tiada seorang pun yang mahu membuka mulut. Semua yang berada di dalam bilik itu memerhatikan Mona yang sedang mengambil beg pakaian dan membuka pintu almari. Melihat sahaja Mona memasukkan kesemua bajunya ke dalam beg berwarna biru itu aku berpandangan dengan semua rakan-rakanku yang lain dan saling mencuit, mengharapkan ada di antara kami yang akan membuka mulut melanjutkan soalan pada Mona.
            “Kau nak buat apa dengan baju-baju tu semua Mona?” Akhirnya aku mula bersuara setelah melihat tiada seorang pun kawan-kawanku yang lain yang berani membuka mulut.
            Terkedu aku seketika melihat Mona memandangku dengan pandangan yang begitu tajam sekali. Setelah lama merenungku Mona menyambung semula kerjanya memasukkan baju ke dalam beg pakaian sambil menghembuskan nafas umpama membuang lelah, masalah yang begitu menyeksakan jiwanya.
            “Aku nak balik KL, kalau kau nak ikut sekali jomlah.” Pelawa Mona padaku dengan suara yang seakan dengar dan tidak sahaja.
            “Kau nak balik malam ni juga ke?” Soal Siti pula dalam takut-takut berani.
            “Em…” balas Mona ringkas.
            “Kau biar betul, Mona. Takkan malam-malam buta macam ni kau nak balik KL. Ish… bahayalah. Esok jelah balik, lagipun tengah hari esok memang kita semua dah kena check out” Anis masih lagi mempamerkan rasa risaunya.
            Aku juga turut rasa risau dengan keselamatan Mona. Pulang sendirian ke KL malam-malam begini bagi seorang perempuan memang mengundang bahaya. Tambahan pula, jalan raya di Genting ini agak berbahaya jika memandu pada waktu malam.
            “Ha’ahlah Mona, malam-malam macam ni drive kereta bahaya tau. Mana tahu tengah-tengah jalan nanti terjumpa sundal bolong ke, pontianak ke, tak ke haru.” Zila cuba melawak.
            Semua mata terbeliak memandang Zila. Sempat juga dia menerima dua tiga cubitan dari kawan-kawan yang tidak boleh menerima lawak Zila yang tidak kena tempat itu. Zila menjerit kecil sambil cuba mempertahankan lawak bodohnya itu.
            “Tak apalah aku ikut kau balik.” Akhirnya aku memberikan persetujuan setelah difikir semasak-masaknya dan mengambil kira betapa bahayanya Mona pulang bersendirian pada waktu malam begini.
            Mona kelihatan sedikit terkejut dengan persetujuanku itu tetap mengangguk kecil. “Aku tunggu kau kat lobi.”  Mona terus sahaja menuju ke muka pintu setelah memasukkan kesemua barangnya ke dalam beg. Separuh jalan ke muka pintu Mona  berhenti dan memadang kawan-kawan yang lain.
            “Sorry lah aku kena balik dulu, aku betul-betul tak ada mood. Next time kita jumpa lagi.” Sejurus itu Mona keluar dari bilik.
            “Betul ke kau nak ikut Mona balik Safi? Alah, tak bestlah macam ni kata nak bercuti tapi lain pula jadinya.” Kata Zila sambil membatuku memasukkan pakaianku ke dalam beg.
            “Sorry lah, aku kena ikut dia balik. Aku kesian tengok dia kena drive sorang-sorang, malam-malam buta macam ni. Tak apa, nanti kita arrange percutian yang lain pula, okay.” Aku cuba menenangkan kawan-kawanku yang lain.
            “Em… entah bilalah tu.” Ujar Anis yang seakan tahu tentu sukar untuk mereka berkumpul begini pada masa akan datang.

KERETA Mona berhenti di hadapan pagar rumahku. Aku memandang Mona di sebelah yang menyepikan diri sejak bertolak dari Genting tadi. Setiap soalan dariku hanya dibalas dengan pandangan sekilas darinya. Banyak kali perkara itu berulang sehingga aku sendiri mati akal untuk meneruskan perbualan dengannya sepanjang perjalanan pulang tadi.
            “Dah pukul 2 pagi ni. Berani ke kau nak balik seorang?” Soalku memecahkan kesunyian yang masih menghimpit.
            Mona masih mendiamkan diri dan pandangannya hanya tertumpu di hadapan seolah-olah sedang tekun memandu walaupun kereta itu telah lama berhenti.
            “Aku rasa baik kau tidur kat rumah aku ajelah malam ni. Esok pagi baru kau balik, okay? Bahayalah Mona kau bawa kereta malam-malam macam ni.” Aku masih lagi mencuba untuk menarik Mona supaya berbual denganku. Sebenarnya aku takut jika Mona bertemu dengan kutu-kutu jalan raya yang akan menganggu Mona sewaktu perjalanan Mona ke rumahnya.
            Melihat Mona yang masih lagi mendiamkan diri, aku mengalah. Mungkin Mona perlukan masa untuk bersendiri. “Tak apalah aku turun dulu. Kau hati-hati bawa kereta tau.” Aku segera berpaling dan mula membuka pintu kereta.
            “Safi.”
            Aku menutup semula pintu kereta Mona, aku tersenyum lega akhirnya Mona bersuara juga.
            “Kau tahukan aku cintakan Zafril?” Mona menyoalkan namun matanya masih lagi tertumpu ke hadapan.
            Aku menganggukkan kepala.
            “Kau tahukan demi cinta aku pada dia, aku sanggup buat apa saja?” Luah Mona lagi.
            Berkerut dahiku mendengar kata-kata Mona itu. “Apa saja?” Soalku pula pada Mona.
            Kini giliran Mona pula yang menganggukkan kepalanya.
            “Walaupun hati kau sakit dan hati orang di sekeliling kau pun turut sakit?” aku masih terus menyoal dirinya dan dia masih menganggukkan kepalanya, mengiakan setiap kata-kataku.
            Begitu dalam cinta Mona pada Zafril sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan cintanya itu tetap menjadi miliknya. Tapi apa kena-mengena itu semua dengan sikapnya hari ini. Apa yang telah Zafril lakukan pada Mona sehingga Mona begitu beremosi saat ini? Aku mengeluh, tidak tercapai akalku untuk menyingkap perkara itu.
            “Kau tak pernah bercinta Safi. Kau takkan faham.” Balas Mona padaku.
            Iya, memang aku tidak akan faham kerana aku belum pernah dicintai atau mencintai. Jadi segala kata-kataku tidak mungkin akan dapat diterima oleh Mona. Tapi sebagai kawan aku perlu memberikan pendapat.
            “Okay, aku tahu kau cintakan Zafril tapi apa kena-mengena benda tu semua dengan mood kau yang tak baik sekarang ni. Apa Zafril da buat kat kau. Dia kata apa masa jumpa kau tadi?”
            Aku mengeluh apabila soalanku itu dibiarkan sepi oleh Mona, bagaikan tidak mahu berkongsi rasa denganku pada waktu ini.
            “Kau betul-betul sayang dia ke?” aku sekadar menduga walaupun aku telah tahu akan jawapannya.
            “Sayang?” Soal Mona sambil merenung wajahku yang sedari tadi tidak mahu dilihatnya. “Cinta itu lebih hebat dari rasa sayang, Safi. Bila kau dah jatuh cinta, rasa sayang, kasih, rindu itu akan datang dalam satu rasa.”
            Kini giliranku pula merenung jauh ke hadapan, meneliti setiap bait-bait kata Mona.
            “Aku nak kau tahu satu perkara. Apa pun yang aku lakukan lepas ini, semuanya semata-mata kerana aku cintakan Zafril. Sudahlah kau turunlah, aku nak balik.” Mona cuba mengakhiri perbualan.
            “Hati-hati bawa kereta.” Ujarku sejurus turun dari kereta Mona.
            Aku merenung kereta Mona yang semakin lama semakin kecil dari pandangan matanya. Aku tidak faham dengan semua perkara yang berlaku malam ini, tentang perubahan sikap Mona dan kata-katanya malam ini. Semua itu amat payah untukku tafsirkan.
            “Cinta itu lebih hebat dari rasa sayang Safi!” Kata-kata Mona itu masih lagi berlegar-legar dalam benakku. Benarkah begitu?

Bersambung....