Monday, May 27, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 7



7
            Akhirnya aku menyerah diri.  Tak sanggup rakan-rakan yang lain menjadi mangsa keadaan. Abang Ijad terkejut saat aku bangun dan keluar dari kumpulan pakerja yang sedang berkumpul. Oleh kerana aku sudah ditemui, maka semua pekerja dibenarkan bersurai untuk meneruskan kerja masing-masing.
            Kini aku sedang berdiri, betul-betul menghadap encik Afdhal dengan hati terketar. Encik Afdhal nampak tenang sedikit berbanding tadi. Jika tidak masakan dia boleh kembali duduk di kerusinya. Kalau aku tidak buat salah, aku takkan takut sampai begini. Memang aku yang ambil art block itu. Cuma aku saja yang belum mengakui.
            “Aku bagi kau masa 30 saat. Kalau kau tak mengaku juga, kau boleh keluar dari pejabat aku. Kau tak payah datang lagi!” Macam biasa, nada encik Afdhal kuat kedengaran.
            Aku telan liur. Mata aku alihkan pada abang Joe yang berdiri betul-betul di belakang Afdhal. Abang Joe menggeleng. Mungkin dia tidak membenarkan aku mengaku. Harus atau tidak aku menyatakan kebenaran?
            “Apa ni, Afdhal. Kau tak boleh buat dia macam ni. Dia baru aje masuk sini. Kau dah tuduh dia macam-macam.”  Abang Joe cuba menjadi benteng pertahanan.
            “Sebab budak ni baru masuk sinilah aku yakin semua ni kerja dia. Sebelum budak ni datang, pernah tak barang-barang aku hilang? Pernah? Tak pernahkan? Sejak dia masuk sini. Macam-macam benda jadi!” Afdhal  menyatakan ketidakpuasan hatinya.
            “Saya tak ambil.” Aku bersuara akhirnya. Menafikan semua tuduhan yang ternyata benar.
            Encik Afdhal terdiam mendengar pengakuanku. Dia menggenggam tangannya lalu menghantak mejanya dengan kuat. Terkejut aku dan abang Joe. Deru nafasnya turun naik. Menahan marah barangkali. Tapi aku tetap kekalkan riak tidak bersalah. Walhal, dalam hati, tuhan saja yang tahu tsunami sedang mengoncang.
            “Okay... kau tak nak mengaku, tak apa. Sekarang kau boleh ambil semua barang kau. Berambus dari sini. Aku tak nak tengok muka kau lagi!”
              Aku yang tadinya tunduk, kini mula mengangkat wajah. Mengharap abang Joe membantu. Kalau ini benar-benar berlaku, bermakna aku akan gagal dalam subjek praktikum. 6 jam kredit pula tu. Habislah markah semester akhir aku!
            “Afdhal, kau tak boleh buat macam ni. Dia kan tengah praktikal. Mana boleh kau nak halau dia suka-suka. Kita dah bagi persetujuan pada universiti nak benarkan dia kat sini. Mana boleh kau buat keputusan macam ni.” Abang Joe mula membawa wajahnya bersemuka dengan encik Afdhal. 
            “Aku peduli apa! Aku nak dia keluar sekarang. Blahlah!” jerit encik Afdhal.
            Aku masih menjadi tunggul kayu di situ. Duduk diam-diam walaupun sudah dihalau keluar. Aku tak boleh pergi. Kalau aku pergi, itu bermakna aku akan gagal.
            “Saya takkan pergi. Harap encik Afdhal dapat bersabar dengan saya sampai bulan 4 nanti.” Aku nekad. Aku takkan pergi. Apa nak jadi, jadilah.
            Kaki sudah aku bawa meninggalkan encik Afdhal dan abang Joe. Aku kembali ke tempat dudukku. Semua yang berselerak aku kemaskan kembali tanpa memperdulikan sesiapa. Aku hanya akan tinggalkan sini selepas bulan april berlalu.
            Encik Afdhal datang melulu. Memang nampak tidak puas hati. Tapi aku buat-buat tak tahu. Nampaknya dia begitu bertekad mahu mengusir aku pergi.
            “Eh, budak. Kau tak faham bahasa ke? Aku suruh kau blah kan?”
            Aku pekakkan telinga walaupun kata-kata itu cukup jelas kedengaran dan begitu terang maksudnya. Kerja-kerja mengemas aku teruskan seolah tidak ada apa-apa yang berlaku saat ini.
            “Dahlah tu, Afdhal. Yang kau nak halau dia sangat kenapa? Kan dia kata dia tak ambil art block kau. Betullah tu, takkan dia nak tipu.” Abang Joe masih memainkan peranannya untuk membantu.
            “Aku dah tak peduli. Dia ambil ke, tak ke, aku tak nak tengok muka dia lagi. Budak ni penyibuk kau tahu tak! Encik Afdhal enggan mendengar kata.
            “Eh, Afdhal... Aku dah banyak bersabar dengan kau. Tapi kali ni aku takkan bagi muka lagi. Kalau kau nak dia keluar dari sini, itu maknanya kau nak aku pergi sama. Ana akan kekal kat sini sampai dia habis praktikal.”
            Tergamam aku mendengar kata abang Joe. Biar betul abang Joe ni? Sanggup mempertahankan aku sampai macam tu sekali. Sungguh terharu!
            “Sekarang ni, kau bos ke, aku bos?” encik Afdhal tidak puas hati.
            “Memang kau bos. Tapi kau jangan lupa, aku yang uruskan semua sejak kita buka company ni. Kalau kau rasa kau boleh handle semua, okay, aku boleh pergi.”
            Encik Afdhal hilang kata sudahnya. Mungkin dia tidak mampu untuk bertindak sendirian tanpa abang Joe.
            “Lepas bulan april, aku tak nak tengok muka dia lagi!” encik Afdhal sempat menendang mejaku sebelum dia pergi.

            Alhamdulillah, aku panjatkan kesyukuran. Abang Joe berjaya. Tidak aku sangka. Aku tersenyum memandang abang Joe. “Abang Joe, Ana...” Ingin berterima kasih tapi bibir tidak dapat meluahkannya.
            “Dah, tak payah nak ucap terima kasih. Abang dah jalankan tugas abang. Sekarang, giliran Ana pula.”
            “Giliran Ana?” aku tidak faham.
            “Hah, tengok tu. Ingat abang suka-suka aje pertaruhkan kerja abang sebab Ana? Abang nak Ana tolong Afdhal. Abang tak minta dia sembuh seratus peratus. Abang dah cukup senang hati kalau dia dah boleh uruskan hidup dia sendiri. Abang harap Ana dengan bakal tunang Ana boleh tolong abang.”
            Bakal tunang? Aduh, pasti abang Naim yang abang Joe maksudkan. Aku mengangguk lemah. Kini barulah aku mengerti kenapa abang Joe beria-ia mempertahankan tempat aku di sini. Tapi itu sudah cukup baik.
            “Insya’ALLAH, Ana akan usahakan. Sama-samalah kita berdoa.”  Ucapku perlahan.


SEJAK kejadian tempoh hari, encik Afdhal sering aku perhatikan ada di ruang kerjanya. Mungkin takut art block yang lain aku ambil agaknya. Tapi aku tak peduli. Lagipun, bagus juga begitu. Kata abang Naim, kalau boleh, jangan dibiarkan penghidap masalah jiwa ni duduk sendirian. Dia harus sentiasa ada di sekeliling manusia.
            Dan sejak hari itu juga mataku makin sukar membuang pandangan jauh daripada encik Afdhal. Bukan sebab aku jatuh hati pada dia. Itu tidak mungkin. Semua kerana semangatku untuk membantu. Setidak-tidaknya, apabila aku tak ada nanti, encik Afdhal sudah mampu mengurus dirinya tanpa bantuan abang Joe. Mahu juga aku dikenang sebagai orang yang berjasa, bukan hanya pencuri art block kesayangannya.
            Sememangnya aku tidak punya niat untuk mengeruhkan lagi keadaan. Ada kalanya aku cuba untuk memperbaiki semua. Senyuman aku berikan untuk sebuah perhubungan yang lebih baik. Namun setiap kali aku senyum, setiap kali itulah aku menerima jelingan tajam daripadanya. Nampaknya, encik Afdhal tidak mahu berdamai.
            Tak banyak maklumat tentang encik Afdhal yang aku jumpa. Maksud pada kertas yang entah apa-apa itu pun, masih gagal untuk aku tafsirkan. Art block yang aku ambil hari tu pun masih ada bawah katil. Sengaja aku biarkan di situ, kerana setiap kali aku teringatkan catitan pada muka surat akhir art block itu, aku jadi seram sejuk, dan semangat untuk membantu mula luntur. Jadi, lebih baik aku tidak pedulikan art block itu buat sementara waktu.
            Satu perkara yang terlalu sukar untuk aku jejaki sehingga ke hari ini ialah kesukaan encik Afdhal. Apa yang lelaki itu suka? Sampai sekarang soalan itu masih tidak punya jawapan. Namun aku tidak akan lepas daripada terus memerhati. Aku yakin, pasti ada yang bakal membantu.
            Sebaik sahaja melihat ketibaan encik Afdhal melalui pintu kaca, aku terus menyembunyikan diri. Hari ini aku punya agenda yang berbeza. Aku tiba awal semata-mata ingin tahu rutin lelaki itu sejak dari awal pagi. Jadi aku intai semua perbuatannya dari ruang kerjaku.
            Encik Afdhal melangkah masuk dan terus ke mejanya. Dia mengeluarkan kalender meja dari dalam laci mejanya. Kemudian encik Afdhal mencatatkan sesuatu di atasnya sebelum kembali mencampakkan kalender itu ke dalam laci.  
            Selepas itu encik Afdhal mencapai surat khabar yang terletak di belakang kerusinya dan pantas berjalan meninggalkan meja. Aku masih soroti perjalanan harian encik Afdhal. Dengan akhbar yang dipegangnya itu, aku sudah dapat mengagak apakah aktiviti seterusnya.
            Setelah encik afdhal keluar dari pejabat, aku terus mara ke hadapan. Menghampiri encik Afdhal yang sudahpun mula menyadar pada pintu kaca dan mengangkat surat khabar yang entah bila tarikhnya? Aku tak puas hati. Pasti ada sesuatu. Apa yang menyebabkan dia setia berdiri di situ setiap hari?
            Hanya pintu kaca yang memisahkan aku dan encik Afdhal. Sekali sekala encik Afdhal menurunkan akhbar yang menutup wajahnya dan memanjangkan lehernya, memandang bangunan di hadapan. Aku turut memerhati bangunan itu. Tak ada apa-apa. Kemudian encik Afdhal menyambung kembali pembacaannya. Itulah yang dilakukan encik Afdhal berulang kali.
            Bosan dengan keadaan yang sama, aku berkeputusan untuk ke meja encik Afdhal. Ada baiknya aku dapatkan kalendar yang ada dalam laci itu dan mengambil tahu apa yang ditulisnya sebentar tadi. Tapi kalau encik Afdhal kembali masuk ke dalam pejabat bagaimana? “Eh, takkan. Itu bukan rutin harian dia!”
Dengan pantas aku mula mengatur langkah. Mujur juga pintu utama tidak dapat di lihat dari ruang kerja encik Afdhal yang memang tersorok. Jadi aku lebih yakin untuk bertindak pada waktu ini. Laci yang tidak berkunci itu aku tarik lekas. Hanya ada kalendar meja di dalam laci itu, dan beberapa helai kertas lukisan yang dilipat.
Aku teruskan misi. Kalendar yang ada aku keluarkan. “Astagfirulahal’azim...” aku beristigfar panjang membaca catitan pada kalendar itu. Setiap tarikh yang sudah berlalu, dipangkahkan bersama catitan ringkas yang sama pada setiap tarikh yang tertera.
“Belum mati!” dua kata itu sudah cukup untuk menjana fikiran untuk bekerja pada awal pagi begini. Apa maknanya pula kali ini? Siapa yang belum mati? Mungkinkah encik Afdhal sedang mencari seseorang? Tidak berpuas hati, aku keluarkan pula kertas lukisan yang berlipat dari laci yang sama.  Lipatan itu aku buka. Gambar seorang wanita cantik terlukis pada kertas lukisan itu.
Klu yang ada sudah bertambah. Tapi jawapannya masih samar-samar. Apakah gadis dalam lukisan ini yang dicari oleh encik Afdhal? Mungkinkah juga gadis inilah sasaran encik Afdhal sebagai mangsanya yang ketiga?
Mendengar bunyi mesin touch card, aku segera memasukkan kembali semuanya ke dalam laci. Dengan gopoh aku tutup laci dan berjalan laju ke tempat dudukku.  Pura-pura mengemas meja yang langsung tidak bersepah. Abang Joe muncul dengan senyuman. Alhamdulillah...selamat!

JARANG sekali perutku merengek minta diisi pada waktu tengah hari begini. Selalunya, dengan sarapan pagi sahaja perutku sudah mampu bertahan sehingga ke petang hari. Tapi hari ini lain pula. Maka terpaksalah aku keluar untuk mendapatkan apa-apa yang boleh mengisi perutku kembali.
            Aku memilih restoran di belakang bangunan Arena Printing. Restoran Labu Sayung. Lebih dekat dan servisnya juga sangat cepat. Biasanya dalam tempoh masa lima belas minit sahaja aku sudah mendapat pesananku. 
            Aku sekadar memesan nasi goreng kampung dan air suam. Asalkan boleh mengenyangkan, itu sudah lebih daripada cukup. Sementara menunggu pesanan sampai, aku membuka aplikasi yang ada pada telefon bimbitku. 99 nama Allah Swt. Satu per satu nama yang maha tinggi itu aku baca. Masih belum berjaya menghafalnya. Kalau lirik lagu tu, bukan main senang masuk bertapak dalam fikiran. Aku gelengkan kepala. Bertapa lemah iman di dada.
            “Ana...”
            Aku angkat wajah apabila ada yang menyapa. “Eh, kak Lin.” Tersenyum aku dibuatnya memandang wajah kak Lin. Jarang dapat bertemu dengannya.
            “Ana seorang aje, ke? Boleh akak duduk sini?” kak Lin meminta kebenaran.
            “Kenapa pula tak boleh? Duduklah kak Lin. Saya seorang ajepun.” Aku mengalukan.
            Keizinan itu membuatkan kak Lin terus duduk. Aku sekadar tersenyum. Mencari soalan-soalan yang boleh ditanyakan untuk menghidupkan perbualan.
            “Akak dengar cerita, hari tu Afdhal mengamuk sakan. Betul ke,?” nampaknya, kak Lin yang terlebih dahulu membuat pertanyaan.
            “Ha’ah kak. Mana akak tahu?”
            “Siapa lagi yang cerita, husband akaklah.”
            Aku mengangguk. Iya tak ya juga. Pasti abang Joe yang menceritakan perihal itu pada kak Lin.
            “Ana ke, yang ambil art block tu?” lagi soalan diajukan.
            Aku diam seketika. Apa yang patut aku jawab? “Abang joe cakap apa dengan kak Lin?”  aku berkeputusan untuk tidak menjawab.
            “Dia tak cakap apa. Dia duk salahkan Afdhal tu la. Letak merata-rata lepas tu nak tuduh Ana pula.”
            Hatiku lega. Rasanya abang Joe tahu aku yang mengambil art block itu. Mungkin abang Joe berahsia untuk menjaga aibku.
            “Ana sabar ya. Afdhal tu memang baran. Ana pun faham keadaan dia kan? Ana jangan ambil hati pula.” Kak Lin menasihatkan.
            “Ana faham...” aku bertindak memahami seperti mana yang kak Lin harapkan.
            “Assalamualaikum, boleh joint sama?”
            Kedatangan seorang wanita yang berambut lurus membuatkan keningku kerut. Namun mulut masih menjawab salam yang dihulurkan. Siapa pula wanita ini?
            “Eh, cik Dahlia, boleh. Jomlah duduk sekali.” Kak Lin bangun. Hanya aku yang masih duduk dengan pertanyaan yang tidak berjawab. Siapa cik Dahlia?
            “Ana, kenalkan, ni bos akak, cik Dahlia.”
            Apabila cik Dahlia hulurkan tangan, pantas aku sambut tangan itu untuk bersalaman. “Saya, Ana.” Aku memperkenalkan diri.
            Kami sama-sama tersenyum. “Muka cik Dahlia ni macam familiar aje.” Aku sekadar berkata.
            “Ana ni, tak payah nak formal sangat. Panggil kak Dahlia lagi bagus.”
            Kini aku tersenyum lagi. Rasa lebih selesa. Panggilan yang disarankan itu sesungguhnya merapatkan  lagi jarak perhubungan yang tadinya tercipta.
            Makanan sudah tiba. Aku terlebih dahulu makan kerana aku mengejar masa. Aku labih banyak mendengar kak Lin dan kak Dahlia berbual. Sekali sekali baru aku mencelah. Itupun jika apu punya fakta untuk dibawa ke dalam perbicaraan,
            “Ana nak kena gerak dulu. Dah nak pukul 2. Maaflah, tak sempat nak tunggu makan sama-sama.” Aku minta diri.
            “Tak apa, lain kali kita boleh makan sama lagi.” Kak Dahlia menjawab dengan senyuman. Gadis itu memang suka tersenyum. Lesung pipt dan tahi lalat di bawah bibirnya menambahkan cantik senyumannya.
            ‘Insya’ALLAH.” Balasku. Aku segera mengeluarkan wang dari dompet untuk membuat bayaran.
            “Ana, tak apa. Hari ni akak belanja.”
            “Eh, tak apalah kak. Ana bayar.” Aku cuba menolak.
            “Ana tak sudi akak belanja ke?”
            “Bukan macam tu, kak. Ana...”
            “Ana, rezeki jangan ditolak...” kak Lin mengingatkan.
            Aku mengalah akhirnya. Ya, rezekiku hari ini. “Terima kasih kak Dahlia, kak Lin. Ana jalan dulu ya.” Bingkas aku bangun. Melambai dengan tangan dan terus berjalan keluar daripada bangunan. Untungnya siapa yang dapat kak Dahlia. Dahlah cantik, baik pula tu! Hati berbicara sendiri.
Seketika teringatkan senyuman kak Dahlia. Lesung pipit dan tahi lalat di bawah bibir memperindahkan lagi kejadiannya. Kemudian kakiku terhenti. Tidak bergerak untuk maju ke hadapan. Ada sesuatu yang dijana minda. Ya, aku yakin, wajah yang sama! Tahi lalat dan lesung pipitnya juga sama. Kenapa baru saat ini terimbas segala? Wajah itulah yang terlukis pada kertas lukisan yang ada dalam laci meja encik Afdhal. Aku yakin aku tak salah! Adakah ini bermakna kak Dahlia dalam bahaya?

Bersambung...

Kata AH :
Selesai entry 7. Terima kasih kpd semua yg masih mengikuti kisah ini. Insya'ALLAH kita jumpa untuk entry yang seterusnya next week ya. Assalamualaikum.

Salam Ukhwah
AH

4 comments:

Anonymous said...

Cik writer... encik afdhal ni autistik ke? Akk nak tahu jugak crita seterusnya...

idA said...

apa sebenarnya yg berlaku kepada mamattu..kenapakah tidak dibawa mamat tu buat rawatan

Anonymous said...

i'm curios la.. cepat la update citer ni..

Nur Aina Dalilah Zolkifli said...

ah sudah... dahlia mangsa seterusnya??

Post a Comment