Tuesday, April 9, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 3



3
Aku tarik nafas panjang. Tercungap-cungap. Ada rasa ingin mengalah. Tapi mengenangkan niat yang sudah aku tanam, jadi aku tetap teruskan juga. Kotak yang masih banyak mula memeningkan kepala. Rasanya sudah tiga kali aku naik ke stor atas, menghantar kotak. Tapi mengapa baki kotak yang masih tinggal seakan tidak surut?
Seketika aku duduk, membuang lelah. Ya Allah, bantulah hambaMu ini. Sungguh aku tidak berdaya menyudahkan semuanya sendiri. Tinggal beberapa minit saja lagi jam akan menapak pada angka tujuh. Semuanya semakin kelihatan mustahil untuk aku sudahkan. Air minuman yang tinggal kurang satu per tiga itu aku teguk perlahan sesudah melafaskan kalimah basmalah. Perlu ada tenaga untuk kembali menyambung tugas. Aku perlu teruskan juga, biarlah Allah SWT yang tentukan semua.
“Dah... jom cepat, Ana.”
Aku terkejut, hampir tersedak dibuatnya. “Abang Joe?” seakan tak percaya melihat kemunculan abang Joe. “Abang Joe, buat apa kat sini?” aku soal penuh ragu. Untuk apa dia kembali ke sini? Untuk membantuku? Itu tidak mungkin.
“Dah... jangan banyak tanya. Sebelum Afdhal bangun, lebih baik kita alihkan kotak-kotak ni cepat.”  Abang Joe mula memunggah kotak yang ada ke atas troli.
“Kalau encik Afdhal tahu macam mana?” soalku lagi.
“Dia takkan tahu.” Balas abang Joe ringkas.
“Kenapa pula?”
“Nantilah abang Joe cerita. Sekarang kita selesaikan mana yang penting dulu.” Abang Joe tidak menjawab pertanyaan.
Aku mengangguk saja. Betul cakap abang Joe. Perkara yang penting perlu diberikan keutamaan. Semangat kembali mencanak naik. Bersama rasa lega, aku sempat memanjatkan syukur kepada Illahi atas bantuan yang dikirimkan. Tersenyum aku sendiri, mengakui kebenaran bahawa Allah SWT tidak akan pernah membiarkan hambanya yang berperang, menegakkan agama Allah, berjuang bersendiriaan. Bantuan-NYA akan tiba tepat pada waktu dan saatnya. Akan aku pegang kata itu sepanjang hayat.

TALIAN aku matikan selesai memaklumkan kepada Pak Lang tentang kelewatanku. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Bukan sekadar siap menyimpan kotak-kotak di stor, malah ruang solat juga sudah berhasil disiapkan dengan pertolongan abang Joe. Makanya, aku akan tidur lebih lena malam ini. Itu pasti!
            “Ana nak ucapkan terima kasih banyak-banyak pada abang Joe dengan kak Lin. Allah SWT saja yang dapat balas jasa baik abang Joe dengan kak Lin.” Tersenyum aku melafaskan penghargaan itu.
            Abang Joe dan kak Lin juga tersenyum. Tanda membalas kata.
            “Tapi... kalau boleh, Ana nak tahulah juga. Macam mana abang Joe boleh berani nak tolong Ana pula? Abang Joe tak takut ke, kalau encik Afdhal tahu?” ya, memang itu yang aku musykilkan sejak dari tadi. Soalan yang tidak aku temu jawapannya.
            Abang Joe, dan kak Lin berpandangan sekali lagi. Kemudian, mereka sama-sama ketawa kecil.
            “Kalau tak kerana isteri abang Joe, ni... memang abang Joe tak mampu nak tolong Ana.” Abang Joe membuat penjelasan.
            “Maksud abang Joe?” dahiku kerut. Sebuah penjelasan yang tidak jelas. Sukar untuk aku fahami makna di sebaliknya.
            “Maksud abang Joe... kalau bukan sebab idea kak Lin, belum tentu abang Joe boleh tolong Ana. Ana kan tahu Afdhal tu macam mana? Ingat senang ke abang nak tolong senyap-senyap.” Jelas abang Joe lebih terperinci. “Sebenarnya, kak Lin dah masukkan ubat tidur dalam air kopi Afdhal.  Lepas dia tidur, abang terus cari ana. Itu sebab abang Joe sampai lambat tadi.” Sambung abang Joe penuh semangat.
            “Lah, iya ke?” aku mula tersengih lebar. “Wah, pandai kak Lin atur rancangan! Kiranya kak Lin pun kenallah dengan encik Afdhal?” kini soalan aku ajukan pula pada kak Lin. Mahu mendengar suaranya yang dari tadi asyik terdiam dan tersenyum
            “Mahu tak kenal, Ana. Sejak akak kahwin dengan abang Joe, akaklah yang selalu tolong abang Joe uruskan Afdhal.” Akhirnya suara kak Lin kedengaran.
            “Uruskan encik Afdhal?” ada lagi perkara yang masih gagal aku fahami. Apa maksud kak Lin.
            “Ana jangan tak tahu. Selama ni, akak dengan abang Joelah yang banyak uruskan hidup Afdhal. Rumah dia kat atas bumbung tu, pakaian dia, makan dia... semua kita orang yang tolong beres.” Tambah kak Lin lagi.
            Terdiam aku seketika sebelum kembali bersuara. “Ana tak fahamlah, kenapa pula macam tu? Ana tengok encik Afdhal tu elok aje, tak adalah pula cacat kat mana-mana sampai nak kena orang lain tolong uruskan hidup.”  Aku tak puas hati. Gaya penceritaan kak Lin menampakkan yang encik Afdhal tergolong dalam golongan orang kurang upaya. Padahal aku perhatikan, sedikitpun kekurangan tidak ada pada anggota tubuh encik Afdhal. Semua baik-baik sahaja. Sama macam manusia normal yang lain. Jadi apa masalah yang sebenarnya?
            “Lah... Ana tak tahu, ke? Abang Joe tak cerita?” Kak Lin pula bertanya.
            Aku hanya mampu menggeleng sambil mata memerhati pada abang Joe. Berharap ada penjelasan di situ. Namun mulut abang Joe terkunci rapat. Seakan tidak mahu bersuara menceritakan perihal sebenar.
            “Abang Joe tak nak cerita kat Ana?” terpaksa aku meluahkan. Kalau menunggu abang Joe bercerita, rasanya itu tak akan berlaku.
            Abang Joe hanya membalas dengan pandangan matanya pada pertanyaan yang aku utarakan. “Dahlah, jom balik. Lewat dah ni...” pantas abang Joe bangun. Nampak tergesa-gesa seperti mahu melarikan diri.
            Aku hampa. Andai abang Joe tidak mahu berkongsi cerita, itu bermakna, tak akan semudahnya aku dapat menggorek rahsia.
            “Jom, Ana. Abang hantarkan sekali.”
            Pelawaan itu aku terima baik. Jam hampir pukul sepuluh malam. Ada baiknya aku bersama dengan orang yang aku kenal berbanding bersendirian di luar. Lagi pula, kak Lin juga ada. Aku akan rasa lebih selamat.  

SEWAKTU sampai di hadapan rumah, abang Naim turut tiba. Pasti dia juga baru pulang dari tempat kerja. Macam dah berjanji pula. Aku membantu abang Naim membuka pintu pagar yang masih belum dikunci.
Hari ini takdir aku memang cukup baik. Hajat untuk punya tempat kerja tersendiri terlaksana. Malah ruang solat yang sangat aku dambakan juga sudah tersedia. Kini pula, satu-satunya lelaki yang berjaya menapak kukuh di hati ada di depan mata. Siapa yang tak bahagia?
            Aku tunggu abang Naim keluar daripada kereta. Mahu sama-sama melangkah masuk ke dalam rumah. Macam pasangan suami isteri. Alahai, tingginya angan-angan. Harapnya yang ini juga menjadi kenyataan satu hari nanti.
            “Assalamualaikum...” sapaku terlebih dahulu sebaik sahaja abang Naim turun dari keretanya.
            “Wa’alaikumusalam.” Balas abang Naim dengan senyuman nipis.
            “Nak Ana tolong bawakan beg tu?” mataku mula menangkap briefcase hitam yang baru dikeluarkan dari tempat duduk belakang.
            “Tak apa, abang boleh bawa.” Abang Naim tidak membenarkan. “Lambat balik hari ni?” langkah abang Naim semakin menghampiri. “Kalau tak silap abang, hari ni baru hari kedua Ana praktikalkan? Takkan dah kena buat overtime?” soal abang Naim.
            Pertanyaan demi pertanyaan yang abang Naim lontarkan membuatkan aku terdiam. Soalannya aku faham. Namun, nada pertuturan bagi pertanyaan  itu menimbulkan tanda tanya padaku. Marahkah dia? Atau cemburu? “Ana...” hanya namaku sendiri yang berjaya dituturkan lidah. Tiada jawapan untuk pertanyaan tadi. Apa yang harus aku katakan? Bercerita perihal encik Afdhal? Tidak! Aku tidak boleh berbuat begitu.
            “Okaylah, Ana. Abang masuk dululah. Have a good rest.” Abang Naim terus berjalan mendapatkan pintu masuk. Sedangkan aku masih berdiri, terpaku di situ. Hanya mampu melihat langkah-langkah abang Naim yang terlalu cepat menghilangkan diri.
            Aku tampar pipiku perlahan. Kalaulah aku berjaya menjawab soalan tadi, pasti perbualan kami akan jadi lebih panjang. Sungguh aku rindu untuk kembali ke zaman kanak-kanakku. Ya, hanya aku dan abang Naim!

AKU fikirkan aku mampu untuk tidur lena setelah semua yang aku lalui hari ini. Tapi ternyata aku silap. Sehingga kini, mataku masih lagi belum berjaya lelap. Seolah dihantui sesuatu. Memang, itu yang sedang berlaku kini. Mengapa sejak dari tadi, aku tidak sudah-sudah memikirkan tentang encik Afdhal? Entah apa yang terjadi pada encik Afdhal sebenarnya?
            Ke kiri dan ke kanan pembaringan cuba aku alih. Namun masih tetap sama. Aku marah diri sendiri. Kenapa perlu sibuk-sibuk tentang orang lain. Encik Afdhal sedikitpun tidak punya kaitan yang kuat dengan diriku melainkan seorang majikan dengan pekerja. Jadi mengapa aku perlu memikirkannya?
            “Ish...” aku bangun sudahnya. “Iyalah, esok tanya pada abang Joe.” Aku maklumkan pada diri sendiri. “Tapi sekarang kena tidur dulu!” arahku. Kemudian aku kembali baring. Selimut aku tarik, menutupi tubuh.  Dan kini perlahan-lahan mata mula tertutup rapat.    

HARI ini aku pergi lebih awal. Maka pagi ini aku tidak dapat bersua muka dengan abang Naim. Untuk hari ini aku relakan, kerana aku sudah punya agenda. Sebaik sahaja tiba di Arena Printing nanti, aku mahu terus berjumpa dengan abang Joe. Aku mahu tidur lena malam nanti. Jadi aku perlu tahu kisah encik Afdhal yang sebenar.
            Satu keajaiban berlaku hari ini. Memecah rekod hari-hari yang lalu. Encik Afdhal langsung tidak kelihatan di hadapan pintu kaca seperti selalu. Maka aku dapat masuk ke dalam dengan perasaan senang hati. Jadi sangkaanku ternyata meleset sama sekali. Aku ingatkan encik Afdhal memang akan sentiasa di situ pada setiap pagi. Umpama satu rutin harian yang tidak dapat diubah. Aku salah!
            Lebar senyumanku menghiasi wajah. Aku letakkan beg tangan yang tidak besar mana ke dalam laci meja kerja. Ruang solat di sebelah menambah keceriaan hati. Dari tempat dudukku, aku perhatikan ruang kerja encik Afdhal yang berserabut bagai. Pening kepala melihatnya. Kalaulah aku dapat kemas tempat itu, entah berapa banyaklah plastik sampah yang harus aku gunakan. Sepuluh plastik pun belum tentu cukup! Aku gelengkan kepala. Apalah masalah encik Afdhal sebenarnya?
            “Abang Joe...” nama itu aku sebut dengan tiba-tiba. Ya, memang lelaki itu punca aku sampai lebih awal hari ini. Mujur premis sudah dibuka walaupun masih ramai pekerja yang belum menampakkan wajah. Segera aku bangun, berjalan ke seksyen cetak untuk mencari abang Joe. Kebiasaannya dia memang selalu di situ.
            “Assalamualaikum abang Joe.” Salam aku hulurkan. Gembira, abang Joe ada.
            “Wa’alaikumusalam. Eh, Ana... awal sampai hari ni?” riak wajah terkejut abang Joe pamerkan.
            Aku cuma tersenyum.
            “Ada apa-apa yang Ana nak abang Joe tolong, ke?” tanya abang Joe sambil terus tekun menyusun kertas-kertas iklan yang sudah siap di cetak. Seolah dia mengetahui ada sesuatu yang membawa aku ke situ di awal pagi begini.
            “Ha’ah. Boleh abang Joe tolong Ana?” aku mengiyakan katanya.
            “Ana nak suruh abang Joe tolong Ana kemas kotak lagi, ke?” abang Joe senyum.
            “Abang Joe ni, macam perli Ana aje...” kataku sambil mula memberi bantuan kepada abang Joe, menyusun kertas iklan yang banyak sungguh.
            “Ish, tak adalah. Abang Joe gurau aje. Ana nak abang Joe tolong apa?”
            “Erm...” lama aku begitu. Berat mulut untuk membuat permintaan. Namun aku perlu katakannya juga. Bertanya pada soalan yang amat aku perlukan jawapannya.
            “Apa dia? Cakap ajelah, Ana. Tak payah nak malu-malu.” Abang Joe mengerling sekilas.
            “Abang Joe...” aku tekad untuk bertanya. “Kalau Ana nak minta abang Joe tolong ceritakan pasal encik Afdhal, boleh tak?”
            Terus terhenti gerak kerja abang Joe. Aku direnungnya tajam. Membuatkan aku terpaksa matikan perhatian yang dari tadi banyak tertumpu padanya. Nampak gayanya, abang Joe seperti tidak mahu menjawab pertanyaanku. Sudah aku jangkaan.
            “Kenapa Ana sibuk sangat nak tahu pasal Afdhal?” sedikit keras nada abang Joe.
            “Ana...” terketar aku menjawabnya. Sungguh aku tidak punya jawapan. Aku sendiri tak pasti untuk apa aku harus tahu kisah encik Afdhal. Namun hati seakan tidak senang selagi aku tidak mendapat jawapan pada pertanyaan itu.  
            “Baru masuk hari ketiga Ana kat sini, jangan kata kat abang Joe yang Ana dah jatuh cinta dengan Afdhal!”
            “Eh, tak. Sumpah!” aku angkat tangan. Saling tak tumpah seperti orang yang sedang berikrar. Cuba sedaya upaya menyakinkan abang Joe bahawa kata-katanya itu tidak benar sama sekali.
            “Dah tu, kenapa Ana nak sangat tahu pasal Afdhal?” masih lagi abang Joe bertanya. Ya, mungkin wajar baginya untuk tahu. Lagi pula aku masih baru di sini. Tiba-tiba saja mahu ikut campur pasal encik Afdhal. Pasti abang Joe curiga.
            “Ana saja nak tahu. Kalau abang Joe tak boleh nak cerita, tak apalah. Ana tahu, Ana tak patut tanya soalan macam tu.” Aku tunduk. Mengalah daripada terus mencari jawapan. Lebih baik aku lupakan saja niatku untuk ambil tahu. “Ana minta maaf. Ana balik tempat Ana dululah...” aku minta diri. Tidak ada apa-apa lagi yang boleh aku buat di situ. Lebih baik pulang ke ruang kerja dan bersedia untuk memulakan tugas.
            Aku berjalan mahu pergi meninggalkan abang Joe sendirian di situ. Beredar bersama rasa yang tidak menyenangkan hati.
            “Ana...” suara abang Joe lantang kedengaran.
            Terhenti langkahku yang tadinya laju membawa diri. Aku toleh, memberi pandangan pada abang Joe.
            “Jom pergi sarapan. Abang belanja!” abang Joe senyum.
            Perlahan-lahan bibirku turut sama mengukir senyuman. Bukan kerana gembira menerima pelawaan itu, tapi kerana aku tahu senyuman yang masih kelihatan pada bibir abang Joe punya makna tersendiri. 

Bersambung...

Kata AH:
Alhamdulillah, sempat juga AH postkan entry JJC 3. Terima kasih kerana masih ada yg sudi jengah ke teratak AH. Insya'ALLAH entry utk JJC akan AH postkan setiap hari selasa... semoga anda berpuas hati dgn entry kali ini. Assalamualaikum n salam sejahtera semua... <3 br="">

6 comments:

nur fakhariah said...

apa rahsia nya yer....

eija said...

napa ngn afdhal?? moga abg joe tbuka ati nk cite

Anonymous said...

adakah ini misteri nusantara?
haha..apa2 pun saya enjoy dengan setiap tulisan AH

-chah husain-

Afifah Yusof said...

hehe... menarik! da bomb! tapi apa rahsia Afdhal? jeng, jeng... terima kasih kak Adah :D

Unknown said...

tak kan baru keje tiga hari dah jatuh cinta dgn afdhal??

hahaha...ayat memang tak boleh blah..
afdhal kecewa dgn awek kut.. tu dengki je kat ana..
kesian ana..yg naim kenapa?? adoi..

Anonymous said...

Best la cite ni.. nnti saya nak beli lah...
-Hazwani-

Post a Comment