Saturday, March 30, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 2



2
AKU menarik selimut, menutup tubuhku yang kesejukan. Mata juga sudah mengantuk. Letih seharian membantu pekerja-pekerja di Arena Printing. Hari pertama yang menyeronokkan. Semua pekerja-pekerja di Arena Printing baik dan ramah, tidak termasuk Encik Afdhal. Dia hanya duduk di mejanya saban hari, sikitpun tak masuk campur kerja kami. Duduknya menyendiri bersama muka ketatnya yang langsung tidak menampakkan senyuman.
Terbukti kebenaran kata-kata Fina. Sememangnya abangnya itu seorang pendiam. Mujur aku telahpun mendengar suaranya pagi tadi. Jika tidak, pasti aku akan menyangkakan yang abangnya itu bisu. Mana tidaknya, lelaki itu lebih banyak berinteraksi dengan mimik muka dan pergerakkan tangannya untuk berkomunikasi. Memang pelik! Dengan aku lagilah pula, jangan kata bercakap, memandang wajah akupun lelaki itu tidak mahu. Mungkin masih marah. Namun padaku, aku tetap tidak bersalah!
Bunyi ketukan pintu membuatkan aku kembali menolak selimut. Pantas aku berjalan mendapatkan pintu. Tombolnya aku pulas, apabila pintu telah terbuka, kepala dijengahkan melihat gerangan yang mengetuk pintu itu sebentar tadi. Namun tidak ada sesiapa yang kelihatan. Aku kerutkan dahi. Mustahil aku silap pendengaran! Kemudian mata mula menangkap satu objek yang tergantung pada tombol pintu.
“Lolipop!” aku terkejut. Bagaimana lolipop itu boleh tergantung pada tombol pintu bilikku itu? Walaupun persoalan itu tidak ada jawapannya, namun tanganku pantas mengambil lolipop yang tergantung itu. Ada kad kecil di situ.
Abang minta maaf pasal pagi tadi. Sengaja nak tengok Ana merajuk. Ternyata  masih comel macam dulu!
Selepas membaca ayat itu, aku jadi hilang kata. Rasa seperti tidak percaya dengan apa yang aku baca. Benar-benar mengejutkan. Kemudian, perlahan-lahan hati mula tersenyum. Pintu kembali aku tutup rapat, tidak perlu aku cari lagi siapa gerangan yang muncul sebentar tadi kerana jawapan itu sudah pasti kini. Rasa mengantuk hilang dengan tiba-tiba dan rasa itu digantikan pula dengan rasa bahagia yang teramat sangat.

PAGI ini aku tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Abang Naim kerana dia terlebih dahulu telah keluar bekerja. Namun aku tetap masih mampu untuk tersenyum. Semuanya gara-gara lolipop pemberian Abang Naim semalam. Dan aku yakin, masih banyak lolipop yang akan aku terima selepas ini. Mengenangkan itu, aku sudah mengatur rancangan untuk petang nanti. Aku mahu mendapatkan balang kaca untuk aku simpan setiap lolipop yang aku terima. Rancangan itu membuatkan hariku bertambah ceria.
            Setibanya aku di premis Arena Printing, seperti semalam, Afdhal sudah tercongok di hadapan pintu kaca syarikat miliknya itu bersama akhbar yang menutup wajahnya. Hari ini juga dia berpakaian serba hitam. Mungkin itu memang warna kegemarannya atau mungkin juga itu baju semalam! Langkah yang tadinya laju, kini mula aku perlahankan. Otak ligat menyusun ayat untuk menyapa. Tidak mahu kejadian semalam berulang. 
            “Assalamualaikum Encik Afdhal, boleh saya tumpang lalu” terpaksa juga aku berbicara.
Afdhal mengalihkan surat khabar yang dibacanya. Sama seperti hari semalam. Cuma, pada kali ini aku tidak akan bertindak seperti melulu. Afdhal hanya memandang aku sekilas, sebelum dia mula mengubah kedudukannya agar tidak lagi menghalang laluan. Kemudian dia kembali menyambung bacaannya. Kalau diikutkan, sememangnya aku sudahpun boleh melepasi pintu kaca itu. Namun entah kenapa kakiku terkunci di situ. Aku tidak tahu apa yang aku rasakan, tapi apa yang pasti, langkahku terpaku di situ kerana dirinya. Aku tidak pernah berjumpa lelaki pelik seperti dirinya. Sukar untuk aku tafsirkan keadaannya. Tapi aku dapat rasakan ada yang aneh tentang dirinya.
Menyedari aku masih berdiri di tempat tadi bersama renungan yang tidak putus-putus ke arahnya, Afdhal kembali memberikan sedikit tumpuan padaku. Keningnya diangkat bersama wajah penuh persoalan, cuba memberikan isyarat. Aku faham maksud isyaratnya itu. Pantas aku ukirkan senyuman, lalu aku menggelengkan kepala tanda tidak ada apa-apa yang tidak kena, sebelum segera angkat kaki masuk ke dalam premis. Hati menghembuskan nafas lega. Jujur, semuanya berada diluar kawalanku.

JANTUNGKU mula berdegup laju apabila Abang Joe menyampaikan pesanan bahawa Afdhal ingin berjumpa denganku di mejanya. Aku yang dari tadi sibuk membantu pekerja-pekerja yang lain menyusun  majalah sekolah yang sudah siap dicetak, mula rasa tidak senang hati.
            “Habislah kau, Ana...”
Kata-kata Abang Ijad telah membuatkan aku jadi bertambah kecut perut. Apa maksud Abang Ijad yang sebenar? Aku yang baru saja mahu bangun dari duduk, tidak jadi meneruskan niat itu. Aku harus mendapat jawapan daripada Abang Ijad sebelum aku berjumpa dengan Afdhal.
“Apa maksud Abang Ijad?” Aku menyoal. Aku perlu tahu.
Abang Ijad hanya tersenyum panjang. Tidak ada tanda-tanda yang dia mahu menjawab soalan yang aku berikan sebentar tadi.
“Dahlah Ana, jangan duk dengar cakap Ijad. Lebih baik Ana cepat pergi jumpa Afdhal. Nanti tak pasal-pasal kena marah” Abang Joe memberikan peringatan.
Aku mengangguk, lantas aku atur langkah menuju ke meja Afdhal. Langkah yang tadinya laju bertukar menjadi perlahan apabila melihatkan keadaan Afdhal dari jauh. Aku tidak pasti apa yang dilakarkannya, tapi yang aku pasti lakarannya itu berbentuk contengan bersama deruan nafasnya yang turun naik. Tidak tumpah seperti keadaan orang yang sedang melepaskan marah. Terus mati langkahku. Kertas lakaranya itu kemudian dikoyakkan dan direnyukkan sebelum mencampakannya merata.
Aku jadi kecut perut. Meneruskan langkah atau berpatah balik? Hati mula membuat pertimbangan. Membatu aku di situ. Aku alihkan pandangan, cuba meraih simpati Abang Joe dan Abang Ijad dari jauh. Tapi ternyata sia-sia kerana mereka kelihatan biasa-biasa saja, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Ketika Afdhal mengangkat wajahnya dan melihat aku, barulah dia kembali menenangkan dirinya. Lama dia terdiam bersama renungan tajamnya. Seketika kemudian, dia mengarahkan jari telunjuk padaku sebelum memanggil aku menghampirinya juga dengan isyarat jarinya itu.
Dengan langkah terketar, aku berjalan juga menghampiri meja Afdhal. Takut diapa-apakan. Aku tidak tahu kenapa, yang pasti saat ini memang dia kelihatan tidak waras. “Encik Afdhal cari saya” terus aku bertanya sebaik sahajaaku berhenti beberapa langkah sebelum sampai di mejanya.Afdhal memandangku tanpa sebarang kata. Lama aku tunggu dirinya berbicara.
“Kau ambil jurusan apa?” akhirnya Afdhal bersuara juga. Drawing block yang berada di atas mejanya itu, diangkat lalu dicampakkan ke bawah mejanya.
“Pengurusan pejabat” jawabku sekadar memenuhi soalan yang diberikan. Tidak berani berlebih kata.
Afdhal mengangguk lemah. “Nah” Sampul surat besar yang mempunyai lambang institusi pengajianku, dihulurkan kepadaku. Sampul yang sama, yang aku serahkan pada abang Joe semalam. Aku tahu apa isi dalam sampul putih itu. Borang penilaian yang perlu diisi oleh majikan setelah selesai menjalani latihan industri. Semua itu menimbulkan rasa tidak senang di hati. Apa mungkin, dia tidak mahu aku meneruskan latihan praktikal ditempatnya?
“Kenapa Encik Afdhal bagi borang ni pada saya?” sampul yang dihulurkan oleh Afdhal tidak aku sambut. Aku mahukan jawapan kepada soalanku terlebih dahulu.
“Habis tu, kau nak aku bagi borang ni kat siapa? Ni borang kau, kan?” serius kata yang Afdhal tuturkan.
“Memang borang saya, Encik Afdhal. Tapi sepatutnya Encik Afdhal kena bagi borang ni masa minggu terakhir saya kat sini. Lagipun, Encik Afdhal kena isi dulu borang ni” walaupun ada rasa getar, namun aku tetap terangkan prosedur yang sebenar.
“Sekarang ni, siapa majikan?” Satu pertanyaan sinis diajukan. Afdhal meletakkan sampul yang sedari tadi dipegangnya di atas mejanya dengan kasar. Mungkin dia sendiri keletihan memegang sampul yang tidak bersambut itu.
“Encik Afdhal lah majikan” balasku pantas.
“Habis tu, yang banyak sangat hal ni, pasal apa? Sekarang ni, kau nak ambil sampul ni, ke tak nak? Kalau kau tak nak, aku nak buang”
“Saya ambil!” pantas aku berjalan, menapak beberapa langkah dan terus mencapai sampul di atas mejanya itu.
“Satu lagi... meja kau kat situ” Afdhal menunjukkan arah letaknya mejaku dengan muncungnya.
Hati rasa gembira saat menerima perkhabaran itu. Buat pertama kalinya aku bakal mempunyai ruang kerjaku yang tersendiri. Yes! Memang gembira, lantas dengan segara aku mengalihkan wajah, memandang ke arah yang dimaksudkan oleh Afdhal. Namun senyuman yang tadinya lebar aku ukir, kini hilang sedikit demi sedikit semata-mata kerana kegagalan mencari meja yang diperkatakan oleh Afdhal tadi. Setelah lama memerhati, barulah aku perasan di mana kedudukan meja itu.
Meja ke, rak simpan kotak? Aku hanya mampu bertanyakan soalan itu tanpa suara. Terkedu aku melihatkan keadaannya. Aku akui, memang ada sebuah meja di situ, tapi meja itu dikelilingi dengan kotak-kotak besar. Tidak cukup dengan itu, beberapa buah kotak juga ada terletak di atas meja yang baru sahaja diisytiharkan menjadi milikku sepanjang berada di Arena Printing ini.Aku kembali memandang wajah Afdhal. Tertanya-tanya benarkan itu tempatku? Mengharap, semoga Afdhal akan ketawa lalu menyatakan semua itu hanya gurauan semata-mata.
“Mulai hari ni, kau boleh duduk kat situ. Pandai-pandailah kau kemas ikut kreativiti kau” Afdhal memberikan kebenaran. Dia kemudiannya bangun mahu meninggalkan tempatnya. “Lupa pula aku nak cakap. Kau jangan buka sampul tu selagi kau tak habis praktikal kat sini, faham!” sempat pula Afdhal menghentikan langkahnya semata-mata ingin menyampaikan pesanan itu.
Aku hanya mampu mengangguk pada setiap perintah yang disuarakan. Lain yang aku harapkan, lain pula yang diperkatakan.Afdhal akhirnya berlalu pergi meninggalkan aku di situ. Aku pula hanya mampu memandang Afdhal dengan rasa hampa. Mahu ataupun tidak, aku perlu juga menduduki meja itu, muktamad! Tidak ada alasan untuk aku ingkar pada arahan Afdhal. Mataku kembali aku bawa menyoroti kawasan yang penuh dengan kotak pelbagai saiz. Aku cebikkan bibir, bagaimana untuk aku menguruskan semuanya seorang diri? mungkin aku boleh dapatkan bantuan rakan-rakan yang lain, tapi mahukah mereka di sini membantuku?

KOTAK yang banyak di situ, aku pandang dengan senyuman lebar. Bukan kerana gembira berpeluang mengemas kawasan yang saling tidak tumpah macam tongkang pecah itu, tapi kerana janji yang dibuat oleh abang Joe, dan abang Ijad untuk menghulurkan bantuan padaku. Setidak-tidaknya, ringan sedikit bebanku untuk menguruskan tempat baruku. Sementara menunggu abang Joe, dan abang Ijad menyelesaikan tugas mereka, aku sendirian cuba mengalih kotak yang aku rasa aku mampu alihkan tanpa bantuan sesiapa.
            Mujur benar jangkaanku, kotak bersaiz sederhana itu tidaklah seberat mana. Dengan kudrat yang ada, berjaya juga aku mengalihkan hampir enam buah kotak ke atas troli besar untuk dibawa ke atas bumbung bangunan yang telah diubahsuai menjadi ruang stor. Aku duduk sebentar apabila mula ada rasa lelah. Nafas aku tarik panjang sambil mengesat peluh yang menitik di dahi.
            “Aik, dah rehat?” suara abang Ijad kedengaran.
            Aku kembali berdiri melihat kehadiran abang Joe dan abang Ijad di situ, menunaikan janji mereka. “Ingatkan abang Joe dengan abang Ijad dah lupa nak tolong Ana kat sini” sengaja aku bermain bahasa dengan mereka.
            “Kalau difikir-fikirkan pasal kotak yang melambak-lambak ni, memang abang Ijad dengan abang Joe nak lupakan aje niat nak tolong Ana. Tapi, bila mengenangkan yang Ana ni duduk dalam kategori kaum yang lemah, tak sampai hatilah pula, kan Joe” abang Ijad menyiku lengan abang Joe. Abang Joe pula hanya menampakkan tawanya sambil mencekak pinggang.
            “Lagipun, kita orang ni kan jenis lelaki budiman. Takkan nak biarkan Ana buat seorang diri” tambah abang Ijad lagi.
            “Iyalah... bertuah Ana dapat bantuan daripada lelaki-lelaki budiman ni. Nanti Ana belanja minum ya. Tapi kena tunggu dapat elaun dululah” aku mengikat janji bagi membalas budi. Harap mereka senang mendengarnya.
            “Ha... tu yang sedap didengar tu!” masih lagi abang Ijad bersuara.
            “Dahlah, jom start kerja, bercakap aje dari tadi, bila nak siapnya?” barulah kini abang Joe mencelah kata.
            “Okay, jom kita mula” balasku. “Tadi abang Joe cakap, semua kotak-kotak ni boleh letak kat stor atas bumbung kan?”
            “Ha’ah, kita sumbat dalam stor ja. Tak payah fikir banyak” abang Joe mengiyakan pertanyaanku.
            “Kalau semua dah sumbat dalam stor, wah... luaslah tempat Ana. Bolehlah main bola kalau boring” abang Ijad yang mula memindahkan kotak, melontarkan kata. Membuatkan rasa senang di hatiku.
            “Itulah, Ana ingat, nanti Ana nak tarik meja ni ke kiri sikit. Lepas tu, Ana nak minta tolong abang Joe dengan abang Ijad pasangkan partition yang ada ni. Bolehlah Ana buat ruang untuk solat kat sini” aku tersenyum dengan cadangan yang aku ajukan itu. Rasa segan untuk menumpang solat di premis sebelah. Aku sendiri tidak pasti mengapa Arena Printing langsung tidak menyediakan ruang solat untuk pekerja-pekerjanya sedangkan semua kakitangan di sini beragama Islam. Ketika soalan itu aku ajukan pada kak Jun masa dia membawa aku bersolat di premis sebelah, dia cuma tersenyum sambil menjungkitkan bahu, tanda tidak tahu sebab musababnya. Jadi, soalan itu tidak ada jawapannya.
            Abang Joe dan abang Ijad berpandangan sesama sendiri ketika aku suarakan cadanganku itu, seolah-olah tidak menyenanginya. Reaksi yang mereka tunjukkan itu menimbulkan tanda tanya di hatiku. Mengapa begitu?
            “Abang rasa tak payahlah Ana nak buat ruang solat. Ana solat kat sebelah ajelah” abang Joe nampaknya tidak menyokong cadanganku.
            “Kenapa pula? Lagipun, kat sini bukanya ada tempat untuk solat” aku yang tidak berpuas hati, terus mempertahankan ideaku.
            Abang Ijad mula mengaru kepala. “Betul cakap abang Joe tu. Ana tak payahlah nak tanya kenapa. Ana pun bukan lama kat sini, empat bulan aje kan?”
            “Alah... apa salahnya Ana buat ruang solat kat sini? Kalau Ana tak ada nanti pun, orang lain boleh terus guna ruang solat ni. Kalau abang Joe dengan abang Ijad tak nak tolong pasangkan partition ni, tak apalah, Ana boleh pasang sendiri”
            “Bukan pasal partition ni, Ana. Abang cuma tak nak timbul masalah. Nanti tak pasal-pasal, Ana kena marah”
            “Marah? Siapa pula yang nak marah?” tanyaku, tidak berpuas hati dengan setiap tutur kata abang Joe dan abang Ijad. Mereka terdiam akhirnya. Tiada jawapan balas untuk pertanyaanku.
            “Aku yang marah, kenapa?”
            Segera aku menoleh ke arah suara yang tiba-tiba kedengaran. Muncul Afdhal di situ. Terkejut aku dibuatnya.
            “Tak sampai seminggu kat sini, dah nak buat kecoh, apa kes?” Afdhal meneruskan kata.
            “Tak, encik Afdhal. Saya cuma bercadang nak buat ruang solat kat sini” mampu juga aku bersuara akhirnya, setelah kian lama hanya membisu dengan kehadirannya di situ.
            “Ruang solat? Boleh kau bagi aku satu sebab kenapa kena ada tempat solat ofis aku ni?”
            “Sebab kat sini tak ada tempat nak solat. Setiap kali nak solat, nak kena pergi kedai sebelah” pantas aku menjawab. Memang itu kebenarannya. Berubah air wajah Afdhal aku perhatikan. Abang Joe dan abang Ijad pula hanya mampu memerhati.
“Kalau aku kata tak boleh, kau nak buat apa?”
            “Janganlah macam tu encik Afdhal. Kan lebih afdhal kalau ofis ni ada tempat nak solat. Encik Afdhal juga yang dapat pahala” Dengan sengaja aku menggunakan namanya untuk tetap cuba bertahan.
            Afdhal terdiam. Abang Joe dan abang Ijad lagilah pula, langsung tidak bersuara sejak Afdhal tiba. Menikus mereka di situ.
            “Okay, kau boleh buat apapun ikut suka hati kau, tapi dengan satu syarat” Afdhal memandangku acuh tidak acuh.
            “Saya akan tunaikan walau apapun syaratnya” sungguh yakin aku berbicara. Hati mula senang. “Apa syaratnya encik Afdhal?” begitu teruja untuk mengetahui apa syarat yang dimaksudkan. Akan aku lakukan apa saja demi ruang solat itu. Semoga ianya bakal memberikan manfaat yang besar buat semua kakitangan Arena Printing.
            “Okay... aku nak kau settle semua kotak ni tanpa bantuan sesiapa hari ni juga. Kalau kau tak boleh settle, jangan mimpi kau dapat buat apa-apa” syarat itu Afdhal tuturkan bersama senyuman di bibir.
            “Afdhal... kesian dia Afdhal” Abang Joe seakan cuba menentang. Segera dia berjalan menghampiri Afdhal, namun Afdhal lebih dahulu bertindak mengangkat tangannya, tidak mahu abang Joe mencampuri urusannya. Lantas langkah abang Joe hanya mati di situ.
            Aku terkedu, tidak sangka syarat itu yang ditetapkan. Agak mustahil untuk aku memenuhi syarat itu. Mengangkat enam buah kotak yang saiznya tidak besar manapun sudah membuatkan aku terduduk keletihan. Inikan pula menyudahkan kerja-kerja mengalihkan kotak-kotak besar itu ke ruang stor secara bersendirian. Mana mungkin aku mampu melakukannya seorang diri? Gila apa?
            “Macam mana? Setuju?” Afdhal masih lagi dengan senyumannya. Senyuman itu aku perhatikan seolah-olah mentertawakan aku. Membuatkan hatiku menjadi sakit. Saat itu muncul semangat juang yang tinggi. Aku tidak mahu kalah. Walau apapun terjadi, aku harus sahut cabaran itu. Andai pinggangku patah sekalipun, aku tak peduli. Niat baik harus diteruskan walau apapun rintangannya.
            “Okay, saya setuju, encik Afdhal. Insya’Allah saya akan usahakan” balasku. Puas hati dengan jawapan yang aku berikan.
            “Tapi ingat, tak ada orang boleh tolong kau!” sekali lagi Afdhal mengingatkan tentang hal itu. Mungkin mahu memutuskan semangat juangku.
            “Tak apa, Allah sentiasa ada untuk bantu saya!” giliran aku melemparkan senyuman buat Afdhal. Dan senyumanku itu mematikan senyuman Afdhal yang tadinya megah menunjukkan diri.
            “Joe, Ijad... aku ingatkan kau orang ya, jangan pandai-pandai tolong budak ni tanpa arahan aku. Jangan sampai ada yang langgar arahan aku ni. Ingatkan yang lain juga!”
            Itu pesanan terakhir Afdhal yang aku dengar sebelum dia berlalu pergi dari situ.
            Sorry Ana, harap Ana faham” abang Joe menunjukkan wajah ehsannya.
            “Abang pun minta maaf. Ana jangan paksa diri. Kalau tak boleh tinggalkan aje” giliran abang Ijad menyampaikan kata.
            “Tak apa. Ana faham. Doakan Ana berjaya ya” hanya itu yang mampu aku nyatakan. Mereka tidak bersalah. Kalau boleh, pastinya mereka mahu membantu. Dan aku tidak berkecil hati dengan hal itu. Sebaik sahaja melemparkan senyuman bersalah buatku, abang Joe dan abang Ijad berlalu meninggalkan aku sendirian.
            Aku melihat jam di pergelangan tangan, sudah hampir jam 4.00 petang. Sempatkah aku menyelesaikan semuanya hari ini? Walau apapun, aku mesti selesaikannya! Sendirian aku mengucapkan kata-kata peransang. Kotak-kotak yang banyak itu pula kelihatan mula melambai-lambaikan tangannya ke arahku...

Bersambung...
Kata AH:
Assalamualaikum semua.... Alhamdulillah sempat AH postkan n entry JJC-2 utk tatapan semua. Semoga AH menerima komen2 membina bg membina kembali semangat AH yang sejak kebelakangan ni hanyut entah ke mana. Sokongan semua rakan2 pembacalah menaikkan semangat AH untuk terus menulis. Terima kasih AH ucapkan kepada semua yg selalu ada bersama AH. Sangat AH hargai. Insya'ALLAH entry JJC-3 Ah akan cuba uplodkan secepat mungkin ya.
Salam Ukhwah,
Adah Hamidah.

           

               

8 comments:

norihan mohd yusof said...

nape plak afdal perangai camtuh!cian kat ana,dh kira kes dera tuh!kalu yer pn agak2 lh afdal...ana tu pempuan,camner lh nk kemas sensorang camtuh!mau pitam jadik nyer...nasib mu lh ana dpt bos yg poyo cam afdal tuh!!

HUDAPIS said...

best2... nk lg x?

Afifah Yusof said...

Best sangat! Good job kak Adah. I like berjuta-juta lemon. Tapikan, siapakah heronya? hehee... Encik Afdhal yang garang ataupun Abang Naim? jeng, jeng... menantikan JJC bab 3. terima kasih kak Adah. :)

Anonymous said...

Cepat2 upload N3 baru ye adah. Sering ternanti2 novel keluaran baru dari Adah. BTW.....SAC dah di bukukan ke ? Rindu sungguh dgn Sue & Zul :)

Anonymous said...

Bab awal yg menarik. Sentiasa tertunggu2 bab yg seterusnya...

nuyull said...

Manusia mcm2 perangai...
Apapun intro yg baik...good luck

Anonymous said...

oh siapakan hero kali ni ek..tertunggu2 jjc bab 3,
semoga semangat adah kembali menyala untuk menyiapkan entry seterusnya untuk kami yang sentiasa menyokong adah

-chah husain-

Nur Aina Dalilah Zolkifli said...

oh men.. nama dah afdhal tapi perangai tak berapa pulak..

huh.. nie mesti diam2 suka kat ana nie... kerek!
:)

Post a Comment