21
Zulhairi betul-betul berada di depan mata. Wajahnya
tampak tenang, tapi gayanya yang sedang memeluk tubuh itu membuatkan aku kalut
seketika. Gerai tepi jalan yang menjual nasi lemak hanya beberapa langkah
sahaja lagi di hadapan. Aku menelan liur, tiba-tiba sahaja ada rasa takut untuk
berhadapan dengan Zulhairi. Sudah beberapa hari aku cuba mengelakkan diri,
akhirnya pagi ini boleh pula terserempak di sini. Kehendak takdir tiada siapa
mampu melawannya.
Langkah aku panjangkan, terus menghampir Zulhairi. “Dari
mana nak ke mana?” Soalku apabila mata sudah bertentang mata. Aku cuba mengukir
senyuman, cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Mana-mana jelah.” Katanya yang masih lagi kaku
memandangku.
Jawapannya yang hambar itu menyesakkan dadaku. Terasa
lain bila tidak dilayan seperti biasa olehnya. “Kenapa ni? Marah kat aku ke?”
perlahan aku mengajukan soalan yang aku rasa sudah aku tahu akan jawapannya.
Dia mengangkat kedua belah keningnya. Wajahnya makin
serius memandangku. Aku mengaru kepala yang tidak gatal. Merajuk ke, marah
sebenarnya ni? Kalau merajuk, takkan dia mahu berhadapan denganku sebaik sahaja
melihat kehadiranku. Berat rasanya nafas aku hembuskan. Susah betullah dengan Zulhairi ni,
yang dia beria-ia sangat hendak tahu tentang kata-kata Wafi beberapa hari lepas,
kenapa? Tidak mungkin dia cemburu.
Cemburu? Sebaik sahaja perkataan itu terlintas di
fikiranku pantas aku memandangnya yang masih tidak berganjak dari tadi. Kalau
benar itu apa yang difikirkannya lagi susah untukku bercerita padanya, aku
tidak mahu dia salah faham akan hubunganku dengan Wafi.
“Aku nak pergi beli sarapan untuk adik-adik aku.” Aku
terus sahaja berlalu memintas dirinya. Dan dia hanya membiarkan aku berlalu.
“Kak, nasi lemak ayam empat bungkus. Semua letak ayam
goring ya, kak.” Kataku pada kakak yang menjual nasi lemak di tepi jalan
bersebelahan taman perumahanku.
“Saya nak tiga bungkus kak. Letak ayam goreng juga.”
Tersenyum lebar kakak yang menjual nasi lemak itu apabila
menerima pesanan daripada Zulhairi pula. Aku berdiri tegak memerhati kakak di
depanku ini membungkus pesananku, Zulhairi yang berdiri benar-benar di
sebelahku juga diam memerhati. Terasa bersalah pula apabila aku berdiam diri
begini. Mulut begitu ringan untuk berbual, tapi hati pula tidak membenarkannya.
Payah betul untukku berhadapan dengan situasi begini.
“Adik punya enam belas ringgit.” Dia menghulurkan plastik
merah itu padaku, dan aku menyambutnya. “Adik punya pula dua belas ringgit.”
Dia menghulurkan sebuah lagi plastik merah pada Zulhairi.
Baru aku mahu menghulurkan dua keping not merah kepada
kakak itu, Zulhairi terlebih dahulu menghulurkan sekeping not lima puluh. “Kira
sekali kak.”
Kakak itu tersenyum sambil mengambil wang dari tangan
Zulhairi.
“Tak payahlah Zul, aku boleh bayar sendiri.” Aku cuba
menghalang, namun sedikit pun dia tidak menoleh padaku. Dia hanya memandang
kakak itu mengira dan memulangkan baki wangnya.
Sebaik sahaja wang bertukar tangan dia terus sahaja
berpaling dan berjalan meninggalkanku. Sekali lagi aku mengaru kepala yang
tidak gatal. Hati langsung tidak senang dengan apa yang berlaku antara aku dan
dia hari ini. Tanpa membuang masa aku mengejar Zulhaira yang sudah jauh ke
depan.
“Kau kerjakan hari ni?” Tanyaku sebaik sahaja berjalan
beriringan dengannya.
Dia hanya menganggukkan kepalanya tanpa memandangku walau
seketika. Pandangannya hanya tertala ke depan sahaja. Kemudian masing-masing
mendiamkan diri.
Aku ingin bertanya lagi, tapi ianya terbantut kerana aku
sudah sampai di hadapan rumahku. Dia pula terus sahaja meneruskan perjalanannya
ke arah rumahnya. Dekat sangat pula gerai nasi lemak itu dengan rumahku ini,
hanya selang beberapa rumah sahaja. Jika ianya jauh sedikit pasti aku akan
berjaya memujuk rajuk Zulhairi.
“Along Alia dah lambat ni, nanti bas terlepas pula.”
Suara Alia memecah lamunanku. Aku memandang Alia yang sudah sedia mengendung
beg sekolah dan buku di tangan.
Alia segera menghulurkan
salam, pasti jam sudah tepat pukul tujuh pagi. Jika tidak Alia tidak akan kelam
kabut begini. Lagi pula hari ini hari pertama Alia mahu menjawab kertas pertama
untuk peperiksaan SPMnya, jadi pasti dia tidak mahu terlewat sampai sekolah. Bas
sekolah mereka akan mengambil mereka di pagar masuk utama taman ini yang tidak
jauh dari rumahku ini. Jadi mereka perlu berjalan kaki ke sana terlebih dahulu.
“Nah makan kat sekolah
nanti.” Aku menghulurkan nasi lemak yang aku belikan untuk mereka sebentar
tadi. Pagi ini aku terlewat bangun, dan tidak sempat untuk membuat sarapan
untuk mereka, jadi aku beli sahaja sarapan yang agak berat ini untuk mereka.
“Terima kasih along.”
Ujar Alia.
Melihat mereka sudah
memulakan langkah, mataku segera menoleh melihat jalan menuju ke rumah
Zulhairi. Tiba-tiba idea muncul tanpa di pinta, aku segera masuk ke dalam
rumah, aku melangkah ke arah Amira yang sudah sedia menungguku di meja makan
dengan kepalanya dilentokkan di atas meja.
“Makan cepat, dah lambat
ni.” Aku terus membuka bungkusan nasi lemak. Air di dalam jug aku tuangkan
sebelum aku berlalu naik ke atas untuk menukar pakaian.
“Along tak makan?” Soal
Amira sewaktu aku berada di kaki tangga.
Aku berpaling
memandangnya. “Tak apa, nanti along makan kat pejabat.” Aku terus naik ke atas.
Baju yang sudah sedia aku
gosok sejak malam tadi aku ambil. Aku salin secepat yang mungkin. Wajah aku
rias serba ringkas sahaja hari ini. Aku mahu segera keluar dari rumah. Selepas
mengapai beg kerja dan tas tangan, aku segera turun ke bawah mendapatkan Amira.
Aku berharap dia sudah selesai makan apabila aku turun nanti, tapi rasanya
tidak mungkin dia boleh makan selaju itu.
“Eh, kenapa tak makan?”
Soalku apabila melihat nasi lemaknya berbungkus semula dan dia hanya minum susu
yang aku sediakan tadi.
“Alia nak makan nanti.”
Aku tersenyum, gembira
kerana dia seolah-oleh memahami yang aku mahu segera keluar hari ini. “Dah,
jom.” Aku membimbit begnya di tangan kananku.
Selesai mengunci pintu
dan pagar rumah, aku membimbit tangannya untuk bergerak beriringan denganku.
“Kenapa tak naik kereta
along?” Amira mengangkat kepalanya memandangku yang berjalan di sebelahnya.
Aku pula memandang bawah
ke arahnya sambil meneruskan perjalanan. “Hari ni kita tumpang Abang Zul,
okay.”
“Yeh…!” Dia sudah
melompat keriangan. Suka sangat mendengar nama Zulhairi meniti di bibirku.
Aku hanya tersenyum dan
meneruskan perjalanan. Terasa jauh pula rumah Zulhairi padahal rumahnya tidaklah
sejauh mana. Dalam hati aku terus berdoa agar Zulhairi masih belum keluar ke
pejabat. Aku tidak mahu kerenggangan ini berpanjangan. Aku mahu menjelaskan
semua perkara tentang Wafi hari ini juga. Rasa tidak senang duduk pula apabila dia
bermasam muka denganku, hatiku benar-benar rasa tidak selesa.
Aku sampai di rumahnya
ketika dia baru selesai membuka pintu pagar. Dia memandangku pelik. Langkah
yang cuba diatur ke kereta mati apabila melihat aku menghampiri rumahnya. Dia
memandangku tanpa kata. Aku juga seperti tidak tahu apa yang perlu aku katakan
saat ini. Dua-dua terdiam membisu. Hanya tali lehernya yang diterbangkan angin
pagi sahaja yang mampu aku lihat.
“Abang Zul nak tumpang
boleh?” Amira memecah kesunyian.
Zulhairi terus tunduk dan
membawa Amira ke dalam dukungannya. “Boleh, jom.” Dia melemparkan senyuman pada
Amira sebelum terus berpaling, kembali ke keretanya.
“Mira nak duduk
belakanglah hari ni. Biar along duduk depan.” Amira memberikan cadangan apabila
Zulhairi membukakan pintu hadapan keretanya untuk Amira.
Kata-kata Amira itu
membuatkan Zulhairi memandangku. Pasti Zulhairi beranggapan bahawa akulah yang
mengajarkan Amira tentang itu. Padahal, aku sendiri terkejut mendengar
kata-kata Amira. Jadinya aku hanya mampu membalas pandangannya. Kemudian dia
terus membuka pintu penumpang belakang untuk Amira dan membiarkan Amira masuk.
Sebaik sahaja dia menutup pintu untuk Amira.
“Naiklah.” Katanya
sepatah dan terus menuju ke bahagian pemandu.
Senyumanku sudah lebar menghiasi wajah. Nasib baik ada
Amira, jika tidak, sampai sudah aku dan Zulhairi hanya berbalas pandangan mata.
Aku terus melangkah masuk ke dalam keretanya. Dia memandu keretanya keluar dari
anjung rumah dan terus ke tadika Amira.
Sampai sahaja di tadika Amira, dia terlebih dahulu turun untuk
menghantar Amira ke muka pintu. Sama seperti biasa. Mataku mengekor langkahnya
dari dia keluar hingga dia masuk semula ke dalam kereta. Dia meneruskan
pemanduannya seperti biasa, tangannya membuka radio, sedikitpun dia tidak
menghiraukan aku.
Aku memang ingin bersuara, tapi tidak tahu ingin
dimulakan dengan mukadimah yang bagaimana?
“Kau merajuk dengan aku ke?” aku cuba menyoal, memulakan.
Amat aku harapkan jawapannya adalah tidak!
Tapi Zulhairi masih terus mendiamkan diri. Aku jadi
terdiam seketika. Memikirkan apa lagi yang harus aku katakan? Pandanganku
tumpah ke atas jalan raya yang sedang kami lalui. Tidak sesak seperti
kebiasaannya. Laju sahaja Zulhairi membelah jalan menuju ke wisma. Aku sudah
menelan liur, kami sudah hampir sampai tapi Zulhairi masih lagi mengambil
langkah berdiam diri denganku. Aduh, di saat aku mahukan keadaan jalan yang sesak
bagi memanjangkan masaku, pada masa ini jugalah trafik di Kuala Lumpur ini
berjalan dengan lancer. Aduh!
“Kau sayang betul dengan Amirakan. Semua yang dia nak kau
ikut je, sekali pun aku tak pernah nampak kau marah dia.” Aku tak tahu kenapa
ayat ini yang keluar. Tidak mengapalah janji ada perkara yang boleh aku menarik
minatnya untuk berbual denganku.
“Dia anak yatim piatu.” Katanya ringkas.
“Aku pun anak yatim juga. Tapi kau selalu je marah aku.
Macam sekarang ni.” Kataku selamba.
Terus pandangan Zulhairi singgah pada wajah. Dia merengus
kasar kemudian Zulhairi memandang ke hadapan semula. “Kau tu keras hati. Tak
nak dengar cakap orang.” Kasar suaranya.
Aku mencebik, tak habis-habis mengelar aku keras hati. Dari
dulu sampai sekarang, dia tidak pernah lupa untuk mengungkapkan kata sebegitu.
Gelaran itu tetap melekat di bibirnya. “Kau ni tak habis lagi ke marah kat
aku?” Aku sudah geram. Rasa nak naik marah dah ni. Tidak mahu memanjangkan
bicara, jadi aku terus ke persoalan pokok yang ingin aku ajukan padanya.
“Bila masa pula aku marah?” gumamnya perlahan, hampir
tidak mencecah ke telingaku.
“Habis tu yang kau buat tak tahu dengan aku tu kenapa?
Merajuk ke?”
“Buat apa nak merajuk?” kali ini suaranya dapat aku
dengar dengan jelas.
“Alah, kalau dah marah tu, cakap ajelah. Macamlah aku tak
boleh Nampak muka masam kau tu.?” aku masih cuba menyingkap isi hatinya.
“Dah orang tak nak cerita, takkan aku nak paksa-paksa
pula. Buat bodoh je dahlah.” Nadanya makin sinis sampai di telingaku.
Aku mengeluh perlahan. “Kenapa kau nak tahu sangat apa
yang Wafi cakap kat aku hari tu? Penting sangat ke?”
Dia mendiamkan diri, tidak tercuit sedikit pun dengan
soalanku. Tangannya masih lagi mengawal pergerakan kereta.
“Kenapa kau tak tanya kat
Wafi?” Soalku apabila keretanya sudah mula memasuki kawasan basemant wisma.
“Dia outstation. Kalau tak dah lama aku
tanya dia sendiri.” Perlahan sahaja ayat itu dituturkan di bibirnya namun masih
jelas di telingaku.
Patutlah beberapa hari
ini aku tidak nampak kelibatnya di wisma. Telefonnya juga tidak berangkat bila
aku cuba menghubunginya. Aku fikirkan dia mahu mengelak daripada berbicara
denganku. Aku mahu berbincang baik-baik dengannya, aku mahu menjelaskan agar
dia faham apa yang hatiku mahukan.
“Kalau kau tak nak cerita tak apa. Aku tak nak paksa!”
Katanya sambil mematikan enjin keretanya. Beg bimbit di tempat duduk belakang
dicapai dan dia segera keluar dari kereta.
Melihatkan Zulhairi sudah keluar dari kereta, cepat-cepat
aku membuka tali pinggang keledar yang aku kenakan. Pintu segera aku buka dan
keluar. “Zul! Hari tu Wafi lamar akulah!” jeritku dalam nada yang agak
perlahan, namun cukup untuk membuatkan Zulhairi terus berpaling ke belakang
memandangku semula.
Wajahnya berkerut seribu kemudian dia melangkah
menghampiriku.
Aku menelan liur, tidak tahu mengapa aku takut untuk
menerima reaksinya nanti.
“Dia buat apa?” Soalnya sekali lagi bila sudah berada di
hadapanku.
“Dia… dia… lamar aku?” lambat-lambat aku mengulang ayatku
sebentar tadi. Ayat yang aku cuba rahsiakan darinya beberapa hari ini.
“He did it?” soalnya seakan tidak percaya.
Aku hanya mengangguk. “Ha’ah tapi secara tak langsunglah.
Tapi kau jang…”
“Yes!” Belum sempat aku menghabiskan ayat, dia
sudah menjerit keriangan. Bergema suaranya di dalam ruangan bawah tanah ini.
Aku jadi tersentak menerima reaksi sebegitu daripada
Zulhairi. Dia kelihatan sungguh gembira. Benarkah Zulhairi gembira dengan
berita ini? Apa yang mengembirakannya sangat? “Kau…”
“I know he can do it.”
Seperti tadi, sebelum sempat aku menghabiskan ayat, dia
sudah memotong. Senyuman masih lagi melebar di bibirnya.
Kegembiraannya itu
mengundang satu rasa kurang senang dalam hatiku. Degupan jantungku terasa sudah
tidak bergerak dalam keadaan melihat dirinya.
“Kau tahu tak, bukan main
takut lagi dia nak berterus terang dengan kau. Akhirnya berjaya juga dia. Aku
tak sangka betul, cepat juga dia bertindak.” Dia memandang dan
mengerak-gerakkan keningnya beberapa kali padaku. Senyuman masih tidak lekang
dari bibirnya.
Mulutku sudah terlopong
mendengar katanya. Maknanya Zulhairi terlebih dahulu telah mengetahui bahawa
Wafi akan melamarku. Tapi bagaimana dia tahu semua itu? “Apa kau merepek ni
Zul?” aku soal dalam nada terketar.
Dia ketawa kuat sebelum
memulakan kata. “Merepek apa pula. Betullah apa yang aku cakap tu. Dia memang
dah lama suka kau.”
Seusai itu aku terus
melangkah, Zulhairi mengejar bersama ceritanya yang tidak lagi aku hiraukan.
Semua yang dia katakan hanya singgah di telingaku namun tidak dapat diserap
dalam mindaku. Fikiranku sudah melayang jauh, jantungku berdegup dengan lebih
laju mendengar pengakuannya itu, dan mata mula terasa pedih menunggu masa sahaja
untuk bergenang dengan air.
HARI ini semua yang aku
lakukan seperti tidak menjadi. Terasa amat longlai, lemah tidak bermaya. Tubuh
badanku seolah sudah tidak dapat menampung berat sendiri. Otak masih berserabut dengan semua pengakuan Zulhairi
pagi tadi.
Kata-katanya dan kegembiraan yang terpancar di wajahnya
pagi tadi cukup untuk menunjukkan kepadaku yang aku terlebih fikir tentang hubungan
kami. Ternyata dia hanya menganggapku sebagai kawannya sahaja, tidak lebih daripada
itu. Dalam diam, hanya aku sahaja kebelakangan ini yang menaruh perasaan yang
bukan-bukan padanya.
Aku ketawa kecil, cuba menutup kegalauan hatiku sendiri.
Nasib baik juga aku tidak terlalu mengikut perasaan, terbuai dengan perasaanku
sendiri. Jika tidak, pasti rasa malu yang bertamu apabila aku berhadapan
dengannya selepas ini. Entah kenapalah aku boleh menaruh hati padanya? Kenapa semuanya
hanya dengan tiba-tiba? Alangkah baiknya jika hari ini perasaanku padanya tidak
terlari jauh. Pasti aku tidak perlu menanggung rasa seperti ini hari ini.
Bunyi hon kereta di sebelahku, berjaya memberhentikan
langkahku yang kuhayun menuju ke hentian teksi yang berdekatan dengan wisma.
Sebaik aku berpaling, kereta Zulhairi sudah berhenti di sebelahku.
Dia menurunkan cermin
keretanya dan memandangku. “Cepat naik.”
“Tak apalah,” balasku
acuh tak acuh, aku tidak mahu berhadapan dengannya hari ini.
“Ish, naik!” dari dalam
kereta, dia terus membukakan pintu penumpang hadapan untukku.
Bunyi hon dari kereta
belakang membuatkan aku membuka langkah biar pun terasa berat kakiku untuk naik.
Lagi pula, aku harus berkelakuan biasa. Tidak mahu Zulhairi terhidu dengan rasa
yang ada. Sebaik sahaja aku menutup pintu, Zulahiri meneruskan pemanduannya.
Aku palingkan wajahku keluar tingkap memerhati setiap apa yang terlintas di
hadapan mata dengan perasaan yang kosong sama sekali.
“Kenapa tak tunggu aku
kat lobi? Kan aku dah suruh kau tunggu aku kat situ pagi tadi. Nasib baik jumpa
Madihah kalau tak, berkurunlah aku menunggu kau.” Bicaranya dahulu.
Tapi aku masih membatu,
membiarkan sahaja dia berkata apa sahaja yang dia mahu.
“Kau ni kenapa monyok je
dari tadi. Rindu kat Wafi ke?” telahnya tiba-tiba dengan jelingan mata padaku
sekala sekala.
“Jangan nak merepeklah,
Zul.” Sangkalku.
“Merepek apanya, betullah
kau rindu kat dia kan? Takkan kau rindu kat aku pula. Iya tak?” tawanya
sentiasa menemani setiap katanya.
Aku menarik nafas
dalam-dalam. Mata aku pejamkan rapat-rapat. Mengapa hatiku pula yang terasa
perit bila dia menuturkan perkataan rindu itu? “Aku tak rindu kat dia dan aku
takkan rindu kat dia.” Balasku namun wajah masih ku palingkan ke kiri. Malas
mahu mengadap wajah penasihat cinta Wafi ini.
“Maksud kau?”
Aku rasa aku menggunakan
ayat yang mudah untuk difahami sebentar tadi. Bekas pelajar cemerlang
sepertinya tidak mungkin tidak memahami apa maksud di sebalik kataku itu,
kecualilah kalau dia memang memilih untuk cuba tidak memahami maksud di sebalik
kata-kataku itu.
“Aku rasa aku guna bahasa
Melayu tadikan? Takkan tu pun tak faham.” Lemah dan sinis sekali nada yang aku
gunakan untuknya kali ini.
Dia ketawa. “Memanglah
kau guna bahasa Melayu. Takkan kau cakap guna bahasa Sepanyol pula.” Ketawanya
masih pecah, memenuhi ruang keretanya.
Jenaka yang cuba
ditonjolkan sedikitpun tidak mengusik hatiku. Tapi tawa yang keluar dari
bibirnya itu menghenyak hati kecilku. Saat aku terasa seolah-olah tidak dapat
bernafas dengan sempurna, boleh pula dia ketawa sebegitu di hadapanku. Kurang
asam punya Zulhairi! Rasa macam nak cekik-cekik aje dia!
“Aku anggap dia kawan aku
je, aku tak boleh terima dia.” Aku berterus terang tanpa selindung lagi. Aku
mahu dia tahu perkara itu dengan jelas. Hati aku langsung tiada untuk Wafi.
Jadi, bagaimana aku mahu menerimanya?
Zulhairi terdiam
seketika. Radio yang sedia terpasang sebentar tadi ditutupnya. Aku tahu dia
mahu menumpukan perhatiannya pada perbincangan aku dengannya saat ini. Dia
memang tidak suka akan gangguan lain jika mahu membincangkan sesuatu perkara
yang serius denganku.
Hampir lima minit dia
mendiamkan diri dan aku juga begitu. Apa yang aku ingin katakan sudah aku
luahkan. Tiada apa lagi yang mahu aku jelaskan padanya. Aku rasa aku sudah
menjelaskan dengan jelas sekali.
“Kau tak rasa nak bagi peluang
kat Wafi ke?”
Kepalaku terus berpaling memandang Zulhairi. Niatku untuk
tidak memandang wajahnya petang ini terbang begitu sahaja sebaik sahaja
mendengar soalan yang menyentap tangkai jantungku. Langsung tidak aku menyangka
ayat itu yang terkeluar dari bibirnya. Sungguh, hatiku sudah memberontak untuk
keluar dari keretanya saat ini juga. Soalannya itu menyakitkan hatiku.
“Berapa Wafi bayar kau untuk jadi telangkai ni? Tolonglah
Zul, aku tak boleh nak tipu hati aku sendiri.” Aku terus menyatakan
pendirianku. Tiada seorangpun manusia yang mampu mengubahnya. Lantas pandangan
aku tuju ke hadapan jalan raya yang sesak makin menyesakkan dada. Aku ingin
segera sampai di rumah. Aku tidak mahu berbual tentang hal ini lagi dengan
Zulhairi. Kerana semua yang keluar dari bibirnya menghimpit dada. Tapi
melihatkan keadaan jalan yang seperti tidak bergerak dari tadi, melemahkan semangatku.
“Aku faham…”
Tak! Kau takkan faham, hatiku menjerit sebelum sempat
Zulhairi meneruskan ayatnya.
“Tapi bila kau bagi peluang kat dia secara tak langsung
kau bagi peluang pada diri kau sendiri juga. Mana tahu dia lelaki yang terbaik
untuk kau.”
Dan mungkin juga dia bukan lelaki yang terbaik buat aku,
aku menyambung dalam hati. Bibirku sudah tidak mahu berbicara dengannya. Hati
yang pedih ini hanya mampu berbicara bersendirian.
“Dia berusaha keras untuk cuba tambat hati kau. Takkan
kau tak perasan dengan semua yang dia buat untuk kau sepanjang kau kenal dia?”
Dia sedaya upaya membuat aku terpengaruh dengan kata-katanya.
Aku hanya membiarkan Zulhairi berbicara sendiri. Katalah
apa pun yang ingin dia katakan. Aku tidak peduli.
“Berhari-hari dia minta nombor telefon kau kat aku, kau
tahu. Mula-mula memang aku tak bagi sebab takut kau marah. Tapi bila aku lihat
dia bersungguh-sungguh, aku yakin dia memang serius dengan kau.” Tambahnya
lagi.
Aku terkejut, jadi Wafi mendapatkan nombor telefon bimbitku
darinya. “Habis alamat rumah aku pun kau yang bagi kat dia ke?” terus aku
menyoal bila perkara itu terlintas di mindaku.
Dia mengangguk laju.
Akhirnya sudah terjawab juga persoalan yang bermain di
mindaku selama ini. Dia rupanya yang pandai-pandai cuba membuatkan Wafi lebih
dekat denganku. “Pasal birthday aku, kau juga ke yang cerita pada dia?”
dadaku sudah berombak menahan rasa. Aku amat berharap dia menjawab tidak.
Dia mengangguk lagi.
Aku sudah terkedu seketika. Aku fikirkan Azira yang
membuka cerita tentang hari lahirku dan rutin tahunanku pada Wafi, rupa-rupanya
kawan baikku sendiri yang membuka cerita. Bosan sangatkah dia menemaniku
menziarahi kubur orang tuaku hingga dia menyerahkan tugas yang sering dia
lakukan setiap tahun bersamaku itu kepada lelaki lain? Entah kenapa aku tiba-tiba yakin, pastinya sewaktu hari
lahirku tempoh hari, Zulhairi dengan sengaja memberi peluang pada Wafi untuk
menyambut hari lahir bersama-samaku terlebih dahulu. Bersungguh-sungguh
nampaknya dia mahu Wafi hadir dalam hidupku. Mengapalah aku tidak boleh
memikirkan kemungkinan ini sejak dahulu lagi?
“Dia sayangkan kau Su.” Dia cuba menyakinkanku.
Aku melentokkan kepala dan memejamkan rapat mataku. Aku
sudah tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Cukuplah itu sahaja untuk hari ini dan
selamanya. Hari yang menghuru-harakan diriku. Dalam hati aku berdoa, semoga
saja kereta ini sampai dengan cepatnya. Aku sudah tidak sabar mahu turun!
Bersambung...
Kata AH:
Assalamualaikum... Lagi Entry SAC utk semua pembaca... AH juga nk ambil kesempatan ini utk ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca yang sudahpun memiliki Mininovel PDF Tuhan Tolong Jagakan Dia untuk tujuan sumbangan kepada tabung Gaza dan program kebajikan anjuran The Hadeyya Foundation. Sokongan kalian hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya. Jumpa next entry ya... :)
14 comments:
Kak sy belum dpt pdf tuhan tolong jaga dia
Sedihnya. Ingatkan Zulhairi ada perasaan yg sama dgn Su. Ke dia pura-pura? :(
Thanks Adah for the entry...tapi sedih la, kesian pulak pada Su. By the way, novel tuhan tolong jaga dia tu masih boleh akak dapatkan ke? Online thru maybank boleh tak?
aduh n teras cinta su pada zul... teman tapi mesra
sedih.....masih berharap zul n su ada jodoh
hish, apahal zul nie... benci nya, tp jgn la mcm nie. kesian kt Su... nak Su dgn Zul...
Tak nak trima hakikat Zul takde perasaan kat Su
Warrrgggghhhhh.... Tidak seperti yg ku jangkakan.... Warrrggghhhh.....
Sue, let us grieve together-gether.... Sob...sob...sob...
tq Adah.... kenapa mesti begini tak mau su dgn wafi nak jugak zul + su.
n3 pls writer
kenapa Zul? Kenapa? ArghhH!
Assalamualaikum
Boleh beri akak alamat email awak. Akak akan semak dgn segera. tq :)
Terima kasih pada semua yang meninggalkan kata. Adah sangat hargai sokongan semua. Semua mesti terkejut dgn entry ini kan? Hi3 mungkin ada lagi kejutan pd masa akan dtg... tunggu ya. Thnks :)
akak...kalau sy nak beli mini novel tu boleh lagi ker...
Adah!...baru hari ni kak zu dapat layan SAC...aduh!...kenapajadi mcm tu....nak zul dgn su...
Post a Comment