Sunday, February 5, 2012

Pertandingan Cerpen : Ikhlaskan Hatiku


IKHLASKAN HATIKU
“Baiklah ustaz, insya-Allah sampai rumah nanti saya cari” sambil menganggukkan kepalaku. Dari jauh aku dapat melihat kelibat emak yang semakin menghampiri kami dengan memegang beg di tangan kanannya. Syukurlah beg emak tidak hilang. Ucap aku di hati.
“Kalau tak ada apa-apa lagi saya balik dulu lah mak cik. Mak cik dan Dahlia hati-hati berjalan ya” Ustaz Huzaifah pun meminta diri untuk pulang setelah emak betul-betul berada di sebelahku.
“Dahlia, saya harap Dahlia akan datang bersama emak Dahlia ke kelas tajwid nanti. Saya jamin.. Insya-Allah banyak perkara baru yang Dahlia akan belajar berkenaan tajwid” sambung Ustaz Huzaifah.
“ Insya-Allah ustaz..” jawab aku dan emak hampir serentak. Ustaz Huzaifah tersenyum sudahnya. Aku dan emak juga turut tersenyum sambil menjawab salam yang diberikan Ustaz Huzaifah sebaik sahaja mendengar jawapan aku dan emak tadi.
Setiba aku di rumah, aku terus mendapatkan terjemahan al-Quran yang terletak di atas rak buku. Aku membelek-belek  di halaman belakang kitab terjemahan untuk mencari muka surat bagi surah Annur. Sedang aku mencari, mataku tertancap pada perkataan Annur yang terletak di halaman 350. Aku terus melihat ayat 26 sepertimana yang dipinta oleh Ustaz Huzaifah.
Terjemahan dari ayat tersebut berbunyi, “perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih daripada apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki yang mulia (Syurga)”
Ya Allah.. Lalu di manakah letaknya diriku ini? Adakah di kalangan perempuan yang keji atau perempuan yang baik? Rintihan yang meninggalkan persoalan di benak hatiku setelah selesai aku membaca terjemahan tersebut. Nak dikatakan keji, aku tidaklah sejahat mana pun. Aku masih lagi sedar bahawa aku mempunyai kewajipan yang mesti dilaksanakan sebagai orang Islam. Aku masih memelihara solat lima waktu dan juga berpuasa di bulan Ramadhan. Meskipun begitu, ku rasa ada yang kurang dalam diri ini dan apa yang pasti aku memang tidak pantas untuk bersama Ustaz Huzaifah.
Engkau tidak layak untuk Ustaz Huzaifah! Teriak hatiku menyedarkan diri yang tidak seharusnya menyimpan perasaan terhadap lelaki sebaik itu sedangkan diri ini punyai banyak kelemahan dan kekurangan. Ku akui ku tidak sempurna sebagaimana Fatanah.

“ DAHLIA.. Dahlia.. Dahlia..” kedengaran emak memanggilku.
“ Ya mak!” jawabku sambil terpinga-pinga. Sebenarnya aku asyik menghirup udara dari jendela melihat ke luar rumah sehingga fikiranku melayang entah ke mana, bagai sedar dan tidak secara tiba-tiba aku mendengar suara emak memanggilku membuatkan aku sedikit terkejut.
“Apa yang kamu duduk termenung kat situ Dahlia.. sampai mak panggil berkali-kali pun kamu tak dengar” tanya emak kepadaku.
“Tak ada apalah mak.. Cuma Dahlia tengah fikir tentang diri Dahlia ni.. itu saja” Jawab aku sambil duduk di sebelah emak yang sedang memasukkan bungkusan nasi lemak ke dalam bakul untuk di bawa berniaga hari ini. Aku juga turut membantu emak.
“Apa yang kamu fikirkan tu Dahlia.. risau pulak mak tengok. Yalah, mana mak tak risau.. setahu emak kamu jarang nak termenung panjang macam tu” emak menyuarakan kerisauannya terhadap aku. “Hah, jangan-jangan kamu fikirkan Ustaz Huzaifah tak?” teka emak.
“Eh, mana ada mak. Dahlia sedar ustaz Huzaifah tu tak sepadan dengan Dahlia. Siapalah Dahlia ni mak.. tapi mak Dahlia ada soalan nak tanya..” kataku kepada emak. Hatiku menjadi sayu tetiba apabila mengenangkan Ustaz Huzaifah yang tidak mungkin ku miliki!
“Apa dia? Suara kamu tu sedih je mak dengar.. kamu ada apa-apa masalah ke Dahlia?” soal emak pula.
“Macam ni mak.. dulu mak pernah suruh Dahlia cerminkan diri sebab Dahlia suka kat Ustaz Huzaifah tu kan. Sekarang Dahlia sedar siapa diri Dahlia ni. Dahlia cuma nak tanya, Dahlia ni teruk sangat ke mak?” persoalan itu aku tinggalkan untuk emak jawab. Kini aku hanya menundukkan muka ke bawah. Tidak mahu emak melihat air mata yang mula bertapak di tepian mataku ini.
“Dahlia, mak tak sangka kamu masih ingat lagi kata-kata mak tu.. maafkan mak kalau Dahlia terasa dengan kata-kata mak kelmarin. Bukan niat mak nak kata Dahlia teruk” jawab emak sambil mengesat air matanya. Terasa bersalah pula aku mengeluarkan soalan sebegitu. Lemah ku rasa apabila melihat air mata emak yang mencurah tiada hentinya. Sudahnya aku pun turut sama menangis.
“Mak tak perlu minta maaf dengan Dahlia. Mak tak salah pun. Dahlia yang terlalu mengikutkan perasaan. Tanya mak soalan yang bukan-bukan. Maafkan Dahlia ya mak” pintaku kepada emak lalu aku terus memeluk emak erat. Aku benar-benar menyesal dengan pertanyaanku tadi.
Tangisan emak mula reda. Seketika kemudian emak kembali bersuara.“Dahlia anak mak. Mak tahu Dahlia seorang anak yang baik. Mak kata macam tu sebab mak sayang Dahlia. Mak tak nak Dahlia terlalu menyimpan harapan pada Ustaz Huzaifah tu. Dahlia sendiri tahu kan yang pak imam memang berkenan dengan Ustaz Huzaifah dan Fatanah pula memang mempunyai ciri-ciri idaman yang dicari seorang ustaz untuk bakal isterinya. Mak harap Dahlia faham maksud mak ni” jelas emak kepadaku.
“Dahlia faham mak.. tak apalah mak, mungkin dah bukan jodoh Dahlia dengan Ustaz Huzaifah” aku bernada pasrah. Aku pasrah! Tapi tak mungkin perasaan aku terhadap ustaz Huzaifah dapat dilenyapkan dalam sekelip mata. Aku perlukan masa untuk memujuk hatiku menerima kenyataan yang Ustaz Huzaifah tidak diciptakan untukku sedangkan aku benar-benar berharap yang sebaliknya. Memang agak sukar kurasa untuk membelakangkan kehendak hati ini. Namun apakan daya, aku terpaksa melepaskan apa yang tidak layak untuk aku miliki dan aku akur akan itu. Demi kebahagiaan dan untuk kebaikan Ustaz Huzaifah aku sanggup membiarkan hatiku sendiri terluka. Pedih rasanya!
“Mak pun faham perasaan Dahlia. Soal hati dan perasaan ni bukannya mudah untuk dicampak ke tepi, lebih-lebih lagi bila melibatkan rasa cinta ni. Mak pun dulu pernah muda macam kamu” kata emak seakan memahami apa yang ku rasa saat ini. Terima kasih emak kerana memahami. Bisikku di hati yang memang memerlukan pengertian walaupun hanya secebis.
 “Cuma ada satu cinta yang tidak akan mengewakan kita. Bukan sahaja kebahagiaan dunia, malah kebahagiaan Akhirat pun kita dapat juga. Inilah cinta sejati yang sebenar-benar cinta bagi mak iaitu cinta Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Cinta agung cinta Ilahi. Ingat tu Dahlia, sebesar manapun cinta kamu pada seseorang jangan pula sampai melebihi cinta kamu pada Dia yang mencipta segalanya” sambung emak lagi.
“Baiklah mak. Dahlia akan ingat sampai bila-bila” aku bersetuju dengan kata-kata emak. Emak kembali senyum mendengarkan jawapanku itu. Aku sedar selama ini aku asyik memikirkan perasaan cintaku pada Ustaz Huzaifah. Seharusnya perasaan cinta aku kepada-Nya yang patut diutamakan kerana Dia adalah pemilik hati hamba-hambaNya. Bagaimana mungkin untuk aku mengharapkan cinta hamba yang mencintai-Nya jika hatiku sendiri tidak dipenuhi dengan cinta-Nya. Aku bukan hanya sekadar perlu sedar diri malah aku rasa aku juga perlu memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik untuk ku genggam erat cinta-Nya yang sejati. Apa yang ku rasa ini bukan kerana Ustaz Huzaifah tetapi ikhlas kerana-Nya. Mudah-mudahan aku dapat menjadi yang terbaik untuk-Nya.

MATAHARI sudah terbenam menandakan hari hampir malam. Sebentar lagi akan berkumandang azan yang menandakan masuknya waktu Maghrib. Aku dan emak bersiap-siap untuk pergi ke surau kampung untuk solat berjemaah sekaligus mengerjakan solat Isyak berjemaah di sana.
Setelah selesai solat Isyak, aku dan emak akan menghadiri kelas tajwid yang akan diuruskan Ustaz Huzaifah di balai raya kampung. Balai raya kampung yang hanya terletak di sebelah surau memudahkan aku dan emak untuk turut serta dalam kelas tajwid tersebut.
“Assalamualaikum”
“Wa’alaikumusalam” jawab aku dan emak.
“Eh, ustaz rupanya. Ingatkan siapa tadi” kata emak sebaik sahaja menoleh ke belakang. Aku dan emak tidak sedar bahawa Ustaz Huzaifah berada di belakang kami sewaktu kami berjalan menuju ke balai raya.
“Maaf, kalau saya dah buat mak cik dan Dahlia terkejut. Mak cik dan Dahlia nak ke mana ni?” tanya Ustaz Huzaifah.
“Ke mana lagi ustaz, nak pergi kelas tajwid ustaz la ni” jawab emak. Aku pula sedari tadi hanya mampu tersenyum sahaja. Bukan aku sengaja mendiamkan diri cuma tiada apa yang hendak dicakapkan. Dari tadi Ustaz Huzaifah hanya bertanya pada emak. Seelok-eloknya biarlah emak sahaja yang menjawab.
“Alhamdulillah, eloklah tu. Saya pun nak ke sana ni. Boleh la kita gerak sama-sama” pelawa ustaz.
“Apa salahnya ustaz” emak bersetuju dengan pelawaan Ustaz Huzaifah tadi.
Sampai di balai raya, kelihatan ramai juga orang kampung yang hadir ke kelas tersebut untuk menimba dan menambah ilmu masing-masing. Pasti Ustaz Huzaifah berasa senang hati  mendapat respon yang amat baik dari penduduk kampung terhadap penganjuran kelas tajwid ini. Aku pun turut berasa senang melihat keadaan itu. Syukur ke hadrat Ilahi.
Aku dan emak terpaksa mengambil tempat duduk di bahagian belakang kerana tempat duduk di bahagian hadapan telah pun penuh. Ustaz Huzaifah memulakan kelas dengan bacaan doa terlebih dahulu agar kelas ini berjalan dengan lancar dan diberkati oleh Allah S.W.T.
“Amin amin ya rabbal a’lamin..” kedengaran suara orang ramai mengaminkan doa yang dibaca oleh ustaz Huzaifah setelah doa itu habis dibaca.
Pertama sekali ustaz Huzaifah menerangkan kepentingan menjaga hukum tajwid dalam bacaan al-Quran sebagai mukadimah bagi kelas tajwidnya. “Setiap ayat mahupun huruf yang dibaca dalam al-Quran dijanjikan pahala oleh Allah S.W.T sekiranya kita membaca dengan sebutan dan tajwid yang betul. Kalau kita main baca saja tanpa menitikberatkan sebutan dan hukum tajwid yang betul, boleh jadi lain maksudnya. Di sinilah pentingnya hukum tajwid agar bacaan kita tidak menjadi tunggang-langgang dan tidak lari dari maksudnya” terang Ustaz Huzaifah dengan penuh bersemangat.
Sepanjang kelas tersebut berlangsung, aku tidak lepas dari memandang Ustaz Huzaifah di samping mendengar kata-katanya dengan penuh khusyuk. Tangan pula sibuk menulis nota yang penting supaya diri tidak mudah lupa dengan apa yang diajar oleh ustaz Huzaifah. Ikhlas ku katakan ustaz Huzaifah memang pandai mengajar. Teringat zaman sekolah ku dahulu, tak pernah nak fokus macam dalam kelas ustaz Huzaifah sekarang. Kalaulah aku dapat beri perhatian macam ni semasa dalam kelas dulu tentu aku dah jadi pelajar cemerlang agaknya. Dapatlah aku sambung belajar luar negara macam Fatanah tu. Nasi dah jadi bubur Dahlia. Zaman sekolah mu telah berakhir. Bisik hatiku yang diserbu rasa menyesal kerana tidak memberi perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran sewaktu dahulu.
“Saya rasa setakat ini dulu kelas tajwid kita untuk hari ini, kita sambung pada hari esok ya. Saya harap saudara saudari dapat manfaat dan seterusnya menggunakan ilmu yang diperolehi pada hari ini dengan sebaiknya. Insya-Allah.. semoga Allah memberkati kita semua” kata Ustaz Huzaifah. Sebagai penutup, sekali lagi doa dibaca oleh Ustaz Huzaifah.
Setelah satu jam berlalu, kelas pun tamat dan akan di sambung pada keesokan harinya pada waktu yang sama. Menurut  dari kata Ustaz Huzaifah, kelas tajwid ini akan diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad, bermakna dua hari seminggu. Aku dan emak rasanya tidak mempunyai masalah untuk menghadiri kelas tersebut pada setiap minggu lagi-lagi kelas yang bermanfaat seperti ini. Rugi kalau tak pergi!

SEJAK mengikuti kelas tajwid Ustaz Huzaifah, aku mahu mengaplikasikan ilmu yang diperolehi dari kelas tersebut supaya ilmu tajwid yang diterima tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Seusai sahaja solat Maghrib, aku akan membaca al-Quran bermula dari surah al-Fatihah dan beberapa muka surat untuk setiap  satu hari. Insya-Allah, aku bertekad untuk mengkhatamkan bacaanku nanti hingga akhir juzuk 30. Di samping itu, aku juga turut membaca terjemahan dari surah yang telah ku baca supaya dapat memahami maksudnya.
“Alhamdulillah, anak mak ni dah semakin lancar bacaannya. Tajwid pun tiada banyak masalah, boleh diperbaiki lagi. Mak yakin dengan izin Allah, kelas tajwid yang diadakan Ustaz Huzaifah banyak membantu dari segi tajwid” komen emak selepas mendengar bacaan ayat suci al-Quran dariku.
“Dahlia pun rasa sama, memang membantu. Lagipun Dahlia suka cara Ustaz Huzaifah mengajar. Rasa tertarik untuk mendengar setiap katanya. Langsung tak rasa bosan mak” aku sependapat dengan emak. Pujian memang layak diberikan pada Ustaz Huzaifah. Itu adalah anugerah dari Allah buat Ustaz Huzaifah.
            “Kamu ingat tak Dahlia, masa kamu kecil dulu, susah nak suruh kamu mengaji. Bila dah dipaksa barulah kamu nak mengaji. Kadang-kadang puas mak dengan arwah ayah pujuk suruh mengaji. Liatnya bukan kemain lagi. Ada masa kamu menangis kerana tak mahu mengaji” emak mengimbau masa lalu.
            “Itu dululah mak. Masa tu Dahlia tak fikir sangat, asyik nak main-main je. Kesian kat mak dan arwah ayah” kenangan lalu berlayar di ingatan betapa susahnya aku hendak mengaji. Kadang-kadang tu sampai arwah ayah belikan aiskrim baru nak mengaji.
            “Tak apalah Dahlia, itu cerita dulu. Sekarang mak tengok kamu dah banyak berubah. Sejuk rasa hati mak ni. Kalau arwah ayah kamu ada lagi mesti dia pun suka tengok Dahlia selalu mengaji” kata emak dalam nada gembira dengan perubahan diriku ini. Syukur, Alhamdulillah.
            “Ayah, Dahlia rindu ayah” luahan rasa hatiku. Benar aku sungguh merinduinya. Saat ini, ku lihat emak menundukkan wajahnya ke bawah. Mungkin tidak mahu ku lihat wajahnya yang tiba-tiba berubah menjadi suram. Aku pasti emak juga merindui ayah.
Ayah meninggal dunia sewaktu aku berada di tingkatan satu akibat penyakit lelah yang dihidapinya. Ayah harus memakan ubat pada setiap hari. Pada suatu hari ayah terlupa untuk membeli ubatnya yang telah habis dan pada masa yang sama penyakitnya menyerang sehingga ayah mengalami sesak nafas. Kemudiannya ayah di bawa ke hospital berdekatan oleh jiran kami. Namun Allah lebih menyayangi ayah. Doktor mengesahkan ayah meninggal dunia akibat daripada kesesakan nafas yang amat kritikal. Sesungguhnya yang hidup itu pasti akan kembali jua kepada-Nya. Semoga dirimu sejahtera di sisi-Nya ayah. Doaku di hati.
           
            “MAK dengar orang kampung heboh kata yang ustaz Huzaifah dan Fatanah akan bernikah minggu depan” kata emak sambil memandangku dengan rasa simpati.
            “Baguslah tu mak. Dahlia tumpang gembira” jawabku hanya sepatah. Emak seperti kehairanan mendengar jawapanku.
            “Eloklah kalau kamu rasa macam tu.. Yalah mak tahu yang kamu suka sangat dengan Ustaz Huzaifah. Mak risau takut kamu kecewa pula nanti” kata emak dengan ikhlas.
            “Dah orang tak nak kat Dahlia mak” jawabku seakan-seakan kecewa bunyinya. Sebenarnya aku tak adalah kecewa mana pun kerana aku mula dapat terima kenyataan yang aku memang tidak layak untuk Ustaz Huzaifah cuma ada rasa terkilan sedikit.
            “Aik, macam kecewa je mak dengar.. betul ke ni kamu tak apa-apa? Emak cuba menduga apa yang bersarang di hatiku.
“Betul mak, Dahlia ok je ni. Mak janganlah risau. Cuma.. rasa terkilan tu adalah sikit. Terkilan tak dapat lelaki sebaik Ustaz Huzaifah mak. Pada Dahlia, Ustaz Huzaifah lelaki paling baik yang pernah Dahlia kenal. Dahlia juga rasa Ustaz Huzaifah seorang lelaki yang bertanggungjawab dan mampu menjadi suami yang baik buat isterinya. Siapa yang tak nak lelaki sebaik Ustaz Huzaifah tu mak tapi sayangnya Dahlia tak cukup baik untuk Ustaz Huzaifah. Biarlah Dahlia perbaiki diri Dahlia ni. Mungkin dah memang takdir Ustaz Huzaifah untuk Fatanah. Bertuah Fatanah kan mak” jawabku jujur. Bagiku tiada lelaki sebaik Ustaz Huzaifah. Tiada yang sebaiknya!
“Dahlia dengar mak cakap ni, Allah ada menyatakan di dalam al-Quran bahawa boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal dia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal dia amat buruk bagimu, dalam surah al-Baqarah ayat 216. Dahlia kan dah selalu baca al-Quran dan terjemahannya sekali. Tak kan Dahlia tak perasan!” kata emak agak tegas.
“Dahlia tahu tu mak, sebab tu Dahlia dah mula terima hakikat sebenar walaupun tidak sepenuhnya. Dahlia selalu berdoa agar Allah ikhlaskan hati Dahlia sepenuhnya untuk menerima setiap ketentuan-Nya. Dahlia ni manusia biasa mak” kataku agar emak mengerti diriku tidak begitu kuat untuk membuang segala rasa dalam sekelip mata.
“Serahkan segalanya pada Allah, Dahlia. Percaya dan yakin pada-Nya. Mungkin Allah sedang mengaturkan sesuatu yang terbaik buat kamu. Berdoalah selalu pada-Nya agar kamu dikurniakan jodoh yang sepadan dan terbaik buat kamu dari Allah” pesan emak padaku.
“Tak apalah mak, tak dapat Ustaz Huzaifah, dapat yang macam Ustaz Huzaifah pun jadi lah kan mak. Maksud Dahlia.. sifat dan peribadi seperti Ustaz Huzaifah” kataku cuba berseloroh dengan emak. Aku rasa kagum dan jatuh suka pada Ustaz Huzaifah kerana sifat dan peribadinya bukan kerana rupanya atau penampilannya.
“Amboi, ada hati lagi tu..” balas emak juga dalam nada gurauan. “Kalau macam tu Dahlia kenalah rajin berdoa. Allah tidak akan menghampakan hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dalam doanya.. yang penting niat hati dan doa tu mesti yang baik-baik je” tutur emak lagi.
“Baiklah mak, Dahlia akan doa hari-hari” emak tersenyum mendengar jawapanku begitu juga dengan diriku.

HARI ini adalah hari yang berbahagia buat Ustaz Huzaifah dan Fatanah. Sebentar lagi mereka akan diijabkabulkan untuk ke alam yang lebih mencabar iaitu alam rumah tangga dalam perhubungan yang sah sebagai suami dan isteri. Entah mengapa aku sendiri yang merasakan debarnya.
“Kak Dahlia! Kak Fatanah panggil..” laung Wazir dari tingkap rumahnya. Aku ketika itu berada di balai makan. Kebetulan aku juga memang hendak berjumpa dengan Fatanah untuk memberi hadiah sempena perkahwinannya. Tanpa berlengah, aku melangkah masuk ke dalam rumah lalu mendapatkan Fatanah di biliknya.
“Assalamualaikum” aku memberi salam.
“Wa’alaikumusalam, Dahlia mari masuk” ajak Fatanah. Aku lihat Fatanah nampak lain benar hari ini. Dia kelihatan bertambah cantik dan ayu walaupun hanya dengan solekan nipis di wajahnya. Barangkali inilah yang dikatakan seri pengantin.
“Tahniah Fatanah, sebentar lagi kau akan jadi isteri orang. Aku tumpang gembira” ucapku sambil menghulurkan hadiah yang ku bawa bersama.
“Terima kasih Dahlia” jawab Fatanah sambil melemparkan senyuman manisnya padaku.
“Sama-sama” balasku yang turut sama tersenyum.
Dari luar rumah, kedengaran suara orang ramai riuh-rendah. Mungkin pengantin lelaki telah pun sampai. Benar sangkaanku apabila emak Fatanah meminta Fatanah bersedia kerana sekejap lagi majlis akad nikah akan dijalankan.
“Dahlia, nanti awak teman saya keluar ye” pinta Fatanah. Aku sekadar menganggukkan kepala tanda setuju.
Sebaik sahaja semuanya telah siap sedia, Fatanah disuruh keluar dari bilik oleh emaknya. Aku pula turut sama mengiringi Fatanah keluar menuju ke arah ruang tamu rumah tempat di mana akan berlangsungnya majlis akad nikah. Ku lihat Ustaz Huzaifah nampak segak dengan baju Melayu berwarna putih yang dipakainya.
Perasaan ku saat ini bercampur baur. Sesungguhnya ini adalah ujian yang berat bagiku. Melihat lelaki yang menjadi pujaan hati selama ini menjadi milik insan lain, kawanku sendiri. Aku fikir aku sudah cukup kuat untuk menghadapi semua ini dan aku fikir aku sudah mampu menerima takdir ini. Namun di saat aku memandang Ustaz Huzaifah hatiku terasa sebak dengan tidak semena.
Ya Allah, ikhlaskanlah hatiku untuk menerima ketentuan-Mu ini dan ampunkanlah aku kerana tidak sepatutnya aku berperasaan sebegini di waktu ini. Rintih hatiku sayu.
“Alhamdulillah..” ucapan syukur dari mereka yang menyaksikan majlis akad nikah yang baru sahaja selesai. Majlis berjalan dengan lancar. Mereka diijabkabulkan oleh pak imam yang merupakan ayah kepada Fatanah sendiri.
            Dengan sekali lafaz sahaja, kini Ustaz Huzaifah telah pun menjadi suami kepada Fatanah. Walau apapun perasaanku, tiada apa yang patut ku harapkan lagi dari Ustaz Huzaifah. Apa yang pasti Ustaz Huzaifah ditakdirkan buat Fatanah dan Fatanah ditakdirkan untuk Ustaz Huzaifah. Tiada siapa yang dapat menafikan itu termasuklah aku. Itulah hakikatnya!
Ustaz Huzaifah bukanlah lelakiku, tidak tercipta untukku. Terimalah takdir hidup ini seadanya wahai hati. Usah dipersoalkan usah dipertikaikan atas apa yang terjadi. Derita atau bahagia pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Aku tunduk dan pasrah pada kehendak-Mu ya Ilahi. Kini ku terima seadanya. Mungkin inilah yang terbaik buatku.
 TAMAT

3 comments:

lina said...

sedih sob sob sob...

xpela dahlia, ada lg yg lelaki yg terbaik utk kamu diluar sana!

Anonymous said...

Sedihnya . Kesian Dahlia . Cite dua before ni sume happy ending . Dahlia dengan Ustaz Huzaifah . Yg ni je lain . Tapi not bad jugak . Menunjukkan tak sume yg kita nak kita akan dapat . Thumbs up writer ! :)

[syaza]

umi kalsom said...

best jugak. :)
tak semestinya apa yg kita nak, kita akan dapat jugak akhirnya. sebab DIA yang Maha mengetahui, apa yang terbaik untuk diri hambaNya =)

Post a Comment