Thursday, November 17, 2011

Ada Di Hati - Bab 31


BAB TIGA PULUH SATU
            Ibu mengeluh perlahan mendengar semua kisahku. Semua sudah aku ceritakan padanya, tiada satu pun yang tertinggal. Aku menyandarkan kepalaku ke bahu Ibu, aku memerlukan pendapatnya. Itu yang penting saat aku buntu tika ini.
            “Daripada apa yang Safi cerita, ibu dapat agak yang Safi betul-betul cintakan Zafrilkan?” Ibu bersuara, memulakan kata.
            Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Menggantikan jawapan yang sepatutnya dituturkan dengan lidah. Masakan aku tidak mencintai Zafril. Dia adalah cinta pertamaku dan aku yakin hanya dia yang akan berada di hatiku selamanya.
            “Dah, Safi tak payah nak fikirkan pasal sesiapa. Apa yang penting sekarang, baik Safi fikirkan pasal masa depan Safi, pasal kebahagian Safi. Ibu yakin, Zafril mampu buat Safi bahagia.” pendapat pertama yang diluahkan oleh ibu.
            “Tapi, macam mana Safi nak jelaskan semua pada Nia? Dapat ke, Nia terima semua ni dengan keadaan dia sekarang? Safi buntulah ibu, Safi tak tahu nak buat apa lagi.” kebimbangan yang masih ada, aku suarakan. Tidak mahu aku tanggung semua rasa itu sendirian.
            “Inilah masalah Safi yang paling utama. Tak habis-habis Safi nak fikirkan pasal orang lain, pasal Nia. Safi, jodoh pertemuan tu bukan kita yang tentukan. Safi... dengar cakap ibu ni. Ibu yakin Nia akan faham. Lagipun, sebelum terlambat, lebih baik Safi ceritakan perkara sebenar pada Nia. Biarlah kalau Zafril nak masuk meminang Safi. Ibu tak nak Safi putih mata nanti.”
            “Apa maksud ibu?” segara aku mengangkat kepala yang tadinya asyik menumpang di bahu ibu.
            “Entahlah Safi, tapi ibu rasa tak sedap hati lepas dengar cerita Safi ni.”
            Mendengar jawapan daripada ibu itu, aku mengeluh panjang. “Ibu...” kembali aku rebahkan kepala di bahu ibu bersama panggilan bernada sayu itu, mahu ibu faham apa yang ada di hatiku ini.
            “Dah, jangan buat apa-apa yang menyakitkan hati Zafril lagi. Jangan buat Zafril rasa yang Safi tak serius dengan hubungan ni.” lagi nasihat yang ibu berikan.
            “Safi pun tak nak sakitkan hati Zafril, ibu. Tapi setiap kali Nia ada, setiap kali tulah, Safi jadi macam batu, tak tahu nak buat apa.”
            “Mungkin ini dugaan buat Safi dengan Zafril. Apa yang penting sekarang, Ibu nak anak ibu kuat.”          
Kata-kata ibu itu akhirnya berjaya menghasil senyuman kecil di bibirku. Aku akui kebenaran kata-kata ibu. Aku harus kuat dalam menangani masalah ini. Ini baru dugaan pertama untuk aku harungi sejak aku mula menerima Zafril dalam hidupku. Dan terasa seperti dugaan pertama inilah dugaan yang terlalu berat untukku tanggung. 
           
AKU merenung keluar tingkap kereta, aku perasan Zafril yang berada di tempat pemandu kerap kali mengerling ke cermin pandang belakang untuk melihatku. Sejak memasuki kereta Nissan Slyphy ini hampir dua jam yang lalu aku hanya mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang ingin dibualkan. Jika tidak kerana paksaan Shania supaya aku mengikut percutian kali ini, pasti aku tidak akan turut serta.
            “Alah, kak jomlah temankan Nia. Takkan Nia nak pergi sana berdua je dengan Abang Add. Tak manislah kak. Lagipun Nia ada surprise untuk akak.”
            Kata-kata pujukan Shania malam tadi masih bermain di mindaku. Kerana kata-kata itulah aku turutkan juga kehendaknya. Lagi pula dia baru sahaja keluar hospital dua hari lalu, jadi dia merancang percutian ini untuk mengambil udara segar di tepi pantai, jauh dari kota. Doktor juga menyarankan perkara yang sama, jadi untuk kepentingan kesihatannya aku turutkan sahaja percutiannya selama dua hari di Cherating.
            Shania yang berada di sebelah Zafril asyik membuka pelbagai cerita. Walaupun sakitnya masih belum lagi pulih sepenuhnya, tapi Shania kelihatan bersemangat hari ini. Renungan Zafril yang kerap kali di cermin pandang belakang padaku mula membuatka hatiku tidak tenang. Takut-takut Shania perasan akan kelakuannya itu, nanti apa pula kata Shania.
            Tambahan pula sekarang ini aku seperti sudah serba salah apabila membalas renungan Zafril. Apabila membalas renungan mata lelaki itu pantas ingatanku menjurus pada kata-kata Shania di hospital sewaktu setiap kali aku melawatnya. Di  bilik wad itulah dia sentiasa meluahkan rasa hatinya padaku. Rasa cinta dan rindu pada abang sepupunya itu. Akhirnya aku yang menjeruk rasa. Argh... mengapa aku tak henti-henti memikirkan pasal Shania? Bentak hatiku sendiri. Pesanan ibu terlintas di kepala saat ini, membuatkan aku kembali membina semangat yang seakan luntur dengan pengakuan cinta Shania.
            Sampai sahaja di sebuah kawasan chalet tepi pantai, Zafril memarkir keretanya di tempat yang disediakan. Aku pantas melangkah keluar memerhati sekitar kawasan chalet yang aku tidak ketahui namanya. Aku tidak mahu mengambil tahu hal itu semua, hatiku benar-benar tiada untuk menikmati percutian kali ini. Sebaik sahaja Zafril membuka boot kereta aku pantas mengeluarkan beg yang kubawa. Pandangan Zafril padaku masih tidak lepas sejak dia keluar dari kereta, namun aku hanya membiarkan sahaja renungannya itu tanpa mahu membalasnya.
            “Hafiz!” Shania menjerit dan melambai-lambaikan tangan pada Hafiz.
            Aku dan Zafril saling berbalas pandangan apabila melihat Hafiz yang semakin menghampiri. Zafril mula menarik muka masam dan aku pula mula tidak sedap hati dengan situasi ini. Hatiku berdegup kencang, jantung mula berdetak hebat. Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan. Aku mematikan pandanganku pada Zafril apabila Shania mula menarik tanganku untuk mendekatinya.
            “Inilah surprise yang Nia katakan pada akak tu.” Kata Shania dengan senyuman melebar.
            Aduh, jika inilah surprise yang Shania ingin tunjukkan padaku, aku sama sekali tidak akan bersetuju untuk mengekori dia ke sini. Berhadapan dengan Hafiz lebih-lebih lagi di hadapan Zafril sepanjang dua hari ini pastinya menyesakkan nafasku. Bagaimana aku mahu melayan Hafiz yang telah aku anggap sebagai kawan itu dengan baik jika setiap kali munculnya Hafiz di hadapanku pasti Zafril menarik muka seribu, seolah-olah tidak senang dengan Hafiz. Aku sendiri tidak tahu mengapa Zafril begitu tidak menyenangi kawan baik Shania itu sejak pertama kali mereka berjumpa lagi.
            “Dah lama sampai?” Soal Shania apabila Hafiz telah berada di hadapan kami.
            “Em... boleh tahanlah. Sempat jugalah I check in kan untuk kita semua.” Balas Hafiz pada Shania, namun matanya tidak lepas-lepas memandangku. “Sihat?” Soal Hafiz padaku yang betul-betul berada di hadapannya.
            Aku tersenyum dan mengangguk perlahan. Aku tidak mahu bersuara, lebih-lebih lagi apabila Zafril berada di sebelahku. Hati Zafril harus aku utamakan.
            “Eh, soalan tu sepatutnya untuk I lah. I yang baru keluar hospital, Kak Safi pula yang you risaukan ye.” Sakat Shania seperti biasa yang mengundang tawa Hafiz bukan sedikit.
            Bunti boot yang ditutup dengan kuat menyentak jantungku. Aku tahu Zafril sedang dalam keadaan marah, lantas aku tidak mahu memandang wajah itu.
            “Mari saya tunjukkan bilik.” Ajak Hafiz sambil mengambil beg pakaian yang berada di tanganku.
            “Eh, tak apa saya boleh bawa sendiri.” Bantahku apabila Hafiz sudah mula memegang tali beg yang turut berada di dalam genggamanku. Aku cuba menarik beg itu dari tangan Hafiz tapi pegangannya pada tali beg itu makin kejab seperti tidak mahu dilepaskan.
            “Tak apa biar saya bawa. Jauh kita nak berjalan ni.”
            Dengan perasaan berat hati, terpaksa juga aku melepaskan gengamanku pada beg itu, membiarkan Hafiz yang membawa beg pakaianku. Aku tahu Zafril pasti tidak suka dengan tindakanku tapi apa pilihan yang aku ada sekiranya Hafiz sudah seperti tidak mahu melepaskan pegangan tali beg itu.
            “Abang Add bawa beg Shania.” Shania menyerahkan begnya pada Zafril.
            Zafril memandangku tajam sebelum menyambut beg yang Shania hulurkan padanya. Hafiz mendahului langkah menuju ke chalet. Sepanjang perjalanan Hafiz sibuk memperkenalkan kawasan percutian ini. Aku hanya mampu tersenyum dan menganggukkan kepala.
            Sampai sahaja di sebuah chalet yang betul-betul mengadap laut, Hafiz membuka luas pintu chalet dan memberi ruang untukku dan Shania melangkah masuk ke dalam.
            “Macam mana, okay tak?”
            “Okay, cantik juga ye.” Puji Shania yang berpuas hati dengan pilihan Hafiz.
            “You dengan Safi kongsi bilik ni ye. Safi okay kan?”
            Aku tersenyum dan mengangguk. Memang aku tidak kisah berkongsi bilik dengan Shania.
            “You all rehat dulu, sekejap lagi kita keluar makan and then baru boleh jalan-jalan.” Cadang Hafiz.
            “Okay, lepas tu petang-petang sikit kita mandi laut.” Shania pula membuat cadangan.
            “Shania jangan nak mengada-ngada mandi laut. Shania tak sihat sangat lagi tu.” Bantah Zafril tiba-tiba yang masih lagi terpacak di depan pintu seperti tidak ingin menapak ke dalam.
            “Alah, Abang Add ni, Shania dah okaylah. Tak payahlah risau sangat.” Rengek Shania.
            “No!” tegas Zafril sekali lagi.
            Shania mula mecebik bibir. Namun aku tahu jauh di sudut hatinya dia gembira kerana Zafril benar-benar mengambil berat akan kesihatan dirinya. “Okaylah. Tapi malam ni kita jadi buat BBQ kan Hafiz?”
            Hafiz mengangguk.
            “Barang semua dah ada?”
            “Dah, Cik Qistina Shania. Jangan risau ye.” Seloroh Hafiz. “Safi suka udang galahkan?” Hafiz menyoalku pula.
            Aku yang sedikit tersentak dengan soalan Hafiz itu, mengangguk kepala.
            “Itupun saya dah sediakan, khas untuk Safi.”
            “Mana tahu saya suka udang galah?” Tanyaku pula. Daripada mana Hafiz mengetahui semua itu. Rasanya aku tidak pernah menceritakan hal itu pada Hafiz sebelum ini.
            “Saya selidik.”
            “Selidik?” berkerut dahiku, tidak faham dengan kata-kata Hafiz itu.
            “Ha’ah selidik. Selidik dari I kan.” Shania mula menyampuk.
            Hafiz ketawa senang. “Youkan pemberi maklumat terbaik I.”
            “Yelah informer tak bergaji.” Sambung Shania pula.
            “Sampai bila nak duduk sini?”
            Soalan Zafril itu mematikan perbualan Shania dan Hafiz. Aku tahu Zafril tidak senang setiap kali Hafiz membangkitkan cerita mengenai diriku.
            “Okaylah, you all rest dulu. Nanti kita jumpa.” Hafiz mengikut Zafril yang telah terlebih dahulu melangkah keluar.
            Aku termanggu seketika. Melihat sikap Zafril itu lambat laun pasti Hafiz akan tahu yang Zafril tidak menyenanginya. Mungkin nanti timbul pula pertelingkahan antara mereka berdua. Aku tidak mahu perkara itu terjadi.

ASAP yang berterbangan dari alat pemangang di hadapanku membuatkan aku terbatuk-batuk kecil. Asap yang terbang dibawa angin itu betul-betul mengenai mukaku. Ingin sahaja aku berkalih tempat tapi hanya terdapat empat kerusi yang mengelilingi alat pemangang itu dan semua kerusi itu telah diduduki Zafril dan Hafiz. Hanya ada satu sahaja kerusi yang masih kosong tapi itu kerusi Shania. Shania yang baru sahaja meminta diri untuk menjawab panggilan kukerling sebentar, tidak mungkin aku akan mengambil alih kerusi Shania pula. Semakin lama batukku makin kuat. Mata pula mula terasa pedih dimasuki asap. Terkebil-kebil mataku membuang rasa pedih itu.
            “Safi tukar tempat, biar Zaf duduk situ.” Ujar Zafril yang sudah mula bangun dari kerusinya. Ayam yang dipanggangnya tadi diletakkan semula di tempat asalnya.
            “Tak apa Zaf, Safi okay kat sini.” Aku menolak lembut. Aku tidak mahu dia bersusah demiku. Aku cuba menahan batuk apabila Zafril sudah berada di sebelahku, namun batukku terlepas jua apabila asap terus menerjah ke mukaku.
            “Dari tadi batuk, tu yang Safi kata okay? Mata tu pun dah merah. Dah pergi duduk sana.” Arah Zafril sekali lagi apabila aku masih enggan untuk menurut kehendaknya.
            Melihat Zafril bersungguh-sungguh mengarahkanku menukar tempat dan aku tahu, mata Hafiz yang sedari tadi tertumpu padaku dan Zafril. Aku akhirnya mengalah dan bangun mengambil alih tempat duduk Zafril sebentar tadi.
            Aku menuangkan air ke dalam cawan kertas, tekakku tiba-tiba terasa pahit. Ku teguk perlahan-lahan air di tangan bagi menghilangkan rasa pahit yang semakin terasa di tekakku. Hampir saja aku tersedak apabila Zafril dan Hafiz secara serentak memanggil namaku dan menghulurkan ayam yang telah siap dipanggang kepadaku. Aku mula memandang ketulan ayam yang berada di dalam pinggan sebelum memandang Zafril dan Hafiz yang masih lagi tidak mahu mengalah. Kedua-duanya masih menghulurkan pinggan kertas itu padaku.
            “Wah, dah masak ye. Mesti sedap ayam yang Abang Add panggang.” Shania yang baru sahja duduk di kerusinya terus mengambil pinggan yang berada di tangan Zafril. Zafril hanya mampu memandang Shania yang sudah pun menyuapkan ayam ke mulutnya.
            “Safi.”
            Aku menoleh memadang Hafiz yang masih lagi menghulurkan sepinggan ayam kepadaku. Memandangkan ayam yang Zafril hulurkan sudah diambil Shania aku menyambut pinggan yang Hafiz hulurkan. Sewaktu pinggan kertas itu beralih tangan, aku dapat rasakan yang Zafril tidak menyenanginya. Menjadikan aku serba salah. Ayam yang kujamah itu terasa pahit melewati tekakku.
            Perbualan kami berempat hanya didominasi oleh Shania, Hafiz dan Zafril sekali sekala sahaja turut serta merencahkan perbualan. Aku pula lebih banyak mendiamkan diri. Zafril mula mengalihkan kerusinya sedikit merapai Shania apabila asap mula menerjah terus ke wajahnya. Aku melirikkan mata memandang Zafril yang sedang mengopek beberapa ketul udang galah untuk Shania. Segala apa yang dipanggang olehnya, diberikan pada Shania, tiada satu pun lagi makanan yang dia serahkan padaku. Hanya Hafiz seorang yang masih memanggang pelbagai hidangan untukku.
            Tumpuan Zafril yang lebih pada Shania itu mengusik hatiku. Hatiku benar-benar dipagut cemburu yang bukan sedikit. Tapi mengapa aku harus merasakan begitu sedangkan aku sendiri yang menginginkan Zafril menjaga Shania sebaiknya. Senyumannya pada Shania yang tidak putus-putus itu juga mengigit hatiku.
            “Safi nak ayam lagi?”
            Soalan Hafiz mencantas pandanganku pada Zafril dan Shania. Pandanganku arahkan semula pada Hafiz di sebelah.  “Tak apa, yang ni pun tak habis lagi.” Tolakku sambil menunjukkan ayam dan beberapa ketul udang yang masih lagi berbaki di pinggan.
            “Seronok tak kak BBQ tepi pantai macam ni?” Shania mula mencelah perbualanku dengan Hafiz.
            “Seronok.” Jawabku sepatah sambil mengerling seketika, memandang Zafril yang asyik memanggang beberapa lagi ketul ayam yang pastinya untuk Shania.
            “Mestilah seronok. Semua ni Hafiz sediakan untuk akak sebenarnya  bukan untuk Nia. Bila dia tahu je akak suka makan ayam kampung dengan udang galah, terus dia carikan untuk akak.” Beria-ia Shania bercerita.
            Aku tersenyum kelat, tidak tahu apa yang aku rasakan saat ini. “Terima kasih Hafiz, buat susah-susah je”
            Hafiz terus mengangguk dan tersenyum.
            “Alah kak tak payah nak ucap terima kasih. Hafiz ini memang sanggup bersusah payah untuk akak. Kalau akak suruh dia panjat gunung Everest sekali pun sekarang ni dia sanggup tunaikan tau.” Tambah Shania lagi.
            “Dahlah you ni tak habis-habis nak sakat Safi. Jom ikut I ambil nasi goreng yang I order kat restorant tadi.” Hafiz mula bangun, mungkin malas mahu melayan Shania yang makin kuat mengusik kebelakangan ini.
            “Hah, tu mesti order nasi goreng cili api kegemaran Kak Safi lah tu kan.”
            “Shania.” Tekan Hafiz lagi.
            “Yelah-yelah, I ikutlah ni.” Pantas Shania mengikut Hafiz dengan tawa kecil. Sempat juga dia mengenyitkan mata padaku sebelum berlalu.
            Aku mengeleng kepala melihat telatah Shania itu. Wajahnya masih lagi pucat tapi dengan gelagatnya yang sentiasa riang itu pastinya ramai yang tidak mengetahui gadis itu belum sihat sepenuhnya. Mataku masih lagi mengamit kedua-dua sahabat itu yang berjalan beriringan menuju ke restoran yang tidak jauh dari kawasan BBQ yang disediakan oleh pihak pengurusan resort.
            “Seronokkan ada orang ambil berat sampai macam tu sekali?” Sindir Zafril tajam padaku.
            “Zaf.” Hanya itu yang mampu aku lagukan apabila mendengar sindiran tajamnya.
            “Let me guess, Safi tak bagitahu Shania tentang hubungan kita ni sebab takut Shania bagitahu Hafizkan? Takut Hafiz kecewa, sakit hati. Macam tu!” Telah Zafril tiba-tiba.
Belum sempat aku membuka bicara dia pantas menyambung kata. “Kadang-kadang Safi buat Zaf terfikir yang sekarang ni mesti Safi menyesal terima cinta Zafkan. Yelah kalau Safi tolak cinta Zaf dulu mesti sekarang ni Safi dah bercinta pun dengan Hafiz yang baik budi tu.”
“Zaf, Safi tak pernah pun rasa macam tu. Tak pernah sama sekali.” Aku menolak keras andaian Zafril itu.
Aku ingin meneruskan kata, terus menyakinkan rasa cintaku padanya. Aku tidak mahu dia meragui rasa cintaku yang bukan sedikit untuknya. Tapi dia seolah-olah sudah tidak mahu meneruskan perbualan denganku, wajahku langsung tidak dipandangnya lagi.
Shania dan Hafiz telah pun tiba bersama beberapa pinggan nasi goreng. Aku merenung Zafril mengharapkan lelaki itu membalas renunganku namun dia masih lagi tidak mengendahkanku. Dia sibuk membantu Shania menuangkan air ke dalam cawan.
Mengenangkan kata-kata Zafril itu tadi membuatkan airmataku bergenang di tubir mata. Kata-kata nasihat dari Ibu bergema di telingaku semula. Lantas aku segera bangun tidak mahu berlama-lama di situ.
“Akak nak ke mana tu?” pertanyaan Shania mematikan hayunan langkah kakiku.
Toilet jap.”
“Nanti datang balik tau.” Pesan Shania lagi.
Aku hanya menganggukkan kepala. Saat aku menghayunkan langkah, aku mengerling seketika pada Zafril, namun lelaki itu masih lagi tidak menghiraukanku walaupun sedikit, membuatkan jiwaku lebih kuat meronta menahan rasa. Aku harus terangkan semuanya pada Zafril kerana sesungguhnya aku juga tidak kuat untuk melihat dia bersama Nia. Aku tahu, aku harus lakukan itu!

Bersambung...

20 comments:

Anonymous said...

x faham dngn safi ni..

kak nora said...

aduhai...sakit ati ngan nia nih..lembik sangat la..tau lak rasa cemburu bila zaf tak layan..abis tuh nak rahsia2 lagik..eeeeiiiii gerammmmmmm nih..

kak nora said...

uuhhhh..sakit ati nye pasal smpai tertukar safi ngan nia...senang2 zaf ko pinang jek la nia tuh..safi nak sgt berkorbankan kan..jadi lilin la sgt..

dila dyna said...

aduh!!!!frust la bce n3 kli ni huhu. knpe la si Nia 2 x habis2 nk kenenkn safi dgn hafiz. x ska giler dgn wtak nia tu penyibuk. safi pun tegas la sikit kalau nak bahagia dgn Zaf huhu...sorry teremo cikit

Anonymous said...

meluat perangai watak2 dalam entry kali ni...

nadiah said...

geramnya cek dengan safi ni..
tolonglah safi.
hai.. menyampahnyaaa..

zuraidah said...

ya Allah!! sakitnya hati dengan gelagat shania tu...tak padan dengan sakit, duk kenen safi dgn hafiz....safi pun satu...bagitau je kat shania tu cepat....pleassssse safi....emonya dng n3 kali ni...aaagggggrrr.....gerammmmmnya.....

Anonymous said...

Perangai Shania normal ler mcm tu... masalahnya Safi tu terlalu lembut hati... boring pulak baca cite mcm tu..asyik heroin kena mengalah je... mcm perempuan tk de pendirian...

Anonymous said...

dah nyampah plk dgn watak diorg ni.

blinkalltheday said...

panjang lagi ke cite ni adah??

Anonymous said...

tolonglah safi jangan jadi bodoh, bagitau je kat nia tu or bagi je zaf yg bagitau nia perkara yang sebenar.dalam percintaan mesti ada rasa selfish sikit tak boleh nak mengalah saja nanti menyesal.....

diari neesa said...

asal la si safi tu mcm lalang..adeh...tolong la kuat pendirian skit..zaf kena desak safi skit...bgtau safi yg zaf hnya syg safi sorg ja,..bukan shania dan jugak org lain.. kak adah kasi la hint skit dkt hafiz tu yg si safi ni betul2 x nk dia..so x de la si nia dok sibok kenen2kan ngan si hafiz..

Anonymous said...

n3 ni bosan :(
kasihan zafril :'(...

Anonymous said...

betul betul betul...boring arr asyik nak mengalah jea watak heroin nie...

hani said...

jgnlah safi mengalah je....kan dah nyata zarif pilih hang.....tak maulah safi mengalah....

Miss Nurul said...

kesiannya kt safi...
safi !fighting ! jgn mengalah dgn nia tu..
penyibuk antarabangsa..
dgr ckp mak tu...
zafril pun patutnya tlg la jugak bg tau nia pasal dia dgn safi..
aish !geram....
hafiz tu pun satu..
penyibuk jugak..
safi tu dh la tua dpd dia..sedar la ckit.

Mummy Hannan said...

assalam Adah.... hemmm macam mana ye nak kasi tau pasal n3 nie.... orite..the truth akak dont like Safi bcoz asyik nak memenangkan orang saja kan... watak Safi harus become more strong and strong... not just see n look..Begitu juga watak Zaf, kenapa lah dia aje yg tak berterus terang..... di layan jugak Nia yg manja semacam tu....

Adah, hope nex n3 ada improvement sikit.... dah tak suka dah * hehehee konon lah * watak Safi nie....

Sambung cepat yer.... kalau boleh..buat lah 2 bab dalam satu n3...hehehe permintaan terlebih sudah...

apa pa pun...all the best...<3

AniLufias said...

setuju dgn Mummy Hannan...

diahperi said...

nak berkorban pun biarlah berpada-pada safi...kelak sendiri juga yg m`yesal..dah terangan zaf sukakan safi apa nk dikisahkan si nia tu..biarlah dia...x mati nya sinia tu kalau dia x kawin dgn zaf..kau tu yg merana nanti faham Grrrrr..

Anonymous said...

ADAH.....bosannnnnnn @bluescarf

Post a Comment