Saturday, October 8, 2011

Ada Di Hati - Bab 21


DUA PULUH SATU
Berulang alik aku di dalam bilik itu, mengemas apa-apa yang patut. Fail-fail yang bertaburan malam tadi di atas meja Zafril, aku ambil dan susun satu persatu ke tempat asalnya semula. Zafril yang sedang duduk di kerusinya sejak datang tadi hanya memerhatikanku melakukan tugas tanpa sekalipun matanya berpaling dariku. Kalau aku ke kiri matanya akan ke kiri, begitu juga sebaliknya. Nak rimas aku dibuatnya.
Entah apa mimpinya tiba awal di pejabat hari ini. Waktu aku sampai tadi, dia sudah terpacak di ruang menyambut tetamu, berbual-bual bersama Amy. Aku yang selalunya akan berbual terlebih dahulu dengan Amy sebelum ke mejaku membatalkan niatku, malas aku mahu berbual dengan Amy apabila dia turut berada di situ. Rasa sakit hati dengan apa yang dikatakan padaku malam tadi. Semuanya masih terasa.
Aku menuju pula ke meja kopi mengambil mug dan akhbar yang aku letakkan di situ sebentar tadi sebelum mengemas meja kerja Zafril. Sudah agak lama aku menyediakan kopi itu dan rasanya kopi itu pun sudah hampir sejuk. Aku amat tahu dia tidak menyukai kopi yang sudah sejuk. Arghh… malas aku mahu memikirkan 1001 perintahnya, lantas aku terus meletakkan mug dan surat khabar itu di atas meja dan terus berpaling untuk berlalu.
“Safiah Aisyah!” panggil Zafril cuba menghalang aku keluar dari biliknya.
Aku berpaling memandangnya semula, namun kaki tidak aku panjangkan untuk mendekatinya.
“Em… saya…” Zafril cuba mencari ayat untuk meneruskan kata yang terhenti sekian lama. Dan aku yang sudah sedia sakit hati dengannya, tidak mahu menatap wajah itu dengan lebih lama lagi.
“Bilik dah kemas, kopi saya dah buat, surat khabar pun ada tersedia atas meja. Ada apa-apa lagi yang encik tak puas hati?” Soalku geram. Aku tahu bahasaku agak kurang sopan, tapi aku benar-benar sakit hati dengan dirinya kali ini. Kata-katanya malam tadi memang sukar untuk aku lupakan begitu sahaja.
Zafril tersenyum panjang mendengar soalanku. Aku makin pelik, minggu ini amat sukar untuk aku menatap senyumannya tapi hari ini senyuman itu terukir kembali. Namun aku tetap memasamkan wajahku, malas mahu membalas senyumannya yang panjang lebar itu. Entah apa masalah lelaki ini, baru sahaja semalam menyakitkan hatiku, hari ini boleh pula tersenyum lebar begini. Bertambah geram aku jadinya.
“Hari ni saya tak nak kopi. Awak buatkan saya teh, boleh?” lembut sahaja bahasa yang digunakan pagi ini, tidak membetak-bentak seperti malam semalam. Senyuman masih lagi tersungging di bibirnya buatku.
Aku mencebikkan bibir, tidak pernah-pernah meminta teh daripadaku, tiba-tiba pula hari ini dia bertukar selera. Dan tanpa banyak soal aku terus mengapai mugnya dan terus berlalu ke pantry. Tidak mahu banyak berfikir tentang arahannya itu. Ada baik aku ikutkan saja semua perintahnya. Aku menyediakan air teh dengan bebelan yang tak sudah-sudah. Geramku makin bertambah-tambah apabila melihat senyumannya tadi. Entah kenapa tiba-tiba sahaja boleh berubah sikap hingga begitu sekali dalam masa tidak sampai 24 jam?
Sekembalinya aku ke bilik Zafril, aku dengan segera meletakkan mug berisi teh di hadapannya. Sedikit pun aku tidak memandang wajahnya yang tetap memerhatikan aku sejak aku masuk tadi. Aku terus berpaling setelah mug itu kuletak elok di atas mejanya.
“Laju aje tu, nak ke mana? Tak nak temankan saya minum dulu ke?”
Aku yang sudah berada di hadapan pintu kembali memandang dirinya dengan lirikkan mata yang tajam. Walaupun soalannya itu lembut sahaja kedengaran di telingaku, namun setiap butir bicaranya itu tetap menikam hatiku ini.
“Tak nak!” Balasku ringkas berserta jelingan tajam. Aku terus menutup semula pintu biliknya setelah aku keluar. Kedengaran sayup-sayup ketawa Zafril dari dalam biliknya. Aku hanya mampu mengetap bibir dan mengempalkan penumbuk, apa yang melucukan hati lelaki itu sebenarnya?  Geramnya…

MALAM makin larut, aku mengerling jam di pergelangan tangan, hampir pukul 11.00 malam namun aku, Zafril dan beberapa lagi pekerja Adni Maju masih lagi berada di pejabat, menyiapkan kertas kerja permohonan untuk sebuah tender kerajaan. Tender itu akan ditutup lima hari lagi dan Zafril baru mengetahui tentangnya pagi tadi, sebab itu malam ini dia bertungkus lumus menyiapkannya.
            Sudah beberapa kali aku menguap, mata pula sudah pedih. Masakan tidak, sudah berapa jam aku mengadap laptop di hadapanku ini. Beberapa pekerja yang lain pun sudah kelihatan lesu sepertiku. Aku menongkat dagu dan memejamkan mata seketika, cuba menghilangkan letih pada mataku.
            “Okay, kita berhenti kat sini dulu. Isnin depan kita sambung semula.”
            Mendengar arahan dari Zafril itu, aku dengan pantas membuka semula mataku yang sudah terpejam rapat sebentar tadi. Ayat itulah yang aku tunggu keluar dari bibirnya sedari tadi. Sebaik sahaja mataku terbuka luas, pandanganku dan pandangan matanya bertembung. Dan seperti biasa dia mengukirkan senyuman buatku.
            “Penat ke?”
            Aku hanya mengeleng, malas mahu membalas setiap kata-katanya.
            “Jom, saya hantar awak balik.” Pelawa Zafril sambil mengemas fail dan kertas yang berterabur di hadapannya.
            “Tak apa. Saya boleh balik sendiri.” Segera aku memberikan menolak pelawaannya itu.
            “Dah tengah malam ni, awak nak balik naik apa? Bas? Dah sah-sah tak ada. LRT? Gerenti dah tutup.” Zafril terus berhenti dari mengemas semua barangnya.
            Aku tidak mengendahkan kata-katanya. Aku berpura-pura tidak mendengar setiap butir bicaranya, aku terus mengemas semua barangku. Aku sudah bertekad walau apa pun terjadi hari ini, tidak sesekali aku akan naik keretanya itu. Biarpun aku harus menapak pulang ke rumah sekalipun.
            “Tak apalah biar saya aje yang hantar awak balik. Tapi sebelum tu kita pergi ma…”
            Aku terus sahaja bangun dari kerusi sebelum sempat Zafril menghabiskan kata-katanya. Laju sahaja aku mengatur langkah menuju ke ruang kerjaku. Semua rakan sekerjaku yang lain telah menuju ke pintu utama, aku terus mempercepatkan langkah, malas aku mahu duduk berdua dengan bosku itu di dalam pejabat ini.
            Sampai sahaja di ruang kerjaku itu, aku terus meletakkan semua fail ke tempat asalnya dan mengapai beg tanganku.
            “Nak pergi mana ni?”
            Baru sahaja aku ingin membuka langkah, namun itu semua terus terhenti apabila Zafril tiba-tiba saja sudah berada di hadapanku. “Baliklah.” Jawabku sepatah, langkah kakiku terbejat apabila Zafril masih lagi berdiri di hadapanku, menghalang laluanku.
            “Nak balik naik apa? Mana ada bas malam-malam macam ni.” Tergambar wajar gusar di wajahnya tika ini.
            “Teksi berlambak.” Balasku sambil cuba bergerak namun setiap pergerakkanku dihalangnya. Langsung tiada ruang untukku bolos darinya.
            “Sejak bila pula malam-malam buta macam ni, teksi berlambak kat sini?” Zafril mengangkat keningnya menanti jawapan dariku tapi aku hanya mendiamkan diri, tidak tahu apa yang harus katakan agar dia tahu yang aku benar-benar tidak mahu menumpang keretanya.
            “Janganlah macam ni. Saya tahu awak marahkan saya. Saya cuma risau awak balik seorang malam-malam buta macam ni. Saya tak nak dan takut kalau ada apa-apa jadi pada awak.” Zafril terus memujuk dan pujukkannya itu sedikit pun tidak dapat menyejukkan hatiku.
            “Awak tunggu saya sekejap, saya hantar awak.” Zafril terus berlalu masuk ke dalam biliknya.
            Apabila bayang Zafril telah hilang di sebalik pintu biliknya aku cepat-cepat membuka langkah meninggalkan pejabat. Walau apapun kata-katanya, aku tetap tidak akan menumpang keretanya lagi.
            Perhentian teksi lenggang tidak berpenghuni sewaktu aku sampai. Jalan raya juga sudah lenggang tanpa bingitan suara kereta seperti di siang hari. Aku masih terjenguk-jenguk di situ menanti teksi yang tidak kunjung tiba. Aku ingin cepat-cepat menaiki teksi, aku tidak mahu terserempak dengan Zafril, aku pasti jika dia melihat aku sedang menanti di perhentian teksi ini pasti dia akan terus berkeras untuk menghantarku pulang.
            “Hai cik adik!” Satu suara tiba-tiba menjengah betul-betul di telingaku.
            Aku segera menoleh melihat dua orang lelaki yang sudah menghampirku. Entah bila mereka sudah berdiri begitu dekat denganku, aku langsung tidak perasan. Terkebil-kebil mataku melihat mereka yang merenungku tajam. Aku sudah tidak sedap hati apabila mereka terus menghampiriku, aku melangkah ke belakang apabila mereka makin melangkah ke depan.
            “Rilekslah, kitaorang cuma nak berkenalan je.” Kata lelaki bertubuh sasa yang berada di hadapanku. Lelaki tinggi yang berada di belakangnya ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata lelaki itu.
            Berkenalan konon, aku amat pasti mereka mempunyai niat yang tidak baik denganku. Aku mula berdoa dalam hati meminta  bantuan dari Yang Maha Esa agar aku terlindung daripada segala kejahatan. Saat ini terngiang-ngiang semula kata-kata Zafril padaku di pejabat tadi. Menyesal aku tidak menerima pelawaan Zafril untuk pulang bersamanya sebentar tadi, jika tidak pasti perkara sebegini tidak terjadi.
            Lelaki berubuh sasa itu cuba memegang bahuku, namun segera aku menepis tangannya. Lelaki itu merengus kasar dan dia mula berkasar denganku sehingga aku yang sudah tidak dapat menyeimbangkan badan lalu terjatuh terjelupuk di perhentian teksi itu. 
            “Safi!”
            Aku menoleh memandang Zafril yang sudah pun berada di sebelahku. Aku memandang wajahnya, meminta bantuan dalam diam.
“Kenapa ni?” Soalnya padaku, tapi aku hanya mampu mendiamkan diri. “Apa yang kau orang dah buat kat dia hah?”  Soal Zafril yang sudah bangun semula dan mendekati lelaki-lelaki itu.
“Suka hati kamilah nak buat apa pun kat dia.” Kasar sungguh tutur kata lelaki bertubuh sasa itu.
“Kurang ajar!” Zafril sudah mula hilang sabar, dihayun penumbuknya pada lelaki itu.
            Lelaki itu terdorong ke belakang kemudian dia mula menghampiri Zafril semula dan menghayunkan kakinya tetap ke muka Zafril. Zafril dengan pantas menahan kaki lelaki itu dengan kedua-dua lengannya kemudian Zafril menghayunkan penumbuk bertubi-tubi ke muka lelaki itu. Kemudian dia menendang tepat ke perut lelaki itu. Akibatnya lelaki itu terdorong ke belakang dan terjatuh.
            Lelaki tinggi lampai tiba-tiba pantas berlari mendapatkan Zafril sambil menghunus pisau Rambo yang tersisip kemas di tangan kanannya. Dia terus menyerang Zafril, dihayun pisau itu sesuka hatinya ke kiri dan ke kanan tidak menentu asalkan pisau itu tepat mengenai Zafril. Namun Zafril cuba mengelak sebaik mungkin dan terus mengasak lelaki tinggi itu dengan tumbukan pada bahagian susuk lelaki itu, menyebabkan lelaki itu terjatuh.
            “Hoi…”
            Kehadiran dua pengawal keselamatan wisma itu, menyebabkan kedua-dua lelaki itu melarikan diri. Zafril ingin mengejar kedua-dua lelaki itu namun segera kutegah, aku takut untuk tinggal bersendirian di situ. Kini hanya pengawal itu yang mengejar kedua-dua lelaki itu.
            “Awak tak apa-apa?”
            Aku baru sahaja ingin bertanya pada Zafril tentang keadaannya namun dia yang lebih pantas bertanya padaku terlebih dahulu. Aku mengeleng kepala berulang kali. Aku membongkokkan badan mengambl telefon bimbit Zafril yang terjatuh semasa dia bertarung dengan kedua-dua lelaki itu tadi. Aku menyerahkan telefon bimbit itu padanya semula.
            Aku mengeluh perlahan apabila telefon bimbit itu bertukar tangan. Zafril  pantas melihat tapak tanganku yang sudah ada kesan luka dan darah. “Awak cedera ni.”
            “Tak apa , sikit aje.”
            “Mari saya sapu ubat.” Zafril membawaku menuju ke keretanya yang sedia terparkir di tepi jalan. Dia membuka boot keretanya dan mengambil kotak first aid, kemudian dia membuka pintu penumpang hadapan dan aku diarahkan duduk di situ. Dia pula duduk bertinggung di luar kereta, di hadapanku sambil menyapu ubat dan membalut kemas tanganku.
            Aku mengamati kesan lebam di pipi kanan Zafril. Tiba-tiba kakiku terasa panas dan seperti ada titisan yang menitis di atas kakiku. Aku segera memandang kakiku, terdapat kesan darah yang menitis pada kasut tumitku dan telah pun mengenai jemari kakiku. Aku mula mencari punca datangnya titisan darah itu.
            “Zaf… lengan awak…” Aku tidak dapat meneruskan kata apabila melihat lengan tangan kanan Zafril yang sudah berdarah dengan banyak. Bajunya terkoyak, kesan luka kelihatan dalam. Entah mengapa melihat keadaannya begitu air mataku mulai menitis. Kerana kedegilanku sebentar tadi, dia pula yang menjadi mangsanya.
            Zafril tersenyum kecil sebelum memandang lengan dan menakup luka itu dengan tangan kirinya. Wajahnya terperanjat melihat kesan luka itu, mungkin dia juga tidak perasaan akan kecederaan yang dihadapinya. “Tak apa sikit aje ni.” Katanya sambil mula ingin berdiri. Segera aku halangnya, dia bertinggung semula di hadapanku.
            “Sikit apanya tu?” Aku menyeka air mata yang baru menitis, dan segera membuka semula kotak first aid yang telah Zafril tutup sebentar tadi. Aku mengambl gunting dan mengunting keseluruhan lengan baju kemeja Zafril dan dengan lengan baju itu aku membalut lukanya.
            “Saya hantar awak ke hospital.” Aku terus keluar dari kereta, ingin menuju ke bahagian pemandu.
            “Er… tak apa sikit aje ni. Lepas sapu ubat okaylah.” Zafril menghalang laluanku.
            “Sikit awak cakap, kalau jumpa doktor mahu kena jahit tahu. Dalam luka awak ni.
            “Tak apa, biar saya yang drive.”
            Aku menahan Zafril daripada bergerak. Melihat wajahnya yang mula pucat itu menambah kalutku, aku harus segera membawanya ke hospital. Jika tidak dia akan kehilangan lebih banyak darah, yang mungkin akan membahayakannya. Aku tidak mahu apa-apa terjadi padanya.
            “Tangan awakkan cedera, macam mana nak drive? Biar saya je yang drive.” Aku terus menuju ke bahagian pemandu. Apabila aku sudah masuk ke dalam kereta barulah dia turut masuk dan duduk di bahagian penumpang hadapan. Aku terus menuju ke hospital yang berdekatan tanpa menunggu lebih lama lagi.
            Benar telahanku, sampai sahaja di hospital Zafril menerima empat jahitan di lengannya. Doktor ingin menahan Zafril di hospital tetap dia berkeras tidak mahu ditahan. Akhirnya doktor itu mengizinkannya Zafril pulang dengan syarat sebarang kemungkinan yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab dirinya sendiri dan Zafril menyetujuinya.
            Pulang dari hospital aku sekali lagi memandu kereta Zafril. Walaupun pada mulanya dia ingin memandu tetapi aku tetap berkeras.
            “Saya hantar Encik Zafril ke Sri Kembangan ya.” Ujarku sambil membelok memasuki jalan besar yang lenggang.
            “Eh, buat apa, tak payahlah. Hantar saya kat kondo saya je.” Halangnya.
            “Encik Zafril tu tengah sakit. Kat kondo tu mana ada orang yang jaga encik. Kalau kat Sri Kembangan ada juga ibu encik tolong tengok-tengokkan.” Bebelku, geram diriku apabila dia membantah cadanganku. Bukan aku mahu menghantarnya ke rumah orang lain, tapi ke rumah orang tuannya sendiri, itu pun mahu membantah,
            Zafril sudah menarik senyuman. “Awak risaukan saya ye?” usik Zafril.
            Aku merasakan seolah-olah kesemua darahku naik ke muka. Malu mendengar usik Zafril tika ini.
            “Kalau awak risaukan saya, tak payah hantar saya kat Sri Kembangan, bawa aje saya balik kondo saya. Awak tidurlah situ malam ni, bolehlah awak tolong tengok-tengokkan saya.”
            Aku terdiam mendengar permintaannya. Badanku terasa seram sejuk. Peluh mula bertamu di dahi. Nekad di hati jika dia melakukan perkara yang bukan-bukan padaku akanku toreh tangan sebelah kirinya pula. Tapi mampukah aku melakukannya memandangkan dua lelaki tadi pun dengan mudah ditewaskan Zafril dengan ilmu persilatan yang dimilikinya, inikan pula diriku. Aku menelan liurku sendri. Kala ini perasaan takutku bukan kepalang.
            Meletus ketawa besar di bibir Zafril. “Awak ni cepat gabralah Safi.” Ketawa Zafril masih lagi memenuhi ruang kereta.
            Aku menggengam erat stereng kereta. Geram dengan perangai Zafril. Dalam sakit-sakit begitu sempat juga dia mengenakan diriku. “Encik Zafril ni, jangan main-main boleh tak? Saya…”
            “Chup!” Zafril memotong kataku. “Kenapa dengan awak ni Safi, tadi masa kat perhentian teksi dengan hospital elok je awak tak berencik-encik dengan saya. Kenapa sekarang berencik-encik pula dengan saya?”
            Aku terdiam. Benarkah aku tidak menggunakan panggilan nama encik sewaktu berbicara dengannya tadi? Aku tidak perasaan. Hambatan perasaan risau dengan keselamatannya di hentian teksi tadi membuatkan tumpuanku hanya padanya, hal-hal yang lain tidak aku pedulikan.
            Melihat Zafril dipukul membuatkan airmataku hampir menitis. Dan sewaktu aku melihat lengan Zafril yang luka dan berlumuran darah, air mataku mula menitis dengan sendirinya ke pipi, seolah-olah lukanya itu turut aku rasakan. Perasaanku pada waktu itu tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata kerana aku sendiri tidak pasti apa sebenarnya perasaanku waktu itu. Atau aku sudah jatuh hati padanya? Aku terus terdiam, apabila perkara itu terlintas di fikiranku.
            “Kenapa diam?”
            “Er…” aku tersentak mendengar soalan Zafril itu, aku gugup untuk meluahkan kata. “Lepas rumah kedai ni belok kanankan?” sengaja aku mengajukan soalan itu, berpura-pura tidak ingat jalan ke rumah orang tuanya. Sedangkan yang sebenarnya jalan ke rumah itu masih terakam kemas di mindaku.
            Zafril mengangukkan kepala, mengiakan kataku.
            Suasana dalam kereta kembali sepi. Zafril tidak lagi menanyakan apa-apa lagi soalan padaku dan dia terlena juga akhirnya. Aku menarik nafas lega, kerana setiap kata-kata yang diluahkan Zafril malam ini seumpama menjerut tangkai jantungku.
            Setelah setengah jam perjalanan akhirnya aku berhenti di hadapan rumah orang tua Zafril. Aku mula mengerakkannya perlahan, cuba membuatkannya terjaga dari tidur. “Encik Zafril…” aku memanggil namanya berulangkali.
            Terpesat-pesat Zafril membuka matanya sambil memandangku tapi cuma seketika kemudian ada segalit senyuman yang bergayut di bibir itu.
            “Er… Dah sampai rumah encik ni.” Gugupku meluahkan kata, apabila melihat senyuman yang Zafril ukirkan. Dengan pantas aku keluar dari kereta, aku tidak mahu berlama-lama di dalam itu berdua-duaan sahaja. Sebaik sahaja aku ingin menekan loceng rumah tu, pantas Zafril menegah.
            “Saya ada kunci.” Zafril yang telahpun berada di sebelahku tersenyum melihatku yang cuba melarikan pandangan padanya saat ini. Sewaktu Zafril menghampiri pagar dan ingin membuka mangganya, aku terus berdiri di sebelahnya.
            “Tak apa biar saya buka.” Aku terus mengambil kunci yang tersisip di tangannya, sedikit pun aku tidak memandangnya. Malam ini aku sudah tidak betah memandang mata dan wajah itu. Berdiri di sebelahnya sahaja malam ini mengundang debaran yang bukan sedikit di hatiku, apatah lagi memandang wajah dan matanya. Daripada aku terus memikirkan dan menelah yang bukan-bukan, lebih baik aku mengelakkan diri.
            Sebaik sahaja pintu masuk rumah tu terbuka, Zafril menekana suiz lampu yang terdapat pada dinding berdekatan pintu. Rumah yang tadinya kelam kini terang.
            “Siapa?” Soal satu suara dari arah tangga.
            Aku dan Zafril berpaling ke arah suara itu. Zafril tersenyum melihat ibu dan ayahnya yang berada di atas tangga.
            “MasyaALLAH, kamu rupanya, ingatkan siapa tadi?”
            Zafril mendekati ibu dan ayahnya yang mula turun dari tangga. Salam dihulurkan lalu kedua tangan orang tuanya dikucup.
            “Kenapa dengan tangan ni?” Makcik Hasnah sempat membelek tangan anaknya yang sudah berbalut. “Muka dengan bibir pun pucat. Kenapa ni?”
            “Ha’ah, kenapa ni?” Kini ayah Zafril pula yang membuka soalan.
            “Tak ada apalah ma, pa. Sikit aje ni, esok ajelah kita cerita.”
            “Kenapa tak boleh cerita sekarang?” makcik Hasnah mencelah.
            “Panjanglah mama ceritanya. Esok kita cerita dari A sampai Z. Non stop, okay.” Zafril masih lagi cuba mengelak, mungkin dia sudah keletihan dan inginkan rehat.
            “Eh, Safi pun ada.” Barulah kali ini makcik Hasnah menoleh padaku yang berada di belakang Zafril.
            “Saya yang hantar Encik Zafril ke hospital tadi makcik. Lepas tu terus saya drive ke sini.” Ujarku yang mula bergerak perlahan menghampiri keluarga itu. Aku tidak mahu orang tua Zafril salah faham akan kehadiranku pada waktu-waktu malam begini.
            “Safi kenalkan ni ayah saya.” Zafril memperkenalkan ayahnya padaku.
            Aku menganggukkan kepala pada ayahnya sambil tersenyum dan ayah Zafril tururtmelakukan hal yang sama.
            “Saya minta diri dululah makcik, pakcik.” Aku memohon diri. Aku tidak mahu berlama-lama di situ, pasti Zafril dan keluarganya memerlukan rehat yang secukupnya terutamanya Zafril.
            “Safi nak balik dengan apa ni?”
            Soalan makcik Hasnah itu menyedarkanku. Bagaimana untuk aku pulang pada jam tiga pagi begini? Sedangkan aku ke sini pun dengan kereta Zafril.
            “Ha’ahlah, awak hantar saya tadi pun dengan kereta saya kan?” Soal Zafril pula.
            Kini ketiga-tiga pasang mata itu merenungku. Aku mula kalut tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Muncul idea saat aku terpandang kunci kereta Zafril yang masih berada di tanganku, tapi entah Zafril mengizinkan atau tidak? Kini tumpuanku terarah padanya.
            “Encik Zafril, saya…” Namun belum sempat aku meminta kebenaran, Zafril terlebih dahlu merampas kunci kereta dari tanganku. Aku sedikit tersentak dengan tindakannya.
            “Jangan mimpi awak dapat pinjam kereta saya malam ni.”
            Rasa malu mula menyerbu ke mukaku apabila mendengar kata-kata Zafril itu. Tambahan pula kata-kata itu diucapkan di hadapan orang tuanya. Sepertinya aku ini seorang wanita yang suka meminta-minta pula.
            “Jangan salah faham. Saya bukan tak nak bagi awak pinjam kereta saya Cuma saya risau awak drive sorang diri malam-malam macam ni.” Pantas Zafril menerangkan apabila melihat wajahku yang sudah berubah riak sebentar tadi.
            Lega hatiku mendengar penerangannya. “Tak apalah kalau macam tu saya…”
            “Jangan nak kata awak nak balik naik teksi. Awak ingat senang ke nak dapat teksi waktu-waktu ni? Lagipun awak ingat saya tak risau lepaskan awak naik teksi sorang diri. Mahu tak boleh tidur saya malam ni tau.”
            Aku mencebik di dalam hati. Belum sempat aku memberikan sebarang penyelesaian  Zafril telah memotong setiap apa yang ingin aku katakan. Jika itu tak boleh, ini pun tak boleh, jadi di mana aku harus tidur malam ini?
            “Safi tidur sini ajelah malam ni.” Makcik Hasnah membuka cadangan.
            Tidur sini? Tiba-tiba dadaku berdebar. Otakku mula berfikir, takkan aku mahu tidur di sini? Ish, macam…
            “Okay juga tu, awak tidur sini jelah malam ni.” Zafril terus mencelah sebelum sempat otakku menilai pelawaan itu. Dia kemudiannya terus bergerak ke anak tangga.
            “Eh, dah nak tidur ke?” ekor mata Makcik Hasanah lekas menyoroti langkah kaki anak bujangnya.
            “Ha’ah, penatlah mama, mengantuk pula tu.”
            “Nak mama ambikkan air?”
            “Tak apalah mama. Dah mengantuk sangat ni. Assalamualaikum semua.” Terus sahaja Zafril menaiki anak tangga tanpa menoleh lagi, meninggalkan aku terkontang-kanting berhadapan dengan ibu bapanya di sini.
            Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan saat ini. Senyuman makcik Hasnah kubalas seadanya sahaja, kerana aku sedang mengawal rasa gugupku.
            “Tak apalah, abang masuk bilik dulu. Has nak tunjukkan Safi bilik.” Bicara makcik Hasnah lembut pada suaminya. Apabila suaminya sudah berlalu barulah dia memandangku semula.
            “Mari makcik tunjukkan bilik.”
            Aku hanya menurut sahaja langkah Makcik Hasnah menuju ke sebuah bilik tamu di tingkat atas. Kemudian dia meninggalkanku di bilik tetamu yang agak luas itu.
            “Kalau Safi nak apa-apa ketuk aje bilik makcik kat depan bilik ni ye. Jangan malu-malu buat macam rumah sendiri.”
            Kata-kata Makcik Hasnah sebelum dia berlalu kebiliknya sebentar tadi benar-benar membuatkan aku tersenyum sendiri. Takkan pula aku mahu mengetuk bilik suami isteri itu malam-malam begini.
            Bunyi ketukkan pintu benar-benar memeranjatkanku. Walaupun ketukkan itu tidaklah sekuat mana tapi cukup untuk memeranjatkanku. Tidak mungkin Makcik Hasnah berpatah semula ke sini setelah menghilang sepuluh minit tadi. Sebaik sahaja pintu terbuka, membutang mataku melihat Zafril berdiri di hadapanku dengan baju yang belum bertukar. Bukankah dia sudah tidur di biliknya?
            “Ni ada tuala dan baju Kak Anni. Awak pakailah dulu.” Zafril menyuakan padaku tuala dan baju tidur berwarna coklat.
            Aku masih berkira-kira sama ada mahu menyambut atau tidak baju itu. Sebentar tadi Makcik Hasnah sudahpun menyediakan tuala dan baju tidur untukku. Tapi jika aku memberitahu hal itu pada Zafril pasti pelbagai alasan akan keluar dari mulut itu hingga baju itu tetap bertukar tangan. Sewaktu otakku masih lagi berfkir, tanganku telah terlebih dahulu menyambut baju dan tuala itu.
            “Terima kasih. Er… selamat malam.” Tangan kiriku sudah sedia memegang tombol pintu untuk menutup pintu, aku tidak mahu ibu bapanya tiba-tiba keluar dan berfikir yang bukan-bukan pula melihat aku dan Zafril begini. Namun belum sempat pintu itu kututup sepenuhnya Zafril memanggil namaku, menghalangku menutup pintu. Aku kembali menguak pintu itu tapi kali ini aku hanya menguaknya separuh sahaja.
            “Saya nak minta maaf.” Perlahan sahaja suara Zafril tika ini.
            Aku pula berkerut mendengar ungkapan maaf itu.
            “Pasal kes Datuk Razali dengan awak kat hotel hari tu.” Zafril berhenti sebentar sebelum meneruskan kata. “Saya dah tahu perkara yang sebenar, Amy dah cerita pada saya. Saya tahu saya tak patut marah awak sampai macam tu sekali hari tu, lepas tu tuduh pula awak yang bukan-bukan. Awak pula terpaksa menadah marah saya berhari-hari. Laju sajau tutur katanya berbicara. “Pasal semalam pula, saya betul-betul tak sengaja, saya terlupa. Jadi saya minta maaf.” Tambah Zafril lagi.
            Aku tersenyum, entah mengapa rasa marahku yang mengunung seolah-olah tidak pernah wujud di hatiku saat ini. “Tak apalah encik, hal kecil je tu.”aku terus tersenyum, hatiku juga turut tersenyum. Entah bila hal yang semalamnya sebesar gunung kinabalu tiba-tiba saja menjadi hal yang kecil pada fikiranku. Namun aku yakinkan bahawa aku benar-benar telah memaafkannya.
            “Yang sebenarnya…”
            Aku mengangkat kening menunggu Zafril meneruskan bicara yang tersekat.
            “Yang sebenarnya, saya cemburu bila nampak awak dengan Datuk Razali kat hotel hari tu. Sebab tulah saya angin semacam je.” Zafril tergelak kecil.
            Benarkah dia cemburu? Bukankah cemburu itu tandanya sayang? Alahai, hati janganlah menelah benda yang bukan-bukan. Benda yang tidak tahu sejauh mana kebenarannya, ngomelku sendirian.
            “Tak apalah, saya masuk bilik dulu. Selamat malam. Assalamualaikum.” Zafril terus berlalu apabila aku tidak memberikan sebarang reaksi.
            Aku pantas menutup pintu bilik apabila selesai menjawab salamnya di dalam hati. Hatiku saat ini mula berbolak-balik dan berfikir yang entah apa-apa, yang semuanya berkisar tentang Zafril. Kuletakkan baju yang Zafril berikan ke atas katil bersebelahan dengan baju yang Makcik Hasnah berikan. Mataku memandang baju-baju itu silih berganti. Akhirnya aku mencapai baju yang dibawa oleh Zafril sebentar tadi dengan hati yang sudah lain rentaknya.           

Bersambung...

P/S : Adah mohon beribu2 maaf atas kelewatan mengPOSTkan entry ini... ada hal yang tak dapat nk dielakkan...  Harap sudi maafkan yer... Terima kasih semua. Jumpa next entry... :)

Monday, October 3, 2011

Ada Di Hati - Bab 20 (ii)

BAB DUA PULUH ( ii )
            DARI jauh aku sudah dapat melihat renungan Datuk Razali yang tidak putus-putus merenung padaku yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Pemandu Datuk Razali yang menjemputku sebentar tadi telah hilang entah ke mana. Sebaik sahaja menunjukkan arah meja Datuk Razali di restoran hotel bertaraf lima bintang itu, bayangan pemandu muda itu hilang entah ke mana.
            Mataku melilau mencari Zafril di sekeliling restoran yang tidak ramai pengunjungnya. Hatiku makin berdebar apabila kelibat Zafril langsung tidak kelihatan dalam restoran itu. Langkahku makin perlahan menghampiri meja yang dihuni Datuk Razali. Hatiku pula menjadi makin berbelah bahagi untuk menghampiri Datuk yang seorang itu. Aku tidak betah langsung untuk berhadapan dengannya. Matanya yang sentiasa tajam merenungku membuatkan aku tidak selesa.
            “Hai, dear…”
            Hampir pitam aku mendengar perkataan yang keluar dari bibir lelaki tu sebaik sahaja aku mendekatinya. Dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya itu, membuatkan aku makin seram sejuk berhadapan dengannya.
            “Assalamualaikum.” Terus aku lafazkan kalimah suci itu padanya. Dan Datuk tersenyum sumbing menjawab salam yang aku berikan. Aku pula yang tidak mahu menunggu lama, terus duduk berhadapan dengannya. Takut pula kalau dia meminta aku duduk bersebelahan dengannya.  Niat itu dapat aku lihat jelas dari renungan matanya biarpun tidak dizahirkannya.
            “Untuk awak.”
            Sejambak mawar merah terpampang di ruangan mataku. Aku terkedu seketika. Mawar merah dan wajah Datuk Razali aku pandang silih berganti. Hati sudah membentak-bentak untuk menolak jambangan bunga itu, akal juga menyatakan hal yang sama. Namun apabila jambangan bunga itu masih tetap dihulurkan padaku, ditambah pula dengan mata-mata yang ada di sekeliling, yang tidak putus-putus memandangku seolah-olah mengharapkan aku menerima jambangan itu membuatkan aku lemas. Akhirnya jambangan itu bertukar tangan. Aku menarik nafas seketika. Sesungguhnya aku tidak mahu akan jambangan ini!
            “Tak nak cakap apa-apa pada saya ke?” Datuk Razali mula melirikkan matanya padaku.
            Ketika ini suaraku rasa tersekat untuk mengeluarkan kata. Aku sudah tidak mahu melakukan atau menyatakan apa-apa. Otak seolah-olah enggan berfungsi dengan baik. Buat pertama kalinya aku menerima sejambak bunga daripada seorang lelaki, tetapi mengapa ianya daripada datuk yang aku benar-benar tidak berkenan ini pula. Ini akan menjadi satu-satunya sejarah hidupku yang aku tidak mahu kenang sampai bila-bila. Mataku masih melekat pada jambangan bunga itu, bukan kerana aku tertarik dengan jambangan yang cantik itu. Tetapi aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan pada Datuk pada ketika ini. Entah mengapa berat benar mulut menuturkan ucapan terima kasih atas pemberian itu!
            “Safiah Aisyah!”
            Aku segera menoleh apabila namaku diseru dengan begitu kuat. Hatiku melonjak riang apabila melihat Zafril sudah pun tiba di situ. Kian berada hampir di sebelahku. Ingin sahaja aku menjerit kegembiraan. Terasa seakan-akan aku telah diselamatkan daripada keadaan yang menyesakkan. Tidak perlulah lagi aku berhadapan dengan Datuk Razali seorang diri seperti tadi.
            “Zafril…”
            Panggilan Datuk Razali itu tidak Zafril endahkan. Matanya masih tertumpu padaku.
            “Buat apa kat sini? Sekarang masih lagi waktu pejabatkan? Bukan ke sepatutnya awak ada di pejabat sekarang ni?” marah Zafril padaku. Muka dan matanya sudah merah padam merenungku. Aku masih lagi mendongak memandangnya yang tegak berdiri di sebelahku.
            Aku benar-benar tidak faham dengannya. Bukankah dia yang memanggil aku ke sini atas bantuan pemandu Datuk Razali kerana dia mahu aku ada sekali dalam perbincangannya dengan Datuk Razali hari ini? Tapi kenapa dia marah-marah pula?
            “Tapi Encik Zafril…”
            “Oh, dah pandai curi tulang. Bila saya tak ada di pejabat, mengular aje kerja awak ye.” Bentak Zafril lagi.
            Terus mati senyuman yang aku ukirkan sewaktu melihat kehadirannya tadi. Baru sahaja aku ingin membuka kata menjelaskan mengapa aku berada di sini, terus sahaja dia merentap kasar pergelangan tanganku membawaku bangun dari duduk. Sebaik sahaja aku berdiri jambangan bunga yang berada di tanganku dirampasnya dan kemudian dia memandang Datuk Razali yang hanya mampu mendiamkan diri dari tadi, mungkin dia sendiri tidak menyangka Zafril akan menyinga sebegini di tempat ini.
            “I don’t think she want this flower, Datuk!” Bunga itu Zafril campakkan ke atas meja.
            Aku menanggung kesakitan atas cengkaman tangannya yang begitu kuat pada pergelangan tanganku. Namun tanpa menghiraukan kata-kataku yang minta untuk dilepaskan, Zafril terus membawaku menuju ke tempat letak kereta.
            “Masuk!” Arah Zafril sambil membukakan pintu kereta dan melepaskan genggaman tangannya padaku.
            Aku mengurut-ngurut tangan yang sakit dan kelihatan berbekas merah. Walaupun aku masih tidak faham dengan tindakannya yang mengheretku hingga ke sini, aku masih lagi menurut arahannya supaya memasuki perut kereta itu. Itu pastinya lebih selamat daripada duduk dengan Datuk Razali.
            Lima minit berada di dalam kereta itu cukup membuatkan aku takut. Bukan hanya kerana wajah Zafril yang umpama singa lapar, malah kereta yang dipandu laju olehnya pada tika ini membuatkan aku terhuyung hayang di dalam kereta walaupun aku sudah mengenakan tali pinggag keledar. Untuk menegur cara pemanduan Zafril yang mengalahkan pemandu kereta lumba itu, sungguh aku tiada keberanian itu pada saat ini.
            Telefon bimbit Zafril bernyanyi lantang, dia terus sahaja menjawab panggilan itu tanpa menggenakan earphone seperti selalu. Aku yang melihatnya sudah tidak senang duduk apabila Zafril mengawal kereta yang laju dengan hanya sebelah tangan.
            “Hah, Ahmad apa dia?”
            Aku terkedu dengan gaya bahasa yang Zafril gunakan. Belum pernah aku mendengar dia berkata sebegitu dengan pekerjanya sebelum ini. Mengapa lain benar lelaki ini hari ini?
            “Saya ada hal. Saya tak dapat jumpa sesiapapun. Awak wakilkan saya ajelah.”
            Zafril ada meetingkah hari ini? Mengapa aku setiausahanya tidak tahu menahu tentang hal itu?
            “Kalau mereka tak nak berbincang dengan awak, kata pada mereka kita jumpa aje di mahkamah. Habis cerita. Faham!” Tegas Zafril sebelum mematkan talian dan mencampakkan telefon bimbitnya ke kerusi penumpang di belakangnya.
            Kedengaran telefon bimbit Zafril berbunyi sekali lagi. Zafril merengus kasar, tidak senang mendengar telefon bimbitnya berdering. Aku merenung Zafril di sebelahku, kemudian aku memandang telefon bimbit Zafril yang masih berdering tanpa henti. Aku menarik nafas, cuba memberanikan diri menegurnya. “Encik…”
            “Shut up!” tengking Zafril sebelum sempat aku menyebut namanya pun. “Damn it!” Zafril menghentak stereng kereta, menghamburkan kemarahannya di situ.
            “Yang encik nak marah-marah ni kenapa?” Aku mula tidak puas hati. Apa kesalahanku sehingga dia menengkingku sebegitu sekali? Persoalan yang bermain di mindaku memerlukan jawapan. Aku bukannya kanak-kanak yang akan diam apabila dimarahi sesuka hati dan tanpa sebarang tujuan.
            “Habis tu kalau awak buat salah, saya tak boleh marahlah, macam tu?”
            “Apa salah saya?”
            “Sekarang ni masih lagi dalam waktu pejabatkan? Apa yang awak buat dekat hotel tu? Jadi selama ni bila saya tak ada di pejabat awak memontenglah ye. Makan gaji buta?” marah Zafril kian beruap-ruap padaku.
            “Tapi encik, saya pergi hotel tu pun sebab…”
            “Sebab? Sebab apa? Sebab orang tua tu ajak? Sebab orang tua tu nak bagi bunga? Atau sebab awak memang saja nak rapat dengan orang tua tu?”
            Tersentak aku mendengar kata-kata Zafril itu. Sampai hati dia menuduhku sebegitu. Kini hatiku pula yang membara. Aku menjelingnya dan terus memandang ke laur tingkap. Satu perkataan pun tidak keluar dari mulutku. Aku pendamkan rasa marahku jauh ke dalam hati. Pada saat ini ada rasa seperti air mataku seakan ingin mengalir keluar, tapi segera kuseka. Aku tidak menyangka yang dia akan menuduhku sebegitu.
            “Kenapa diam? Jadi betullah tu kan?”
            Aku masih lagi mendiamkan diri dan aku juga tidak mahu membela diri. Aku tahu apa sahaja yang aku luahkan nanti tidak akan membawa apa-apa makna pada Zafril.
            “Mulai hari ini, kalau awak nak ke mana-mana pada waktu pejabat inform pada saya dulu. Dan awak tak dibenarkan pulang sebelum saya pulang walaupun waktu pejabat dah habis. Faham?”
            Aku masih lagi membisu. Malas mahu melayan kata-katanya lagi. Bukan aku tidak cuba menghubunginya sebelum aku mengikut pemandu Datuk Razali ke hotel itu, tapi dia yang tidak menjawab setiap panggilan yang aku buat. Jadi masihkah aku juga yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Ternyata Datuk Razali telah mempermainkanku. Menyesal pula aku termakan dengan kata-kata pemandu Datuk Razali, jika tidak pasti keadaan tidak sebegini.

AKU mengeling jam di pergelangan tangan. Sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Aku mengerling pula memandang Zafril melalui dinding kaca yang memisahkan aku dengan biliknya. Zafril masih lagi sibuk menyemak fail-fail yang bersepah di atas mejanya itu.
            “Ish, buat kerja tak reti nak bersusun, habis bertabur. Nanti aku juga yang kena kemas. Menyampah betul.” Bebelku sendiri.
            Aku memandang pula segenap ruang pejabat yang sudah tidak berpenghuni kecuali aku dan Zafril. Aku mengeluh, tiada apa yang boleh aku lakukan kini, semua kerjaku telah aku selesaikan. Sudah tiga hari aku begini, semenjak Zafril menemuiku dengan Datuk Razali di hotel, setiap hari aku perlu pulang lewat malam menunggu Zafril menghabiskan kerjanya dahulu sebelum aku dibenarkan pulang. Itupun aku tidak dibenarkan pulang sendiri, dia yang akan menghantarku pulang ke rumah. Hari ini juga pastinya tidak berkecuali.
            Aku sebenarnya rimas apabila setiap hari dia menghantarku pulang ke rumah. Mana tidaknya sudahlah aku perlu mengadap muka masamnya setiap hari di pejabat, kini aku perlu mengadap muka yang sama sewaktu perjalanan pulang ke rumah. Sudahlah sewaktu menghantarku pulang dia tidak bersuara sepatah perkataan pun. Malah aku terpaksa pula membahayakan diri menumpang keretannya yang dipandu laju itu. Lagi rasa sengsara!
            Suara azan isyak mula berkumandang menerusi radio online yang sentiasaku pasang menemaniku sejak petang tadi. Aku segera menutup komputerku dan bergerak menuju ke surau untuk mengerjakan solat isyak. Aku tahu Zafril pasti lama lagi menyiapkan kerja-kerjanya itu. Selalunya paling awal pun dia akan pulang pada pukul 9.30 malam. Daripada aku duduk termenung di meja itu seperti hari-hari yang lalu, lebih baik aku mengerjakan solat pada awal waktu. Sekurang-kurangnya aku hanya perlu menguruskan beberapa urusan lain apabila tiba di rumah nanti.
            Selesai menunaikan solat dan memohon doa pada Yang Maha Esa, aku melipat semula telekungku dan kuletakkan di dalam almari yang tersedia di dalam surau itu. Keluar sahaja dari surau yang turut berada di dalam ruang pejabatku aku terus menuju ke mejaku. Ruang pejabat hampir keseluruhannya gelap, dengan menggunakan cahaya dari telefon bimbitku, akhirnya aku sampai juga ke mejaku. 
Bilik Zafril telah gelap dan tidak berpenghuni. Hatiku sudah dipaut dengan rasa marah yang teramat sangat, Pasti dia sudah pulang dan meninggalkanku sendirian di pejabat ini. Ingin sahaja aku menjerit sekuat hati meluahkan rasa tidak puas hatiku padanya.
“Nak balik pun, bagi tahulah dulu. Geram betullah.” Bebelku sendirian sambil mendail nombor telefon bimbit Fitri. “Fitri ambil aku kat pejabat boleh tak? Tolong!” Rayuku pada Fitri dan setelah Fitri menyatakan persetujuannya barulah aku meletakkan telefon dan menyambar beg tangan yang berada di atas meja dan melangkah laju keluar dari ruang pejabat itu.
Kegelapan itu sedikit pun tidak mengerunkan hatiku ini. Rasa marahku pada Zafril telah mengatasi segala-galanya. Keluar sahaja dari lif aku menghampiri Pak Mahmud, pengawal keselamatan bangunan itu yang bertugas pada malam ini.
“Assalamualaikum Pak Mud.” Ujarku pada Pak Mud yang sedang menyemak buku pelawat keluar masuk.
“Waalaikumusalam, eh Safi tak balik lagi?”
“Baru nak balik Pak Mud. Enck Zafril dah balik ke Pak Mud?” tanyaku pada pengawal yang terkenal dengan sikap ramahnya itu. Kerana sikapnya itulah hampir kesemua pekerja di bangunan ini tidak kira dari syarikat mana mengenalinya.
“Baru sekejap ni Pak Mud nampak dia keluar, dalam lima minit macam tu. Pak Mud ingat Safi dah balik. Kenapa tak balik dengan Encik Zafril?” Soal Pak Mud semula.
             “Ada kerja sikit tadi, Pak Mud. Tak apalah saya balik dulu ye. Terima kasih.” Aku meleparkan senyuman pada Pak Mud sebelum meneruskan langkah menunggu Fitri di hadapan bangunan pejabatku. Seperti yang ku agak memang Zafril telah pulang terlebih dahulu dan meninggalkanku.
Baru lima minit aku melabuhkan punggung di anak tangga di hadapan bangunan itu sebuah kereta Nissan berhenti dihadapanku. Aku terus bangun dari duduk apabila Zafril mula mendekatiku.
“Naik!” arah Zafril sebaik sahaja dia berada di hadapanku dan kemudian dia terus berpatah semula menuju ke keretanya.
“Tak apa, saya boleh balik sendiri.”
Mendengar sahaja jawapan dariku, Zafril berpatah semula mendapatkanku yang masih lagi tidak mahu berganjak dari tempat aku berdiri sebentar tadi.
“Kalau saya suruh naik tu, naik ajelah”
“Kan saya dah kata saya boleh balik sendiri!” aku tetap berkeras tidak mahu mengikutnya.
“Kan saya dah janji nak hanar awak balik.” Zafril terus-terusan memaksaku.
“Tapi encikkan dah tinggalkan saya tadi. Jadi tak payahlah encik nak risau-risau, saya boleh balik sendiri.”
“Saya bukan sengaja nak tinggalkan awak, saya terlupa. Lagipun awak tak ada kat tempat awak, masa saya nak balik tadi. Tu yang saya terlupa yang saya dah janji dengan awak, faham!”
Aku mencebikan bibir, malas mahu melayannya. Setiap kata-kataku pasti ada sahaja jawapan yang akan keluar dari mulutnya.
“Apa lagi naiklah. Awak jangan nak timbulkan masalah boleh tak? Saya dah penat ni.” Zafril makin meninggikan suaranya. Kedua-dua belah tangannya sudah mencekak pinggang.
Membara hatiku mendengar suara Zafril yang sudah semakin meninggi. Tiba-tiba kereta myvi Ftri berhenti di belakang kereta Nissan Zafril. Melihat ketibaan Fitri tu melegakan hatiku kerana aku tidak perlu menumpang Zafril pada malam ini dan sememangnya aku tidak mahu menumpangnya lagi selepas ini.
“Kalau encik dah penat sangat, balik sajalah rehat. Tak payah nak susah-susahkan diri hantar saya balik. Buat penat badan je.” Aku terus melangkah ke kereta Fitri, sekalipun aku tidak menoleh padanya yang masih setia berdiri di situ.
Selepas menaiki kereta aku terus mengarahkan Fitri mengerakkan keretanya. Tidak mahu aku berlama-lama di situ. Sakit hatiku apabila Zafril mengungkit tentang kepenatannya. Bukan aku yang meminta dia menghantarku pulang pada setiap malam. Dia yang menawarkan diri, jadi mengapa perkara itu menjadi ungkitannya hari ini? Semua itu menjadikan aku bertambah menyampah dengan lelaki yang bernama Zafril itu!

Bersambung...

Friday, September 30, 2011

Ada Di Hati - Bab 20


DUA PULUH ( i )
            Terkejut aku mendengar pekikan dari bilik Zafril yang pintunya tertutup rapat. Dengan pantas aku bergegas menuju ke biliknya dan mengetuk pintu biliknya bertalu-talu. Setelah mendapat kebenaran masuk daripadanya, barulah aku dengan pantas menolak pintu itu. Zafril sedang berbual di talian dengan wajah yang cukup gembira.
            “Yup.” Soal Zafril dengan senyuman melebar. Tangan kanannya menutup corong suara telefon yang masih lagi melekat di telinganya.
            “Encik tak apa-apa ke?” aku agak cemas ketika ini.
            Berkerut dahi Zafril mendengar soalanku. Seketika kemudian barulah wajahnya berubah ceria semula. “Ya, saya okay. Awak boleh keluar sekarang!” Kemudian Zafril menyambung perbualan di talian.
            Aku menarik nafas lega dan menutup pintu itu semula. Apalah agaknya yang mengembirakan Zafril sehingga menunjukkan reaksi sebegitu sekali. Beberapa rakan pejabatku yang duduk berdekatan dengan ruang kerjaku turut bertanya tentang jeritan Zafril sebentar tadi. Aku hanya mampu mengangkat bahu, tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan.
            Telefon bimbitku yang menjerit nyaring minta diangkat terus aku keluarkan dari tas tanganku. Aku melihat  pada skrin telefon bimbitku itu. Hanya ada nombor yang tertera di situ, tiada nama pemanggil. Jadi aku pasti orang yang tidak aku kenali yang menghubungiku.
            “Assalamualaikum.” Aku memulakan bicara.
            “Waalaikumusalam. Er, ni Cik Safiah Aisyah ke?” soal suara seorang lelaki di hujung talian bergema di telingaku.
            “Ye saya. Kenapa? Encik ni siapa?” soalku .
            “Saya Hafiz. Ingat lagi?” soal suara yang berubah ceria tiba-tiba.
            “Hafiz?” Soalku semula. Kotak memoriku cuba mengimbas, adakah aku pernah mengenali mana-mana lelaki yang bernama Hafiz sebelum ini? Aku masih terus berfikir dan suasana di talian sepi beberapa ketika.
            “Faiz Hafizi. Safi ada langgar kereta saya minggu lepas. Ingat tak?.”
            Aku mengetuk kepalaku sendiri. Bagaimana aku boleh terlupa tentang Hafiz? Lelaki yang aku langgar keretanya minggu lalu di basement shopping mall. Seorang lelaki yang baik hati. “Ye, Hafiz. Maaf saya tak perasan tadi. Ada apa ye?”
            “Er… tak… em… pasal…” Hafiz kedengaran tergagap-gagap di hujung talian.
            “Kenapa ye?” sengaja aku menyoal sekali lagi apabila kedengaran dia begitu berat ingin meluahkan kata.
            “Er… tak macam ni. Er… pasal kereta saya yang Safi langgar hari tu…”
            “Oh ya, Hafiz dah hantar ke bengkel ke kereta tu?”
            “Sudah, dah siap pun. Lagipun taklah teruk sangat rosaknya.” Kali ini bicaranya lebih lancar dari tadi.
            “Berapa ya saya kena bayar pada Hafiz?” Dalam hati aku mula mencongak-congak, moga-moga tidaklah terlalu mahal bayarannya.
            “Boleh kita jumpa?” laju Hafiz mengajukan soalan.
            Teruk sangatkah kerosakkannya sehingga perlu berjumpa dan berbincang secara bersemuka tentang soal bayarannya. Tapi tadi katanya kerosakan kereta itu tidaklah seteruk mana.
            “Saya…”
            “Safi!”
            Aku yang baru sahaja ingin menerima pelawaan Hafiz terus mematikan kata apabila Zafril yang sudah berdiri di depan pintu biliknya memanggilku.
            “Sekejap ye, Hafiz.” Aku berbisik pada Hafiz seketika sebelum memandang semula Zafril. “Ada apa Encik Zafril?”
            “Setkan meeting antara saya dengan marketing and operating department pukul 3 petang ni. Saya nak semua ada dalam meeting tu nanti, tak ada pengecualian terutamanya Fazura.” Laju Zafril mengeluarkan arahan padaku.
            “Tapi encik, Fazura tak masuk pejabat hari ini.” Aku pantas memberitahunya. Aku tahu agak sukar untuk mencari Fazura yang langsung tidak kelihatan di pejabat sejak pagi tadi.
            “Itu saya tahu. Tapi saya nak awak pastikan Fazura ada dalam meeting petang ni. Make sure she come.”
            Aku mengeluh kecil apabila zafril terus masuk ke dalam biliknya. Baru sahaja aku mahu duduk dan menyambung perbualan dengan Hafiz, Zafril muncul semula di muka pintu biliknya. Segera aku membatalkan niatku untuk menyambung perbualan dengan Hafiz.
            “Masuk bilik saya sekarang!” arahnya dan kemudian barulah dia masuk ke biliknya.
            Aku mengeluh sendirian. Setelah Zafril masuk ke dalam biliknya, barulah aku meneruskan bicara dengan Hafiz. Aku tidak mahu dia menunggu terlalu lama.
            “Hafiz, saya ada kerja sikit. Nanti saya telefon awak balik.” Kataku padanya dan tanganku pantas mengapai pen dan buku di atas meja.
            “Okay, make sure you call me back!”
            “Yes, I will. Assalamualaikum.”
            Setelah mendengar balasan salam daripada Hafiz, aku pantas meletakkan semula telefon bimbitku di atas meja dan aku terus bergerak memasuki ruang bilik Zafril.
            “Ye, encik.” Ajuku apabila sudah berada di hadapank Zafril yang duduknya di set sofa yang terdapat di dalam biliknya itu.
            “Duduk. Saya ada berita baik nak kongsi dengan awak. Dan saya nak awak jadi orang pertama yang dengar berita ni” Zafril tersenyum memandangku yang telahpun mula duduk, mengambil tempt di hadapannya.
            “Berita apa encik?”
            “We got the contract.” Ujar Zafril penuh teruja. Senyuman masih mekar di bibirnya.
            “Which contract?”
            “Kontrak Star Tv dengan Olimpia Holding.”
            “Kontrak tiga tahun tu ke?” aku tidak percaya dengan apa yang aku dengari tadi.
            “Yup.”
            “Dua-dua sekali kita dapat?”
            Zafril menganggukkan kepala.
            Aku tersenyum mendengar berita itu. Tidak disangka kedua-duak kontrak besar yang menjadi rebutan kebanyakkan syarikat ICT consultant akhirnya menjadi milik Adni Maju counsulting. Pasti selepas ini Zafril tidak perlu lagi memeningkan kepala memikirkan masalah kewangan syarikat.
            “Tahniah encik. Encik memang dah bekerja keras untuk dapatkan kontrak ni.” Sengaja aku memberikan pujian atas usaha kerasnya untuk mendapatkan kontrak itu.
            “Bukan. Bukan kerja keras saya seorang tapi kerja keras semua pekerja Adni Maju Consulting terutamanya Fazura. Dia yang berusaha lebih keras daripada saya. For me, she like an angel.”
            Mendengar kata-kata Zafril itu entah mengapa hatiku dipaut satu rasa yang aku sendiri tidak dapat mentafsirkannya. Bilik berhawa dingin itu mula rasa berbahang dengan tiba-tiba. Nafasku turun naik menahan rasa yang aku sendiri tidak pasti apa maknyanya. Pujian Zafril pada Fazura itu betul-betul menyentuh hati kecilku.
            “Awak okay ke?”
            Aku terkejut mendengar soalan dari Zafril. Adakah apa yang hatiku rasakan saat ini kini terbias pada riak wajahku? Jika tidak, masakan dengan mudahnya dia dapat menangkap perubahanku itu.
            “Saya… saya okay. Kalau tak ada apa-apa lagi saya minta diri dulu.” Tanpa menunggu jawapan daripada Zafril, aku terus keluar dari biliknya. Aku tidak mahu dia meneka apa-apa lagi di sebalik riak wajahku lagi. Aku menyentuh dadaku dengan tangan kananku. Ada sesuatu yang mengalir dalam hatiku pada saat ini. Aku sendiri keliru dengan irama denyutan hatiku saat ini.

Bersambung...

Sunday, September 25, 2011

Akan Datang Oktober Ini.


Assalamualaikum semua....

Alhamdulillah, rata-rata rakan pembaca telahpun tahu penyudahan kisah antara Nysa Sakinah dan Farish Aqil dalam novel Jauh Dari Cinta. Semoga semua berpuas hati dan tersenyum lebar dengan endingnya. Mohon maaf dari AH andai ada kekurangan dalam JDC. Sesungguhnya AH masih dalam proses pembelajaran.... Stop pasal JDC!

Entry kali ini, AH mahu bercerita tentang karya terbaru AH. Tajuknya, seperti apa yg rakan2 pembaca dapat lihat di dalam cover di atas. Yup, semestinya Jangan Jatuh Cinta (JJC). Insya'Allah AH akan mula memasukkan entry bagi JJC ke dalam blog AH mulai OKTOBER ini. Selain di blog AH, rakan2 pembaca juga boleh membaca JJC melalui laman www.penulisan2u.my. Jadi, sudilah kiranya rakan2 pembaca membaca JJC kelak sekaligus seperti biasa menitipkan komen buat AH.  Doa AH semoga JJC juga mendapat tempat di hati semua, dan apa yg AH ingin kongsikan dlm JJC nanti, juga bakal memberikan manfaat buat semua. Dalam pada itu, jangan lupa untuk terus mengikuti E-Novel Ada Di Hati sehingga ke penghujungnya, istimewa buat semua. Jumpa lagi next entry... Daaa... Assalamualaikum. :)