Sunday, April 14, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 4



4
            Restoran mamak yang terletak di belakang premis Arena Printing kian galak menerima kunjungan orang ramai. Aku duduk berhadapan dengan kak Lin, manakala abang Joe duduk di sebelah isterinya. Kata abang Joe, kak Lin bekerja di butik kecantikan yang terletak di bangunan kedai bertentangan dan Arena Printing. Jadi, sudah boleh aku jangkakan detik pertemuan mereka.
            Abang Joe dan kak Lin memesan roti canai telur, manakala aku pula hanya memesan roti bakar. Itu sudah cukup untuk mengalas perut. Apabila pesanan kami sampai, kami terus menikmati hidangan itu sambil berbual kosong. Sungguh, aku berharap ada cerita yang dapat aku dengar daripada abang Joe saat ini. Cerita tentang encik Afdhal. Entah kenapa aku dapat rasakan yang abang Joe akan bercerita padaku.
            “Abang, ayang gerak dululah ya, dah lambat ni. Nanti tak pasal-pasal cik Dahlia kena tunggu kat luar.” Kak Lin segera menghabiskan baki milo ais yang masih tinggal.
            “Aik, takkan bos tak ada kunci?” balas bang Joe.
            “Tak sempat buat lagi, kan hilang hari tu. Ayang gerak ya.”
            Sejurus mencium tangan abang Joe, kak Lin mula menghilang. Aku pula segera menghabiskan roti bakar yang masih ada sedikit lagi. Pasti kami juga perlu kembali ke Arena Printing.
            “Betul Ana nak tahu pasal Afdhal ni?” abang Joe tiba-tiba bersuara.
            “Hah?” aku tercenggang. Seakan tak percaya mendengarnya. Memang itu yang aku tunggu-tunggukan.
            “Okay, abang Joe rasa... abang Joe boleh percayakan Ana. Tapi ada satu syarat.”
            “Apa dia?” soalku, sudah tidak sabar.
            “Jangan cerita kat orang lain. Boleh?”
            “Insya’ALLAH. Ana simpan rahsia.”
            Abang Joe tarik nafas. Lama dia memandang penyedut minuman yang dipusingkan berkali-kali, mengacau air dalam gelasnya.
            Aku pula penuh semangat, setia menunggu abang Joe memulakan cerita. Kisah yang sememangnya ingin aku tahu.
            “Mungkin ini dugaan dia...” perlahan cerita dimulakan.
            “Maksud abang Joe?” sudah ada soalan yang diajukan walaupun penceritaan abang Joe masih terlalu awal.
            “Ana rasa encik Afdhal tu macam mana orangnya?”
            Soalan abang Joe membuatkan dahiku berkerut. “Nampak pelik!” hanya jawapan itu yang dapat aku berikan.
            “Pelik kenapa?”
            “Entahlah abang Joe. Kadang-kadang encik Afdhal tu nampak macam okay. Kadang-kadang pula nampak macam orang tak betul pun ada.” Aku berterus terang. Memang itu yang aku rasa.
            Abang Joe diam seketika. Kemudian abang Joe kembali bersuara. “Abang sendiripun dah tak tahu nak buat apa. Macam-macam cara abang dah cuba. Tapi Afdhal sikitpun tak berubah. Tetap macam tu juga.”
            Penceritaan kedengaran semakin rumit. Sedangkan intipatinya satupun aku tidak tahu. Memang aku tidak faham. Tapi itu tidak bermakna aku mahu berhenti mendengar. Jadi aku biarkan saja abang Joe terus berkata-kata.
            “Betul cakap ana. Abang dah tak boleh nak tipu sesiapa lagi. Semua orang boleh nampak.”
            Aku kembali memikir. Kata-kataku yang mana, yang dimaksudkan oleh abang Joe? Encik Afdhal tak betul? Adakah itu?
            “Abang dah give up. Sekarang ni abang cuma boleh tolong uruskan apa-apa yang patut aje. Lebih daripada tu abang dah tak sanggup. Afdhal takkan boleh baik.” Jauh abang Joe merenung ke luar restoran. Ada riak kesal pada wajahnya. Sedikit takungan air juga kelihatan di tubir matanya.
            Aku sudah dapat menangkap maksud abang Joe. Cuma aku tidak tahu kisah itu dengan lebih dalam. Patutkah aku bertanya lagi? Rasanya tidak! Cukup setakat ini dahulu. Mungkin sampai masanya nanti aku akan ketahui juga semuanya.
            “Kalaulah ditakdirkan abang yang pergi dulu, siapalah yang nak tengokkan dia?”
Abang Joe masih bercerita.
            Pada awalnya aku juga terdiam. Namun ada sesuatu yang membuatkan aku beranibbersuara. Baru kini aku teringat. “Apa yang abang Joe risau? Family encik Afdhal kan ada? Takkan Fina tak boleh jaga abang dia sendiri?” aku cuba menenangkan abang Joe. Lagipun sememangnya encik Afdhal punya  keluarga. Takkan dia dibuang keluarga pula? Itu mustahil. Fina tidak pula pernah bercerita begitu.
            “Afina?”
            “Ha’ah, Afina... adik kandung encik Afdhal. Takkan abang Joe tak kenal?”
            “Sejak bila Afdhal ada adik? Kalau adapun dah meninggal sebelum sempat lahir.”
            “Eh, bukan Fina tu...” aku sudah hilang kata. Adakah itu bermakna Fina berbohong padaku? Tapi untuk apa Fina berbuat begitu?
            “Tak ada. Afdhal tu sebatang kara. Dia jadi macam tu pun sebab...” abang Joe tidak menghabiskan katanya.
            “Sebab?” aku cuba mendesak agar ayat itu dihabiskan sehingga ke titik noktah.
            “Ana tak payah tahulah.” Abang Joe enggan berkongsi.
            “Kalau Ana nak tahu juga?”
            “Tak payahlah Ana. Kalau Ana tahu sekalipun, Ana takkan boleh buat apa-apa.”
            “Abang Joe pandang rendah pada Ana.” Aku rasa tercabar.
            “Bukan macam tu. Abang Joe sendiripun tak boleh buat apa-apa. Inikan pula Ana yang tak ada kaitan langsung dengan Afdhal. Bukan masalah biasa-biasa tau, Ana. Ini dah kira masalah mental.”  
            “Siapa kata Ana tak boleh buat apa-apa? Abang Joe kenal Ana pun baru sehari, dua. Abang Joe tahu tak yang Ana ada kenal dengan pakar psikologi?” aku cuba membina maruah.
            “Setakat pakar psikologi tak payahlah, Ana. Dah banyak pakar psikologi yang abang bawa jumpa dengan Afdhal. Tak lut langsung. Satupun tak jalan. Abang tak percaya dah. Pakar psikologi konon. Ceh!” abang Joe nampak tidak berpuas hati.
            Aku rasa terbakar apabila kerjaya abang Naim bagai dipijak-pijak oleh abang Joe. Berani dia memperlekehkan kepakaran seorang pakar. “Alah, pakar yang lain Ana tak tahulah. Ini bukan sebarangan pakar tau!”
            “Dahlah, Ana. Nama aje pakar. Tapi tak pakar manapun. Kes macam Afdhal pun tak boleh nak settle. Ana jangan kena tipulah. Lagipun mana pula Ana kenal pakar psikologi ni? Ana pun ada masalah mental juga ke?” abang Joe ketawa kecil.
            Bahang panas semakin terasa. Abang Joe semakin melampau. Terasa seperti abang Naim dikecam hebat. Memang tak puas hati dibuatnya. Pantang datuk, nenek moyang aku, perkara berkaitan dengan abang Naim dibuat main dan diperlekehkan. “Pakar psikologi tu, bakal tunang Ana tau, abang Joe!”
            Abang Joe terdiam. Begitu juga dengan aku. Entah bagaimana aku boleh berkata begitu? Mungkin kerana terlalu marah, maka akupun terlepas kata. Oh, tidak!

MASALAH! Hanya perkataan itu yang tidak sudah-sudah menampakkan wajah di minda. Mana tidaknya, gara-gara mulut lancang berbicara tanpa berfikir panjang, tidak pasal-pasal kini aku dirayu oleh abang Joe untuk membantu encik Afdhal.
Apa aku nak buat sekarang? Walaupun terbit rasa kasihan di hati buat encik Afdhal, namun sikitpun aku tidak punya niat untuk membantu. Aku hamburkan kata-kata tadi semata-mata ingin mempertahankan abang Naim. Itu sahaja. Tapi, lain pula jadinya.
Abang Naim. Betulkah dia seorang pakar psikologi? Kalau ikutkan cerita Pak Lang, memang dah jadi tugas abang Naim membantu orang yang punya masalah yang sama seperti encik Afdhal. Pakar psikologi lah tu kan? Persoalannya, bagaimana untuk aku katakan pada abang Naim supaya membantu encik Afdhal? Takkan percuma? Kalau percuma, mahukah abang Naim membantu?
Serabut aku dibuatnya. Jadi aku hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan pulang, kembali ke Arena Printing.
“Diam aje dari tadi ni, kenapa?” abang Joe bertanya.
“Tak ada apa-apalah, abang Joe. Tak ada apa nak cakap.” Aku balas hambar. Sendiri cari masalah. Macam mana aku mahu tarik semula kata setuju yang aku berikan untuk membantu encik Afdhal?
Perjalanku terhenti saat melihat encik Afdhal berdiri di hadapan pintu kaca Arena Printing. Ya, masih melakukan aktivit yang selalu itu. Teruk sangat agaknya sakit encik Afdhal ni.
“Abang Joe.” Jeritku sedikit kuat apabila abang Joe sudah agak jarak di hadapan.
Abang Joe berhenti, menoleh padaku. Dahinya dikerutkan sambil mengangkat-angkat keningnya. Mungkin bertanya apa mahuku? Kenapa aku berhenti di situ? Kemudian aku berjalan pantas mendapatkan abang Joe yang masih menunggu.
“Abang Joe, nak tanya sikit lagi boleh”
“Apa dia?”
“Kenapa Ana tengok encik Afdhal tu, hari-hari buat benda yang sama? Tu pun sebab masalah dia juga ke?” soalku.
“Dia buat apa?” abang Joe tidak dapat membaca maksudku.
“Iyalah, tiap-tiap pagi berdiri depan pintu kaca tu sambil baca surat khabar. Baju pula tu hari-hari warna hitam. Itu memang simptom orang adalah masalah jiwa, ke?”
Abang Joe ketawa besar.
 “Abang Joe, ni... Ana tanya betul-betul, dia ketawakan pula.” Aku tunjuk riak tidak puas hati.
“Ana... Ana...” Abang Joe sudah mula berhenti ketawa. “Semangat betul nak tolong encik Afdhal, ya.” Tambah abang Joe lagi.
“Abang Joe, Ana tanya betul-betul ni. Nanti Ana tak nak tolong baru tahu.” Aku hidangkan sedikit kata ugutan untuk pendengaran abang Joe.
“Amboi, pandai ugut dah sekarang. Okaylah. Pasal berdiri depan pintu kaca tu, abang Joe memang tak tahu kenapa. Memang hari-hari dia macam tu. Kalau Ana nak tahu, surat khabar tu bukan dia bacapun. Just pegang untuk tutup muka.”
“Hah, kenapa pula macam tu?” aku bertambah pelik.
“Tak tahulah abang. Ana carilah sendiri kenapa.” Senang jawapan balas dari abang Joe.
“Sejak bila encik Afdhal mula berdiri kat situ?” lagi aku ajukan soalan. Bukan sudah bersedia,  rela menerima tugas untuk membantu encik Afdhal. Semua pertanyaanku itu sekadar  ingin tahu.
“Lama dah, sejak tahun lepas.” Jelas abang Joe.  “Pasal baju pula, untuk pengetahuan Ana, dah bertahun-tahun Afdhal cuma pakai baju warna hitam. Tak ada warna lain.”
“Kenapa pula?”
“Entahlah, Ana. Susah abang nak cakap. Tapi yang abang tahu, Dia memang tak ada baju colour lain. Semua hitam.”
“Encik Afdhal tu ada joint Black Metal kut?” aku buat andaian. Mana tidaknya, setahu aku hanya golongan Black Metal saja setia dengan warna hitam ni.
“Ish, merepek aje Ana ni. Mana ada. Abang kenal Afdhal tu dari kecil lagi tau. Semua yang dia buat, semua abang tahu.” Abang Joe tidak membenarkan kata-kataku. “Dahlah, jom.” Kini abang Joe kembali melangkah.
Kalau bukan Black Metal, habis tu apa? Bebelku sendiri sambil mata terus memerhati pada encik Afdhal yang masih begitu statik! Ketika abang Joe sampai di Arena Printing, aku baru mula menambah langkah untuk sampai ke tempat yang sama.
Aku perhatikan abang joe hanya membiarkan encik Afdhal begitu. Sikitpun abang Joe tidak menegur encik Afdhal. Dia terus masuk ke dalam tanpa memandang encik Afdhal sekalipun. Kedua-dua lelaki itu memeningkan kepala.
Saja aku memperlahankan langkah. Mahu memerhati tindakan lanjut encik Afdhal. Apa agaknya yang membuatkan dia setia berdiri di situ? Kalau difikirkan berulang kali, takut nanti aku pula yang mengalami tekanan. Baik aku dapatkan jawapan.
Sesekali, encik Afdhal mengeluarkan kepalanya daripada halangan surat khabar. Seolah dia mencari sesuatu. Aku soroti pandangannya itu. Langsung aku tidak temui apa-apa yang menarik. Sah gila ni! Kesian, gila pada usia muda! Jadi aku kembali melajukan langkah kaki. Ada baik ikut saja cara abang Joe tadi. Jangan hiraukan encik Afdhal.
SELESAI mengambil wuduk, aku kembali menyarung tudung. Mahu segera ke ruangan solat. Nampaknya akulah orang pertama yang akan menggunakan ruang solat itu. Ini bermakna, akulah yang bakal merasmikannya. Aku tersenyum sendiri sambil berjalan. Alhamdulillah. Mudah sikit nak solat.
            Sementara menunggu waktu zuhur masuk, aku duduk di atas sejadah yang aku bawa dari rumah Pak Lang. Zikirullah membasahi lidah. Hati jadi tenang dengannya. Harap amalan kecil itu dapat membantu di akhirat kelak.
            “Hoi!”
            Aku mengankat wajah apabil suara yang berteriak itu seperti tertuju padaku. Encik Afdhal! Alamak, apa pula yang dia nak ni? Ada sedikit getar dalam hati. Terus aku bangun “Ya, encik Afdhal?”
            “Jangan ingat kau dah settle kan semua, kau boleh sembahyang sesuka hati kau.” Jerkah encik Afdhal tiba-tiba.
            “Kenapa ni, encik Afdhal?”
            “Kau dengar sini baik-baik. Kalau kau nak sembahyang, itu kau punya pasal. Yang aku tahu, aku tak nak tengok ada orang sembahyang depan mata aku. Faham!”
            Aku terdiam. Arahan jenis apakah ini? Tengok orang sembahyang pun tak boleh? Ini dah kategori gangguan jiwa tahap kritikal! Jadi aku hanya mendiamkan diri. Tidak ada guna bercakap dengan orang yang sudah terganggu emosi. Mungkin dia sendiri tidak sedar apa yang diperkatakannya.   
            “Tak habis-habis sembahyang, dia sembahyang, semua nak sembahyang. Pening kepala akulah...”
            Kata-kata itu dibicarakan oleh encik Afdhal sambil berjalan pergi. Samar-samar ianya kedengaran. Dan aku pasti banyak lagi yang dibebelkan encik Afdhal kerana aku masih mampu mendengar bunyi percakapannya. Cuma tidak jelas perkataannya.
Aku gelenggekan kepala. Ada terkesan di hati. Apa yang menyebabkan encik Afdhal jadi begitu? Ada kalanya dia kelihatan elok-elok saja. Namun sampai satu ketika pula, tingkah lakunya berubah sama sekali. Mengapa? Perlukah aku cari jawapannya? Patutkan aku menunaikan janji untuk membantu encik Afdhal? Aku tidak dapat membuat keputusan pada ketika ini.

MAKAN malam hari ini begitu istimewa. Kerana apa? Sudah pasti kerana abang Naim ada bersama. Bukan senang nak dapat duduk macam ni. Pak Lang, Mak Lang, Abang Naim dan aku. Memang macam sebuah keluarga bahagia. One happy family at home!
            Abang Naim mengetuai bacaan doa seperti arahan Pak Lang. Itu menjadikan abang Naim nampak  cukup berkarisma sebagai ketua keluarga. Alangkah bahagianya kalau abang Naim punya rasa yang sama, seperti yang aku rasa. Dengan itu aku akan jadi manusia yang paling bahagia dalam dunia.
            “Macam mana kerja hari ni, Naim?” Pak Lang bertanya.
            “Alhamdulillah, ayah. Semuanya okay.” Balas abang Naim.
            “Okay? Habis tu kenapa muka Naim nampak macam tak okay aje?” Pak Lang seolah dapat membaca riak wajah abang Naim.
            Abang Naim diam. Setelah dia meneguk air baru abang Naim menjawab. “Tak ada apalah, ayah. Naim cuma rasa tak sedap aje. Sebab sekarang Naim banyak kena pegang kes cubaan membunuh diri.”
            “Astagfirullahalazim... kenapa jadi sampai macam tu?”
            “Biasalah, ayah. Gangguan emosi ni, bukan benda main-main. Kalau yang memang nampak dari luaran tu, senang sikit nak rawat. Tapi yang menjadi masalahnya bila simpan sendiri. Simpan sampai satu tahap, dah tak boleh tahan terus aje nak bunuh diri.”
            Pak Lang dan Mak Lang menggeleng. Tidak henti lafaz istigfar dari mulut mereka.
            “Banyak sangat ke kes macam tu, Naim?” soal Mak Lang pula.
            “Taklah banyak macam dekat negara-negara luar tu, Umi. Mungkin sebab majoriti kita orang Islam. Cuma sekarang ni, bunuh diri ni, dah macam jadi trend pula. Putus cinta bunuh diri, gagal exam pun nak bunuh diri. Macam-macamlah, umi. Itu yang kita orang tengah buat kajian. Kalau dibiarkan, makin parah jadinya.” Terang abang Naim panjang lebar.
            Saat ini aku aku teringatkan encik Afdhal. Entah, kenapa lelaki itu selalu saja muncul dalam kotak fikiran sejak dari pagi tadi. Rasa kesal pula sebab mendesak abang Joe sehingga abang Joe menceritakan semuanya. Nasi yang masih banyak dalam pinggan sudah tidak tertelan.
Kata-kata abang Naim tadi seakan merentap jiwa. Encik Afdhal tu, sudahlah duduk di atas bumbung. Kalaulah dia bunuh diri malam ni, aku pasti akan rasa berdosa. Berdosa kerana tidak membantu walaupun mengetahui. Ish, Nauzubillah... jauhkanlah encik Afdhal daripada melakukan semua kerja bodoh itu. Sia-sia hidup di dunia kalau akhirnya ke neraka!
“Ana...”
“Hah!” aku tersentak apabila terdengar namaku disebut.
“Jauh mengelamun. Ana okay?” abang Naim memandang tepat.
“Okay...” aku tunjukkan senyuman.
“Kenapa tak makan?”
“Eh, tak ada apa-apa. Nak makanlah ni.” Terpaksa juga aku menyuap nasi masuk ke dalam mulut walaupun tekak sudah menolak sejak tadi.
“Ana kalau ada apa-apa, bagi tahu abang. Jangan simpan sendiri. Abang tak sanggup nak handle kes Ana, tau.”  
Peringatan yang abang Naim berikan itu membuatkan aku rasa disayangi. Terima kasih abang Naim.
“Dahlah, Naim. Tak payahlah bercerita pasal kerja kat rumah ni. Kita bercerita pasal keluarga lagi bagus.” Mak Lang membuat permintaan.
“Pasal keluarga? Apa lagi yang tak kena pasal keluarga kita ni?” Soal Pak Lang sambil mencuci tangannya.
“Bukan tak kena bang haji. Naim ni ha, nak juga saya tahu bila dia nak kahwin?” Mak Lang bersungguh.
“Nak kahwin macam mana Umi. Ana kan tengah belajar lagi.” Abang Naim menjawab laju.
“Apa pula kena mengena dengan Ana? Naim nak kahwin dengan Ana, ke?” soal Umi penuh terkejut.
“Masa kecil-kecil dulu, Ana ada cakap dengan Naim yang Ana nak kahwin dengan Naim, Umi. Ini yang Naim nak tuntut janji.”
Aku tersedak mendengar kata-kata itu. Mak Lang segera menepuk belakangku. Pasti merah wajahku saat ini. Abang Naim seronok ketawa.
“Kamu ni, Naim. Dari kecil, sampai besar... tak sudah-sudah mengusik Ana.” Marah Pak Lang.
Abang Naim masih dengan tawanya. “Siapa suruh Ana janji dulu, ayah. Naim ingatkan aje.”
Kalaulah aku boleh terbang, dah lama aku terbang tinggi. Malunya. Betul ke, aku buat janji sebegitu waktu kecil dulu? Aku tak ingat. Namun ianya tidak mustahil. Kan pada kecil aku memang kagum dan sukakan abang Naim.
“Naim...” Mak Lang turut memberi amaran pada anak lelakinya.
Aku  tunduk sendiri. Mujur batuk yang keluar tidak lama mana. Segera aku basuh tangan, dan mengangkat pingganku ke dapur tanpa sebarang kata. Malu punya pasal. Tapi dalam diam, ada bahagia sedang membuat sarang di hati. Kalau betul aku pernah berjanji begitu, sudah pasti aku akan tunaikannya. Abang Naim!  

Bersambung....

KATA AH :
Assalamualaikum. Salam Sejahtera. Kali ini AH postkan entry JJC 4 lebih awal. Semoga semua sukakannya. Terima kasih atas sokongan Semua. 
P/S : AH dapat makluman drpd penerbit Mungkin Novel Saat Ada Cinta akan ada di pasaran bulan Jun atau Julai nanti. Sama2 Kita tunggu ya.. :)

7 comments:

shahida sahimi said...

publisher mn.. xsbr nk tau kesudahan citer zul n su..

Adah Hamidah said...

Insya'Allah, untuk SAC dgn Fajar Pakeer. Terima kasih. Sama2 kita tunggu ya.

Adah Hamidah said...
This comment has been removed by the author.
Ipan said...

Wah..baguslah Adah. Senang akak beli. Saat ada cinta pun akak tengah tunggu jugak, kalau sudah keluar jangan lupa inform. Novel Jangan Jatuh Cinta ni terbitkan jugak tau.Tak sabar nak tunggu endingnya macam mana.Teruskan usaha untuk menulis sampai habis.Akak dah beli 3 novel Adah.
Good Luck

hani said...

Best....tak sabar nak n3 ..SAC ~ harap2 jun dterbitkn

Afifah Yusof said...

Bestnya cerita ni. Lain dari lain. Apa kena dengan en Afdhal ni? apa menyebabkan dia ada sakit mental? menarik dan tertarik nak tahu lebih lanjut. terima kasih kak Adah. :)

Unknown said...

sweettttt

Post a Comment