Tuesday, March 22, 2011

JAUH DARI CINTA - BAB 12


DUA BELAS
Lama aku duduk termenung di dalam kereta sebelum memulakan perjalanan. Sebenarnya hatiku berbelah bagi dengan keputusanku itu walaupun sejak awal pagi lagi hati begitu bersemangat menunggu petang tiba. Semuanya gara-gara rasa tidak sabar untuk bertemu Aqil dan ingin mengetahui rancangan yang telah diaturnya. Akhirnya pantas kereta aku gerakkan menyusuri jalan raya, menuju ke Hospital Ampang Puteri walaupun ada rasa tidak senang dalam jiwa. Terfikir juga, tidakkah kehadiranku nanti bakal mengganggu masa dan ruangnya?  Tidak! Pasti tidak kerana aku bertemu dengannya atas permintaan dirinya sendiri. Bukan aku yang sengaja mengatur pertemuan itu.  Apa yang perlu aku lakukan hanyalah berhati-hati dengan setiap kataku dan sentiasa beringat kedudukan aku di sisinya. Itu saja!
Aku hanya duduk di dalam kereta sebaik sahaja tiba di tempat meletakkan kenderaan. Biarlah aku sekadar menunggu Aqil di situ sementara dia menghabiskan saki baki tugasnya untuk hari ini. Hampir dua puluh minit menunggu di dalam kereta bertemankan alunan irama lagu yang keluar daripada corong-corong radio, telefon bimbitku berbunyi lantang. Tertera nama Aqil pada skrin telefon bimbitku itu. Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum mula menjawab panggilan itu. Suara Aqil memberi salam cukup jelas kedengaran dan aku dengan segera menjawab salam yang dihulurkan.
“Nysa, abang rasa Nysa tak payah datang tempat kerja abanglah hari ini. Abang rasa tak sempatlah.”
            Terdiam aku seketika mendengarkan tujuannya menghubungiku. Aku sangkakan dia akan bertanyakan tentang kedudukanku pada saat ini memandangkan jika mengikut kiraan, sepatutnya aku sudah tiba dua puluh minit yang lalu. Rupa-rupanya dia ingin membatalkan temujanji yang diatur olehnya sendiri. Mula ada rasa kecewa bersarang dalam diri.
            “Nysa... Nysa dengar ke tak ni?” Aqil bersuara lagi.
            “Ya... Nysa dengar!” Balasku segera. Tidak sedar sudah berapa lama aku mengelamun sendirian.
            “Nysa kat mana ni? Dah sampai ke?” Aqil masih bertanya.
            “Erm... belum! Sebenarnya Nysa pun baru aje nak call abang, bagi tahu yang Nysa pun tak dapat datang tempat kerja abang sebab Nysa ada kelas ganti. So, kena balik lambat.” Bohongku terpaksa. Tidak mahu timbul rasa bersalah di hatinya mahupun menampakkan betapa aku begitu teruja apabila ada saja peluang masa untuk diluangkan bersamanya. 
            “Oh ya ke? Baguslah kalau macam tu. Okeylah Nysa.” Aqil terus mematikan talian. 
            Tanpa sedar, ada keluhan panjang yang keluar dari bibirku. Terasa seperti aku dipermainkan oleh Aqil. Dia yang membuat janji, dan dengan mudah saja dia mengikar janji itu. Aku benar-benar terasa seperti orang bodoh. Membuang masa menunggu dirinya kemudian terpaksa pulang begitu saja. Bukankah itu sia-sia namanya? Tidak mengapalah. Mungkin itu memang sudah takdirnya. Aku pujuk hatiku sendiri. Redha akan takdir itu, aku segera menghidupkan kembali enjin kereta untuk bergerak pulang.
Baru saja keretaku mahu membelok keluar daripada kotak pakir, terdengar kuat bunyi hon kereta di belakang mengeluarkan isyarat agar aku memberhentikan kereta serta-merta. Segera aku tekan break kenderaan. Jantungku berdegup laju. Sedikit saja lagi mahu berlanggar dengan kereta yang langsung tidak dapat aku lihat  daripada mana datangnya. Aku beristigfar panjang. Itulah padahnya memandu tanpa perhatian. Fikiran asyik menerewang memikirkan Aqil.
Aku yang masih terkejut dengan kejadian itu hanya mampu duduk terdiam di dalam keretaku. Sudahnya, pemandu kenderaan yang sikit lagi mahu menghentam pintu hadapan keretaku itu turun daripada keretanya. Dia kemudian berjalan pantas menghampiri keretaku. Lelaki berkemeja putih itu mengetuk cermin tingkap keretaku.
Are you okay?” Soal lelaki itu sebaik sahaja cermin tingkap aku buka.
“Saya okey. Maaf ya encik, saya tak perasan!” aku mengangkat wajah. Memohon maaf atas kecuaianku.
“Hei, you ni wife Doktor Aqil kan?” Lelaki itu tersenyum.
Aku tersentak. Bagaimana lelaki itu boleh mengenaliku? Tertanya-tanya dalam hati. Pernahkah aku bertemu dengannya sebelum ini? Ligat fikiran mendapatkan jawapan.
You tak perasan I ke? I ada datang majlis kahwin you tempoh hari.” Lelaki itu memberikan penjelasan lanjut bagaimana dia boleh mengenaliku.
“Oh... Sorry. Saya tak perasan.” sekali lagi aku memohon maaf. Sememangnya aku langsung tidak perasan akan lelaki itu. Mana tidaknya ramai sungguh rakan setugas Aqil yang datang ke majlis perkahwinan kami dahulu.
It’s okay. So, you datang ni nak jumpa your husbandlah?” 
Soalan yang dikemukakan oleh lelaki yang langsung tidak aku tahu namanya itu telah membuatkan aku mati kutu. Apa jawapan yang harus aku berikan untuk soalan itu? Perlukah aku mengiakannya atau cukup sekadar menggeleng sahaja?  Akhirnya persoalan-persoalan yang memang tidak mampu aku jawab itu mati begitu sahaja apabila bunyi hon sebuah lagi kenderaan yang menanti di belakang kereta kawan Aqil berbunyi lantang. Aku menarik nafas lega kerana aku tahu, aku tidak perlu lagi menjawab soalan itu.
I have to go. See u later yeah!” Lelaki itu terus saja berlari-lari anak mendapatkan keretanya. Dia mengundurkan sedikit keretanya, membenarkan keretaku bergerak terlebih dahulu.
Kini aku memandu pantas menuju ke destinasi yang aku sendiri tidak pasti. Mana mungkin aku boleh pulang ke rumah saat ini sedangkan aku sudah memaklumkan pada Aqil aku akan pulang lewat pada hari ini. Kalau aku pulang saat ini dan Aqil sudah tiba di rumah, pasti hal lain pula yang akan difikirkan Aqil. Sudahnya aku kembali ke universiti, itu saja tempat yang paling sesuai dan selamat untuk dikunjungi.
Sampai sahaja di universiti aku melangkah longlai menuju ke bilk pensyarah. Sebaik saja tiba, aku tolak pintu bilik itu perlahan. Aku pasang semua suis lampu yang bukan sahaja akan memberikan pencahayaan jelas pada tempat dudukku, malah juga pada ruang-ruang lain. Aku tidak sanggup bergelap.  Aku duduk di tempatku kemudian memandang kosong buku-buku tebal yang bertingkat-tingkat susunannya. Tidak tahu apa yang perlu aku lakukan saat itu, lantas aku berkeputusan sekadar merebahkan kepala di atas meja beralaskan lengan sementara menunggu masa berjalan.
Aku terjaga ketika telefonku menjerit, meminta perhatian. Beberapa anggota tubuh mula terasa sakit. Aku segera mengeluarkan telefon bimbitku yang duduknya dalam tas tangan dan terus saja menjawab panggilan yang sudah lama minta dijawab.
“Nysa kat mana ni?”
Suara itu membuatkan mataku kembali segar. Aqil!
“Dekat Universiti lagi,” Balasku.
“Tahu tak sekarang dah pukul berapa?”
Aku terus memandang jam yang aku letakkan di sisi mejaku. Terbeliak mataku memelihatkan waktu pada ketika itu. Sudah hampir pukul sebelas malam. Tidak sangka terlena begitu lama di situ.
“Nysa tertidur.” aku jelaskan faktor kelewatanku untuk pulang ke rumah.
“Balik cepat. Abang tak makan lagi ni!” Talian dimatikan Aqil.
Tanpa berlengah lagi, aku segera menyangkut beg tanganku di bahu kemudian berjalan keluar daripada bilik pensyarah dan terus menuju ke tempat meletakkan kenderaan. Suasana gelap membuatkan ada rasa gentar di hatiku. Ya, aku amat takut berada di dalam kawasan yang gelap selain di tempat yang tinggi. Kedua-dua situasi ini boleh membuatkan jantungku berlari kencang, sekencang angin monsun timur laut. Jadi dengan segera aku beredar.

AQIL sedang duduk di atas sofa sambil menonton televisyen sewaktu aku melangkah masuk ke dalam rumah. Salam aku hulurkan. Aqil memandangku sekilas, menjawab perlahan salam yang aku berikan sebentar tadi.
            “Abang Aqil dah makan?” Soalku sambil berjalan menghampiri sofa. Hati amat berharap Aqil sudah pun menjamu selera.
            “Belum!” Jawab Aqil ringkas sambil mata masih tekun memandang kaca televisyen.
            Aku tertunduk lemah. Ada rasa bersalah dalam jiwa. Gara-gara kelewatanku, Aqil terpaksa berlapar hingga ke saat ini.
            “Nak makan apa? Nysa masakan sekarang.” aku membuat tawaran. Cuba sedaya upaya membuang rasa bersalah yang bertandang tiba-tiba.
            “Tak penat ke?” kali ini barulah mata Aqil singgah di wajahku.
            “Nysa penat macam mana sekalipun, perut Abang Aqil masih tetap kena isi. Abang Aqil tu doktor, kalau doktor jatuh sakit, siapa pula yang nak rawat pesakit-pesakit kat hospital tu?” aku memberikan senyuman pada Aqil, kemudian segera mengatur langkah ke ruang dapur.
            “Nysa!” Aqil menarik tanganku, membuatkan langkahku terhenti. Dia bangun daripada duduknya. Mengikat pandangan mata aku dengan matanya menjadi satu. Jantungku bergoncang hebat saat itu.
            “Kenapa Nysa tak terus terang?” Suara Aqil perlahan, namun masih tetap jelas kedengaran di telingaku.
            “Terus terang? Abang Aqil cakap apa ni?” aku tidak mengerti.
            “Kenapa Nysa tak terus terang yang Nysa dah sampai tempat kerja abang petang tadi? Kenapa setiap masa Nysa nak buat abang rasa selesa?”
            Aku tundukkan wajah. Apa lagi yang boleh aku lakukaan saat itu. Pasti kawan Aqil yang telah memaklumkan kehadiranku di hospital itu petang tadi. Nampaknya seperti rancanganku untuk merahsiakan ketibaanku tidak berjaya.
            “Nysa selalu tolak kepentingan Nysa untuk buat abang senyum, kenapa?” Aqil masih mahukan jawapan, sedangkan aku tidak tahu apa yang harus aku balas.
            “Kenapa Nysa nak sangat bahagiakan abang sedangkan abang tak pernah nak jaga hati Nysa?” Aqil masih terus dengan soalan-soalannya.
            Aku terus mendiamkan diri. Tidak berani mengangkat wajah apatah lagi menyusun sebarang kata. Takut titisan air mata menitis lagi di hadapan Aqil. Aku tidak mahu kelihatan lemah di hadapannya. Aku juga tidak mahu tangisanku nanti bakal menyeret rasa simpati di hatinya buatku.
            “Nysa yang buat abang fikir sampai sejauh ni, jadi tolong jawab soalan abang. Abang tak akan lepaskan tangan Nysa selagi Nysa tak jawab semua soalan abang.”
            Kata-kata itu perlahan-lahan membuat aku memberanikan diri, mengangkat pandanganku. Jiwaku terlalu lemah untuk terus melihat tangannya menggenggam erat tanganku. Takut rasa cinta buat dirinya makin mekar. Jadi soalan yang diberikan itu harus aku sertakan jawapannya.
            “Nysa tak terus terang yang Nysa dah sampai kat tempat kerja abang sebab... Nysa tak nak menganggu. Kan Nysa dah janji Nysa tak nak ganggu Abang Aqil. Abang Aqil pun pernah ingatkan Nysa benda yang samakan? Takkan Abang Aqil lupa?” aku mula menjawab mengikut apa sahaja yang tertulis di hati saat ini.
            “Memang Nysa selalu cuba buat Abang Aqil rasa selesa bila Nysa ada, berusaha buat Abang Aqil tersenyum. Memang Nysa tak pernah putus asa nak buat Abang Aqil rasa bahagia. Abang Aqil tak perlu tanya kenapa, sebab Nysa tak pernah berjaya buat semua tu. Abang Aqil tak pernah rasa selesa pun dengan kewujudan Nysa, Abang Aqil tak pernah tersenyum bila Nysa ada depan mata, dan Abang Aqil tak pernah pun rasa bahagia.”  sebaik sahaja jawapan itu aku tuturkan, Aqil melepaskan genggaman tangannya.
            “Jadi... memang abanglah yang patut dipersalahkan!” Aqil memalingkan sedikit wajahnya. Kemudian dia menghela nafas panjang. Kerut pada dahinya yang jelas kelihatan meletakkan aku dalam dilema. Haruskah aku ubah semua kata-kataku tadi agar hilang perasaan itu dalam dirinya? Aku mula berkira-kira, cuba berkompromi dengan keadaan. Haruskah itu aku lakukan?
            “Abang Aqil nikan... Nysa gurau ajelah. Itu pun nak ambil serius.” Aku tepuk kedua-dua tanganku perlahan di hadapan muka Aqil. Menghentikan lamunannya. Kemudian aku gelak. Seolah-olah sedang mempermainkan dirinya. Aqil segera kembali menoleh ke arahku dengan riak wajah seribu pertanyaan.
            “Dalam banyak-soalan yang Abang Aqil bagi tadi. Satu aje soalan yang kena tepat dengan Nysa.” Aku mula menggulung soalan-soalan yang ditaburkannya tadi menjadi satu soalan ringkas yang tidak perlu aku terangkan semua jawapannya secara jujur. “Memang Nysa sedaya upaya nak buat Abang Aqil senyum. Abang Aqil nak tahu kenapa?” giliran aku pula mengajukan soalan buat dirinya. Aku mengangkatkan kening menanti jawapan darinya. Namun, Aqil masih mendiamkan diri membuatkan aku menyambung kata.
            “Sebab... Abang Aqil ni tak tahu nak senyum langsung! Abang Aqil dah lupa ke macam mana caranya nak senyum?” lagi soalan daripadaku. “Abang Aqil tahu tak, betapa powernya senyuman Abang Aqil? Nysa yakin, bila tengok aje senyuman Abang Aqil, semua pesakit kat hospital tu boleh sembuh secara automatik!” aku gelak lagi. Cuba menimbulkan suasana ceria.
            “Sebab itulah Nysa nak buat Abang Aqil senyum.” aku masih meneruskan bicara. “Lagipun, Nysa rindulah pada abang angkat Nysa masa kat univerisiti dulu. Nama dia sama dengan nama Abang Aqil, tinggi dia sama, rupa dia pun sama dengan Abang Aqil. Bezanya, dia selalu buat Nysa tersenyum! Bukan macam Abang Aqil, asyik nak cari gaduh dengan Nysa aje!” aku menjeling Aqil. Pura-pura merajuk.
            Aqil ketawa juga akhirnya apabila mendengar semua kata-kataku itu. Buat pertama kali sejak bergelar isterinya, aku dapat melihat senyuman bahagia yang terukir di bibir Aqil. Tidak aku sangka hanya dengan kata-kata yang aku reka untuk menyedapkan hatinya itu mampu membuatkan dia kembali ceria. Terasa seperti Farish Aqil yang aku kenal suatu masa dahulu, yang selalu mengutamakan gelak tawaku telah muncul semula.
            “Hah, boleh pun senyum... tahupun cara nak gelak! Macam itulah Nysa nak!” aku sambung lagi.
            “Sekarang, Abang Aqil pergi masuk bilik dulu, berehat. Nanti lepas siap masak, Nysa kejutkan Abang Aqil.” seberapa segera aku mahu Aqil berlalu daripada situ. Hatiku kian sebak dengan lakonan yang bertentangan dengan perasaan hatiku sendiri. Aqil pula masih dalam senyumnya, seolah-olah sudah lupa mahu menghentikan senyumannya itu.
            “Terima kasih Nysa!”
“Tak payahlah nak ucap terima kasih kat Nysa, Nysa bukan ada buat apa-apapun. Dah... dah... pergi masuk rehat.” Aku menolak Aqil sebelum dia sendiri melangkah masuk ke dalam biliknya yang jaraknya hanya beberapa langkah dari ruang tamu.
            Sebaik sahaja Aqil menutup rapat pintu biliknya, aku mematikan senyuman yang sedari tadi bertahan. Aku berjalan terus menuju ke dapur dan sebaik sahaja tiba di situ, aku jatuh terjelepuk di atas lantai. Longlai dan lemah semua anggota badan. Lalu titis-titis air mata mula gugur. Ya Allah, utuskan aku sedikit kudrat untuk terus bertahan dalam diam. Jangan biarkan aku tewas dan tunduk mengalah dengan semua rasa kesakitan yang ada sebelum aku lihat dengan mataku sendiri Aqil mengukir kebahagiannya bersama Lily.

AQIL meletakkan sudu yang digunakannya ketika menikmati hidangan nasi goreng yang aku sediakan. Untuk malam ini, hanya hidangan itu yang sempat aku sediakan buat Aqil. Mujur Aqil tidak merungut tentangnya. Dia menjamu nasi goreng yang aku sediakan itu dengan penuh kenikmatan. Aku pula yang hanya jadi pemerhati dirinya sejak awal tadi dapat melihat senyuman manis terukir di bibirnya sekali sekala.
            “So, Nysa nak apa?” Aqil meletakkan gelas yang baru saja diteguknya itu kembali di atas meja.
            “Nak apa?” soalku  yang baru saja bersedia untuk bangun.
            “Abang buat satu kesalahan hari ni. Abang batalkan janji yang abang buat. Sebagai hukuman, Nysa boleh minta apa saja daripada abang. Itukan perjanjian kita, dah lupa?” 
            Aku kemudian tersenyum. Betul-betul terlupa pasal perjanjian yang pernah dibuat sewaktu kami bertunang dahulu. Peluang sudah sedia di depan mata, aku boleh minta apa-apa aje. Tapi kenapa terasa macam aku tidak perlukan apa-apa saat ini?
            “Boleh tangguhkan permintaan tak?”
            “Tidak sama sekali!” Aqil segera membantah.
            Jawapan itu sekaligus membuatkan aku terpaksa juga memikirkan satu permintaan. Jika tidak, rugi pula rasanya. Lantas fikiranku ligat menyelak keinginan-keinginan lama yang mungkin belum tertunai.
            “Nysa nak jadi doktor, gantikan Abang Aqil... boleh tak?” aku membuat permintaan yang mustahil untuk Aqil tunaikan. Sengaja meminta yang bukan-bukan memandangkan sememangnya aku langsung tidak mempunyai apa-apa hajat saat ini.
            “Janganlah main-main!” Aqil memberi amaran.
            “Yalah...” aku memandang sekeliling rumah itu, cuba mencari ilham. “Ha... Nysa nak Abang Aqil letak gambar Nysa kat meja sisi katil Abang Aqil, boleh?” Sekali lagi aku bermain, membuat pemintaan yang tidak masuk akal dengan harapan Aqil akan memberikan aku sedikit ruang masa, setidak-tidaknya sehari untuk aku fikirkan dengan sebaik-baiknya permintaan yang aku inginkan, daripada dia terus-terusan melayan permintaanku yang bukan-bukan itu.
Aqil merenung lama ruang biliknya yang dapat dilihat sedikit daripada meja makan. Lama pandangannya jatuh di situ. Pandangan yang sepertinya memperlihatkan sejalur resah. Lalu aku segera menepuk perlahan kedua belah tanganku di hadapan wajahnya semata-mata cuba membunuh rasa gusar yang dapat aku rasakan mula mengambil tempat di hatinya.
            “Abang Aqil nikan... tak habis-habis fikir yang bukan-bukan.” segera aku tarik kembali perhatian Aqil. “Nysa gurau ajelah. Lagipun, nak buat apa letak gambar Nysa kat situ. Tak ada faedah pun!” riak wajah yang Aqil tunjukkan membuatkan aku rasa kesal kerana membuat permintaan bodoh itu. Tak pasal-pasal, hilang melayang mood Aqil keranannya. “Nysa tak ada idea sebenarnya. Tak apalah, kira burn ajelah kali ni!” aku angkat bendera putih. Mengaku kalah.
            “Tengoklah esok, kalau sempat, abang pergi beli frame gambar. Nysa just bagi gambar Nysa kat abang. Nanti abang letak kat meja tu!” Aqil tiba-tiba membalas.
            “Tak payahlah Abang Aqil, Nysa main-main aje tadi. Tak ada niatpun.” Segera aku membantah rancangannya. Sememangnya aku langsung tidak  berniat untuk membuat permintaan itu. Semuanya terlintas dengan spontan dalam fikiranku lalu aku luahkan saja sekadar mengisi kata-kata.
            “Kan abang dah cakap dulu. Permintaan yang releven aje yang akan abang tunaikan. Permintaan Nysa, nak jadi doktor, memang tak mungkinlah. Jadi permintaan kedua lebih releven. So tak boleh tarik balik!” Aqil memberikan penerangan terperinci. “Ini satu pengajaran untuk Nysa. Next time, fikir betul-betul. Jangan main cakap aje apa yang terlintas kat fikiran.” Aqil memberikan pesanannya. Mungkin dia sendiri berat hati untuk menunaikan permintaan aku itu. “Abang masuk tidur dulu.” Aqil mula bangun. “Oh... lupa pula. Nysa pun kena tunaikan satu permintaan abang jugakan?” Aqil memandangku.
            “Kenapa pula? Nysa buat salah apa?” soalku, mendapatkan kepastian.
            “Nysa tukar warna cat dinding rumah ni sesuka hati tanpa permission abang, itu tak dikira sebagai satu kesalahan ke?” Aqil kembali menyoal.
            Aku melemparkan pandangan pada dinding rumah yang berwarna putih mutiara itu. Ternyata, memang aku bersalah! “Apa permintaan abang pula?” Entah kenapa aku dapat rasakan bahawa Aqil sudahpun ada permintaannya yang tersendiri.
            “Tolong kekal jadi adik abang sampai bila-bila. Abang betul-betul selesa dengan keadaan macam ni.” Aqil menyatakan permintaannya dengan tenang setelah agak lama membisu dan membuatkan aku tertunggu-tunggu.
            “Abang Aqil boleh anggap yang permintaan abang Aqil tu dah tertunai sepenuhnya sebab memang Nysa hanya akan kekal sebagai adik Abang Aqil sepanjang hayat Nysa. Abang Aqil jangan risau pasal hal tu lagi. Semua dah cukup jelas.” Aku hamparkan senyuman kecil. Memperlihatkan betapa kecilnya permintaan Aqil itu seolah-olah aku tidak mempunyai sedikit pun masalah untuk menunaikannya. Padahal hanya hati yang tahu betapa pedih dan sakitnya mengusung derita itu.
            Good. Lega hati abang!” Aqil tersenyum girang, barisan gigi putihnya jelas kelihatan. “Abang masuk tidur dululah, see you tomorrow and have a nice dream.” Aqil tersenyum lagi. Menambah parah dalam hatiku.

          Bersambung...

3 comments:

sharewalking said...

rasa xadil nye seorang suami buat isteri dia cm2..
sekali lelaki ilang wanita cm2..spai bila2 dia xakan dpt..
aqil umpama dah ceraikan isterinya sblm lafaz cerai dilafazkan..
kan lebih ptt 'adik'nya,dilepas supaya 'adik' nya bahagia..tu kan tugas seorang 'abang'..
alahai~
hope jgn ending cm fairy tale lor..huhuuhu

Anonymous said...

yeah setuju dengan pendapat sharewalking. Sangat tidak patut Nisa dilayan macam tu. Aqil was so mean~

Anonymous said...

cerita ni ada persamaan(kebetulan) dgn diri ni,terguris hati ni.... sangat faham perasaan nissa....sebiji...seumpama lilin menerangi....heehee...sabar aje..la ubatnya.tq adah

Post a Comment