SEMBILAN
Majlis sambut menantu di rumah orang tua Aqil berlangsung dengan meriahnya. Rombongan keluargaku beserta Aqil tiba selepas solat zuhur. Persalinan berwarna biru muda dan putih menjadi pilihan Aqil atau mungkin juga itu merupakan pilihan emaknya sendiri memandangkan satu-satunya warna yang menjadi kegemaran Aqil ialah ungu. Aku tahu mengapa Aqil begitu teruja dengan warna itu, tidak lain dan tidak bukan… semuanya kerana Lily. Ungu juga merupakan warna kegemaran Lily. Ini bermakna mereka berdua berkongsi warna kesukaan yang sama, sedangkan aku? Tidak ada satu pun perkara yang aku sukai dapat disamakan dengan kesukaan Aqil.
Letih juga bibirku mengukir senyuman bahagia yang penuh dengan kepalsuan. Pastinya Aqil juga begitu. Entah sampai bila aku harus terus melakonkan watak seorang wanita yang bahagia di samping suaminya sedangkan aku hanya melihat rona-rona gelap dalam rumahtangga kami. Kini aku sudah mula menghitung hari, mendamba detik-detik yang bisa memisahkan aku dengannya kerana aku tidak mahu sama sekali mejadi beban padanya. Jiwa menolak setiap kali suara hati menyatakan hasrat untuk berlalu pergi kerana hakikat yang sebenar-benarnya aku ingin kekal untuk hidup bersama-sama Aqil buat selama-lamanya. Namun apakan daya aku tidak berkemampuan untuk membunuh rasa cinta Aqil terhadap Lily.
Aku hanya duduk termanggu, mendengar butir perbualan emak Aqil yang juga kini emak mertuaku yang begitu asyik berbual bersama beberapa saudara yang hadir pada majlis itu setelah rombongan ahli keluargaku pulang. Aqil aku perhatikan sibuk melayan Shafiza. Saat itu, aku rasa umpama orang asing yang duduk menumpang di situ. Sepertinya tiada siapa yang ingin mempedulikanku.
Tetamu juga kian surut. Lantas aku ambil peluang itu untuk tidak lagi terus menunggu di bawah kanopi yang hanya mendatangkan kehangatan lebih-lebih lagi ketika mendengar derai tawa Aqil dan Shafiza memecah ruang suasana. Jika Aqil bersama denganku jangankan ketawa, senyum pun terlalu sukar untuk diperlihatkannya. Tapi, apabila bersama Shafiza, mudah-mudah saja bibirnya melaraskan senyuman dengan riang. Ternyata aku tidak pernah berjaya membawa geliung bahagia dalam hidupnya dan aku sedar tentang itu.
“Mak, Nysa masuk ke dalam dulu ya.” Aku yang sedari tadi duduk di sebelah emak mula bangkit dan meminta kebenaran untuk berlalu dari situ. Tiada apa yang akan aku dapat di situ melainkan menyaksikan skestsa ceria Aqil dan Shafiza. Benar ada bahang cemburu yang terasa, namun segera aku padam bahang itu dengan kesedaran diri bahawa cemburuku itu tidak membawa apa-apa makna dalam hidup Aqil. Emak kemudiannya mengangguk dan tersenyum, merelakan aku mengikut haluanku sendiri. Sebaik selesai bersalaman dengan tetamu yang duduk berbual bersama emak, aku segera meninggalkan mereka semua.
Dengan langkah yang lemah aku berjalan, mendaki anak tangga menuju ke bilik pengantin. Aku menolak perlahan pintu bilik Aqil yang sedikit terbuka. Rona ungu dalam bilik itu tiba-tiba sahaja membuatkan aku rimas dengannya. Rasa benci sekali dengan tona warna itu, walhal tiada apa pun salahnya. Kelopak bunga mawar yang disusun atur membentuk sekeping hati di atas katil pengantin menarik perhatianku. Penuh makna! Tapi untuk apa semua itu? Segera aku mengalihkan pandangan apabila dapat merasakan kepingan hati itu seolah-olah mentertawakan diriku dan cintaku. Seketika aku pejamkan mata sebelum pintu bilik aku tutup dengan rapat.
Aku berjalan terus menuju ke meja solek yang diperbuat daripada kayu kemudian duduk mendiamkan diri di situ. Tiba-tiba saja teringatkan kata Aqil tempoh hari bahawa kami akan berpindah dan duduk di rumah sendiri tiga hari selepas majlis sambut menantu selesai. Menurut Aqil, dia sudah pun menyediakan sebuah rumah untuk kami diami bersama. Aku mengeluh perlahan. Nampaknya aku hanya mempunyai sedikit saja masa untuk mencari sebanyak mungkin maklumat yang amat-amat aku perlukan. Tapi apa yang lebih merisaukanku ialah bagaimana harus aku menjalani kehidupan berdua dengannya dalam rumah itu? Dengan tanggungjawab yang harus aku galas sebagai isterinya, mampukah aku untuk terus menjauhkan diri seperti mana yang sedang aku lakukan kini?
“Yang duduk termenung seorang diri dalam bilik ni kenapa?”
Aku tersentak dengan suara yang berjaya memecah lamunanku. Segera aku menoleh pada Aqil yang kembali menutup rapat pintu bilik sebaik sahaja melangkah masuk. Aku langsung tidak membalas katanya kerana aku sendiri tidak ada jawapan untuk soalan yang Aqil ajukan. Jadi, langkah terbaik adalah mendiamkan diri.
“Shafiza dah nak balik tu, dia nak jumpa Nysa. Pergilah jumpa dia!” Aqil jelas bersuara, cuba memenuhi permintaan Shafiza.
“Kenapa pula nak jumpa Nysa?” Soalku terkejut dengan apa yang dinyatakan oleh Aqil sedangkan kami sudah pun bertemu muka sebaik sahaja Shafiza tiba di majlis itu sebentar tadi.
“Tak salahkan kalau dia nak jumpa Nysa! Yang Nysa nak marah ni kenapa?” Soal Aqil lagi.
“Bila masa pula Nysa marah?” Balasku tidak berpuas hati dengan tuduhan itu. Entah bila masa pula aku marah tentang hal itu.
“Kalau tak marah, kenapa Nysa nak persoal pasal Shafiza. Takkan dia nak jumpa Nysa pun jadi masalah besar?”
Aku mengeluh sendirian di dalam hati. Setiap kali berbicara, hanya kesalahanku yang terlihat jelas pada pandangan matanya. Rasa sakit hati mula membekam, menyebabkan rasa sendu mula hadir saat ini. Kalau sudah tidak ada cinta, mungkin itulah natijahnya. Dan aku? Seperti selalu hanya mampu membiarkan hatiku terus terguris luka.
“Sama ada Nysa cakap atau pun tak, Nysa tetap bersalah pada pandangan Abang Aqilkan?” Tajam padanganku merenung anak mata Aqil sebelum meninggalkan Aqil sendirian dalam bilik itu. Aku harus tunaikan permintaan Shafiza untuk bertemu denganku. Jika tidak, sudah pasti aku akan terus menjadi pada pandangan mata Aqil. Dan Shafiza, apa pula mahunya denganku?
Aku mengheret langkah kaki, mencari kelibat Shafiza di bawah kanopi. Namun bayang Shafiza langsung tidak kelihatan. Aku masih teruskan pencarian, tapi ternyata Shafiza memang sudah tidak ada di situ. Kemana pula dia menghilangkan dirinya padahal dia yang beria-ia mahu bertemu denganku.
“Tak payah cari lagi, Shafiza dah balik!”
Aku memejamkan mata sebaik sahaja mendengar suara itu. Geram dan marah mula terasa. Kata ingin berjumpa, tapi mengapa tiba-tiba saja pulang tanpa berjumpa terlebih dahulu? Aqil! Mana pula dia tahu bahawa Shafiza sudahpun pulang?
“Lain kali, belajar cara nak jaga hati orang lain.”
Perlahan Aqil bisikan itu di telingaku kemudian berjalan terus mendapatkan emak yang berada di muka pintu. Sekali lagi aku dipersalahkan dan aku sudah dapat menjangkakannya. Rasa seperti mahu saja aku memekik, menjerit sekuat-kuat hati, menyatakan pada dunia betapa remuknya hati dan perasaanku saat ini. Tapi seperti selalu aku hanya memendam rasa. Membiarkan Aqil terus-terusan mencarik-carik kasar hatiku ini.
SEJAK semalam aku hanya mendiamkan diri, sedikit pun tidak lagi mahu bersuara di hadapan Aqil. Bukan protes dengan tingkahnya, tapi padaku itu adalah yang sebaik-baiknya memandangkan suara dan kata-kataku hanya bisa menegangkan urat antara kami berdua. Sudah penat untuk membiarkan hatiku terus terluka. Mungkin nasihat Hadif ada benarnya, aku harus pandai menjaga hatiku sendiri agar Aqil tidak mudah-mudah mencederakannya.
Misi mendapatkan maklumat yang aku perlukan bermula sebaik sahaja Aqil dan ayahnya keluar bersenam pada petang itu. Aku pasti, lebih banyak usaha yang aku jalankan, lebih banyak maklumat yang akan dapat aku perolehi. Ia akan memudahkan tugasku kelak. Aku menarik kerusi meja solekku, membawanya menghampiri almari empat pintu itu. Tidak beberapa lama dahulu, aku telah bertemu dengan jawapan yang aku perlukan di atas almari itu dan kini aku yakin bahawa aku akan bertemu dengan lebih banyak petanda yang boleh membawa aku hampir kepada Lily.
Satu persatu kotak yang ada aku selongkar segera sebaik sahaja membawa kotak itu turun dari atas almari. Namun sepertinya tiada apa yang dapat aku jumpa. Aku berhenti daripada meneruskan pencarian. Cuba berfikir sejenak, kemana hilangnya semua kotak-kotak kecil dan hadiah-hadiah pemberianku dahulu sedangkan aku yakin, kotak itu adalah kotak yang sama, yang pernah aku geledah dahulu. Kini ketiga-tiga kotak yang ada di hadapan mataku hanyalah berisikan beberapa barang yang tidak ada kene mengena langsung dengan misiku. Nampak gayanya, Aqil telah bertindak terlebih dahulu mendahuluiku.
Kecewa kerana tiada apa yang berjaya aku temui, aku segera menutup kembali kotak-kotak hitam itu dan mengembalikan ke tempat asalnya. Aku mula mengeluh sendirian. Masa kian suntuk, namun satu pun maklumat tentang Lily masih belum dapat aku perolehi. Apakah yang perlu aku lakukan untuk mendapatkan informasi yang sangat-sangat aku perlukan itu? Fikiran ligat mencari jawapan.
MALAM menjelang lagi, menunjukkan wajah gelapnya. Mujur saja ada bintang-bintang yang sudi meminjamkan sinar bagi memperindahkan lagi wajah malam. Seperti selalu, aku hanya akan duduk termenung memandang bintang di awan melalui cermin tingkap bilik sementara menunggu Aqil tidur lena di katil. Dia sekali pun tidak pernah mempersoalkan tindakanku itu. Aku tahu pasti dia senang dengan tingkahku itu. setidak-tidaknya tidurnya tidak terganggu. Juga seperti malam-malam yang lalu, aku hanya akan meletakkan kepalaku di meja solek dan menumpang tidur di situ. Yang pastinya aku tidak akan selama-lamanya begitu kerana sudah aku putuskan untuk tinggal di bilik yang berasingan dengan dirinya sebaik sahaja kami melangkah ke rumah baru esok.
Mataku enggan lelap, masih memikirkan tentang Lily. Mengapa dia sanggup meninggalkan Aqil? Dan di mana dia berada pada ketika ini? Persoalan itulah yang tidak henti-henti mengganggu fikiranku. Kalau saja aku tahu di mana kedudukan Lily pada ketika ini, sudah pasti aku akan membawa cinta itu pulang kembali di hati Aqil. Maka dengan itu akan selesai semua beban yang menghimpit jiwa, dan aku pula akan terbang jauh, meninggalkan kisah cinta yang hanya mampu merenyukkan sanubari ini. Sudahnya aku bangun dari duduk berjalan keluar dari bilik sambil anak mataku tekun memerhati tidur lena Aqil.
Sebaik sahaja tiba di dapur aku menuangkan air kosong yang aku ambil dari peti sejuk ke dalam gelas. Kemudian aku bawa cawan itu bersamaku dan duduk di meja makan bulat yang ada di dapur kering itu. Lampu tidak aku nyalakan, dengan harapan ianya akan membawa lebih ketenangan dalam jiwaku. Dalam kegelapan itu masih sempat aku merenung gelas di genggamanku yang masih belum kuteguk airnya. Tekakku sedikit pun tidak merasa dahaga, hati dan perasaanku yang sebenarnya sedang dahagakan maklumat-maklumat Lily. Itu saja satu-satunya cara yang ada untuk mengembalikan kesemuanya kepada asal.
Apabila tiba-tiba lampu dapur terpasang terang, aku segera meneguk air ditangan. Berpura-pura kehausan. Wajah emak sedikit terkejut apabila melihat aku ada di situ. Senyuman aku lemparkan pada emak mertuaku itu.
“Nysa tak tidur lagi?” Soal emak yang masih kaku berdiri memandangku.
“Belum mak.” Jawabku jujur
“Kenapa tak tidur lagi? Dekat pukul 4 pagi dah ni!” Emak berjalan menghampiriku lalu menarik kerusi dan duduk menghadapku.
“Mata tak boleh lelap pula malam ni,” aku menundukkan wajah apabila memperkatakan itu. Rasa serba salah untuk memandang wajah emak mertuaku itu.
“Boleh mak tanya Nysa satu soalan?”
Aku kembali memandang wajah jernih emak. Dapat aku agak soalan yang bakal diutarakan padaku. Dia seorang ibu, mustahil dia tidak dapat melihat ombak derita yang sedang melatari perkahwinan ini. Aku dan Aqil langsung tidak sehaluan. Ketika dia muncul di dapur, aku segera berlalu meninggalkan ruang itu. Apabila aku tiba di ruang tamu dan dia ada di situ, dengan pantas juga aku mengalih langkah yang terang-terang cuba mengelak bertemu dengannya.
“Mak tengok, Nysa macam tak bahagia dengan perkahwinan ni, kenapa?” Emak mula memegang tanganku.
Aku meletakkan gelas yang sedari tadi aku genggam erat. Mencari sedikit kekuatan untuk menjelaskan keadaan. Aku akui, aku tidak bahagia dengan perkahwinan ini. Tapi itu semua berlaku kerana Aqil tidak pernah bahagia dengan ikatan ini. Maka, mana mungkin aku bahagia jika kebahagian Aqil tidak dapat aku lihat dengan mata, tidak dapat aku rasa dengan hati!
“Nysa hanya akan bahagia kalau abang Aqil bahagia.” Aku jawab lemah.
“Apa maksud Nysa?” Emak mengerutkan dahinya. Tidak pasti sama ada dia benar-benar tidak faham atau sengaja dia buat-buat tidak mengerti.
“Mak rapat tak dengan Abang Aqil?” soalan yang emak berikan tidak aku jawab, sebaliknya aku menggantikannya pertanyaan yang sangat aku perlukan jawapannya.
“Dah tentulah, Nysa. Aqil tukan satu-satunya anak yang mak ada. Apa saja yang berlaku dalam hidup dia, semuanya mak tahu. Selain ibu dia, mak ni dah boleh diumpamakan macam penasihat tetap dia tau. Dia tak pernah berahsia dengan mak.” Jelasnya dengan senyuman melebar.
Penjelasan yang diberikan oleh emak itu benar-benar melegakan hatiku. Nampaknya aku sudah bertemu dengan orang yang tepat untuk menceritakan semuanya kepadaku.
“Jadi, mak tahulah pasal Lily?” Soalku segera.
Tiba-tiba sahaja emak menutup senyumannya yang tadi jelas kelihatan. Genggaman tanganku juga dilepaskan.
“Mak naik tidur dululah, Nysa. Kita sembang esok ya.” Emak segera bangun dari duduknya. Ternyata dia sengaja mahu mengelak daripada menjawab soalanku itu.
Melihatkan itu, aku segera bangun dan berjalan pantas mendapatkan pergelangan tangan emak. “Mak, nanti dulu. Nysa betul-betul perlu tahu pasal Lily! Nysa cuma ada mak untuk ceritakan semuanya pada Nysa. Tolonglah mak!” Aku membuat rayuan. Aku perlu tahu semuanya.
Emak menoleh akhirnya. Namun tiada satu pun senyuman yang diperlihatkan padaku. Lama emak merenung mataku. Wajahnya seakan enggan berkongsi apa-apa tentang Lily denganku.
“Mak tak berminat nak bercerita pasal orang yang mak tak suka!” Emak masih berkeras hati lalu pergi juga meninggalkanku sendiri.
“Tapi, takkan mak tak berminat nak melihat abang Aqil bahagia? Abang Aqilkan satu-satunya anak yang mak ada!” Laungku dan aku yakin dia mendengarnya kerana langkah kakinya terhenti juga akhirnya ketika mendengar launganku itu.
SATU persatu babak kisah percintaan Aqil dan Lily menjengah telingaku. Dalam terpaksa, emak menceritakan semua yang diketahuinya. Kerana kasih sayangnya pada Aqil menggunung tinggi, maka dikongsikan juga kisah yang seakan tidak mahu dikenang lagi. Hatiku, remuk redam ketika mendengar saat-saat manis cinta Aqil dan Lily. Senyuman aku iringkan bersama sepanjang penceritaan emak bagi menutup jiwa yang lara. Aku tidak mahu emak rasa bersalah atasnya sedangkan aku yang beria-ia meminta agar dia membuka cerita. Kini telah aku tahu rentetan kisah cinta Aqil dan Lily, lantas luka lama berdarah kembali. Timbul rasa simpati pada Aqil. Takdir cintanya cukup indah digaris mula, tapi titik akhirnya disapa derita.
Kisah itu membawa aku hanyut untuk terus meletakkan diriku sebagai orang yang bertanggungjawab membawa Aqil pulang ke gerbang bahagia, sekaligus melenyapkan jalan derita yang selama ini ditanggung hebat dalam jiwanya. Apapun yang terjadi, Aqil akan tetap aku kembalikan pada Lily, kerana tiada insan lain yang layak bertakhta di sanubari Aqil melainkan Lily yang amat-amat dicintainya. Tentang perkahwinanku, sudah aku letakkannya pada tangga pasrah, semoga ia perlahan-lahan menuju terus ke pintu redha.
“Mak betul-betul terkejut bila Aqil kata pada mak, dia nak bawa Nysa pindah ke Decasa Bayu. Kalau Nysa nak tahu, penthouse tu sebenarnya Aqil nak hadiahkan pada Lily, sempena perkahwinan mereka. Berbulan-bulan lamanya Aqil ambil masa, deko sendiri setiap ruang dalam rumah tu semata-mata untuk Lily. Tapi tak sangka pula mak, dia orang berpisah. Sejak Aqil berpisah dengan Lily, Aqil dah tak pedulikan langsung rumah tu lagi. Bila mak tanya kenapa dia tak jual aje penthouse tu? Dia jawab, dia dah kehilangan Lily, jadi dia tak nak hilang pula kenangan yang dia cipta untuk Lily. Itu aje kenangan yang dia ada dengan Lily.”
Keterangan panjang lebar yang emak berikan menghentak kuat dadaku. Sungguh dalam kasih dan sayang Aqil buat Lily. Ini bermakna aku akan menumpang hidup di dalam kenangan Lily.
“Tapi Nysa tak payah risau. Itu semua kisah lama Aqil. Mak yakin Lily tak akan balik lagi ke Malaysia. Apa yang penting sekarang ni, Nysa isteri Aqil yang sah. Jangan susah hati lagi.” emak cuba menenangkanku, mungkin dia terlihat garis duka pada wajahku.
“Mak tahu kat mana Lily sekarang? Kan bagus kalau kita dapat cari Lily.” Aku nyatakan niat sebenar hatiku.
“Nysa!” emak terkejut.
“Nysa cuma nak abang Aqil bahagia.” balasku mengharap pengertian emak sepenuhnya.
AQIL mengambil beg baju yang yang ada pada tanganku dan aku pula hanya membiarkannya. Kemudian Aqil berjalan pantas menuju ke ruang luas bermamar kemas yang menempatkan lif utama. Hatiku langsung tidak rasa gembira dengan perpindahan ke rumah baru itu. Yang ada dalam hatiku saat ini ialah rasa kurang senang untuk tinggal berdua-duaan dengannya dalam mahligai cintanya bersama Lily. Bermacam-macam rasa mula menempatkan diri dalam ruang hati, tidak dapat aku luahkan dengan kata-kata.
Apabila lif tertutup rapat, Aqil menekan angka 20. Aku menarik nafas panjang. Tingkat 20? Hatiku bertambah tidak senang. Ya, aku takut pada ketinggian. Lalu aku pejamkan rapat mataku. Kepalaku mula rasa pusing di dalam lif itu.
“Kenapa ni?”
Aku kembali membuka mata apabila mendengar pertanyaan Aqil. Mata kuhalakan pada raut wajah Aqil. Buat seketika, mata kami bertentangan. Haruskah aku menjelaskan kepadanya mengapa tiba-tiba mata aku pejamkan? Akhirnya, hati tidak membenarkan aku menjelaskan apa-apa. Kalaupun aku bersedia untuk mengakui sebabnya, aku pasti dia juga tidak akan ambil peduli tentangnya. Jadi untuk apa aku kongsi tentang diriku ini dengannya. Pasti dia tidak berminat untuk mengetahuinya.
Kepala aku gelengkan, tidak menjawab pertanyaan itu dengan kata-kata sebaliknya hanya isyarat yang aku berikan, isyarat yang pasti dapat dia faham dengan jelas. Sejak menjadi isterinya, dapat aku kira patah perkataan yang keluar daripada mulutku ini. Bibirku menjadi berat untuk mengatur bicara. Risau kalau kata-kataku hanya menimbulkan rasa tidak senang di hatinya.
Semua beg besar yang dipegang, Aqil letakkan di atas koridor yang juga bermamar indah. Aqil kemudian memasukkan kunci sebelum memulas tombol berwarna gangsa itu. Sebaik sahaja pintu terbuka luas, aku terkesima melihat ruang rumah yang dapat dilihat dengan jelas dari luar pintu. Terpegun aku seketika di muka pintu. Hiasan dalaman yang cukup cantik dan kemas. Terlalu sukar untuk aku percaya bahawa itu semua adalah hasil kreativiti Aqil sendirian. Dalam rasa kagum itu, hatiku dicuit juga dengan rasa sebak. Ungu! Itulah tona warna yang menyelimuti dinding rumahnya. Ternyata semuanya untuk Lily!
“Yang tercegat kat depan pintu tu, kenapa? Masuklah.”
Suara Aqil mematikan lamunanku. Dia memeluk tubuhnya, berdiri tegak memandangku dari dalam rumah. Jadi dengan segera aku melangkah masuk ke dalam penthouse itu.
“Tak payahlah nak segan, inikan rumah kita.” suara Aqil berkumandang lagi.
“Rumah kita?” Sengaja aku mempersoalkannya. Aku ingin mendengar jawapan yang keluar daripada mulutnya memandangkan aku sudah pun tahu bahawa penthouse ini sebenarnya dibelikan khas untuk Lily.
“Iyalah, rumah kita. Kenapa, tak suka?”
“Kalau Nysa cakap, Nysa tak suka, Abang Aqil sanggup ke jual rumah ni dan beli rumah baru untuk Nysa?”
“Nonsense! Abang belum gila nak jual rumah ni. Rumah ni satu-satunya kenangan yang abang ada untuk Li....” Aqil tidak menghabiskan ayatnya itu. Kemudian dia menghela nafas panjang.
Aku pula tertunduk seketika sebelum melemparkan secebis senyuman buat dirinya. Memperlihatkan seolah-olah aku tidak merasa hati dengan kata-kata yang dapat aku habiskan sendiri, tanpa perlu memaksa Aqil menyambungnya. Entah kenapa dengan diriku ini, sudah pun aku tahu hakikat sebenar hati Aqil melalui emak. Jadi pengesahan apa lagi yang ingin aku dapatkan? Sudahnya, hatiku sendiri yang robek.
“Bilik Nysa yang mana satu?” aku menukar soalan, membuka topik baru sekaligus menutup ketat isu yang hanya menambahkan pedih di hatiku.
Aqil terdiam sebentar apabila mendengar soalanku sambil merenung anak mataku. “Pilihlah mana-mana bilik yang Nysa suka. Abang nak keluar kejap, nah ambil kunci ni, simpan.” sebaik sahaja Aqil menyerahkan kunci, Aqil terus berlalu pergi.
Aku memandang lama kunci yang Aqil letakkan di atas tapak tanganku. Aku yakin, itu kunci penthouse ini. Kunci yang sepatutnya menjadi milik Lily itu, aku genggam erat bersama rasa marah dan kecewa. Aku benci berada di sini, aku benci!
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment