Tuesday, March 22, 2011

JAUH DARI CINTA - BAB 13


TIGA BELAS
Papan tanda Klinik Sentosa aku renung lama. Aku sudah semakin hampir dengan jawapan yang aku perlukan, namun kenapa pula kaki seakan enggan melangkah masuk ke klinik itu. Kata emak mertuaku, dia ada bertemu dengan Kamal beberapa bulan yang lalu. Kamal yang merupakan kawan baik Aqil sewaktu di universiti dahulu sudah pun membuka sebuah klinik di Pandan Indah. Sebaik sahaja mendapat maklumat itu dari emak, aku terus saja menjejaki Kamal di sini.
Ya... Kamal, aku kenal lelaki itu. Masakan aku tidak kenal dirinya, ada kisah antara aku dan dirinya. Cumanya tidak seorang pun yang tahu kisah itu. Aqil! Mungkin dia juga tidak mengetahui apa-apa. Mustahil Kamal menceritakan perkara itu padanya. Aku mula mengeluh berat, memandangkan tidak ada cara lain, aku terpaksa juga berjumpa dengan Kamal.
            Pintu kaca klinik itu aku tolak. Tidak ramai pesakit yang sedang duduk menunggu, mungkin kerana masih awal pagi. Aku terus menuju ke kuanter pendaftaran.
            “Cik pernah datang klinik ni ke?” tanya petugas di kaunter itu dengan senyuman sebaik sahaja aku tiba di hadapannya.
            “Tak... saya datang bukan nak buat pemeriksaan. Saya ada hal personal nak jumpa dengan Doktor Kamal. Doktor Kamal ada?” aku menjelaskan tujuan kedatanganku.
            “Doktor Kamal tak ada sekarang ni, cik. Dua bulan lagi baru Doktor Kamal mula bertugas balik.”
            “Doktor Kamal tak ada? Doktor Kamal ke mana? Boleh saya tahu?” Kembali aku mengajukan soalan, rasa gundah mula menerpa. Ke mana pula perginya Kamal?
            “Ke Jakarta.”
            “Oh… kalau macam tu, boleh tak saya tinggalkan pesanan?” aku memohon jasa baik petugas itu.
            “Boleh, cik. Apa pesanannya?”
            “Kalau Doktor Kamal balik nanti, boleh tak minta dia hubungi saya? Katakan pada dia, penting ya!” aku menggeluarkan nota kecil milikku lalu menulis namaku dan nombor telefon di atasnya. Aku koyak kertas dari buku nota itu dengan penuh cermat lalu menyerahkannya kepada petugas itu. “Tolong ya, cik. Terima kasih!” aku mengucapkan terima kasih, tanda penghargaan atas kesudiaannya membantu diriku. Kemudian aku terus keluar dari klinik. Jam di tangan aku perhatikan, baru pukul 9.15 minit pagi. Masih awal, sementelah aku bercuti hari ini, jadi ke mana arah yang boleh aku tuju?
            Akhirnya aku berkeputusan untuk singgah ke rumah ibu bapaku. Sudah hampir sebulan tidak bertemu, rindu juga sudah mula terasa. Jadi ada baiknya aku ambil kesempatan ini, meluangkan sedikit masa menziarahi kedua orang tuaku. Setidak-tidaknya, akan ada senyuman yang mampu aku ukir ikhlas apabila melihat wajah ibu dan ayah nanti. Dan aku yakin, pasti mereka juga akan turut berasa gembira menyambut kepulanganku.
            “Nysa tak kerja hari ni?” ibu mengajukan soalan wajibnya itu setiap kali aku tiba di rumah pada hari-hari bekerja.
            “Tak, ibu. Nysa ambil cuti! Ibu sihat?” aku mencium lembut tangan ibu dengan senyuman bahagia.
            “Alhamdulillah, sihat. Kenapa pula Nysa ambil cuti ni? Menantu ibu mana? Dia sihat?” soalan itu mengiringi langkahku masuk ke dalam rumah.
            Menantu? Hatiku kini kembali terganggu. Mungkinkah Aqil pernah menganggap dirinya menantu dalam keluarga ini? Rasanya, hanya ayah dan ibu saja, dengan sepenuh hati mengangkat dirinya sebagai anak menantu. Sedangkan dia? Pasti langsung tidak menginginkannya gelaran itu. Kalaulah ayah dan ibu mengetahui hal yang sebenarnya, pasti mereka turut kecewa dan terluka. Sama seperti apa yang sedang aku rasakan kini.
            “Seorang aje ke, Nysa? Aqil tak datang sekali?” Ayah yang baru saja turun dari tangga turut sama mempersoalkan tentang Aqil. Risau sungguh kedua ibu bapaku. Entah apa yang ada dalam fikiran mereka kini, hingga nama Aqil kerap meniti di bibir mereka.
            “Abang Aqil kerja. Ayah sihat?” kini aku mendapatkan pula tangan ayah untuk bersalaman. Tanda hormat seorang anak.
            “Aqil tahu tak, Nysa ke sini?” ayah masih bertanya. Mungkin sudah menjadi kebiasaan seorang anggota polis. Cepat saja dapat menghidu kesalahan-kesalahan yang cuba diselindungkan walaupun sudah lama pencen daripada tugasan. 
            Aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan. Memang benar Aqil tidak tahu tentang kehadiranku di rumah ibu bapaku ini. Aku langsung tidak memaklumkan kepadanya. Bukan itu saja, Aqil juga langsung tidak tahu bahawa aku bercuti pada hari ini. Aku terpaksa berselindung, tidak mahu Aqil bertanya apa-apa pun. Aku mahu semuanya berjalan tanpa pengetahuan Aqil. Aku ingin membuat kejutan buat dirinya dengan membawa Lily kembali dalam hidupnya tanpa dia menyedari rancanganku itu.
            “Abang Aqil tak kisah, ayah. Sikit pun tak melarang kalau Nysa nak ke mana-mana.” aku pamerkan senyuman sambil menjawab soalan itu. Kemudian aku terus mengambil tempat di ruang tamu. Ayah dan ibu turut sama duduk di situ.
            “Nysa tak jawab soalan ayah. Ayah tanya, Aqil tahu ke tidak Nysa ke sini?” kali ini nada ayah semakin tegas. Itulah ayah, andai dia bertanya, hanya jawapan yang mampu memberi kepuasan pada hatinya, yang akan membuat dirinya berhenti daripada bertanyakan soalan yang sama. Dan pastinya ayah tidak berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan sebentar tadi.
            “Tak, Aqil tak tahu,” terpaksa aku hulurkan jawapan itu sambil menundukkan wajah.
            “Ayah tak pernah ajar Nysa buat macam ni. Nysa tahu tak apa hukumnya keluar rumah tanpa kebenaran suami?” ayah mula naik angin dengan tindakanku.
            Aku cuma mengangguk lemah. Ya, aku tahu hukumnya keluar daripada rumah tanpa keizinan seorang suami. Tapi Aqil langsung tiada keinginan untuk mencampuri urusanku. Ke mana sahaja aku pergi, apa sahaja yang aku lakukan, Aqil tidak pernah mempersoalkannya. Layanan dirinya padaku tidak lebih daripada layanan seorang abang terhadap adiknya. Jadi bagaimana untuk aku berkelakuan bagai isteri andai Aqil sendiri tidak menganggap aku begitu?
            “Kalau Nysa dah tahu, kenapa Nysa tak bagi tahu Aqil dulu sebelum datang sini? Ayah nak Nysa telefon Aqil sekarang juga.” ayah mengeluarkan arahan. Arahan yang pastinya tidak dapat aku ingkar.
            “Telefon ajelah Nysa, betul cakap ayah kamu tu.” ibu memberikan sokongan pada ayah.
            Dalam terpaksa, aku mengeluarkan telefon bimbitku. Mengikut saja arahan ayah. Jika ada alasan yang aku berikan, takut pula ayah mengesyaki sesuatu. Lantas aku ikutkan saja kemahuan ayah walaupun sebenarnya aku risau dengan kemungkinan yang menunggu di hadapan.
            “Assalamualaikum, Abang Aqil!” salam aku berikan sebaik sahaja talianku bersambut.
            “Wa’alaikumusalam. Kenapa Nysa call abang ni?” 
            “Tak ada apa-apa, Nysa just nak bagi tahu...” lemah aku menyatakan tujuan aku menghubunginya. Mataku tepat memandang ayah yang tertunggu-tunggu aku memaklumkan semuanya.
            “Minta ayah, telefon tu!” ayah dengan tiba-tiba saja  mendapatkan telefon bimbitku. Aku hanya mampu membiarkan ayah mengambil telefon dari genggamanku.
            “Aqil, Ayah ni!” ayah mula berbicara. Sedangkan aku mula terasa berdebar dengan apa yang akan ayah katakan pada Aqil.

AKU mendapatkan tangan Aqil lalu mencium lembut tangan itu sebaik sahaja Aqil tiba. Ayah yang menyuruh Aqil singgah dahulu ke rumah apabila kerja selesai. Tapi tidak pula aku sangka Aqil akan sampai secepat ini. Matahari pun masih belum mahu pulang tetapi Aqil sudah pun terpacak di pintu rumah ibu bapaku. Rasanya aku sudah dapat mengagak apa yang akan ayah katakan. Hati mula risau kalau-kalau Aqil akan dipersalahkan atas kesilapanku sendiri. Aku yang gagal memaklumkan semuanya pada Aqil, jadi hanya aku yang patut dipersalahkan atasnya.
            “Apa kes ni?” Aqil  bertanya perlahan bersama riak tidak senang di wajahnya.
            “Nysa minta maaf, Abang Aqil. Salah Nysa!” hanya maklumat itu yang dapat aku kongsikan bersamanya. Selebihnya, biarlah Aqil tahu daripada mulut ayah sendiri.
            Aku dan Aqil segera berjalan menuju ke ruang tamu. Ayah dan ibu sudah sedia menanti di ruang tamu itu. Sebaik sahaja Aqil bersalaman dengan mereka, aku dan Aqil mula mengambil tempat duduk.
            “Kenapa ayah minta saya datang? Ada apa-apa masalah ke, ayah?” terus saja soalan itu keluar daripada mulut Aqil.
            “Maaf kalau apa yang akan ayah katakan ni buat kamu terasa. Tapi ayah sebagai orang tua, ayah tak boleh berdiam diri.” ayah memulakan kata.
            “Apa maksud ayah?” Aqil melimpahkan pandangannya padaku seusai bertanyakan itu pada ayah.
            “Ayah tak faham dengan kamu ni. Macam mana kamu boleh tak tahu apa yang isteri kamu buat. Dia cuti kamu tak tahu, dia keluar dari rumah pun kamu tak tahu. Kamukan suami dia!” serius kata-kata itu berkumandang.
            “Ayah, kan Nysa dah cakap... Nysa yang salah. Nysa dah minta maafkan.” aku cuba mempertahankan Aqil. Aku yang bersalah, kenapa pula Aqil yang dipersalahkan.
            “Memang kamu bersalah. Ayah tak nafikan. Sekarang ayah tak nak kamu teruskan kesalahan kamu tu.” penjelasan ayah mematahkan perjuanganku untuk menyebelahi Aqil. “Aqil! Kamu sayangkan isteri kamu ke tidak? Kamu tahu tak bila dia keluar rumah tanpa izin kamu, dia berada dalam kemurkaan Allah sampailah di balik ke rumah... sampai kamu maafkan dia!”
            “Tahu, ayah!” Aqil membalas perlahan.
            “Tahu pun kamu. Tapi macam mana kalau Nysa tak sempat...”
            “Ayah!” Aqil pantas memotong kata ayah. Aku tersentak, terkejut mendengar  suara Aqil yang padu itu. “Saya minta maaf, ayah. Saya akan pastikan hal ni tak berulang.” Sambung Aqil perlahan.
            “Ayah tak marahkan kamu, ayah cuma nak ingatkan kamu. Nysa sekarang ni dah jadi tanggungjawab kamu. Jadi ayah nak kamu tolong betulkan kesilapan-kesilapan dia.” barulah nada suara ayah merendah.
            “Saya faham, ayah. Saya akan ingat nasihat ayah. Terima kasih atas nasihat ayah.” Aqil bersuara lagi. Sedangkan aku hanya mampu tunduk membisu.
            “Baguslah kalau macam tu. Ayah pun harapkan yang sama.”
            Masa terasa berhenti saat itu. Pasti Aqil berasa marah padaku. Memang, memang dia patut rasa marah. Bukankah aku puncanya? Jadi aku akan terima apa saja amarah Aqil padaku nanti.
AQIL mengarahkan aku berhenti di stesyen minyak Petronas tidak jauh daripada kawasan perumahan ayah dan ibu sebaik sahaja kami meminta diri untuk pulang ke rumah petang itu. Jadi aku ikutkan saja arahannya, tidak membantah dan tidak pula bertanya apakah sebabnya. Ketika aku tiba di stesyen minyak itu, Aqil sudah terlebih dahulu sampai di situ. Aku menghentikan kenderaan betul-betul di belakang kereta Aqil.    
            Menyedari ketibaanku, Aqil turun daripada keretanya lalu menghampiri keretaku. Kemudian Aqil membuka pintu di tempat duduk penumpang bahagian hadapan, lalu masuk ke dalamnya dan duduk di situ. Aku hanya mampu membiarkan Aqil melakukan apa sahaja mengikut kemahuannya. Aku tidak berani mempertikaikan tindakannya yang mula terasa pelik itu.  Suasana sepi. Tidak ada seorang pun yang bersuara dan memulakan kata. Aku pula, hanya menanti Aqil mengeluarkan butir bicara. Tidak mungkin aku yang memulakan dahulu. Jadi adalah lebih baik aku mendiamkan diri.
            “Sebelum abang jatuhkan hukuman, Nysa ada apa-apa nak cakap?” akhirnya ada juga suara yang kedengaran.
            “Maaf sebab Nysa tak bagi tahu abang yang Nysa cuti hari ni. Maaf juga sebab Nysa tak minta izin keluar dari rumah. Nysa akan pastikan, Nysa tak akan buat benda yang sama lagi lepas ni.” Aku tahu, pasti Aqil ingin dengar perkara itu daripada mulutku. Makanya aku luahkan mengikut kata hati.
            “Please, Nysa!” ketawa Aqil mula meletus kuat memenuhi ruangan keretaku.
Aku tergamam. Mengapa pula Aqil boleh ketawa? Tidakkah dia marah padaku?
“Tak payah nak buat macam tu. Nysakan adik abang... So, Nysa berhak kemana saja  even without my permission. Itu hak Nysa.”
Aku  bungkam mendengar kata-kata itu.
“Tapi jangan sampai libatkan abang pula, macam tadi tu. Okey?” Kini Aqil tersenyum simpul pula.
“Abang tak marahkan Nysalah ni?” aku bertanya, inginkan betul-betul kepastian.
“Kalau pasal Nysa tak bagi tahu abang yang Nysa cuti dan Nysa tak minta permission keluar dari rumah tu... sikit pun abang tak marah. Don’t worry about that.” yakin Aqil menyatakannya.
Aku pura-pura gembira, menarik nafas lega. Dan kelegaan yang aku pamerkan itu membuatkan senyuman Aqil semakin melebar. Tenang saja dirinya setiap kali berhadapan dengan situasi-situasi yang tanpa dia sedar, menetak hatiku parah.
“Abang nak tanya Nysa satu soalan, boleh?” Aqil bersuara lagi.  
“Apa dia?” soalku kembali.
“Nysa ingat lagi tak, masa kita kat sky terrace hari tu?”
“Ingat, why?” segera soalan itu aku jawab. Mustahil aku lupakan hari itu. Hari yang merobek hatiku, walaupun apa yang ingin aku lakukan saat itu adalah untuk mengembirakan dirinya. 
“Masa tu, Nysa ada ajak abang pergi satu tempatkan? Nysa nak ajak abang ke mana sebenarnya, boleh abang tahu?” Aqil memandangku tidak lepas. Mungkin dia benar-benar perlukan jawapan itu. Tapi untuk apa?
Actually masa tu Nysa tengok abang muram sangat. Nysa just nak bawa abang have fun kat Taman Metropolitan.” aku memberikan jawapan yang diperlukannya.
“Taman Metropolitan?” ada kerut pada wajah Aqil.
“Ya, Taman Metropolitan, Kepong. Abang tak pernah sampai kat sana ke?” aku bertanya.
“Belum pernah!” Ringkas jawapan yang Aqil berikan sambil mengelengkan kepalanya. “So, boleh kita ke sana sekarang?”
Aku tersentak. Kenapa tiba-tiba sahaja dia ingin ke situ?
            “Dah dekat pukul lima dah ni, Abang Aqil. Nysa rasa tak bolehlah, lagipun takut jalan sesak pula.” aku memberikan alasan. Sebenarnya aku tidak ada mood untuk ke mana-mana saat itu. Aku ingin segera pulang ke rumah dan menyendiri di dalam bilikku. Hatiku benar-benar tidak senang hari ini.
            “Mana boleh Nysa tolak permintaan abang! Nysa dah buat salah, libatkan abang dalam hal Nysa, sekarang suka-suka hati aje nak tolak permintaan abang. Mana boleh macam ni!” Wajah Aqil mula berubah. Serius pula kelihatan bila permintaannya itu aku tolak. Mana aku tahu itu adalah permintaannya atas kesalahan yang aku lakukan. Kalau aku tahu, aku tidak akan membantah. Aku tidak mahu dituduh memungkiri janji.
            I don’t care. Nysa jalan depan, abang follow dari belakang!” Aqil terus saja keluar daripada keretaku dan masuk semula ke dalam keretanya.
Apabila aku masih enggan menggerakkan kenderaanku setelah Aqil menghidupkan enjin keretanya, Aqil membunyikan panjang hon keretanya. Semua pelanggan yang ada di stesyen minyak itu menghalakan pandangan ke arahnya. Semua itu memaksa aku untuk segera bergerak meninggalkan stesyen minyak itu.
Daripada cermin pandang belakang, aku dapat lihat kereta Honda Civic milik Aqil mengekori rapat keretaku. Sampai bila aku harus mendengar setiap kata-katanya? Mula ada bantahan dalam hati.

          Bersambung...

0 comments:

Post a Comment