Sunday, March 20, 2011

JAUH DARI CINTA - BAB 3

TIGA
Aku melihat cincin emas bertakhtakan berlian di jari manisku, senyumanku terukir kini. Selepas perjumpaan dengan Aqil dahulu, aku banyak mempertimbangkan kata-katanya dan pada hari ini sudah hampir setahun aku bergelar tunang kepada lelaki itu. Mungkin jambangan bunga yang dihantar setiap hari padaku telah melembutkan hati dan sekali lagi membuka pintu hatiku padanya. Atau mungkin sikapnya yang tidak berputus asa terhadapku membuatkan aku kembali jatuh hati padanya. Apa pun, kini aku benar-benar bahagia dan berharap agar kebahagiaan ini sentiasa mengiringi perjalanan hidupku dengan Aqil. Perkahwinan akan berlangsung pada akhir tahun, ini bermakna aku harus memastikan aku menyiapkan diriku untuk menjadi seorang isteri tidak lama lagi.
            Thanks krn sudi terima abg…
Mesej yang di hantar oleh Aqil pada majlis pertunanganku itu masih aku simpan dan aku tatap berkali-kali, selepas cintaku ditolak dulu, sedikit pun aku tidak lagi pernah memasang angan-angan untuk hidup bersamanya. Namun takdir tuhan tiada siapa yang dapat menyangka. Mungkin betul kata Aqil, aku sememangnya telah diciptakan untuknya sebagaimana Hawa diciptakan untuk Adam. Aku bersyukur pada Allah SWT kerana mengurniakan Aqil dan kebahagiaan ini padaku. Apa pun yang akan terjadi kelak, aku akan mempertahankan cintaku pada Aqil dan  berharap Aqil juga begitu. Aku akan sentiasa memastikan Aqil berbahagia dan ini adalah janjiku. Mulai dari saat ini, kebahagiaan Aqil adalah kebahagiaanku.
Namun kini jambangan bunga tidak lagi aku terima seperti hari-hari sebelum aku terikat dengan ikatan pertunangan. Namun itu bukan satu masalah yang besar padaku, lagi pun kini aku sedang sibuk membuat persiapan awal majlis persandinganku. Beberapa butik pengantin aku tinjau bagi mendapatkan perkhidmatan yang benar-benar mampu memenuhi citarasaku.
Hal-hal berkaitan dengan jemputan, ibu dan ayah telah menyatakan persetujuaan untuk membantu. Sekurang-kurangnya ringan sedikit tugasku, nak diharapkan Aqil, rasanya tidak perlu memandangkan beban di hospital pasti sudah cukup memenatkannya. Itulah yang sering dinyatakan oleh Aqil setiap kali aku menghubunginya dan mengajaknya keluar. Aku tidak sedikit pun berkecil hati akan hal itu memandangkan aku faham akan tanggungjawabnya sebagai seorang doktor. Walau pun Aqil lebih banyak menghabiskan masanya di hospital berbanding denganku, sebagai tunangnya aku harus memahami dirinya dan itulah yang sedang cuba aku lakukan.
            Hujung bulan akhirnya tiba lagi, inilah saat-saat yang aku nantikan kerana aku hanya berkesempatan untuk bertemu Aqil setiap kali hujung bulan tiba dan ini adalah permintaan dari Aqil sendiri. Aku cuba memenuhinya, padaku ini ada juga kebaikannya memandangkan kami bakal bersanding tidak lama lagi, jadi tidak manis jika selalu sangat berjumpa.
Seperti selalu, aku sampai lebih awal dari Aqil, aku membetulkan lipatan tudungku agar kelihatan lebih kemas. Suasana di dalam kompleks membeli belah Sogo agak sesak pada waktu ini, aku mendapatkan tempat duduk di dalam restauran Secret Recipe yang hampir dipenuhi pelanggan. Agak lama menanti Aqil di situ, aku akhirnya berkeputusan membuat pesanan makanan terlebih dahulu sementara menanti kedatangan Aqil. Pasti kesesakan lalu lintas telah menyebabkan kelewatan Aqil.
            Makanan telah pun sedia terhidang namun Aqil masih juga belum tiba. Telefon bimbit Aqil tidak berjaya aku hubungi, aku mula merasa penat menunggu Aqil di situ. Setiap kali pun begitu, Aqil tidak pernah tiba tepat pada masa yang dijanjikan. Adakalanya aku terasa seolah-olah hanya aku yang merinduinya dan sentiasa ingin bertemu dengannya, tetapi Aqil rasanya tidak berfikiran begitu. Entah apa yang ada dalam fikiran dan hatinya aku pun tak tahu
            Maaf! Abg x dpt dtg, ada hal skt. Kt jmp nnt. 
Seperti selalu hanya mesej yang yang ditinggalkan untukku, susah sangatkah untuk dia menghubungiku untuk menyatakan ketidakhadirannya. Aku memandang sepi hidangan yang masih belumku sentuh, selera makanku juga telah tertutup. Aku terus membuat pembayaran dan meninggalkan restauran itu untuk pulang ke rumah. Aqil sudah mula berubah, jerit hatiku.
Sesampai sahaja di rumah, aku masih lagi terus menghubunginya walaupun aku masih marah dengan dirinya. Aku ingin tahu keadaanya, sihatkah dia? Apa yang sedang dia lakukan saat ini? Hal apa yang begitu penting sehingga dia tidak boleh berjumpa denganku sebentar tadi?
Jam baru menunjukkan pukul 10.35 minit malam, tapi tiada tanda yang menampakkan Aqil akan menjawab panggilanku. Lama aku menanti di talian, namun apa yang kedengaran hanyalah suara operator yang menyatakan nombor yang sedangku dail tidak dapat dihubungi. Ke mana Aqil? Mengapa panggilanku tidak djawab? Semuanya makin merisaukan diriku. Aku cuba sekali lagi menghubunginya, berharap kali ini ada jawapan darinya.
            “ Assalamualikum, Abang Aqil tak apa-apa ke?” Terus aku bertanya sebak sahaja Aqil menyambut panggilanku. Lega sedikit rasa hatiku apabila akhirnya Aqil menjawab panggilanku itu.
            “Wa’alaikumusalam, Abang okay. Sorry sebab tak dapat jumpa Nysa tadi.” Perlahan suara Aqil menjawab seolah tidak menyenangi perbualan kami.
            “Tak apa, lain kali boleh jumpa. Dah makan?”
            “Dah! Nysa abang ada kerja ni, kita berbual nanti-nantilah ya.”
Belum sempat aku membalas kata-kata Aqil, talian telah diputuskan. Aku hanya mampu mengeluh. Aqil sememangnya telah memberi peringatan padaku supaya tidak menghubunginya sekiranya tiada apa-apa yang mustahak dan aku akur tenang itu, namun aku ada hak untuk mengetahui keadaanya. Salahkah sekiranya aku ingin mengambil berat tentang tunangku sendiri?

MAJLIS perkahwinanku dan Aqil yang sepatutnya berlangsung hujung tahun ini terpaksa ditundakan atas permintaan Aqil sendiri. Namun tidak pula Aqil memaklumkan padaku majlis itu ditunda sehingga bila. Meskipun aku agak terkejut dengan permintaaan Aqil itu namun aku tetap bersetuju dengan penangguhan itu. Aqil menyatakan bahawa dia masih belum bersedia untuk berumahtangga. Sememangnya aku tahu itu cuma alasan yang dicipta oleh Aqil tapi aku berusaha memahaminya. Pasti Aqil mempunyai sebab-sebab tertentu sehingga dia sanggup membuat keputusan sebegitu.
            “Abang harap, Nysa boleh faham abang.” Aqil sedikit pun tidak memandang ke arahku. Mungkin ada rasa bersalah yang bersarang dalam hatinya.
            “Tak apa! Walaupun Nysa tak tahu apa sebabnya, tapi Nysa akan cuba faham Abang Aqil.” Aku ikhlas menyatakan itu. Padaku, biarlah Aqil benar-benar bersedia untuk menjadi ketua kepada keluargaku kelak. Aku harus memberi ruang waktu untuknya membuat persiapan itu.
            So, Nysa nak apa?”
Terhenti langkahku mendengar pertanyaan dari Aqil. “Maksud Abang Aqil?”
            “Mulai dari hari ini, kalau salah seorang dari kita ada buat salah, kita kena bagi pihak yang tak bersalah buat satu permintaaan. Sebagai tanda minta maaf, orang yang bersalah kena tunaikan apa pun permintaan orang yang tak bersalah.” Ada senyuman kecil di hujung katanya. Jarang sekali aku dapat melihat senyuman itu.
            So, apa permintaan Nysa?”
            “Okay, kalau macam tu Nysa nak  Abang Aqil penuhkan bilik Abang Aqil dengan gambar-gambar Nysa, boleh?”
Terkejut Aqil mendengarkan permintaanku yang tak masuk akal itu. Aqil tercenggang, dahinya dikerutkan. Aku ketawa besar melihat reaksi darinya.
            “Tak adalah, Nysa gurau aje.” Kedua tanganku tepuk perlahan betul-betul di hadapan muka Aqil, cuba untuk mematikan lamunannya dan aku masih terus ketawa.
            “Abang serius ni, Nysa main-main pula.”
            “Iyalah kali ni Nysa serius, Nysa nak Abang Aqil nyanyikan satu lagu untuk Nysa, bolehkan?”
            “Tengok tu, merepek aje kerjanya.” Aqil menekan alat kawalan jauh keretanya.
            “Apa pula merepek, betullah ni.” Aku menarik tali pinggang keledar sebaik sahaja memasuki kereta.
            “Dah! Abang Aqil bagi peluang sampai esok pagi, kalau tak ada permintaan yang releven, peluang Nysa untuk buat permintaan kali ni kira batal. Balik ni fikir betul-betul.”
            “Apa pula, kata apa-apa permintaan pun boleh.” Aku betul-betul tak puas hati dengan penjelasan Aqil.
            “Permintaan yang releven sahaja akan dilayan, harap maklum.” Aqil tersenyum lagi, enjin keretanya dihidupkan dan kemudiannya beredar meninggalkan kawasan letak kereta Mid Valley. Aku turut tersenyum, sekurang-kurangnya hari ini aku berhasil membuat Aqil tersenyum.

AKU memutuskan talian setelah selesai berbual dengan Aqil. Gembira rasanya apabila permintaanku dipenuhi. Permintaanku agar Aqil memberikan kebenaran untuk aku menghubunginya paling tidak pun seminggu sekali akhirnya dipenuhi. Aqil menetapkan hari rabu, jam 10.00 malam sebagai waktu untukku menghubunginya. Walau pun agak pelik, namun aku bersyukur. Kata Aqil, dia sememangnya tidak gemar berbual di dalam telefon, mungkin itulah yang menyebabkan Aqil jarang sekali berhubung denganku  melalui telefon. Aku memejamkan mata, bayangan Aqil muncul lagi. Kini bayangan Aqil sentiasa menemaniku, mungkin kerana cintaku  semakin mendalam padanya.
            Miza sudah hampir siap mengemaskan kesemua barangnya. Aku hanya mampu melihat Miza memasukkan buku-buku di raknya ke dalam kotak. Berita tentang Miza dinaikkan pangkat sememangnya berita yang menggembirakan namun berita tentang Miza ditukarkan ke cawangan baru syarikatnya di Perlis adalah berita yang menyedihkan padaku. Hampir tiga tahun kami tinggal bersama, aku sendiri sudah menganggap Miza seperti ahli keluargaku. Aku pasti akan merindui Miza apabila ketiadaannya nanti. Selalunya Miza menjadi tempat untuk aku mengadu, selepas ini pada siapa pula aku akan kongsi kisah suka dukaku.
            “Alah Nysa, Perlis dengan KL ni bukannya jauh sangat. Senang-senang nanti, aku datanglah jenguk kau kat sini. Kalau tak pun, kau datanglah Perlis jalan-jalan.” Miza masih tekun mengemaskan buku-bukunya
            “Insya’allah, itu pun kalau kau tak sibuk. Orang macam kau ni, mana ada banyak masa, kadang-kadang masa tidur kau pun tak cukup.”
            “Macam perli aku aje bunyinya, kau ingat aku ni obsess sangat ke dengan kerja.” Miza mencekakkan pinggangnya.
            “Bukanlah maksud aku macam tu, aku cuma nak ingatkan kau aje, kerja tu kerjalah juga, kesihatan tetap kena jaga. Ingat tu!”
            “Iyalah, hah! Kau tu, kahwin nanti jangan lupa jemput aku pulak.” Kata-kata Miza membuatkan aku tersenyum. Mustahil Miza tak diundang ke majlisku nanti, aku akan pastikan Miza menjadi rakan pertama yang akan menerima undanganku.
            “Oh ya, sebelum aku lupa, dah ada orang nak sewa bilik aku tu. Kalau tak ada apa-apa hal, awal bulan depan dia sampai.”
            “Orang mana?” Miza mengambil tempat di sebelahku setelah selesai memasukkan kesemua bukunya ke dalam kotak.
            “Orang sinilah, tapi baru balik dari Amerika.”
            “Amerika!”aku sedikit terkejut.
            “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri Nysa!”
            “Takkan tak ada rumah sendiri?” aku masih tidak berpuas hati.
            “Tak taulah, kalau tak silap dia nak duduk sementara aje sebab rumah dia dalam proses renovation. Nama dia Sara, Sara apatah, aku pun lupa.”
            “Mana kau kenal dia?” kesian juga aku tengok Miza, terus menerus disoal olehku.
            Client syarikat tempat aku kerja. Dia tau aku nak pindah, so dia tanyalah aku kalau-kalau ada bilik kosong. Kau jangan risaulah Nysa, Sara tu nampak macam baik aje orangnya.” Miza cuba meyakinkan.
            “Risau apa pula, taklah. Saja aje nak tahu pasal dia.” Giliran aku pula meyakinkan Miza bahawa sesungguhnya aku sedikit pun tidak risau. Aku mula memikirkan pemilik nama Sara itu,  pasti cantik orangnya secantik namanya.

AKU memandu laju menuju ke Hospital Ampang Puteri pada waktu rehat tengahari itu,  sengaja ingin membuat kejutan buat Aqil di hari jadinya. Aqil tidak mungkin bertemu denganku sebelum hujung bulan tiba, jadi terpaksaah aku mencarinya hari ini juga.
Kotak yang berisi pen yang telah siap kubalut kemas kukerling sebentar. Selepas membeli pen itu minggu lepas, aku terus menghantarkan pen tersebut untuk diukirkan namaku di atas badan pen berwarna emas itu. Hari ini Aqil menjangkau usia 30 tahun. Seperti tahun sebelumnya, sejak awal lagi aku telah menyediakan hadiah buat Aqil. Walaupun Aqil sekali pun tidak pernah memintanya daripadaku, namun aku tetap ingin menghadiahi Aqil sesuatu. Ini kulakukan bagi mengingatkan Aqil bahawa ada  seorang wanita yang sentiasa mengambil kisah tentangnya walau pun hal itu hanya perkara remeh padanya.
Selepas Aqil tamat pelajaran di universiti, aku tidak pernah lagi bertemu dengan Aqil. Namun begitu aku sentiasa pastikan setiap kali hari lahir Aqil tiba, ucapan selamat hari lahir itu akan keluar dari mulutku biarpun Aqil tidak pernah mendengarnya. Setiap perkara yang berkaitan dengan Aqil adalah perkara penting bagiku. Biarpun Aqil langsung tidak mengingati hari lahirku, aku tidak pernah berkecil hati. Aku tahu, sebagai seorang doktor, ada banyak perkara lain yang lebih penting untuk Aqil fikirkan selain tarikh kelahiranku. Mungkin itu cuma perkara remeh pada Aqil.
Aku menghubungi Aqil sebaik sahaja tiba di hospital. Berkali-kali aku cuba menghubunginya namun talianku masih tidak berjawab. Aku mengunci keretaku lalu melangkah masuk ke dalam hospital untuk mendapatkan Aqil.
            “Nysa!” aku berpaling apabila terdengar namaku dipanggil dengan kuat.
            “Abang Aqil.”
Lelaki itu berlari-lari anak menuju ke arahku. Beberapa orang rakannya di belakang kelihatan tersenyum.
            “Nysa buat apa kat sini, tak sihat ke?” Aqil mengajukan pertanyaan sebaik saja terpacul di depanku.
            “Selamat hari jadi.” Aku memberikan senyuman termanis buat Aqil.
            Thanks! Nysa datang semata-mata nak wish happy birthday kat abang aje?”
            “Taklah! Nah, hope Abang Aqil sudi terima hadiah yang tak semahal mana ni.” Aku menghulurkan hadiah yang aku keluarkan dari tas tanganku. Agak lama Aqil memerhatikan hadiah itu sebelum Aqil mendapatkannya.
            “Lain kali tak payah susah-susah sediakan hadiah untuk abang. Hadiah yang lepas pun abang tak sempat nak buka lagi.”
Aku tersentak mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Aqil. Tahukah dia apa yang sedang diperkatakannya. Kali ini aku benar-benar berkecil hati. Dalam tempoh setahun ini, tak akan Aqil langsung tidak mempunyai masa untuk melihat sendiri hadiah pemberianku. Kalau betul pun Aqil masih belum membuka hadiah pemberianku setahun yang lalu, tak perlulah dia menyatakannya padaku. Tidak bolehkah dia menjaga hati dan perasaanku ini, susah sangatkah untuk melakukan semua itu.
            “Okaylah Nysa, kalau dah tak ada apa-apa hal abang masuk dululah. Terima kasih sekali lagi untuk hadiah ni.”
Tanpa rasa bersalah Aqil pergi begitu sahaja meninggalkan aku. Aku masih berdiri di situ, sedikit pun tidak berganjak biarpun Aqil telah berlalu. Semakin aku cuba untuk menambat hati Aqil, semakin aku bersakit hati dengan sikapnya.
Kata-kata Aqil benar-benar menghantuiku, ternyata pemberianku sedikit pun tidak dihargainya, apakah aku juga dianggap begitu? Aku melangkah longlai menuju ke kereta, fikiranku kusut sekali dan saat itu bayangan Aqil muncul lagi.
Pemanduanku menuju ke universiti kerap kali terganggu. Beberapa kali juga kereta-kereta yang berada dibelakang keretaku membunyikan hon seperti cuba mengingatkan atas kecuaian aku tika ini. Kata-kata Aqil sebentar tadi benar-benar menggangguku. Tidakkah dia tahu aku bersungguh-sungguh menyediakan hadiah-hadiah itu buat dirinya?
Sampai sahaja di universiti aku terus menuju ke bilik pensyarah. Sapaan beberapa pelajar padaku hanyaku balas dengan senyuman nipis, tidak seperti selalu setiap sapaan mereka akan kubalas sebaik mungkin. 
Aku melepaskan lelahku di kerusi empuk milikku. Nasib baik kelasku hanya bermula pukul 3 petang nanti jadi boleh aku merehatkan minda dan cuba melupakan kejadian sebentar tadi seketika sebelum aku memulakan tugasanku.
Aku tersentak apabila Hadif tiba-tiba meletakkan secawan milo panas di atas mejaku kemudian menarik kerusinya rapat dengan mejaku.
            “Milo siapa ni?” Aku memegang cawan milo yang masih panas itu.
            “Dah aku letak atas meja kau, mestilah kau punya.” Jawap Hadif sambil melipatkan sedikit lengan bajunya.
            “Apa mimpi kau buatkan aku milo ni?”
            “Hai, takkan nak kena tunggu mimpi dulu baru boleh buat milo untuk kau. Ni yang nak merajuk ni.” Hadif mencebik bibir padaku. Aku tergelak kecil, aku tahu Hadif sengaja pura-pura merajuk. Terhibur juga hatiku sebentar dengan gelagat Hadif yang sentiasa ceria sepanjang masa.
            “Bukanlah macam tu maksud aku, kau ni sikit-sikit nak merajuk,” aku meletakkan kembali cawan berisi air milo itu di atas meja.
            “Eh Nysa! Hujung minggu ni, kau ada masa tak?” perlahan suara Hadif seolah-olah tidak mahu orang lain mendengar soalannya itu.
            “Kenapa?” Aku turut menurut rentak Hadif memperlahankan suara, sedangkan waktu itu tiada sesiapa yang berada di situ yang boleh mencuri dengar perbualan kami.
            “Jom temankan aku.” Hadif tersenyum kelat.
            “Kau nak pergi mana?”
            “Adik angkat aku kahwinlah, jomlah temankan aku, segan pula nak pergi seorang.”
            “Eh! Seganlah aku. Lagi pun tak sedaplah, kita pergi berdua aje, kan aku dah bertunang.” Ingatanku menjurus kepada Aqil semula. Keluhan terlepas lagi di bibirku bila mengenangkan lelaki itu.
            “Itu aku tahulah, apa kata kau bagi tahu tunang kau dulu, apa namanya… hah, Aqilkan, kau bagilah tahu dia dulu. Please Nysa, kali ni aje aku minta tolong.Please…”
Hadif mula merayu, rasa serba salah aku dibuatnya. Hadif telah banyak membantu aku semenjak  kali pertama aku bertugas di sini lagi. Tak kira apa saja bantuan yang aku perlukan, Hadif akan jadi orang pertama yang memberikan bantuannya padaku, sehingga kini dialah sahabat baikku di unversiti ini. Tidak mungkin aku menolak permintaan Hanif.
            “Aku tak janji, tapi aku akan cuba, okey.”
            Yes! Macam nilah kawan. Okey aku pergi kelas dulu ya. Terima kasih cik Nysa Sakinah. Jangan lupa minum milo tu, penat aku buat tau.” Hadif tersenyum lebar dan menarik kerusi kembali ke mejanya. Aku tergelak kecil melihat gelagat Hadif. Adakalanya tingkah laku Hadif benar-benar menyenangkan hati hawaku.

AKU MENGENAKAN baju kebaya berwarna ungu lembut, siap sahaja memakai tudung, aku menaiki kereta menuju ke Putrajaya. Pelan ke rumah pengantin perempuan yang Hadif berikan beberapa hari yang lalu aku perhatikan teliti. Aku telah berjanji dengan Hadif untuk menemankannya, oleh yang demikian aku harus memenuhi janjiku pada Hadif walau pun tanpa pengetahuan Aqil.
Bukan sengaja aku enggan memberitahu Aqil, walaupun aku masih marah pada Aqil tentang kejadian tempoh hari tapi aku tetap cuba menghubunginya, aku tidak mahu membelakangkan Aqil dalam setiap perkara yang kulakukan namun Aqil yang tidak menjawab panggilanku setiap kali aku menghubunginya. Bukan hanya sekali dua aku menghubungi Aqil, hampir tiap-tiap hari aku menelefonnya untuk menyatakan tentang hal itu.
            Suasana di rumah pengantin amat meriah walau pun aku hanya melihat dari luar. Hadif segera berjalan ke arahku sebaik sahaja aku turun dari kereta.
            “Wah…Cantik hari ni, tapi kenapa lambat sangat?” Hadif kelihatan segak walau pun hanya mengenakan baju t-shirt ungu dan jeans hitam.
            Sorrylah, aku salah jalan tadi.” Aku menekan alat kawalan jauh untuk mengunci keretaku.
            “Itulah, aku ajak naik sekali dengan aku, kau tak nak. Takut sangat tunang marah.” Hadif mencebik bibirnya.
            “Bukan takut, tapi aku kenalah jaga hati tunang aku. Dengkilah tu.” Aku dan Hadif masih berdiri di tepi jalan besar kawasan perumahan di situ.
            “Alah, tak ada maknanya aku dengki, kalau kau cakap cemburu tu, adalah sikit.”
            “Dah! Kau jangan nak merepek, aku balik baru tahu.” Aku memberikan amaran atas kata-kata Hadif.
            “Alahai, nak bergurau pun tak boleh dah sekarang ni. Jomlah, aku dah kelaparan ni, dari pagi simpan perut.” Hadif mula mengosok-gosok perutnya.
Aku mengeleng kepala, malas mahu melayan gelagat Hadif yang seperti kanak-kanak itu. Aku dan Hadif jalan beriringan masuk ke dalam kawasan rumah pengantin, pemilihan kanopi dengan renda berwarna hijau pucuk pisang dan putih menyerikan lagi majlis perkahwinan itu. Aku tersenyum, terbayang saat-saat persandinganku nanti. Aku pernah menyatakan pada Aqil bahawa aku inginkan warna merah hati untuk baju persandingan dan tema perkahwinan kami nanti, tetapi Aqil lebih menyukai warna ungu, sehingga ke hari ini masih lagi tiada kata putus tentang hal itu.
            Selepas aku dibawa oleh Hadif bersalaman dengan pengantin, kami kemudiannya ke meja makan untuk menikmati hidangan yang disediakan. Majlis yang dihadiri oleh ramai tetamu yang diundang sedikit sebanyak melemaskanku, majlis itu tidak putus-putus menerima kunjungan. Aku duduk berhadapan dengan Hadif, makanan yang disediakan berjaya memikat selera Hadif, Hadif makan dengan penuh berselera.
            “Adik angkat kau kerja apa Dif?” Hadif menuangkan air cuci tangan untukku tanpa aku pinta.
            “Baru habis praktikal, bakal doktor tu.” Hadif masih meneruskan suapannya, namun sempat juga Hadif menghulurkan kotak berisi tisu kepadaku.
Aku mengambilnya dengan senyuman, Hadif seperti biasa tahu saja apa yang aku perlukan. Sementara menunggu Hadif selesai makan, aku membuang pandangan ke arah pasangan pengantin yang sedang sibuk berbual mesra dengan tetamu yang hadir. Kegembiraan terpancar pada wajah pasangan itu, bergelar raja sehari pastinya sesuatu yang membahagiakan. Aku juga akan melaluinya suatu hari nanti, perlahan hatiku berbisik.
            Aku memalingkan kepala apabila bahu disentuh. Betulkah apa yang sedang aku lihat kini. Aqil tersenyum padaku dan di sebelahnya berdiri seorang wanita yang kelihatan muda beberapa tahun dariku.
            “Hai Nysa, Boyfriend baru ke?”
Hadif yang sedang minum, tersedak mendengar ayat yang keluar dari mulut Aqil. Aku segera berdiri, jantungku berdegup kencang. Aqil selalu begitu, bila berbicara sedikit pun tidak pernah menjaga hatiku. Aku mula berasa malu pada Hadif.
            “Siapa ni?” Hadif kini turut berdiri sama sepertiku.
Aku harus memperkenalkan Aqil pada Hadif, tapi patutkah aku memberitahu kebenaran bahawa Aqil adalah tunangku setelah Aqil mengeluarkan kata-kata yang langsung tak masuk dek akal itu.
            “Ini Aqil.” hanya itu yang mampu aku perkatakan pada Hadif.
            “Aqil? Maksudnya, tunang kau.” Ujar Hadif yang sedikit terkejut mendengar kata-kataku tadi.
Aku mengangguk. Hadif pula segera menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Aqil. Aku sedikit lega apabila huluran tangan Hadif bersambut.
            “Hai, saya Hadif. Girlfriend baru ke?” Hadif tersenyum, kata-katanya seolah-olah mahu membalas dendam untukku. Wanita yang dari tadi tidak berganjak dari sisi Aqil memandangku. Aku pula hanya mampu tunduk di situ.
            “Wah, sedondon baju, macam pasangan pengantin pula.” Aqil tersenyum sinis memandang aku dan Hadif silih berganti.
Entah apa yang ada di fikiran Aqil, mungkin dia marah melihat aku bersama Hadif di situ tanpa pengetahuannya. Jika itu sebabnya dia berkata begitu, aku tahu itu semua salahku, namun kehadiran Aqil bersama wanita yang tidak pernah aku kenali itu juga mengundang amarahku. Kenapa di dalam setiap perkara hanya aku yang bersalah pada pandangan matanya.
            “Kalau ada jodoh, apa salahnya.” Hadif tidak mahu mengalah, satu persatu kata-kata Aqil cuba dibalasnya.
Keadaan yang tegang itu menyebabkan aku mengangkat kaki meninggalkan majlis itu tanpa sebarang kata pada Aqil mahupun pada Hadif. Kedengaran suara Hadif memanggil namaku beberapa kali dengan kuatnya, tetapi tidak Aqil. Entah mengapa saat ini aku mengharapkan Aqil yang memanggil dan mengejarku namun aku yakin Aqil tidak akan berbuat begitu. Aku tidak menghiraukan panggilan Hadif, apa yang aku tahu aku mahu segera beredar dari situ. Semuanya begitu merimaskan.

ALBUM yang memuatkan gambar-gambar kenangan sewaktu majlis pertunanganku aku selak satu persatu. Saat itu, rasanya akulah wanita yang paling bahagia dan bertuah kerana memiliki lelaki seperti Aqil. Kini gambar-gambar itu membuat aku berfikir semula, betulkah keputusanku menerima kembali Aqil dalam hidupku setelah cintaku ditolak dulu. Aqil memang sudah jauh berubah, Aqil yang aku kenal dulu bukanlah seorang yang mementingkan diri, Aqil yang aku kenal dulu sentiasa menjaga hati orang-orang di sekelilingnya. Apa sahaja yang Aqil lakukan pasti menyenangkan hati, tutur kata Aqil juga sudah jauh berbeza. Apa yang membuatkannya berubah sehingga sedemikian rupa, jawapan itulah yang harus aku dapatkan kini.
Aku bergegas menuju ke pintu sebaik sahaja mendengar loceng rumah berkali-kali berbunyi. Pintuku kuak sedikit melihat gerangan yang membunyikan loceng. Seorang wanita bercermin mata hitam menunggu di luar pintu pagar. Aku membuka luas pintu dan memberikan isyarat tangan agar wanita itu tunggu sebentar sementara aku segera ke atas mendapatkan tudung kepala dan kunci pagar.
            “Nysa Sakinahkan?” Wanita itu membuat pertanyaan sebaik sahaja aku membuka pagar.
            “Ya, saya. Ini cik Sara ke?” giliran aku memulangkan pertanyaan itu.
            “Ha’ah, saya Sara. Miza ada bagi tahukan?”
            “Ada, jomlah masuk.” aku  membantu Sara mengangkat bagasinya turun dari keretanya. Barang-barang yang dibawa oleh Sara tidak banyak, hanya dua buah bagasi besar. Mungkin betul kata Miza, Sara hanya menyewa untuk sementara waktu sahaja hingga kerja-kerja ubah suai rumahnya siap.
            “Jom masuk, cik Sara.”
            “Terima Kasih.” manis senyuman Sara, tahi lalat di bawah bibir menambahkan keayuannya. Seorang wanita yang tinggi lampai, berkulit putih dan rambut panjang beralun. Dengan kecantikannya itu, aku pasti  wanita itu sudah berpunya.
            “Panggil Nysa bolehkan?” tiba-tiba Sara meminta kebenaran.
            “Apa-apa pun tak apa, asalkan ada kena mengena Nysa Sakinah.” Aku membenarkan, membiarkan Sara mengikut keselesaannya.
            “ Umur Nysa berapa ya?”
            “26 tahun, cik Sara?” Aku duduk di sofa manakala Sara masih lagi berdiri memerhati sekeliling rumahku.
            “Tak payah nak ber ‘cik’ dengan saya, panggil Sara pun tak apa.” Lembut Sara melarang aku agar tidak terlalu formal dengannya.
“Umur Sara dah 30 tahun tau, jangan tak tahu.” Tambah Sara lagi.
Sara tergelak kecil melihat reaksiku yang agak terkejut. Sememangnya aku terkejut, wajah dan gayanya tidak menampakkan umurnya yang sebenar. Kalau Sara tidak beritahu umur sebenarnya, pasti aku menyangka paling tidak pun Sara sebaya denganku.
            “Terkenang nostalgia lama ke?” Sara terus duduk di sebelahku sambil matanya terus memandang album gambar yang terbuka luas di atas meja. “Boleh Sara Tengok?”
Aku mengangguk, membenarkan. Pantas Sara mengapai album gambar dari atas meja itu.
            Not Bad.” Luah Sara sambil tersenyum nipis.
Sedikit sebanyak aku berkecil hati dengan kata-kata yang keluar dari mulut Sara. Teruk sangatkah aku pada pandangan matanya sehingga kata-kata itu dihamburkan padaku. Mungkin aku tidak mempunyai pakej yang lengkap seperti dirinya dan aku sedar tentang hal itu.
            “Bila nak langsungkan perkahwinan?”
Kini aku mula mengukir senyuman, rasanya aku sendiri tiada jawapan untuk soalan itu, bahkan soalan itulah yang selalu aku fikirkan dan nantikan jawapannya.
            “Insya’allah.” aku segera bangun sebaik sahaja jawapan itu diberikan. Rasanya aku cuba lari dari soalan-soalan yang mungkin akan menjerat aku untuk menceritakan segala-galanya tentang perhubunganku dengan Aqil. Tidak! Aku tidak akan sekali-kali membiarkan orang tahu tentang apa yang sedang aku lalui kini. Biarlah aku selesaikan semuanya sendiri.
            “Nanti jangan lupa jemput” Sara akhinya menutup kesemua album gambarku dan menyerahkan semula padaku.
Aku mengambil album-album itu dan meletakkannya  kembali ke atas meja kopi di hadapanku. Telefon bimbitku yang aku harapkan berbunyi dari tadi hanya menyepi, ingin saja aku menghubungi Aqil saat ini namun ada sesuatu yang menghalang aku dari berbuat begitu.
Tiba-tiba sahaja rasa bersalah mula menyelubungi diriku. Aku berharap Hadif tidak marah padaku kerana meninggalkannya pada majlis perkahwinan itu. Ada kalanya kalanya kau rasakan seolah-olah Hadif lebih mengenali dan memahami diriku berbanding Aqil. Fikiranku memang tidak tenang sejak akhir-akhir ini, banyak perkara yang aku fikirkan. Alangkah bahagianya kalau aku tidak perlu melalui semua ini. Alangkah bahagianya…

Bersambung...

0 comments:

Post a Comment