Sunday, March 20, 2011

JAUH DARI CINTA - BAB 2

DUA
Pagi-pagi lagi ayah telah menghubungiku mengingatkan tentang perjumpaanku dengan bakal tunangku petang nanti. Seperti biasa aku hanya mampu patuh pada perintah ayah yang nampaknya beria-ia benar dengan rancangan perkahwinanku kali ini. Aku memandu perlahan menuju ke Maju Junction, tempat yang aku sendiri tetapkan untuk berjumpa dengan lelaki yang telah ditentukan oleh ayah. Aku tidak tahu untuk apa aku harus menghadiri perjumpaan itu sedangkan aku langsung tidak diberikan peluang untuk membuat penilaian terhadap lelaki itu. Mahu atau tidak, aku tetap akan dinikahkan dengan lelaki itu.
Aku sampai lewat lima belas minit dari waktu yang dijanjikan. Jauh di sudut hati, aku berharap mudah-mudahan lelaki tersebut telah pulang atas kelewatanku. Biarlah aku hanya berjumpa dirinya waktu pernikahanku nanti, itu sudah memadai. Namun langkah tetapku teruskan menuju ke bahagian food court. Setibanya di situ aku mula memerhati keliling, mencari meja yang dipenghuni oleh seorang lelaki. Aku mencari tempat duduk di sebuah meja yang terletak di bahagian hujang sekali apabila yakin lelaki itu tiada di situ. Aku tersenyum lega, mungkin lelaki itu telah pulang. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu lagi bertemu dengan lelaki itu. Walaubagaimanapun aku berkeputusan untuk menunggu seketika di situ bagi menghilangkan rasa bersalahku pada ayah.
“Assalamualaikum Nysa.” baru sahaja aku bangun dari tempat duduk seseorang menyapaku dari belakang. Jantungku mula berdugup kencang, pasti lelaki itu, hatiku mengeluh kecil.
“Wa’alaikumusalam!” serentak menjawab salam muka kupalingkan ke arah suara itu.
“Abang Aqil?” terkejut besar aku dibuatnya. Aku sangkakan yang memberi salam itu bakal tunangku  tetapi ternyata yang berdiri berhadapan denganku kini Farish Aqil. Sedikit sebanyak hatiku melonjak riang, berbaloi juga kehadiranku di sini.
“Abang Aqil buat apa kat sini?” aku menyoal Aqil yang duduk sambil tersenyum di hadapanku. Aku turut melabuhkan punggungku semula di tempat aku duduk sebentar tadi.
“Nysa pula buat apa kat sini?” Soalan itu dipulangkan kembali padaku.
“Nysa tunggu…”
“Tunggu Abang ya?” Nampaknya Aqil cuba berseloroh, namun sedikitpun tidak menghiburkan hatiku.
“Tak! Nysa tunggu bakal tunang Nysa.” Dengan penuh yakin aku memberitahu pada Aqil. Aku tidak mahu ada salah faham untuk yang sekian kalinya. Aqil masih terus tersenyum apabila mendengar jawapanku. Aku lihat, sedikit pun dia tidak berubah melainkan gaya rambut yang kini menampakannya lebih kemas dari dahulu. Senyumannya itu pernah menjadikan aku wanita bahagia satu masa dahulu.
Pertama kali mengenal apa itu cinta, Farish Aqillah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan erti cinta padaku. Walaupun pada waktu itu aku hanya seorang junior di bawah tanggungjawabnya, namun sikapnya yang penuh tanggungjawab dan prihatin membuatkan aku tertarik lalu jatuh hati pada padanya. Dengan penuh ikhlas aku meluahkan perasaanku padanya tapi semudah 1, 2, 3 dia menolak cintaku tanpa mempertimbangkannya terlebih dahulu. Hancur luluh hatiku saat itu.
Katanya dia telah memiliki cinta dan cintanya tidak akan pernah berubah pada perempuan lain dengan sekelip mata. Betapa beruntungnya wanita yang menjadi pilihan Aqil, beruntung kerana memiliki lelaki yang penuh dengan ciri-ciri lelaki idaman setiap wanita. Namun begitu aku sekali-kali tidak pernah berdendam pada Aqil walaupun kasihku tidak berbalas. Padaku semua itu telah menjadi takdirku dan aku sudah belajar untuk melupakan semua itu.
“Kalau abang jadi tunang Nysa, Nysa rasa ok tak?” Kata-kata Aqil membuatkan aku tidak senang duduk.
“Abang Aqil merepek apa ni?” aku enggan menjawab pertanyaan yang tidak masuk akal itu.
“Abang serius ni, abang akan jadi tunang Nysa.”
Aku bertambah keliru dengan kata-katanya, mungkinkah dia lelaki yang diperkatakan oleh ayah. “Abang Aqil…” ayat yang ingin aku katakan tidak dapat aku habiskan, semuanya kini mula bercelaru. Tidak tahu apa yang harus aku perbuat diketika ini.
“Ayah abang dah berbincang dengan ayah Nysa, rasanya tak ada masalahkan. Jadi Nysa rasa bila tarikh yang sesuai untuk majlis pertunangan kita.” Aqil kelihatan beria-ia benar.
Aku masih keliru, betulkah apa yang diperkatakannya. Aku segera bangun meninggalkan Aqil, semua ini masih memeningkan. Mungkin ini satu gurauan, atau kebenaran. Terdengar suara Aqil memanggilku dari belakang, langkah aku percepatkan agar Aqil tidak dapat mengejarku. Aku harus mendapatkan kebenaran dari ayah, semua persoalan harus terjawab hari ini juga.
Setiba di luar pintu rumah aku dapat lihat ayah dan ibu sedang bersembang dengan sepasang suami isteri yang kukira kawan kedua orang tuaku. Sebaik sahaja selesai memberi salam, aku melangkah masuk ke dalam rumah. Kedua tangan ibubapa aku salam hormat diikuti tetamu wanita yang berada di ruang tamu itu.
“Nysa, kenalkan ini mak dan ayah Aqil. Nysa dah jumpa dengan Aqil kan?”
Belum sempat aku bertanya ayah telah menjawab kesemua persoalan yang bermain di mindaku sebentar tadi. Nampaknya apa yang diperkatakan Aqil adalah kenyataan. Tapi entah kenapa aku tidak rasa gembira dengan apa yang sedang aku lalui kini. Sepatutnya akulah insan yang paling gembira dengan berita itu memandangkan Aqil merupakan satu-satunya lelaki yang berjaya membuka hatiku. Perasaanku kini begitu aneh, rasa gembira jauh sekali, apa yang ada hanya rasa tidak tenteram di atas kenyataan itu. Aku sendiri tidak tahu kenapa, yang pastinya aku telah berniat untuk menolak perkahwinan ini.
Selesai sahaja menunaikan solat isyak, aku kembali pulang ke rumah sewaku. Niatku untuk menolak perkahwinan itu masih belum aku nyatakan pada kedua orang tuaku. Aku memerlukan waktu yang sesuai untuk itu. Hatiku sudah tidak tenang lagi, tidur malamku juga kian terganggu. Berkali-kali Aqil menghubungiku, namun sekalipun tidak aku hiraukan pangilannya itu. Aku benar-benar tidak faham dengan Aqil, apa yang menyebabkan dirinya berkeputusan untuk menjadikan aku suri hidupnya sedangkan satu ketika dulu cintaku padanya hanya dipandang sepi. Itu yang menghantuiku dan menjadikan aku tidak rela dengan ikatan yang ingin dibina olehnya.

SEJAMBAK bunga mawar merah kulihat berada di atas mejaku sebaik sahaja aku pulang dari makan tengahari. Entah ya atau tidak aku pemiliknya, aku sendiri tidak tahu.
“ Wah! Siap dapat bunga lagi, dari kekasih hati ke?” Kartina, pemilik meja bersebelahan denganku tersenyum penuh makna.
Aku pula hanya mampu membalas senyumannya. Aku memegang jambangan bunga itu, sekeping kad yang diselitkan pada celahan kuntuman bunga aku tarik keluar.
‘Nysa diciptakan untuk abang dan abang ditakdirkan untuk Nysa… Harap Nysa boleh pertimbangkannya.’ ~ Abang Aqil~
Kad berbentuk hati itu aku lepaskan dari pegangan tanganku, begitu juga dengan kuntuman bunga yang dikirimkan olehnya. Apa yang dimahukan oleh Aqil sebenarnya? Mengapa tiba-tiba sahaja aku diburu olehnya? Aku membiarkan semua itu, malas mahu memikirkannya lagi. Kelas pukul dua petang harus aku hadiri, pasti para pelajarku sedang menunggu. Aku lantas meninggalkan bilik pensyarah.

MALAM itu aku hampir terlelap sebelum telefonku berbunyi. Pasti Aqil gerangan pemanggilnya. Malas menjawab panggilan itu membuatkan aku berkeputusan mematikan telefon bimbitku. Walau Aqil lakukan apa sekali pun aku tetap tidak dapat menerimanya dalam hidupku kini. Aqil adalah kenanganku, dan kenangan tetaplah menjadi kenangan padaku. Selimut kutarik, lampu meja kumatikan sebelum mula melelapkan mata. Aku mahu tidur dengan tenang malam ini dan aku yakin aku mampu memperolehi ketenangan itu.
Rasa dahaga membangunkan aku dari tidur, aku sering terjaga malam gara-gara kehausan. Ia seolah-olah sudah menjadi tabiat yang tidak dapat aku ubah. Aku segera menuruni anak tangga dan menuju ke dapur. Segelas air aku bawa naik ke ruang kamarku. Cahaya terang yang menyinari tingkap bilikku membuatkan aku menuju ke tingkap, langsir tingkap aku selak sedikit untuk memastikan dari mana datangnya cahaya yang terang itu.
            “Aqil?” aku kembali menutup rapat langsir tingkap yang aku selak tadi. Jam di atas meja di tepi katil aku perhatikan. Hampir pukul tiga pagi, apa yang dibuat oleh Aqil waktu-waktu begini di hadapan rumah sewaku. Dari mana pula alamat rumahku diperolehi. Aku tarik perlahan langsir sekali lagi bagi memastikan benarkah Aqil yang berada di luar pagar rumahku. Ternyata memang Aqil. Aku mendapatkan telefon bimbitku dan menghidupkan kembali telefonku. Beberapa mesej dari Aqil aku terima yang menyatakan dia dalam perjalanan ke rumahku untuk berjumpa denganku. Aku kembali duduk di atas katil, memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya. Mesej dari Aqil aku terima sekali lagi.
            Abg ttp tgu smpai Nysa keluar jmp dgn abg!
Tiada apa-apa lagi yang boleh aku lakukan saat ini. Mesej dari Aqil terpaksa aku balas. Aku meminta Aqil pulang dan berjanji akan menemuinya esok hari. Aku tidak mahu Aqil jatuh sakit pula nanti.
            Abg akan blk kalau Nysa setuju terima pinangan abg! Keputusan ada pada Nysa.
Aku makin runsing, apa lagi yang harus aku perkatakan pada Aqil agar dia faham situasiku. Aku tak mungkin menerima cintanya setelah cintaku ditolak mentah-mentah dahulu. Bukan niatku untuk membalas dendam, cuma aku sendiri tidak selesa bila berhadapan dengannya. Tahukah dia akan semua itu? Aku berkeras, waktu-waktu begini tidak mungkin aku akan keluar berjumpa dengan Aqil dan aku benar-benar yakin Aqil akan pulang sebentar lagi, Aqil tidak mungkin membuang masanya di sini.
Aku tersedar kira-kira jam 6.30 pagi, lantas aku bersiap sedia untuk menunaikan solat subuh dan menyediakan sarapan untuk diriku dan Miza. Miza merupakan seorang pereka dalaman di salah sebuah syarikat swasta di ibu kota. Keluar bekerja pada pada awal pagi namun sentiasa pulang jauh malam, mungkin bebanan tugas yang ditanggungnya memerlukan dia berbuat begitu.
            “Kau balik pukul berapa semalam?” aku menuang air milo ke dalam cawan Miza.
            “Semalam apa kebendanya, pukul 6 pagi tadi baru sampai rumah.” Miza menyenduk nasi goreng ke dalam pinggannya.
            “Lambatnya?”
            “Ada projek baru, nak tak nak, mesti kena settle dalam bulan ni juga.”
Aku menganggukkan kepala tanda mengerti.
            “Eh, Nysa! Pagi tadi masa aku balik, ada lelaki tercegat depan rumah kitalah.”
Tersedak aku mendengar cerita yang disampaikan oleh Nysa. Aku pasti lelaki yang dimaksudkan oleh Miza ialah Aqil.
            “Aku pun confident aje tanya pada lelaki tu dia buat apa depan rumah kita pagi-pagi buta?” Miza bercerita dengan bersungguh-sungguh.
            “Dah tu dia jawab apa?” aku buat muka selamba, kononnya tak kenal lelaki yang dimaksudkan Miza.
            “Jawap apanya, ada ke patut dia terus aje masuk dalam kereta, dah tu blah macam tu aje.” Jawapan yang diberikan Miza sudah cukup memuaskan hati aku. Miza tak perlu tahu pasal Aqil, apatah lagi tentang perkahwinanku, semua itu akan aku selesaikan hari ini juga.

AQIL SUDAH pun tercegat depan pagar rumah ketika aku pulang dari tugas petang itu. Nampaknya aku sudah tidak dapat melarikan diri lagi, namun ini mungkin baik juga kerana tidak perlulah aku mencarinya untuk menyatakan keputusanku.
            “Boleh kita bincang sekarang?” Aqil memulakan kata. Aku cuma mengangguk, memberikan persetujuan.
            “Jom.” Aqil membuka pintu keretanya untukku.
            “Kita bincang kat sini ajelah.” Aku memberikan cadangan, beg tangan dan beberapa buah buku aku keluarkan dari tempat duduk belakang keretaku.
            “Boleh tak Nysa jangan buat abang macam ni, Please Nysa kali ni aje, lepas ni kalau Nysa tak nak jumpa abang lagi pun tak apa, abang faham. Tapi untuk kali ini abang harap Nysa boleh bagi abang peluang. Please.”
Aku meletakkan kembali buku yang aku keluarkan dari tempat duduk belakang keretaku ke tempat asalnya. Kereta milik Aqil aku naiki tanpa sebarang kata, untuk kali terakhir aku mengalah, bukan kerana aku bersetuju untuk meneruskan perkahwinan dengannya tapi ini aku lakukan bagi memadamkan rasa bersalahku membiarkan Aqil menungguku malam semalam hingga ke pagi.
            “Abang tengok, Nysa dah banyak berubah.” Setelah lama kami membisu akhirnya Aqil bersuara.
            “Nysa tak pernah berubah, dan tak akan berubah. Nysa sekarang sama macam Nysa yang abang Aqil kenal dulu.” Aku membalas kata Aqil, itu adalah hakikatnya, aku tidak pernah berubah dan aku masih lagi Nysa Sakinah yang dulu. Apa yang membuatkan Aqil berkata sedemikian aku pun tak tahu. Mungkin sekadar ingin membuka topik perbualan denganku.
            “Termasuk perasaan Nysa pada abang?” pertanyaan Aqil membuatkan aku terjerat dengan kata-kataku sendiri. Persoalan yang aku sendiri tidak pasti jawapannya.
            “Kenapa Nysa diam?” Aqil mula mendesak.
            “Nysa nak turun kat sini, tolong berhentikan kereta.” Apa lagi yang boleh aku lakukan selain melarikan diri. Dengan mudah Aqil menuruti perintahku, kereta diberhentikan di bahu jalan. Aku segera turun dan menapak laju meninggalkan Aqil sekali lagi. Lengan tanganku ditarik kuat oleh Aqil, meminta agar aku berhenti.
            “Lepaslah!” Aku mula membentak dan Aqil melepaskan lenganku akhirnya. “Apa yang abang Aqil nak dari Nysa sebenarnya?” Aku meninggikan suara.
            “Abang cuma nak Nysa terima abang!”
            “Kenapa Nysa?”
            “Cuma Nysa yang boleh cintakan abang sepenuh hati.” Aqil cuba menjelaskan.
            “Siapa cakap? Dulu mungkin ya, tapi sekarang tidak! Nysa dah tamatkan kisah cinta Nysa dulu.” Aku cuba membuat Aqil faham.
            “Abang nak mulakan semula apa yang Nysa dah tamatkan.” Aqil nampaknya berdegil.
            “Cukuplah abang Aqil, untuk apa abang Aqil nak buat semua ni?”
            “Untuk abang!”

          Bersambung...

0 comments:

Post a Comment