Tuesday, November 27, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 21


21
            Zulhairi betul-betul berada di depan mata. Wajahnya tampak tenang, tapi gayanya yang sedang memeluk tubuh itu membuatkan aku kalut seketika. Gerai tepi jalan yang menjual nasi lemak hanya beberapa langkah sahaja lagi di hadapan. Aku menelan liur, tiba-tiba sahaja ada rasa takut untuk berhadapan dengan Zulhairi. Sudah beberapa hari aku cuba mengelakkan diri, akhirnya pagi ini boleh pula terserempak di sini. Kehendak takdir tiada siapa mampu melawannya.
            Langkah aku panjangkan, terus menghampir Zulhairi. “Dari mana nak ke mana?” Soalku apabila mata sudah bertentang mata. Aku cuba mengukir senyuman, cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.
            “Mana-mana jelah.” Katanya yang masih lagi kaku memandangku.
            Jawapannya yang hambar itu menyesakkan dadaku. Terasa lain bila tidak dilayan seperti biasa olehnya. “Kenapa ni? Marah kat aku ke?” perlahan aku mengajukan soalan yang aku rasa sudah aku tahu akan jawapannya.
            Dia mengangkat kedua belah keningnya. Wajahnya makin serius memandangku. Aku mengaru kepala yang tidak gatal. Merajuk ke, marah sebenarnya ni? Kalau merajuk, takkan dia mahu berhadapan denganku sebaik sahaja melihat kehadiranku. Berat rasanya nafas aku  hembuskan. Susah betullah dengan Zulhairi ni, yang dia beria-ia sangat hendak tahu tentang kata-kata Wafi beberapa hari lepas, kenapa? Tidak mungkin dia cemburu.
            Cemburu? Sebaik sahaja perkataan itu terlintas di fikiranku pantas aku memandangnya yang masih tidak berganjak dari tadi. Kalau benar itu apa yang difikirkannya lagi susah untukku bercerita padanya, aku tidak mahu dia salah faham akan hubunganku dengan Wafi.
            “Aku nak pergi beli sarapan untuk adik-adik aku.” Aku terus sahaja berlalu memintas dirinya. Dan dia hanya membiarkan aku berlalu.
            “Kak, nasi lemak ayam empat bungkus. Semua letak ayam goring ya, kak.” Kataku pada kakak yang menjual nasi lemak di tepi jalan bersebelahan taman perumahanku.
            “Saya nak tiga bungkus kak. Letak ayam goreng juga.”
            Tersenyum lebar kakak yang menjual nasi lemak itu apabila menerima pesanan daripada Zulhairi pula. Aku berdiri tegak memerhati kakak di depanku ini membungkus pesananku, Zulhairi yang berdiri benar-benar di sebelahku juga diam memerhati. Terasa bersalah pula apabila aku berdiam diri begini. Mulut begitu ringan untuk berbual, tapi hati pula tidak membenarkannya. Payah betul untukku berhadapan dengan situasi begini.
            “Adik punya enam belas ringgit.” Dia menghulurkan plastik merah itu padaku, dan aku menyambutnya. “Adik punya pula dua belas ringgit.” Dia menghulurkan sebuah lagi plastik merah pada Zulhairi.
            Baru aku mahu menghulurkan dua keping not merah kepada kakak itu, Zulhairi terlebih dahulu menghulurkan sekeping not lima puluh. “Kira sekali kak.”
            Kakak itu tersenyum sambil mengambil wang dari tangan Zulhairi.
            “Tak payahlah Zul, aku boleh bayar sendiri.” Aku cuba menghalang, namun sedikit pun dia tidak menoleh padaku. Dia hanya memandang kakak itu mengira dan memulangkan baki wangnya.
            Sebaik sahaja wang bertukar tangan dia terus sahaja berpaling dan berjalan meninggalkanku. Sekali lagi aku mengaru kepala yang tidak gatal. Hati langsung tidak senang dengan apa yang berlaku antara aku dan dia hari ini. Tanpa membuang masa aku mengejar Zulhaira yang sudah jauh ke depan.
            “Kau kerjakan hari ni?” Tanyaku sebaik sahaja berjalan beriringan dengannya.
            Dia hanya menganggukkan kepalanya tanpa memandangku walau seketika. Pandangannya hanya tertala ke depan sahaja. Kemudian masing-masing mendiamkan diri.
            Aku ingin bertanya lagi, tapi ianya terbantut kerana aku sudah sampai di hadapan rumahku. Dia pula terus sahaja meneruskan perjalanannya ke arah rumahnya. Dekat sangat pula gerai nasi lemak itu dengan rumahku ini, hanya selang beberapa rumah sahaja. Jika ianya jauh sedikit pasti aku akan berjaya memujuk rajuk Zulhairi.
            “Along Alia dah lambat ni, nanti bas terlepas pula.” Suara Alia memecah lamunanku. Aku memandang Alia yang sudah sedia mengendung beg sekolah dan buku di tangan.
Alia segera menghulurkan salam, pasti jam sudah tepat pukul tujuh pagi. Jika tidak Alia tidak akan kelam kabut begini. Lagi pula hari ini hari pertama Alia mahu menjawab kertas pertama untuk peperiksaan SPMnya, jadi pasti dia tidak mahu terlewat sampai sekolah. Bas sekolah mereka akan mengambil mereka di pagar masuk utama taman ini yang tidak jauh dari rumahku ini. Jadi mereka perlu berjalan kaki ke sana terlebih dahulu.
“Nah makan kat sekolah nanti.” Aku menghulurkan nasi lemak yang aku belikan untuk mereka sebentar tadi. Pagi ini aku terlewat bangun, dan tidak sempat untuk membuat sarapan untuk mereka, jadi aku beli sahaja sarapan yang agak berat ini untuk mereka.
“Terima kasih along.” Ujar Alia.
Melihat mereka sudah memulakan langkah, mataku segera menoleh melihat jalan menuju ke rumah Zulhairi. Tiba-tiba idea muncul tanpa di pinta, aku segera masuk ke dalam rumah, aku melangkah ke arah Amira yang sudah sedia menungguku di meja makan dengan kepalanya dilentokkan di atas meja.
“Makan cepat, dah lambat ni.” Aku terus membuka bungkusan nasi lemak. Air di dalam jug aku tuangkan sebelum aku berlalu naik ke atas untuk menukar pakaian.
“Along tak makan?” Soal Amira sewaktu aku berada di kaki tangga.
Aku berpaling memandangnya. “Tak apa, nanti along makan kat pejabat.” Aku terus naik ke atas.
Baju yang sudah sedia aku gosok sejak malam tadi aku ambil. Aku salin secepat yang mungkin. Wajah aku rias serba ringkas sahaja hari ini. Aku mahu segera keluar dari rumah. Selepas mengapai beg kerja dan tas tangan, aku segera turun ke bawah mendapatkan Amira. Aku berharap dia sudah selesai makan apabila aku turun nanti, tapi rasanya tidak mungkin dia boleh makan selaju itu.
“Eh, kenapa tak makan?” Soalku apabila melihat nasi lemaknya berbungkus semula dan dia hanya minum susu yang aku sediakan tadi.
“Alia nak makan nanti.”
Aku tersenyum, gembira kerana dia seolah-oleh memahami yang aku mahu segera keluar hari ini. “Dah, jom.” Aku membimbit begnya di tangan kananku.
Selesai mengunci pintu dan pagar rumah, aku membimbit tangannya untuk bergerak beriringan denganku.
“Kenapa tak naik kereta along?” Amira mengangkat kepalanya memandangku yang berjalan di sebelahnya.
Aku pula memandang bawah ke arahnya sambil meneruskan perjalanan. “Hari ni kita tumpang Abang Zul, okay.”
Yeh…!” Dia sudah melompat keriangan. Suka sangat mendengar nama Zulhairi meniti di bibirku.
Aku hanya tersenyum dan meneruskan perjalanan. Terasa jauh pula rumah Zulhairi padahal rumahnya tidaklah sejauh mana. Dalam hati aku terus berdoa agar Zulhairi masih belum keluar ke pejabat. Aku tidak mahu kerenggangan ini berpanjangan. Aku mahu menjelaskan semua perkara tentang Wafi hari ini juga. Rasa tidak senang duduk pula apabila dia bermasam muka denganku, hatiku benar-benar rasa tidak selesa.
Aku sampai di rumahnya ketika dia baru selesai membuka pintu pagar. Dia memandangku pelik. Langkah yang cuba diatur ke kereta mati apabila melihat aku menghampiri rumahnya. Dia memandangku tanpa kata. Aku juga seperti tidak tahu apa yang perlu aku katakan saat ini. Dua-dua terdiam membisu. Hanya tali lehernya yang diterbangkan angin pagi sahaja yang mampu aku lihat.
“Abang Zul nak tumpang boleh?” Amira memecah kesunyian.
Zulhairi terus tunduk dan membawa Amira ke dalam dukungannya. “Boleh, jom.” Dia melemparkan senyuman pada Amira sebelum terus berpaling, kembali ke keretanya.
“Mira nak duduk belakanglah hari ni. Biar along duduk depan.” Amira memberikan cadangan apabila Zulhairi membukakan pintu hadapan keretanya untuk Amira.
Kata-kata Amira itu membuatkan Zulhairi memandangku. Pasti Zulhairi beranggapan bahawa akulah yang mengajarkan Amira tentang itu. Padahal, aku sendiri terkejut mendengar kata-kata Amira. Jadinya aku hanya mampu membalas pandangannya. Kemudian dia terus membuka pintu penumpang belakang untuk Amira dan membiarkan Amira masuk. Sebaik sahaja dia menutup pintu untuk Amira.
“Naiklah.” Katanya sepatah dan terus menuju ke bahagian pemandu.
            Senyumanku sudah lebar menghiasi wajah. Nasib baik ada Amira, jika tidak, sampai sudah aku dan Zulhairi hanya berbalas pandangan mata. Aku terus melangkah masuk ke dalam keretanya. Dia memandu keretanya keluar dari anjung rumah dan terus ke tadika Amira.
            Sampai sahaja di tadika Amira, dia terlebih dahulu turun untuk menghantar Amira ke muka pintu. Sama seperti biasa. Mataku mengekor langkahnya dari dia keluar hingga dia masuk semula ke dalam kereta. Dia meneruskan pemanduannya seperti biasa, tangannya membuka radio, sedikitpun dia tidak menghiraukan aku.  
            Aku memang ingin bersuara, tapi tidak tahu ingin dimulakan dengan mukadimah yang bagaimana?
            “Kau merajuk dengan aku ke?” aku cuba menyoal, memulakan. Amat aku harapkan jawapannya adalah tidak!
            Tapi Zulhairi masih terus mendiamkan diri. Aku jadi terdiam seketika. Memikirkan apa lagi yang harus aku katakan? Pandanganku tumpah ke atas jalan raya yang sedang kami lalui. Tidak sesak seperti kebiasaannya. Laju sahaja Zulhairi membelah jalan menuju ke wisma. Aku sudah menelan liur, kami sudah hampir sampai tapi Zulhairi masih lagi mengambil langkah berdiam diri denganku. Aduh, di saat aku mahukan keadaan jalan yang sesak bagi memanjangkan masaku, pada masa ini jugalah trafik di Kuala Lumpur ini berjalan dengan lancer. Aduh!
            “Kau sayang betul dengan Amirakan. Semua yang dia nak kau ikut je, sekali pun aku tak pernah nampak kau marah dia.” Aku tak tahu kenapa ayat ini yang keluar. Tidak mengapalah janji ada perkara yang boleh aku menarik minatnya untuk berbual denganku.
            “Dia anak yatim piatu.” Katanya ringkas.
            “Aku pun anak yatim juga. Tapi kau selalu je marah aku. Macam sekarang ni.” Kataku selamba.
            Terus pandangan Zulhairi singgah pada wajah. Dia merengus kasar kemudian Zulhairi memandang ke hadapan semula. “Kau tu keras hati. Tak nak dengar cakap orang.” Kasar suaranya.
            Aku mencebik, tak habis-habis mengelar aku keras hati. Dari dulu sampai sekarang, dia tidak pernah lupa untuk mengungkapkan kata sebegitu. Gelaran itu tetap melekat di bibirnya. “Kau ni tak habis lagi ke marah kat aku?” Aku sudah geram. Rasa nak naik marah dah ni. Tidak mahu memanjangkan bicara, jadi aku terus ke persoalan pokok yang ingin aku ajukan padanya.
            “Bila masa pula aku marah?” gumamnya perlahan, hampir tidak mencecah ke telingaku.
            “Habis tu yang kau buat tak tahu dengan aku tu kenapa? Merajuk ke?”
            “Buat apa nak merajuk?” kali ini suaranya dapat aku dengar dengan jelas.
            “Alah, kalau dah marah tu, cakap ajelah. Macamlah aku tak boleh Nampak muka masam kau tu.?” aku masih cuba menyingkap isi hatinya.
            “Dah orang tak nak cerita, takkan aku nak paksa-paksa pula. Buat bodoh je dahlah.” Nadanya makin sinis sampai di telingaku.
            Aku mengeluh perlahan. “Kenapa kau nak tahu sangat apa yang Wafi cakap kat aku hari tu? Penting sangat ke?”
            Dia mendiamkan diri, tidak tercuit sedikit pun dengan soalanku. Tangannya masih lagi mengawal pergerakan kereta.
“Kenapa kau tak tanya kat Wafi?” Soalku apabila keretanya sudah mula memasuki kawasan basemant wisma.
“Dia outstation. Kalau tak dah lama aku tanya dia sendiri.” Perlahan sahaja ayat itu dituturkan di bibirnya namun masih jelas di telingaku.
Patutlah beberapa hari ini aku tidak nampak kelibatnya di wisma. Telefonnya juga tidak berangkat bila aku cuba menghubunginya. Aku fikirkan dia mahu mengelak daripada berbicara denganku. Aku mahu berbincang baik-baik dengannya, aku mahu menjelaskan agar dia faham apa yang hatiku mahukan.
            “Kalau kau tak nak cerita tak apa. Aku tak nak paksa!” Katanya sambil mematikan enjin keretanya. Beg bimbit di tempat duduk belakang dicapai dan dia segera keluar dari kereta.
            Melihatkan Zulhairi sudah keluar dari kereta, cepat-cepat aku membuka tali pinggang keledar yang aku kenakan. Pintu segera aku buka dan keluar. “Zul! Hari tu Wafi lamar akulah!” jeritku dalam nada yang agak perlahan, namun cukup untuk membuatkan Zulhairi terus berpaling ke belakang memandangku semula.
            Wajahnya berkerut seribu kemudian dia melangkah menghampiriku.
            Aku menelan liur, tidak tahu mengapa aku takut untuk menerima reaksinya nanti.
            “Dia buat apa?” Soalnya sekali lagi bila sudah berada di hadapanku.
            “Dia… dia… lamar aku?” lambat-lambat aku mengulang ayatku sebentar tadi. Ayat yang aku cuba rahsiakan darinya beberapa hari ini.
            “He did it?” soalnya seakan tidak percaya.
            Aku hanya mengangguk. “Ha’ah tapi secara tak langsunglah. Tapi kau jang…”
            “Yes!” Belum sempat aku menghabiskan ayat, dia sudah menjerit keriangan. Bergema suaranya di dalam ruangan bawah tanah ini.
            Aku jadi tersentak menerima reaksi sebegitu daripada Zulhairi. Dia kelihatan sungguh gembira. Benarkah Zulhairi gembira dengan berita ini? Apa yang mengembirakannya sangat? “Kau…”
            “I know he can do it.”
            Seperti tadi, sebelum sempat aku menghabiskan ayat, dia sudah memotong. Senyuman masih lagi melebar di bibirnya.
Kegembiraannya itu mengundang satu rasa kurang senang dalam hatiku. Degupan jantungku terasa sudah tidak bergerak dalam keadaan melihat dirinya.
“Kau tahu tak, bukan main takut lagi dia nak berterus terang dengan kau. Akhirnya berjaya juga dia. Aku tak sangka betul, cepat juga dia bertindak.” Dia memandang dan mengerak-gerakkan keningnya beberapa kali padaku. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.
Mulutku sudah terlopong mendengar katanya. Maknanya Zulhairi terlebih dahulu telah mengetahui bahawa Wafi akan melamarku. Tapi bagaimana dia tahu semua itu? “Apa kau merepek ni Zul?” aku soal dalam nada terketar.
Dia ketawa kuat sebelum memulakan kata. “Merepek apa pula. Betullah apa yang aku cakap tu. Dia memang dah lama suka kau.”
Seusai itu aku terus melangkah, Zulhairi mengejar bersama ceritanya yang tidak lagi aku hiraukan. Semua yang dia katakan hanya singgah di telingaku namun tidak dapat diserap dalam mindaku. Fikiranku sudah melayang jauh, jantungku berdegup dengan lebih laju mendengar pengakuannya itu, dan mata mula terasa pedih menunggu masa sahaja untuk bergenang dengan air.

HARI ini semua yang aku lakukan seperti tidak menjadi. Terasa amat longlai, lemah tidak bermaya. Tubuh badanku seolah sudah tidak dapat menampung berat sendiri. Otak masih  berserabut dengan semua pengakuan Zulhairi pagi tadi.
            Kata-katanya dan kegembiraan yang terpancar di wajahnya pagi tadi cukup untuk menunjukkan kepadaku yang aku terlebih fikir tentang hubungan kami. Ternyata dia hanya menganggapku sebagai kawannya sahaja, tidak lebih daripada itu. Dalam diam, hanya aku sahaja kebelakangan ini yang menaruh perasaan yang bukan-bukan padanya.
            Aku ketawa kecil, cuba menutup kegalauan hatiku sendiri. Nasib baik juga aku tidak terlalu mengikut perasaan, terbuai dengan perasaanku sendiri. Jika tidak, pasti rasa malu yang bertamu apabila aku berhadapan dengannya selepas ini. Entah kenapalah aku boleh menaruh hati padanya? Kenapa semuanya hanya dengan tiba-tiba? Alangkah baiknya jika hari ini perasaanku padanya tidak terlari jauh. Pasti aku tidak perlu menanggung rasa seperti ini hari ini.
            Bunyi hon kereta di sebelahku, berjaya memberhentikan langkahku yang kuhayun menuju ke hentian teksi yang berdekatan dengan wisma. Sebaik aku berpaling, kereta Zulhairi sudah berhenti di sebelahku.
Dia menurunkan cermin keretanya dan memandangku. “Cepat naik.”
“Tak apalah,” balasku acuh tak acuh, aku tidak mahu berhadapan dengannya hari ini.
“Ish, naik!” dari dalam kereta, dia terus membukakan pintu penumpang hadapan untukku.
Bunyi hon dari kereta belakang membuatkan aku membuka langkah biar pun terasa berat kakiku untuk naik. Lagi pula, aku harus berkelakuan biasa. Tidak mahu Zulhairi terhidu dengan rasa yang ada. Sebaik sahaja aku menutup pintu, Zulahiri meneruskan pemanduannya. Aku palingkan wajahku keluar tingkap memerhati setiap apa yang terlintas di hadapan mata dengan perasaan yang kosong sama sekali.
“Kenapa tak tunggu aku kat lobi? Kan aku dah suruh kau tunggu aku kat situ pagi tadi. Nasib baik jumpa Madihah kalau tak, berkurunlah aku menunggu kau.” Bicaranya dahulu.
Tapi aku masih membatu, membiarkan sahaja dia berkata apa sahaja yang dia mahu.
“Kau ni kenapa monyok je dari tadi. Rindu kat Wafi ke?” telahnya tiba-tiba dengan jelingan mata padaku sekala sekala.
“Jangan nak merepeklah, Zul.” Sangkalku.
“Merepek apanya, betullah kau rindu kat dia kan? Takkan kau rindu kat aku pula. Iya tak?” tawanya sentiasa menemani setiap katanya.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Mata aku pejamkan rapat-rapat. Mengapa hatiku pula yang terasa perit bila dia menuturkan perkataan rindu itu? “Aku tak rindu kat dia dan aku takkan rindu kat dia.” Balasku namun wajah masih ku palingkan ke kiri. Malas mahu mengadap wajah penasihat cinta Wafi ini.
“Maksud kau?”
Aku rasa aku menggunakan ayat yang mudah untuk difahami sebentar tadi. Bekas pelajar cemerlang sepertinya tidak mungkin tidak memahami apa maksud di sebalik kataku itu, kecualilah kalau dia memang memilih untuk cuba tidak memahami maksud di sebalik kata-kataku itu.
“Aku rasa aku guna bahasa Melayu tadikan? Takkan tu pun tak faham.” Lemah dan sinis sekali nada yang aku gunakan untuknya kali ini.
Dia ketawa. “Memanglah kau guna bahasa Melayu. Takkan kau cakap guna bahasa Sepanyol pula.” Ketawanya masih pecah, memenuhi ruang keretanya.
Jenaka yang cuba ditonjolkan sedikitpun tidak mengusik hatiku. Tapi tawa yang keluar dari bibirnya itu menghenyak hati kecilku. Saat aku terasa seolah-olah tidak dapat bernafas dengan sempurna, boleh pula dia ketawa sebegitu di hadapanku. Kurang asam punya Zulhairi! Rasa macam nak cekik-cekik aje dia!
“Aku anggap dia kawan aku je, aku tak boleh terima dia.” Aku berterus terang tanpa selindung lagi. Aku mahu dia tahu perkara itu dengan jelas. Hati aku langsung tiada untuk Wafi. Jadi, bagaimana aku mahu menerimanya?
Zulhairi terdiam seketika. Radio yang sedia terpasang sebentar tadi ditutupnya. Aku tahu dia mahu menumpukan perhatiannya pada perbincangan aku dengannya saat ini. Dia memang tidak suka akan gangguan lain jika mahu membincangkan sesuatu perkara yang serius denganku.
Hampir lima minit dia mendiamkan diri dan aku juga begitu. Apa yang aku ingin katakan sudah aku luahkan. Tiada apa lagi yang mahu aku jelaskan padanya. Aku rasa aku sudah menjelaskan dengan jelas sekali.
“Kau tak rasa nak bagi peluang kat Wafi ke?”
            Kepalaku terus berpaling memandang Zulhairi. Niatku untuk tidak memandang wajahnya petang ini terbang begitu sahaja sebaik sahaja mendengar soalan yang menyentap tangkai jantungku. Langsung tidak aku menyangka ayat itu yang terkeluar dari bibirnya. Sungguh, hatiku sudah memberontak untuk keluar dari keretanya saat ini juga. Soalannya itu menyakitkan hatiku.
            “Berapa Wafi bayar kau untuk jadi telangkai ni? Tolonglah Zul, aku tak boleh nak tipu hati aku sendiri.” Aku terus menyatakan pendirianku. Tiada seorangpun manusia yang mampu mengubahnya. Lantas pandangan aku tuju ke hadapan jalan raya yang sesak makin menyesakkan dada. Aku ingin segera sampai di rumah. Aku tidak mahu berbual tentang hal ini lagi dengan Zulhairi. Kerana semua yang keluar dari bibirnya menghimpit dada. Tapi melihatkan keadaan jalan yang seperti tidak bergerak dari tadi, melemahkan semangatku.
            “Aku faham…”
            Tak! Kau takkan faham, hatiku menjerit sebelum sempat Zulhairi meneruskan ayatnya.
            “Tapi bila kau bagi peluang kat dia secara tak langsung kau bagi peluang pada diri kau sendiri juga. Mana tahu dia lelaki yang terbaik untuk kau.”
            Dan mungkin juga dia bukan lelaki yang terbaik buat aku, aku menyambung dalam hati. Bibirku sudah tidak mahu berbicara dengannya. Hati yang pedih ini hanya mampu berbicara bersendirian.
            “Dia berusaha keras untuk cuba tambat hati kau. Takkan kau tak perasan dengan semua yang dia buat untuk kau sepanjang kau kenal dia?” Dia sedaya upaya membuat aku terpengaruh dengan kata-katanya.
            Aku hanya membiarkan Zulhairi berbicara sendiri. Katalah apa pun yang ingin dia katakan. Aku tidak peduli.
            “Berhari-hari dia minta nombor telefon kau kat aku, kau tahu. Mula-mula memang aku tak bagi sebab takut kau marah. Tapi bila aku lihat dia bersungguh-sungguh, aku yakin dia memang serius dengan kau.” Tambahnya lagi.
            Aku terkejut, jadi Wafi mendapatkan nombor telefon bimbitku darinya. “Habis alamat rumah aku pun kau yang bagi kat dia ke?” terus aku menyoal bila perkara itu terlintas di mindaku.
            Dia mengangguk laju.
            Akhirnya sudah terjawab juga persoalan yang bermain di mindaku selama ini. Dia rupanya yang pandai-pandai cuba membuatkan Wafi lebih dekat denganku. “Pasal birthday aku, kau juga ke yang cerita pada dia?” dadaku sudah berombak menahan rasa. Aku amat berharap dia menjawab tidak.
            Dia mengangguk lagi.
            Aku sudah terkedu seketika. Aku fikirkan Azira yang membuka cerita tentang hari lahirku dan rutin tahunanku pada Wafi, rupa-rupanya kawan baikku sendiri yang membuka cerita. Bosan sangatkah dia menemaniku menziarahi kubur orang tuaku hingga dia menyerahkan tugas yang sering dia lakukan setiap tahun bersamaku itu kepada lelaki lain? Entah kenapa aku tiba-tiba yakin, pastinya sewaktu hari lahirku tempoh hari, Zulhairi dengan sengaja memberi peluang pada Wafi untuk menyambut hari lahir bersama-samaku terlebih dahulu. Bersungguh-sungguh nampaknya dia mahu Wafi hadir dalam hidupku. Mengapalah aku tidak boleh memikirkan kemungkinan ini sejak dahulu lagi?
            “Dia sayangkan kau Su.” Dia cuba menyakinkanku.
            Aku melentokkan kepala dan memejamkan rapat mataku. Aku sudah tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Cukuplah itu sahaja untuk hari ini dan selamanya. Hari yang menghuru-harakan diriku. Dalam hati aku berdoa, semoga saja kereta ini sampai dengan cepatnya. Aku sudah tidak sabar mahu turun!

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum... Lagi Entry SAC utk semua pembaca... AH juga nk ambil kesempatan ini utk ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca yang sudahpun memiliki Mininovel PDF Tuhan Tolong Jagakan Dia untuk tujuan sumbangan kepada tabung Gaza dan program kebajikan anjuran The Hadeyya Foundation. Sokongan kalian hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya. Jumpa next entry ya... :)

Wednesday, November 21, 2012

Program Membaca Sambil Beramal



SINOPSIS

Takdir sentiasa berjalan mengikut masa. Kerana perjalanan takdir itu jugalah Durrah bertemu dengan Khair. 
            “Saya simpati pada mak cik… Tak apalah, saya balik dulu” aku rasa wanita itu faham maksud kataku.
            “Alah setakat baju macam kain buruk rumah kita, tak payahlah nak kecoh sangat. Seratus pasangpun aku boleh ganti.”

            Pang! Apabila aku sedar, tapak tanganku kini sudah melekat di pipi lelaki muda itu. Jantungku berdegup laju, bukan kerana jatuh hati, tapi menahan kemarahan yang masih ada. 


Tamparan itu membuatkah Khair mahu Durrah sentiasa ada. Namun tidak pada Durrah. Lelaki itu harus dijauhi kerana sikap dan wataknya sungguh tidak terdidik. 
            “Saya nak awak jadi pembantu Khair.”
Pada Durrah, tawaran daripada puan hajah bukan berita gembira. Ia lebih kepada bala. Dia tak mahu, lalu dia menolak saja.
“Senang aje syaratnya. Kau kena terima kerja yang hajah tawarkan tu.” Laju saja syarat dikemukakan.
“Hah! Jadi pembantu kau?” aku terkejut.
Of course.
“Minta maaflah, kirim salam. Tak akan!” aku tidak bersetuju. Segera aku keluar dari kereta Mitsubishi Evo 10 itu.
Untuk menyelamatkan seorang adik, Durrah tiada pilihan. Dia mula terikat. Akhirnya dengan terpaksa dia menerima.
"Sekarang ni, tugas Durrah cuma dengar arahan Khair. Buat ikut permintaan dia. Dan saya harap sangat sangat Durrah dapat ajar Khair apa saja yang Durrah rasa tak kena pada pandangan Durrah. Didik dia terutama sekali pasal kasih sayang dan tanggungjawab.” 

Durrah  pening. Memang dia sudah ada kelayakan menjadi seorang pendidik. Pendidik kanak-kanak prasekolah. Bukannya lelaki yang umurnya sebaya dengan adiknya sendiri. Persoalannya mampukah Durrah melaksanakan tugasnya dan mengatasi sikap Khair?  
________________________________________


AH sangat harapkan projek ini mendapat sokongan menggalakkan daripada semua rakan pembaca AH. Sokongan daripada semua rakan pembaca sangat AH hargai. Hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya.

Salam Ukhwah Penuh Kasih Sayang,
Adah Hamidah 


Monday, November 19, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 20


20
            Aku menatang dulang yang berisi air Nescafe panas dan milo ais untuk Zulhairi dan adik-adikku. Sewaktu melalui ruang tamu aku mencari-cari kelibat Amira. Kemana pula perginya budak ini, tadi dia yang beria-ia inginkan milo ais, sekarang entah kemana pula menghilangnya. Aku meneruskan langkah ke luar rumah untuk menghantar air buat Zulhairi dan Alia. Tinggal lagi dua minggu sahaja SPM bakal menjelma dan aku lihat bukan Alia sahaja sedang bersungguh-sungguh belajar tetapi Zulhairi juga seperti sama-sama bersemangat untuk mengajar Alia. Mulai minggu lepas setiap hari selepas habis waktu pejabat dia akan ke rumahku untuk mengajar Alia.
Sebelum ini aku hanya memintanya mengajar Alia matapelajaran matematik dan matematik tambahan sahaja, tapi sekarang fizik dan kimia pun dia berikan tunjuk ajar pada Alia. Aku tidak kisah, kerana aku tahu dia memang pintar sejak zaman persekolah lagi, aku rasa dia hanya perlu membaca semula semua topik sesuatu subjek itu dan pastinya dia akan dapat mengimbau semula apa yang dipelajarinya dahulu. Dan yang paling penting dia tidak minta bayaran atas tuisyen yang dia berikan selama ini. Puas aku hulurkan wang tapi dia tidak mahu, katanya menolong adik-adikku sama seperti dia menolong adik-adiknya, sedangkan dia anak bongsu, mana ada adik pun. Apa-apa sajalah Zulhairi ini.
Seperti biasa aku lihat Alia masih lagi tekun dengan kertas soalan di hadapan matanya, cuma Zulhairi sudah beralih tumpuan pada Amira yang sudah berada di atas ribanya. Dia sibuk mengajar Amira membaca. Patutlah dia tiada di dalam rupanya bersama Zulhairi di sini. Tadi aku sudah menasihatinya supaya jangan menganggu Zulhairi mengajar Alia tapi dia buat juga. Amira ini memang terlalu rapat dengan Zulhairi, pantang nampak muka Zulhairi dia yang akan ke depan dahulu.
“Amira, kenapa kacau abang Zul?” Aku memandangnya apabila aku sudah berdiri di hadapan dia dan Zulhairi.
Dia hanya tersengih mendengar soalanku.
“Mana ada Mira kacau, Mira nak belajar dengan Abang Zul, kan?” mendengar Zulhairi membelanya makin lebar senyumannya. Suka sangatlah tu.
“Abang Zul siap.” Alia menghulurkan kertas jawapannya pada Zulhairi. Dan Zulhairi menyambutnya. “Bang Zul nak rest dulu boleh tak? Nak minum.” Alia minta izin pada gurunya sebaik sahaja aku meletakkan minuman di atas meja.
“Okay, kita rest dulu.” Zulhairi memberi kebenaran.
Aku duduk sambil mengambil kertas jawapan yang Alia hulurkan pada Zulhairi tadi. Soalan kimia, aku memerhati soalan dan jawapan yang Alia berikan. Berkerut-kerut keningku membaca soalan itu. Nampaknya apa yang aku belajar sewaktu subjek kimia di sekolah dahulu sudah kelam. Terasa rugi pula ilmu yang telah aku pelajari beberapa tahun itu, telah hilang entah ke mana?
“Ingat lagi ke?” sinis sahaja aku mendengar soalan itu keluar dari mulut Zulhairi.
Aku mencebik. Mula nak tunjuk lagaklah tu dengan aku. Kalau aku berlagak pandai, aku yakin dia pasti akan menyuruh Alia mengeluarkan soalan percubaan SPM sekolahnya dan bertarung denganku siapa yang akan mendapat jawapan yang tepat dan terpantas. Malas aku hendak layan.
“Amira meh sini, jangan kacau Abang Zul.” Aku mengamit Amira supaya dia duduk denganku. Kesian pula aku lihat keadaan Zulhairi yang asyik melayan Amira minum sedangkan minumannya masih tidak berusik lagi.
“Alah biarlah, kau ni pun.”
Akhirnya aku diamkan saja. Jangan malam nanti telefon aku mengadu yang penat melayan Amira hari ini sudah.
“Along, abang Zul dah janji, lepas Alia habis SPM ni dia nak bawa kita semua pergi Lagoland.” Ali membuka cerita, dia dan Amira sudah tersenyum lebar.
            Aku memandang Zulhairi, dia hanya selamba sahaja. Dia memang suka janji yang macam-macam dengan adik-adik aku ini. Aku bukan takut dia tidak menunaikan janji kerana aku tahu setiap apa yang dia katakan dia pasti akan kotakan cumanya untuk ke sana bukannya murah walaupun masih lagi dalam Malaysia. Tapi untuk kami berlima ke sana memang memakan wang yang bukan sedikit.
            “Kau tak payah nak merepek ye Encik Ahmad Zulhairi. Kau ingat seringgit dua nak masuk dalam tu?” aku membantah, rasanya dia mesti tidak tahu harga tiket untuk masuk ke sana.
            “Aku tahulah…”
            “Dah tu?” belum sempat dia meneruskan ayatnya aku sudah membalas.
            Dia mengeluh perlahan, mungkin geram denganku yang memotong cakapnya. “Apa salahnya sekali sekala. Bukannya setiap bulan kita pergi pun. Kau jangan risaulah semua aku sponsor.”
            Senang betul dia bercakap. Macamlah sudah banyak sangat duit, sampai semua mahu sponsor. Sudahlah belum sampai setahun bekerja semula, sudah mahu membelanjakan wang begitu sahaja. “Daripada kau habiskan duit kau ke sana, baik kau simpan buat belanja kawin.” Aku terdiam sudahnya. Macam manalah aku boleh membangkitkan hal perkahwinan. Sejak aku berbual dengan makcik Khamsiah di rumahnya aku sudah berjanji tidak mahu membangkitkan hal ini di depan Zulhairi. Aku mahu dia sendiri yang memulakan dan menyatakan tentang hal itu kepadaku sendiri.
            “Tu tak apa. Aku kalau kahwin nanti aku nak buat ringkas-ringkas je. Kau pun suka majlis yang ringkas-ringkaskan?” dia menyoalku pula.
            “Kau nikan.” Aku sudah memuncung.
            Dia kemudiannya ketawa kecil. “Alah kau ni rileks ar, aku melawak jelah. Tu pun nak take serius ke? Macam tak biasa dengan aku.”   
            Aku makin menarik muka dengannya. Semua benda ingin dijadikan lawak. “Kau ni kebelakangan ni suka buat lawak yang bukan-bukankan?” geram aku apabila dia membalas dengan tawa besarnya sahaja.
            “Apa pun aku tak kira, aku tetap nak bawa diorang pergi Lagoland tu.” Katanya padaku. Kemudian dia memandang Amira dan Alia silih berganti. “Kalau kak long korang tak nak pergi takpe, abang long korang ni boleh tolong bawakan.”
            “Zul!” Aku sudah menjerit geram. Aku pasti malam ini pasti Alia akan cuba mengorek sehabis mungkin kisah aku dan Zulhairi kerana dari tadi dia asyik memandangku dengan senyuman.

SEBAIK sahaja aku menghabiskan bacaan doa dan membuka telekung telefon bimbitku berdering lantang. Baru sahaja aku ingin menjawab panggilan tersebut, deringannya tiba-tiba terputus. Nasib baik aku tidak berkejar untuk mengangkat telefon tersebut jika tidak buat sakit hati sahaja. Sekali lagi telefon itu berbunyi dan ianya sama seperti tadi, deringannya hanya seketika sebelum ianya terputus dengan sendiri.
            Aku sudah mengeluh geram. Siapalah agaknya yang mahu memainkanku. Aku terus mendapatkan telefon bimbitku di atas meja solekku. Dua panggilan tidak dijawab dan ianya dari Wafi. Dan belum sempat aku berfikir panjang, telefonku berdering sekali lagi dan kali ini aku terus sahaja menjawab tanpa menunggu lama.
            “Assalamualaikum.” Sapaku.
            “Er… ye… Wa… Waalaikumusalam.” Tergagap-gagap Wafi yang berada di hujung talian menjawab salam yang aku berikan. Seolah-olah dia tidak bersedia aku menjawab panggilan darinya. Tapi bukankah dua yang menghubungiku terlebih dahulu?
            “Kau ni dah kenapa, macam orang nampak hantu je?” Soalku, jarang dia begini. Selalunya kalau menghubungiku dialah yang paling banyak sekali bercakap. Semua benda hendak diceritakan kepadaku. Dari hal keluarganya sehingga sahabat handainya.
            “Er, tak… ni saya… er, awak free tak sekarang ni?”
            “Aku…” meleret-leret aku alukan satu patah perkataan itu, untuk memudahkan aku memikirkan jawapan bagi soalannya itu. Pasti dia ingin mengajakku keluar hari ini.
            “Kalau awak tak free tak apalah.” Laju pula dia berikan jawapan.
            Aku belum memberikan apa-apa keputusan dia sudah memotong kataku. Selalunya selagi aku tidak setuju dengan pelawaannya selagi itu dia akan terus mendesak. Terasa seperti hari ini aku bercakap dengan Wafi yang berlain, bukan Wafi yang aku kenal.
            “Kenapa? Kau ni macam ada masalah je.” Risau juga kalau dia ada masalah. Sebagai kawan rasanya aku perlu hulurkan bantuan. Jika aku tidak boleh menolongnya secara langsung, sekurang-kurangnya aku boleh menjadi pendengar yang baik dan memberikan nasihat serba sedikit.
            “Bukan masalah sebenarnya. Cuma… Er, saya nak jumpa awak boleh?”
            “Boleh.” Tanpa memikirkan terlalu lama seperti kebiasaannya aku terus memberikan persetujuan.
            “Hah, betul ke boleh?” dia terperanjat mendengar persetujuanku yang aku putuskan dalam masa tidak sampai beberapa saat.
            “Ye, boleh sahabatku Wafi.”
            Dia tertawa kecil, namun aku terasa canggung dengan nada tawanya itu. “Kalau macam tu, lagi setengah jam saya ambil awak kat rumah.”
            “Okay.” Balasku ringkas. Terasa bersemangat pula untuk berjumpa dengannya hari ini. Mungkin kerna aku ingin dia berkongsi masalah yang dihadapinya itu denganku, membuatkan aku jadi begini.

RASANYA sudah sejam aku dan dia berpusing-pusing di dalam the Curve ini. Masuk kedai itu keluar kedai ini tapi satu barang pun tiada yang dia beli. Dia masuk ke kedai itu semua sekadar ingin melihat-lihat sahaja, dan aku pula hanya mengikut langkahnya tanpa banyak soal, sedangkan hati sudah berbagai-bagai soalan yang menerpa masuk.
            Entah kenapa dengan dia hari ini, dari ambil aku di rumah tadi, kemudian makan bersama di food court sehingga sekarang susah benar nak mendengar suaranya keluar. Hanya benda yang penting-penting sahaja yang keluar dari bibirnya. Kebanyakkan masa dia hanya membisu. Jika begini lebih baik aku duduk rumah sahaja, sudahlah sejauh ini dia membawaku, bukannya tiada shooping mall di Kuala Lumpur hingga ke Petaling Jaya dia mengheretku.
            Mengenangkan mukanya yang berserabut sejak mengambilku di rumah tadi membuatkan aku layankan sahaja kemahuannya hari ini. Mungkin dia sedang dilanda masalah yang besar dan memerlukan masa yang sesuai untuk berbicara denganku. Makan tengahari di food court tadi pun atas permintaanku, dia hanya menurut tanpa banyak cakap. Jika mengikut kebiasaannya dialah orangnya yang akan mencadangkan pelbagai tempat yang enak untuk menjamu selera, kali ini dia seperti merelakan sahaja semua yang aku katakan tanpa sebarang bantahan.
            Langkahnya tiba-tiba dibawa ke tepi, tanganya memegang besi penghadang. Matanya terus memandang ke bawah melihat centre court of the curve yang dipenuhi orang yang lalu lalang. Aku turut membawa diri ke sebelahnya, aku memandangnya sebentar sebelum memandang ke arah yang sama dengan pandangannya itu. Centre court kelihatan meriah dengan orang ramai yang lalu lalang, ada juga yang mengambil kesempatan bergambar di tengah-tengah orang ramai. Aku tersenyum kecil, jika aku memang tidak mungkin aku akan mengambil gambar di tempat yang ramai manusia sebegini. Bergaya dan tersenyum di depan kamera di hadapan orang ramai memang bukan kegemaranku.
            Melihat centre court the curve ini mengingatkanku dengan centre court di Suria KLCC. Suasananya hampir sama. Suria KLCC centre court memang membawa banyak kenangan dalam hidupku. Setiap kali fikiranku berserabut, langkah akan kupanjangkan ke sana, menyendiri di sana. Melihat orang ramai di tengah-tengah bulatan itu membuatkan aku banyak berfikir. Melihat gelagat manusia di situ membuatkan aku lebih banyak menilai kelemahan dan kekuatan diri.
            “Awak first time datang sini ke?” Soalnya padaku tapi matanya masih lagi memandang gelangang di bawah.
            “Em.” Aku menjawab ringkas sambil mengangguk biarpun dia tidak memandangku. Walaupun bukanlah jauh sangat rumahku dan Petaling Jaya ini namun aku memang tidak pernah langsung menjejakkan kaki ke sini.
            “Kenapa?” Tanyaku apabila dia hanya mendiamkan diri setelah aku menjawab soalannya itu.
            Dia hanya mengeleng, seketika kemudian dia segera memandangku. “Kalau saya minta awak beri saya peluang, awak rasa awak nak bagi saya peluang itu atau tidak?”
            Aku mendiamkan diri seketika, cuba mencerna soalan itu ke dalam mindaku. Rasanya soalan ini tiada kena mengena langsung dengan soalannya yang pertama tadi. Dia masih lagi tepat memandang ke arahku, gelanggang di bawah langsung tidak dipedulikannya lagi.
            “Peluang apa?” aku sebenarnya masih lagi keliru. Peluang apa yang dia perlukan dariku?
            “Peluang untuk saya jadi sebahagian dari hidup awak.” Laju sahaja ayat itu keluar dari bibirnya. Wajahnya yang tampak berserabut tadi sudah hilang. Kini wajahnya tampak yakin dengan kata-katanya itu, seperti ayat itu memang sudah lama berada di dalam minda sedarnya.
            Kali ini aku rasa aku pula yang berserabut. Serabut untuk memahami makna di sebalik kata-katanya itu. “Kau kan kawan aku. Kiranya kau memang dah ada dalam hidup akulah.” Aku cuba berlagak selamba. Walau dalam hati sudah berkocak resah. Apa sebenarnya yang ingin dia sampaikan pada aku waktu ini?
            “Saya bukan hanya nak jadi kawan, saya nak jadi lebih dari sekadar kawan untuk awak.” Tanpa selindung lagi dia terus menyatakan hasrat hatinya.
            Kini aku sudah termanggu seketika. Pertama kali mendengar kata-kata sebegitu dari seorang lelaki untukku membuatkan aku sudah tidak senang duduk. Pantas mata aku larikan dari pandangannya yang menantikan jawapan dariku. Kalau aku tahu inilah penyebabnya dia menjadi tidak keruan sebentar tadi, aku pasti aku tidak akan berada di sini dengannya.
            “Saya harap awak dapat ter…”
            “Wafi, stop.” Aku menghentikan kata-katanya sekaligus menghentikan tindakannya yang sedang menyeluk poket seluarnya seperti mahu mengeluarkan sesuatu dari situ. Aku pasti barang yang ada di dalam sakunya itu mahu diberikan kepadaku. Jadi aku segera memberhentikan langkahnya.
            “Wafi, aku… aku…” aduh, kenapa saat ini aku terasa seperti lidahku menjadi kelu untuk menuturkan sebarang perkataan. Minda pula seolah-olah lambat untuk menyusun ayat yang aku mahu luahkan. Kenapa seluruh badanku seolah tidak mahu bekerjasama meluahkan apa yang aku rasa saat ini? Atau sebenarnya aku sendiri tidak tahu apa yang aku rasakan kini?
            “Suraya, saya…”
            “Aku nak balik.” Aku terus berpaling ke belakang, melangkah meninggalkannya sendirian. Dapat kudengar derap kaki yang mengekori langkahku.
            “Saya hantarkan.” Gesanya apabila sudah dapat menyaingi langahku.
            Aku hanya mendiamkan diri dan menuju ke arah lif. Dalam fikiranku yang sebentar tadinya kosong kini sudah terisi dengan wajah Zulhairi. Bayangan dirinya sahaja yang menjengah mindaku sehingga aku dan Wafi sudah pun berada di atas jalan raya menuju ke rumahku. Aku memandang ke luar tingkap, tanpa rasa jemu. Rasa sakit di leher akibat tidak bergerak dari tadi tidak aku hiraukan.
            Aku lebih rela menahan rasa sakit ini daripada memandang wajah Wafi yang berada di sebelah. Aku takut dia akan menyuarakan semula isi hatinya padaku jika mataku bertentangan dengan matanya semula. Pertama kali situasi ini berlaku dalam hidupku dan aku tidak tahu bagaimana untuk mengendalikannya dengan baik tanpa ada hati yang terluka.
            Sebaik sahaja kereta Wafi berhenti di hadapan pagar rumahku, aku segera mengucapkan terima kasih padanya dan membuka pintu kereta. Baru sahaja aku membuka dua langkah Wafi memanggil namaku. Dan aku terus berpaling memandangnya sedangkan mindaku menolak untuk melakukan perkara itu.
            Dia berjalan mendekati yang sudah semakin hampir dengan pagar rumahku.
            “Kenapa?” Soalku tidak berperasaan.
            Wajahnya tidak beriak. “Saya tahu awak terkejut dengan semua ni.” Suaranya lebih tenang dari tadi. Dia mendiamkan diri seketika dan memandangku.
            Aku turut mendiamkan diri, berusaha untuk menjadi tenang sepertinya ketika ini.
            “Kalau saya ada di tempat awak pun saya akan terkejut.” Dia ketawa perlahan. Sebelum meneruskan kata. “Saya dah dapat agak awak akan bagi reaksi macam ni pada saya. Sebab tu saya cuak sebelum berterus terang dengan awak tadi.” Dia sudah tersenyum-senyum sendiri, mengenangkan tingkahnya yang kalut sejak awal tadi.
            “Aku…” sebenarnya tiada apa yang ingin aku suarakan saat ini. Tiba-tiba sahaja bibirku mengalunkan perkataan itu perlahan.
            “Saya tahu awak dah tahu apa yang saya maksudkan kat the curve tadi. Saya tak terniat pun nak paksa awak. Cuma saya harap awak dapat fikir masak-masak perkara ini.” Lembut suaranya cuba menyusup ke dalam hatiku.
            Aku diam tidak berkutik sedikitpun. Aku hanya mendengar semua yang ingin dikatakannya.
            “Dan saya harap awak dapat pertimbangankannya sebaik mungkin. And off course, saya harap saya tak kecewa dengan jawapan awak nanti.” Dia terus sahaja berlalu ke keretanya semula sebaik sahaja selesai menyudahkan ayat terakhirnya itu.
            Aku memerhati langkahnya. Adakah dengan tindakanku berdiam diri ini akan menyebabkan dia lebih menaruh harapan padaku nanti? Tapi aku sebenarnya tidak tahu apa yang perlu aku lakukan sejak dari di the curve tadi. Otakku seakan tidak dapat menimbangkan dengan jelas jawapan apa yang aku perlu berikan, walaupun nyata aku hanya menanggapnya sebagai kawanku dan tidak mungkin lebih dari itu.
            “Wafi,” aku memanggilnya, rasanya perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
            “Fikir masak-masak. Saya tunggu.” Dia terus masuk ke dalam keretanya dan terus meninggalkanku dengan lambaiannya dari dalam kereta.
            Aku hanya mampu memandangnya dengan tiada rasa. Aku mengeluh perlahan sebelum berpaling memandang ke belakang. Jantungku bagi disentap sesuatu bila membuka pagar rumahku. Wajah Zulhairi jelas ketara di mataku waktu ini. Dia tenang bersandar di keretaku sambil memandangku. Di belakangnya Alia sedang sibuk mengemas meja yang menjadi tempat dia mengulangkaji bersama Zulhairi.
            “Dah habis tuisyen ke?” Aku cuba berlagak biasa, namun jantungku sudah mengepam darah dengan lebih laju dari biasa.
            “Sambung malam.” Katanya bersahaja.
            Aku hanya menganggukkan kepala. “Aku masuk dululah.” Aku terus meminta diri, pandangan matanya walaupun tampak bersahaja tapi tetap ada gusar yang singgah di hatiku ini.
            “Kau tak nak cerita apa-apa pada aku ke?” Soalnya sewaktu aku sudah pun melintasi dirinya.
            Mendengarkan soalannya itu aku terpaksa berpusing memandangnya semula. “Nak cerita apa?” tanyaku, pura-pura tidak faham. Adakah Zulhairi sudah mendengar perbualanku dengan Wafi sebentar tadi? Memikirkan kemungkinan itu membuatkan aku tidak senang hati, aku mengetap bibir mengawal segala rasa yang sudah singgah di segenap mindaku.
            “Apa yang Wafi suruh kau pertimbangkan dan fikirkan masak-masak tu?” tanpa berbasi-basi seperti tadi dia terus menerjahku dengan soalan yang aku tidak mahu jawab sama sekali.
            “Er, tak ada apa-apalah.” Entah kenapa aku sebolehnya mahu merahsiakan perkara ini darinya.
            “Sejak bila pandai berahsia dengan aku?” mukanya mula tegang, geram kerana aku tidak berterus terang dengannya barangkali.
            “Mana ada aku rahsiakan apa-apa.” Aku cuba berbolak-balik dengannya. Mengharapkan dia putus asa untuk mengorek rahsia ini dariku.
            “Tak payah nak tipu aku Su. Sebab kau memang tak pandai nak menipu aku.” Akhirnya keluar juga ayat keramat itu. Ayat yang sering dia gunakan untuk memaksaku membuka cerita. Ayat yang dia gunakan setiap kali jika aku sedang berusaha untuk menyembunyikan sesuatu darinya.
            Aku menelan liur dan mendiamkan diri. Mengapa susah pula untukku membuka kisah itu di depannya. “Nanti-nantilah aku cerita. Aku nak naik sembahyang asar, dah lewat ni.” Aku terus berpusing dan masuk ke dalam rumah. Dengan alasan ini sahaja aku tahu dia akan melepaskan diriku saat ini. Jika aku keluarkan alasan lain, aku yakin sampai malam karang aku masih berada di hadapannya mengadap mukanya sehingga aku membuka cerita.

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum. In syaa ALLAH, entry utk SAC akan ditamatkan pada bab 23 nanti. Ini bermakna tinggal 3 bab saja lagi yang dapat AH sajikan kepada semua pembaca setia AH. Yang selebihnya, sama2 kita nantikan di pasaran nanti ya. AH juga mengambil kesempatan ini untuk sama2 kita berdoa buat saudara2 kita di GAZA. Semoga Israel memdapat balasan segera dari ALLAH SWT, Tuhan semesta alam. Amin.