Tuesday, March 22, 2011

JAUH DARI CINTA - BAB 6


ENAM
            Sara membuka pintu sebaik sahaja keretaku memasuki perkarangan rumah. Aku memaniskan muka, tidak mahu Sara mengesyaki apa-apa. Turun sahaja daripada kereta, Sara melambaikan tangannya berserta dengan senyuman.
            How?” Belum sempat aku memberikan salam, soalan itu menerjah ke telingaku.
            “Okey, semua berjalan lancar.” Aku tersenyum dan menjawab ringkas. “Nysa naik dululah, letih sangat.” Aku meminta diri untuk menuju ke tingkat atas. Rasa letih mula terasa. Aku mencampakkan diri di atas katil, mataku pejamkan. Ingin sahaja melupakan segalanya. Sejak kebelakangan ini, Aqil semakin aneh. Dapat aku rasakan semakin aku cuba mendekati semakin pula aku merasa jauh dari dirinya. Entah kenapa begitu.
            Aku bingkas bangun dari katil dan pantas menuju ke desktop di atas meja tempat aku selalu menyiapkan kerja dan memeriksa tugasan yang aku berikan kepada pelajarku apabila teringatkan tentang kad yang ambil tanpa pengetahuan Aqil itu. Hatiku berdebar memandang skrin desktop yang sudah pun aku capai laman sesawang yahoo. Dengan pantas aku memasukkan nombor id dan kata laluan seperti yang tertera pada kad berbentuk hati itu. Perlahan-lahan aku menghembuskan nafas, mencipta ketenangan yang telah lama menghilang. Tiada sebarang email baru yang diterima. Aku meneruskan usaha membuka pula peti masuknya.
Ternyata peti masuk itu menerima email daripada pengirim yang sama, Lily! Jantungku berdegup kencang jiwaku rasa tidak tenteram. Bersediakah aku untuk mengetahui semua kebenaran? Degup jantungku semakin laju. Aku tahu aku harus kuat dan tidak wajar rasanya untuk aku memejamkan hati padahal kebenaran sudah ada di depan mata. Lantas aku meneruskan pencarian pada soalan-soalan yang tidak terjawab sebelum ini. Satu persatu email yang dikirim aku baca rapi, tiada satu pun perkataan yang terlepas daripada pandangan mata. Tanpa aku sedar, air mataku mula menitis mengetahui kebenaran yang sungguh pahit itu. Dan kini timbul pula persoalan baru yang memangkah fikiranku, menimbulkan kesangsian yang panjang, apakah kesudahannya?

SEMALAMAN aku tidak tidur, membaca dan terus membaca email kiriman Lily untuk Aqil. Lily! Kerana wanita itulah cintaku dipandang sepi oleh Aqil suatu masa dahulu. Aku tidak pernah mengenali Lily, hanya namanya yang aku tahu itu pun daripada mulut rakan-rakanku di universiti. Bagaimana orangnya? Aku memang tidak boleh menjawab soalan itu, tapi yang pastinya Lily seorang yang istimewa. Jika tidak masakan Lily menjadi pilihan hati Aqil.
Ingin juga aku mengenali dirinya, melihat kelebihannya yang tidak terlihat oleh Aqil pada diriku. Meneliti setiap tingkahnya yang menjerat Aqil untuk terus memaut cintanya. Mungkin tidak berkesempatan, namun ada harapan di hatiku untuk mengenali wanita itu. Satu-satunya wanita yang dicintai Aqil hingga ke hari ini, wanita yang berjaya menangguhkan hari bahagiaku selama dua tahun ini.
Kini aku sendiri dalam dilema. Walaupun tidak banyak persoalan yang terjawab, sekurang-kurangnya aku sudah mengetahui titik puncanya. Sebagai tunang Aqil, semua ini amat berat untuk aku hadapi. Namun keputusan perlu ada, memandangkan hatiku sudah kian rabak dengan sikap Aqil.
            Kepalaku mula terasa sakit. Rasanya tentera migraine mula kembali menyerang. Lantas aku membenamkan kepalaku di atas meja dengan hanya beralaskan lengan, mujur hari ini cuti kalau tidak pasti klinik menjadi sasaran utama untuk aku dapatkan cuti sakit. Seketika kemudian aku bangun semula, menutup desktop yang tidak langsung dibenarkan rehat sejak malam tadi. Mataku juga mula terasa perit dan aku tahu puncanya. Walaupun kini tiada lagi tangisan yang menemani mataku, namun hatiku tetap menangis hebat. Begitu sukar dugaan yang perlu aku tempuhi. Namun aku tahu ada rahsia indah yang terlukis disebalik dugaan dan cabaran ini.
            Aku mengapai telefon bimbitku bila ianya bernyanyi lantang. Aqil! Mataku memandang sayu namanya yang tertera di skrin kecil telefon bimbitku itu. Hatiku berperang hebat dengan perasaan sendiri. Ingin aku menjawab panggilannya itu tapi bila teringatkan Lily, aku tidak jadi menjawabnya. Telefon kubiarkan terus bernyanyi dan hanya berhenti seketika sebelum memulakan nyanyiannya semula. Buat masa ini, aku tidak mahu berbicara mahupun bersemuka dengan Aqil.
Aku ingin memberi ruang pada diriku sendiri untuk menilai dengan wajar dan memutuskan apa yang harus aku lakukan. Kepada siapa aku harus berpihak? Diriku sendiri atau Aqil? Itu yang harus aku tentukan kini. Selama ini aku sangkakan Shafiza menjadi sebab kepada sikap dingin Aqil terhadap diriku. Tidakku sangka, rupa-rupanya Lilylah punca kepada masalah ini sebenarnya.

HUJUNG mingguku dihabiskan dengan hanya berbaring di atas katil bersama sakit kepala yang pasang surut kunjungnya. Dan hari ini aku terpaksa mendapatkan cuti sakit daripada doktor dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah orang tuaku kerana tidak ada tanda sakitku ini mahu pergi.
Sudah berhari-hari aku menanggung kesakitan dan kerana sudah tidak tahan lagi aku mendapatkan rawatan di klinik yang biasa aku kunjungi. Aku sudah biasa dan selesa dengan doktor Aminah, cara kerjanya dan senyuman yang sentiasa mengiringi tugasnya mengikat aku daripada mendapatkan rawatan di tempat lain. Cuti rehat tambahan yang diberikan oleh doktor selama dua hari rasanya cukup untuk aku merehatkan diri dengan sebaiknya. Kata doktor tetap sama, migraine. Sememangnya aku penghidap migraine dan aku sudah lama tahu tentang itu. Namun sejak akhir-akhir ini penyakit itu kerap menyerang. Kerana sudah bosan mengambil ubat, kadang-kala aku membiarkan sahaja penyakit itu terus menyerangku tanpa henti. Bila rasa sudah tidak mampu bertahan barulah aku mendapatkan rawatan.
            Ibu tersenyum menyambut kepulanganku di muka pintu. Senyuman bahagia itu menjernihkan lagi wajah ibu. Aku mencium tangannya kemudian membalas senyuman indah ibu.
            “Nysa tak kerja ke hari ni?” Tanya ibu sebaik saja aku mencium tangannya.
            “Nysa dapat MC dua hari, ayah mana ibu?” Aku berjalan seiringan melangkah masuk ke dalam rumah. Mendengar soalan itu, ibu mematikan langkahnya dan memandangku tepat. Pandangan itu menjadikan hatiku tidak sedap sama sekali.
            “ Ayah… keluar minum. Nysa tak sihat ke? Sakit kepala lagi ya?” Gagap ibu membalas pertanyaanku yang akhirnya diubah kepada topik kesihatanku dengan tergesa-gesa.
            Aku pasti ibu sedang berbohong. Bukan aku baru mengenalinya sehari dua, malah aku lahir daripada rahimnya. Ibu tidak pandai berbohong. Setiap kali ibu cuba berbohong, begitulah keadaan ibu, tersekat-sekat bicaranya.
            “Terus terang ajelah ibu. Tak payahlah ibu nak sorok apa-apa daripada Nysa. Nysa berhak tahu. Ayah ke mana sebenarnya?” Aku mengenggam tangan ibu, tangan yang berjaya mendidik dan membesarkanku.
            “Nysa jangan marahkan ayah, ayah buat semua ni untuk Nysa. Nysa satu-satunya anak ibu dan ayah.” Ibu menyuarakan kata yang semakin membimbangkanku. Pasti ada yang tak kena.
            “Ayah pergi jumpa family Aqil, bertanya pasal perkahwinan Nysa. Dah lama sangat tertangguh.” Bicara ibu sambil menundukkan wajahnya.
            Aku pula menghela nafas bila mengetahuinya. Ayah! Dialah orang yang paling risau tentang perhubungan aku dengan Aqil. Aku masih ingat setiap kali Aqil menangguhkan perkahwinan, setiap kali itulah ayah menyoalku bertubi-tubi umpama akulah yang memaksa Aqil untuk menangguhkan perkahwinan itu. Ayah beria-ia benar ingin bermenantukan Aqil. Tapi sedarkan dia impiannya itu bakal terkubur. Ya! Aku telah membuat keputusan dan Aqil sentiasa aku utamakan dalam setiap keputusan yang aku tetapkan. Aku nekad! Sudah berhari-hari aku memohon petunjuk dari Yang Maha Esa.
            Kali ini aku yakin dengan keputusan yang aku putuskan. Aku mahu menamatkan penantianku yang tidak berkesudahan. Biar aku menunggu  beribu-ribu tahun sekali pun, aku pasti aku dan Aqil tidak mungkin bersatu. Hati Aqil sudah lama dimiliki, terlalu lama sehingga tiada ruang langsung untuk aku bertapak dihatinya. Walaupun hakikatnya telah aku ketahui, namun aku masih mahu memegang janjiku padanya. Kebahagiannya adalah keutamaanku. Oleh kerana itu aku memutuskan untuk berhenti mengejar cintanya. Menanggalkan cincin yang dulunya bahagia aku memilikinya. Perkahwinan ini tidak boleh berlangsung dan itu keputusanku. Dia pasti bahagia dengan apa yang aku lakukan. Aku pasti, amat pasti!
            “Ibu, kalau Nysa nak putuskan pertunangan Nysa dengan Aqil, ibu setuju tak? Nysa dah tak sanggup nak tunggu. Nysa dah penat.” Terus-terang aku bersuara. Biarlah, alang-alang perihal aku dan Aqil dibincangkan jadi lebih baik aku menyuarakan keputusanku. Sememangnya itu menjadi tujuan utama aku pulang ke rumah orang tuaku hari ini. Wajah ibu berkerut seribu aku perhatikan, mungkin terkejut dengan apa yang baru aku luahkan.
            “Ayah tak setuju! Kalau Nysa putuskan hubungan dengan Aqil, samalah macam Nysa putuskan hubungan dengan ayah!”
            Aku tersentak mendengar suara itu. Ayah yang berdiri di muka pintu memandangku tajam umpama singa kelaparan. Entah bila ayah tiba di muka pintu? Yang pastinya kini dia telah mendengar apa yang baru aku suarakan pada ibu sebentar tadi.
            “Ayah tak faham keadaan Nysa!” Bentakku.
            “Nysa yang tak faham Aqil! Dia ada alasan dia sendiri kenapa dia tangguhkan majlis perkahwinan dengan Nysa. Takkan itupun Nysa tak boleh tunggu!” Kini ayah bergerak menghampiriku dan aku tahu ayah benar-benar marah.
            “Alasan apa ayah? Alasan yang tak masuk akal!” Aku cuba memprotes.
Sememangnya itu kenyataanya. Aqil menangguhkan majlis perkahwinan kami semata-mata menunggu kepulangan Lily supaya Lily merasa sakit hati bila melihat persandingan kami. Itulah kata-kata yang aku baca kiriman balas Aqil pada Lily gara-gara keenggan Lily pulang ke tanah air seperti yang dijanjikan. Melihat catatan Aqil pada email itu, ternyata Aqil benar-benar marah apabila Lily enggan pulang. Aqil juga mengugut akan menikahi wanita lain sekiranya Lily tetap tidak pulang seperti mana yang dijanjikan. Dan Aqil juga ada menyatakan bahawa dia akan menunggu saat dimana Lily pulang barulah dia akan melangsungkan perkahwinannya, itupun di hadapan Lily. Adakah itu alasan yang patut aku terima sehingga ayah rasakan wajar bagiku untuk terus-menerus menunggu Aqil? Menunggu perkahwinan yang entah bila akan berlangsung?
            “Perkahwinan bukan perkara main-main Nysa. Kena betul-betul bersedia baru kita boleh hadapi. Bagilah masa pada Aqil untuk dia betul-betul bersedia. Ayah yakin masanya dah hampir.” Nada suara ayah kian rendah. Mungkin tidak mahu menimbulkan ketegangan antara kami. Aku tidak mahu berkata apa-apa lagi, kerana aku tahu apa pun yang aku cuba terangkan pasti ayah akan memenangkan Aqil juga akhirnya.
            Aku terus mengorak langkah menuju ke bilik sekaligus berhenti berbahas tentang perkahwinanku, tentang Aqil dan tentang semuanya. Kepalaku masih sakit dan kini bertambah sakit. Bila agaknya aku mampu menghentikan semua perkara sia-sia ini? Hatiku benar-benar terluka dan kecewa dengan apa yag berlaku. Tapi aku tetap bertahan demi janjiku yang satu itu.
           
AKU menoleh melihat gerangan yang mengetuk dan membuka pintu bilikku perlahan. Memandang sahaja wajah ibu aku segera bangun daripada pembaringan.
            “Nysa, Aqil telefon cepat turun.” Kata ibu sambil memegang tombol pintu bilikku.
            Aku hanya memandang sepi pesanan yang dibawa ibu. Aqil, tidak kusangka dia mencariku. Sengaja aku mematikan telefon bimbitku sejak dari hari yang telah membongkar segala-galanya. Aku tidak mahu ada gangguan. Entah apa yang terjadi pada dirinya, tidak pernah-pernah hendak menghubungiku tiba-tiba sahaja dua tiga hari ini berusaha  mencariku.
            “Kepala Nysa sakitlah ibu, tak larat nak bangun. Ibu cakap Nysa tak ada kat rumah ajelah.” Aku mencari alasan untuk menjauhkan diri daripada menjawab panggilan itu. Aku perlu belajar untuk menjauhkan diri daripadanya, biarpun ianya akan menjadi perkara yang sukar untuk aku lakukan tapi aku akan tetap berusaha.
            “Kenapa Nysa tak hidupkan handphone Nysa?” Soal ibu sepertinya tidak berpuas hati dengan alasanku.
            Handphone Nysa rosak tak sempat nak repair lagi.” Aku terpaksa berbohong. Namun aku bukan sengaja, aku terpaksa. Maafkan Nysa ibu.
            “Kalau macam tu Nysa rehatlah. Ibu turun dulu.”
            Pintu bilikku ibu tutup rapat. Aku kembali memejamkan mata. Wajah Aqil muncul lagi. Aku segera membuka mata tidak mahu wajah itu terus melekat di hati dan ingatanku.
            Aku terjaga dari tidur bila pintu bilikku diketuk sekali lagi, seketika kemudian pintu itu terbuka luas. Aku mula bangun apabila ibu masuk mendapatkanku. Apa pula pesanan yang ibu bawa kali ini.
            “Nysa, Aqil nak bercakap dengan Nysa.” Sekali lagi ibu menyampaikan pesanan yang sama.
            Aku menundukkan wajah tidak tahu apa lagi yang perlu aku katakan supaya ibu faham bahawa pada ketika ini aku tidak mahu menerima panggilan dari Aqil. “Aqil telefon lagi?” Aku masih enggan memandang wajah ibu, aku tidak mahu menerima panggilan dari Aqil.
            “Masa Aqil telefon tengahari tadi, ibu cakap pada dia Nysa tak sihat. Tak sangka pula dia nak datang jenguk Nysa. Aqil ada kat bawah tu, pergilah turun nanti ayah marah pula.”
            Aku tersentak bila dikatakan tentang kunjungan Aqil ke rumahku. Ibu pula terus berlalu meninggalkan aku. Aku sudah tidak dapat melarikan diri lagi. Aqil perlu juga aku temui memandangkan dia kini sudah menjadi tetamuku. Kalau aku tetap menolak untuk bertemu dengannya sebagaimana aku enggan menjawab panggilannya, pasti ayah akan naik darah.
            Aku turun ke bawah mendapatkan Aqil yang pastinya menungguku di ruang tamu. Ayah beredar meninggalkan Aqil bila melihat aku turun dari tangga. Aku sengaja membetulkan tudung yang tiada celanya bila ada rasa kekok melihat pandangan Aqil padaku waktu ini. Air minuman sudah sedia terhidang di atas meja berserta beberapa potong kek.
            “Tak minum lagi?” soalku apabila melihat cawan milik Aqil yang masih penuh dengan air teh. Aku kemudiannya mendapatkan tempat  di sofa tunggal bersebelahan dengan sofa yang Aqil duduki.
            “Macam mana sakit kepala? Dah kurang?”
            Soalanku tidak terjawab, sebaliknya aku pula yang diajukan soalan. Aku memandangnya sekilas kemudian mengalihkan pandangan pada kek-kek yang tersusun cantik di atas piring.
            “Tak ada apa-apa pun, sikit aje.” Aku senyum untuk seketika, sekadar mengaburi pandangannya, aku tidak mahu dia mengetahui keadaanku yang sebenarnya, Aku tidak ingin meraih simpati daripadanya.
            “Kalau tak ada apa-apa, takkan dapat mc sampai dua hari? I’m a doctor Nysa. Seorang doktor takkan bagi cuti melainkan pesakit betul-betul memerlukan rehat secukupnya.” Aqil memandangku tajam. Apabila aku masih mendiamkan diri Aqil terus menyambung kata.
            “Jom abang bawa Nysa buat check up kat hospital” Aqil mula bangun dan aku jadi tidak senang dengan tindakannya itu,
            “Tak payahlah, Nysa betul tak apa-apa. Lagipun dah pergi klinik pagi tadi. Abang Aqil duduklah, minum dulu.” Aku menolak, tidak mahu dibawa ke hospital. Sememangnya aku telah pun mendapatkan rawatan di klinik awal pagi tadi. Ubat yang aku terima pun belum sempat aku makan.
            “Nysa kalau sakit tak pernah nak bagi tahu kat abang kan.” Aqil duduk kembali. Ada nada kecewa disebalik kata-katanya itu.
            Namun benarkah Aqil benar-benar kecewa? Tidak! Tiada apa yang perlu dikecewakan, aku bukannya Lily, tegas hatiku menafikannya. Lagipun selama ini aku tidak pernah dihiraukannya. Sama ada aku ada atau tidak, sama saja baginya. Malah dapat aku rasakan kehadiranku disisinya hanya menambahkan kekusutan hatinya. Jadi kenapa tiba-tiba buat kali pertama kalinya sepanjang tempoh pertunangan kami dia mencariku dan menyatakan kekecewaannya.
            “Nysa bukan sakit teruk mana, sakit kepala sikit aje. Nysa tak nak susahkan sesiapa.” Kataku sambil menghulurkan cawan teh yang masih tidak diminum kepada Aqil dan dia pantas menyambutnya.
            “Habis tu, dah sampai sakit tenat baru Nysa nak bagi tahu abang?”
Aqil meletakkan kembali cawan air yang aku berikan ke atas meja tanpa menjamahnya walaupun sedikit. Matanya masih merenungku tajam sama seperti tadi. Namun kali ini pandangan itu aku balas lama dan seketika kemudian barulah aku menundukkan wajah. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku berlalu dari situ, risau kalau-kalau pertengkaran bakal mengiringi perbualan antara kami. Ya! Itulah hakikatnya yang telah lama aku sedari. Setiap kali kami berbual, perbualan itu sentiasa diakhiri dengan kata-kata menyakitkan yang mampu menimbulkan pertelingkahan.
            “Kenapa setiap kali kita bercakap, mesti ada aje pertelingkahan. Nysa betul-betul tak faham.” Aku meluahkan rasa, biar dia sedar apa yang berlaku di antara kami.
            “Abang Aqil baliklah dulu, Nysa pun nak rehat. Banyak benda yang Nysa kena fikir semula. Lebih-lebih lagi pasal hubungan kita.” Sambungku tetap tidak mahu memandang wajahnya. Tidak sanggup membiarkan hati terus mencintai lelaki itu dengan lebih mendalam. Dengan cinta yang ada kini, kesakitannya pun belum tentu dapat aku tanggung, jadi tidak mahu lagi rasanya menambah rasa cinta yang tidak mahu surut itu.
            “Nysa tak dapat hantar abang keluar. Nysa naik atas dulu, Assalamualaikum.” Aku terus bangun dan meninggalkan Aqil selesai sahaja berbicara. Sedikitpun aku tidak berpaling memandang Aqil sepanjang aku menaiki anak tangga. Rasa berat meninggalkan Aqil sendirian begitu. Namun sesungguhnya aku terpaksa, aku tidak mahu sebarang pertelingkahan berlaku lebih-lebih lagi di rumah orang tuaku. Pasti aku yang akan disalahkan oleh ayah atas pergaduhan itu nanti.

           Bersambung...


0 comments:

Post a Comment