SEBELAS
Menjadi adik kepada seorang lelaki yang amat aku cintai ternyata lebih sukar daripada apa yang aku sangkakan. Berpura-pura tersenyum gembira di hadapan Aqil dan menganggap dirinya hanya seorang abang semata-mata mahu membuatkan dia berasa selesa adalah perkara utama yang perlu aku lakukan setiap kali bersamanya. Aqil pula sudah dapat aku lihat ketara sedikit perubahannya. Ada kalanya, dia sudah mampu tersenyum ketika memandang wajahku. Mungkin dia benar-benar sudah berasa lega dengan apa yang sedang berlaku kini. Jadi aku tetapkan, ini harus berterusan sehingga aku berjaya menjejaki Lily dan membawa dirinya kembali ke hati Aqil.
Esok aku sudah mula bekerja, jadi hari ini aku berkeputusan untuk bertemu dengan emak mertuaku. Ada perkara penting yang harus aku bincangkan dengan emak. Aku berharap pertemuan ini nanti akan dapat memberikan satu lagi harapan baru kepada Aqil. Aku tahu emak tidak akan bersetuju dengan apa yang akan aku sarankan, tapi walau apapun cara, aku harus juga meyakinkan emak dan meminta dia untuk menyertaiku.
“Assalamualaikum, Nysa dah lama sampai?”
Aku menoleh sebaik sahaja mendengar suara daripada arah belakang. Emak muncul seorang diri di restoran itu seperti mana yang aku pinta. Memandangkan abah berkawan baik dengan ayahku, makanya aku tidak boleh membiarkan abah tahu tentangnya. Cukup saja emak yang mengetahuinya memandangkan dia juga sudah maklum bagaimana keadaan aku dan Aqil kini. Kerana itu jugalah aku terpaksa meminta emak meluangkan sedikit masa untuk menemuiku di luar. Mujur emak bersetuju dengannya. Aku tahu emak juga tidak ingin abah tahu tentang itu lebih-lebih lagi abah baru sahaja kembali sihat.
“Wa’alaikumusalam. Baru aje sampai. Duduklah mak!” aku tersenyum sambil mempelawa emak duduk di situ. Mula ada degup kencang dalam hati. Mencari-cari ayat yang sesuai bagi memulakan semuanya.
“Emak nak makan apa? Nysa order kan.” soalku sebaik sahaja emak mula duduk.
“Tak payahlah Nysa, lagipun emak nak cepat ni. Abah kamu tu seorang diri aje kat rumah. Nysa order kan emak secawan kopi pun dah cukup.” emak memberikan alasan wajar untuk terus menyeret aku memulakan semuanya dengan segera. Aku sekadar mengangguk dan kemudian memanggil pekerja di restoran itu untuk mengambil pesanan.
“Nysa kata ada hal penting nak bagi tahu dengan emak, apa dia?”
Seperti yang aku jangkakan, emak terus saja bertanya. Sedikitpun dia tidak mahu melenggahkan masa. Mungkin tanggungjawabnya sebagai seorang isteri meletakkan dirinya di dalam situasi itu.
“Nysa nak bincangkan pasal Abang Aqil.” Aku terpaksa berterus terang. Tidak boleh terus bermain dengan masa dan kata-kata.
“Kenapa dengan Aqil?” Soal emak lagi dengan wajah yang tidak mengerti.
“Boleh tak mak tolong Nysa?” Aku meneruskan bicara.
“Tolong apa pula ni, Nysa?” Emak mula nampak tidak selesa dengan kata-kataku.
“Kalau boleh... Nysa nak mak tolong Nysa cari Lily!” aku memandang tepat ke dalam mata emak yang kelu lidahnya mendengar permintaanku itu. Lama aku menanti jawapan balas daripada emak, namun emak masih terdiam seribu kata.
“Mak betul-betul tak faham dengan Nysa. Kenapa Nysa nak buat semua ni? Aqil dah jadi suami Nysa, kenapa Nysa masih nak ungkitkan hal Lily lagi? Dia dah tak ada dalam hidup Aqil, Nysa!” akhirnya emak bersuara juga. Namun kata-katanya itu sedikit pun tidak menunjukkan bahawa dia bersetuju untuk bekerjasama denganku.
“Dari dulu sampai sekarang, dalam hati Nysa cuma ada Abang Aqil. Takkan ada lelaki lain dalam hidup Nysa. Nysa cuma cintakan Abang Aqil seorang. Tapi itu tak bermakna, Abang Aqil juga harus cintakan Nysa. Nysa tak ada kuasa nak halang rasa hati Abang Aqil, emak. Apa yang Nysa boleh buat, Nysa cuma boleh berusaha untuk bawa bahagia dalam hidup Abang Aqil. Dan bila kebahagian Abang Aqil adalah Lily, Nysa harus juga usahakannya.” Aku terangkan semuanya agar emak mertuaku itu tidak salah faham dengan niat di hatiku. “Sama juga macam emak. Emak cuma ada Abang Aqil sebagai anak dalam hidup mak, jadi mesti emak nak yang terbaik dalam hidup Abang Aqil kan? Tapi kalau niat Nysa tetap menjadi satu kesalahan pada emak, Nysa minta maaf.” aku kemudiannya melemparkan senyuman kosong bersama hati yang penuh dengan harapan.
“Nysa buat emak rasa serba salah. Memang sebagai ibu, emak mahukan yang terbaik dalam hidup Aqil. Tapi emak juga mahukan yang terbaik dalam hidup Nysa.” Balas emak, masih enggan memberikan persetujuan untuk menyertaiku.
“Yang terbaik dalam hidup Nysa adalah yang terbaik untuk Abang Aqil!” segera aku membalas kata itu. Emak tertunduk sudahnya. Mungkin masih mempertimbangkan kataku atau mungkin juga sedang mencari jalan untuk melarikan diri daripada memenuhi permintaanku itu. Aku pula membiarkan saja suasana sunyi itu. Memberikan sedikit ruang masa untuk emak memikirkan dan memutuskannya.
“Mak memang tak tahu kat mana Lily berada sekarang, tapi mak tahu kat mana nak cari kawan baik Aqil. Mungkin Nysa boleh dapat maklumat yang Nysa perlukan daripada dia!”
Jawapan yang aku dengar itu benar-benar melegakan hatiku. Barulah senyuman ikhlas berjaya aku ukirkan. Hati berasa lega, dengan adanya emak, aku yakin kerja-kerja menjejaki Lily akan bertambah mudah.
“Terima kasih, emak!” aku genggam erat tangan emak mertuaku. Bersyukur kerana dia sudi membantuku.
“Mak yang patut ucap terima kasih pada Nysa. Nysa selalu berkorban untuk Aqil!” sayu suara emak.
“Tak, Nysa tak korbankan apa-apa pun. Nysa cuma buat apa yang Nysa rasa perlu.” aku tahu emak merasa berat hati dengannya. Jadi aku ukirkan kata-kata itu untuk membuang rasa bersalah dari dalam dirinya. Andai apa yang aku lakukan itu sememangnya adalah satu pengorbanan, maka anggaplah itu pengorbanan kecil seorang isteri untuk suaminya. Bisik hatiku.
HARI PERTAMA kembali bertugas di universiti, aku menerima banyak usikan daripada rakan-rakan setugas. Aku hanya tersenyum seolah-olah apa yang diperkatakan oleh rakan-rakanku itu, semuanya tepat belaka padahal tak ada satu pun yang yang kena pada sasarannya. Inai di jari yang masih merah warnanya membuatkan para pelajarku pula tidak putus-putus memberikan ucapan tahniah buat perkahwinanku. Aku tetap menerima ucapan mereka itu dengan kuntum senyuman walaupun hati berasa tawar dengannya.
Hadif pula aku perhatikan tidak banyak bercakap hari ini. Satu pertanyaanku, satu patah jawapan jugalah yang keluar daripada mulutnya. Tidak tahu mengapa, mungkinkah kerana kelakuan Aqil di majlis perkahwinanku dulu telah membuatkan Hadif berasa hati dengannya. Jika itulah sebabnya, itu bermakna wajar bagiku meminta maaf pada dirinya.
“Dif, aku nak tanya sikit boleh?” aku meletakkan buku di atas meja sebaik saja masuk ke dalam bilik pensyarah. Hadif yang ketika itu baru bangun daripada kerusinya hanya menoleh sekilas ke arahku.
“Apa dia?” balas Hadif acuh tak acuh.
“Kau marah kat aku ke?” soalan itu aku luahkan juga. Cuba mencari jawapan yang aku perlukan.
“Nak marah kenapa pula?”
“Manalah nak tahukan. Aku tengok kau lain macam aje hari ni. Satu aku tanya, satu kau jawab. Aku ada buat salah apa-apa ke?” aku masih meneruskan pertanyaan.
“Nampak macam aku marah ke?” Hadif memulangkan soalan kepadaku.
“Ya, nampak sangat kau marah kat aku,” aku berbicara jujur. Kemudiannya gelak kecil meletus dari mulut Hadif. Aku terpingga, tidak faham dengan sikap Hadif.
“Tahniah, Nysa. Kau lulus dengan jayanya!” Hadif masih lagi tersenyum. Pen di tangannya diselitkan di dalam poket kemeja kuning cair yang dikenakannya hari ini.
“Hah?” aku kebingunggan.
“Kau berjaya dalam ujian yang aku buat khas untuk kau. Aku ingatkan kau dah tak nak ambil tahu pasal aku lagi lepas kahwin ni,” Hadif masih terus tersenyum.
“Apa yang kau cakap ni, Hadif. Kau kan kawan baik aku. Mustahillah aku buat macam tu kat kau,” aku sedikit terasa hati dengan apa yang diperkatakan Hadif. Mengapa dia beranggapan begitu dengan tiba-tiba. Dia adalah kawan terbaik yang pernah aku ada. Mustahil aku akan melakukan begitu padanya.
“Ni yang aku lemah ni. Janganlah buat muka macam tu. Aku gurau ajelah. Aku tahu kau tak macam tu.”
Kata-kata Hadif itu membuatkan aku kembali tersenyum. “Ha, tahu pun! Next time kau buat ujian merepek ni lagi, siap kau!” aku membesarkan mata, memberikan amaran keras buat Hadif.
“Yes, Madam!” Hadif memberikan tabik hormat padaku membuatkan aku terus tersenyum. “So, kau dengan dia macam mana sekarang?” Hadif memandang tepat ke dalam anak mataku.
“Erm... Kita orang okey.” hanya jawapan itu yang mampu aku berikan.
“Okey aje? Kau orang berbulan madu kat mana hari tu?” Hadif terus-menerus bertanya.
Aku jadi resah dengan soalan-soalan yang Hadif tujukan. Terasa Hadif sudah dapat menghidu ombak badai yang melanda perkahwinanku.
“Err... Bulan madu?” aku cuba mencari jawapan yang sesuai untuk pertanyaan itu. Istilah bulan madu tidak mungkin wujud dalam perkahwinanku dengan Aqil. “Actually, hari tu kita orang rancang nak pergi Pulau Tioman. Tapi last minute terpaksa cancle sebab dia dapat emergancy call.” aku mencipta alasan, tidak sesekali akan aku ceritakan kisah rumahtanggaku itu padanya kerana ia adalah urusanku. “Terpaksalah faham, Hadif. Bila kahwin dengan doktor ni, terpaksalah terima hakikat yang masa dia bukan untuk aku seorang aje. Dia milik masyarakat.” aku cuba menyakinkan apabila melihat riak wajah Hadif seperti tidak mempercayai kata-kataku itu.
“Maksudnya, dia tak ada masa langsunglah untuk kau?” Hadif memeluk tubuhnya. Wajahnya kian serius.
“Tak adalah sampai macam tu sekali. Aku kan isteri dia, sibuk macam mana sekalipun dia tetap akan pastikan ada masa yang diluangkan untuk aku.” Mula ada rasa bersalah pada Hadif saat itu. Namun hanya itu yang mampu aku lakukan. Mana mungkin aku memburuk-burukkan suamiku sendiri di hadapannya.
“Kalau betullah apa yang kau cakapkan tu, baguslah. Aku pun harapkan yang sama. Tapi... please Nysa, jangan rahsiakan apa-apa daripada aku. Kau tak cukup kuat untuk tanggung semua benda sendiri. Setidak-tidaknya, kau masih boleh percayakan aku untuk luahkan semua masalah kau.” Hadif berjaya melontar kata yang membuatkan aku membisu seketika. “Aku ada kelas ni, aku gerak dululah. Jumpa kau nanti.” Hadif bergerak meninggalkan aku seketika kemudian. Hanya aku yang masih terpaku, berdiri di situ menilai setiap bait kata Hadif. Hadif! Mengapa dia yang selalu memahami hatiku?
KELIBAT Aqil sendirian berdiri betul-betul di hadapan pintu lif membuatkan aku yang baru saja cuba melangkah menuju ke ruang lif menghentikan langkahku serta-merta dan dengan segera aku berselindung di sebalik tembok utama ruang lobi yang menempatkan lif utama. Berat rasa untuk turut serta, berjalan seiring dan bersama-sama dengannya di dalam lif itu. Masih aku ingat janji-janjiku padanya. Aku tidak akan mengganggu ruang hidupnya. Selagi mampu menghindarkan diri, selagi itu akan cuba berlari jauh daripada hidupnya. Apabila Aqil bergerak masuk ke dalam lif dan yakin pintu lif sudah tertutup rapat, barulah aku menyambung langkah menuju ke lif yang sama.
Sementara menunggu lif tiba, anak mataku sibuk memerhatikan digit nombor yang bertukar laju. Lif yang sepatutnya menghantar Aqil ke tingkat 20, tidak berhenti di situ sebaliknya lif itu meneruskan pendakiannya ke tingkat 23, tingkat tertinggi. Aku mula berasa hairan. Aku yakin, Aqil menaiki lif itu sebentar tadi. Jadi mengapa pula Aqil tidak berhenti di tingkat yang sepatutnya? Hatiku mula mempersoalkannya.
Apabila lif yang lain terbuka luas, aku segera memasuki lif tersebut. Sebaik saja pintu lif tertutup, jariku terus saja menekan butang bernombor 23 walaupun mula ada rasa berat untuk berada di tingkat yang lebih tinggi. Seperti selalu, mula ada rasa mual sebaik saja lif bergerak laju. Namun aku tahankan juga. Aku turun daripada lif sebaik saja tiba di tingkat 23. Buat pertama kalinya aku menjejakkan kaki ke tingkat itu. Tertera jelas perkataan Sky terrace pada papan tanda bercorak bunga indah itu. Aku mendaki perlahan beberapa anak tangga yang akan membawa aku menuju ke pintu kaca. Entah kenapa aku yakin Aqil berada di situ.
Pintu kaca aku tolak perlahan. Udara petang yang segar terus saja menerpa ke seluruh anggota tubuh sebaik saja pintu kaca itu aku buka. Tudung di kepala turut beralun ditiup angin. Dingin kian terasa. Aku teruskan langkah, menjejaki Aqil. Ternyata Aqil ada di situ, berdiri tegak sambil menikmati sajian panorama yang menenangkan jiwa. Aku segera memejamkan mata, gayat! Kaki juga mula terasa getarnya. Namun apabila memikirkan Aqil yang masih tegak berdiri di situ, aku kuatkan semangat untuk kembali membiarkan mata terbuka. Hati tertanya-tanya, mengapa Aqil bersendirian di situ. Apa yang mengganggu fikirannya? Mungkinkah kerinduan pada Lily telah menghantarnya ke situ? Aku membuat tekaan.
Terlalu sukar untuk aku mendatangkan bahagia dalam hidup lelaki itu. Sementara menunggu kemunculan Lily, apa yang harus aku lakukan demi menghilang beban lara dalam jiwanya buat seketika? Aku mengeluh sendiri. Sepertinya aku tidak dapat membantu apa-apa. Alangkah baiknya kalau aku mampu membuat Aqil tersenyum selalu. Jika itu aku berjaya lakukan, aku pasti ia adalah pencapai terbaik yang pernah aku lakukan.
“Assalamualaikum!” aku menghulurkan salam sebaik sahaja langkah menghampiri Aqil. Panorama indah dari sky terrace itu langsung tidak dapat aku nikmati memandangkan aku sendiri tidak mampu memandang lama pemandangan dari tempat tinggi itu.
“Wa’alaikumusalam.” Aqil membalas sambil memandangku sekilas. “Nysa buat apa kat sini?” Aqil terus saja mempersoalkan kehadiranku di situ. Dapat aku rasakan kehadiranku sedikit sebanyak telah menggangu dirinya. Jika tidak, masakan dia melemparkan soalan itu padaku.
“Nysa saja nak ambil udara segar kat sini. Tak sangka Abang Aqil pun ada kat sini,” Terpaksa aku berbohong. Tidak mahu Aqil salah sangka. “Nysa tengok Abang Aqil macam ada masalah aje!” segera aku bertanya. Seberapa pantas menukar persoalan.
“Tak adalah, mana ada apa-apa. Abang pun macam Nysa juga, saya nak ambil angin kat sini.” Aqil menjawab soalanku itu dengan tenang. Sedikit pun dia tidak menoleh padaku.
“Kalau tak ada masalah, kenapa Abang Aqil termenung?” Aku masih terus berbicara walaupun aku tahu pasti Aqil tidak senang dengannya. Tapi aku tidak tega membiarkan Aqil terus dipaku kenangan. Setidak-tidaknya, aku boleh berusaha menenangkan hatinya dan membuatkan dirinya berasa sedikit lega.
“Oh... Abang Aqil teringatkan Lily ya?” aku pura-pura mengukir senyuman nakal, mengusik dirinya. Padahal dalam hati, hanya Allah yang tahu betapa peritnya meluahkan kata-kata sebegitu.
Aqil cuma mendiamkan diri. Sedikit pun tidak menyangkal apatah lagi membenarkan kata-kataku. Jadi aku terpaksa membuat andaian sendiri dan andaianku itu menyokong kata-kataku tadi. Aku sedar, aku tidak akan dapat menenangkan perasaan rindunya pada Lily memandangkan rasa rindu itu hanya akan terhapus dengan sekembalinya Lily ke sisinya. Namun pada saat ini aku tahu, aku harus melakukan sesuatu bagi kembali melukis senyuman di bibir Aqil kerana aku yakin hanya senyuman yang mampu membuat hatinya berasa lega.
“Jom ikut Nysa pergi satu tempat nak?” Aku membuat rancangan. Cuba kembali menceriakan harinya.
“Abang penatlah, abang nak rehat kat sini aje!” Aqil pantas menolak.
“No excuse! Abang Aqil kena ikut Nysa juga,” aku terus saja menarik tangan Aqil. Aku takkan membiarkan dia bersendirian di saat hatinya merindukan Lily kerana aku tahu betapa siksanya jiwa membiarkan diri terbelenggu dalam jaringan rindu.
“Susah sangat ke Nysa nak faham cakap abang? Kan abang cakap abang penat! Boleh tak Nysa bagi ruang untuk abang bersendirian. Nysa dah janji yang Nysa tak akan ganggu ruang hidup abangkan! Nysa dah lupa?” Aqil merentap kasar tangannya yang masih aku genggam erat.
Kata-katanya itu betul-betul menyedarkan diriku. Aku tertunduk sendiri, malu! Teramat malu! Mengapalah aku tidak faham-faham apa yang diperlukan oleh hati Aqil? Kenapa aku begitu sibuk cuba membuat dia tersenyum sedangkan dia sendiri tidak menginginkan senyuman yang cuba aku lakarkan ikhlas itu?
“Pergilah balik, tinggalkan abang seorang kat sini. Please!” Aqil membuat permintaan.
“Maaf... Nysa terlupa had Nysa! Nysa takkan ulang lagi!” aku bergerak lemah meninggalkan Aqil sendiri seperti pintanya. Hati kian rasa sebak. Tolonglah hati, jangan kau tangisi apa yang terjadi! Arah diriku dalam diam.
MAKAN MALAM sudah aku sediakan buat Aqil. Sebaik selesai menghidangkan semua makanan, aku mendapatkan Aqil di biliknya. Pintu biliknya yang tidak tertutup rapat itu membuatkan aku mampu melihat dengan jelas kelibat Aqil yang sedang khusyuk menulis sesuatu di meja yang menempatkan komputer riba dan beberapa susunan buku di atasnya. Aku terus saja menolak pintu itu agar lebih luas terbuka, cuba menjemputnya untuk menikmati hidangan makan malam yang sudah aku sediakan.
Mendengar bunyi pintu bilik dibuka, Aqil aku perhatikan segera menutup buku yang ditulisnya. Aku sendiri terkejut dengan tingkahnya itu. Riak wajah Aqil yang cemas cukup jelas kelihatan. Entah kenapa dia berkelakuan begitu! “Makan malam Nysa dah siapkan.” aku terus memaklumkan tujuan sebenarku. Sesudah memaklumkannya, aku segera angkat kaki, berlalu dari situ.
“Nysa!” Suara Aqil kedengaran.
“Ya,” aku berpatah balik apabila mendengar namaku dipanggil.
“Lain kali, ketuk pintu dulu sebelum masuk! Abang tak suka orang masuk bilik abang sesuka hati!” Tegas Aqil memaklumkannya.
Aku sekadar mampu menganggukkan kepala. Makluman yang lebih kepada amaran itu telah membuatkan selera makanku hilang dengan tiba-tiba. Entah bagaimana aku boleh terlupa meminta izin untuk masuk ke dalam biliknya terlebih dahulu, aku terlupa sungguh! Lantas aku atur langkah menaiki anak tangga, menuju terus ke bilikku. Membiarkan Aqil menikmati hidangan makan malam tanpa gangguan dariku. Pasti itu akan lebih membuatkan dia tenang menjamu selera.
Tidak sampai lima minit aku masuk ke dalam bilik. Pintu bilikku diketuk dari luar. Sudah pasti Aqil adalah gerangan orang yang memberikan isyarat supaya aku membuka pintu bilikku itu. Lalu aku segera kembali mendapatkan tombol pintu dan memulasnya segera. Tidak mahu Aqil menyangka aku merajuk hati dengan kata-kata dan tingkahnya. Bukankah aku tidak mempunyai hak untuk merajuk sebegitu!
“Jom makan.” Aqil membuat pelawaan. Mungkin rasa bersalah sudah mula terbit dijiwanya.
“Abang Aqil makanlah dulu. Nysa kenyang lagi.” aku memberikan alasan itu dengan senyuman, tidak mahu memperlihatkan riak rajuk hati yang mungkin akan mengeruhkan lagi keadaan. Biarlah aku beralah, dan itulah yang akan aku lakukan setiap masa.
“Sekali sekala, cubalah dengar cakap orang lain. Abang nak Nysa turun sekarang juga. Kalau Nysa tak turun dalam masa lima minit, lepas ni tak payah masak lagi sampai bila-bila.” Aqil meninggalkan aku sendirian selesai menyampaikan arahannya itu. Dengan terpaksa, aku mengikuti langkah Aqil dari belakang. Apa lagi yang boleh aku buat selain mengikut saja perintahnya itu.
Tiba saja di meja makan, Aqil mengambil tempat duduknya di kepala meja dan hanya mendiamkan diri di situ. Aku pula segera meletakkan beberapa senduk nasi ke dalam pinggannya sebelum mengambil tempat dudukku. Aku sudah tidak mampu untuk mengukirkan senyuman di saat itu. Puas aku cuba, tapi tetap tidak berjaya.
“Cuba jangan buat muka macam tu depan rezeki!” Aqil masih lagi tidak mahu berhenti daripada terus menyakitkan hatiku.
Aku memandang tepat matanya. Hati mula rasa geram dan marah. Tidakkah dia lihat betapa aku sedaya upaya, berusaha menjernihkan suasana dalam rumah itu. Mengapa dia tetap cuba untuk memalitkan debu, seolah-olah tidak mahu langsung ada rona putih dalam perhubungan kami.
“Kenapa pandang abang macam tu? Tak puas hati? Takkan abang tegur macam tu pun nak marah? Macam mana nak jadi adik yang baik kalau tak nak dengar cakap abang?” Aqil bersahaja mengeluarkan kata-kata itu sambil mengeluarkan semula sebahagian daripada nasi daripada pinggannya, masuk kembali ke dalam mangkuk nasi.
Pandangan mataku pada Aqil mati di situ sahaja apabila mendengar bicaranya yang boleh aku umpamakan seperti bedilan peluru berpandu. Setiap butir peluru itu kena tepat ke arahku. Sedikit pun aku tidak dapat mengelak.
“Abang makanlah, Nysa dah kenyang.” Aku sudah tidak tahan dengan setiap kata-katanya. Jadi ada baik aku mengundur diri saat itu sebelum perang mulut berlaku. Sedaya upaya aku cuba mengelak daripada pertelingkahan kembali bermula. Tidak mahu usahaku memperbaiki perhubungan kami beberapa hari ini berakhir dengan sia-sia.
“Duduk!” Tangan Aqil segera memaut pergelangan tanganku. Aku cuba lepaskannya, tapi ternyata genggaman Aqil begitu kuat untuk aku melepaskan diri.
“Duduk! Jangan sekali-kali tinggalkan makan malam,” Aqil masih terus memegang erat tanganku bersama secebis peringatan yang dapat aku rasakan keikhlasannya. Aku pujuk hati untuk terus beralah. Biarlah, tidak ada ruginya mengalah. Lalu aku kembali duduk di tempatku.
“Esok habis kerja pukul berapa?” Aqil tiba-tiba bersuara saat aku baru sahaja mahu memasukkan sesuap nasi ke dalam mulut.
“Pukul enam!” Balasku.
“Esok habis kerja, terus datang tempat kerja abang.”
“Nak buat apa?”
“Datang aje, jangan banyak tanya!”
Aku merenung butir nasi yang tiba-tiba saja tidak tertelan sebaik saja mendengar permintaan Aqil itu. Apa rancangan yang diatur dalam mindanya? Semua itu membuat hatiku bertambah tidak senang.
Bersambung...
1 comments:
saya sudah membaca novel ini pada tahun 2018, sedih sangat
Post a Comment