Thursday, November 17, 2011

Ada Di Hati - Bab 31


BAB TIGA PULUH SATU
            Ibu mengeluh perlahan mendengar semua kisahku. Semua sudah aku ceritakan padanya, tiada satu pun yang tertinggal. Aku menyandarkan kepalaku ke bahu Ibu, aku memerlukan pendapatnya. Itu yang penting saat aku buntu tika ini.
            “Daripada apa yang Safi cerita, ibu dapat agak yang Safi betul-betul cintakan Zafrilkan?” Ibu bersuara, memulakan kata.
            Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Menggantikan jawapan yang sepatutnya dituturkan dengan lidah. Masakan aku tidak mencintai Zafril. Dia adalah cinta pertamaku dan aku yakin hanya dia yang akan berada di hatiku selamanya.
            “Dah, Safi tak payah nak fikirkan pasal sesiapa. Apa yang penting sekarang, baik Safi fikirkan pasal masa depan Safi, pasal kebahagian Safi. Ibu yakin, Zafril mampu buat Safi bahagia.” pendapat pertama yang diluahkan oleh ibu.
            “Tapi, macam mana Safi nak jelaskan semua pada Nia? Dapat ke, Nia terima semua ni dengan keadaan dia sekarang? Safi buntulah ibu, Safi tak tahu nak buat apa lagi.” kebimbangan yang masih ada, aku suarakan. Tidak mahu aku tanggung semua rasa itu sendirian.
            “Inilah masalah Safi yang paling utama. Tak habis-habis Safi nak fikirkan pasal orang lain, pasal Nia. Safi, jodoh pertemuan tu bukan kita yang tentukan. Safi... dengar cakap ibu ni. Ibu yakin Nia akan faham. Lagipun, sebelum terlambat, lebih baik Safi ceritakan perkara sebenar pada Nia. Biarlah kalau Zafril nak masuk meminang Safi. Ibu tak nak Safi putih mata nanti.”
            “Apa maksud ibu?” segara aku mengangkat kepala yang tadinya asyik menumpang di bahu ibu.
            “Entahlah Safi, tapi ibu rasa tak sedap hati lepas dengar cerita Safi ni.”
            Mendengar jawapan daripada ibu itu, aku mengeluh panjang. “Ibu...” kembali aku rebahkan kepala di bahu ibu bersama panggilan bernada sayu itu, mahu ibu faham apa yang ada di hatiku ini.
            “Dah, jangan buat apa-apa yang menyakitkan hati Zafril lagi. Jangan buat Zafril rasa yang Safi tak serius dengan hubungan ni.” lagi nasihat yang ibu berikan.
            “Safi pun tak nak sakitkan hati Zafril, ibu. Tapi setiap kali Nia ada, setiap kali tulah, Safi jadi macam batu, tak tahu nak buat apa.”
            “Mungkin ini dugaan buat Safi dengan Zafril. Apa yang penting sekarang, Ibu nak anak ibu kuat.”          
Kata-kata ibu itu akhirnya berjaya menghasil senyuman kecil di bibirku. Aku akui kebenaran kata-kata ibu. Aku harus kuat dalam menangani masalah ini. Ini baru dugaan pertama untuk aku harungi sejak aku mula menerima Zafril dalam hidupku. Dan terasa seperti dugaan pertama inilah dugaan yang terlalu berat untukku tanggung. 
           
AKU merenung keluar tingkap kereta, aku perasan Zafril yang berada di tempat pemandu kerap kali mengerling ke cermin pandang belakang untuk melihatku. Sejak memasuki kereta Nissan Slyphy ini hampir dua jam yang lalu aku hanya mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang ingin dibualkan. Jika tidak kerana paksaan Shania supaya aku mengikut percutian kali ini, pasti aku tidak akan turut serta.
            “Alah, kak jomlah temankan Nia. Takkan Nia nak pergi sana berdua je dengan Abang Add. Tak manislah kak. Lagipun Nia ada surprise untuk akak.”
            Kata-kata pujukan Shania malam tadi masih bermain di mindaku. Kerana kata-kata itulah aku turutkan juga kehendaknya. Lagi pula dia baru sahaja keluar hospital dua hari lalu, jadi dia merancang percutian ini untuk mengambil udara segar di tepi pantai, jauh dari kota. Doktor juga menyarankan perkara yang sama, jadi untuk kepentingan kesihatannya aku turutkan sahaja percutiannya selama dua hari di Cherating.
            Shania yang berada di sebelah Zafril asyik membuka pelbagai cerita. Walaupun sakitnya masih belum lagi pulih sepenuhnya, tapi Shania kelihatan bersemangat hari ini. Renungan Zafril yang kerap kali di cermin pandang belakang padaku mula membuatka hatiku tidak tenang. Takut-takut Shania perasan akan kelakuannya itu, nanti apa pula kata Shania.
            Tambahan pula sekarang ini aku seperti sudah serba salah apabila membalas renungan Zafril. Apabila membalas renungan mata lelaki itu pantas ingatanku menjurus pada kata-kata Shania di hospital sewaktu setiap kali aku melawatnya. Di  bilik wad itulah dia sentiasa meluahkan rasa hatinya padaku. Rasa cinta dan rindu pada abang sepupunya itu. Akhirnya aku yang menjeruk rasa. Argh... mengapa aku tak henti-henti memikirkan pasal Shania? Bentak hatiku sendiri. Pesanan ibu terlintas di kepala saat ini, membuatkan aku kembali membina semangat yang seakan luntur dengan pengakuan cinta Shania.
            Sampai sahaja di sebuah kawasan chalet tepi pantai, Zafril memarkir keretanya di tempat yang disediakan. Aku pantas melangkah keluar memerhati sekitar kawasan chalet yang aku tidak ketahui namanya. Aku tidak mahu mengambil tahu hal itu semua, hatiku benar-benar tiada untuk menikmati percutian kali ini. Sebaik sahaja Zafril membuka boot kereta aku pantas mengeluarkan beg yang kubawa. Pandangan Zafril padaku masih tidak lepas sejak dia keluar dari kereta, namun aku hanya membiarkan sahaja renungannya itu tanpa mahu membalasnya.
            “Hafiz!” Shania menjerit dan melambai-lambaikan tangan pada Hafiz.
            Aku dan Zafril saling berbalas pandangan apabila melihat Hafiz yang semakin menghampiri. Zafril mula menarik muka masam dan aku pula mula tidak sedap hati dengan situasi ini. Hatiku berdegup kencang, jantung mula berdetak hebat. Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan. Aku mematikan pandanganku pada Zafril apabila Shania mula menarik tanganku untuk mendekatinya.
            “Inilah surprise yang Nia katakan pada akak tu.” Kata Shania dengan senyuman melebar.
            Aduh, jika inilah surprise yang Shania ingin tunjukkan padaku, aku sama sekali tidak akan bersetuju untuk mengekori dia ke sini. Berhadapan dengan Hafiz lebih-lebih lagi di hadapan Zafril sepanjang dua hari ini pastinya menyesakkan nafasku. Bagaimana aku mahu melayan Hafiz yang telah aku anggap sebagai kawan itu dengan baik jika setiap kali munculnya Hafiz di hadapanku pasti Zafril menarik muka seribu, seolah-olah tidak senang dengan Hafiz. Aku sendiri tidak tahu mengapa Zafril begitu tidak menyenangi kawan baik Shania itu sejak pertama kali mereka berjumpa lagi.
            “Dah lama sampai?” Soal Shania apabila Hafiz telah berada di hadapan kami.
            “Em... boleh tahanlah. Sempat jugalah I check in kan untuk kita semua.” Balas Hafiz pada Shania, namun matanya tidak lepas-lepas memandangku. “Sihat?” Soal Hafiz padaku yang betul-betul berada di hadapannya.
            Aku tersenyum dan mengangguk perlahan. Aku tidak mahu bersuara, lebih-lebih lagi apabila Zafril berada di sebelahku. Hati Zafril harus aku utamakan.
            “Eh, soalan tu sepatutnya untuk I lah. I yang baru keluar hospital, Kak Safi pula yang you risaukan ye.” Sakat Shania seperti biasa yang mengundang tawa Hafiz bukan sedikit.
            Bunti boot yang ditutup dengan kuat menyentak jantungku. Aku tahu Zafril sedang dalam keadaan marah, lantas aku tidak mahu memandang wajah itu.
            “Mari saya tunjukkan bilik.” Ajak Hafiz sambil mengambil beg pakaian yang berada di tanganku.
            “Eh, tak apa saya boleh bawa sendiri.” Bantahku apabila Hafiz sudah mula memegang tali beg yang turut berada di dalam genggamanku. Aku cuba menarik beg itu dari tangan Hafiz tapi pegangannya pada tali beg itu makin kejab seperti tidak mahu dilepaskan.
            “Tak apa biar saya bawa. Jauh kita nak berjalan ni.”
            Dengan perasaan berat hati, terpaksa juga aku melepaskan gengamanku pada beg itu, membiarkan Hafiz yang membawa beg pakaianku. Aku tahu Zafril pasti tidak suka dengan tindakanku tapi apa pilihan yang aku ada sekiranya Hafiz sudah seperti tidak mahu melepaskan pegangan tali beg itu.
            “Abang Add bawa beg Shania.” Shania menyerahkan begnya pada Zafril.
            Zafril memandangku tajam sebelum menyambut beg yang Shania hulurkan padanya. Hafiz mendahului langkah menuju ke chalet. Sepanjang perjalanan Hafiz sibuk memperkenalkan kawasan percutian ini. Aku hanya mampu tersenyum dan menganggukkan kepala.
            Sampai sahaja di sebuah chalet yang betul-betul mengadap laut, Hafiz membuka luas pintu chalet dan memberi ruang untukku dan Shania melangkah masuk ke dalam.
            “Macam mana, okay tak?”
            “Okay, cantik juga ye.” Puji Shania yang berpuas hati dengan pilihan Hafiz.
            “You dengan Safi kongsi bilik ni ye. Safi okay kan?”
            Aku tersenyum dan mengangguk. Memang aku tidak kisah berkongsi bilik dengan Shania.
            “You all rehat dulu, sekejap lagi kita keluar makan and then baru boleh jalan-jalan.” Cadang Hafiz.
            “Okay, lepas tu petang-petang sikit kita mandi laut.” Shania pula membuat cadangan.
            “Shania jangan nak mengada-ngada mandi laut. Shania tak sihat sangat lagi tu.” Bantah Zafril tiba-tiba yang masih lagi terpacak di depan pintu seperti tidak ingin menapak ke dalam.
            “Alah, Abang Add ni, Shania dah okaylah. Tak payahlah risau sangat.” Rengek Shania.
            “No!” tegas Zafril sekali lagi.
            Shania mula mecebik bibir. Namun aku tahu jauh di sudut hatinya dia gembira kerana Zafril benar-benar mengambil berat akan kesihatan dirinya. “Okaylah. Tapi malam ni kita jadi buat BBQ kan Hafiz?”
            Hafiz mengangguk.
            “Barang semua dah ada?”
            “Dah, Cik Qistina Shania. Jangan risau ye.” Seloroh Hafiz. “Safi suka udang galahkan?” Hafiz menyoalku pula.
            Aku yang sedikit tersentak dengan soalan Hafiz itu, mengangguk kepala.
            “Itupun saya dah sediakan, khas untuk Safi.”
            “Mana tahu saya suka udang galah?” Tanyaku pula. Daripada mana Hafiz mengetahui semua itu. Rasanya aku tidak pernah menceritakan hal itu pada Hafiz sebelum ini.
            “Saya selidik.”
            “Selidik?” berkerut dahiku, tidak faham dengan kata-kata Hafiz itu.
            “Ha’ah selidik. Selidik dari I kan.” Shania mula menyampuk.
            Hafiz ketawa senang. “Youkan pemberi maklumat terbaik I.”
            “Yelah informer tak bergaji.” Sambung Shania pula.
            “Sampai bila nak duduk sini?”
            Soalan Zafril itu mematikan perbualan Shania dan Hafiz. Aku tahu Zafril tidak senang setiap kali Hafiz membangkitkan cerita mengenai diriku.
            “Okaylah, you all rest dulu. Nanti kita jumpa.” Hafiz mengikut Zafril yang telah terlebih dahulu melangkah keluar.
            Aku termanggu seketika. Melihat sikap Zafril itu lambat laun pasti Hafiz akan tahu yang Zafril tidak menyenanginya. Mungkin nanti timbul pula pertelingkahan antara mereka berdua. Aku tidak mahu perkara itu terjadi.

ASAP yang berterbangan dari alat pemangang di hadapanku membuatkan aku terbatuk-batuk kecil. Asap yang terbang dibawa angin itu betul-betul mengenai mukaku. Ingin sahaja aku berkalih tempat tapi hanya terdapat empat kerusi yang mengelilingi alat pemangang itu dan semua kerusi itu telah diduduki Zafril dan Hafiz. Hanya ada satu sahaja kerusi yang masih kosong tapi itu kerusi Shania. Shania yang baru sahaja meminta diri untuk menjawab panggilan kukerling sebentar, tidak mungkin aku akan mengambil alih kerusi Shania pula. Semakin lama batukku makin kuat. Mata pula mula terasa pedih dimasuki asap. Terkebil-kebil mataku membuang rasa pedih itu.
            “Safi tukar tempat, biar Zaf duduk situ.” Ujar Zafril yang sudah mula bangun dari kerusinya. Ayam yang dipanggangnya tadi diletakkan semula di tempat asalnya.
            “Tak apa Zaf, Safi okay kat sini.” Aku menolak lembut. Aku tidak mahu dia bersusah demiku. Aku cuba menahan batuk apabila Zafril sudah berada di sebelahku, namun batukku terlepas jua apabila asap terus menerjah ke mukaku.
            “Dari tadi batuk, tu yang Safi kata okay? Mata tu pun dah merah. Dah pergi duduk sana.” Arah Zafril sekali lagi apabila aku masih enggan untuk menurut kehendaknya.
            Melihat Zafril bersungguh-sungguh mengarahkanku menukar tempat dan aku tahu, mata Hafiz yang sedari tadi tertumpu padaku dan Zafril. Aku akhirnya mengalah dan bangun mengambil alih tempat duduk Zafril sebentar tadi.
            Aku menuangkan air ke dalam cawan kertas, tekakku tiba-tiba terasa pahit. Ku teguk perlahan-lahan air di tangan bagi menghilangkan rasa pahit yang semakin terasa di tekakku. Hampir saja aku tersedak apabila Zafril dan Hafiz secara serentak memanggil namaku dan menghulurkan ayam yang telah siap dipanggang kepadaku. Aku mula memandang ketulan ayam yang berada di dalam pinggan sebelum memandang Zafril dan Hafiz yang masih lagi tidak mahu mengalah. Kedua-duanya masih menghulurkan pinggan kertas itu padaku.
            “Wah, dah masak ye. Mesti sedap ayam yang Abang Add panggang.” Shania yang baru sahja duduk di kerusinya terus mengambil pinggan yang berada di tangan Zafril. Zafril hanya mampu memandang Shania yang sudah pun menyuapkan ayam ke mulutnya.
            “Safi.”
            Aku menoleh memadang Hafiz yang masih lagi menghulurkan sepinggan ayam kepadaku. Memandangkan ayam yang Zafril hulurkan sudah diambil Shania aku menyambut pinggan yang Hafiz hulurkan. Sewaktu pinggan kertas itu beralih tangan, aku dapat rasakan yang Zafril tidak menyenanginya. Menjadikan aku serba salah. Ayam yang kujamah itu terasa pahit melewati tekakku.
            Perbualan kami berempat hanya didominasi oleh Shania, Hafiz dan Zafril sekali sekala sahaja turut serta merencahkan perbualan. Aku pula lebih banyak mendiamkan diri. Zafril mula mengalihkan kerusinya sedikit merapai Shania apabila asap mula menerjah terus ke wajahnya. Aku melirikkan mata memandang Zafril yang sedang mengopek beberapa ketul udang galah untuk Shania. Segala apa yang dipanggang olehnya, diberikan pada Shania, tiada satu pun lagi makanan yang dia serahkan padaku. Hanya Hafiz seorang yang masih memanggang pelbagai hidangan untukku.
            Tumpuan Zafril yang lebih pada Shania itu mengusik hatiku. Hatiku benar-benar dipagut cemburu yang bukan sedikit. Tapi mengapa aku harus merasakan begitu sedangkan aku sendiri yang menginginkan Zafril menjaga Shania sebaiknya. Senyumannya pada Shania yang tidak putus-putus itu juga mengigit hatiku.
            “Safi nak ayam lagi?”
            Soalan Hafiz mencantas pandanganku pada Zafril dan Shania. Pandanganku arahkan semula pada Hafiz di sebelah.  “Tak apa, yang ni pun tak habis lagi.” Tolakku sambil menunjukkan ayam dan beberapa ketul udang yang masih lagi berbaki di pinggan.
            “Seronok tak kak BBQ tepi pantai macam ni?” Shania mula mencelah perbualanku dengan Hafiz.
            “Seronok.” Jawabku sepatah sambil mengerling seketika, memandang Zafril yang asyik memanggang beberapa lagi ketul ayam yang pastinya untuk Shania.
            “Mestilah seronok. Semua ni Hafiz sediakan untuk akak sebenarnya  bukan untuk Nia. Bila dia tahu je akak suka makan ayam kampung dengan udang galah, terus dia carikan untuk akak.” Beria-ia Shania bercerita.
            Aku tersenyum kelat, tidak tahu apa yang aku rasakan saat ini. “Terima kasih Hafiz, buat susah-susah je”
            Hafiz terus mengangguk dan tersenyum.
            “Alah kak tak payah nak ucap terima kasih. Hafiz ini memang sanggup bersusah payah untuk akak. Kalau akak suruh dia panjat gunung Everest sekali pun sekarang ni dia sanggup tunaikan tau.” Tambah Shania lagi.
            “Dahlah you ni tak habis-habis nak sakat Safi. Jom ikut I ambil nasi goreng yang I order kat restorant tadi.” Hafiz mula bangun, mungkin malas mahu melayan Shania yang makin kuat mengusik kebelakangan ini.
            “Hah, tu mesti order nasi goreng cili api kegemaran Kak Safi lah tu kan.”
            “Shania.” Tekan Hafiz lagi.
            “Yelah-yelah, I ikutlah ni.” Pantas Shania mengikut Hafiz dengan tawa kecil. Sempat juga dia mengenyitkan mata padaku sebelum berlalu.
            Aku mengeleng kepala melihat telatah Shania itu. Wajahnya masih lagi pucat tapi dengan gelagatnya yang sentiasa riang itu pastinya ramai yang tidak mengetahui gadis itu belum sihat sepenuhnya. Mataku masih lagi mengamit kedua-dua sahabat itu yang berjalan beriringan menuju ke restoran yang tidak jauh dari kawasan BBQ yang disediakan oleh pihak pengurusan resort.
            “Seronokkan ada orang ambil berat sampai macam tu sekali?” Sindir Zafril tajam padaku.
            “Zaf.” Hanya itu yang mampu aku lagukan apabila mendengar sindiran tajamnya.
            “Let me guess, Safi tak bagitahu Shania tentang hubungan kita ni sebab takut Shania bagitahu Hafizkan? Takut Hafiz kecewa, sakit hati. Macam tu!” Telah Zafril tiba-tiba.
Belum sempat aku membuka bicara dia pantas menyambung kata. “Kadang-kadang Safi buat Zaf terfikir yang sekarang ni mesti Safi menyesal terima cinta Zafkan. Yelah kalau Safi tolak cinta Zaf dulu mesti sekarang ni Safi dah bercinta pun dengan Hafiz yang baik budi tu.”
“Zaf, Safi tak pernah pun rasa macam tu. Tak pernah sama sekali.” Aku menolak keras andaian Zafril itu.
Aku ingin meneruskan kata, terus menyakinkan rasa cintaku padanya. Aku tidak mahu dia meragui rasa cintaku yang bukan sedikit untuknya. Tapi dia seolah-olah sudah tidak mahu meneruskan perbualan denganku, wajahku langsung tidak dipandangnya lagi.
Shania dan Hafiz telah pun tiba bersama beberapa pinggan nasi goreng. Aku merenung Zafril mengharapkan lelaki itu membalas renunganku namun dia masih lagi tidak mengendahkanku. Dia sibuk membantu Shania menuangkan air ke dalam cawan.
Mengenangkan kata-kata Zafril itu tadi membuatkan airmataku bergenang di tubir mata. Kata-kata nasihat dari Ibu bergema di telingaku semula. Lantas aku segera bangun tidak mahu berlama-lama di situ.
“Akak nak ke mana tu?” pertanyaan Shania mematikan hayunan langkah kakiku.
“Toilet jap.”
“Nanti datang balik tau.” Pesan Shania lagi.
Aku hanya menganggukkan kepala. Saat aku menghayunkan langkah, aku mengerling seketika pada Zafril, namun lelaki itu masih lagi tidak menghiraukanku walaupun sedikit, membuatkan jiwaku lebih kuat meronta menahan rasa. Aku harus terangkan semuanya pada Zafril kerana sesungguhnya aku juga tidak kuat untuk melihat dia bersama Nia. Aku tahu, aku harus lakukan itu!

Bersambung...

Monday, November 14, 2011

Ada Di Hati - Bab 30


BAB TIGA PULUH
             Nama Zafril tertera lagi di skrin kecil telefon bimbitku. Malam ini sahaja sudah banyak kali telefon itu berdering, sama seperti malam-malam sebelumnya. Dan seperti selalu juga, aku memang sengaja tidak mahu menejawab panggilan itu. Bukan aku tidak merindui lelaki itu, memang aku amat merinduinya saat ini. sudah tiga hari Zafril tidak masuk ke pejabat semata-mata ingin membantu Shania di Tiara Holding. Ya, Shania sudah pun mengambil alih syarikat itu tiga hari lalu seperti janjinya dahulu. Dan sepanjang ketiadaan zafril di pejabat itu sedikit sebanyak, aku mampu untuk cuba menjauhkan diri daripadanya, dan kerana itu jugalah aku tidak mahu menjawab sebarang panggilan daripada Zafril. Aku memerlukan masa untuk memikirkan semuanya, Tentang cintaku pada Zafril, tentang diri Zafril sendiri dan paling penting tentang perasaan Shania pada Zafril. Boleh saja aku buat tidak peduli dengan pengakuan Shania padaku tempoh hari kerana sudah nyata aku pilihan Zafril. Namun, Shania sudah aku anggap sebagai adikku sendiri. Jadi mana mungkin bagiku untuk melukakan hatinya.
            Akhirnya telefon bimbit itu berhenti juga daripada terus bernyanyi. Mungkin dia telah malas untuk mencuba menghubungiku yang tidak pernah bersahut panggilannya. Mungkin juga dia sudah tidak mahu melayan kerenahku. Aku tahu aku bersalah kerana membuatnya begitu tetapi bagaimana aku mahu menghadap dirinya jika setiap kali terpandang sahaja wajah itu atau mendengar suaranya, kata-kata Shania tentang perasaanya pada Zafril menerjah masuk ke dalam telingaku. Kata-kata yang mengudang gelombang resah yang bukan sedikit di hatiku.
            Walaupun aku yakin Zafril hanya mencintaiku, dan jika dia diminta membuat pilihan sekalipun, zafril tetap akan memilihku. Tapi jika itu berlaku, bagaimana pula dengan Shania? Bagaimana pula dengan perasaan Shania? Dia baru sahaja menyulam gembiran dengan penyatuannya bersama keluarga yang terpisah, tidak mungkin sekelip mata sahaja aku ingin merampas kebahagiaannya itu.
            Aku benar-benar tidak menyangka Shania menyintai Zafril. Aku fikirkan Shania hanya menganggap Zafril seperti abangnya sahaja. Patutlah semenjak bertemu semula dengan Zafril, setiap keputusan yang bakal diambilnya, pandangan Zafril yang akan diutamakan dahulu.
            Makin difikirkan, makin berat kepalaku. Aku benar-benar buntu cara kali ini. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Namun aku sedar ini semua salahku. Kalau dari awal percintaanku dengan Zafril dahulu, aku terus memaklumkan perkara ini pada Shania, pasti hal ini tidak akan berlaku.
            Ketukan pintu bilik yang bertalu-talu mematikan lamunanku di dada langit. Aku mengerling jam di sisi katil, 11.30 malam. Lantas aku menutup semula jendela bilik dan menuju ke muka pintu. Sebaik sahaja pintu bilikku terbuka, wajah Fitri terpampang di depan mata dengan senyuman panjang. Aku menjungkitkan kening, bertanya dalam diam pada Fitri yang asyik tersenyum-senyum dari tadi.
            “Tu hah, Zafril nak jumpa kau.” Dengan senyuman yang masih bersisa, Fitri memuncungkan bibirnya ke arah pintu utama pangsapuri yang kusewa bersamanya.
            “Dia datang sini, ke?”
            Melihat anggukan Fitri itu menambahkan rasa terkejutku. Aku tidak menyangka dia akan menemuiku. Mungkinkah kerana aku tidak menjawab setiap panggilannya? Dengan rasa yang memberat di hati, aku menyarungkan tudung dan memakai sweater bagi melindungi badanku yang hanya mengenakan t-shirt berlengan pendek.
            Zafril memang sudah sedia menungguku di muka pintu sewaktu aku tiba. Melihat sahaja dirinya di depan mata, rasa rindu itu makin membuak-buak, namun dalam masa yang sama wajah Shania terbayang-bayang pula di tubir mata. Kata-kata Shania ternginag-ngiang di telinga. Rasa-rasa itu benar-benar menghimpit hatiku.
            “Kenapa tak jawab call?”
            Aku tidak mahu menjawab soalannya itu. Aku memandang Fitri yang masih setia berdiri di sebelahku, lantas aku menyarungkan selipar. “Kita berbual kat taman bawah.” Aku segera melangkah meninggalkan Fitri di muka pintu. Zafril hanya menurut kataku dan dia mula berjalan beriringan denganku.
            Sepanjang perjalanan ke taman permainan yang terdapat di dalam kawasan pangsapuri, aku hanya mendiamkan diri sahaja. Satu perkataan pun tidak terluah dari bibirku. Aku juga tahu sepanjang berjalan, mata Zafril tidak purus-putus memerhatikanku. Sampai sahaja di taman itu niatku untuk duduk di kerusi yang terapat di taman itu terencat kerana seorang remaja lelaki sedang duduk di kerusi itu sambil berbual-bual di talian. Lantas aku menuju ke permainan gelongsor dan bersandar di dinding gelongsor itu.
            “Kenapa dah tiga hari Safi tak jawab call Zaf?” Soal Zafril yang turut bersandar sepertiku di dinding gelongsor itu.
            Cahaya-cahaya lampu yang terdapat di taman permainan itu memudahkan aku mengamati wajahnya tika ini. Jelas kelihatan di dahi itu, tergambar garis kerisauan yang jelas di wajah Zafril ini. Kerisauannya itu berasas, siapa yang tidak risau jika setiap panggilan telefon tidak dijawab selama tiga hari berturut-turut, tidak kira pagi atau malam. Aku tahu aku tidak sepatutnya merisaukan Zafril sebegitu. Aku tahu aku bersalah, jadi aku hanya mampu melemparkan senyuman pada lelaki itu.
            “Safi tahu Zaf banyak kerja. Zaf kena tolong Nia buat macam-macam kat Tiara Holding sampai lewat malam. Safi cuma tak nak ganggu Zaf.” Helahku cuba menutup apa yang aku rasakan sebenarnya. Aku tidak mahu dia terlalu memikirkan perubahanku. Zafril sudah terlalu banyak kerja, mana dengan kerja-kerja di Adni Maju ditambah pula Zafril pula menolong Shania menyemak kedudukan kewangan Tiara Holding dan mengajar Shania tentang perniagaan yang baru ingin diceburinya. Sudah terlalu banyak perkara terbeban di bahu Zafril, aku tidak mahu menambahnya lagi.
“Betul?” Zafril masih lagi ragu-ragu dengan jawapan yang aku berikan.
            Aku mengangguk kepala dan terus tersenyum.
            “Bukan sebab Safi marahkan Zaf?”
            “Kenapa pula Safi nak marahkan Zaf?” Tanpa menjawab soalan Zafril aku pula yang mengajukan soalan padanya. Mengapa Zafril bertanya begitu padanya?
            “Yelah, minggu ni Zaf asyik busy itu dan ini, sampai jarang kita dapat jumpa. Tiga hari kebelakangan ini lagi teruk, tak berjumpa langsung, bercakap dalam telefon pun tak. Maybe Safi terasa dengan Zaf, ke?”
            Aku tertawa kecil mendengar penjelasan Zafril. Tidak aku sangka dia akan terfikir sehingga begitu pula. “Tak adalah... Safi tak marah. Safi tahu Zaf sibuk. Safi okay je, Zaf tu yang fikir bukan-bukan.”
“Betul ni?”     
            “Betul.”
            “Sorrylah Zaf memang busy sikit. Papa tulah, dia suruh Zaf ajar Shania mcam-macam kat Tiara Holding. Kalau pasal financial okaylah juga, sebab Zaf memang ada master in finance. Tapi kalau dah sampai operasi syarikat pun Zaf yang kena ajar, pening juga kepala ni. Manalah Zaf mahir pasal operasi Tiara Holdig yang bercabang-cabang tu. Tak pasal-pasal Zaf kena semak semula fail-fail lama. Papa bukannya tak boleh ajar Shania tu, tapi entah kenapa nak juga Zaf yang ajar. Kerja-kerja kat Adni Maju tu pun dah banyak bertangguh.” Bebel Zafril panjang lebar. Diluahkan semua perasaannya padaku yang setia menjadi pendengarnya sedari tadi.
            “Habis, bila Zaf nak masuk pejabat balik?”
            “Em... Maybe dalam seminggu dua lagi kot.”
            “Lamanya...” keluhku perlahan. Ini bermakna seminggu dua ini aku akan jarang bertemu dengannya.
            “Kenapa? Tak boleh buat kerja ye, kalau Zaf tak ada depan mata?” Usik Zafril pabila mendengar keluhanku.
            “Bukan tak boleh nak buat kerja, tapi banyak sangat kerja Zaf yang Safi nak kena handle and backup. Penat tau.” Sengaja aku berpura-pura mengadu padanya. Aku tidak mahu dia tahu yang aku akan merindui dirinya jika terlalu lama tidak bersua muka.
            “Amboi, dengan teman lelaki sendiri pun berkira.” Zafril tertawa.
            “At office you’re not my boyfriend but you’re my boss. Dengan bos ni kita bukannya boleh bagi muka sangat, nanti macam-macam kerja dia suruh kita buat tapi bagi gaji ciput je.” Kali ini aku pula sengaja mengusik dirinya.
            Zafril sudah mula mencekak pinggang dan matanya membulat memandangku. “Oh... Jadi selama ni tak puas hatilah dengan gaji yang Zaf bagi. Tak cukup? Sikit sangat ke?”
            “Ha’ah, memang tak cukup. Memang sikit.” Sengaja aku menambah. Matanya yang sedang merenungku seedkit pun tidak mengusarkanku. Aku tahu dia pura-pura marah denganku.
            “Habis tu nak berapa baru cukup?” Zafril memeluk tubuhnya pula. Wajahnya makin dikeruhkan, matanya masih lagi galak memandangku.
            “Double daripada gaji yang Safi dapat sekarang.” Saranku pula.
            “Ish, banyak tu. Demand nya Safi sekarang.”
            “Eh, itu baru satu perlima dari gaji Zaf tau. Mana pula banyaknya?” Aku tersenyum dalam hati. Aku tahu permintaanku itu agak keterlaluan dan aku sebenarnya tidak tergamak berlagak demand sebegitu.
            Zafril kelihatan berfikir seketika kemudian dia memandangku semula. “Okay, Zaf sanggup bagi Safi triple dari gaji yang Safi dapat sekarang tapi dengan satu syarat.” Kini zafril sudah tersenyum lebar.
            “Triple?” Soalku sedikit terkejut, tidak sangka dia akan membuat tawaran sebegitu padaku. “Erm... Nampak macam menarik. Okay apa dia syaratnya?” Sengaja aku pura-pura teruja. Aku tahu dia tidak akan berbuat begitu, nanti apa pula kata pekerja-pekerja yang lain. Gaji setiausaha begitu mahal, pasti ianya akan mengundang seribu satu persoalan di minda setiap pekerja-pekerja Adni Maju.
            “Syaratnya... Safi kena berhenti kerja.”
            “Hah?” Terkejut aku mendengarkan syaratnya. Jika sudah berhenti kerja, bagaimana pula aku akan mendapatkan gajinya? “Kalau dah Safi berhenti kerja, macam mana pula...”
            “Kita kahwin!”
            Kali ini aku lebih terkejut dari tadi. Langsung tidak terlintas di fikiranku Zafril akan menggenakan syarat itu. Jantungku mula berdegup laju, terkebil-kebil mataku memandang senyuman Zafril yang semakin melebar.
            “Zaf tahu cara Zaf ni tak proper, lamar Safi kahwin macam ni. Tapi Zaf memang dah tak sanggup nak hidup berjauhan dari Safi. Tiga hari kita tak berjumpa ni pun dah buat Zaf macam tak betul, asyik terbayang-bayang Safi je.” Zafril tertawa kecil seketika.  “Zaf dah nekad dengan keputusan Zaf. Zaf ingat hujung bulan ni Zaf nak masuk meminang Safi. Awal bulan depan kita bertunang. Lepas tu, hujung tahun ni kita kahwin. Boleh?”
            Makin terkejut aku mendengar rancangan Zafril itu. Wajah Zafrilku renung mencari kesungguhan disebalik kata-katanya tadi. Adakah Zafril serius dengan kata-katanya atau dia hanya ingin bergurau denganku. Jika benar kata-kata Zafril itu maknyanya dalam masa tidak sampai tiga bulan lagi aku akan mendirikan rumah tangga dengannya. Tiba-tiba gambaran wajah Shania terbit lagi. Bagaimana keadaan Shania jika berita ini dikhabarkan padanya?
            “Bila Zaf masuk pejabat semula nanti, Zaf nak dengar persetujuan daripada Safi. Dah lewat ni, Jom Zaf hantar Safi naik”
“Tak apalah, Safi naik sendiri” Aku menolak. Bukan apa, hati masih terkejut dengan berita peminangan itu.
“Okay, tapi hati-hati tau. Zaf balik dulu. Assalamualaikum” Zafril mengenyitkan matanya kemudian berlalu pergi.
            Aku masih lagi termanggu di situ. Otakku mula berputar ligat, aku benar-benar tidak pasti adaah Zafril bersungguh-sungguh dengan kata-katanya itu. Sepatutnya aku berasa gembira dengan cadangannya tapi mengapa hatiku berbelah bagi tika ini. Wajah Shania mula bersilih ganti dengan bayangan Zafril yang sudahpun berlalu dari taman permainan ini.

SETELAH mendapatkan lif di hujung lobi Hospital Pusat Rawatan Islam, aku terus meloloskan diri ke dalam perut lif. Aku ingin segera mendapatkan Shania yang sedang ditahan di wad kerana masalah buah pinggang. Dari semalam dia dimasukkan ke dalam wad, namun baru sebentar tadi Zafril memaklumkan perkara itu padaku.
Aku sendiri tidak mengerti mengapa Mak Lang tidak mahu memaklumkan keadaan Shania yang telah hampir dua hari ditahan di wad kepadaku dan kedua ibu bapaku. Dan aku juga menjadi binggung, sejak bila Shania mengidap penyakit itu? Mengapa sebelum ini aku tidak mengetahuinya. Hatiku semakin resah mahu segera mendapatkan Shania. Dan sebaik sahaja pintu lif hampir tertutup ada tangan yang menghalang pintu itu dari tertutup rapat.
“Safi”
Aku melemparkan senyuman pada Hafiz yang baru sahaja memasuki perut lif dan berdiri disebelahku. “Hafiz, buat apa kat sini?”
“Nak tengok Shania. Safi pun nak tengok Shaniakan?”
“Ha’ah tapi macam mana Hafiz tahu Shania masuk wad?”
“Makcik Milah call tengah hari tadi. Tu yang saya cepat-cepat datang ni.” Terang Hafiz.
Penerangan Hafiz itu membuatkan aku terdiam seketika. Mengapa ibu saudaranku itu hanya memaklumkan keadaan Shania padanya tapi tidak pada diriku sekeluarga. Adakah mak lang dan Shania ingin merahsiakan hal ini dari pengetahuan aku sekeluarga. Tapi mengapa perlu dirahsiakan hal-hal sebegini? Bukankah kami sekeluarga, jadi perkara-perkara sebegini harus dikongsi bersama.
“Tak sangka pula sakit Shania tu datang balik.” Tiba-tiba Hafiz memecah kesunyian.
“Maksud Hafiz?” Aku tidak faham akan kata-kata Hafiz itu. Penyakit Shania datang balik? Mungkinkah Shania sudah lama mengidap sakit buah pinggang dan sudah lama juga Shania dan mak lang menyimpan rahsia ini.
“Dulu masa kat US pun Shania ada juga warded. Berhari-hari jugalah Shania masuk wad. Makcik Milah kata Shania memang ada sakit buah pinggang sejak dari kecil.”
Berubah terus air wajahku mendengar cerita Hafiz. Masakan Shania pengidap sakit buah pinggang sejak dari kecil, sedangkan sepanjang aku membesar bersama-samanya tidak pula Shania kelihatan sakit atau ditahan masuk wad. Tapi tidak mungkin pula Hafiz ingin menjadi-jadikan cerita. Apabila pintu lif terbuka luas, aku pantas melangkah menuju ke wad untuk mendapatkan Shania. Aku ingin mengetahui cerita sebenar.
“Safi tak tahu ke?” Soal Hafiz sambil mengekori langkahku.
Aku mengeleng laju dan Hafiz mengeluh perlahan. Sebaik sahaja aku ingin memulas tombol pintu wad tiba-tiba Zafril terlebih dahulu membuka luas pintu dari dalam. Tersentak aku seketika melihat Zafril yang tiba-tiba muncul dibalik pintu. Namun sempat juga aku melemparkan senyuman padanya.
Zafril yang pada mulanya membalas senyumanku mematikan senymannya apabila melihat Hafiz turut berada di sisiku. “Datang berdua ke?” Zafril benar-benar kelihata tidak senang melihat Hafiz berada di sisiku.
“Taklah, safi tumpang Fitri tadi. Lepas tu terserempak pula dengan Hafiz dalam lif.” Cepat-cepat aku menerangkan keadaan sebenar apabila melihat wajah Zafril yang tiba-tiba tegang. Hafiz menghulurkan tangan pada Zafril dan aku menarik nafas lega apabila Zafril menyambut huluran salam itu.
“Nia macam mana?” Aku terus masuk ke dalam wad yang hanya menempatkan Shania sahaja. Aku tahu pastu mak lang yang menempatkan Shania di bilik kelas pertama ini. Begitulah mak lang, dia tidak akan berkompromi tentang keselesaan Shania.
“Dah semakin okay.” Zafril menutup semula pintu apabila aku dan Hafiz telah masuk ke dalam. Nampaknya niatnya untuk keluar tadi dibatalkan begitu sahaja.
            “Kenapa dengan Nia sebenarnya?” aku mula membelai rambut Shania. Rasa kasih tertumpah di situ apabila melihat wajah pucat Shania. Hampir menitis air matanya melihatkan dia sebegitu.
            “Zaf pun tak tahu detail sebab doktor lebih banyak berurusan dengan Makcik Milah. Tapi Makcik Milah cakap, Shania sekarang ni dah jarang ambil ubat.” Zafril yang berdiri disebelahku turut memerhati Shania yang terlena di atas katil.
            “Tapi masa kat US dulu, dia tak pernah lupa ambil ubat.”
            Kata-lata Hafiz itu menyentuh hatiku. Mungkin Shania agak terbeban dengan kerja-kerja di Tiara Holding sebeb itulah Shania lupa akan rutin biasanya itu. Aku tahu dia terlalu muda untuk dibebankan dengan segala masalah syarikat gergasi itu, tapi apa yang boleh dilakukan, Shania satu-satunya waris bagi menyambung legasi Tiara Holding, muda atau tua, susah atau senang Shania terpaksa juga memikul tanggungjawab itu. Aku mengelus lembut wajah pucat Shania, aku tidak tahu apa yang boleh aku lakukan untuk membantu meringankan beban adikku ini.
            Perlahan-lahan Shania membuka matanya dan memandangku yang berada di sisinya. Aku membalas senyuman Shania yang agak kelat itu. Apabila Shania mula bergerak aku pantas membantunya duduk bersandar di kepala katil.
            “Shania sakit lagi ke?” Ingin sahaja aku terus bertanya padanya mengapa dia dan mak lang merahsiakan sakitnya itu. Namun aku tahu ini bukan masa yang sesuai untuk aku bertanyakan semua itu. Shania memerlukan masa rehat yang cukup waktu ini.
            “Nia dah okaylah kak. Akak dah lama sampai?” Soal Shania cuba berlagak ceria.
            “Baru aje”
            “Akak datang dengan Hafiz ke?” Shania memandang ke arah Hafiz seketika sebelum memandangku semula.
            Aku mengeleng laju. “Taklah, tadi akak terserempak dengan Hafiz masa dalam lif.” Terus aku berterus terang. Aku tahu selama ini Shania salah faham tentang hubunganku dengan Hafiz dan aku tidak mahu Shania terus dengan salah fahamnya itu.
            “Oh, ingatkan lepas dating berdua, baru datang jenguk Nia kat sini” Shania tertawa kecil seketika.
            Wajah Zafril berubah apabila mendengar kata-kata Shania. Kecut perutku membalas renungan tajam Zafril yang terarah kepadanya. Aku menjadi kalut, aku tidak tahu mengapa Shania selalu melepaskan kata-kata sebegitu apabila kami berempat bertemu muka. Aku ingin membalas kata-kata Shania itu sekaligus menutup mulut adikku itu dari terus cuba mengaitkan aku dengan Hafiz. Tapi otakku seolah-olah dibius, aku tidak mampu untuk membalas kata-kata Shania sekeligus meredakan renungan tajam Zafril.
            “You ni kan... dalam sakit-sakit tu pun ada hati nak kenakan orangkan.” Hafiz membalas bagi pihakku.
            “Eh, kalau betul pun apa salahnya kan. Lagipun akak I ni single lagi tau.” Shania lekas membalas.
            “Shania, Kak Safi ni sebenarnya dah...”
            “Zaf!” Pantas aku memotong kata yang ingin Zafril sampaikan pada Shania. Aku tahu apa yang Zafril ingin sampaikan padanya. “Mak lang mana Nia?” Segera aku menukar topik perbualan.
            “Mama balik rumah kejap.” Dalam terpinga-pinga shania menjawab jua soalanku.
            Sesudah itu Zafril terus mengapai surat khabar yang berada di meja sisi katil dan mula duduk si sofa yang agak jauh dari katil Shania. Seolah-olah dia cuba menjauhkan diri daripada perbualan yang berlangsung di antara aku, Shania dan Hafiz. Sepanjang perbualan kami, sempat juga aku mengerling pada Zafril yang sedang tekun membaca akhbar di tangannya.
            Apabila Shania dan Hafiz mula membangkitkan kisah kawan-kawan seuniversiti mereka dahulu, aku mengambil peluang itu untuk menghampiri Zafril. Aku duduk di sofa tunggal yang berada di sebelah Zafril. Zafril melipat surat khabar yang dibacanya tadi dan diletakkan ke tepi. Perhatiannya kini tertumpu padaku.
            “Safi tak bagitahu Shania lagi pasal kitakan?” Terus Zafril menerjahku dengan soalan yang cuba aku elakkkan sejak minggu lalu.
            Aku menelan liurku sebelum menjawab soalahnya. Aku tahu jawapanku pasti aka mengundang amarahnya. “Belum.”
            “Susah sangat ke, Safi nak bagi tahu hal kita kat Shania. Bila Zaf nak bagitahu sendiri Safi tak bagi. Macam-macam alasan Safi. Yang nak rahsiakan sangat hal kita ni pada Shania tu kenapa?” Bergerak-gerak rahang Zafril menahan rasa di hatinya.
            “Bukan Safi tak nak bagi tahu, tapi banyak sangat benda berlaku kebelakangan ni. Safi cuma nak tunggu masa yang sesuai.” Aku cuba menyakinkan Zafril tapi mendengarkan keluhan yang terluah di bibirnya, aku tahu dia tidak boleh menerima alasanku. Aku tahu ini semua salahku, aku seharusnya memaklumkan hal diriku dan Zafril dari awal pada Shania, tapi keadaan semakin teruk apabila aku tahu perasaan Shania pada Zafril. Jadi bagaimana aku mahu berterus terang dengan Shania tentang perkara ini? Aku sendiri tidak ada jawapannya.
            “Bila pula masa yang sesuai tu?” Zafril nampaknya masih lagi berang denganku.
            “Zaf, nanti-nantilah.” Aku sudah tidak tahu apa yang harus aku katakan. “Safi balik dulu.” Aku tahu hari ini dan tempat ini bukanlah waktu yang sesuai untuk kami membincangkan hal ini.
            “Fitri jemput ke?”
            Aku mengeleng.
            “Habis tu macam mana nak balik?”
            “Tak apalah safi naik teksi je.”
            “Tak payah naik teksi, jom Zaf hantar balik.” Terus Zafril bangun dari duduknya.
            “Habis tu siapa nak jaga Nia?” Aku juga turut bangun dari duduk.
            “Sekejap aje tinggalkan dia, bukannya jauh sangat pun rumah Safi tu.” Zafril masih lagi berkeras ingin menghantarku.
            “Tak baiklah kita tinggalkan dia seseorang kat sini.” Aku masih terus memujuknya. Tidak mungkin aku akan mementingkan diri sendiri. Waktu ini Shania yang perlu diutamakan berbanding dirinya. Shania perlukan lebih perhatian dari orang disekelilingnya.
            Zafril merengus kasar apabila aku masih lagi menolak kehendaknya . Dia terus mengekori langkahku yang telah mendapatkan Shania.
            “Akak balik dululah Nia.” Terus sahaja aku mencelah perbualan Shania dan Hafiz.
            “Dah nak balik dah.” Shania menyambut huluran salam dan memelukku. “Akak drive ke?” Soal Shania saat pelukan kejabku telah dilepaskan.
            “Tak, akak balik naik teksi je.”
            “Kalau macam tu biar saya hantar Safi balik.” Pelawa Hafiz tiba-tiba.
            “Eh, tak apa salah boleh balik sendiri. Lagipun kat sini senang nak dapat teksi.” Tolakku lembut. Tidak mungkin aku akan menerima pelawaan Hafiz itu, nanti apa pula kata Zafril sedangkan pelawaannya untuk menghantarku sebentar tadi aku tolak.
            “Alah, akak ni, Hafiz pun nak balik juga, apa salahnya dia hantarkan. Orang dah pelawa terima jelah kak.” Shania tersenyum-senyum memandangku dan Hafiz.
            Aku terdiam, tidak tahu apa yang perlu aku lakukan kini, wajah Zafri langsung tidak aku kerling walaupun seketika. Takut aku mahu melihat reaksi Zafril tika ini. Apabila Hafiz membantu Shania menuangkan air ke dalam gelas, dengan pantas Zafril menarik lenganku menjauhi katil Shania.
            “No way, jangan harap Zaf nak benarkan Safi balik dengan Hafiz. Bair Zaf je hantar Safi.”
            “Zaf, janganlah macam ni. Takkan nak tinggalkan Nia seorang.”
            “Seorang apanya? Doktor dengan nurse kan ada. Lagipun bukannya jauh sangat rumah Safi dengan hospital ni. Selang 30 minit Zaf dah boleh sampai hospital ni semula. Tak ada apa yang nak dirisaukan.” Zafril masih lagi berkeras.
            “Zaf, kalau mak lang dengan parent Zaf datang kejap lagi tengok Shania tak ada sesiapa pun yang jaga, macam mana? Zaf nak jawab apa? Buat masa sekarang ni Nia lebih penting. Zafkan abang sepupu Nia.”
            Melihat Hafiz yang sudah mula melangkah menuju ke pintu aku juga turut membuka langkah. Baru aku mula membuka beberapa langkah, Zafril memanggilku semula dan aku pantas menoleh.
            “Dah sampai rumah nanti call Zaf.’
            Aku tersenyum dan menganggukkan kepala, kemudian aku melambai pada Shania yang masih lagi berbaring di katil. Aku tau Zafril turut risau dengan keadaan Shania yang sedang menanggung kesakitan. Tidak mungkin dia akan meninggalkan Shania keseorangan di wad ini. Namun dalam waktu yang sama aku tahu dia tidak mahu mengabaikanku. Dalam situasi ini aku tahu Zafril harus mengutamakan kepentingan Shania berbanding kepentinganku.

Bersambung...