Sunday, June 9, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 9



9
            Puas aku berfikir. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk mencuba. Mencari tahu apakah kata-kata abang Joe benar? Betulkah Afdhal sukakan Dahlia? Mungkinkah orang yang punya masalah seperti Afdhal masih mampu untuk punya perasaan cinta? Itu aku tidak dapat pastikan dengan jelas.
            Namun mengikut abang Naim. Itu tidak mustahil. Katanya, ada gangguan jiwa yang berlaku tidak sepenuh masa. Apabila pesakit tidak terjebak dalam dunia yang mengganggu jiwa dan emosinya, pesakit mampu untuk memberikan reaksi sama seperti manusia normal.
            Boleh jadi abang Naim betul. Kerana itu jugalah aku bersusah payah memikirkan jalan ini. Aku mahu lihat reaksi Afdhal nanti. Kalaulah betul, mungkin aku boleh gunakan itu sebagai cara untuk membantu.
            Ya, mungkin sukar untuk aku memberikan pertolongan. Aku sendiri rasa hampir mustahil untuk aku lakukanya. Tapi aku tetap mahu mencuba. Boleh jadi aku bakal gagal, namun sekurang-kurangnya aku pernah berusaha untuk mencuba. Itu lebih baik daripada terlalu awal berputus asa. Sikap berputus asa, bukan sikap mukmin sejati.
            Nota sudah aku siapkan. Sekadar dilipat empat. Tunggu masa menanti munculnya encik Afdhal. Dialog juga sudah sedia tersimpan difikiran. Tunggu masa untuk dituturkan. Kali ini aku mahu ubah gaya. Oleh kerana encik Afdhal tidak dapat menerima aku seadanya, maka kau harus memberi tindak balas yang sama. Mungkin encik Afdhal akan lebih selesa begitu. Teori baru lagi! Sejak berada di sini, entah sudah berapa banyak teori yang aku cipta sendiri?
            Encik Afdhal akhirnya muncul ketika aku sedang sibuk-sibuk memasukkan inbois-inbois semasa ke dalam fail yang baru aku buka. Masih banyak yang perlu diuruskan di Arena Printing. Dokumennya tidak diurus dan diselaras dengan betul. Aku intai dari arah mejaku. Nampak gaya seperti dia dalam keadaan waras. Dia menyandar pada kerusinya lalu memejamkan mata.
Sejak dari pagi dia menghilang, dan kini baru menampakkan wajah. Jadi inilah masa yang sesuai untuk bertindak. Kakiku mula melangkah, membawa diri menghampiri meja encik Afdhal bersama sehelai nota di tangan. Sementara ada keberanian, lebih baik aku teruskan.
“Ehem..” aku memberi isyarat, memaklumkan kehadiranku.
Encik Afdhal membuka mata. Melihatkan aku di situ, dia membetulkan duduknya. Enggan bercakap banyak, lantas aku hulurkan nota yang dari tadi membuatkan aku tidak senang duduk selagi tidak bertukar tangan.
“Apa ni?” encik Afdhal hanya memerhati nota yang dihulurkan.
Aku menjungkitkan bahu. Buat-buat tak tahu, sambil mencukakan wajah. Seolah tidak berminat langsung dengan situasi itu.
Encik Afdhal sudahnya mencapai juga nota yang aku hulurkan setelah sekian lama. Sebaik sahaja nota diambil, aku terus berjalan untuk kembali ke tempat. Ketika aku mula duduk di kerusi, mata aku singgahkan pada encik Afdhal. Dia masih memandang nota yang sudahpun dibuka lipatannya. Terpaku dia di situ tanpa sebarang reaksi yang aku harapkan. Nampaknya, rancanganku kali ini tidak menjadi. Cis! Lalu aku kembali menyambung kerja dengan hati yang kecewa.
“Yes!”
Teriakan kuat suara encik Afdhal memeranjatkan aku. Rasanya, bukan hanya aku, malah beberapa pekerja lain yang turut ada terkejut sama. Terhenti langsung tugas yang baru saja disambung kembali. Encik Afdhal datang ke arahku dengan langkah penuh semangat. Lebar senyumannya. Inilah pertama kali aku dapat melihat senyuman dari bibir encik Afdhal. Sebuah senyuman yang hampir sempurna daripada seorang lelaki yang tidak sempurna mindanya.
“Siapa bagi kau note ni?” soal encik Afdhal.
Aku pula jadi terdiam, sedangkan jawapan bagi soalan ramalan itu sudahpun dirangka tadi.  “Er...” lidah enggan beri kerjasama.
“Eh, aku tanya kau ni. Siapa yang bagi note ni?” sekali lagi soalan yang sama diulang.
“Entah, mana saya kenal. Perempuan tu suruh saya bagi pada encik Afdhal, saya bagi ajelah.” Berjaya juga aku menjawab akhirnya.
“Perempuan?”
“Ha’ah, perempuan cantik, rambut panjang.”
Mendengar kataku, encik Afdhal tersenyum lagi. Mungkin penjelasanku itu mengesahkan apa yang ada dihatinya.  
“Tak sangka aku, kau ni bawa tuah!”
Aku telan liur. Bawa tuah? Kalaulah encik Afdhal tahu kebenarannya...
“Kau ada curi baca note ni, tak?” buntang mata encik Afdhal. Seperti memberi amaran.
“Alah, saya tahulah encik Afdhal tak suka saya. Tapi janganlah asyik tuduh saya ni mencuri. Hari tu tuduh saya curi art block, sekarang tuduh saya curi baca nota encik Afdhal pula. Ingat saya ambil kursus pengurusan mencuri ke, kat univerisiti tu?” aku tunjuk riak protes. Cuba melindung sebuah kebenaran.
Kali ini senyuman encik Afdhal sudah bertukar kepada sebuah tawa kecil. “So, kau tak tahulah isinya?”
Aku hanya menggelang. Enggan menjawab dengan lidah. Aku tidak mahu tertangkap. Mustahil aku tidak tahu isinya, sedangkan akulah yang menulis nota ringkas itu. Terima kasih kerana selalu memerhati saya! Sungguh aku tidak sangka, ayat yang tidak sampai sepuluh patah perkataan itu dapat menceriakan harinya. Langsung tak pernah aku melihat encik Afdhal sebegitu gembira.
Ternyata tekaan abang Joe sangat tepat. Sebagai manusia biasa, encik Afdhal punya perasaan pada kak Dahlia. Itu satu kenyataan. Ini bermakna aku sudah bertemu dengan kesukaan encik Afdhal.
“Good!” encik Afdhal beredar begitu sahaja. Dan kali ini dia menghilangkan diri sekali lagi. Entah kemana dia mahu pergi? Jangan dia terus bersemuka dengan kak Dahlia, sudah!
Kepalaku menggeleng beberapa kali dengan sendirinya. Tak padan dengan ada masalah jiwa, tinggi pula citarasa! Encik Afdhal... encik Afdhal...

TEPAT jam enam petang, aku terus bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Syukur alhamdulillah, hari ini sahaja aku sudah berjaya memfailkan semua inbois dari tahun 2009. Fail-fail itu sudah aku lebelkan dan disimpan di dalam kabinet pejabat. Itu satu kejayaan besar pada diriku.
            Walau bagaimanapun, masih ada kejayaan yang lebih besar yang berjaya aku capai pada hari ini. Apa lagi kalau bukan tentang encik Afdhal. Nampak gayanya aku perlu mendapatkan bantuan Kak Dahlia dengan kadar segera. Aku yakin, dengan adanya kak Dahlia membakar semangat, encik Afdhal akan sembuh sedikit sebanyak.
Masalahnya aku kini ialah, mahukah kak Dahlia membantu? Itu yang aku risaukan.  Mahu atau tidak, aku perlu melibatkan kak Dahlia dalam perkara ini. Lagipun kak Dahlia kelihatan seperti orang baik-baik. Pasti dia tidak keberatan untuk menolong.
“Ana, tunggu...”
Aku yang baru saja mahu meninggalkan bangunan Arena Printing, mematikan niat apabila terdengar suara abang Joe memanggil. Berlari abang Joe mendapatkan aku bersama bungkusan berwarna putih dan merah di tangan.
“Kenapa ni abang Joe?” aku bertanya.
“Ana nak balik dah ke?”
“Ha’ahlah. Abang Joe ada nak minta Ana tolong apa-apa, ke?”
“Taklah, nah ambil ni.” Abang Joe menghulurkan bungkusan plastik yang tertera gambar Kolonel Harlends Sanders.
“Wah, KFC. Untuk Ana ke, ni?” soalku tidak percaya.
“Untuk Analah, untuk siapa lagi?” Abang Joe melepaskan pegangan sebaik sahaja aku memegang plastik.
“Ada apa-apa yang special ke hari ni, abang Joe?” soalku lagi sebelum menghidu bau ayam goreng yang sungguh enak.
“Itu yang abang Joe nak tanya Ana ni?”
“Aik, kenapa nak tanya Ana pula?”
“Apa yang Ana dah buat dengan Afdhal?” abang Joe memeluk tubuhnya.
“Apa yang Ana dah buat dengan encik Afdhal?” dahiku mula berkerut, memikirkan pertanyaan abang Joe. “Buat apa? mana ada buat apa-apa? Ana nampak muka encik Afdhal pun sekali aje hari ni.” Aku jelaskan.
“Habis tu, kenapa Afdhal suruh abang bagi KFC ni pada Ana?”
“Hah?” aku terkejut. “Encik Afdhal yang bagi KFC ni pada Ana?” aku seakan tidak percaya.
Abang Joe hanya mengangguk, membenarkan kata-kataku. Aduh, ini mesti kes nota tadi! Dahiku sudah mula mengeluarkan peluh. Mujur kain tudung yang menutup kepala menelan peluh yang mengalir.        
“Apa yang Ana dah buat sampai Afdhal happy macam tu? Dah lama, baru hari ni Afdhal senyum balik. Apa yang Ana dah buat? lebih baik Ana terus terang dengan abang Joe.” Jari telunjuk abang Joe sudah mula naik ke mukaku.
Serba salah aku dibuatnya. Mahu memberi tahu atau tidak? Rasanya untak kali ini, aku tak boleh menceritakan perkara itu pada abang Joe. Buatnya abang Joe cerita pada kak Lin, dan kak Lin terlebih dahulu sampaikan pada kak Dahlia sebelum aku memohon bantuanya, pasti rancangan aku bakal gagal. Itu tak boleh berlaku!
“Ana tak buat apapun.” Aku berdalih. “kalau abang Joe tak percaya, abang Joe pergilah tanya encik Afdhal.” Alamak! Macam manalah aku boleh bagi idea sebegitu. Salah percaturan pula. Kalau abang Joe tanya pada encik Afdhal, habislah aku.
“Dah tanya dah.”
“Hah?” sekali lagi aku terkejut. Kasihan jantungku hari ini, asyik dikejutkan.
“Afdhal tak nak share, sebab tu abang Joe tanya Ana direct. Dah dia belikan KFC ni untuk Ana, mesti Ana ada kaitan.” Cekap saja otak abang Joe berkerja.
“Betullah abang Joe. Ana tak tahu apa-apa. Ana sendiri terkejut bila abang Joe cakap encik Afdhal bagi KFC ni untuk Ana.” Bersungguh aku menafikan. Mengharapkan kepercayaan abang Joe. “Entah-entah encik Afdhal rasa bersalah sebab tuduh Ana curi art block dia hari tu kut?” aku reka sebuah cerita untuk menutup satu cerita. 
“Entahlah. Dahlah pergilah balik.” Abang Joe akhirnya melepaskan aku.
“Iyalah, Ana balik dulu. Terima kasih abang Joe. Assalamualaikum.” Aku sudah tidak mahu menambah bicara. Lebih baik aku segera menghilang. Itu lebih selamat.
“Wa’alaikumusalam.” Balas abang Joe perlahan.

WAKTU maghrib sudahpun masuk sewaktu aku keluar dari stesyen putra LRT. Bergegas aku berjalan pulang. Hujan rahmat pula mula turun rintik demi rintik. Lalu aku bawa kaki berjalan lebih laju. Kalau hujan lebat membasahi bumi sebelum aku sempat sampai, itu bermakna aku bakal basah kuyup. Kini kakiku menambah kelajuan lagi. Hampir saja berlari anak.
            Bunyi hon kenderaan yang kedengaran beberapa kali membuatkan aku berpaling. Kerata Nissan Almera, milik abang Naim jelas kelihatan. Kereta itu kini betul-betul berhenti di sebelahku.
            “Ana, jom... ” abang Naim sudah membukakan pintu penumpang hadapan melalui tempat duduknya.
            Aku tersenyum. Bantuan sampai tepat pada masanya. Syukur. Lalu aku menumpang kereta abang Naim untuk pulang ke detinasi yang sama.
            “Pakai seat belt.” Arah abang Naim
            “Alah, tak payahlah... dekat aje.” Aku enggan. Bukan jauh sangat pun. Kalau naik kereta kurang lima minit perjalanan.
            “Dekat ke, jauh ke, tetap kena pakai. Ana kena selalu utamakan keselamatan. Dah, pakai cepat.” Abang Naim masih bertegas.
            Nampaknya aku harus bertindak mengikut arahan. Terpaksa juga aku tarik tali pinggan keledar.
            “Sedapnya KFC... Ana beli untuk abang, ke?”
            Aku memandang bungkusan KFC yang aku letakkan di atas pehaku. “Taklah, ada orang bagi pada Ana.”
            ‘Siapa yang bagi?” laju abang Naim bertanya.
            “Bos Ana...”
            “Semua staff dapat ke?” soal abang Naim lagi.
            “Taklah, Ana seorang aje.” Aku balas jujur.
            “Kenapa Ana seorang aje yang dapat?” dahi abang Naim mula berkerut. Sekilas dia memandang diriku sebelum kembali memberikan tumpuan pada pemanduannya.
            Soalan itu membuatkan aku lidahku kaku. Apa pula nak jawab kali ini? Soalan itu walaupun berlainan strukutrnya, namun maksudnya masih sama seperti yang abang Joe tanyakan tadi.
            “Kenapa diam?” abang Naim kelihatan seperti memerlukan jawapan segera bagi soalannya.
            “Sebab Ana staff baru. Kawan-kawan kat ofis cakap, bos tu memang akan belanja staff baru makan. Selalunya dia akan belanja makan kat luar. Tapi Ana tak, dia just belikan KFC aje.” Aku harap abang Naim senang hati mendengar jawapan yang aku berikan.
            “Oh... baguslah kalau ada bos macam tu.” Kini abang Naim tersenyum. Dan senyuman itu membuatkan aku menjadi lega.
            Kereta akhirnya diberhentikan sebaik sahaja memasuki perkarangan rumah. Aku bersiap untuk turun. Tali pinggan keledar yang tadinya dipasang, kini ditanggalkan kembali. Pintu kereta sudah aku buka dan kaki mula menapak keluar, untuk turun.
            “Ana.”
            Panggilan abang Naim membuatkan aku tidak jadi turun. Aku kembali menoleh. Mungkinkah ada barangku yang tertinggal?
            “Ana tahu tak kenapa umi dengan ayah Ana datang KL?”
            “Entah, tak tahu. Kenapa?” sungguh aku tidak tahu dengan jelas kenapa. Kerana umi tidak mahu memaklumkan apa-apa. Cuma yang aku itu, ianya punya kaitan dengan abang Naim.
            “Tak apalah, nanti Ana tahu juga.” Abang Naim menguntum senyuman. Kemudian dia mematikan enjin lalu turun. Aku turut sama turun dengan hati penuh tanda tanya. Mungkinkah abang Naim cuba sampaikan sesuatu melalui pertanyaan tadi? Hati masih bersoal jawab.

Bersambung...

Kata AH: 
Alhamdulillah. Selamat Membac entry 9. Semoga entry ini membuatkan anda jatuh cinta pada JJC... hi2 Tq to all.. <3 br="">

Tuesday, June 4, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 8



8
Hujung minggu ini adalah hujung minggu yang paling menyeronokkan. Pak lang, mak lang dan  abang Naim sama-sama turun padang, menunjukkan kemahiran memasak. Sudah terasa seperti pertandingan Master Chef Malaysia pula. Mana tidaknya, pak lang sibuk membantu mak lang menyediakan lauk daging kawah dan pajeri terung. Manakala aku diminta untuk membantu abang Naim menyediakan siput masak lemak cili api. Kata mak lang, abang Naim memang pakar dalam menyediakan lauk itu.
Tapi daripada tadi aku hanya memerhati abang Naim menyelesaikan urusan dengan siput yang masih merayap, memanjat mangkuk besar. Geli geleman aku dibuatnya. Melihatkan tahap hubunganku dengan siput itu, maka abang Naim meminta aku  supaya duduk dan memerhati. Itu saja!
Aku tidak tahu apa istimewanya dengan hari ini. Namun hatiku kuat mengatakan bahawa ada sesuatu.  Entah apa agaknya. Biarlah, nanti akan ketahuan juga. Kini aku kembali memerhati abang Naim. Sungguh cekap dia menguruskan siput-siput itu. Saling tak tumpah macam Chef Fabio Viviani, Chef kelahiran Italy cukup terkemuka pada ketika ini. Untunglah aku nanti. Hati sudah mula ketawa.
“Dulu masa Ana kecil, Ana selalu suruh abang sedutkan siput untuk Ana. Ana ingat tak?”
“Hah?” aku cuba imbas masa. Betul ke?
“Tak ingat ke?” abang Naim masih bertanya, sedang tangannya sedang galak mencuci siput-siput yang penuh semangkuk. “Itulah, tak suka lagi makan kismis. Abang yang selalu kena habiskan kismis Ana.” Lagi kisah lama dibangkitkan.
Kismis pula? Aduh, kenapa aku langsung tak ingat kisah-kisah itu? “Ingat!” satu pembohongan aku cipta. Semata-mata menjaga hati abang Naim.
“Nasib baik ingat, kalau tak, abang dah nak merajuk.” Abang Naim pamerkan senyuman manisnya.
“Merajuk pun tak guna. Ana tak reti nak pujuk.”
“Memanglah. Masa kecil dulupun, abang yang selalu pujuk Ana. Ana tak pernah nak pujuk abang.” Abang Naim tarik muncung.
Aku ketawa kecil. Yang itu aku ingat. Sangat ingat! gula-gula lolipop menjadi saksi.
“Dahlah berborak, tak siap nanti lauk siput tu. Karang tak sempat pula.” Mak lang bersuara. Memberi peringatan.
“Itulah mak, kalau Ana ada, Naim tak boleh nak buat kerja cepat.” Laju saja ayat itu keluar dari mulut abang Naim.
“Iyalah tu...” balas mak lang kembali. “Ana, kamu tolong Mak lang potong terung ni. Jangan dilayan abang Naim kamu tu, nanti tak makan kita.” Arah mak lang.
“Betul tu Ana.” Suara pak lang pula kedengaran. Mengiyakan semua kata-kata isterinya.
Aku pandang abang Naim. Abang Naim mencebikkan bibir sambil menggelengkan kepala, enggan membenarkan. Kemudian dia tersenyum. Sempat lagi dia bergurau. “Baik mak lang.” Aku atur langkah ke arah mak lang. Membantu seperti pintanya.

“UMI, ABAH...”  aku benar-benar terkejut melihat kedua orang tuaku.  Laju aku berlari mendapatkan mereka di muka pintu. Sungguh tak aku sangka aku akan menerima kunjungan mereka tengah hari ini.
            “Umi dengan abah tak bagi tahu Anapun nak datang KL.” Aku tunjuk riak rajuk selepas bersalaman dengan mereka.
            “Saja nak buat kejutan.” Umi mencium dahiku.
            “Hai, nak melawat anak sendiripun nak kena bagi tahu?” giliran abah menambah.
            “Alah abah ni, bukan macam tu. Kalau Ana tahu, bolehlah Ana masakkan untuk umi dengan abah.”
            “Kamu bukan pandai masakpun...” abah membalas kata.
            “Abah ni...” rengekku, manja.
            “Dahlah, jom masuk. Berborak kat dalam. Makanan pun dah nak sejuk tu.” Pak lang menjemput.
            Hari ini memang hari yang menggembirakan. Mungkin inilah sebabnya mak lang dan pak lang beriya-iya memasak. Patutlah abang Naimpun bersungguh hari ini. Nak menghidangkan bakal mertua dengan air tangan sendiri rupanya. Mereka semua membuatkan aku rasa sangat bahagia.
            Sesudah makan, aku membantu umi membasuh pinggan. Mak lang pula sedang berbual di talian. Panjang sungguh perbualan mak lang. Dengan siapalah agaknya? Mungkin kawan mak lang agaknya.
            “Umi...” aku mencuit umi yang sedang asyik melumurkan sabun untuk menanggalkan kotoran.
            “Apa dia?”
            “Umi datang sini sebab nak jenguk Ana aje, ke, atau ada sebab lain?” aku tidak mahu simpan pertanyaan itu. Aku ingin tahu. Kebetulan hanya aku ada umi di sini, maka ada baik aku bertanya sekarang.
            “Kalau umi kata sebab nak jenguk Ana aje, macam mana?”
            “Alah umi ni, cakaplah betul-betul.” Aku membuat rayuan.
            “Memang datang nak jenguk Ana, tapi kebetulan pula, mak lang kata ada benda nak bincang dengan umi.”
            Akhirnya umi menceritakan segala-galanya. Ada benda yang nak dibincangkan? Ada kemusykilan di situ.
            “Nak bincang pasal apa, umi?”
            “Ish, yang Ana sibuk nak tahu hal orang-orang tua ni nak pasal apa?” Umi menghentikan kerja. Tepat dia memandang wajahku.
            “Tak adalah umi, saja nak tahu. Manalah tahukan ada kena mengena dengan Ana.” Aku tersengih.
            “Tak ada kena mengena dengan Ana, pun. Pasal abang Naim aje. Anak umi tolong jangan nak perasan ya.”
            “Alah umi, biasanya hal-hal yang ada kaitan dengan abang Naim ni, ada kaitan dengan Ana juga.” Aku angkat kening berkali-kali.
            Umi menggelengkan kepala. “Tak kuasalah umi nak layan perasaan kamu tuh. Nanti umi cakap dengan mak lang yang kamu suka abang Naim, baru kamu tahu. Dah, habiskan basuh pinggan ni, umi nak ke depan!”
            “Umi...” panggilanku sudah tidak lagi dihiraukan. Nampak gayanya, memang akulah yang kena habiskan membasuh semua pinggan mangkuk. Tapi itu tak mengapa kerana pada saat ini ada sekuntum bunga sedang berkembang mekar di dalam hati.

 ORANG pertama yang ingin aku cari sebaik saja aku sampai di Arena Printing nanti ialah abang Joe. Sungguhpun hujung minggu yang aku lalui penuh dengan kegembiraan, namun hatiku tidak lepas daripada memikirkan keselamatan kak Dahlia. Aku harus bersemuka dengan abang Joe dan menceritakan segala-galanya.
            Art block yang aku ambil tempoh hari juga aku bawa bersama. Aku perlu mengemukakan bukti supaya abang Joe tidak salah anggap. Abang Joe pasti akan terkejut dengan penemuanku. Aku yakin dan pasti!
            “Abang Joe.” Pekikku kuat sebaik sahaja melihat kelibat abang Joe yang sedang tekun membuka kunci mangga pada pintu roller shutter. Abang Joe menampakkan wajahnya. Dia mengangkat keningnya sambil tersenyum.
            Laju aku berjalan menghampiri abang Joe. Perkara ini harus diselesaikan segera sebelum sesuatu terjadi pada kak Dahlia. “Assalamualaikum, abang Joe.” Aku mulakan dengan adab Islam. Tidak mahu nampak begitu kabut.
              “Wa’alaikumusalam. Ha, Ana, awal sampai.” Abang Joe mengeluarkan mangga dari tempatnya lalu menolak pintu roller shutter ke atas. Dan kini pintu kaca sudah mula kelihatan.
            “Ha’ah, awal.” Aku turut mengukir senyuman. “Abang Joe, Ana ada hal nak cakap dengan abang Joe. Penting!”
            “Penting? Apa dia? Cakaplah!” abang Joe mula menghadap, memandang aku dengan pandangan yang serius.
            “Kat sini?” aku mula pandang sekeliling. Risau pula kalau Afdhal tiba-tiba saja muncul nanti. Buruk padahnya!.
            “Habis tu nak cakap kat mana lagi?”
            “Encik Afdhal kat mana?” aku mahu kepastian.
            “Entah, dekat bilik atas bumbung tu la kut. Kenapa ni, Ana? Cuba cerita.”
            “Jom, ikut Ana.” Aku terus masuk ke dalam bangunan. Sebelum Afdhal sampai, aku harus menunjukkan bukti yang pertama pada abang Joe.
            Abang Joe tidak banyak cakap. Dia hanya mengikut langkahku. Sampai saja di meja Afdhal, aku terus membuka laci mejanya. Kertas lukisan semalam aku keluarkan.
            “Cuba abang tengok gambar ni, abang Joe kenal tak perempuan ni?”
            “Kenal.” Abang Joe menjawab pantas. Langsung tidak menunjukkan reaksi terkejut. Seolah dia sudah mengetahui tentang kewujudan gambar itu.
            “Kalau Ana nak tahu, ini gambar owner butik kecantikan kat depan tu. Nama dia Dahlia. Dia nilah bos kak Lin.” Abang Joe membuat penerangan.
            “Abang Joe kenal?” aku memberikan soalan bodoh. Sudah panjang lebar abang Joe berbicara tentang kak Dahlia, mustahil dia tidak tahu.
            “Kenapa pula tak kenal? Masalahnya apa sebenarnya ni, Ana?” wajah abang Joe mula kelihatan bosan untuk terus melayan.
            “Abang Joe tahu siapa yang lukis gambar ni?” aku bertanya lagi. Dan pertanyaanku itu membuatkan abang Joe terdiam seketika.
            “Kalau Ana ambil dari laci meja Afdhal, dah tentulah Afdhal yang lukis.” Akhirnya ada  juga jawapan yang keluar dari mulut abang Joe.
            “Abang Joe tahu kenapa encik Afdhal lukis gambar ni?”  
            Abang Joe mendiamkan diri sekali lagi.
            “Kenapa, Ana tahu ke?”
            Aku mengangguk. Kemudian aku tarik nafas seketika. Terasa berat untuk menyatakan kebenaran. “Kak Dahlia mungkin mangsa ketiga yang encik Afdhal cari. Nyawa kak Dahlia dalam bahaya. Kita kena buat sesuatu.” Bersungguh aku bercerita. Berharap abang Joe dapat membantu memikirkan jalan.
            Ketawa abang Joe meletus kuat mendengar kata-kataku. Terbahak-bahak abang Joe ketawa. Reaksi yang abang Joe tunjukkan itu memeranjatkan aku. Apa yang lucunya dengan cerita yang aku sampaikan tadi?
            “Abang Joe ketawa ni kenapa?”
            Soalanku tidak diendahkan. Abang Joe masih terus dengan tawanya. Jadi aku terpaksa berdiri, terus memerhati abang Joe menghabiskan rasa geli hati.
            “Aduhai, Ana...Ana... nasib baik tak pecah perut, abang Joe.” Ketawa abang Joe sedikit reda. “Ana banyak sangat tengok cerita Detactive Conan ni.”
            “Abang Joe ni, Ana cakap betul-betul, abang Joe main-main pula.” Aku tarik muka. Aku tidak mereka-reka cerita.
            “Ana nak cakap yang Afdhal tu nak bunuh Dahlia? Apa yang Ana merepek ni?”
            “Ana tak merepeklah, Abang Joe, cuba abang Joe tengok ni?” dengan lajunya aku mengeluarkan art block milik Afdhal. Sehelai demi sehelai kertas pada art block itu aku selak. Aku mahu abang Joe melihat semuanya. Mungkin abang Joe tak pernah melihat semua itu, jadi abang Joe menyatakan sedemikian.
            “Abang Joe tengoklah sendiri, dah berapa banyak rumah yang encik Afdhal bakar?” tegas aku menyatakan. “Satu dah mati, dua dah mati, yang ketiga?” aku bacakan ayat yang tertulis pada helaian terakhir art block itu. Ayat yang pernah membuatkan art block itu aku campak di bawah katil.  “Dua orang dah mati tau abang Joe. Sekarang ni tinggal mangsa ketiga. Ini bukan benda main-main!”
            “Astagafirullahal’azim.” Abang Joe beristigfar panjang.
            Aku mula lega. Akhirnya abang Joe mahu percaya.
            “Ana, dengar ni elok-elok.”
            Aku memberikan perhatian pada abang Joe.
            “Semua yang Ana cakap tu, tak betul. Afdhal bukan pembunuh macam yang Ana fikirkan.”
            “Tapi abang Joe...”
            “Tak ada tapi-tapi, Ana. Abang Joe lebih kenal Afdhal daripada Ana. Kalaulah abang Joe boleh ceritakan pada Ana, abang Joe dah ceritakan semuanya. Tapi abang Joe tak boleh nak ceritakan apa-apa.” abang Joe menundukkan wajah.
            “Kenapa pula tak boleh?”
            “Abang Joe dah bersumpah pada Afdhal yang abang Joe takkan ungkit cerita hidup dia.” Sugul wajah abang Joe.
            “Kalau macam tu, susahlah Ana nak tolong. Ana tak ada apa-apa sumber. Apa yang Ana andaikan, semuanya salah. Ana tak tahu nak buat apa.” Lemah aku berbicara. Kalau beginilah keadaannya. Aku tak dapat nak berbuat apa-apa.
            “Terpulanglah pada Ana. Kalau Ana tak mampu, abang Joe tak boleh buat apa-apa. ” abang Joe mula meninggalkan aku.
            “Ana...” abang Joe memanggil.
            Aku kembali memandang abang Joe yang sudah beberapa langkah di hadapan.
            “Satu dah mati. Itu ayah Afdhal. Dua dah mati. Itu emak Afdhal. Yang ketiga? Afdhal maksudkan diri dia sendiri.”
            Mendengarkan itu, langsung terlepas art block yang aku pegang sejak tadi.
            “Dulu masa sekolah, Afdhal pernah bagi tahu abang ciri-ciri wanita idaman dia. Abang rasa Dahlia ada semua ciri-ciri tu. Mungkin Afdhal sukakan Dahlia, sebab tu dia lukis gambar Dahlia.” Tambah abang Joe.
            Aku sudah tidak mampu berkata-kata. Semua andaianku tidak benar, membuatkan aku rasa bersalah pada Afdhal.
            “Mungkin Afdhal ada masalah jiwa, tapi dia bukan yang macam Ana fikirkan.”
            Abang Joe terus berlalu setelah meninggalkan kata yang begitu payah untuk aku telan sendiri.

Bersambung...

KATA AH :
Assalamualaikum. Alhamdulillah, selesai update bab 8 utk bacaan semua. Terima kasih krn masih setia dgn JJC. Buat yang mahu mendapatkan Novel  SUDI KATA SUDI, tempahan kini dibuka oleh Fajar Pakeer. AH nantikan komen2 daripada semua supaya AH dapat memperbaiki lagi kekurangan2 yg sentiasa ada. Terima kasih.

Salam Ukhwah
AH