Tuesday, May 21, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 6



6
            Kebanyakan pekerja sudah mula meninggalkan bangunan Arena Printing. Masing-masing mahu segera pulang, menyudahkan urusan peribadi masing-masing. Aku turun semula ke ruang pejabat setelah tugas di bahagian percetakan selesai.
            Aku duduk di meja. Setiap kali duduk di situ, mataku tidak lepas daripada terus memandang ruang kerja encik Afdhal. Seolah adanya magnet di situ untuk terus menarik perhatianku. Hari ini aku hanya terserempak dengan encik Afdhal pada awal pagi. Ya, dia masih membaca surat khabar di hadapan pintu. Kemudian aku langsung tidak bertemu dengannya. Tak tahu kemana dia telah menghilang.
            Rasanya inilah masa yang sesuai untuk aku membuat siasatan. Mungkin aku akan berjumpa dengan sesuatu yang dapat membantu aku memulakan misi menyelamat. Nak harapkan abang Joe? Sepatah aku tanya, sepatah jugalah yang dia jawab. Macam tak rela nak bercerita. Hari tu, dia yang beria-ia meminta pertolongan. Bila aku sudah teruja mahu membantu, alih-alih macam ini pula jadinya. Ah, lantaklah! Niat baik harus aku teruskan.
            Apabila yakin ruang pejabat telah ditinggalkan oleh semua pekerja pentadbiran, aku mula bergerak ke ruang kerja encik Afdhal. Menggeleng kepalaku melihat keadaan di situ. Di sekitar mejanya saja sudah bertimbun dengan kertas-kertas yang entah apa-apa. Itu belum lagi art block yang lintang pukang susunannya di bawah meja.
            Kertas yang sedia bertaburan atas lantai, aku alihkan sekadar perlu. Aku mahu duduk di situ. Berlindung di balik meja. Seketika aku mengambil masa untuk memerhati. Dari mana harus aku mula? Semuanya kelihatan seperti sampah sarap yang tidak ada guna. Hanya layak dihantar untuk kitar semula. Jadi, semuanya kelihatan seperti mustahil.
            “Encik Afdhal... encik Afdhal...” namanya tiba-tiba keluar dari bibirku perlahan. Sungguh aku simpati.
            Tanganku mencapai sehelai kertas yang sudah direnyukkan. Dalam banyak-banyak kertas yang ada, entah mengapa kertas itu yang aku capai terlebih dahulu. Perlahan aku membetulkan kembali kertas itu. Mahu mengetahui isinya. Apa yang menyebabkan kertas itu direnyukkan sebegitu?
            “1m040” coretan yang tertulis atas kertas itu aku baca.
            “1m040?” sekali lagi aku mengulang. Memang aku tidak faham langsung. Kertas itu aku renyukkan kembali dan mencampaknya merata. Aku ambil pula kertas lain yang turut sama renyuk. Masih benda yang sama, yang dituliskan.
            Tidak puas hati, satu per satu kertas yang renyuk aku buka. Hampir kesemuanya mempunyai catitan yang sama. Tapi apa maksudnya?
            “1m... takkan 1Malaysia kut?” omelku sendiri. Cuba mencari jawapan yang pasti. Eh, takkan. Envik Afdhal takkan sepatriotik itu. “Boleh jadi 1 meter agaknya?” masih aku memikirkannya. “Habis tu, 040 tu apa pula? Ada kena mengena dengan jarak ke?” andaian demi andaian aku buat. Entah betul, entah tidak!
            Malas mahu berfikir panjang, lalu aku lipat ketas yang sudah aku pegang. Aku mahu membawanya pulang. Mana tahu aku bakal menemui jawapannya nanti. Kini aku beralih pula pada ruangan bawah meja. Kerusi besar yang kelihatan empuk itu aku tolak ke tepi, lalu kedudukanku makin hampir dengan meja.
            Art block yang bertimbun-timbun di bawah meja itu entah apa pula isinya? Aku masih berkira-kira, mahu meneruskan pencarian atau sebaliknya. Mana tidaknya, dibuatnya semua art block itu mempunyai kisah yang berbeza, takkan aku mahu membawa pulang kesemuanya?
            Bunyi mesin touch card membuatkan jantungku sentak. Laju aku memuatkan diri di bawah meja, menyorok. Harapnya bukan encik Afdhal. Kalaulah dia tahu aku ada di bawah mejanya, apalah nasib aku nanti.
            Derapan kaki kedengaran semakin menghampiri. Aku terus menikius di bawah meja. Bersempit-sempitan dengan art block yang melambak-lambak. Mujur semua art block itu seakan mengalu-alukan keberadaan aku di situ. Kalau tidak, mana lagi aku mahu melarikan diri?
            Lelaki yang memakai seluar jeans warna hitam mula duduk setelah kurusi yang aku tolak tadi, ditarik kembali ke tempat asal. Rupanya tidak kelihatan kerana aku tidak berani menjengah kepala keluar dari bawah meja. Tapi aku yakin dia encik Afdhal. Siapa lagi yang suka pakai warna gelap begitu kalau bukan dia? Ish... kalau tertangkap, matilah aku kali ini. Apa aku nak jawab?
            Keletihan aku duduk di bawah meja. Encik Afdhal pula tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia mahu beredar. Silap hari bulan, aku kena tunggu samapai pagi. Pasti Pak lang dan mal lang akan risau. Abang Naim? Tentu dia lebih risau. Tapi yang peliknya, encik Afdhal kelihatan baik saja. Tidak pula dia bersuara.
Pen yang tiba-tiba jatuh seperti sengaja mahu memaklumkan kewujudan aku di situ. Aku mula meraup wajah dengan tapak tangan. Berserah sepenuh hati. Bunyi gerakan roda kerusi menambah resah. Pasti aku akan dijumpai sekiranya pen yang jatuh itu cuba ambil kembali. Mana tidaknya, pen itu jatuh betul-betul di bawah meja. Habislah...
            Namun sudah beberapa ketika, tiada apa-apa yang berlaku. Aku sendiri pelik. Takkan tak nampak aku? Lalu aku beranikan diri, meninjau keadaan. Mana tahu encik Afdhal terus pergi tanpa memperdulikan pen yang jatuh itu.
            “Allahuakbar!” laungku kuat apabila wajah abang Joe kelihatan. Sakit kepalaku terhantuk pada meja gara-gara terkejut. Aku sangkakan encik Afdhal, rupa-rupanya abang Joe. Hati sedikit lega, walaupun tidak sepenuhnya.
            Abang Joe masih menundukkan wajahnya sambil memerhati padaku. Ya, aku tahu apa yang abang Joe perlukan saat ini. Pasti penjelasan kenapa aku boleh berada di bawah meja encik Afdhal pada waktu-waktu begini.
            “Ana nak cari apa-apa yang boleh tolong Ana untuk faham encik Afdhal. Ana betul-betul nak tolong encik Afdhal. Abang Joe jangan bagi tahu encik Afdhal yang Ana selongkar tempat dia. Tolong eh, abang Joe.” Aku merayu.
            Abang Joe langsung tidak bersuara. Hanya kerlipan matanya yang dapat aku saksikan dari tadi. Nampak seperti abang Joe enggan berpihak padaku. Kalau begitu, apa yang perlu aku lakukan? Oh, tidak! Habislah markah praktikal aku.
            “Eh, macam ada dengar suaralah, tapi tak ada oranglah pula. Ish, seramnya, baik aku balik.”
            Aku tergamam dengan kata-kata yang abang Joe. Apa maknanya? Betulkah abang Joe tak nampak aku? Itu mustahil. Mata kami saling bertentangan tadi. Jadi, adakah ini bermakna abang Joe sebenarnya sedang cuba memberikan kerjasama? Alhamdulillah, syukur.
            Abang Joe sudah bangun, dan berjalan pergi meningalkan aku kembali sendirian di dalam pejabat. Mendapat sokongan sebegitu, semangat menjadi semakin bertambah. Aku berjanji yang aku akan berusaha sehabis daya untuk membantu encik Afdhal. Ya, aku akan lakukan itu.
            Pantas saja aku keluar dari bawah meja. Kerusi aku tolak kembali, mahu melapangkan kawasan. Sekilas aku memandang jam di tangan. Hampir jam tujuh malam. Alamak, aku sudah terlewat. Nampaknya misiku harus berhenti di sini dahulu. Aku akan sambung kemudian.
            Aku bingkas bangun, bersedia untuk pulang. Enggan pulang dengan sehelai kertas yang aku tidak tahu maknanya, lalu tanganku mencapai art block yang letakknya paling atas. Aku mahu bawa pulang yang itu juga. Art block yang lain akan aku lihat kemudian. Dan sekarang aku akan pulang dengan senang hati.

SELESAI menunaikan solat isyak, aku terus berbaring di atas katil. Merehatkan diri pada hari yang cukup meletihkan. Belumpun sampai lima minit, aku kembali bangun. Beg tangan yang terletak di atas meja aku capai. Teringat tentang art block encik Afdhal. Apa agaknya isi di dalam art block itu.    
            Aku tarik keluar art block yang kulitnya berwarna biru tua. Ada permandangan gunung bersalji terlukis pada hamparan kulitnya. Tanpa berlengah, kulitnya aku selak. Tiada yang menarik. Tiada juga catatan seperti pada kertas renyuk yang aku lihat beberapa jam lalu. Apa yang ada hanyalah keratan akhbar tentang rumah terbakar.
            Aku selak muka surat seterusnya. Juga sama. Masih keratan akhbar yang menceritakan perihal kebakaran sebuah rumah. Cuma tempat kejadiannya saja yang berbeza. Muka surat yang lain juga berkisahkan hal yang serupa. Jadi aku selak laju art block itu.
Langsung tak aku sangka encik Afdhal punya hobi yang pelik. Entah apa dibuat dengan mengumpul berita tentang rumah terbakar? Rasanya sedikitpun tidak mendatangkan faedah. Atau sebenarnya ada maksud di sebalik semua yang dikumpulkan?
 Aku berhenti pada helaian kertas yang terakhir. Tertelan liur dibuatnya melihat coretan pada kertas putih itu. Terus aku tutup art block dan mencampakkannya ke bawah katil. Termenung aku bersama jantung yang laju berdegup. Apakah maksud semuanya?
“Tak mungkin...” aku cuba menafikan apa yang terlintas di minda. Mustahil encik Afdhal terlibat sama. Tapi kata-kata yang aku baca tadi sekan mengiyakan segalanya. Dadaku sesak, semuanya terasa bertambah rumit.
“Ana...”
Laungan namaku yang kedengaran dari luar pintu kembali membuat aku sedar. Beristigfar aku sendiri. “Ya, mak lang.” Aku bergerak untuk membuka pintu. Mak lang sudah menanti di luar, entah apa mahunya.
“Ana dah tidur, ke?” soal mak lang sebaik sahaja pintu aku buka.
“Belumlah, mak lang. Kenapa mak lang? Ada apa-apa nak Ana tolong?”
“Eh, tak adalah. Saja mak lang nak berborak dengan Ana, boleh?” mak lang membuat permintaan yang sidikit mengejutkan.
“Kenapa pula tak boleh mak lang? Kita berborak dalam bilik Ana, jom.” Aku mempelawa.
Mak lang melangkah masuk. Kami sama-sama duduk di atas katil.
“Macam mana dengan praktikal Ana, okay?”
“Alhamdulillah, setakat ni okay, mak lang.”
“Baguslah kalau macam tu. Bos Ana, okay tak?”
Aku terdiam seketika. Tak okay! Jawapan itu hanya berkumandang dalam hati. Baru saja aku dapat melupakan hal encik Afdhal, kini mak lang membawa ingatanku kembali bersama encik Afdhal. Silap hari bulan, aku pula yang gila nanti!
“Ana, kenapa termenung ni?” mak lang mematikan lamunan.
“Tak ada apalah, mak lang. Eh, abang Naim tak balik lagi ke, mak lang?” cepat-cepat aku ubah topik perbualan. Tidak mahu membicangkan tentang encik Afdhal. Aku mahu merehatkan mindaku seketika, dan fikiranku hanya mampu tersenyum setiap kali abang Naim menyapa fikiran.
“Belum. Ha, ni yang mak lang nak tanya kat Ana sebenarnya.” Mak lang merapatkan jarak.
Sedikit cuak aku dibuatnya. Apa yang ingin mak lang tanyakan? Adakah ia punya kena mengena dengan abang Naim? “Apa dia mak lang?”
“Pada pandangan Analah kan, Ana tengok abang Naim tu macam mana orangnya?” mak lang keluarkan soalan cepu emas.
“Hah?” aku jadi terkejut. Kenapa soalan itu tiba-tiba ditujukan padaku?
“Alah, tak payah malu-malu. Ana cakap aje.” Mak lang seperti sudah tidak sabar mendengar jawapan dariku.
“Abang Naim... erm... Kenapa mak lang tanya Ana soalan macam ni?” aku enggan memberi jawapan yang diperlukan. Rasa kekok dan malu.
“Alah Ana ni... mak lang saja nak tahu. Anakan kenal Naim sejak kecil...” Samar sahaja balas kata mak lang. Langsung tidak jelas. “Jawablah soalan mak lang tu.” Mak lang masih mengharap.
“Selepas ayah, abang Naim lelaki kedua terbaik yang pernah Ana jumpa.” Ringkas jawapan yang aku berikan. Namun jawapan itu cukup untuk menerangkan segala-galanya termasuk rasa hati aku sendiri.
Mak lang tersenyum panjang. Mungkin sangat berpuas hati mendengar apa yang aku katakan.
“Kalau Analah kan... Ana sudi tak nak terima abang Naim sebagai suami?” soal mak lang lagi.
Soalan kali ini membuatkan jantungku berlari laju ke kaki langit. Adakah ini bermakna? Punya tinggi impian yang tersisip di hati.
“Ana sudi tak?” sekali lagi mak lang bertanya.
“Jangan kata Ana, mak lang. Mana-mana perempuan pun pasti sudi bersuamikan abang Naim.” Sedikit aku berselindung dengan perasaan sendiri. Tidak mahu ia terlalu ketara kelihatan.
“Betul ni?” mak lang masih menyoal.
Aku  sekadar mengangguk. Mengiyakan semua. Itu satu kenyataan!
“Okaylah, mak lang keluar dulu. Ana tidurlah ya.” Mak lang sudah bangun, mahu mengakhiri perbualan kami.
“Baik mak lang.”
“Oh, satu lagi. Ana jangan cerita kat Naim pasal apa yang mak lang tanya pada Ana tadi, ya.” Mak lang memberikan peringatan lembut.
“Insya’Allah.” Aku memahat janji dengan izin ALLAH.
Mak lang menutup pintu bilikku sebaik sahaja kakinya melangkah keluar. Aku tersenyum gembira setelah mak lang tidak lagi kelihatan. Debaran masih lagi terasa. Impianku bakal menjadi kenyataan. Syukur.

HARI ini aku lewat ke tempat kerja. Aku singgah sebentar ke klinik mendapatkan rawatan. Kepalaku sakit gara-gara tidak dapat lena malam tadi. Entah kenapa begitu akupun tidak tahu. Sudahnya, kepalaku menjadi mangsa. Selesai mendapatkan ubat, aku segera kembali ke Arena Printing.
Abang Joe sudahpun maklum tentang kelewatanku melalui telefon tadi. Jadi tiada apa yang perlu aku risaukan. Jam hampir pukul 9.30 sewaktu aku sampai. Maka aku segera masuk. Riuhnya pejabat membuatkan aku yang baru saja tiba menjadi terpinga-pinga. Apa yang berlaku? Semua pekerja dikumpulkan. Nampaknya aku sudah terlepas sesuatu.
Aku berjalan laju, masuk di dalam kumpulan pekerja yang masing-masing berdiri dengan muka toya. Aku angkat kening pada abang Ijad, bertanyakan apa yang sedang berlaku? Abang Ijad hanya menggeleng, kemudian muncungnya diarahkan pada satu tempat.
Aku soroti arah yang ditunjukkan dengan penuh bersusah payah. Aku di belakang terlalu sukar untuk menembusi pandangan yang dihalangan oleh kebanyakan pekerja yang sama berdiri. Eh, tukan kawasan meja aku? Apa pula kena mengena dengan aku? Berkerut dahi dibuatnya.
Aku menjungkitkan kaki. Leher aku panjangkan. Tak puas hati, kenapa abang Ijad halakan muncung bibirnya ke ruang kerjaku? Alamak! Terus aku perbetulkan kedudukan. Encik Afdhla tengah mengamuk. Habis ruang kerjaku dipunggah. Apa yang dicarinya?
“Budak praktikal tu, mana?” Jeritan encik Afdhal kedengaran.
Aku sudah kecut perut. Kenapa aku yang dicari. Apa salahku?
“Mana budak tu? ni mesti kerja dia!” encik Afdhal bersuara lagi.
Habis barang-barang atas mejaku dihumbankan ke bawah. Aku sudah ada rasa seperti mahu berlari, menyembunyikan diri.
“Ana, tunduk. Jangan bagi dia nampak Ana.” Abang Ijad di sebelah memberikan cadangan.
“Boleh ke?” aku mempersoal. Wajarkah aku bersembunyi?
“Selagi aku tak jumpa dia, jangan harap sesiapa boleh keluar dari sini.”
“Sabar Afdhal. Kan aku dah kata dia tak tahu.” Kini suara abang Joe pula kedengaran.
“Aku tak peduli... aku tak peduli. Mana art block aku?” encik Afdhal menjerit separuh gila.
Aku yang sudahpun tertunduk, bersembunyi di balik rakan-rakan sekerja yang lain, rasa tidak sedap hati. Art block itu puncanya? Aduh! Bukan main banyak art block bawah mejanya, kenapa art blok itu juga yang dicari? Penting sangatkah? Aku runsing. Catitan yang ada pada art block itu menambahkan kerisauan. Silap-silap, aku jadi mangsa ketiga. Oh, tidak!

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum, apa khbr semua rakan pembaca AH? harap semuanya sihat dan sentiasa di bawah lindungan ALLAH SWT. Alhamdulillah entry JJC 6 berjaya dipostkan. Semoga mendapat sedikit ruang dihati. Segala komen yg diberikan amat dihargai... Terima kasih.

P/S : AH dapat makluman drpd Penerbit yang tajuk SAAT ADA CINTA telah ditukar kepada SUDI KATA SUDI. Semoga tak ada yang keliru nanti. Insya'ALLAH sama2 kita tunggu kemunculannya tak lama lagi.

           

Wednesday, May 15, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 5



5
            Selesai membantu rakan-rakan kerja memasukkan profil syarikat yang ditempah ke dalam kotak, aku diarahkan oleh abang Joe untuk menyimpan kotak kosong yang tidak digunakan ke dalam stor. Melihatkan kotak yang ada tidak banyak mana, maka aku selesaikan tugasan itu sendirian. Lagipun orang lain sibuk mahu mengangkat keluar kotak yang sudah siap dilekatkan dengan pita pelekat.
            Segera aku turun dari lif apabila sampai ke destinasi terakhir. Lif hanya mampu menghantar aku sampai ke tingkat lima. Untuk meneruskan langkah ke ruangan bumbung, aku perlu mendaki anak tangga satu tingkat lagi.
            Tombol pintu aku pulas. Seperti selalu, ianya tidak berkunci. Kemudian aku membawa kotak kosong itu menuju ke ruangan stor yang jaraknya hanya dipisahkan oleh beberapa langkah.
            “Ish, bodoh... bodoh! Aku bodoh. Semua orang tak faham!”
            Terhenti terus langkahku apabila telinga berjaya menangkap kata-kata yang bergitu jeles kedengaran. Suaranya seakan aku kenal. Mata segera menerewang, memerhati sekeliling.
Hampir saja terlepas kotak-kotak yang aku bawa. Jantung mula mengepam darah dengan laju melihatkan itu. Encik Afdhal sedang duduk bertinggung di atas tembok. Dia menunduk sambil tangannya cuba mengusutkan rambutnya sendiri. Mulutnya tidak sudah-sudah mengulang perkataan yang sama. Bodoh!
Aku telan liur. Ada gaya seperti orang yang dalam cubaan terjun dari bangunan. Entah-entah nak bunuh diri? Hati jadi tidak senang dengan andaianku sendiri. Saat ini mulalah fikiran mengulang kembali siaran semalam. Kata-kata abang Naim malam tadi dengan lajunya berputar ligat dalam ingatan.
Ya Allah, apa yang patut aku buat sekarang? Perlukan aku memujuk encik Afdhal untuk turun dari tembok itu? Atau cukup sekadar aku jadi pemerhati di sini? Oh tidak, cadangan yang akhir itu langsung tidak boleh dipakai. Kalaulah encik Afdhal betul-betul terjun, dah tentunya akulah orang pertama yang bakal disiasat. Saksi kejadianlah katakan. Nampaknya aku tiada pilihan lain. Aku perlu bertindak.
Kotak yang masih aku pengang, kini aku letakan di bawah secara perlahan-lahan. Tidak mahu encik Afdhal menyedari keberadaan aku di situ. Entah, akupun tak tahu apa yang perlu aku buat sekarang. Namun langkah kaki perlahan-lahan sudah mula membawa aku ke arah encik Afdhal yang masih jauh di hadapan.
Ya, aku agak gayat. Kalau setakat ke stor, itu tidak menjadi masalah kerana aku tidak perlu berjalan jauh. Tapi ini tidak. Ditambah pula dengan angin kencang yang bertiup, sedikit sebanyak mengganggu pergerakanku. Lambat langkah dibuka.
Kini aku semakin hampir, jadi aku tidak mahu maju lagi. Cukup sekadar aku di situ. Perlu ada jarak yang baik antara aku dengan encik Afdhal. Ianya penting supaya kehadiranku tidak begitu mengejutkannya. Itu teori yang aku baru cipta beberapa saat tadi. Kini, apa pula langkah seterusnya? “Emak...”
Suara encik Afdhal kedengaran lagi. Kali ini begitu syahdu. Sayup menusuk ke hati. Seakan suara tangisan seorang anak kecil. Berkali-kali diulang kata yang sama. Emak? Nampaknya aku sudah tidak boleh berdiam diri lagi. Aku tak patut sekadar memerhati. Tapi apa aku nak buat? Aku memang tak tahu. Kenapalah aku yang ditakdirkan untuk berada di sini saat genting begini? 
“Ana!”
Aku menoleh apabila namaku dilaung kuat. Abang Joe! Kemunculan abang Joe memang tepat pada masanya. Abang joe berjalan menuju ke arahku. Laju langkahnya membuahkan senyuman di bibirku. Kini aku alihkan pula pandanganku pada encik Afdhal. Sudah! Dia sudah turun daripada tembok batu. Dia juga sedang berjalan menuju ke arahku. Namun abang Joe terlebih dahulu sampai. Alhamdulillah, semuanya selamat!
“Kau okay ke, Afdhal?” soal abang Joe sebaik sahaja encik Afdhal berjalan melintasi kami.
Encik Afdhal berhenti. Matanya hanya tertumpu pada abang Joe. Mungkin kerana abang Joe yang bertanya. “Okay. Bawah dah settle?” balas encik Afdhal. Tiba-tiba pula encik Afdhal sudah berubah tingkah dan gaya. Kembali macam manusia normal.
“Dah!” giliran abang Joe menjawab pertanyaan encik Afdhal.
“Yang kau pula, buat apa kat sini?”
Aku terdiam dengan soalan yang diajukan. Entah kenapa setiap kali encik Afdhal bertanya, bibirku tidak betah berkata-kata. Bagai dipaku!
“Lain kali jangan sibuk hal orang!” jerkah encik Afdhal. Tangannya sempat singgah di kepalaku, menolaknya kuat sebelum dia menyambung langkah dan pergi.
Aku hanya mampu meliukkan tengkukku yang sakit, impak tolakkan tadi. Nasib baik aku tahu tahap kesihatan mentalnya. Kalau tidak, jangan mimpi aku nak berdiam.
“Abang suruh Ana simpan kotak, Ana buat apa?” kini abang Joe pula menyoal.
“Memang Ana nak simpan kotak, tapi encik Afdhal...”
“Dah, tak ada apa-apalah. Dia memang macam tu. Tembok tu dah macam port dia.” Celah abang Joe sebelum sempat aku menghabiskan ayat.
“Iya ke? Nampak macam nak terjun aje...” memang aku tidak percaya.
“Taklah.”
            “Kalau encik Afdhal betul-betul terjun tadi macam mana?”
            “Ish, tak... Tak terjun pun kan!” abang Joe mempertahankan hujahnya.
            “Tadi memanglah tak. Esok, lusa?”
            “Tak mungkin! Eh, dahlah, Ana. Pergi sambung buat kerja.” Abang Joe juga mula meninggalkan aku.
            “Selalunya, yang tak mungkin tulah, yang paling banyak kemungkinannya!” masih aku berbicara walaupun aku sedang bersendirian kini.

RADIO yang sedang asyik menyiarkan lagu yang entah apa maksud liriknya itu aku tutup. Menyesakkan betul. Belumpun seminggu aku kat sini, tapi berat kepalaku terasa seperti aku sudahpun menetap secara rasmi.
               Masih terlalu awal untuk tidur. Apa yang boleh aku buat untuk mengisi masa? Layan facebook? Rasa macam malas pula. Encik Afdhal! Seperti selalu, ingatan terhadap dirinya muncul dengan tiba-tiba. Dan sejak akhir-akhir ini, aku mula rasa dihantui dengan bayang-bayang encik Afdhal. Kerap pula dia mengganggu fikiran, seolah cuba mengingatkan aku untuk menunaikan janji pada abang Joe, berusaha membantu dirinya.
            Sebenarnya, aku sudah bersedia untuk menolong. Tapi sekadar kemampuanku sahaja. Aku tidak punya kuasa sakti untuk menyembuhkan sesiapa. Kesembuhan itu milik Allah SWT. Hanya Dia yang mampu memberinya. Dan aku sekadar mengeluarkan sedikit usaha.
Tapi sebelum itu aku perlukan bantuan. Siapa lagi yang boleh membantu selain abang Naim? Aku perlukan sedikit penjelasan dan bimbingan bagi memulakan semua. Jadi abang Naim sudah aku lantik sebagai penasihat rasmiku mulai hari ini. Pantas aku mencapai tudung dan menyarungkan ke kepala, lalu aku turun dari katil, mahu bergerak keluar dari bilik.
            Baru saja pintu aku buka, abang Naim sudah terpacak di hadapan muka. Aku sedikit terkejut. Laju jantungku. Abang Naim juga nampak terkejut. Kemudian kami sama-sama ketawa kecil.
            “Abang Naim cari Ana, ke?”
            “Tak juga.”
            “Habis tu, abang Naim cari siapa?”
            Abang Naim menunjukkan tangan yang tadinya disorokkan di belakang badan. Ada sesuatu yang membuatkan aku tersenyum pada pegangan tangannya itu.
            “Abang Naim cari pemilik lolipop ni.” Senyum abang Naim melirik.
            Bibirku turut sama mengukir senyuman. Pasti akulah pemilik lolipop itu. Siapa lagi kalau bukan aku? Tanganku mula mendapat lolipop dari abang Naim. “Terima kasih.”
            “Welcome.” Abang Naim memasukkan tanganya ke dalam poket seluar. Kemudian dia berjalan pergi.
            “Abang Naim.” aku memanggil. Aku perlukan bantuannya saat ini.
            “Ya?”
            “Boleh abang Naim tolong Ana?” soalku penuh berharap.

MENIKMATI keindahan luar sambil menghirup udara malam memang menyeronokkan. Sejuk dan nyaman. Aku dan abang Naim duduk di gazebo yang diperbuat daripada kayu. Pasti idea mak lang. Mak lang memang suka dengan barangan antik.
            “Ana nak abang Naim tolong apa?” abang Naim bertanya sebaik sahaja mengambil tempat duduk.
            Aku diam seketika. Berat untuk memulakan, tapi amat perlu untuk aku menyatakannya. “Tak adalah serius sangat, abang Naim. Ana cuma nak tahu pasal kerja abang Naim. Semalam dengar abang Naim bercerita kat meja makan, macam best aje. Boleh abang Naim cerita kat Ana pasala kerja abang Naim?”  aku tidak berterus terang. Untuk permulaan ini, biarlah abang Naim tak tahu apa-apa. Memang aku tak nak abang Naim tahupun. Lebih-lebih lagi orang yang cuba aku bantu tu, lelaki. Aku tak nak abang Naim salah faham.
            “Pasal tu aje?” abang Naim tersenyum. Mungkin permintaanku itu terlalu mudah untuknya.
            Aku mengangguk. Lega.
            “Boleh. Tak ada masalah, apa yang Ana nak tahu?”
            “Abang Naim ni pakar psikiatri kan?”
            “Mungkin belum sampai tahap pakar, tapi kalau ada apa-apa yang berkaitan dengan psikologi, Insya’ALLAH abang Naim cuba bantu. Kenapa tiba-tiba Ana nak tahu pasal kerja abang ni?” abang Naim pula mengemukakan soalan.
            “Oh, tak ada apa. Ana saja nak tahu. Manalah tahukan, kalau-kalau ditakdirkan kawan-kawan Ana ada masalah psikologi ni, boleh juga Ana tolong.” Mujur ada jawapan yang tersedia.
            “Bagusnya ada orang yang prihatin macam Ana. Kalau ramai orang macam Ana kat Malaysia ni, alamatnya abang Naim dengan psikitri yang lain dapatlah rileks.”
            Aku tersenyum mendengar pujian abang Naim. Bukan senang nak dapat pujian daripada abang Naim. Namun ada rasa bersalah. Iyalah, kalau bukan kerana janjiku pada abang Joe, mungkin aku juga langsung tak ambil peduli pasal benda-benda ni semua. Tak ada masa.
            “Masalah psikologi ni, kira penyakit ke, abang Naim?” aku mulakan kajian.
            “Of course.”
            “Ana peliklah, macam mana orang boleh dapat penyakit ni, abang Naim?”
            “Psyche tak seimbang.” Ringkas jawapan yang abang Naim berikan.
“Maksudnya?” aku tidak faham. Aku perlukan penjelasan yang lebih.
 “Benda ni simple aje, ana. Macam mana kita perlukan kesimbangan untuk fizikal, macam tu jugalah kita perlukan keseimbangan untuk minda. Tak ada beza. Ramai yang sibuk jaga fizikal, tapi lupa nak jaga minda. Suka sangat simpan masalah sampai bertimbun-timbun. Pendam sendiri. Sudahnya jadi intrapsychic conflict.”
“Intrapsychic conflict!” ada istilah baru yang dapat aku belajar hari ni. “Ada kemungkinan tak, orang yang ada penyakit ni, sekejap nampak normal, sekejap lagi tidak? Pernah tak abang Naim jumpa kes macam ni? Makin laju aku bertanya.
“Ada! Apa-apa kemungkinan pun boleh jadi kalau untuk orang ada masalah psikologi ni, Ana. Tak ada yang mustahil.”
“Tapi kenapa ada kes yang dah jumpa pakar pun, tetap tak boleh baik?”
“Pakar psikitri bukan tuhan. Ana kena ingat tu. Ada kes yang makan masa yang panjang, baru boleh sembuh. Kalau setakat buat rawatan sekali, dua... memang susah. Lagipun semua ni bergantung pada pesakit sendiri. Pakar psikitri hanya boleh bagi jalan, tapi untuk keluar daripada kepompong, pesakit kena berjalan sendiri.” Panjang lebar abang Naim menerangkan. Bersungguh-sungguh.
Aku diam seketika. Kini mula memahami, mungkin kes encik Afdhal juga sama. Temujanji dengan psikitri sekali, dua, kemudian tidak lagi menjalani rawatan. Macam mana nak sembuh! “Apa yang boleh kita buat kalau kita nak tolong orang macam ni?” aku mula mencari penyelesaian.
“Ada banyak cara untuk bantu. Tapi yang penting, kita yang nak bantu ni, kena tahu dulu masalah pesakit. Kena tahu latar belakang. Apa yang menganggu pesakit? Kaji betul-betul, baru boleh tolong.”
Aku mengangguk kepala, tanda faham. Banyak yang aku belajar hari ni. Timbul sedikit keyakinan untuk membantu encik Afdhal.
“Biasanya abang Naim akan cari apa kesukaan pesakit. Sebab benda yang pesakit suka ni, boleh jadi pembakar semangat untuk pesakit sembuh.” Senyuman abang Naim kelihatan lagi. Mungkin cara itu benar-benar membantu.
Kesukaan? Aku mula berfikir panjang. Apa yang encik Afdhal suka? Warna hitam? Boleh ke warna hitam tu bantu? Macam tak logik aje! Mesti ada, aku mesti cari! “Terima kasih abang Naim. Banyak ilmu Ana dapat hari ni.”
“Sama-sama. Tapi takkan terima kasih aje?”
“Okay, nanti dapat elaun, Ana belanja makan. Tapi tempat murah-murah ajelah.” Aku berjanji. Orang berbudi, kita patut berbahasa.
“Dah tu, abang Naim nak apa?”   
“Buatkan abang Nescafe secawan. Boleh practice jadi isteri solehah!” abang Naim mengangkat keningnya beberapa kali.
Kini senyumanku pula mekar. Aku bingkas bangun. “Baik bos!” Permintaan itu harus aku tunaikan. Isteri solehah? Wahai abang Naim, cair hati dibuatnya.

Bersambung...

Kata AH:
Assalamualaikum & Salam Sayang buat semua. AH memohon jutaan maaf buat semua yg sentiasa menunggu entry JJC dipostkan. Maaf atas kelewatan. AH hadapi sedikit masalah kesihatan. Alhamdulillah, sudah semakin sembuh, jadi daptlah AH postkan entrynya. Semoga entry kali ini disukai ramai. Jumpa nanti.

Salam Ukhwah,
AH