Tuesday, March 22, 2011

JAUH DARI CINTA - BAB 6


ENAM
            Sara membuka pintu sebaik sahaja keretaku memasuki perkarangan rumah. Aku memaniskan muka, tidak mahu Sara mengesyaki apa-apa. Turun sahaja daripada kereta, Sara melambaikan tangannya berserta dengan senyuman.
            “How?” Belum sempat aku memberikan salam, soalan itu menerjah ke telingaku.
            “Okey, semua berjalan lancar.” Aku tersenyum dan menjawab ringkas. “Nysa naik dululah, letih sangat.” Aku meminta diri untuk menuju ke tingkat atas. Rasa letih mula terasa. Aku mencampakkan diri di atas katil, mataku pejamkan. Ingin sahaja melupakan segalanya. Sejak kebelakangan ini, Aqil semakin aneh. Dapat aku rasakan semakin aku cuba mendekati semakin pula aku merasa jauh dari dirinya. Entah kenapa begitu.
            Aku bingkas bangun dari katil dan pantas menuju ke desktop di atas meja tempat aku selalu menyiapkan kerja dan memeriksa tugasan yang aku berikan kepada pelajarku apabila teringatkan tentang kad yang ambil tanpa pengetahuan Aqil itu. Hatiku berdebar memandang skrin desktop yang sudah pun aku capai laman sesawang yahoo. Dengan pantas aku memasukkan nombor id dan kata laluan seperti yang tertera pada kad berbentuk hati itu. Perlahan-lahan aku menghembuskan nafas, mencipta ketenangan yang telah lama menghilang. Tiada sebarang email baru yang diterima. Aku meneruskan usaha membuka pula peti masuknya.
Ternyata peti masuk itu menerima email daripada pengirim yang sama, Lily! Jantungku berdegup kencang jiwaku rasa tidak tenteram. Bersediakah aku untuk mengetahui semua kebenaran? Degup jantungku semakin laju. Aku tahu aku harus kuat dan tidak wajar rasanya untuk aku memejamkan hati padahal kebenaran sudah ada di depan mata. Lantas aku meneruskan pencarian pada soalan-soalan yang tidak terjawab sebelum ini. Satu persatu email yang dikirim aku baca rapi, tiada satu pun perkataan yang terlepas daripada pandangan mata. Tanpa aku sedar, air mataku mula menitis mengetahui kebenaran yang sungguh pahit itu. Dan kini timbul pula persoalan baru yang memangkah fikiranku, menimbulkan kesangsian yang panjang, apakah kesudahannya?

SEMALAMAN aku tidak tidur, membaca dan terus membaca email kiriman Lily untuk Aqil. Lily! Kerana wanita itulah cintaku dipandang sepi oleh Aqil suatu masa dahulu. Aku tidak pernah mengenali Lily, hanya namanya yang aku tahu itu pun daripada mulut rakan-rakanku di universiti. Bagaimana orangnya? Aku memang tidak boleh menjawab soalan itu, tapi yang pastinya Lily seorang yang istimewa. Jika tidak masakan Lily menjadi pilihan hati Aqil.
Ingin juga aku mengenali dirinya, melihat kelebihannya yang tidak terlihat oleh Aqil pada diriku. Meneliti setiap tingkahnya yang menjerat Aqil untuk terus memaut cintanya. Mungkin tidak berkesempatan, namun ada harapan di hatiku untuk mengenali wanita itu. Satu-satunya wanita yang dicintai Aqil hingga ke hari ini, wanita yang berjaya menangguhkan hari bahagiaku selama dua tahun ini.
Kini aku sendiri dalam dilema. Walaupun tidak banyak persoalan yang terjawab, sekurang-kurangnya aku sudah mengetahui titik puncanya. Sebagai tunang Aqil, semua ini amat berat untuk aku hadapi. Namun keputusan perlu ada, memandangkan hatiku sudah kian rabak dengan sikap Aqil.
            Kepalaku mula terasa sakit. Rasanya tentera migraine mula kembali menyerang. Lantas aku membenamkan kepalaku di atas meja dengan hanya beralaskan lengan, mujur hari ini cuti kalau tidak pasti klinik menjadi sasaran utama untuk aku dapatkan cuti sakit. Seketika kemudian aku bangun semula, menutup desktop yang tidak langsung dibenarkan rehat sejak malam tadi. Mataku juga mula terasa perit dan aku tahu puncanya. Walaupun kini tiada lagi tangisan yang menemani mataku, namun hatiku tetap menangis hebat. Begitu sukar dugaan yang perlu aku tempuhi. Namun aku tahu ada rahsia indah yang terlukis disebalik dugaan dan cabaran ini.
            Aku mengapai telefon bimbitku bila ianya bernyanyi lantang. Aqil! Mataku memandang sayu namanya yang tertera di skrin kecil telefon bimbitku itu. Hatiku berperang hebat dengan perasaan sendiri. Ingin aku menjawab panggilannya itu tapi bila teringatkan Lily, aku tidak jadi menjawabnya. Telefon kubiarkan terus bernyanyi dan hanya berhenti seketika sebelum memulakan nyanyiannya semula. Buat masa ini, aku tidak mahu berbicara mahupun bersemuka dengan Aqil.
Aku ingin memberi ruang pada diriku sendiri untuk menilai dengan wajar dan memutuskan apa yang harus aku lakukan. Kepada siapa aku harus berpihak? Diriku sendiri atau Aqil? Itu yang harus aku tentukan kini. Selama ini aku sangkakan Shafiza menjadi sebab kepada sikap dingin Aqil terhadap diriku. Tidakku sangka, rupa-rupanya Lilylah punca kepada masalah ini sebenarnya.

HUJUNG mingguku dihabiskan dengan hanya berbaring di atas katil bersama sakit kepala yang pasang surut kunjungnya. Dan hari ini aku terpaksa mendapatkan cuti sakit daripada doktor dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah orang tuaku kerana tidak ada tanda sakitku ini mahu pergi.
Sudah berhari-hari aku menanggung kesakitan dan kerana sudah tidak tahan lagi aku mendapatkan rawatan di klinik yang biasa aku kunjungi. Aku sudah biasa dan selesa dengan doktor Aminah, cara kerjanya dan senyuman yang sentiasa mengiringi tugasnya mengikat aku daripada mendapatkan rawatan di tempat lain. Cuti rehat tambahan yang diberikan oleh doktor selama dua hari rasanya cukup untuk aku merehatkan diri dengan sebaiknya. Kata doktor tetap sama, migraine. Sememangnya aku penghidap migraine dan aku sudah lama tahu tentang itu. Namun sejak akhir-akhir ini penyakit itu kerap menyerang. Kerana sudah bosan mengambil ubat, kadang-kala aku membiarkan sahaja penyakit itu terus menyerangku tanpa henti. Bila rasa sudah tidak mampu bertahan barulah aku mendapatkan rawatan.
            Ibu tersenyum menyambut kepulanganku di muka pintu. Senyuman bahagia itu menjernihkan lagi wajah ibu. Aku mencium tangannya kemudian membalas senyuman indah ibu.
            “Nysa tak kerja ke hari ni?” Tanya ibu sebaik saja aku mencium tangannya.
            “Nysa dapat MC dua hari, ayah mana ibu?” Aku berjalan seiringan melangkah masuk ke dalam rumah. Mendengar soalan itu, ibu mematikan langkahnya dan memandangku tepat. Pandangan itu menjadikan hatiku tidak sedap sama sekali.
            “ Ayah… keluar minum. Nysa tak sihat ke? Sakit kepala lagi ya?” Gagap ibu membalas pertanyaanku yang akhirnya diubah kepada topik kesihatanku dengan tergesa-gesa.
            Aku pasti ibu sedang berbohong. Bukan aku baru mengenalinya sehari dua, malah aku lahir daripada rahimnya. Ibu tidak pandai berbohong. Setiap kali ibu cuba berbohong, begitulah keadaan ibu, tersekat-sekat bicaranya.
            “Terus terang ajelah ibu. Tak payahlah ibu nak sorok apa-apa daripada Nysa. Nysa berhak tahu. Ayah ke mana sebenarnya?” Aku mengenggam tangan ibu, tangan yang berjaya mendidik dan membesarkanku.
            “Nysa jangan marahkan ayah, ayah buat semua ni untuk Nysa. Nysa satu-satunya anak ibu dan ayah.” Ibu menyuarakan kata yang semakin membimbangkanku. Pasti ada yang tak kena.
            “Ayah pergi jumpa family Aqil, bertanya pasal perkahwinan Nysa. Dah lama sangat tertangguh.” Bicara ibu sambil menundukkan wajahnya.
            Aku pula menghela nafas bila mengetahuinya. Ayah! Dialah orang yang paling risau tentang perhubungan aku dengan Aqil. Aku masih ingat setiap kali Aqil menangguhkan perkahwinan, setiap kali itulah ayah menyoalku bertubi-tubi umpama akulah yang memaksa Aqil untuk menangguhkan perkahwinan itu. Ayah beria-ia benar ingin bermenantukan Aqil. Tapi sedarkan dia impiannya itu bakal terkubur. Ya! Aku telah membuat keputusan dan Aqil sentiasa aku utamakan dalam setiap keputusan yang aku tetapkan. Aku nekad! Sudah berhari-hari aku memohon petunjuk dari Yang Maha Esa.
            Kali ini aku yakin dengan keputusan yang aku putuskan. Aku mahu menamatkan penantianku yang tidak berkesudahan. Biar aku menunggu  beribu-ribu tahun sekali pun, aku pasti aku dan Aqil tidak mungkin bersatu. Hati Aqil sudah lama dimiliki, terlalu lama sehingga tiada ruang langsung untuk aku bertapak dihatinya. Walaupun hakikatnya telah aku ketahui, namun aku masih mahu memegang janjiku padanya. Kebahagiannya adalah keutamaanku. Oleh kerana itu aku memutuskan untuk berhenti mengejar cintanya. Menanggalkan cincin yang dulunya bahagia aku memilikinya. Perkahwinan ini tidak boleh berlangsung dan itu keputusanku. Dia pasti bahagia dengan apa yang aku lakukan. Aku pasti, amat pasti!
            “Ibu, kalau Nysa nak putuskan pertunangan Nysa dengan Aqil, ibu setuju tak? Nysa dah tak sanggup nak tunggu. Nysa dah penat.” Terus-terang aku bersuara. Biarlah, alang-alang perihal aku dan Aqil dibincangkan jadi lebih baik aku menyuarakan keputusanku. Sememangnya itu menjadi tujuan utama aku pulang ke rumah orang tuaku hari ini. Wajah ibu berkerut seribu aku perhatikan, mungkin terkejut dengan apa yang baru aku luahkan.
            “Ayah tak setuju! Kalau Nysa putuskan hubungan dengan Aqil, samalah macam Nysa putuskan hubungan dengan ayah!”
            Aku tersentak mendengar suara itu. Ayah yang berdiri di muka pintu memandangku tajam umpama singa kelaparan. Entah bila ayah tiba di muka pintu? Yang pastinya kini dia telah mendengar apa yang baru aku suarakan pada ibu sebentar tadi.
            “Ayah tak faham keadaan Nysa!” Bentakku.
            “Nysa yang tak faham Aqil! Dia ada alasan dia sendiri kenapa dia tangguhkan majlis perkahwinan dengan Nysa. Takkan itupun Nysa tak boleh tunggu!” Kini ayah bergerak menghampiriku dan aku tahu ayah benar-benar marah.
            “Alasan apa ayah? Alasan yang tak masuk akal!” Aku cuba memprotes.
Sememangnya itu kenyataanya. Aqil menangguhkan majlis perkahwinan kami semata-mata menunggu kepulangan Lily supaya Lily merasa sakit hati bila melihat persandingan kami. Itulah kata-kata yang aku baca kiriman balas Aqil pada Lily gara-gara keenggan Lily pulang ke tanah air seperti yang dijanjikan. Melihat catatan Aqil pada email itu, ternyata Aqil benar-benar marah apabila Lily enggan pulang. Aqil juga mengugut akan menikahi wanita lain sekiranya Lily tetap tidak pulang seperti mana yang dijanjikan. Dan Aqil juga ada menyatakan bahawa dia akan menunggu saat dimana Lily pulang barulah dia akan melangsungkan perkahwinannya, itupun di hadapan Lily. Adakah itu alasan yang patut aku terima sehingga ayah rasakan wajar bagiku untuk terus-menerus menunggu Aqil? Menunggu perkahwinan yang entah bila akan berlangsung?
            “Perkahwinan bukan perkara main-main Nysa. Kena betul-betul bersedia baru kita boleh hadapi. Bagilah masa pada Aqil untuk dia betul-betul bersedia. Ayah yakin masanya dah hampir.” Nada suara ayah kian rendah. Mungkin tidak mahu menimbulkan ketegangan antara kami. Aku tidak mahu berkata apa-apa lagi, kerana aku tahu apa pun yang aku cuba terangkan pasti ayah akan memenangkan Aqil juga akhirnya.
            Aku terus mengorak langkah menuju ke bilik sekaligus berhenti berbahas tentang perkahwinanku, tentang Aqil dan tentang semuanya. Kepalaku masih sakit dan kini bertambah sakit. Bila agaknya aku mampu menghentikan semua perkara sia-sia ini? Hatiku benar-benar terluka dan kecewa dengan apa yag berlaku. Tapi aku tetap bertahan demi janjiku yang satu itu.
           
AKU menoleh melihat gerangan yang mengetuk dan membuka pintu bilikku perlahan. Memandang sahaja wajah ibu aku segera bangun daripada pembaringan.
            “Nysa, Aqil telefon cepat turun.” Kata ibu sambil memegang tombol pintu bilikku.
            Aku hanya memandang sepi pesanan yang dibawa ibu. Aqil, tidak kusangka dia mencariku. Sengaja aku mematikan telefon bimbitku sejak dari hari yang telah membongkar segala-galanya. Aku tidak mahu ada gangguan. Entah apa yang terjadi pada dirinya, tidak pernah-pernah hendak menghubungiku tiba-tiba sahaja dua tiga hari ini berusaha  mencariku.
            “Kepala Nysa sakitlah ibu, tak larat nak bangun. Ibu cakap Nysa tak ada kat rumah ajelah.” Aku mencari alasan untuk menjauhkan diri daripada menjawab panggilan itu. Aku perlu belajar untuk menjauhkan diri daripadanya, biarpun ianya akan menjadi perkara yang sukar untuk aku lakukan tapi aku akan tetap berusaha.
            “Kenapa Nysa tak hidupkan handphone Nysa?” Soal ibu sepertinya tidak berpuas hati dengan alasanku.
            “Handphone Nysa rosak tak sempat nak repair lagi.” Aku terpaksa berbohong. Namun aku bukan sengaja, aku terpaksa. Maafkan Nysa ibu.
            “Kalau macam tu Nysa rehatlah. Ibu turun dulu.”
            Pintu bilikku ibu tutup rapat. Aku kembali memejamkan mata. Wajah Aqil muncul lagi. Aku segera membuka mata tidak mahu wajah itu terus melekat di hati dan ingatanku.
            Aku terjaga dari tidur bila pintu bilikku diketuk sekali lagi, seketika kemudian pintu itu terbuka luas. Aku mula bangun apabila ibu masuk mendapatkanku. Apa pula pesanan yang ibu bawa kali ini.
            “Nysa, Aqil nak bercakap dengan Nysa.” Sekali lagi ibu menyampaikan pesanan yang sama.
            Aku menundukkan wajah tidak tahu apa lagi yang perlu aku katakan supaya ibu faham bahawa pada ketika ini aku tidak mahu menerima panggilan dari Aqil. “Aqil telefon lagi?” Aku masih enggan memandang wajah ibu, aku tidak mahu menerima panggilan dari Aqil.
            “Masa Aqil telefon tengahari tadi, ibu cakap pada dia Nysa tak sihat. Tak sangka pula dia nak datang jenguk Nysa. Aqil ada kat bawah tu, pergilah turun nanti ayah marah pula.”
            Aku tersentak bila dikatakan tentang kunjungan Aqil ke rumahku. Ibu pula terus berlalu meninggalkan aku. Aku sudah tidak dapat melarikan diri lagi. Aqil perlu juga aku temui memandangkan dia kini sudah menjadi tetamuku. Kalau aku tetap menolak untuk bertemu dengannya sebagaimana aku enggan menjawab panggilannya, pasti ayah akan naik darah.
            Aku turun ke bawah mendapatkan Aqil yang pastinya menungguku di ruang tamu. Ayah beredar meninggalkan Aqil bila melihat aku turun dari tangga. Aku sengaja membetulkan tudung yang tiada celanya bila ada rasa kekok melihat pandangan Aqil padaku waktu ini. Air minuman sudah sedia terhidang di atas meja berserta beberapa potong kek.
            “Tak minum lagi?” soalku apabila melihat cawan milik Aqil yang masih penuh dengan air teh. Aku kemudiannya mendapatkan tempat  di sofa tunggal bersebelahan dengan sofa yang Aqil duduki.
            “Macam mana sakit kepala? Dah kurang?”
            Soalanku tidak terjawab, sebaliknya aku pula yang diajukan soalan. Aku memandangnya sekilas kemudian mengalihkan pandangan pada kek-kek yang tersusun cantik di atas piring.
            “Tak ada apa-apa pun, sikit aje.” Aku senyum untuk seketika, sekadar mengaburi pandangannya, aku tidak mahu dia mengetahui keadaanku yang sebenarnya, Aku tidak ingin meraih simpati daripadanya.
            “Kalau tak ada apa-apa, takkan dapat mc sampai dua hari? I’m a doctor Nysa. Seorang doktor takkan bagi cuti melainkan pesakit betul-betul memerlukan rehat secukupnya.” Aqil memandangku tajam. Apabila aku masih mendiamkan diri Aqil terus menyambung kata.
            “Jom abang bawa Nysa buat check up kat hospital” Aqil mula bangun dan aku jadi tidak senang dengan tindakannya itu,
            “Tak payahlah, Nysa betul tak apa-apa. Lagipun dah pergi klinik pagi tadi. Abang Aqil duduklah, minum dulu.” Aku menolak, tidak mahu dibawa ke hospital. Sememangnya aku telah pun mendapatkan rawatan di klinik awal pagi tadi. Ubat yang aku terima pun belum sempat aku makan.
            “Nysa kalau sakit tak pernah nak bagi tahu kat abang kan.” Aqil duduk kembali. Ada nada kecewa disebalik kata-katanya itu.
            Namun benarkah Aqil benar-benar kecewa? Tidak! Tiada apa yang perlu dikecewakan, aku bukannya Lily, tegas hatiku menafikannya. Lagipun selama ini aku tidak pernah dihiraukannya. Sama ada aku ada atau tidak, sama saja baginya. Malah dapat aku rasakan kehadiranku disisinya hanya menambahkan kekusutan hatinya. Jadi kenapa tiba-tiba buat kali pertama kalinya sepanjang tempoh pertunangan kami dia mencariku dan menyatakan kekecewaannya.
            “Nysa bukan sakit teruk mana, sakit kepala sikit aje. Nysa tak nak susahkan sesiapa.” Kataku sambil menghulurkan cawan teh yang masih tidak diminum kepada Aqil dan dia pantas menyambutnya.
            “Habis tu, dah sampai sakit tenat baru Nysa nak bagi tahu abang?”
Aqil meletakkan kembali cawan air yang aku berikan ke atas meja tanpa menjamahnya walaupun sedikit. Matanya masih merenungku tajam sama seperti tadi. Namun kali ini pandangan itu aku balas lama dan seketika kemudian barulah aku menundukkan wajah. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku berlalu dari situ, risau kalau-kalau pertengkaran bakal mengiringi perbualan antara kami. Ya! Itulah hakikatnya yang telah lama aku sedari. Setiap kali kami berbual, perbualan itu sentiasa diakhiri dengan kata-kata menyakitkan yang mampu menimbulkan pertelingkahan.
            “Kenapa setiap kali kita bercakap, mesti ada aje pertelingkahan. Nysa betul-betul tak faham.” Aku meluahkan rasa, biar dia sedar apa yang berlaku di antara kami.
            “Abang Aqil baliklah dulu, Nysa pun nak rehat. Banyak benda yang Nysa kena fikir semula. Lebih-lebih lagi pasal hubungan kita.” Sambungku tetap tidak mahu memandang wajahnya. Tidak sanggup membiarkan hati terus mencintai lelaki itu dengan lebih mendalam. Dengan cinta yang ada kini, kesakitannya pun belum tentu dapat aku tanggung, jadi tidak mahu lagi rasanya menambah rasa cinta yang tidak mahu surut itu.
            “Nysa tak dapat hantar abang keluar. Nysa naik atas dulu, Assalamualaikum.” Aku terus bangun dan meninggalkan Aqil selesai sahaja berbicara. Sedikitpun aku tidak berpaling memandang Aqil sepanjang aku menaiki anak tangga. Rasa berat meninggalkan Aqil sendirian begitu. Namun sesungguhnya aku terpaksa, aku tidak mahu sebarang pertelingkahan berlaku lebih-lebih lagi di rumah orang tuaku. Pasti aku yang akan disalahkan oleh ayah atas pergaduhan itu nanti.

           Bersambung...


Sunday, March 20, 2011

JAUH DARI CINTA - BAB 5

LIMA
Habis almari pakaian aku selongkar semata-mata mencari baju yang sesuai untuk dipakai pada malam nanti. Rasanya hampir semua baju yang tadinya tergantung kemas pada penyangkut baju kini bergelimpangan di atas katil. Walaupun hanya kenduri kesyukuran tapi aku tetap mahu kelihatan cantik lebih-lebih lagi di mata Aqil. Akhirnya aku memilih baju kurung johor berwarna putih dan berbunga mawar biru. Aku memilih untuk menggenakan tudung biru muda yang kurasakan amat sesuai dengan baju yang telah kupilih.
Sejak menerima undangan daripada Ibu Aqil, hatiku jadi tidak keruan. Itulah rasa yang sering aku alami bila ianya berkaitan dengan Aqil. Jantungku pasti berdegup selaju mungkin. Itulah aura cinta Aqil yang telah terpalit di jiwaku.
“Amboi Nysa iron baju nak kemana?”  Sara menyapaku dari belakang. Entah bila dia masuk ke dalam bilikku tidak pula aku sedar.
“Kenduri rumah parent Aqil.” Jawabku sambil mengantungkan semula baju yang telah siapku gosok pada penyangkut pakaian.
“Oh, nak pergi rumah bakal mertua rupanya, patutlah bersemangat waja.” Ujar Sara sambil tergelak kecil dan dia mula duduk bersila di atas katilku.
“Pandai-pandai aje!” Aku turut sama tergelak kecil.
“You bila nak kahwin? Kalau tak silap I dah dekat dua tahun youbertunangkan?” Sara mula menarik bantal yang telah aku susun kemas.
Sara mula membangkitkan isu yang aku sendiri tidak dapat menjawabnya. Aku sendiri tiada jawapan dan jawapan itulah yang aku tunggu dari Aqil selama ini.
“Entahlah, tapi yang pastinya bila-bila masa pun perkahwinan kitaorang boleh berlangsung.” Hanya itu jawapan yang boleh aku berikan. Moga-moga Sara tidak bertanya lanjut tentang itu. Bukannya aku tidak suka, tapi lebih banyak pertanyaan dan persoalan yang timbul tentang perkahwinanku, lebih besar rasa kecewa yang bersarang di hatiku.
Sehingga ke hari ini, Aqil masih enggan menetapkam tarikh perkahwinan kami. Katanya dia belum bersedia. Tapi padaku, seolah-olah ada batu penghalang yang berada di hadapannya sehinggakan dia tidak mampu untuk berbuat apa-apapun. Namun aku tetap akan menanti hari itu tiba. Aku telah lama menanti dan aku tidak akan jemu untuk terus menanti detik bahagia itu.
“ I hope so!” Kata Sara penuh dengan rasa simpati padaku.

SENGAJA aku tiba awal di rumah orang tua Aqil, niatku ikhlas moga-moga kehadiranku sedikit sebanyak dapat membantu  apa-apa yang perlu. Segera aku dapatkan ibu Aqil sebaik sahaja melangkah masuk. Wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu kelihatan gembira dengan kehadiranku.
            “Apa yang boleh Nysa tolong?” tanyaku ikhlas, kelihatan beberapa kaum wanita yang sedang sibuk di dapur semuanya hampir sebaya dengan umur ibu Aqil.
            “Kat dapur ni dah cukup dah orang yang membantu. Nysa duduk kat depan ajelah.” Ibu Aqil mengalihkan beberapa dulang yang menganggu jalan.
            “Seganlah Nysa macam ni mak cik.” Bisikku perlahan di telinganya kemudian wanita itu tersenyum lagi.
            “ Nak segan apa pulak. Nysa dah dikira sebahagian daripada keluarga ni tau. Tapi kalau Nysa nak tolong juga, apa kata Nysa naik atas, masuk dalam bilik Aqil, tolong ambilkan surah Yassin dalam kotak atas almari, boleh?” Ibu Aqil memegang tanganku. Kata-katanya membuatkan aku semakin selesa di situ.
            “ Bilik Abang Aqil? Abang Aqil tak ada ke makcik?” Aku kembali bertanya. Baru aku perasan sejak aku sampai Aqil langsung tidak kelihatan.
            “ Aqil balik lewat sikit. Insya’Allah sebelum majlis mula baliklah tu nanti.”
            Aku mengangguk mengerti akan penjelasannya. Sebagai seorang doktor aku tahu tugas Aqil tidak mengira masa, khidmat baktinya sentiasa diperlukan dan aku berbangga dengan itu.
            Sampai sahaja di tingkat atas rumah teres itu aku menolak perlahan pintu bilik Aqil. Aku yakin itu biliknya, bilik paling hujung seperti yang diberitahu oleh ibunya. Bilik itu agak luas, aku yang memerlukan cahaya mula memetik suis lampu. Biliknya begitu kemas sekali, tidak aku sangka. Dapat aku rasakan betapa Aqil menggemari warna ungu. Melihatkan cat dan wallpaper yang bertemakan ungu. Begitu juga halnya dengan cadar katil. Aku tersenyum sendiri. Jarang lelaki mengemari warna ungu, warna lembut itu selalunya disukai oleh wanita sahaja. Lain pula halnya dengan Aqil, namun ianya tetap tidak salah, mungkin itu citarasanya. Tiba-tiba sahaja aku teringatkan peristiwa semasa di kenduri perkahwinan adik angkat Hadif tempoh hari. Kini baru aku mengerti mengapa dia kelihatan marah melihat aku dan Hadif berpakaian ungu sedondon.
            “ Oh, favorite colour rupanya.” Dan kali ini aku tersenyum lagi.
            Aku bergerak menghampiri almari. Kelihatan beberapa buah kotak tersusun di atas almari itu. Aku kemudian menarik kerusi daripada meja komputer. Kerusi itu aku panjat penuh berhati-hati. Kotak yang berwarna hitam aku bawa turun dan kuletakkan di atas katil.
            “Bukan.” Aku menutup kembali kotak hitam tersebut apabila melihat isinya bukan seperti apa yang aku cari. Kini aku kembali memanjat kerusi semula. Kotak berwarna hitam seterusnya aku turunkan.
            “ Ini pun dia.” Aku mengeluarkan kesemua surah Yaasin yang tersimpan di dalam kotak itu. Kukira hampir 20 buah buku kesemuanya. Selesai mengeluarkan keperluan itu, aku menutup semula kotak itu. Namun kemudiannya aku membukanya kembali. Ada sesuatu yang menarik perhatianku. Seakan aku kenal dengan beberapa bungkusan di dalam kotak itu. Untuk kepastian, aku mengambil keluar bungkusan yang aku maksudkan. Aku mengeluh kecil. Ya! Itu semua hadiah pemberianku di hari lahir Aqil. Walaupun pernah Aqil nyatakan sebelum ini, tapi entah kenapa aku tetap berasa sedih melihat hadiah yang tidak langsung dibuka bungkusannya. Ternyata, usahaku untuk menambat dan semakin dekat dihatinya gagal sama sekali. Tidakkah ada rasa ingin tahu dalam dirinya tentang apa yang aku hadiahkan untuknya sepanjang aku bergelar tunangnya? Tahukah dia betapa sukarnya untuk aku memikirkan hadiah yang terbaik semata-mata untuk dirinya?
            Rasa tidak puas hati makin berbekam di jiwa. Kini aku melihat pula kotak kecil berwarna ungu yang turut sama ada di dalam kotak itu. Aku keluarkan kotak itu dan membukanya. Aku yakin, pasti aku akan menemui sesuatu. Sekurang-kurangnya aku inginkan jawapan di atas sikap aneh Aqil selepas bergelar tunangku. Kelakuannya yang menyebabkan aku sering tertanya-tanya apakah yang berlaku sebenarnya? Ada sebuah sampul surat di dalam kotak ungu itu. Hatiku jadi berbelah bagi, haruskah sampul itu aku buka? Melihatkan luarnya, surat itu pastinya kiriman dari luar negara. Perasaan ingin tahu semakin memberontak. Naluriku ingin sekali mengetahui isi kandungannya tetapi hati menghalang. Namun jari jemariku menongkah kata hati dan dengan pantas membuka sampul itu. Tiada sebarang surat dalam sampul itu melainkan sekeping kad kecil berbentuk hati. Yang peliknya tiada sebarang ucapan di atasnya melainkan catatan yang tidak aku fahami.
Your id   : IshNly@yahoo.com
Your password   : myluvlily
I’m waiting for u…

“Jumpa Nysa?” Suara ibu Aqil memeranjatkanku. Aku segera memasukkan kembali kad itu ke dalam sampulnya.
“Jumpa makcik!” Jeritku dari dalam bilik Aqil. Semua barang yang telah aku keluarkan, aku masukkan kembali ke dalam kotak kecuali sampul surat tadi. Aku ingin menyimpannya kerana dapat aku rasakan ada perkara yang perlu aku ketahui. Terasa seperti aku semakin hampir dengan jawapan yang aku perlukan selama ini.

TETAMU mula beransur pulang, aku pula membasuh pingan, membantu apa yang perlu di dapur. Ibu Aqil sedang rancak berbual bersama beberapa lagi saudara mara yang lain. Kenduri doa selamat yang diadakan sebagai tanda kesyukuran ayah Aqil kembali sihat seperti sedia kala berjalan dengan lancar. Namun aliran darahku rasanya tidak selancar majlis itu, lebih-lebih lagi selepas keluar dari bilik Aqil.
            Ibu dan ayahku sudah berangkat pulang selesai sahaja majlis kesyukuran itu. Aku cuma sempat mengahantar orang tuaku di muka pintu kerana membantu mengemas. Namun sempat juga mereka menasihatkan agar aku tidak pulang terlalu lewat. Aku tahu mereka amat risaukan tentang diriku.
            Hampir pukul 11.30 malam, barulah aku dan yang lain selesai mengemas. Pinggan mangkuk yang siap dicuci, aku susun kemas di atas surat khabar yang dibentangkan di permukaan lantai. Begitu juga dengan periuk-periuk yang tadinya sarat dengan lauk-pauk.
            “Makcik Nysa balik dulu ya.” Aku melurutkan kembali lengan bajuku yang tadinya aku singsing bagi mengelakkkan basah. Sempat juga mataku melirik pada Aqil yang sedang asyik menggulung tikar. Dari awal ketibaanku, baru kini aku dapat melihat lelaki itu. Aqil sedikit pun tidak menoleh ke arahku, malah dia meneruskan kerjanya seolah-olah tiada sesiapa di ruang tamu itu.
            “Dah lewat sangat ni, Nysa tak takut nak drive ke?” kata-kata ibu Aqil itu sedikit sebanyak melemahkan semangatku.
            “Tak apa makcik, bila lagi nak merasa drive waktu malam.” Aku cuba memujuk kerisauanku sendiri. Memang ada gentar dijiwaku. Tapi aku tahu, aku harus melawan rasa takut itu.
            “Suruh Aqil hantar ajelah.”
            Aku tersentak mendengar cadangan itu. Tidak! Aku tidak mahu menyusahkan Aqil. Aku mampu pulang sendirian tanpa ditemani sesiapa.
            “Aqil, tolong hantarkan Nysa balik!” Teriak ibu Aqil sebelum sempat aku membantah.
Aqil memberhentikan tugasnya dan terus berjalan menghampiri kami. Dari riak air mukanya, dapat aku lihat wajah kepenatan. Aku mula dihantui rasa bersalah, gara-garaku Aqil masih tidak dapat merehatkan dirinya walaupun sepatutnya dia sudah boleh beristirehat sebaik sahaja kerja-kerja menggulung tikar selesai.
            “Tak apalah makcik, Nysa boleh balik sendiri. Biarlah abang Aqil rehat, dari pagi kerja tentu letih.” Pantas aku menolak cadangan itu. Tidak mahu Aqil bersusah payah untukku.
            “Makcik tak benarkan Nysa balik seorang diri. Kalau tak nak Aqil temankan apa kata Nysa tidur sini saja?”
            Aku memandang Aqil yang bercekak pingang di sebelah ibunya. Mana mungkin aku tidur di rumah itu. Pasti tidak manis jika diketahui oleh saudara mara Aqil yang lain walaupun aku adalah tunangnya. Aku berfikir sejenak, mencari jalan penyelesaian.
            “Tak payah fikir-fikirlah Nysa, tidur sini ajelah.”
            Aqil bergerak meninggalkan kami sebaik sahaja ayat itu keluar daripada mulut ibunya, seolah-olah dia juga menyetujuinya. Tapi aku masih berkira-kira dan akhirnya aku berkeputusan untuk pulang sahaja ke rumahku.
            “Tak apalah makcik lain kali ajelah Nysa tidur sini. Lagipun Nysa ada kerja kat rumah tu.” Aku menolak pelawaan murni ibu Aqil sebaik-baiknya, tidak mahu dia berkecil hati.
            “Ikut suka Nysalah, tapi Aqil hantarkan ya. Aqil hantar Nysa balik sekarang.”
            Belum sempat aku menyatakan hasratku untuk pulang sendirian ibu Aqil terlebih dahulu telah memberikan arahan kepada Aqil untuk menghantarku pulang. Aqil berpatah balik apabila mendengar panggilan ibunya dan kini kulihat mukanya masam mencuka.
            “Jadi, boleh kita gerak sekarang tuan puteri?” Aqil memandangku tajam.
            Aku segera bersalaman dengan ibu Aqil dan bergegas mendapatkan beg tanganku sebelum melangkah keluar. Aqil menekan alat kawalan jauh keretanya. Aku memberhentikan langkah melihat tindakan Aqil. Mana mungkin aku pulang dengan menaiki keretanya, jadi bagaimana dengan keretaku?
            “Naik kereta Abang Aqil ke?” Aku bertanya.
            “Habis tu, Nysa nak suruh abang hantar Nysa naik apa? Kapal terbang?”
            Mendengar kata dan nada suaranya itu aku tahu yang dirinya dalam keadaan marah. Mungkin betul tekaanku, pasti Aqil melihat diriku sebagai beban yang menyusahkannya. Walau hatiku sedih mendengarnya, aku tetap cuba mengukir senyum yang kutahu ternyata hambar.
            “Tiket flight pun dah tak ada rasanya. Tak apalah, Nysa drive sendiri.Lagipun kereta Nysa ada kat depan sana. Nysa datang sini cuma nak membantu, tak ada niat pun nak susahkan sesiapa.” Jelasku mengharapkan pengertian daripadanya. “Nysa balik dulu, assalamualaikum.” Hayunan kaki aku percepatkan menuju ke arah kereta yang aku letakkan tidak jauh dari rumahnya. Hatiku menangis sendiri. Rasa takut tidak lagi kurasa, yang ada kini cuma rasa hati yang terluka dengan sikapnya.
            “Nysa, tunggu!” Jeritan Aqil memberhentikan pergerakkanku. Biarpun kakiku sedikitpun tidak lagi berganjak namun aku tidak sesekali menoleh kearahnya.
            “Call abang bila sampai nanti!”
            Aku meneruskan perjalanan sebaik sahaja Aqil selesai berbicara. Permintaannya itu tidak akan aku tunaikan. Untuk apa aku menghubunginya? Supaya aku akan terus dianggap menyusahkan kerana menganggu tidurnya pula? Cukup! Aku tidak mahu menjadi beban Aqil. Itu bukan janji yang aku buat pada hari aku bergelar tunangnya. Janjiku hanya ingin membahagiakannya, bukan meletak batu beban dibahunya.

           Bersambung...

JAUH DARI CINTA - BAB 4

EMPAT
            Aku bergegas menuju ke Hospital Ampang Puteri sebaik sahaja menerima panggilan daripada ayah. Tanpa pengetahuanku rupa-rupanya ayah Aqil sudah dua hari ditahan di wad akibat sesak nafas. Aqil langsung tidak pernah memaklumkan padaku tentang hal itu. Aku terpaksa membatalkan dua kelasku pada petang itu dan menggantikannya pada hari yang lain demi menjenguk bakal bapa mertuaku. Rasa marah pula pada Aqil saat ini, susah sangatkah untuk dia memaklumkanku tentang keadaan ayahnya. Sekiranya dia tidak mahu menghubungiku sekurang-kurangnya dia boleh mengirimkan pesanan ringkas.
            Aku mengetuk pintu sebelum memulas perlahan tombol pintu wad, bilik dimana ayah Aqil ditempatkan. Salam kuberikan beserta senyuman sebaik sahaja aku melangkah masuk. Ayah dan ibu Aqil membalas senyumanku itu. Aku terus mendapatkan ibu Aqil dan bersalaman dengannya.
            “Pakcik macam mana?” aku meletakkan bakul berisi buah-buahan yang sempatku beli tadi di atas meja kecil di sebelah katil. Perlahan-lahan ayah Aqil cuba bangun untuk duduk di katil itu sambil dibantu oleh ibu Aqil. Sebak pula rasa hatiku melihat keadaan Ayah Aqil. Mukanya sedikit pucat namun dia kelihatan bersemangat dan sering tersenyum.
            “Alhamdulillah pakcik dah sihat sikit ni. Nysa tak kerja ke hari ni?”
            “Separuh hari aje pakcik. Lepas ayah call Nysa masa lunch tadi, terus Nysa minta kebenaran pihak pengurusan nak jenguk Pakcik,” aku melabuhkan diri, duduk di sofa yang tersedia di dalam bilik itu.
            “Oh… patutlah sebelum ni Nysa tak datang jenguk pakcik. Pakcik ingatkan Aqil dah bagi tahu Nysa.” 
Aku menundukkan sedikit wajahku setelah mendengar kata-kata ayah Aqil.
            “Mungkin Aqil terlupa, Nysa jangan kecik hati pula. Aqil memang macam tu, kalau dah kerja satu apa pun tak ingat lagi,” ibu Aqil cuba meyakinkanku. Aku pula cuma mampu mengangguk-angguk, membenarkan kata-katanya.
“Assalamualaikum.”
Degup jantungku mula bergerak pantas mendengar suara itu. Seraya itu aku memalingkan muka pada pintu masuk. Aqil melangkah masuk bersama seorang wanita disisinya. Ya, aku yakin. Wanita itu adalah wanita yang sama yang menenami Aqil di majlis perkahwinan adik angkat Hadif tempoh hari. Rasa sedih dan kecewa menyerang tiba-tiba, ingin sahaja aku meninggalkan bilik itu. Aqil sedikit pun tidak menoleh ke arahku, dirinya sibuk memperkenalkan wanita itu kepada kedua orang tuanya.
Melihatkan keadaan itu, aku terus bangun dari sofa dengan harapan Aqil menyedari kehadiranku di situ. Paling tidak pun aku mengharapkan senyuman dari Aqil, satu-satunya lelaki yang aku rindui. Wanita itu bersalaman dengan kedua orang tua Aqil, ramah orangnya sehinggakan di kalangan meraka, akulah yang kelihatan sepeti orang asing. Kedua ibu bapa Aqil turut melayan mesra wanita itu.
Shafiza, siapa pula wanita ini dalam hidup Aqil. Runsing kepalaku memikirkannya. Mungkinkan wanita ini yang menjadi sebab utama kedinginan sikap Aqil kepadaku? Aku tidak ingin tahu apa yang berlaku di antara Aqil dengan wanita itu dan apa perhubungan mereka berdua. Apa yang aku ingin lakukan kini ialah segera beredar dari situ. Biarlah, mungkin aku tiba pada waktu yang tidak sesuai. Aku akhirnya berkeputusan meninggalkan mereka semua.
“Makcik, pakcik, Nysa balik dulu ya.” Ibu dan Ayah Aqil sedikit terkejut apabila aku minta izin untuk mengundur diri pada saat itu.
“Nysa nak balik dah, cepatnya?” Ibu Aqil mula bangun daripada duduknya apabila tangan aku hulurkan untuk bersalaman dengannya.
“Nysa lupa pula Nysa ada temujanji dengan kawan. Insya’allah nanti Nysa datang  lagi.” Aku mencipta alasan semata-mata ingin segera keluar dari bilik itu. Tidak rela melihat Aqil bersama wanita lain.
“Kirim salam pada mak dan ayah ya,” perlahan suara ayah Aqil kedengaran.
“Insya’allah pak cik! Saya balik dulu, assalamualaikum.”
Perlahan langkahku menuju ke muka pintu dan kemudiannya terus beredar dari situ. Aqil, langsung dia tidak berminat tentang hidupku saat ini. Dia hanya mendiamkan diri bersama wanita yang ada di sisinya itu. Mungkin dia mahu menjaga hati wanita itu, hati tidak henti-henti membuat andaian yang hanya menyeret aku ke gerbang duka. Setitis demi setitis air mata ini mula menitis dan semakin lama titisan ini menjadi tangisan yang tidak mampu lagi untukku tahan. Lantas kubiarkan sahaja air mata ini terus mengalir.
Dari jauh kedengaran suara yang memanggil kuat namaku. Aku kenal benar dengan suara itu, siapa lagi kalau bukan Aqil. Aku sedikit pun tidak menoleh ke belakang, gusar kalau-kalau Aqil melihat tangisanku ini. Aku tidak mahu kelihatan terlalu lemah di hadapannya, jadi aku pura-pura tidak dengar akan panggilannya. Aku melangkah laju mendapatkan keretaku dan meninggalkan hospital tanpa sedikitpun menoleh ke arah Aqil. Padaku, mungkin lebih baik begitu, hatiku masih sakit, masih pedih dengan apa yang berlaku. Kadang-kala hatiku berbicara sendiri, betulkah aku ini tunangnya? Benarkah  ruang di hatinya itu adalah untukku? Rasanya itu cuma angan-anganku. Mungkin semuanya harus aku selesaikan segera. Aku mahukan kepastian, siapa aku dihatinya?

AKU MEMATIKAN talian sebaik sahaja selesai berbual dengan ibu Aqil, sekadar bertanya khabar. Aku tahu alasan yang aku berikan untuk segera keluar dari bilik wad itu semalam sedikit pun tiada logiknya, namun apa lagi yang harusku nyatakan bagi menafikan tanggapan kedua orang tua Aqil bahawa aku meninggalkan mereka tanpa sebarang kata gara-gara kehadiran Shafiza. Bagi lebih meyakinkan mereka, aku turut berjanji akan datang melawat ayah Aqil selepas waktu kerja hari ini. Kini aku terikat dengan janji yang aku buat sendiri. Aku akan menunaikan janjiku itu, namun aku berharap aku tidak akan bertemu dengan Aqil nanti. Aku perlukan lebih kekuatan untuk bertemu dengannya dan aku belum bersedia untuk itu.
Selesai sahaja tugasku, aku terus memandu menuju ke hospital. Hujan yang tadinya renyai, kini bertambah lebat. Aku melilau mencari tempat meletakkan kenderaan. Dalam keadaan begini aku yakin tentu sukar untukku mendapatkan tempat meletakkan kenderaan. Hampir lima belas minit berpusing di kawasan hospital, akhirnya ada juga ruang untuk keretaku. Sebaik sahaja mematikan enjin kereta, aku cuba mencapai payung pada tempat duduk belakang, namun payungku tiada di situ. Aku mula mengeluh, terlupa yang aku telahpun meminjamkannya pada Hadif.
“Macam mana nak turun ni?” Aku mula berbicara sendiri. Hujan sedikitpun tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti, langit pula semakin gelap. Aku mati akal, mahu ataupun tidak aku terpaksa menunggu di dalam kereta sehingga hujan reda.
Aku melihat jam di tangan, hampir pukul tujuh malam. Hujan masih lagi lebat, sesekali kedengaran guruh berdentum kuat. Tidak mahu terus menunggu aku akhirnya berkeputusan untuk turun dan masuk ke hospital. Berpayungkan tapak tangan, aku dengan pantas turun dari kereta dan berlari-lari anak akibatnya habis bajuku kebasahan. Walaupun begitu, aku menarik nafas lega, sekurang-kurangnya kini, aku tidak lagi hanya duduk menunggu di dalam kenderaan.
Dalam keadaan yang basah kuyup itu, aku terus menaiki lif untuk bertemu dengan orang tua Aqil di bilik mereka seperti mana yang telah aku janjikan. Seorang lelaki yang kukira dalam lingkugan 40an mengeleng-gelengkan kepalanya sambil melihat ke arahku. Mungkin keadaanku yang kuyup ini menyebabkan lelaki itu menunjukkan reaksi yang sedemikian. Ada juga penumpang lain dalam lif itu bergerak sedikit menjauhiku, mungkin takut turut kebasahan. Aku pula hanya mampu tunduk sepanjang berada di dalam lif.
Keluar sahaja daripada lif, jantungku mula berdegup pantas. Aku berdoa mudah-mudahan Aqil tiada di situ. Namun jauh di sudut hati, aku berharap dapat bertemu dengannya walaupun sebenarnya hatiku masih sakit dengan apa yang berlaku semalam. Tetapi entah mengapa rasa rindu dan kasih pada Aqil mengatasi kemarahanku padanya.
Pintu bilik wad tidak bertutup rapat ketika aku sampai. Daripada luar dapat aku perhatikan mereka yang berada di dalam bilik wad itu seorang demi seorang melalui ruang pintu yang sedikit terbuka. Aqil! Jantungku makin pantas berdegup sebaik sahaja terpandang Aqil. Terubat juga rasa rindu pada lelaki itu. Aku menarik nafas panjang mengumpul kekuatan menolak pintu bilik wad itu untuk masuk.
“ Ibu dengan ayah ajelah yang tunggu. Aqil tak ada masa nak tunggu lama-lama. Banyak kerja lain lagi yang Aqil nak kena buat. Lagipun Aqil dah janji dengan Shafiza nak jemput dia.”
Dapat aku dengar dengan jelas kata-kata itu. Aku tahu itu suara Aqil. Niatku untuk menolak pintu dan masuk ke dalam tidak aku teruskan. Tombol pintu kulepaskan tanpa aku sedar. Aku tiba-tiba menjadi kaku di hadapan bilik wad itu. Aku tidak mahu percaya dengan apa yang telah aku dengar. Tidak, sedikit pun aku tidak mahu percaya, masakan Aqil sanggup berbuat begitu padaku.
“ Terpulanglah Aqil, nanti jangan nak salahkan ibu kata ibu tak bagi tahu,” suara ibu Aqil pula membalas kata-kata anaknya itu.
Aku masih berdiri di situ, seincipun tidak berganjak. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku berlalu pergi. Tapi entah kenapa langkah kakiku seolah-olah telah dipaku.
“ Aqil pergi dululah ayah, ibu…”
Derapan kaki Aqil semakin menghampiri pintu namun aku masih lagi berdiri di tempat yang sama seperti tadi. Akhirnya pintu bilik ditarik dan mata kami bertentangan.
“ Nysa, macam mana boleh basah kuyup ni?” Aqil terkejut melihatku, nyata dari nada suaranya jelas dia tidak senang dengan kehadiranku di situ pada tika ini. Lama aku merenungnya sebelum melemparkan senyuman palsu.
“ By the way, abang ada hal ni, jumpa nantilah ya. Erm… boleh tepi sikit?”
Rasanya Aqil sama sahaja dengan orang-orang di dalam lif tadi. Tidak bersimpatikah dia padaku? Namun, kuanjakkan juga sedikit langkahku memberi ruang untuk Aqil beredar. Dan tanpa menunggu sesaat pun lagi Aqil terus berlalu meninggalkanku. Begitu berat dugaanMu ini Ya’ Allah. Mengapa ini yang harus aku lalui, hati kecilku menangis.
 “ Nysa sampai pun. Mari masuk.” Ibu Aqil yang sudah berada di hadapan pintu bilik memimpin tanganku masuk ke dalam bilik dan aku menuruti langkahnya.
“ Habis basah kuyup. Nysa, Nysa…” Kini giliran ayah Aqil pula bersuara setelah melihat keadaanku.
“ Aqil tu memang macam tu, semua benda nak cepat. Sampai nak tunggu tunang sendiri pun tak sempat. Nysa jangan ambil hati ye.” Ibu Aqil cuba memujuk. Mungkin dia terdengar perbualan aku dengan Aqil tadi.
“ Nysa faham.” Aku cuba mengukirkan senyuman sekali lagi. Hanya itu yang mampu aku lakukan untuk melindungi luka dihatiku.

KEPALAKU terasa berat, mungkin hujan lebat yang membasahi anggota tubuhku semalam adalah puncanya. Namun aku gagahkan juga bersiap untuk ke tempat kerja. Pagi itu aku bersiap dengan pantas sekali. Baju kurung berwarna hijau muda aku keluarkan daripada almari pakaian. Sedikitpun bedak tidak menyentuh kulit mukaku apatah lagi pelembab bibir. Kepala yang semakin memberat tidak mengizinkan aku berias seperti selalu. Seketika aku mengenakan jam tangan sambil menjeling pada jarum jam itu, hampir pukul tujuh pagi. Segera aku bergerak untuk keluar daripada rumah, tidak mahu merempuh kesesakan lalulintas yang jarangnya mahu tenang.
            Sebaik saja tiba, aku segera meletakkan kereta pada tempat letak kereta yang disediakan untuk kakitangan. Enjin kereta aku matikan, bersyukur kerana telah selamat tiba. Aku memejamkan mata buat seketika, sakit kepala masih terasa dan kali ini denyutannya bertambah kuat umpama tidak mahu henti kesakitannya. Aku mengurut perlahan kepalaku, berharap kelegaan akan segera tiba. Namun semua itu tidak berlaku, saat demi saat sakitnya kian parah sehingga membuatkan aku tidak mampu untuk berdiri tegak dan keluar daripada keretaku. Lantas aku benamkan wajah pada stering keretaku bersama kesakitan yang mencengkam hebat.
            Apabila cermin keretaku diketuk berkali-kali, aku segera mengangkat sedikit wajahku. Hadif! Kerutan pada wajah Hadif itu aku faham maksudnya. Pasti Hadif pelik melihatkan keadaanku dalam kereta itu. Berbekalkan kudrat yang tidak sekuat mana, aku mengarahkan kakiku untuk membawa aku keluar daripada keretaku itu. Senyuman kecil aku berikan kepada Hadif tatkala kakiku mula melangkah keluar, namun belum sempat pintu kereta kututup rapat, duniaku jadi gelap secara tiba-tiba!

MATA AKU buka perlahan dan ketika tersaji semuanya di hadapan mata, orang yang pertama yang dapat aku lihat ialah Hadif. Senyuman Hadif tidak lekang daripada bibirnya. Aku mengalihkan pula pandangan pada ruangan sekelilingku dan rasanya aku tahu dimana aku berada pada saat itu. Dimana lagi kalau bukan di hospital! Bau ubat-ubatan yang dengan segera meresap masuk ke dalam rongga hidung benar-benar merimaskan aku. Aku cuba bangun daripada pembaringan, namun kepalaku masih lagi sakit walaupun tidak sehebat rasa sakit yang aku tanggung tadi. Tidak larat pula membawa diriku duduk di atas katil itu. Aku cuba untuk bangun buat kali yang kedua dan pada kali ini Hadif memberikan bantuan kepadaku. Dia meletakkan bantal bersarung putih bersih itu pada kepala katil untuk aku bersandar, lantas dengan penuh berhati-hati Hadif membetulkan dudukku.
            “Terima kasih Hadif. Mujur kau ada, kalau tidak tak tahulah aku apa dah jadi pada aku sekarang,” ucapan itu ikhlas kau tujukan kepada Hadif kerana aku yakin bahawa Hadif adalah orangnya yang telah membawa aku ke rumah sakit ini.
            “Hal kecil aje pun. Kau dah okey ke ni?” soal Hanif sambil mengangkatkan sedikit keningnya.
            “Alhamdulillah, okey sikit dah.” Balasku perlahan.
            “Oh, ya. Aku dah call parent kau, sekejap lagi dia orang sampailah tu kut!” Sambung Hadif, tidak mahu mematikan perbualan antara kami.
            “Terima kasih Hadif. Menyusahkan kau ajekan? Sorrylah ya!” semoga saja Hadif dapat membaca sinar mataku yang benar-benar berterima kasih atas tindakannya itu. Rasa terhutang budi dengan Hadif. Dalam keadaan-keadaan terdesak, selalunya dialah yang menjadi penyelamatku. Entah bagaimana caranya mahu membalas budi baiknya itu.
            “Kau nikan Nysa, dari awal kita kenal sampai sekarang, tak habis-habis ucap terima kasih kat aku. Kau tak penat ke?” Hadif tersenyum di hujung katanya.
            “Habis tu, kalau bukan terima kasih, kau nak suruh aku cakap apa kat kau?” soalku kembali kerana sememangnya ucapan terima kasih itu layak untuknya.
            “Sekali-sekala kau ucaplah thank you ke! Hah, kan lain sikit bunyinya tu. Tak adalah telinga aku ni bosan mendengarnya.” Hadif ketawa dengan seloroh yang diciptanya itu.
            Mendengar kata-kata Hadif, aku jadi tertawa riang. Sempat juga aku memukul Hadif perlahan dengan menggunakan majalah yang ada disisi katil bila terasa dipermainkan. Hadif mengadu kesakitan. Kemudiannya, kami berdua ketawa lagi. Sebagai seorang kawan, Hadif selalu saja menimbulkan rasa senang dihatiku. Alangkah bagusnya jika Aqil juga berkelakuan seperti Hadif, sentiasa memahami dan menanam benih ceria dihariku.
Aku menundukkan wajah apabila terkenangkan Aqil. Mengapa sedikitpun aku tidak dapat membaca hatinya? Terlalu sukar untukku menghampirinya apatah lagi mendekatinya. Walaupun ikatan yang ada sepatutnya menjadikan aku dan Aqil semakin hampir, namun entah mengapa setiap kali bertemu dengan Aqil aku hanya terasa ruang yang semakin melebar dari hari ke hari. Jarak yang seakan dicipta oleh Aqil sendiri. Itulah yang membuatkan aku bertambah tidak mengerti.
            “Kenapa ni Nysa? Kau ada masalah ke?”  Seperti selalu, Hadif mengajukan soalan yang sama setiap kali aku menunjukkan reaksi wajah sebegitu.
            “Tak ada apalah Hadif. Hah, aku dengar cerita kau nak cuti dua hari, kau nak pergi mana?” segera aku mengubah topik perbualan, tidak mahu Hanif terus-menerus meneka hatiku.
            “Balik kampung,” ringkas jawapan yang diberikan Hadif.
            “Balik kampung? Hai, dah tak sempat nak tunggu hujung minggu ke?” Soalku kehairanan atas pengakuan Hadif. Pelik, selalunya Hadif hanya akan pulang ke kampung pada hujung minggu. Sejak aku mengenali Hadif, tidak pernah sekalipun Hadif mengambil cuti pada hari bekerja semata-mata untuk pulang ke kampung jika tiada hal penting. Aku bukan seorang tukang ramal dan aku juga tidak mempunyai kelebihan untuk membaca fikiran atau hati orang lain tapi aku cukup kenal dengan perangai Hadif, dia selalu mengutamakan para pelajarnya, jadi mana mungkin dia mengambil cuti tanpa sebarang agenda.
            “Sorrylah Nysa, tak sempat nak bagi tahu kau. Sebenarnya aku bertunang hujung minggu ni.” Hadif memandang ke arah lain, seolah-olah mahu menyembunyikan pandangannya dariku.
            “Bertunang?” aku tersentak dengan perkhabaran yang dibawa oleh Hadif itu. Benar-benar terkejut. Lama aku memandang Hadif yang masih tidak mahu menunjukkan wajahnya. Musykil, tiada angin, tiada ribut tiba-tiba saja aku diberitakan dengan berita pertunangannya.
            “Ha’ah, pilihan mak aku. Kau kan tahu aku ni anak yang soleh, jadi sebagai anak yang baik, aku kenalah ikut kehendak mak aku,” getus Hadif bersama senyuman nipis dibibirnya.
            “Tahniah!” segera aku mengucapkan itu pada Hadif.
            “Aik, takkan tahniah aje? Bagilah apa-apa yang patut” Balas Hadif pula.
            “Kau nak hadiah apa?”
            “Aku nak satu aje daripada kau”
            “Apa dia? Cakaplah!”
            “Walau apapun terjadi, boleh tak kau jaga kesihatan kau? Itu aje yang aku nak daripada kau. Aku risaulah tengok kau macam ni!”
Kata-kata Hadif membuatkan aku tertunduk lesu. Mengapa dia begitu risau dengan keadaanku sedangkan Aqil langsung tidak mempunyai rasa itu?  
            “Assalamualaikum!”
            Aku mengangkat wajah, melihat gerangan yang menghulurkan salam. Aqil! Jantungku seakan disentap ketika melihat Aqil muncul di depan mata saat-saat hati dan fikiran memikirkan tentang dirinya. Anak matanya yang tajam merenungku itu dapat aku rasa bisanya. Dan aku entah kenapa pula tidak mahu mengalihkan pandanganku padanya.
             “Aku balik dululah Nysa, nanti aku datang lagi.”
Suara Hadif akhirnya memutuskan tali pandanganku pada Aqil. Aku tersenyum pada Hadif, senyuman ikhlas, bukannya senyuman yang sengaja aku buat-buat semata-mata mahu melahirkan rasa cemburu dalam diri Aqil.
            “Nanti kalau ada apa-apa contact aku. Jaga diri baik-baik tau, aku tak ada kat sini nak jaga kau.” Senyum Hadif melirik pada hujung pangkal katanya.
            “Yelah, nanti kalau ada apa-apa hal aku contact kau. Thanks Hadif, Elok-elok memandu.” balasku tanpa menghiraukan Aqil.
            “Thanks sebab call maklumkan pasal keadaan Nysa. By the way awak tak payah risau apa-apa, Nysa tunang saya dan saya tahu macam mana nak jaga dia.”
            Sebelum berlalu Hadif yang terlebih dahulu menghulurkan tangan           barulah Aqil menyambut tangan itu dengan ucapan yang pastinya dapat membuatkan telinga Hadif panas. Namun Hadif hanya tersenyum dan memaparkan riak tenang seolah-olah tembakan Aqil tidak langsung terkena padanya.
            Aku enggan memandang wajah Aqil walaupun Hadif sudah berlalu.Mungkin hati masih marah padanya atas perkara yang lalu. Aqil mengambil tempat duduk, menggantikan Hadif. Kemudian aku terdengar keluhan kecil keluar daripada mulutnya.
            “Tak payah susahkan Hadif  lagi. Kalau ada apa-apa hal lepas ni terus callabang aje.” Aqil menjarakkan kerusi yang didudukinya itu dengan katil.
            “Kalau Nysa call pun, abang Aqil bukannya ada masa nak jawab panggilan Nysa. Abang Aqil kan sibuk.” aku membalas, biar Aqil tahu kenyataannya. Aku tahu, yang sebenarnya aku masih marah pada Aqil dengan apa yang berlaku selama ini. Hatiku sendiri mampu menilai kedudukan aku di sisinya. Pasti tidak sepenting mana.
            “Jadi Nysa marahkan abanglah ni?”
            “Abang Aqil rasa Nysa marahkan abang Aqil ke?
            “Habis, kalau muka abang pun Nysa tak sudi nak pandang, kalau bukan marah apa lagi?” Aqil memeluk tubuhnya.
            “Okey, abang tahu Nysa marahkan abang pasal abang tak hiraukan Nysa tempoh hari dan Nysa marahkan abang pasal Shafiza. Abang tahu semua tu! Tapi Nysa cuma fikir pasal marah Nysa ajekan? Habis Nysa ingat abang tak tahu nak marah bila tengok Nysa dengan Hadif?” Aqil mempersoalkan tentang Hadif dengan tiba-tiba.
            Aku terus memandang Aqil tepat, mengapa tiba-tiba sahaja dia mempersoalkan tentang Hadif? Mengapa dia mahu mengaitkan aku dengan Hadif?
            “Apa masalah abang Aqil dengan Hadif? Kenapa abang Aqil mesti kaitkan Nysa dengan Hadif? Apa masalah abang Aqil dengan Hadif?” aku luahkan apa yang aku rasa. Hadif tidak seharusnya dipersalahkan.
            “Jadi, apa pula masalah Nysa dengan Shafiza? Kenapa Nysa mesti marah bila nampak abang dengan Shafiza?” Aqil masih terus mempertahankan tindakkannya.
            Hatiku mula hiba, terasa seperti ada air mata yang mahu gugur tapi aku tahankan juga. Tenyata Aqil sengaja mahu mencari salahku.
            “Nysa tak ada apa-apa masalah dengan Shafiza. Betul, memang Nysa kecil hati bila abang Aqil lebih mengutamakan Shafiza daripada Nysa, sebab Nysa tunang abang Aqil! Tapi Nysa tak ada niatpun nak mempersoalkan pasal Shafiza sebab Nysa percaya pada abang Aqil,” aku berusaha menyatakan kebenarannya.
            “Nysa minta maaf kalau hati abang Aqil tersinggung disebabkan Hadif. Untuk pengetahuan abang Aqil, Hadif cuma kawan biasa pada Nysa. Abang Aqil sendiri pun tahukan besar mana rasa cinta Nysa pada abang Aqil? Hadif akan bertunang hujung minggu ni, jadi tak perlulah abang Aqil nak kaitkan Nysa dengan Hadif lagi lepas ni.” Mendengar kata-kataku itu, Aqil mendiamkan diri. Biarlah dia tahu bahawa pada ketika ini dia sedang mencurigai hati seorang tunang yang langsung tidak pernah terlintas untuk menduakan dirinya walaupun untuk sesaat.
            “Seperkara lagi, Nysa rasa abang Aqil kena fikirkan balik pasal hubungan kita. Kalau abang Aqil rasa Shafiza lebih berhak ada di sisi abang Aqil, Nysa takkan jadi penghalang.” Lega hatiku apabila sudah aku jelaskan semuanya. Aku tidak meminta Aqil untuk memahami hatiku, apa yang aku mahu hanyalah Aqil menaruhkan sedikit kepercayaannya buatku.
            “Abang takkan mungkir janji. Nysa tetap tunang abang. Mungkin abang salah faham pasal Hadif, tapi tu tak bermakna Nysa tak bersalah. Nysa tetap bersalah sebab Nysa keluar berdua dengan Hadif tanpa pengetahuan abang. Jadi Nysa kena tunaikan permintaan abang.”
            “Abang Aqil tetap nak salahkan Nysa jugakan?”
            “Memang salah Nysa. Mulai hari ini Nysa tak boleh pakai baju warna ungu tanpa kebenaran abang.”
            “Abang Aqil…”
            “No objection! Ini permintaan abang dan sebagai orang yang bersalah, Nysa kena penuhi permintaan abang macam yang kita janjikan sebelum ni.”  kata Aqil tegas.
            Permintaan Aqil itu walaupun agak pelik tapi sedikit sebanyak menimbulkan rasa senang dalam hatiku. Kembali ada rasa bahagia dalam hati. Kesakitan tidak lagi aku rasai saat ini, mungkin sudah sembuh sepenuhnya dengan adanya Aqil. Rasanya aku akan dibenarkan keluar daripada hospital tidak lama lagi.

            Bersambung....