Tuesday, March 22, 2011

JAUH DARI CINTA - BAB 10


SEPULUH
Aku memilih bilik di tingkat atas yang letaknya paling hujung. Berharap dengan itu, kedamaian akan selalu ada bersamaku. Aku tidak tahu bilik Aqil yang mana satu, yang pastinya, bilik utama adalah miliknya. Sejak tiba, sampailah ke saat ini, aku hanya mengurungkan diri di dalam bilik. Sungguh kekok berada di situ, setiap ruang terasa asing bagiku. Jadi pasti bilik ini akan menjadi peneman setiaku selama aku berada di sini. Bilik itu agak kosong memandangkan tiada sebarang perabot di dalamnya melainkan sebuah katil. Namun itu tidak menjadi masalah padaku kerana aku lebih senang jika tidak menggunakan barang-barang yang menjadi milik Aqil. 
Jam di tangan menunjukkan pukul 10 malam ketika pintu bilik yang kukunci rapat diketuk kuat. Terdengar Aqil melaung namaku beberapa kali. Itu bermakna Aqil sudahpun pulang dari destinasi yang tidak aku ketahui. Aku sekadar pekakkan teling dan membisukan suara. Semoga dengan itu, Aqil akan beranggapan bahawa aku sudah lena. Padahal, mataku masih segar-bugar memandang gelap malam melalui cermin tingkap yang tidak menyajikan apa-apa permandangan indah. Sudahlah! Aku sudah penat untuk bertikam lidah dengan dirinya. Lebih baik aku bersendiri, memikirkan jalan untuk menghadapi hari-hari esok.
 Seketika kemudian, bunyi ketukan pintu hilang. Laungan suara yang memanggil namaku juga sudah tiada. Hatiku mula rasa lega dengannya. Namun tidak beberapa lama selepas, itu aku dikejutkan dengan bunyi tombol pintuku dipulas. Segera aku memalingkan wajah, memandang ke arah pintu. Serentak itu juga, daun pintu bilikku dibuka oleh Aqil. Aku terjerat, tidak dapat lagi melarikan diri dan hanya mampu melihat langkah Aqil bergerak menghampiriku.
“Jangan ingat abang tak ada kunci pintu bilik ni!” Aqil menunjukkan kunci yang berjaya membawa dirinya masuk ke dalam bilikku itu.
Aku hanya mampu memandang kunci itu, kemudian aku palingkan wajah. Tingkap bilikku yang tadinya terbuka luas, aku tutup dengan rapat. Tanpa sedikitpun menghiraukan Aqil yang terus-terusan memadangku, aku terus saja berjalan menuju ke katil bercadar biru.
“Duduk berkurung dalam bilik ni kenapa? Makan tak...minum tak, nak sangat jatuh sakit ke?” suara Aqil mula meninggi. “Ingat kalau kurung diri macam ni dapat selesaikan masalah!”
Kata-katanya itu membuatkan hatiku kembali terguris. Mudahnya dia mengeluarkan kata, meletakkan aku pada tempat yang bersalah. Kini jarak antara aku dan dirinya semakin jauh sehingga aku sendiri tidak nampak lorong yang dapat mendekatkan kami kembali seperti satu masa dahulu.
“Masalah dah lama selesai kalau Abang Aqil tak datang masa majlis pernikahan kita dulu” aku luahkan apa yang tersimpan di hati. Menolak daripada terus dipersalahkan. Bukankah aku sudah merayu padanya supaya menamatkan perkahwinan yang tak akan membahagiakan sesiapapun ini? Mengapa dia tetap mahu menghancurkan hatinya sendiri dan membunuh hatiku?
“Oh...jadi Nysa nak salahkan abanglah ni? Kalau abang tak boleh jatuh cinta dengan Nysa, kenapa Nysa nak salahkan abang pula? Kalau Nysa dah tahu yang abang tak pernah cintakan Nysa, buatlah sesuatu supaya abang boleh jatuh hati pada Nysa, jangan duduk berpeluk tubuh dalam bilik macam ni aje!” Aqil terus saja keluar dan menghempas kuat pintu bilikku selesai membalas kata-kataku.
Aku terduduk mendengar semua itu. Air mata menitis lagi, terlalu sakit hati dengan semua yang kudengar. Mudah sungguh dia membuang bicara, dua tahun aku menjadi tunangnya, usaha apa yang tidak aku lakukan supaya hatinya sentiasa ada untukku? Namun semua usahaku itu umpama sampah padanya. Dan sekarang, dia mahu aku terus mendaki gunung cintanya sedangkan kaki cintaku sudah mula lumpuh. Mula ada rasa marah dalam jiwa. Aku tahu, Aqil harus aku berikan pengajaran supaya tidak lagi dia dengan berani menyuarakan kata yang tidak mampu dilakukan oleh hatinya.
“Abang tak akan mampu jatuh cinta pada Nysa sampai bila-bila!” Kataku perlahan bersama titisan air mata yang tidak pula mahu berhenti.

PAGI itu, selepas mengerjakan solat subuh, aku terus turun ke dapur. Cuba berlagak biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku walaupun hal semalam masih terus membayangiku. Aku hanya wanita biasa, maka mustahil kata-kata yang dihamburkan padaku semalam tidak meninggalkan kesan dalam hati. Kata-kata itu jugalah yang membuatkan mataku enggan lelap sepanjang malam. Jika berpeluang, aku pasti akan memberikan pengajaran terbaik buatnya supaya hatiku ini tidak terus menjadi mangsa derita.
            Sekeping nota yang ditampal kemas pada pintu peti sejuk membuatkan aku yang baru saja melepasi ruang yang menempatkan peti sejuk itu kembali berpatah balik  merenung nota berwarna kuning itu.
            Outstation!
            Perkataan tunggal yang tercatat di atas nota kuning itu terus menambah kepedihan hati. Perkataan itu saja sudah cukup jelas untuk menjadi penanda aras, menunjukkan dimana kedudukan aku di hatinya. Langsung tidak memberikan sebarang makna. Berat sangatkah mulutnya untuk memaklumkan bahawa dia sudah mula bekerja? Susah benarkah menyatakan bahawa dia harus bertugas di luar kawasan dan terpaksa meninggalkan aku seorang? Setidak-tidaknya, tulislah beberapa patah kata yang meminta agar aku menjaga diri sepanjang ketiadaanya. Pasti aku akan merasa sedikit lega dengannya. Ini tidak, perkataan yang satu itu saja yang ditinggalkan untukku.
            Mengapa terasa seperti ada jarum-jarum tajam yang mula menyucuk hatiku saat ini? Terlupakah aku, bukankah aku tidak penting padanya! Jadi untuk apa dia harus menyatakan semua padaku. Sudahnya, aku meramas kasar nota itu kemudian mencampakkannya jauh. Bersama seribu rasa yang mencengkam jiwa, aku berjalan ke ruang tamu. Senyuman duka aku ukirkan walaupun tiada siapa yang mampu melihatnya. Mungkin inilah peluang untuk aku tunjukkan pada Aqil, membiarkan dia melihat sendiri akan apa yang ada dalam hatinya. Ya, inilah masanya! Mula ada ilham bertapak di minda. Aku harus lakukannya segera, sebelum kepulangan Aqil yang aku sendiri tidak pasti bila.

TIGA HARI ketiadaan Aqil sudah cukup untuk aku menjalankan agenda yang tiba-tiba saja muncul. Aku tahu, mungkin Aqil akan marah dengan apa yang aku lakukan ini, namun hanya inilah satu-satunya cara yang mampu aku fikirkan buat masa ini agar Aqil sedar bahawa hanya Lily di hatinya. Semoga dengan usaha ini, Aqil tidak lagi mengungkit kisah yang memaksa aku menjejaki hatinya yang terang-terang bukan milikku. Sepanjang tempoh tiga hari ini juga, dia langsung tidak menghubungiku bertanyakan khabar. Biarpun aku sudah dapat mengagak akan hal itu, namun hatiku ini sering kali tetap tertunggu-tunggu panggilannya. Degil! Sudahnya, semua penantianku itu menjadi sia-sia belaka.
            Hari kian kosong tanpa Aqil di sisi. Itu semua dapat aku rasa, tapi tidak Aqil. Penthouse itu terasa berkali-kali ganda besarnya tanpa suara dan dirinya. Entah kenapa aku selalu berharap agar hubungan kami kembali pulih. Bila agaknya aku akan dapat melihat kembali senyuman mesranya dan berkongsi segala cerita dengannya sama seperti suatu masa dahulu yang menempatkan aku sebagai seorang adik di hatinya. Terasa rindu akan saat itu! Jodoh yang ditetapkan ini hanya akan terus menjadi jurang lebar yang membuatkan aku terus jauh dari hidup Aqil pastinya.
            Setiap hari, penantianku akan berakhir pada jam dua belas malam. Dan malam ini juga, tidak ada tanda-tanda Aqil akan pulang. Sebagai isteri, hatiku mula risau tentang keadaan dirinya. Dimana dia? Apa yang berlaku padanya? Ingin saja aku menghubungi keluarganya dan bertanyakan kalau-kalau Aqil ada meninggalkan jejak dan berita. Namun aku matikan niatku itu, tidak mahu Aqil dipersalahkan kerana langsung tidak menghubungiku sepanjang tiga hari ini. Aku sangkakan, hanya kata-kata Aqil yang memukul hati berkali-kali itu saja yang boleh membuat tidurku diganggu. Rupa-rupanya, ketiadaan Aqil di depan mata lebih membuatkan mataku tidak mampu terpejam lena.
            Anak tangga menuju ke bilikku, aku daki dengan perlahan. Namun, apabila terdengar bunyi pintu utama dibuka, langkah kakiku mati di situ sahaja. Wajah Aqil yang dapat aku lihat dengan jelas itu membuatkan hatiku mula senang. Beg galas yang tadinya dipegang erat oleh Aqil tiba-tiba saja terlepas daripada tangannya sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah. Dan aku tahu mengapa! Segera aku melangkah turun. Memainkan peranan seperti mana yang sudah aku rancangkan dalam hati sendirian.
            Aku berjalan menghampiri Aqil, cuba mendapatkan tangannya untuk bersalaman seperti mana yang sering dilakukan oleh seorang isteri setiap kali menyambut kepulangan seorang suami. Namun tangan yang aku hulurkan tidak disambut Aqil, sedikitpun tidak dihiraukannya. Dia masih terpaku di situ memerhati warna dinding penthouse miliknya itu yang sudah aku tukarkan warnanya menjadi warna putih mutiara. Susunan perabot juga aku ubah semua. Sengaja cuba menimbulkan rasa marah di hatinya dan membuatkan dia sedar bahawa cintanya tidak mampu diubah paksinya buat wanita lain, selain Lily.
            “Apa yang Nysa dah buat ni?” Soal Aqil bersama muka merahnya.
            “Nysa cuma buat apa yang abang Aqil suruh!” Balasku sambil menjatuhkan tangan yang sedari tadi mengharap adanya sambutan daripada Aqil.
            “Abang tanya, apa yang Nysa dah buat ni?” Aqil menjerit sambil kedua-dua belah tangannya mengoncang kuat bahuku. Matanya mula merah bersama takungan jernih yang jelas kelihatan bermuara di tubir matanya.
            Mula ada rasa bersalah terbit dalam hatiku. Masakan Aqil tidak marah dan sedih atasnya, semua usaha yang dilakukannya semata-mata untuk menunjukkan kepada Lily betapa dalam cintanya sudah aku lenyapkan dalam sekelip mata. Tapi, apa lagi pilihan yang aku ada? Hanya itu cara yang mampu aku fikirkan bagi membantu Aqil memahami isi hatinya sendiri. Hatinya yang ego itu harus aku sedarkan. Biar dia tahu, dia tidak mampu kehilangan kenangan yang diciptanya untuk Lily. Lantas dengan itu, semoga dia juga sedar dia tidak mampu hidup bahagia tanpa Lily di sisi.
            “Abang Aqil yang nak Nysa lakukan sesuatu supaya abang Aqil boleh jatuh cinta dengan Nysa kan? Jadi sekarang Nysa nak abang Aqil lupakan Lily! Nysa tak nak tengok satupun benda dalam rumah ni yang boleh membuatkan Abang Aqil ingat pada Lily. Mulai hari ini, Abang Aqil hanya boleh cintakan Nysa seorang! Buang Lily dalam hidup Abang Aqil! Nysa isteri Abang Aqil yang sah! Nysa tak nak jadi tunggul dalam rumah Nysa sendiri! ” Aku menepis kasar tangan Aqil. Berusaha keras membawa Aqil kembali menemui cintanya yang lama disembunyikan di dasar hati hanya kerana sebuah kemarahan.
            “Nysa!!!” Aqil mengangkat tinggi tangannya.
            Aku menanti tangan itu sampai ke pipiku, bersedia menerima tamparan itu asalkan saja ia mampu membawa Aqil ke alam cintanya. Namun tangan yang penuh dengan rasa amarah itu tidak pula sampai ke pipiku.
            “Nysa dah melampau!” kata Aqil sebelum berlalu masuk ke dalam biliknya yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu. Pintu yang dihempas kuat, menggegar jantungku.
            Aku tertunduk di situ. Jika Aqil rasa hasratku untuk memberi nafas cinta yang lama dinanti dalam hidupnya itu adalah sesuatu yang melampau, maka aku tidak mampu berbuat apa-apa dan jika dia rasa keinginanku untuk kembali memulangkan bahagia dalam hatinya itu juga sesuatu yang melampau, maka biarlah aku terus kekal sebagai manusia yang melampau dalam ingatannya. Aku rela!
            “Maafkan Nysa... Nysa Cuma nak Abang Aqil bahagia” perlahan aku suarakan rasa hatiku.

RASA BERSALAH terus menghimpit jiwa. Aku sendiri tidak dapat menahan rasa itu, risau kalau-kalau Aqil tersiksa kerananya. Jadi aku putuskan untuk berterus terang, dan membuang rasa resah yang pastinya membunuh jiwa Aqil saat ini. Mana mungkin dia dapat melupakan Lily seperti mana yang aku pinta. Pasti itu satu bebanan yang terlalu berat untuk dikendung sendirian. Maka ada baiknya aku menghulurkan bantuan, menjelaskan keadaan sekaligus meringankan beban yang ada di hatinya. Rasanya sudah sampai saatnya aku membetulkan keadaan. Selagi semua tidak aku jelaskan, selagi itulah mataku enggan berehat. Jadi aku tetap perlu selesaikan semuanya saat ini juga.
            Pintu bilik Aqil aku ketuk berkali-kali. Aku yakin dia masih belum tidur. Adalah mustahil bagi dirinya untuk melelapkan mata setelah aku buang semua kenangannya bersama Lily. Jadi aku terus mengetuk pintu biliknya tanpa henti.
            “Abang Aqil, Nysa tahu Abang Aqil marah. Boleh tak bagi Nysa peluang jelaskan dan betulkan keadaan?”aku berterus terang di luar pintu biliknya dan seketika kemudian, pintu biliknya itu terbuka dengan sendirinya. Aku menolak daun pintu bilik Aqil. Dengan perlahan kakiku melangkah masuk ke dalam bilik itu. Aqil aku perhatikan kembali ke katilnya dan terus saja merebahkan dirinya di atas katil besar. Matanya dipejam rapat, seolah tidak berminat mendengar apa yang cuba aku perkatakan. Aku tahu dia marah!
            “Nysa minta maaf. Nysa tahu...Nysa salah. Tapi Nysa tak buat semua ni untuk Nysa. Nysa buat semua ni untuk kebaikkan Abang Aqil” aku yang hanya berdiri di penjuru katil terus meluahkan apa yang ingin aku perkatakan biarpun Aqil masih memejamkan matanya.
            “Nysa cuma nak Abang Aqil sedar yang Abang Aqil tak mampu cintakan orang lain selain Lily. Nysa tak nak Abang Aqil paksa hati Abang Aqil untuk buat sesuatu yang Abang Aqil tak mampu nak lakukan. Mustahil Nysa dapat buat Abang Aqil jatuh cinta pada Nysa. Kalaulah Nysa mampu lakukan semua tu, dah lama dah Abang Aqil jatuh hati pada Nysa dan Abang Aqil tak akan tolak Nysa masa di universiti dulu” aku tetap meneruskan kata. Sama ada Aqil dengar ataupun tidak, aku sudah tidak peduli. Yang aku mahu, hatiku kembali senang setelah meluahkan semuannya. “Nysa dah lama terima hakikat yang Nysa tak pernah ada dalam hidup Abang Aqil. Apa yang Nysa katakan tadi tu, semuanya semata-mata nak membuatkan Abang Aqil sedar hanya ada Lily dalam hati Abang Aqil. Nysa tak ada niat lain. Jadi Abang Aqil jangan risau, Abang Aqil boleh terus cintakan Lily dan Nysa takkan jadi penghalang, Nysa janji!” aku meneruskan kata bersama air mata yang mula bergenang. “Nysa tahu, mesti Abang Aqil rasa susah nak terima Nysa sebagai isteri. Jadi Nysa dah buat keputusan, Nysa dah fikir masak-masak. Sebelum Abang Aqil jumpa Lily semula, biarlah Nysa terus kekal sebagai adik dalam hidup Abang Aqil” Aqil membuka matanya dan bangun akhirnya apabila aku menyuarakan keputusanku untuk kekal bergelar adik pada dirinya. Pasti berita itu benar-benar menggembirakannya. Melihat reaksi positifnya itu, air mataku gugur sendiri. Aqil berjalan menghampiriku.
            “Kenapa pulalah Nysa menangis ni!” aku menyatakan itu sendiri sambil menampar pipiku perlahan. Malu menitiskan air jernih itu di hadapan Aqil
            “Nysa...” Aqil memegang tanganku, mengentikan tamparan tanganku yang bertubi-tubi mengena pipiku sendiri.
            “Abang...”
            “Abang Aqil jangan risau, Nysa yakin, semua ni untuk sementara aje. Abang Aqil tolonglah bertahan untuk satu tempoh masa lagi” belum sempat Aqil menghabiskan katanya, aku terlebih dahulu memintasnya. Untuk kali ini, biar aku seorang yang berbicara. “Nysa janji, Nysa tak akan ganggu hidup Abang Aqil, Nysa tak akan ambil masa Abang Aqil dan yang paling penting... Nysa tak akan menyusahkan Abang Aqil. Nysa akan berusaha untuk jadi adik yang baik! Nysa Janji!” aku menarik tanganku yang masih digengam oleh Aqil. Bersama-sama senyuman yang kulukis payah itu, aku mengangkat tangan seperti orang yang sedang berikrar. Semoga Aqil senang hati dengan semua penjelasanku itu. Mungkin itulah jalan terbaik. Terus kekal di hati Aqil sebagai adiknya, sama seperti di universiti dahulu. Pasti Aqil akan lebih selesa dan senang dengan keadaan itu. Yakin hatiku.
            Aqil memalingkan wajah sudahnya, dia bergerak meninggalkan aku dan menuju ke cermin tingkap utama tanpa sebarang kata. Aku yang tidak mahu ada lama di dalam biliknya itu segera melangkah keluar dari biliknya dan berjalan lemah menuju ke bilikku di tingkat atas. Pintu bilik aku tutup rapat sebaik saja masuk. Aku bersandar di pintu bilikku, cuba dan terus cuba untuk bertahan agar air mataku tidak lagi gugur. Namun aku hanya insan lemah yang hanya mampu mengalirkan air mata saat hati dilanda resah. Biarlah aku menangis sepuas-puasnya hari ini kerana hari esok dan seterusnya aku harus menjadi seorang adik ceria, yang bisa menggembirakan hati seorang abang. Semoga semuanya berjalan dengan lancar, doaku bersama linangan air mata yang tidak putus-putus.

          Bersambung...

2 comments:

Anonymous said...

Kenapalah tergamak Aqil buat Nisa macam tu? dah tahu tak boleh nak cintakan Nisa dan lupakan Lily kenapa tetap nak kahwin dengan Nisa. Menyeksa hati dan perasaan Nisa je~

Lia Amelia said...

betul tu , jahatnya Aqil

Post a Comment