22
Mataku masih bengkak. Wajah juga
sembab. Gara-gara tangisan yang mengiringi tidur malam semalam. Nampak begitu
ketara. Aku garu kepala, membuatkan tudung mejadi herot sedikit. Aku perlu
mencari jalan penyelesaian. Tidak mahu orang lain dapat meneka mengapa mataku
sebegitu rupa.
“Ana dah siap?”
Suara kak Dahlia berkumandang
bersama ketukan pintu. Bertambah resah aku jadinya. Hari ini aku akan menumpang
kak Dahlia ke tempat kerja. Kalau boleh,
aku juga tidak mahu kak Dahlia tahu.
“Ana...” suara kak Dahlia makin
kuat. Mungkin kerana tiada balasan.
“Dah kak. Sekejap!” aku balas juga.
“Akak tunggu kat luar ya.” Tambah
kak Dahlia.
“Okey.” Nampaknya aku sudah tidak punya jalan
lain. Selain terpaksa menebalkan muka dan bersedia dengan jawapan. Itu saja cara
yang ada.
Beg tangan aku capai. Tudung di
kepala aku perkemaskan kembali sebelum melangkah keluar dari bilik. Laju aku
berjalan. Tidak mahu kak Dahlia menunggu lama.
Kereta bergerak laju melalui jalan
raya yang mula sesak. Aku bersyukur. Sehingga ke saat ini, kak Dahlia tidak
bertanyakan tentang keadaanku. Itu bermakna kak Dahlia tidak perasan. Mungkin
orang-orang lain juga begitu. Lega sedikit hatiku.
“Ana masuk tidur pukul berapa
semalam?” kak Dahlia mematikan suara dari corong radio. Celoteh juruhebah radio
sudah tidak lagi kedengaran menghangatkan suasana pagi.
“Awal juga kak. Kenapa?” aku
bertanya lanjut. Untuk apa soalan itu diajukan padaku? Adakah aku terlupa
mematikan suis televisyen? Itu tidak mungkin. Aku sudah memastikannya semalam.
“Habis tu, kenapa mata bengkak?
Menangis sepanjang malam?”
Tertangkap juga aku akhirnya. Mudah
saja kak Dahlia meneka. Kurang satu minit, semuanya berjaya dijawab dengan
tepat. Aku hanya diam. Tidak mengangguk, mahupun menggeleng.
“Ana ada masalah, ke?” soal kak
Dahlia lagi.
“Masalah kecil aje, kak.” Perlahan
suaraku. Sekadar memenuhi ruang jawapan.
“Masalah kecilpun sampai bengkak
mata?”
“Ana ikutkan hati sangat kut...” aku
sendiri tidak yakin dengan jawapan yang aku berikan.
“Ana
jangan simpan masalah. Sementara kecil nilah, nak kena selesaikan. Bila dah
besar nanti, lagi payah dibuatnya.” Nasihat kak Dahlia. Matanya masih tekun
dengan pemanduan.
Aku diam lagi. Sudah tidak punya
kata untuk diluahkan. Tak mungkin kak Dahlia memahami kerana dia tidak berada
di tempatku.
“Nah, pakai ni.” Kak Dahlia
menyerahkan cermin mata hitam yang tadinya tergantung pada rantai manik di
cermin pandang belakang.
Aku hanya memandang cermin mata yang
dihulurkan. Pelik dengan pemberian itu.
“Pakailah, nanti tak adalah orang
nampak bengkak mata tu.”
Kini aku mula faham. Bibir menguntum
senyuman. “Terima kasih kak. Ana pinjam ya.”
Cermin mata hitam bertukar tangan. Selesai masalah.
NAMPAK
saja wajah encik Afdhal, kelam kabut aku memakai cermin mata hitam. Sebenarnya
berat untuk aku mengenakan cermin mata itu. Mana tidaknya, besar gedabak! Dah
macam cermin mata yang selalu artis-artis pakai masa keluar dari mahkamah. Tapi
aku tidak ada pilihan lain. Maka terpaksa juga aku menggunkannya. Aku pura-pura
tekun memerhati desktop. Padahal, kerja-kerja mengemaskini data sudah aku
selesaikan minggu lalu.
“Kau ni demam ke?” seperti biasa,
mejaku jadi singgahan pertamanya pada awal pagi begini.
“Demam apa pulanya bos?”
“Tuh, bercermin mata hitam bagai
dalam office ni, apahal?”
Aku dah agak, itu soalannya.
“Sajalah bos. Sekali sekala, nak juga bergaya.” Aku angkat kening. Tunjuk
lagak. Mengelak daripada membuka cerita sebenar.
“Bukalah. Tak senonoh aje aku
tengok. Macam baru lepas bercerai.” Arah encik Afdhal.
“Memang baru lepas kena ceraipun...”
jawabku perlahan.
“Apa kau cakap?” encik Afdhal
meminta kata-kata diulang.
Aku jadi gagap. Aduhai. Pandai
sangat menjawab. “Tak ada apalah bos.” Mustahil untuk aku mengualng kembali.
“Wah bos, patutlah bersemangat hari ni. Akhirnya dapat juga bos tackle cik Dahlia tu kan? Tak sangka
betul, saya.” Cepat-cepat aku alih perhatian. Isu cermin mata harus tamat di situ saja.
“Rancangan kau juga. Terima
kasihlah. Kau dah banyak tolong aku.”
“Alah bos, saya tolong setakat mampu
aje. Lagipun saya dah tak lama kat sini. Hujung bulan depan, saya dah habis
praktikal dah. Lepas tu, tak boleh dah nak tolong bos.” Aku alih pandangan pada
kelender meja. Tinggal beberapa hari sebelum hujung bulan. Selepas itu, hanya
tinggal kurang tiga puluh hari waktuku bersama semua di Arena Printing. Begitu
cepat masa berlalu.
“Bulan depan?”
“Eleh, bos. Buat akal terkejut pula.
Macamlah saya tak tahu, bos nak saya pergi cepat-cepatkan?”
Encik Afdhal tidak lagi mengeluarkan
kata. Terdiam sungguh dia. Bagai dipanah sesuatu. Lama dia begitu.
“Bos!” aku ketuk meja. Entah apa
yang sudah merasuk encik Afdhal sehingga begitu pula jadinya.
“Apa kata kau tak payah pergi
mana-mana. Kau terus kerja dengan aku kat sini. Nak?”
Kali ini aku pula yang terdiam.
Bekerja terus dengan Arena Printing? Itu satu rezeki. Cadangan yang baik.
Mungkin aku patut mempertimbangkannya. “Dulu bos juga yang tak suka saya kat
sini. Sibuk nak halau saya. Sekarang apa cerita ni?”
“Itu
dulu. Sekarang lain.” Cepat encik Afdhal membalas.
“Kalau
saya tak nak?” aku pura-pura menolak.
“Kau jangan nak mengada-ngada. Aku
kata kerja dengan aku, kau kerja ajelah.”
“Mana boleh paksa-paksa. Mana tahu
saya dapat offer lebih baik dari
sini.”
“Siapa offer kau? Berapa dia bayar? Aku boleh bayar dua kali ganda.” Encik
Afdhal nampak serius dengan kata-katanya.
Aku gelak kecil. Nak bayar aku dua
kali ganda konon. Bukan boleh percaya sangat cakap encik Afdhal ni. Silap
nanti, dia sendiri lupa apa yang dia kata.
“Kau nak kan?”
“Nantilah bos, biar saya fikir dulu.
Lagipun mak ayah saya jauh. Kesian pula kat dia orang.” Itulah hal pertama yang
perlu aku pertimbangan. Sudahlah kakakku merantau jauh. Takkan aku juga mahu
meninggalkan mereka. Rasa tak sampai hati dibuatnya.
“Habis tu, aku ni, kau tak kesian?”
encik Afdhal tarik muka.
“Buat apa nak kesian kat bos. Bos
kan dah ada cik Dahlia. Biar cik Dahlia ajelah yang kesian kat bos.” Aku ketawa
lagi.
“Kejamnya
kau ni!”
“Sekali-sekala kenalah kejam, bos.
Kalau saya terus kat sini, takut bos jatuh cinta kat saya pula. Tak pasal-pasal
bos pening kepala nak buat pilihan.” Yakin saja aku bersuara. Sengaja mengusik
encik Afdhal.
“Eh, tak ada mananya aku nak jatuh
cinta dengan kau.”
“Jangan takbur bos. Nanti karang...”
jari telunjuk aku angkat, memberi amaran.
“Dahlah, layan kau ni, boleh gila
aku jadinya.” Encik Afdhal sudah berpaling mahu meninggalkan aku.
Aku senyum lebar. Sebab sudah
memenangi lawan kata hari ini. dua kali gila encik Afdhal pagi ni. Dia meluru
laju pergi.
“Encik Afdhal!” aku laung namanya.
Membuatkan langkahnya terhenti, dan memberikan sedikit perhatian padaku.
“Jangan jatuh cinta kat saya, tau!”
“Blah lah kau, Gomez!” marah encik Afdhal.
Kali ini aku sudah ketawa besar. Tak
henti. Senak perut dibuatnya. Encik Afdhal... Encik Afdhal... senang saja nak
buat dia kalah. Memang kelakar!
Keluar saja encik Afdhal dari Arena
Printing, abang Joe pula melangkah masuk bersama plastik merah berisi polistren
makanan. Aku dah boleh agak makanan itu untuk siapa. Siapa lagi kalau bukan
kawan baiknya sendiri. Sanggup betul abang Joe melayan kerenah encik Afdhal.
Menyediakan makan minum encik Afdhal setiap hari. Entah jasa apa yang telah
encik Afdhal taburkan sehingga abang Joe sanggup melakukan itu semua.
Selepas berbual seketika dengan
abang Jamal di mejanya. Abang Joe singgah pula ke mejaku.
“Apa kes Afdhal tu, Ana?”
Soalan pertama singgah di telinga.
“Kes apa abang Joe?” aku tak faham maksud abang Joe.
“Membebel sendiri. Abang tegur nak
bagi makanan dia ni pun dia buat tak tahu aje.” Abang Joe bercerita.
“Encik Afdhal membebel apa?” aku
bertanya.
“Abang Joe pun tak sure, tapi yang abang dengar, dia ada
sebut jangan jatuh cinta. Apa benda lagi tah. Jatuh cinta dengan siapa?”
“Entah, Ana pun tak tahu.” Aku
pura-pura tak mengerti. Padahal akulah punca encik Afdhal mereng pagi-pagi
begini.
“Kalau macam tu, tak apalah. Abang
Joe naik dulu. Lepas lunch nanti
abang Joe bagi Ana tugas baru. Sementara ni, Ana buatlaah apa-apa yang patut.”
“Okey, abang Joe. Tapi sebelum tu,
Ana nak tanya sikit ni.” Aku sudah bersedia dengan apa yang ingin aku tahu.
“Apa dia?”
“Siapa sebenarnya penyelia Ana dekat
sini? Abang Joe ke, encik Afdhal?” aku bertanya.
“Kenapa pula?”
“Dua minggu lagi, pensyarah Ana nak
datang, pantau Ana. Jadi pensyarah Ana nak jumpa dengan penyelia Ana kat sini.”
Aku berterus terang. Encik Kamarul Amin bukan calang-calang pensyarah. Melihat
wajahnya saja sudah membuatkan pelajar nakal bertukar watak, menjadi sopan.
Kiranya aku bernasib malang kerana dia merupakan penilai untuk subjek
praktikalku. Enam jam kredit pula tu. Kalau ada apa-apa, habislah aku.
“Ana nak siapa jadi penyelia Ana?”
soal abang Joe.
“Abang Joelah.” Pantas aku menjawab.
Tidak perlu aku fikirkan lagi. Tidak ada yang lebih layak melainkan abang Joe.
“Okaylah. Kalau macam tu, nanti bawa
pensyarah Ana jumpa abang Joelah.”
“Thanks
abang Joe.” Sakan aku gembira.
“Apasal pakai cermin mata hitam ni?”
abang Joe juga bertanya.
Mestilah. Perkara pelik begitu,
pasti semua orangpun nak tahu.
“Sakit mata.” Aku berselindung.
“Owh. Okeylah. Abang Joe naik dulu.”
Derap kaki abang Joe sudah membawa
abang Joe menaiki tangga ke tingkat atas. Senang sikit rasa hati. Abang Joe
merupakan penilaiku di sini. Kini teringat pula borang penilaian yang perlu
diisi oleh majikan selepas tamat latihan industri. Borang itu telah dikembalikan
oleh encik Afdhal padaku semasa hari kedua aku di sini. Pasti borang itu belum
diisi. Aku perlu serahkan pada abang Joe esok. Aku mengingatkan diri sendiri.
PUAS
aku pujuk kak Dahlia. Namun dia nampak keberatan mahu bersetuju dengan
cadanganku. Aku rasa, hanya ini peluang terbaik untuk melatih encik Afdhal
hidup dalam masyarakat. Sudahlah rancanganku gagal tempoh hari. Bolehkan pula
encik Afdhal cakap yang dia terlupa langsung untuk berjumpa dengan wakil TF
Trading selepas melihat wajah kak Dahlia. Geram betul aku!
“Alah kak, bolehlah...” aku masih
merayu. Tidak berputus asa.
“Okaylah... okeylah. Akak setuju.
Tapi ada satu syarat.”
“Apa dia kak? Akak cakap aje.” aku
tidak pasti syarat yang bakal dikemukakan, tapi aku tahu, aku perlu bersetuju
dengan syarat itu.
“Ana kena ikut sama. Takkan akak
seorang aje.”
“Itu aje syaratnya?” aku minta
kepastian. Dan kak Dahlia mengangguk.
“Orait.
Setuju. Senang aje tu. Esok malam okey?” aku minta masa.
“Boleh!” kata persetujuan dicapai.
Kini kami kembali menyambung
tontonan siaran televisyen. Aku yakin, encik Afdhal pasti melompat tinggi
mendengarnya nanti. Tak sabar pula nak jumpa encik Afdhal!
DARI
tadi encik Afdhal tidak ditemui. Aku sendiri buntu nak cari dekat ceruk mana
lagi. semua tempat tidak ada. Jangan katakan orang lain, abang Joe sendiri tak
tahu dimana kedudukan encik Afdhal.
Penat mencari, aku kembali ke tempat
duduk. Nampaknya masih belum berpeluang untuk menyampaikan pelawaan kak Dahlia.
Masa aku ada bawa berita gembira macam ni pulalah, dia nak hilang.
Hampir pukul enam petang, wajah
encik Afdhal masih tidak kelihatan. Membuatkan aku bertambah risau. Mana pula
dia menghilangkan diri? sudahlah telefon bimbitpun tak ada. Nampak seperti
rancangan ini juga sedang menuju kegagalan. Itu aku tidak kisahkan sangat. Aku
boleh tunda rancangan yang sudah ada. Tapi sekarang di mana encik Afdhal? Itu
lebih mengusutkan jiwa.
Aku masih terus menunggu walaupun
waktu bekerja sudah tamat. Aku boleh terus pulang kalau aku mahu. Namun hati
tidak mengizinkan. Selagi tak nampak muka encik Afdhal, selagi itulah aku rasa
tidak sedap badan.
“Ana tak balik lagi.” tegur abang
Joe sambil kaki terus menuruni anak tangga.
“Belum.” Ringkas aku membalas.
“Kenapa tak balik lagi?”
“Nak habiskan kerja yang abang Joe
bagi ni lagi sikit.” Alasan aku berikan.
“Esokkan ada hari lagi. Pergilah
balik.” arah abang Joe.
“Tak apalah abang Joe. Sikit aje
lagi ni ha.” Aku enggan.
“Pergi balik. Abang nak kunci office dah ni.”
Terpaksa juga aku akur dengan arahan
abang Joe. Takkan nak berkurung dalam pejabat semata-mata menunggu encik
Afdhal. Lantak dialah. Dia dah besar. Mesti dia pandai jaga diri. Aku sedapkan
hati sendiri. Komputer aku matikan. Aku kemas meja yang sedikit berselerak
sebelum berangkat pulang.
“Hah, Afdhal. Muncul juga kau. Mana
kau pergi?”
Secara automatiknya aku berhenti
mengemas. Pandangan kini hanya tertumpu pada encik Afdhal yang nampak tidak
terurus. Rambutnya kusut masai. Teguran abang Joe tidak dihiraukan, sebaliknya
encik Afdhal terus ke mejanya, mengambil drawing
block dari bawa meja dan melakar sesuatu.
Sudah agak lama aku tidak melihat
kejadian seumpama itu. Wajahnya nampak tertekan sekali. Aku hanya memandang
tanpa henti. Aku yakin ada benda yang telah berlaku. Sesuatu yang tidak
disukainya. Tapi apa?
“Aku balik dululah, nanti kau kunci office.” Abang Joe terus berbicara
walaupun kata-katanya tidak dilayan oleh encik Afdhal. “Abang Joe balik dulu,
Ana. Jumpa esok.”
Aku mengangguk pada abang Joe.
Menghantar kepulangannya dengan senyuman. Sejurus abang Joe keluar, pandanganku
kembali lagi menatap encik Afdhal. Patutkah aku bertanya yang telah terjadi? Walaupun aku sudah terbiasa
dengannya, tapi kali ini aku dapat rasa perbezaanya. Ada rasa takut menemani
jiwa.
Makin laju lakaran yang dibuat.
Seperti tekanannya sedang bertambah. Sampai satu tahap, encik Afdhal mencampak
terus drawing block jauh dari mejanya bersama satu jeritan pendek.
Tersentak aku dibuatnya. Wajahnya sudah disembamkan ke meja. Tangannya tidak
henti menarik-narik rambutnya. Aku tak patut duduk diam lagi.
Perlahan-lahan langkak aku buka.
Bukan menuju ke meja encik Afdhal, tetapi kaki membawa aku terus ke arah drawing blok yang dicampakkan tadi. Aku tunduk, mengambil drawing blok yang terbuka luas. Aku
tidak faham apa-apa kerana yang ada hanyalah lakaran yang tidak dapat aku
pastikan maknanya. Lebih kepada contengan melepaskan rasa marah yang terpendam.
Apa yang perlu aku buat sekarang?
Ligat fikiran mencari jalan. Tidak mahu silap langkah. Kalau aku serbu dengan
pertanyaan, takut pula encik Afdhal naik hantu. Makin bertambah buruk keadaan.
Jadi aku harus fikirkan idea yang boleh membuatkan emosi perasaannya beralih
dengan tiba-tiba. Tapi bagaimana? Itu yang menjadi persoalan.
Aku memandang sebatang pen yang
tadinya dicampak bersama drawing block.
Mungkin cara ini boleh digunakan. Aku yakinkan diri lalu mencapai terus pen
yang berwarna merah. Tangan aku luruskan. Cuba fokus pada sasaran. Harap
mengena.
Yes!
Hati menjerit apabila balingan yang kuat itu tepat pada sasaran. Encik Afdhal
membunyikan kesakitan apabila pen tadi mengena kepalanya.
“Sorry
bos, sorry... sorry... tak
sengaja.” Aku mohon maaf.
Encik Afdhal angkat wajah. Berkerut
dahinya memandang ke arahku. Tanganya mengusap bahagian kepala yang terkena pen
tadi. Aku buat-buat senyum kelat. Rasa macam dah berjaya. Apapun, aku perlu
pastikan terlebih dahulu.
“Sorry
bos. Entah siapa buang pen merata-rata ni. Saya nak baling, buang dalam tong
sampah. Tak sangka kena bos pula.” Aku jelaskan sesuatu yang tidak berlaku.
“Sakitlah. Suka hati kau aje nak
baling-baling barang.” Marah encik Afdhal.
“Sorrylah bos...”
“Banyaklah
kau punya sorry. Bila masa kau
sampai?”
Soalan
itu menyebabkan otakku seakan tersekat. “Bila sampai?” aku tidak tahu bagaimana
manu menjawab soalan itu. Dari tadi aku di sini. Tidakkah dia melihatnya? “Baru
aje bos.” Aku ikutkan ajelah. “Bos buat apa kat sini? Tak balik ke bumbung ke?”
“Balik
ke bumbung? Amboi, sedap kau punya ayat. Suka hati akulah. Yang kau tu apasal
tak balik lagi?”
“Dah
balik dah tadi, bos. Beg tangan tertinggal pula. Tu yang saya patah balik ni.”
aku tunjukkan beg tangan yang elok terletak di atas meja dengan jari telunjuk.
Menampakkan betapa logiknya alasanku berada di situ, waktu-waktu begini. “Bos
pergi mana? Sehari tak nampak?”
“Adalah.”
Ringkas jawapan encik Afdhal.
“Ceritalah
bos...”
“Apasal
pula aku kena bagi tahu kau?” encik Afdhal enggan memberitahu.
Kalau
aku guna cara halus, itulah yang akan terjadi. Aku takkan berjaya mengetahui
apa yang berlaku pada dirinya. Harus ada cara lain. “Kalau bos tak nak cerita,
sayapun tak nak bagi tahu pesanan cik Dahlia untuk bos.” Aku tunjuk lagak. Juga
jual mahal untuk terus berbicara andai dia enggan memberitahu.
“Dahlia
pesan apa?” encik Afdhal cuak mendengar nama kak Dahlia dibawa sama dalam
perbualan kami.
“Malaslah
nak bagi tahu bos. Bos pergilah tanya kak Dahlia sendiri.” Aku tekad.
“Kau
ni. Iyalah. Aku bagi tahu. Aku jumpa pak Mahat.”
“Pak
Mahat? Siapa pak Mahat?”
“Tak
payah ceritalah. Kau bukan kenalpun.”
“Bos
kenalkanlah.”
“Eh,
degil pula budak perempuan ni.” Encik Afdhal tidak mahu bercerita lanjut.
“Pak
Mahat tu cerita apa sampai bos tention
sangat ni?” aku tanya lagi. Tidak ada istilah putus asa dalam membantu.
“Bila
masa pula aku tention? Aku elok aje
duduk kat meja aku tadi. Kau tu yang tak pasal-pasal baling pensil kena kepala
aku.”
“Alah,
jangan tipulah bos. Ingat saya tak nampak ke tadi, bos...”
“Apa
yang kau nampak?” encik Afdhal memotong kata. “Kau nampak apa? cakaplah!”
“Er..
saya nampak...” aku tak tahu mahu jujur atau apa.
“Nampak
apa?” gertak encik Afdhal.
“Nampak
bos happy aje. Sebab cik Dahlia nak
belanja makan ke?” aku pusing ayat. Kalau silap cakap karang...
“Dahlia
nak belanja aku makan?” terkejut pula encik Afdhal.
“Ha’ahlah.
Sebab tu saya cari bos dari pagi tadi. Nak bagi tahu pasal hal nilah.” Fuh...
lega...
“Bila?”
“Malam
ni, lepas maghrib.”
“Dekat
mana?”
“Kedai
mamak belakang office ni.”
Encik
Afdhal tidak lagi bertanya. Dia termenung sendiri. Tangannya memeluk tubuh.
Seakan memikirkan sesuatu. Aku tahu dia keberatan untuk berada di khalayak
ramai. Dia tidak suka. Paling pantang baginya.
“Aku..”
“Bos
jangan nak buat hal. Penat dah saya atur ni. Kalau bos tak datang, siap bos!” aku
bagi amaran keras sebelum aku pergi. Aku tak boleh lama di situ. Takut
mendengar kata tidak setuju dari mulut encik Afdhal. Lebih baik berlalu cepat.
“Wei...”
Jeritan
encik Afdhal tidak aku hiraukan. Aku berjalan keluar dari Arena Printing, dan
menuju ke Butik kecantikan milik kak Dahlia. Nampaknya kami hanya akan pulang
ke rumah setelah makan malam bersama encik Afdhal.
Bersambung...
Kata AH :
Alhamdulillah selesai sudah JJC 22. Insya'ALLAH kalau bkesempatan esok, AH akan masukkan pula entry JJC yang TERAKHIR. Hampir separuh perjalanan anda semua bersama JJC. Maaf atas kekurangan yang ada. Doakan yg terbaik utk JJC ya. Terima kasih semua!
3 comments:
Makin saspen ni..
Esok huraikan lah sikit pasal Ana dan Naim...
Kaihan kat Ana asyik nak bagi org happy diri sendiri yg merana...
aduhaiiiii... takut wooo... x pe next en3 plz..
taip laju2 k
Post a Comment