21
Talian telefon aku matikan.
Termenung aku sendiri. Mak lang mempelawa aku datang ke rumahnya esok. Aku
dijemput untuk makan tengah hari bersama mak lang sekeluarga. Aku rasa itu
sekadar alasan. Hatiku kecilku kuat mengatakan ada sesuatu yang ingin mak lang
sampaikan. Cumanya, aku tidak tahu
apakah ia?
Ada juga aku bertanyakan perihal
abang Naim. Tapi mak lang tidak menjawab. Sebaliknya mak lang lekas menukar
cerita. Jadi aku sudah dapat mengagak keaadaan abang Naim. Kenapalah semuanya
menjadi serumit ini? apakah masih punya cara untuk membaiki keadaan? Aku
sendiri tidak dapat menjawabnya.
Lamunan yang panjang terhenti juga.
Telefon aku letakkan di atas katil. Aku mahu mencari kak Dahlia. Mengetahui
cerita yang ingin dikongsikan denganku tadi. Aku berjalan keluar. Berharap kak
Dahlia sudah pulang.
Pintu bilik kak Dahlia sedikit
terbuka. Menampakkan cahaya yang membias. Aku intai dari luar. Kak Dahlia
sedang baring sambil memegang bingkai gambar. Aku senyum. Pasti gambar
tunangnya. Dugaku sendiri.
Pintu aku ketuk, bersama huluran
salam. Kemudian kepala aku jengahkan, bertanya apakah aku boleh masuk ke dalam
biliknya? Kak Dahlia bingkas bangun. Dia segera meletakkan bingkai gambar di
bawah bantal. Lantas membenarkan aku masuk.
“Dah lama kak Dahlia balik?” aku
berjalan menghampiri katil. Kemudian duduk di situ, menghadap kak Dahlia.
“Baru juga. Tak sempat mandipun
lagi.” kak Dahlia senyum.
Ya, kak Dahlia masih memakai baju
yang sama. Skirt merah paras lutut
dan kemeja putih, berenda ringkas.
“Kak Dahlia nak mandi ke, kalau
macam tu Ana keluar dululah.” Aku sudah bersedia untuk bangun. Memberi ruang
pada kak Dahlia untuk menguruskan diri terlebih dahulu.
“Eh, tak apalah, Ana. Akak belum nak
mandi lagi. Duduklah.” Kak Dahlia menarik tanganku.
Aku kembali duduk. “Kak Dahlia
tengok gambar siapa tadi? Gambar tunang akak ke?” soalku memulakan kata sebelum
bercerita tujuan asal aku berjumpa dengannya.
Kak Dahlia mengangguk. Itu bermakna,
tekaanku tadi amat tepat. Bagaimana rupa orangnya? Pasti kacak. Teringin pula
melihat gambarnya. “Boleh Ana tengok gambar tunang kak Dahlia?” aku buat
permintaan.
Permintaaku itu membuatkan kak
Dahlia mendiamkan diri. Dia nampak berat mahu menunaikan kemahuanku.
“Bolehlah, kak Dahlia... mana tahu
Anapun kenal orangnya.” Aku rayu sekali lagi. kalau kak Dahlia masih enggan,
aku tidak akan meminta lagi. kak Dahlia punya hak untuk tidak menunaikannya.
“Insya’Allah, satu hari nanti akak
akan tunjukkan pada Ana.” Kak Dahlia kuat memegang keputusannya.
Aku akur. Nampaknya aku tidak dapat
melihat gambar tunang kak Dahlia. Bingkai gambar berwarna putih terus tersorok
di bawah bantal. Jadi ada baiknya aku meneruskan saja misiku yang sebenar.
“Kak
Dahlia, sebenarnya...” berat pula mulut mahu bertanya. Sementara kak Dahlia
pula, menunggu aku menghabiskan bicara.
“Sebenarnya
Ana nak tahu, apa yang kak Dahlia nak ceritakan kat Ana masa kita jumpa tengah
hari tadi?” berjaya juga aku menghabiskannya.
“Oh
pasal tadi tu? Macam ni ceritanya, Ana...” kak Dahlia nampak teruja.
Aku
pasang telinga. Mahu mendengar dengan teliti kisah yang bakal diceritakan.
Melihat keterujaan kak Dahlia, pasti ia kisah yang menarik untuk didengar.
“Nyaris
akak nak kena ragut pagi tadi.” Cerita bermula.
“Ragut?”
aku terkejut. Ingatkan kisah pasal encik Afdhal.
“Ha’ah.”
Ringkas balasan kak Dahlia.
“Kak
Dahlia okey tak? Apa yang dia ragut? Dah buat report?” soalku bertubui-tubi. Semua soalan itu memerlukan jawapan.
“Dia
nak ragut beg tangan dengan gelang kat tangan akak ni.”
Aku
memerhati gelang emas yang terletak cantik pada pergelangan tangan kak Dahlia.
Melihat gelang yang ada, aku yakin peragut itu tidak berjaya melaksanakan
misinya.
“Guest what? Siapa yang tolong akak?
“Siapa?” aku ingin tahu. Minda sudah
menayangkan wajah encik Afdhal. Namun hati menolak. Tak mungkin dia!
Kak Dahlia diam. Namun diamnya
beserta dengan sebuah senyuman. “Pesakit kita.” Ringkas jawapan dari kak
Dahlia.
“Pesakit kita?” aku pening. Apa
maksud kak Dahlia? Tapi beberapa saat kemudian, aku sudah dapat mengagak.
“Maksud kak Dahlia... Encik Afdhal?”
Kak Dahlia mengangguk. Membenarkan
kata-kataku. Lidahku jadi kelu. Tidak terluah sebarang kata. Encik Afdhal
selamatkan kak Dahlia? Jadi... aku mula memikir kata-kata encik Afdhal semasa
aku bersemuka dengannya di atas bumbung bangunan. Semuanya sudah mula aku faham
kini. Pastinya encik Afdhal menganggap aku yang mengaturkan rancangan meragut
kak Dahlia. Patutlah berderai air mata bagai... rupa-rupanya dapat berkhidmat
untuk kekasih hati!
“Akak syukur sangat. Gelang ni
satu-satunya benda yang paling akak sayang dalam hidup akak.” Dahlia menyentuh
gelang yang dipakainya.
“Hadiah dari tunang kak Dahlia?”
Kak Dahlia mengangguk lagi. “I love him so much. Apapun jadi, akak
takkan buka gelang ni sampai bila-bila.”
Aku senyum nipis. Sungguh kak Dahlia
dalam bahagia. Dia begitu mencintai tunangnya. Semoga kak Dahlia kekal bahagia.
“Tapikan, Ana...”
Aku kembali tekun mendengar. Ada
lagi yang mahu diceritakan. Aku ingatkan kisah sudah tamat.
“Encik Afdhal tu, tak nampak macam
sakit pun?” Kak Dahlia ragu.
“Maksud akak?” aku kurang jelas.
“Iyalah. Akak tengok dari gaya dia
selamatkan akak. Semua tu buat akak fikir balik apa yang Ana dah ceritakan kat
akak hari tu. Dia nampak normal aje, Ana.” Jelas kak Dahlia panjang lebar.
“Kadang-kadang aje macam tu kak.
Tapi kalau dengan kak Dahlia dia boleh lupakan dunia gila dia, kira baguslah kak. Saya rasa, saya dah minta
tolong pada orang yang tepat.” Balasku dengan hati yang senang.
“Akak yakin dia lelaki yang baik.”
“Saya setuju.” Aku memberikan
sokongan.
“Insya’ALLAH akak akan usaha untuk
bantu dia.” Semangat kak Dahlia kian membara.
“Malaysia boleh, kak!” aku marakkan
lagi api yang bernyala dalam jiwa kak Dahlia. Sungguh berhikmah kejadian tadi.
Kini kak Dahlia nampak bergitu serius mahu membantu encik Afdhal.
“Kalau
macam tu saya balik bilik dululah kak.” Aku minta diri. tidak mahu mengganggu
kak Dahlia terlalu lama.
“Iyalah. Terima kasih sudi dengar
cerita akak.”
“No
problem.” Langkah sudah mula aku atur untuk keluar.
“Ana...” kak Dahlia memanggil.
Aku menoleh. Tidak jadi melangkah
keluar.
“Akak rasa, Ana tak payahlah lagi
sediakan daily note untuk akak tulis pada encik Afdhal. Biar akak yang fikirkan
sendiri. Akak nak tulis apa yang rasa baik untuk dia. Tanda terima kasih akak
atas pertolongan dia.”
Tercenggang aku dibuatnya mendengar
permintaan kak Dahlia. Betulkah apa yang aku dengar? Sepatutnya aku senang dengan
permintaan itu. Aku tidak perlu lagi serabut memikirkan kata-kata untuk encik
Afdhal. Tapi kenapa aku tidak berasa lega. Yang ada cuma rasa sukar untuk
bernafas?
DARI
tadi aku mundar-mandir dalam bilik. Sehingga kini, tidak ada sebarang keputusan
berjaya dibuat. Sepatutnya aku sudah bersiap-siap. Dua jam saja lagi jam akan
menunjukkan pukul 12 tengah hari. Patutkah aku memenuhi undangan mak lang? Itu
yang aku fikirkan.
Umi mencadangkan supaya aku memberi
muka. Melupakan hal yang lalu dan datang ke rumah mak lang seperti biasa. Itu
saranan umi ketika pendapatnya aku minta awal pagi tadi. Kalau nak diikutkan,
aku memang mahu pergi. Aku mahu lihat sendiri keadaan abang Naim. Sihatkah dia?
Tapi hati sangat berat. Entah kenapa?
“Betul cakap umi. Aku kena pergi!”
keputusan akhirnya tercipta.
SUDAH
lima minit aku berdiri di hadapan rumah mak lang. Tangan berat mahu menekan
loceng, memaklumkan ketibaanku. Kereta pak lang dan abang Naim, elok terletak
di perkarangan rumah. Namun kereta abang Naim lebih banyak mencuri tumpuan.
Apakah agaknya reaksi abang Naim melihat ketibaanku hari ini?
Baju kurung pahang bertonakan warna
merah jambu aku betulkan. Tudung di kepala juga diperkemas. Jari sudah menekan
loceng. Menunggu pagar dibuka. Kelibat mak lang muncul dari ruang yang
memisahkan jarak dua kereta. Tersenyum mak lang. Salam aku beri.
Mak lang membuka pagar. Kami
bersalaman dan berpelukan sebelum aku di bawa masuk ke dalam. Kencang jantungku
berdegup.
“Pak lang, sihat?” tanyaku pada pak
lang yang terus saja berdiri menyambut kedatanganku.
“Alhamdulillah. Ana?”
“Alhamdulillah.” Aku juga menjawab
yang sama.
“Duduklah dulu, Ana. Mak lang ke
dapur sekejap.”
“Eh, tak apalah. Biar Ana tolong mak
lang.” Aku berniat membantu.
“Janganlah macam tu. Anakan tetamu. Mana
boleh buat kerja.” Mak lang tidak mengizinkan.
“Mak lang janganlah anggap Ana macam
tetamu. Anakan dah macam anak mak lang.” Aku berkias. Mengharap statusku
sebagai tetamu terhapus dalam rumah itu.
“Iyalah. Jom tolong mak lang.” Mak
Lang mengalah akhirnya.
Aku meletakkan beg tangan di atas
sofa, kemudia meluru ke dapur bersama mak lang. Membantu apa-apa yang patut.
“ANA
tolong bawa pinggan ke depan.” Beberapa biji pinggan Corelle mak lang hulurkan.
Pinggan bermotif bunga ringkas itu
aku pegang kuat. Tidak mahu terlepas. Senyum aku melihat pinggan pada tangan
sambil berjalan keluar dari dapur. Pinggan aku atur di atas meja. Hanya ada
empat biji pinggan. Bermakna, tidak ada tetamu lain daripadaku. Kerja menyusun aku teruskan sehinggalah abang Naim muncul.
Tangan tidak dapat bergerak, meneruskan kerja.
Abang Naim turut sama membalas
pandangan. Namun, pandangannya tidak lama. Dia mengalihkan anak matanya segera.
Lari daripada terus melihatku. Lalu abang Naim membawa langkah ke dapur. Pasti
mencari ibunya.
Rinduku pada lelaki itu hilang
sebaik melihat wajahnya. Namun, rasa kecewa tetap sama. Masih bersarang tebal. Kerja
menyusun pinggan yang tadinya terhenti aku teruskan kembali. Setelah selesai,
aku kembali ke dapur.
“Ana buat apa kat sini?”
Aku mengundur langkah sebaik
mendengar pertanyaan abang Naim pada mak lang. Kaki tidak lagi bergerak. Hanya
telinga yang tekun bekerja.
“Mak ajak dia makan tengah hari
dengan kita. Rindu pula kat dia. Kenapa? Naim tak suka ke, Ana datang rumah
kita?”
Menanti jawapan abang Naim menambah
debar pada hatiku.
“Ayah mana?”
Abang Naim tidak menjawab soalan mak
lang. Sengaja dia mengubah cerita. Bertanyakan tentang ayahnya. Padahal,
sewaktu dia turun tadi, ayahnya ada duduk di ruang tamu membaca akhbar. Tapi
tidak mengapa. Itu lebih melegakan hatiku daripada aku terpaksa mendengar
jawapan yang menyiksa jiwa.
“Ada apa-apa lagi mak lang?” aku
masuk ke dapur juga. Tidak lagi berdiri di balik dinding dan mencuri dengar
perbualan mereka anak beranak.
“Tinggal angkat lauk tu aje Ana.”
Mak lang menunjukkan lauk kari kepala ikan yang sudah siap dihidang di dalam
mangkuk.
Terus saja aku mendapatkan mangkuk
lauk. Tidak langsung memandang abang Naim. Hati sedang diamuk kecewa.
SELESAI
makan, aku minta diri seketika. Mahu menunaikan solat zuhur. Mak lang menyuruh
aku menggunakan bilik yang dahulunya kepunyaanku. Aku menganguk kemudian terus
bergerak, menaiki anak tangga.
Belumpun sebulan aku tinggalkan
rumah itu, namun rasa rindu pada bilikku membuatkan langkah kaki laju mendaki
tangga. Tombol pintu aku pulas, lalu meloloskan diri, masuk ke dalamnya.
Pandangan mata terus mencari balang
kaca yang aku tinggalkan. Balangnya masih ada di tempat yang sama. Seakan tidak
ada sesiapa yang mengalihkan. Tapi aku yakin balang itu kini sudah punya tuan
yang baru.
Tangan menyeluk ke dalam balang.
Gula-gula lolipop yang ada aku keluarkan. Bagaimana gula-gula itu boleh ada di
dalamnya? Mustahil! Aku sudah bawa kesemua lolipop milikku tempoh hari.
Bagaimana boleh ada yang tinggal? Tidak masuk akal. Melainkan ada yang
meletakkan lolipop itu ke dalamnya.
Aku kira bilangan lolipop yan sudah
aku keluarkan. Ada 13 batang kesemuanya. Sejenak aku memikirkan. Kalau mengikut
perkiraan, sudah 13 hari juga aku meninggalkan rumah pak lang. Apakah? Hati
sudah mula melompat tinggi memikirkan andaian minda. Lolipop aku kembali masukkan ke dalam balang. Takut hati
terlalu gembira dengan sesuatu yan aku sendiri tidak dapat pastikan
kebenarannya. Lebih baik aku segera menunaikan solat kerana aku mahu cepat-cepat
pulang.
PAK
LANG duduk di sofa utama. Manakala aku duduk di sebelah mak lang. Berhadapan
dengan abang Naim. Televisyen yang tadinya terbuka, kini sudah dimatikan
suisnya. Senario itu sudah cukup untuk menggambarkan bahawa ada perkara penting
bakal dibicarakan.
Aku menunggu dengan penuh debar.
Harap ia tidak punya kaitan dengan aku. tapi kalau aku tidak ada kena mengena,
mengapa pula aku turut di bawa sama dalam pertemuan itu?
“Pak lang dengan mak lang ajak Ana
datang rumah kami hari ini sebenarnya bersebab.”
Pak lang sudah menjawab persoalan
yang sering menjadi pertanyaan sejak aku menerima undangan. Aku sudah mengagak.
Pasti ada sesuatu. Ternyata aku benar.
“Pak lang rasa tak senang hati dengan
keadaan kita sekarang. Dah tak macam dulu. Pak lang rasa bersalah pada abah dan
umi, Ana.” Pak lang mula bercerita. Kemudian matanya tertumpu pada anak
lelakinya pula. “Naim. Ayah dengan mak dah berbincang. Kalau kamu betul-betul
sukakan Ana, nak kahwin dengan Ana, ayah dengan mak dah tak kisah. Ayah dengan
mak boleh pergi putuskan pertunangkan kamu dan satukan kamu dengan Ana.”
Aku terkejut mendengar kata-kata pak
lang. Laju anak mata mencari wajah abang Naim. Dia juga begitu. Besar matanya
memandang kedua orang tuanya silih berganti. Suasana jadi sunyi. Jantung sudah bergerak
rancak. Menendang aliran nafas yang tadinya mengalir lancar. Sungguh aku tak
sangka!
“Apa yang ayah dengan mak cakap ni?”
giliran abang Naim bersuara.
“Mak dengan ayah tak nak tanggung
rasa bersalah seumur hidup. Naim berhak pilih teman hidup Naim sendiri.” Mak
lang menjawab.
Aku saja yang mendiamkan diri. Dan
sekarang, rasa tidak selesa sudah menggeletek. Membuat dudukku tidak lagi
tenang. Perasaan bercampur baur. Sukar untuk dijelaskan.
“Apa keputusan Naim?” pak lang
bertanya.
Abang Naim tidak menjawab. Nampak
sukar baginya untuk membuat keputusan.
“Mak dengan ayah putuskan
pertunangan Naim dulu. Lepas tu kami pergi meminang Ana. Naim setuju kan?” Mak
lang mencadangkan. Namun ia kelihatan seperti sebuah pujukan atas sebuah
rajuk.
“Tak. Naim tak setuju!” lantang
suara abang Naim. Tersentak semua yang ada.
“Naim tak nak apa-apa perubahan. Semua dah berlaku, dah tak boleh nak
patah balik. Cuma Naim harap emak dengan ayah dapat percepatkan perkahwinan
Naim.”
Pandangan abang Naim hanya padaku
walaupun kata-kata itu ditujukan pada ibu bapanya. Aku faham maksud abang Naim.
Aku dapat rasa. Marahnya tidak pernah reda. Kini dia seolah-olah sedang
memulangkan paku buah keras padaku. Aku tidak sanggup untuk terus ada di situ.
Terang-terang aku ditolak.
“Mak lang, pak lang, Ana minta diri
dulu ya. Dah petang sangat ni. Takut lambat pula sampai rumah.” Aku cuba
berlagak tenang. Penuh kekuatan menahan hati. Selesai mencium tangan mak lang,
aku terus bergerak ke muka pintu yang tidak bertutup. Tempatku bukan di sini.
“Ana...”
Panggilan mak lang hanya sempat aku
balas dengan senyuman paksa. Mahu mereka lihat aku tidak apa-apa. Lebih-lebih
lagi abang Naim. Ya, aku kecewa kerana aku bukan lagi pilihannya. Tapi aku
lebih sengsara mendengar khabar perkahwinannya yang pastinya akan berlangsung
dalam masa terdekat.
Bersambung...
Kata AH:
Assalamualaikum. Selamat Hari Raya kepada semua rakan2 pembaca. AH susun 10 jari memohon maaf andai ada kesalahan, kekurangan dan khilaf kata pada semua. Selamat membaca entry 21 dgn gembira. Jumpa next entry beberapa hari lagi.
16 comments:
Nice n3 Adah! Mmg curious nak tau criter pasal Ana, Naim & Afdhal. Kalau boleh, biar criter ni jadik more complicated...barulah ada thrill! Keep up the good work Adah!
Thx Adah... sian Ana. Cepat sungguh Mak Lang berubah keputusan tapi dah terlewat. Hati Ana lagi hancur dengar bicara Naim. Tak perlulah Ana berharap lagi. Tinggalkan segalanya....
Saya sedih pabila berada di keadaan Ana... Golek sana golek sini.... pedihnya dia yg tanggung sendiri akibat kekhilafan Mak Lang..
akhirnye ada n3 bru..dh lma tertunggu2. xsabar nk tgu next n3
Adakah Dahlia tu sebenarnya tunang Naim?
Best lah... Lepas ni Ana tak payah lah nak terindu2 lagi kat abg Naim. Padan muka maklang dan paklang...
Mesti dahlia tunang naim :D
At the end ana dgn mr psycho ^_^
adah.. rasa nak nangis baca entry ni.. sampainya hati naim.. tak suka le ana dgn mr psycho tu.. scary..
ngee...geramnya akak ngan naim...menyampah..(emo la pulak) nasib baik akak suka ana ngan afdhal....thanks sbab dah ada n3 baru...nak lg...akak pun rasa yang dahlia tunang naim???
...Dg.Siti..
alah..nape naim buat mcm tu, saya pernah rasa sakitnya bila tdk menjadi pilihan keluarga lelaki..sbb tu taknak ana jadi mcm tu.
adah, saya nak ana dgn naim jugak...huhu cedihnye
-chah husain-
hehehe..rasana mesti ana ngan naim..afdhal ngan dahlia...
tp betul kata Anon.sakitkan hati bila kita bukan jadi pilihan org tua kawan lelaki kita..
Nk ana dgn naim
Suka ana dgn Naim..
biarlah Afdhal dgn Dahlia.. sebab Afdhal suka sangat kt Dahlia... dan Naim dan Ana saling sayang menyangi....
Haih... Geram dgn maklang n paklang... X fikir pasal anak sebum buat keputusan tu.. Last2 sendiri Susah.
Salam
if we follow the previous novel by adah, at the end of the story ana will be happily forever with Naim but ......yang gerammmmm kena terdera perasaan dululah c ana nie, but actually l'm a little bit confused, actually who should be the hero, coz both have dominant character here, but l prefer Naim not Afdhal. Naim mmg sesuai jd contoh typical malay man yang ego dan kebiasaannya gagal mengaplikasikan perasaan & emosi kepada orang yg di sayang.
cik adah, kasilah jugak Naim terdera perasaan sampaikan dia yang terkejar -kejar c ana nie, hish cuakss giler dgn ego lelaki. hah apalagi ajar c Naim nie He he he
best...
Suka suka suka..........
Yanshi
Post a Comment