17
Abang Naim masih begitu. Enggan
bercakap dan memandang padaku setiap kali kami bertemu. Aku sendiri buntu cara.
Bagaimana caranya untuk pulihkan keadaan? Aku turut tersiksa dengan status
barunya. Bukan aku tak rasa. Malah hampir saban malam aku menangis sendiri.
Tiada siapa yang tahu. Jauh di sudut hati, aku masih mengharapkan jodoh
denganya. Walaupun aku tahu sebenarnya aku hanya memberi harapan palsu pada
diriku sendiri.
Aku juga yakin pak lang dan mak lang
perasaan tentangnya. Tiada lagi senda gurau abang Naim untukku. Tiada lagi
gelak tawa ketika kami berkumpul bersama. Dan kini aku mula rasa seperti orang
asing dalam rumah itu.
“Ambilkan untuk abang Naim.” Mak
lang menghulurkan piring yang berisi ayam goreng.
Pantas tanganku capai ayam goreng
yang mak lang hulurkan. Aku ambil seketul. Belah peha, bahagian yang paling
disukai abang Naim. Terus aku letak ke dalam pinggan abang Naim. Mungkin inilah
masa untuk berbaik.
Abang Naim memandangku. Lalu aku
senyum. Aku mahu dia baca mataku. Aku mahukan abang Naimku yang dahulu. Namun
pandangan abang Naim hanya seketika. Laju dia memegang ayam yang aku letakkan
dalam pinggannya. Ayam itu diletakkan semula ke dalam piring, kembali bersama
ketulan ayam yang lain.
Hatiku nanar. Sebak dan hiba.
Terpaksa aku bangun kerana tidak kuat untuk terus berada di situ. Air mata
sudah hampir gugur. Aku angkat pingan untuk dibawa ke dapur. Panggilan daripada
mak lang dan pak lang tidak dapat aku hiraukan. Aku tidak mahu mereka melihat
aku menangis.
Air mata gugur juga akhirnya. Tidak
dapat aku bendung walau sudah puas aku mencuba. Kenapa abang Naim menghukum aku
begini? Sampai bila abang Naim mahu membuang aku terus daripada hidupnya? Semua
soalan itu tidak punya jawapan. Aku tidak mampu mencipta jawapannya walau untuk
sebaris ayat.
Selesai mencuci pinggan, aku terus
naik ke bilik. Ruang terasa kian sempit dalam rumah yang besar kawasannya. Aku
duduk di atas katil. Mata memandang balang kaca yang ditugaskan untuk menyimpan
lilopop pemberian abang Naim. Sudah
mencecah setengah balang. Kini balang itu tidak akan menerima kunjungan
lolipop yang lain lagi. Apa yang patut aku buat dengan lolipop itu? Hendak
dibuang, rasa sayang. Tidak mungkin! Lolipop itu akan kekal bersama walau apa
jua keadaannya.
PAGI
ini hujan turun dengan sangat lebat. Rahmat mengambil tempat di bumi.
Menyuburkan hidupan dan tanah yang gersang. Kalau pak lang ada, tentu pak lang
akan menghantar aku ke stesyen lrt. Tapi pak lang punya urusan di luar.
Awal-awal pagi lagi pak lang sudah keluar. Jadi bagaimana aku mahu ke stesyen
lrt?
“Naim, tumpangkan Ana, ya.” Arah mak
lang sebaik abang Naim turun dari tangga.
Aku hanya diam. Mahukah abang Naim
menumpangkan aku? abang Naim meneguk cawan yang berisi air kopi buatan mak
lang. Arahan ibunya tidak bersambut. Sesudah minum, abang Naim duduk di atas
sofa, memakai sarung kaki.
Aku masih berdiri di muka pintu.
Bukan menanti abang Naim, tetapi menunggu hujan berhenti. Jika tidak berhenti
sekalipun, setidak-tidaknya hujan dapat reda sedikit. Bolehlah aku gunakan
payung dan berjalan seperti biasa ke stesyen lrt. Itu tiada masalah bagiku.
Abang Naim masih tidak bercakap
walau sepatah. Tangan ibunya dicium sebelum dia melangkah keluar. Tanpa
sebarang kata, dia melintasi aku. Sudah dapat aku mengagak perkara itu. Aku
juga tidak berharap dia sudi menumpangkan aku. Aku sedar diri!
Pintu keretanya sudah bertutup
rapat. Enjin juga sudah dihidupkan. Tunggu masa untuk bergerak, dan
meninggalkan rumah. Aku pura-pura mencari barang dari dalam beg tangan. Tidak mahu
berkecil hati melihat pemergiannya begitu saja tanpa menghiraukan aku.
Bunyi hon kereta membuatkan mataku
pantas memandang ke luar. Pintu kereta tempat duduk penumpang hadapan terbuka
dengan tiba-tiba. Adakah abang Naim mahu menumpangkan aku? aku tertanya-tanya
sendiri. Masih memikirkan adakah ia mimpi atau benar? Bunyi hon sekali lagi
kedengaran. Menyakinkan aku bahawa pintu itu memang dibuka untukku.
“Mak lang, Ana pergi dulu.” Aku
salam mak lang. Kemudian terus saja aku keluar menuju ke kereta abang Naim.
Dengan senang hati aku mengambil tempat duduk. Pintu aku tutup. Tali pinggang
keledar aku tarik.
Hujan lebat sedikit sebanyak
mengganggu penglihatan. Wiper
bergerak laju. Kami dua-dua mendiamkan diri. Aku rasa, aku perlu memulakan.
Abang Naim sudah membuka jalan dengan menumpangkan diriku. Maka aku harus
mengalah, terlebih dahulu berbicara.
“Tadi Ana tengok abang Naim minum
kopi aje. Abang Naim tak lapar ke?” soalku dengan hati yang berat.
Abang Naim diam. Dia menumpukan
perhatian penuh pada pemanduaannya.
“Banyak tak kes yang abang Naim kena
handle sekarang?” aku soal lagi.
Masih tiada jawapan. Aku diam
seketika sebelum bertanya lagi. “Abang Naim dah tak nak bercakap dengan Ana,
ke?” aku mengharap ada jawapan yang dapat aku dengar kali ini.
Tapi hampa. Abang Naim tidak
menjawabnya. Malah abang Naim terus memasang radio dengan kuat. Kalau aku masih
berkata-kata, pasti abang Naim tidak dapat lagi mendengar suaraku. Dan aku
yakin bahawa, abang Naim sengaja melakukan begitu.
Terus aku tutu rapat bibirku. Enggan
bersuara lagi. Perang dingin antara aku dan abang Naim nampaknya akan terus
berlarutan walaupun sudah aku berusaha mengadakan rundingan damai. Aku pasrah!
SEMUA
pekerja lelaki sudah keluar lebih awal daripada biasa. Hari jumaat begini,
memang itu menjadi rutin. Mereka mahu menunaikan kewajipan kepada Maha Esa.
Pencipta langit, bumi dan segala isinya.
Biasanya waktu rehat panjang begini
aku hanya akan duduk di ruang solat. Tidur seketika. Tapi hari ini aku tidak
dapat lakukan begitu kerana sejak semalam lagi aku duduk menumpang di tingkat
atas. Ruangan bawah ditutup sementara waktu bagi kerja-kerja pengubahsuaian. Entah
apa yang hendak diubah lagi? Duduk sekadar memandang mesin-mesin pencetak
memang membosankan. Hendak keluar berjalan-jalan, rasa malas pula.
“Ah, naik roof top lah!” aku membuat keputusan. Lagipun cuaca hari ini redup
selepas hujan turun awal pagi tadi. Lebih baik mengambil angin di sana. Bingkas
aku bangun untuk bergerak.
Sewaktu aku melitasi rumah kecil
encik Afdhal, pintunya tertutup rapat. Aku senyum gembira. Pasti dia tidak ada.
Sejak semalam encik Afdhal tidak kelihatan. Pergi menyambut kepulangan emak dan
ayahnya di airport agaknya. Hatiku
ketawa. Terasa jahat pula! Jadi buat
sementara waktu, kawasan atas bumbung ini, aku yang punya.
Aku duduk di atas sebuah tin biskut
kosong. Dari sini aku dapat lihat permandangan
yang berlatarkan bangunan bertingkat. Padat kelihatan. Beberapa bangunan
tinggi juga ada tersergam. Sebuah bandar raya yang sibuk. Tidak seperti
Keningau. Rindu pula pada tempat aku membesar.
“Hoi!”
“Allahuakhbar.” Aku terkejut. Terjatuh
dari tin biskut. Mataku pantas menangkap suara yang membuat onar. Encik Afdhal
sedang ketawa gembira melihat aku yang kini terjelepuk di atas lantai simen
yang kasar.
Perlahan aku bangun sambil tajam
memandang encik Afdhal. Tin biskut aku betulkan semula. Lalu kembali duduk di
atasnya.
“Kau cari apa kat sini?” kini encik
Afdhal pula duduk. Tidak beralaskan apa-apa. Bersila dia di bawah, menghadap
wajahku.
“Tak cari apa. tengok-tengok
permandangan aje.” Kalau ikutkan hati, memang malas aku mahu menjawab. Tapi
disebabkan aku sudah menceroboh kawasannya, jadi aku terpaksa.
“Ingatkan kau cari aku.” encik
Afdhal senyum.
“Pada saya cari encik Afdhal, baik
saya cari duit poket. Boleh juga cover
duit teksi hari tu.” Aku lepaskan kata. Bunyi macam mengungkit. Hilang sudah
pahalaku. Aduhai...
Encik Afdhal ketawa kecil. Dia
nampak gembira hari ini. apa yang seronok sangat, aku pun tak tahu. Suka hati
dapat memeranjatkan aku tadi agaknya. Kalau boleh, aku mahu angkat kaki
sekarang juga. Saat berdua dengan encik Afdhal, memang otakku terpaksa bekerja
keras. Memikir apa yang perlu dikatakan, dan apa yang patut dibualkan? Ah,
cakap ajelah apa-apapun. Apa nak fikir-fikir sangat. Otak mencadangkan. Aku lihat
jam di tangan. Sudah pukul 1.15. Inilah masanya untuk bertanya.
“Bos, tanya sikit boleh?”
“Apa?”
“Agak-agaknya, bos takut ular tak?”
“Ular?” buntang mata encik Afdhal.
“Kecil ke, besar?” soal encik Afdhal.
“Besarlah. Cuba bos bayangkan. Mata
ular tu aje dah macam api. Kuku dia kalau bos nak tahu, punyalah panjang...
setiap satu kuku dia, panjang lebih kurang setengah hari perjalanan tau.”
Beriya-iya aku bercerita. Penuh intonasi serta gerak gaya.
Dahi encik Afdhal berkerut. Seperti tidak
percaya. “Ada ke, ular macam tu?”
“Mestilah ada. Ingat saya tipu ke?
Bos takut tak?” aku ulang soalan awal.
“Kalau dah macam tu, siapa yang tak
takut? Spesis ular apa tu?”
Aku senyum sebelum menjawab
pertanyaan yang sedang bersarang di minda encik Afdhal. “Itulah ular yang akan
kerjakan bos nanti.”
“Eh, apasal aku pula?” cuak wajah
encik Afdhal.
“Sebab bos tak solat. Siaplah bos
dalam kubur. Ular tu siap bawa pemukul besi tau. Sekali dia hentak bos, tujuh
puluh hasta bos terbenam dalam tanah. Jangan main-main.” Dengan semangat aku
bercerita. Niatku tiada lain, hanya menyampaikan sesuatu yang mungkin encik
Afdhal tak tahu. Mungkin pendekatanku salah, tapi aku harap encik Afdhal faham
maksud murniku.
Encik Afdhal diam. Hilang terus
kegembiraan yang tadi terpancar pada wajahnya. Tapi aku tidak patut berhenti di
sini. Setelah aku mulakan, aku harus sudahkan hingga akhir.
“Kenapa bos tak solat?” antara
perkara yang aku ingin nak tahu. Ya, mungkin dia tidak waras. Tapi tidak
sepenuhnya. Ada waktu dia kelihatan elok saja. Dan mungkin, kalau dia tidak
meninggalkan tuntutan wajib itu, penyakit yang ada dalam dirinya berjaya
disembuhkan.
“Buat apa aku nak solat?” lama
barulah ada jawapan dari encik Afdhal.
“Kenapa pula bos tak nak solat?”
sungguh aku tidak mengerti.
“Aku ni, dah confirm masuk neraka. Nak solat buat apa lagi?”
Aku beristigfar panjang dalam hati
mendengar luahan encik Afdhal. Aku pula yang terdiam kini. Kenapa encik Afdhal
boleh terfikir sampai begitu sekali? Meletakkan dirinya di dalam kelompok yang
dimurkai ALLAH di hari akhirat nanti.
“Tak baik encik Afdhal cakap macam
tu...” sayu aku suarakan rasa hati.
“Tak baik apa pula, memang itu
kenyataan. Cuba kau fikir. Emak dengan ayah akupun tak maafkan aku, jadi macam
mana tuhan nak maafkan aku?” ada takungan air dalam tubir mata encik Afdhal.
“Apa yang encik Afdhal dah buat?”
dengan berat aku bertanya, walaupun aku tahu tak mungkin encik Afdhal akan
membuka cerita.
“Aku tak tahu... aku dah tak sanggup
nak tanggung semua ni. Semua orang tak boleh tolong aku. Kenapa tuhan tak nak
ambil nyawa aku?” Encik Afdhal tunduk. Suaranya serak menahan tangis. Tangannya
pula diramas kuat. Berlaga antara satu sama lain.
Melihat keadaan encik Afdhal, aku
jadi tak tentu arah. Apa aku nak buat? Aku sendiri sebak. Kalaulah aku tahu apa
yang terjadi pada encik Afdhal, pasti lebih mudah untuk aku membantu. Bagaimana
baru aku dapat tahu semuanya? Siapa yang boleh bercerita? Aku mahu tahu!
Benar-benar ingin tahu!
“Encik Afdhal, er... saya belanja
encik Afdhal makan lolipop nak? Jom?” aku tidak tahu cara untuk memujuk. Jadi
aku gunakan teknik yang biasanya abang Naim gunakan ketika memujuk aku. Semoga
berhasil.
Encik Afdhal angkat muka. Membuatkan
aku boleh berasa sedikit lega. Titisan air jerinh yang kelihatan mengalir di
pipi, segera encik Afdhal hapuskan. Ada senyuman kecil terbit di bibirnya.
“Lolipop? Kau ingat aku kekasih
kesayangan kau tu ke? Tak nak! Kau suka minum air apa?” encik Afdhal angkat
keningnya.
“Milo ais.”
“Okey. Aku nak air milo ais.” Encik
Afdhal buat permintaan.
Laju saja aku bangun untuk memenuhi
permintaan encik Afdhal. Itu lebih baik daripada membiarkan encik Afdhal
tenggelam dalam emosinya yang mudah hilang graviti kestabilannya. “Okey, bos
tunggu sini diam-diam!” segera aku melangkah.
“Woi.” Jerkah encik Afdhal.
Aku berpaling, menoleh.
“Ikat tepi tau!” pesan encik Afdhal.
Aku senyum sambil tunjukkan ibu
jari. Tanda mengerti. Perjalanan menuju ke kedai mamak aku teruskan. Tapi
sebelum tu, aku perlu ambil dompetku dahulu.
Selesai urusan jual beli, aku
kembali ke atas bumbung lagi. Encik Afdhal masih di situ, menungguku. Dapat
minum free, siapa yang tak mahu?
Terbang lagi duit aku.
“Nah. Milo ais siap.” Aku hulurkan
milo ais yang begitu menyelerakan.
Encik Afdhal ambil. Plastik jernih
yang berisi air berwarna coklat itu dibelek berkali-kali. “Tak naklah air ni.
Tak ada selera pula. Kau belikan aku air nescafe lah. Aku tak suka milo.”
“Tadi...”
“Cepatlah, aku haus ni.” Encik
Afdhal memotong kata.
Mahu atau tidak, aku terpaksa juga
pergi. “Iyalah, nak pergilah ni.” Kini langkahku lemah. Tidak ada semangat
lagi.
“Gomez...”
Aku menoleh. Rasanya aku tahu apa
yang ingin disampaikan oleh encik Afdhal. “Ikat tepikan?” terlebih dahulu aku berbicara
sebelum encik Afdhal membuat pesanan.
“Ha’ah. Pandaipun kau. Dah pergi
cepat.”
Mujurlah aku penyebab kepada tragedi
air mata encik Afdhal sebentar tadi. Kalau tidak, tak kuasa aku nak layan.
Hampir lima belas minit kemudian,
aku membawa seplastik nescafe ais. Aku harap, tiada lagi lain-lain permintaan
selepas ini. Aku sudah penat berjalan. Nampaknya encik Afdhal sudah mengambil
alih tempat dudukku. Itu tidak mengapa kerana aku juga sudah bercadang untuk
turun selepas menyerahkan air nescafe.
“Nah.”
“Sampai pun. Ingatkan kau lari.” Air
yang dihulurkan, segera disambut oleh encik Afdhal.
Aku masam muka. Suka sangat berburuk
sangka padaku. Setelah plastik air berpindah tangan, aku berpusing, mahu turun.
Tidak mahu lagi terus berada di situ.
“Ha, nak pergi mana pula tu?
“Nak turunlah encik Afdhal. Sejuklah
kat atas ni.”
“Habiskan milo ni dulu.”
Aku pandang air milo yang tadinya
penuh. Kata tak suka milo? Kenapa pula sudah tinggal separuh plastik? Sekarang
nak suruh aku habiskan pula. Takkan aku nak kongsi minuman dengan dia? Aku
sudah kembang tekak.
“Tak apalah, encik Afdhal. Saya tak
haus.” Aku menolak dengan cara baik.
“Minumlah, jangan membazir.” Pandai
pula encik Afdhal menasihatkan. Plastik air milo sudah dihulurkan.
Aku ambil juga sudahnya. Dengan
niat, aku akan buang bila turun nanti. “Saya turun dulu encik Afdhal.” Aku
minta diri.
“Minum dulu sampai habis baru kau
boleh turun.” Ada syarat yang dikenakan sebelum aku dibenarkan turun..
Aku diam. Mencari jalan untuk
mengelak.
“Apasal kau tak nak minum?” encik
Afdhal kelihatan serius.
“Bukan tak nak. Saya jaga
keselamatan. Bos kena faham, saya ni perempuan. Manalah tahu bos letak apa-apa
dalam milo ni.” Aku rasa alasan itu yang paling sesuai digunak pakai.
Encik Afdhal merampas plastik milo
dari tanganku. Air di dalam plastik itu berkocak, membuatkan ia tertumpah
sedikit. Air milo disedut sehingga tinggal suku plastik. “Nah, minum.” Encik
Afdhal serahkan kembali air itu setelah dia berjaya menafikan tuduhanku dengan
bukti yang jelas nyata. Aku ambil air
itu dengan terpaksa.
“Sebenarnya kau geli nak minum bekas
aku kan?”
Patutkah aku mengangguk? Memang itu
yang aku rasa.
“Kalau kau geli tak payahlah minum.
Aku saja nak test kau. Aku ingatkan
kau lain. Rupanya kau pun pandang aku sama macam orang lain pandang aku.” Kecewa
nada yang encik Afdhal tuturkan. “Kalau lelaki tu yang bagi, mesti kau minum
kan?”
Aku rasa bersalah. Terdiam. Aku tahu
encik Afdhal maksudkan abang Naim. Benarkah aku begitu? Aku tidak berniat. Cuma
aku juga manusia biasa, yang punya rasa. Encik Afdhal orang asing bagiku.
Pastinya aku rasa sebegitu. Nampaknya encik Afdhal sudah salah sangka. Aku
perlu buat sesuatu. Tidak mahu dia melihat aku sama seperti orang lain di luar
sana. Aku tidak berniat. Aku perlu cari jalan.
“Eh, eh... cik Dahlia buat apa atas
tu?” aku arahkan tangan pada bumbung bangunan sebelah.
Encik Afdhal memusingkan kepalanya, memandang
ke arah yang aku tunjukkan. Saat itu juga aku pantas menarik keluar penyedut
minuman. Aku terbalikkannya, dan kembali memasukkannya ke dalam plastik.
Kemudian aku sedut air milo. Minum tanpa memikirkan apa-apa lagi.
“Kau ti...” kata-kata encik Afdhal
hanya mati di situ.
“Saya tak macam orang lain.” Kataku
sebaik penyedut minuman aku lepaskan dari bibir. Plastik yang mula kosong aku
angkat untuk ditunjukkan padanya.
Senyuman encik Afdhal kelihatan
kini. Sebuah senyuman yang lebar. Encik Afdhal tunduk bersama senyumannya.
Tidak ubah seperti seorang gadis yang malu saat dilamar. Aku pula menanti. Apa
pula bakal jadi selepas ini.
Encik Afdhal bangun dari duduk.
“Lain kali aku belanja kau pula. Kekalkan prestasi kau.” Bicara encik Afdhal
sebelum dia pergi membawa senyumannya yang tak henti-henti.
Aku termanggu. Kekalkan prestasi? Kata-kata
itu kedengaran seperti pesanan daripada iklan minyak pelincir kenderaan. Namun tanda
sedar, aku juga senyum kerana pesanan itu.
SMS
yang aku terima daripada Fina begitu memeningkan kepala. Lain yang aku tanya,
lain pula yang dijawabnya. Mesej yang bercampur antara nombor, abjad dan
gambar. Apa maksud Fina? Sekali lagi aku tatap. Cuba meneliti.
“Bintang, D, satu, B, empat, U,
bintang, empat, hati.” Satu persatu aku sebut. Tiada yang tertinggal. “Apa
bendanya ni?” memang aku fail kalau
bab mentafsir. Kertas putih yang aku
ambil dari tempat encik Afdhal dulupun masih tidak dapat aku rungkaikan.
Lagilah pula, pendek saja nota yang tertulis.
Aku tak
fhmlah. Kau ckp bhs apa ni?
Aku hantar pesanan pada Fina. Memang
aku tak faham. Aku cuma bertanya pendapatnya tentang hubungan aku dan abang
Naim. Aku harapkan kata peransang daripadanya, tapi lain pula yang dikirimkan
oleh Fina. Seketika kemudian, jawapan balas daripada Fina aku terima.
Takkan
kau x fhm? Perlahan betullah otak kau!
Dah kau
guna bhs planet, mahunya otak aku tak jd perlahan?
Hahaha...
carilah sendiri.
Kemudian aku balas.
Ni yg
aku malas. Lain kali aku x nk cerita apa2 kat kau!
Kali ini aku balas dalam bentuk
ugutan. Sementara menunggu jawapan Fina, aku meletakkan kepala di atas bantal.
Sedapnya dapat baring atas katil. Bunyi mesej masuk membuatkan mataku yang baru
saja pejam kembali terbuka.
Dah
pandai mengugut nampak?
Bukan
ugut. Aku ckp betul-betul ni!
Oklah
aku bg tahu. Senang aje. Kau baca laju2 dlm bhs Inggeris. Mesti kau dapat!
Terus aku mencari mesej tadi. Aku
baca kuat. “Bintang? Oh, Star D one B four U star D four heart.” Aku diam
sekejap. Macam tak kena aje.
Star D
one B four U star D four heart, ke?
Aku tanya Fina. Meminta kepastian.
Fina balas.
Aduhai,
kwn aku sorang ni. Star D Firts B 4 U Star D Four Love LAH!. @ bhs betulnya...
Study first before you study for love. FAHAM!!!
Aku mengangguk walaupun Fina tidak
dapat melihat. Kini aku faham. Tak sangka begitu cara membacanya.
Thanks,
Fina
Welcome.
Dahlah aku nak tidur. Mengantuk. Da...
Nite.
Aku mengakhiri. Sekali lagi aku baca
mesej yang Fina bagi. Aku senyum gembira. Fina.. Fina... dia dengan abang
palsunya sama saja. Suka bermain dengan perkataan. Dan tiba-tiba aku terfikir.
Mungkinkah dengan cara yang sama aku akan dapat mengetahui maksud nota encik
Afdhal dulu?
Tanpa berlengah, aku turun katil.
Berjalan mendapatkan kertas putih yang masih aku simpan hingga ke hari ini.
Kamus bahasa Inggeris aku tarik dari tempatnya. Aku simpan kertas putih itu di
dalam kamus yang sama. Ya, masih ada. Aku keluarkan, lalu membuka lipatannya.
“1 M kosong empat kosong.” Otakku
cuba membuat terjemahan. “One m zero four zero.” Aku rasa yang betul hanya
terjemahan nombor empat. Yang lain semuanya salah. “first m zero... eh! First
m, zero for zero.” Aku cuba lagi. Masih aku rasa salah. Sungguh aku tak pandai.
Baik aku tanya Fina.
Fina,
tolong aku translate maksud 1M040
Dengan debar aku tunggu jawapan
balas daripada Fina. Satu minit, dua minit, lima minit. Fina masih belum
menjawab. Takkan dah tidur? Cepatnya terlelap. Dengan gelisah aku tetap
menunggu. Mahu saja aku telefon Fina. Tapi tak sampai hati pula. Takut Fina
memang dah tidur. Jadi aku redha. Esok pasti aku dapat jawapannya.
Aku letak telefon bimbitku di atas
meja dan berjalan ke katilku semula setelah suiz lampu aku tutup. Hampa. Kenapa
dari tadi aku langsung tak terfikir? Kalau tak, mesti aku dah tahu maksudnya.
Aku baring. Selimut aku tarik. Mata aku pejam rapat sambil mulut kumat kamit
membaca doa tidur.
Telefon
bimbitku berbunyi saat aku sudah hampir dengan lena. Terus aku terjun dari
katil, berlari mendapatkan telefon bimbitku. Tentu daripada Fina. Telefon
bimbit aku capai. Memang Fina. Dalam gelap aku baca mesej balas Fina.
Mungkin...
Im nothing for Nothing.
Im
nothing for nothing? Kali ini aku rasa Fina betul. Itukah yang encik Afdhal rasa sebenarnya? Kenapa setiap kali ada
yang aku tahu tentang encik Afdhal, semuanya mengundang sayu di hatiku? Encik
Afdha! Entah apa kisah sebenar yang dilindungkannya?
Bersambung...
Kata AH :
Assalamualaikum. Terima kasih krn membaca JJC 17 hingga titik akhir. Tiada yg dpt AH zahirkan selain drpd ucapan terima kasih buat semua rakan yang menyokong karya AH, walaupun karya AH tidaklah sebaik mana. Tanpa semua AH tidak akan kemana2 dan karya AH mungkin sepi tanpa cerita. Semperna Bulan mulia ini, AH ambil kesempatan utk mengucapkan SALAM RAMADHAN buat semua. AH mohon maaf atas segala kesalahan, kesilapan mahupun khilaf yg pernah AH layangkan pada semua. Semoga bulan ini menjadikan kita umat yang kuat dan hamba yang taat. Salam Ramadhan. Selamat melipatgandakan pahala. AH juga bercadang untuk merehatkan JJC semperna bulan ramadhan ini. Harap semua pembaca tidak keberatan. Bolehkan?
12 comments:
aduhai.. kecian abag naim.. mesti terseksa dia, saya suka ana dengan abang naim la cik AH..
yes...kaka pun suka ana ngan naim... rasa mcm kejam plak mak lang buat mcm tuh...mesti terseksa bangat abg naim bila terpaksa buat tak layan kat ana...padahal dlm hati tuhan je yg tahu siksanya menanggung prasaan sayang n rindu kat ana...
cerita yg makin menarik..
Kasihan Ana dan Abang Naim kan... rasanya x patutlah Abang Naim buat Ana macam tu... kan sama-sama terseksa... mak lang dan pak lang x rasa besalah ke melihat keadaan anak mereka yg dah x happy ja... boleh ke Abang Naim bahagia kalau kahwin dgn pilihan mak lang... cuba mak lang fikir...
en Afdha rasanya ada hati kt Ana tu... hanya Ana ja yg dapat ubah en Afdha tu.... Insyallah.....
Akak suka ana ngan en.afdha...hehe tentu banyak cabarannya nak pulihkn en afdha tapi akak tetap suka..tak sabar nak baca bab seterusnya
..Dg.Siti
makin lama makin best.. ternanti-nanti entry baru..
memang layan watak psyco afdhal nie..
walaupun naim hensem n sweet..
rasanya afdhal lebihhh lagi.. kihkih..
yg lain jgn marah tau... :)
tak sabar nak tahu apa sebenarnya yng berlaku kat afdhan..kesian plak kat dia..-___-
AH thank you for n3 nie. skrg dah x sabar nak tunggu next n3. banyak betul rahsia En Afdhal yg belum diketahui....jeng3x
AH..kalu boleh jgnlah rehatkan next n3 JJC nie :(
readers pun tersiksa jugak AH
nk ana dgn naim...buleh ke?
Ana patut cari rumah lain utk jauhkan diri dari dr Naim...biar mak lang terasa yg dia telah lupakan 2 hati. Klu mereka masih ada dlm sebuah rumah makin terseksa mereka menanggung perasaan. Sy masih harap Ana & Naim bersama. Bengang sebenarnya dgn keluarga mak lang yg x sedar @ buat tak faham perubahan Ana & Naim...
Afdal pun dlm kekurengan dia tu mungkin tlh jatuh hati pada Ana tanpa sedar...tp x sesuai kot Ana dan Afdal tu....Jangan Ana Jatuh Cinta sudah kat Afdal tu.....
Suka dgn watak Afdal yg pelik sbb lain dari watak2 dlm criter Adah before this. Ana & Naim maybe sepadan tapi kadang2 cinta tu datang dlm keadaan yg kita langsung x expect...so kalau Ana jatuh cinta pada Afdal pun rasanya x salah...
AH janganlan rehatkan terus sebulan JJC ni, rindu sgtlah
-chah husain-
Post a Comment