14
Perjalanan sunyi sepi. Aku
mendiamkan diri. Begitu juga dengan abang Naim. Kereta yang dipandu oleh abang
Naim laju melintasi jalan raya. Trafik tidak sesesak mana. Waktu bekerja belum
lagi tamat untuk orang ramai pulang menggunakan jalan raya yang sama.
Aku tak tahu ke mana aku akan
dibawa. Namun bibirku juga berat untuk bertanyakan hal itu. Jantung daripada
tadi bedetuk-detak. Rasa seperti ada yang tidak kena. Kenapa dengan abang Naim
hari ini? apa yang penting sangat sehingga tidak sempat untuk dia menunggu aku
pulang?
“Abang Naim nak bawa Ana ke mana?”
akhinya aku luahkan. Tak sanggup terus tertanya-tanya sendiri.
Abang Naim tidak menjawab. Dia tetap tidak
mahu bersuara. Nampaknya ada sesuatu yang sedang mengganggu jiwanya. Aku tidak
pernah melihat abang Naim berkelakuan begitu. Dia yang aku kenal, sentiasa
tenang menghadapi sebarang kemungkinan. Tapi saat ini, apa yang telah terjadi
pada abang Naim?
Signal untuk ke kiri kerata abang Naim
bernyala. Aku toleh kearah yang sama. Tidak nampak mana-mana simpang yang boleh
diselusuri. Abang Naim memberhentikan kerana di bahu jalan. Lampu kecemasan
dinyalakan. Aku hanya mampu memerhati tindak tanduk abang Naim tanpa sebarang
kata.
“Abang ada benda nak tanya dengan
Ana. Abang nak Ana jawab dengan jujur.”
Wajah abang Naim aku pandang sepi.
Kemudian aku alihkan pandangan pada bibirnya. Apakah yang bakal dipersoal oleh
bibir itu?
“Ana tahu tak kenapa umi dengan ayah
Ana datang KL hari tu?”
Aku tidak terkejut dengan soalan yang abang
Naim berikan. Aku pernah mendengar soalan yang sama keluar dari mulutnya tempoh
hari. Cuma pada waktu itu, aku agak samar dengan keadaannya. Kini aku sudah
jelas. Ianya dalam pengetahuanku. “Tahu.” Aku balas setelah mendiamkan diri
agak lama.
“Kenapa?” lagi soalan daripada abang
Naim.
“Pasal pertunangan abang Naimkan?”
aku maklumkan.
“Ana tahu abang Nak bertunang dengan
siapa?”
Aku menggeleng. Aku tidak tahu siapakah
wanita bertuah yang ditakdirkan untuk bersama Abang Naim. “Siapa?” tanyaku
kembali.
“Adalah... yang pasti, bukan Ana!”
Pedih hati mendengar jawapan yang
diperdengarkan. Lalu aku buang pandangan keluar tingkap. Abang Naim tak patut
membabitkan aku, kerana aku tahu, bukan aku orangnya. Sudah lama aku tahu!
“Ana marah?” abang Naim bertanya
lagi.
“Tak ada sebab Ana nak marah.”
Jawabku pantas. Aku tidak mahu abang Naim membaca gelora di hati.
“Sekarang ni, abang nak Ana terus
terang dengan abang. Ana suka abang, tak?”
Hampir jatuh jantungku. Soalan kali
ini betul-betul mencabar hati.
“Abang Naim cakap apa ni?” aku tidak
tahu bagaimana menjawabnya. Hati ingin mengatakan ya. Sedangkan minda
berkali-kali mengingatkan pesan umi. Lupakan abang Naim.
“Kita dah tak ada masa nak berdolak
dalih.” Abang Naim menyambung kata. Tali pinggang keledarnya ditanggalkan.
Mungkin dia mahu bebas. “Biar abang bagi tahu Ana. Abang setuju untuk
bertunang.”
Pandanganku sekali lagi menangkap
wajah abang Naim. “Tahniah.” Hanya itu yang dapat aku ucapkan. Itupun dalam keadaan
hati yang tidak merelakan.
“Tapi bukan dengan orang lain. Abang
cuma akan bertunang dengan Ana. Abang sayangkan Ana.”
Mataku berkerdip. Tidak percaya dengan apa
yang aku dengar. Geletar seluruh tubuhku. Mimpikah aku?
“Abang ingatkan mak nak tunangkan
abang dengan Ana. Jadi abang setuju.” Abang Naim bercerita. “So please, Ana. Cakap kat abang yang Ana
pun sukakan abang. Abang tak bertepuk sebelah tangankan?”
“Ana...” aku hilang kata.
“Kalau Ana cakap Ana sukakan abang, sekarang
juga kita balik. Abang akan minta emak abang batalkan pertunangan abang dengan
perempuan tu. Ana takkan kecewakan abangkan?”
Aku dihimpit. Perasaan kasih pada
abang Naim meminta supaya aku segera meluahkan isi hati. Biar kami sama-sama
membina bahagia. Tapi bagaimana dengan pesan umi?
“Ana.” panggil abang Naim.
“Ana akui Ana sukakan abang Naim.
Sejak Ana kecil lagi.” Penjelasan awalku melahirkan bibit senyuman pada bibir
abang Naim. Aku tahu hatinya kian lega. “Tapi Ana tak boleh pentingkan diri.
Boleh tak abang Naim bagi Ana masa untuk fikir?” aku meminta sedikit ruang
waktu untuk mempertimbangkan semua.
“Masa kita dah suntuk, Ana.” Abang
Naim keberatan.
“Ana minta sampai esok pagi aje...”
rayuku. Ini bukan perkara main-main yang boleh aku putuskan dengan sesuka hati.
Restu umi dan ayah harus aku dahulukan. Kalau mereka setuju, sudah tentu aku
tidak akan menolak. Ia sudah menjadi harapanku sejak dahulu lagi.
“Okey. Abang akan tunggu.” Mengalah
juga sudahnya abang Naim.
KEPULANGAN
aku dan abang Naim disambut penuh gembira oleh mak lang. Terus saja mak lang
menarik tangan aku dan abang Naim dan membawa kami ke satu ruang yang sudahpun
dipenuhi dengan hantaran.
“Macam mana, Ana? Lawa tak semua
hantaran ni?” mak lang meminta pendapat.
Aku toleh abang Naim seketika
sebelum kembali memandang hantaran yang bertemakan warna merah dan hitam.
“Cantik.” Memang cantik. Tidak dapat aku nafikan.
“Tinggal sirih junjung aje tak siap
lagi. Tapi memang tak boleh buat awal-awalpun. Takut layu pula sirihnya nanti.”
Mak lang masih tekun memandang hantaran yang tersusun cantik.
“Naim naik dululah.” Abang Naim
melepaskan tangannya yang tadi dipegang erat oleh ibunya. Air mukanya
menggambarkan perasaan tidak suka dengan apa yang diperlihatkan.
“Naim... Naim..” panggilan daripada
ibunya sudah tidak lagi Naim endahkan.
Kini tinggal aku seorang diri di
situ. Berjuang melawan perasaan sendiri yang turut mahu menghilangkan diri.
Tapi aku sedar, aku tidak patut bertindak begitu.
Tanganku sudah mak lang lepaskan.
Wajahnya nampak sedih. Mak lang melangkah lemah ke ruang tamu. Aku serba salah.
Terus mengikut mak lang, atau berlalu dari situ? Sudahnya kakiku sendiri
memutuskan untuk mendapatkan mak lang. Aku duduk di sebelah mak lang dengan
perasaan yang bercampur baur. Sukar untuk dijelaskan.
“Mak lang minta maaf kat Ana.” Sayu
suara mak lang kedengaran.
“Kenapa pula mak lang nak minta maaf
kat Ana? Mak lang tak ada buat salah apapun.” Aku cuba menenangkan. Kenapa
tiba-tiba saja ucapan maaf itu terluah? Sedangkan tiada salah yang dibuat.
“Mak lang tahu, Naim sukakan Ana, sama macam Ana sukakan Naim.”
Aku tersentak! Bagaimana mak lang
boleh tahu isi hatiku?
“Mak lang dapat baca hati Ana dengan
Naim. Sebab tu mak lang cepat-cepat carikan calon untuk Naim.”
Cerita
baru dibuka. Aku tekun mendengar.
“Tapi
Ana jangan salah faham. Bukan mak lang tak sukakan Ana. Mak lang sendiri
sayangkan Ana. Niat mak lang cuma nak kembangkan keturunan keluarga mak lang.
Ana pun tahukan keadaan keluarga kita. Asyik kahwin dengan saudara aje. Kalau
boleh, kali ni mak lang nak elakkan.”
Aku
tarik nafas. Penerangan panjang lebar mak lang membuatkan aku faham. Ya, umi,
ayah, mak lang, dan pak lang, masing-masing adalah sepupu dan berkahwin atas
aturan keluarga. Mungkin mak lang tidak mahu sejarah berulang lagi. Rasanya aku sudah punya jawapan untuk
pertanyaan abang Naim tadi.
“Kalau
Ana bukan anak sepupu mak lang sendiri. Dah tentu Ana pilihan mak lang.” Tambah
mak lang lagi.
Bibirku diam. Tiada perkataan yang
terluah. Apa lagi yang boleh aku katakan? Semuanya sudah terang. Cukup jelas
tanpa perlu bersuluh lagi.
“Boleh Ana tolong mak lang?”
Mak
lang mula memegang tanganku. Membuatkan mataku menatap wajah mak lang.
“Tolong?” aku minta kepastian. Pertolongan bagaimana yang mak lang perlukan?
“Tolong
nasihatkan Naim, jangan tolak pilhan mak lang. Mak lang tahu, Naim akan dengar
cakap Ana.”
Mak
lang memohon sesuatu yang sukar. Bagaimana aku dapat menasihatkan abang Naim?
Sedangkan aku sendiri tidak tahu cara untuk menyatakan bahawa kami tidak punya
jodoh. Mahukah abang Naim mendengar kataku?
“Bolehkan
Ana?”
“Insya’ALLAH,
Ana cuba.” Aku terpaksa bersetuju walaupun aku sendiri keberatan.
“Terima
kasih, Ana.” Mak lang memelukku erat.
SELESAI
sahaja solat, aku terus bersiap ke Arena Printing. Aku harus bergerak lebih
awal. Semata-mata mahu mengalak daripada bertemu dengan abang Naim. Aku
berharap, dengan cara ini abang Naim faham yang sesungguhnya kami tidak mungkin
dapat membina masa depan bersama.
Aku tidak kuat. Lantas semalaman aku
menangis. Sesekali terfikir juga untuk menidakkan takdir. Pedulikan kata-kata
mak lang dan meneruskan niat untuk bersama abang Naim. Tapi akhirnya fikiran
mengalah. Takdir yang ditetapkan tak mungkin mampu aku lawan. Aku hanya perlu
melaluinya. Itu saja! Mudah pula fikiran membuat keputusan kerana bukan dia
yang terluka. Hati yang perlu menanggung semuanya.
Panggilan daripada abang Naim tidak
aku jawab. Sudahnya aku matikan terus telefon bimbit. Hari yang kian terang
membawa langkahku terus. Arena Printing masih belum dibuka. Pasti abang Joe
belum sampai. Jadi aku hanya berdiri seumpama tunggul di situ.
“Hah, kau. Awal sampai?”
Aku toleh pada suara yang
kedengaran. Siapa lagi kalau bukan penghuni tetap Arena Printing.
“Awallah juga, bos.” Aku malas mahu
bercakap lebih. Jadi aku jawab sekadar perlu.
“Apasal muka kau pucat macam mayat?
Kau sakit ke?”
Kali ini aku pandang lama wajah
encik Afdhal, dengan renungan yang tajam. Aku tahu mukaku pucat. Tapi tak
adalah sampai kelihatan macam mayat. Melampau sungguh imaginasi encik Afdhal. “Taklah. Mana ada sakit. Bos, tolonglah buka roller shutter ni. Bolehlah saya masuk.”
Aku tahu encik Afdhal punya kunci. Selain abang Joe. Hanya encik Afdhal yang
ada kunci pintu utama Arena Printing.
“Ah, malas aku. Tunggu Joelah.”
Encik Afdhal enggan memberikan bantuan.
Oleh kerana encik Afdhal enggan, aku
juga tidak mahu paksa. Kini aku tidak lagi memberikan perhatian padanya.
Melilau pandanganku. Berharap dapat menangkap kelibat abang Joe secepat
mungkin. Mana tahu abang Joe sudah sampai.
“Nah, ambil ni.”
Pantas tangganku menyambut lambungan
daripada encik Afdhal. Berjaya menangkapnya. “Fuh, nasib baik saya bekas pemain
bola jaring. Kalau tidak...” aku sudah tersenyum. “Bos bagi kunci ni nak buat
apa?” aku memandang sejambak anak kunci yang sudahpun berada dalam genggaman.
“Tadi kau yang beriya sangat nak
buka pintu. Sekarang kau tanya nak buat apa pula!” encik Afdhal mencekak
pinggang. “Dah cepat buka. Banyak benda aku nak kena buat lagi. Bukan nak
melayan kau seorang aje.”
Telingaku bingit mendengar bebelan
encik Afdhal. Kalau dah tahu tak ikhlas, tak payahlah tolong. Aku hanya mampu
membalas dalam hati. Terpaksa aku melutut, membuka mangga yang berkunci rapat
pada roller shutter. Satu persatu
kunci yang ada, aku cuba padankan dengan mangga. Malas mahu bertanya dengan
encik Afdhal, yang mana satu kuncinya.
Setelah mangga dikeluarkan, aku
tolak roller shutter supaya naik ke
atas. Berat! Sedaya upaya aku mencuba, tapi tidak berdaya. Tidak pernah aku
sangka ianya seberat itu. “
“Beratlah encik Afdhal. Tak larat.” Kataku
jujur. Memang aku tidak punya daya. Namun aku masih tetap mencuba. Tidak mahu
encik Afdhal menganggap aku sengaja buat-buat tidak larat.
“Aik, tadi kata bekas pemain bola jaring. Takkan tu pun
kau tak larat?”
Anak mataku terus memandang roller shutter. Cuba memerhati apakah roller shutter itu punya persamaan
dengan bola jaring? Tidak! Mungkin sama dengan tiang golnya? Pun tidak!
Jadi Apa kaitan bola jaring dengan roller shutter?
“Bos, saya bekas pemain bola jaring,
bukan bekas ahli angkat berat negara.” Aku membuat perbandingan. Semoga encik
Afdhal faham maksudku yang sebenar.
“Tak ada stamina langsung. Tepi!”
langkah encik Afdhal menghampiri.
Aku bangun. Membiarkan orang yang
kononnya banyak stamina menyelesaikan tugas menolak roller shutter. Sekelip mata sahaja roller shutter berjaya ditolak oleh encik Afdhal.
“Terima kasih encik Afdhal. Nah
kuncinya.” Kunci yang dari tadi aku pegang, kini aku hulurkan kembali pada
encik Afdhal.
Pandangan encik Afdhal bersilih
ganti antara aku dan kunci yang aku hulurkan. Dia sedang memikirkan sesuatu.
Sesuatu yang aku tidak tahu.
“Kau peganglah.”
“Eh, kenapa pula saya nak kena
pegang kunci ni? Tak nak saya...” aku tidak mahu. Risau kalau-kalau berlaku
pencerobohan pada premis Arena Printing nanti, pasti aku orang pertama yang
akan diseret ke balai polis. Ish, tak nak aku!
“Aku kata kau pegang, kau pegang
ajelah. Banyak tanya pula.” Garang encik Afdhal.
“Tapi bos...” aku memang berat hati.
“Dah, masuk... masuk. Tadi sibuk
suruh buka pintu. Dah buka tak nak masuk pula. Pergi masuk!”
“Iyalah...” lemah aku berbicara
sambil melangkah kaki masuk.
“Dah sampai awal tu, buatlah apa-apa
yang patut. Jangan nak curi tidur pula.”
Laungan encik Afdhal dapat aku
dengar. Rasanya baru sekali aku cuba tidur tempoh hari. Dan cubaan itu telahpun
digagalkan olehnya. Kenapa mahu diungkit pula? Benar kata orang. Jutaan
kebaikan yang kita buat akan ditutup dengan satu kesilapan kecil yang kita
lakukan. Itu yang aku rasa kini. Biarlah... bukan baru sehari dua aku kenal
encik Afdhal. Perangainya memang macam tu.
BUNYI
kuat roller shutter ditarik
memaranjatkan aku yang terlena di bawah meja. Suasana gelap gelita. Ini
bermakna Arena Printing sudahpun dikunci dari luar. Aku terkurung sendirian
kini. Ya, memang itu mahuku. Sengaja aku menyorokkan diri. Hari ini aku tidak
ingin pulang. Aku takut kepulanganku bakal membawa huru hara dalam keluarga mak
lang.
Esok abang Naim akan melangsungkan
pertunangan. Aku mahu pertunangan itu diteruskan seperti kehendak mak lang. Aku
tidak mahu menjadi penghalang. Maka aku perlu menghilangkan diri untuk malam
ini. Selesai majlis esok, aku akan pulang.
Nampaknya
aku harus menginap di sini untuk semalaman. Tiada tempat lain yang boleh aku
tuju. Jadi aku memilih untuk menumpang tidur di sini. Dengan penuh berhati-hati
aku merangkak keluar dari bawah meja. Kemudian aku berdiri. Perlahan-lahan aku
melangkah, menuju ke suis utama. Aku hanya memetik suis lampu dan penghawa
dingin yang berhampiran dengan tempatku. Yang lain aku biarkan saja.
Aku kembali ke tempat. Duduk di atas
kerusi beroda. Sengaja aku berpusing-pusing di atas kerusi. Mahu memujuk diri yang
dari awal pagi tadi tidak sudah meratapi nasib. Kekecewaan masih bersarang.
Bagaimana untuk menghapuskannya? Apabila terasa pening, aku menghentikan kerusi
yang terus berpusing seperti arahan. Alangkah bagusnya kalau hatiku juga
begitu. Mahu mendengar kata.
Telefon bimbit masih mati. Kalau
dihidupkan, pasti aku akan dijejaki. Jadi untuk hari ini aku harus melupakan
kewujudan telefon bimbitku. Jam ditangan menunjukkan pukul 8.05 minit malam.
Aku beristigfar. Solat maghrib masih belum aku kerjakan. Lalu aku segera
melangkah ke tandas di belakang. Mahu membersihkan diri dan mengambil wuduk.
Hampir jam 9.00 malam, aku selesai
menunaikan solat. Masih terlalu awal untuk tidur. Perut pula menyanyi kelaparan. Mana taknya,
satu makananpun belum masuk ke dalam perutku hari ini. Kononnya tadi hilang
selera. Sekarang, kelaparan pula. Dahlah dikunci dari dalam. Bagaimana aku mahu
keluar? Kalau bolehpun, beranikah aku untuk keluar bersendirian?
Akhirnya aku teguk saja air mineral
yang masih ada dalam botol, di atas mejaku. Cukuplah buat mengalas perut. Esok
saja fikirkan pasal makan. Lebih baik aku tidur. Lagi awal aku tidur, lagi
cepat aku sampai kepada siang hari. Pada awalnya, aku merancang untuk tidur di
dalam ruang solat. Tapi aku ubah fikiran. Lebih baik aku tidur di tepi mejaku
saja. Lebih disinari cahaya.
Kerusi aku tolak masuk ke bawah
meja. Sehelai sejadah aku bentang sebagai alas tidurku. Manakala sehelai lagi
aku lipat cantik, untuk dijadikan bantal kepala. Aku mula baring. Hilang
sedikit lelah seharian. Mata aku pejam rapat. Memaksa untuk tidur.
Rasa sudah letih memusing ke kiri
dan kanan. Namun tidak juga berjaya untuk lena. Jam aku tengok lagi. Untuk kali
yang keberapa, aku sendiri tidak pasti. Apa yang pasti, setengah jam lagi, hari
baru bakal menjelma. Hari yang dinantikan oleh mak lang sekeluarga.
Aku bangun. Sejadah yang tadinya
terbentang, aku alihkan. Aku mahu melakukan senaman ringan. Bermula dengan
regangan otot. Beralih dengan acara lompat bintang, dan akhirnya aku membuat
larian setempat. Aku harap selepas ini aku dapat tidur lena. Tidak lagi
memikirkan tentang abang Naim. Setelah keletihan, aku duduk seketika di atas
meja.
Sedang aku meneguk air mineral yang
masih berbaki tadi, aku dikejutkan dengan bunyi roller shutter. Kelam kabut aku terjun dari meja. Dan meniarap di
atas lantai. Jantung sudah menghidupkan larian. Semakin lama semakin laju. Bunyi
mesin touch card pula kedengaran. Petanda
pintu kaca bakal dibuka. Siapa gerangan yang datang ke pejabat tengah malam
begini? Abang Joe atau encik Afdhal?
Aku tarik sejadah yang tadinya
menjadi bantal kepala. Sejadah aku hamparkan bagi menutup muka dan kepala. Menyorokkan
diri. Berharap aku tidak dijumpai. Nafasku turun naik, penuh debaran.
“Bangun!”
Kakiku disepak perlahan
berkali-kali. Aku sudah tertangkap! Dan aku tahu siapa yang berjaya menangkap
aku!
“Tak payah nak menyorok sangatlah.
Bangun aku cakap!”
Taktikku, buat-buat kaku tidak
berjaya. Terpaksalah aku mengangkat bendera putih, menyerahkan diri. Aku berjaya
di tawan.
“Kau buat apa kat sini malam-malam
buta ni? Apasal kau tak balik?”
Aku terima dua soalan berturut dalam
masa kurang lima belas saat. Entah apa nasib aku. Selalu tertangkap dengan
encik Afdhal. Persoalannya bagaimana dia boleh tahu aku ada di sini?
“Saya nak tumpang tidur sini semalam
boleh tak encik Afdhal?” aku masih memegang kuat sejadah yang sudah aku jadikan
tudung, menutup kepala.
“Balik. Sekarang juga aku nak kau
balik.”
Daripada kata-kata itu, aku tahu
encik Afdhal sudah tidak mengizinkan. Tapi gila! Aku nak balik naik apa? sempat
aku kerling jam tangan. Beberapa minit saja lagi masuk jam 12.00 malam.
“Dah dekat pukul 12.00 dah ni, encik
Afdhal. Tolak ansurlah sikit. Saya nak balik naik apa? mana ada public transport waktu-waktu macam ni. Takkan
saya nak jalan kaki?” aku tunjukkan jam tanganku padanya. Biar dia lihat dengan
matanya sendiri. Aku tidak berbohong.
“Itu hal kau. Aku peduli apa. Kau
nak balik ke, kau nak aku panggil Jabatan Agama Islam? Kau pilih?”
Tersenyum aku mendengar ugutan encik
Afdhal. Nak panggil Jabatan Agama Islam? Kalau iyapun nak halau aku, carilah
alasan ugutan yang kuat sikit. “Alah, encik Afdhal berani ke panggil Jabatan
Agama Islam? Sanggup ke kahwin dengan saya? Kak Dahlia macam mana?” aku tahu
encik Afdhal takkan seberani itu. Segila-gila encik Afdhal, dia takkan sanggup
buat gila, menduakan kekasih hatinya, Dahlia.
“Apa susah. Kau jadi nombor satu. Dahlia
jadi nombor dua.” Bersahaja balasan daripada encik Afdhal.
Aku pula yang rasa cuak. Tapi aku
buat-buat ketawa. “Saya tahu encik Afdhal takkan berani buat macam tu.”
“Kau teruskanlah tidur. Aku nak
pergi tutup pintu sekejap. Lepas tu nanti aku call Jabatan Agama Islam. Tidur lena-lena, ya sayang.” Encik Afdhal
mengenyitkan mata. Seketika kemudian dia berjalan merealisasikan kata-katanya.
“Nanti!” aku jerit. “Iyalah, nak
baliklah ni.” Tanpa banyak cakap, aku terus masuk ke ruang solat. Tudung yang
tersidai pada rak kayu aku ambil dan sarungkan ke kepala. Air mata sudah rasa
mahu menitis. Mana aku nak pergi? Sungguh aku tidak berani bersendirian pada
waktu-waktu begini.
Selesai meletakkan sejadah yang
sudah aku lipat ke tempat asalnya, aku berjalan mendapatkan beg tangan. Encik
Afdhal sudah berdiri di muka pintu. Tidak sabar-sabar dia mahu menghalau aku
keluar.
Aku berhenti betul-betul di hadapan
encik Afdhal. Bukan mahu merayu lagi. Ada perkara yang mahu aku tanyakan. “Mana
encik Afdhal tahu saya ada dekat sini?” soalku dengan hati yang marah.
“Tu.” Encik Afdhal menghalakan
tangannya. Menunjukkan sesuatu.
Pandanganku mengikut arah yang
ditunjukkan. Langsung aku pejam mata. Sejak bila Arena Printing dilengkapi
dengan kamera CCTV? Setahu aku tidak ada!
“Dahlah, pergi balik.”
“Nak baliklah ni.” Aku buat tangan serupa
harimau. Mahu saja aku mencakar wajahnya. Tapi pergerakanku sekadar terhenti di
hadapan wajah encik Afdhal. Tidak mampu meneruskan niat. Menapak aku
meninggalkan Arena Printing. Langkahku perlahan dengan harapan encik Afdhal
akan mengejar. Tapi aku hampa. Saat aku menoleh encik Afdhal sudahpun siap
mengunci roller shutter dan berjalan
masuk ke ruang lif.
Langkah semakin laju. Tiada tempat
lain yang dapat dituju, melainkan perhentian bas di hadapan stesyen Lrt. Mulutku
kumat-kamit. Mengulang bacaan surah yassin daripada ayat satu hingga sembilan. Aku
pernah mendengar ceramah Doktor Fatma Elzahra Muhamad Ramadan. Katanya, ayat
itu patut dibaca oleh orang-orang yang ketakutan, melalui jalan gelap misalnya.
Ia umpama ayat pendiding dengan izin ALLAH. Semoga ALLAH melindungiku.
ANGIN
malam makin menggigit tubuh. Kesejukan aku di situ. Hanya ditemani cahaya dari
lampu jalan. Sekali sekala, ada juga kenderaan yang lalu. Aku buat tak tahu. Tidak
bertujuan untuk berbuat apa-apa. saling tak tumpah seperti seorang musafir.
Aku peluk tubuh. Menahan kesejukan. Mata
mula kuyu. Mengantuk semakin menjadi-jadi. Tadi di Arena Printing tidak pula
ada rasa mahu tidur. Tersengguk-sengguk aku, menahan mata yang semakin hampir
dengan lena.
“Itulah, lain kali jangan lari dari
rumah.”
Mata kembali segar. Suaranya yang
berkumandang begitu hampir kedengaran di telinga. Siapa yang berbicara? Terus mati
lenaku.
Bersambung...
Kata AH:
Assalamualaikum semua pembaca tegar JJC. Tamat sudah entry 14. Insya'ALLAH entry 15 bakal menyusul nanti. Sebarang komen untuk pembaikan sgt dialu-alukan. Terima kasih tidak terhingga kerana memberikan sedikit masa utk JJC. Semoga semua diberkati ALLAH SWT. Amin. Jumpa next entry.. :)
9 comments:
Cite ni best sgt.cpt sambung ye kak...
suka2...mesti abang naim yg tegur tu...hehe =)
saya suke je...lagi lagi...
sentiasa follow cerita kak Adah. ini pun... suka dan tertanya-tanya. insyaAllah, pasti ini juga yang terbaik daripada Kak Adah :)
Kasihan Ana dan Naim... kalau dulu mak lang, pak lang, umi dan ayah kahwin atas aturan kelurga dan bersaudara ...
tapi ana dan naim nak kahwin atas pilihan sendiri bukan aturan kelurga ... x salah lah tu...
adakah mak lang tahu naim akan bahagia kalau di paksa???... kasihan naim
Rasanya yang tegur ana tu en afdhal .... sebab nak pastikan ana selamat.... bestttt
Sedihlah. Kasihan kat Ana dan Naim. Bestlah kalau diorang dapat bersama tapi en. afdhal macam mana nanti? Tak sabar nak tggu n3 akan datang.
hehehe....En Afdhal jgn jatuh cinta...huhuhuhu :)
Sis, x sabar nak tunggu new n3
sgt menarik...heh..
Teruja n3 seterusnye......
Post a Comment