Wednesday, July 10, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 17



17
            Abang Naim masih begitu. Enggan bercakap dan memandang padaku setiap kali kami bertemu. Aku sendiri buntu cara. Bagaimana caranya untuk pulihkan keadaan? Aku turut tersiksa dengan status barunya. Bukan aku tak rasa. Malah hampir saban malam aku menangis sendiri. Tiada siapa yang tahu. Jauh di sudut hati, aku masih mengharapkan jodoh denganya. Walaupun aku tahu sebenarnya aku hanya memberi harapan palsu pada diriku sendiri.
            Aku juga yakin pak lang dan mak lang perasaan tentangnya. Tiada lagi senda gurau abang Naim untukku. Tiada lagi gelak tawa ketika kami berkumpul bersama. Dan kini aku mula rasa seperti orang asing dalam rumah itu.
            “Ambilkan untuk abang Naim.” Mak lang menghulurkan piring yang berisi ayam goreng.
            Pantas tanganku capai ayam goreng yang mak lang hulurkan. Aku ambil seketul. Belah peha, bahagian yang paling disukai abang Naim. Terus aku letak ke dalam pinggan abang Naim. Mungkin inilah masa untuk berbaik.
            Abang Naim memandangku. Lalu aku senyum. Aku mahu dia baca mataku. Aku mahukan abang Naimku yang dahulu. Namun pandangan abang Naim hanya seketika. Laju dia memegang ayam yang aku letakkan dalam pinggannya. Ayam itu diletakkan semula ke dalam piring, kembali bersama ketulan ayam yang lain.
            Hatiku nanar. Sebak dan hiba. Terpaksa aku bangun kerana tidak kuat untuk terus berada di situ. Air mata sudah hampir gugur. Aku angkat pingan untuk dibawa ke dapur. Panggilan daripada mak lang dan pak lang tidak dapat aku hiraukan. Aku tidak mahu mereka melihat aku menangis.
            Air mata gugur juga akhirnya. Tidak dapat aku bendung walau sudah puas aku mencuba. Kenapa abang Naim menghukum aku begini? Sampai bila abang Naim mahu membuang aku terus daripada hidupnya? Semua soalan itu tidak punya jawapan. Aku tidak mampu mencipta jawapannya walau untuk sebaris ayat.
            Selesai mencuci pinggan, aku terus naik ke bilik. Ruang terasa kian sempit dalam rumah yang besar kawasannya. Aku duduk di atas katil. Mata memandang balang kaca yang ditugaskan untuk menyimpan lilopop pemberian abang Naim. Sudah  mencecah setengah balang. Kini balang itu tidak akan menerima kunjungan lolipop yang lain lagi. Apa yang patut aku buat dengan lolipop itu? Hendak dibuang, rasa sayang. Tidak mungkin! Lolipop itu akan kekal bersama walau apa jua keadaannya.
PAGI ini hujan turun dengan sangat lebat. Rahmat mengambil tempat di bumi. Menyuburkan hidupan dan tanah yang gersang. Kalau pak lang ada, tentu pak lang akan menghantar aku ke stesyen lrt. Tapi pak lang punya urusan di luar. Awal-awal pagi lagi pak lang sudah keluar. Jadi bagaimana aku mahu ke stesyen lrt?
            “Naim, tumpangkan Ana, ya.” Arah mak lang sebaik abang Naim turun dari tangga.
            Aku hanya diam. Mahukah abang Naim menumpangkan aku? abang Naim meneguk cawan yang berisi air kopi buatan mak lang. Arahan ibunya tidak bersambut. Sesudah minum, abang Naim duduk di atas sofa, memakai sarung kaki.
            Aku masih berdiri di muka pintu. Bukan menanti abang Naim, tetapi menunggu hujan berhenti. Jika tidak berhenti sekalipun, setidak-tidaknya hujan dapat reda sedikit. Bolehlah aku gunakan payung dan berjalan seperti biasa ke stesyen lrt. Itu tiada masalah bagiku.
            Abang Naim masih tidak bercakap walau sepatah. Tangan ibunya dicium sebelum dia melangkah keluar. Tanpa sebarang kata, dia melintasi aku. Sudah dapat aku mengagak perkara itu. Aku juga tidak berharap dia sudi menumpangkan aku. Aku sedar diri!
            Pintu keretanya sudah bertutup rapat. Enjin juga sudah dihidupkan. Tunggu masa untuk bergerak, dan meninggalkan rumah. Aku pura-pura mencari barang dari dalam beg tangan. Tidak mahu berkecil hati melihat pemergiannya begitu saja tanpa menghiraukan aku.
            Bunyi hon kereta membuatkan mataku pantas memandang ke luar. Pintu kereta tempat duduk penumpang hadapan terbuka dengan tiba-tiba. Adakah abang Naim mahu menumpangkan aku? aku tertanya-tanya sendiri. Masih memikirkan adakah ia mimpi atau benar? Bunyi hon sekali lagi kedengaran. Menyakinkan aku bahawa pintu itu memang dibuka untukku.
            “Mak lang, Ana pergi dulu.” Aku salam mak lang. Kemudian terus saja aku keluar menuju ke kereta abang Naim. Dengan senang hati aku mengambil tempat duduk. Pintu aku tutup. Tali pinggang keledar aku tarik.
            Hujan lebat sedikit sebanyak mengganggu penglihatan. Wiper bergerak laju. Kami dua-dua mendiamkan diri. Aku rasa, aku perlu memulakan. Abang Naim sudah membuka jalan dengan menumpangkan diriku. Maka aku harus mengalah, terlebih dahulu berbicara.
            “Tadi Ana tengok abang Naim minum kopi aje. Abang Naim tak lapar ke?” soalku dengan hati yang berat.
            Abang Naim diam. Dia menumpukan perhatian penuh pada pemanduaannya.
            “Banyak tak kes yang abang Naim kena handle sekarang?” aku soal lagi.
            Masih tiada jawapan. Aku diam seketika sebelum bertanya lagi. “Abang Naim dah tak nak bercakap dengan Ana, ke?” aku mengharap ada jawapan yang dapat aku dengar kali ini.
            Tapi hampa. Abang Naim tidak menjawabnya. Malah abang Naim terus memasang radio dengan kuat. Kalau aku masih berkata-kata, pasti abang Naim tidak dapat lagi mendengar suaraku. Dan aku yakin bahawa, abang Naim sengaja melakukan begitu.
            Terus aku tutu rapat bibirku. Enggan bersuara lagi. Perang dingin antara aku dan abang Naim nampaknya akan terus berlarutan walaupun sudah aku berusaha mengadakan rundingan damai. Aku pasrah!

SEMUA pekerja lelaki sudah keluar lebih awal daripada biasa. Hari jumaat begini, memang itu menjadi rutin. Mereka mahu menunaikan kewajipan kepada Maha Esa. Pencipta langit, bumi dan segala isinya.
            Biasanya waktu rehat panjang begini aku hanya akan duduk di ruang solat. Tidur seketika. Tapi hari ini aku tidak dapat lakukan begitu kerana sejak semalam lagi aku duduk menumpang di tingkat atas. Ruangan bawah ditutup sementara waktu bagi kerja-kerja pengubahsuaian. Entah apa yang hendak diubah lagi? Duduk sekadar memandang mesin-mesin pencetak memang membosankan. Hendak keluar berjalan-jalan, rasa malas pula.
            “Ah, naik roof top lah!” aku membuat keputusan. Lagipun cuaca hari ini redup selepas hujan turun awal pagi tadi. Lebih baik mengambil angin di sana. Bingkas aku bangun untuk bergerak.
            Sewaktu aku melitasi rumah kecil encik Afdhal, pintunya tertutup rapat. Aku senyum gembira. Pasti dia tidak ada. Sejak semalam encik Afdhal tidak kelihatan. Pergi menyambut kepulangan emak dan ayahnya di airport agaknya. Hatiku ketawa. Terasa jahat pula!  Jadi buat sementara waktu, kawasan atas bumbung ini, aku yang punya.
            Aku duduk di atas sebuah tin biskut kosong. Dari sini aku dapat lihat permandangan  yang berlatarkan bangunan bertingkat. Padat kelihatan. Beberapa bangunan tinggi juga ada tersergam. Sebuah bandar raya yang sibuk. Tidak seperti Keningau. Rindu pula pada tempat aku membesar.  
            “Hoi!”
            “Allahuakhbar.” Aku terkejut. Terjatuh dari tin biskut. Mataku pantas menangkap suara yang membuat onar. Encik Afdhal sedang ketawa gembira melihat aku yang kini terjelepuk di atas lantai simen yang kasar.
            Perlahan aku bangun sambil tajam memandang encik Afdhal. Tin biskut aku betulkan semula. Lalu kembali duduk di atasnya.
            “Kau cari apa kat sini?” kini encik Afdhal pula duduk. Tidak beralaskan apa-apa. Bersila dia di bawah, menghadap wajahku.
            “Tak cari apa. tengok-tengok permandangan aje.” Kalau ikutkan hati, memang malas aku mahu menjawab. Tapi disebabkan aku sudah menceroboh kawasannya, jadi aku terpaksa.
            “Ingatkan kau cari aku.” encik Afdhal senyum.
            “Pada saya cari encik Afdhal, baik saya cari duit poket. Boleh juga cover duit teksi hari tu.” Aku lepaskan kata. Bunyi macam mengungkit. Hilang sudah pahalaku. Aduhai...
            Encik Afdhal ketawa kecil. Dia nampak gembira hari ini. apa yang seronok sangat, aku pun tak tahu. Suka hati dapat memeranjatkan aku tadi agaknya. Kalau boleh, aku mahu angkat kaki sekarang juga. Saat berdua dengan encik Afdhal, memang otakku terpaksa bekerja keras. Memikir apa yang perlu dikatakan, dan apa yang patut dibualkan? Ah, cakap ajelah apa-apapun. Apa nak fikir-fikir sangat. Otak mencadangkan. Aku lihat jam di tangan. Sudah pukul 1.15. Inilah masanya untuk bertanya.
            “Bos, tanya sikit boleh?”
            “Apa?”
            “Agak-agaknya, bos takut ular tak?”
            “Ular?” buntang mata encik Afdhal. “Kecil ke, besar?” soal encik Afdhal.
            “Besarlah. Cuba bos bayangkan. Mata ular tu aje dah macam api. Kuku dia kalau bos nak tahu, punyalah panjang... setiap satu kuku dia, panjang lebih kurang setengah hari perjalanan tau.” Beriya-iya aku bercerita. Penuh intonasi serta gerak gaya.
            Dahi encik Afdhal berkerut. Seperti tidak percaya. “Ada ke, ular macam tu?”
            “Mestilah ada. Ingat saya tipu ke? Bos takut tak?” aku ulang soalan awal.
            “Kalau dah macam tu, siapa yang tak takut? Spesis ular apa tu?”
            Aku senyum sebelum menjawab pertanyaan yang sedang bersarang di minda encik Afdhal. “Itulah ular yang akan kerjakan bos nanti.”  
            “Eh, apasal aku pula?” cuak wajah encik Afdhal.
            “Sebab bos tak solat. Siaplah bos dalam kubur. Ular tu siap bawa pemukul besi tau. Sekali dia hentak bos, tujuh puluh hasta bos terbenam dalam tanah. Jangan main-main.” Dengan semangat aku bercerita. Niatku tiada lain, hanya menyampaikan sesuatu yang mungkin encik Afdhal tak tahu. Mungkin pendekatanku salah, tapi aku harap encik Afdhal faham maksud murniku.
            Encik Afdhal diam. Hilang terus kegembiraan yang tadi terpancar pada wajahnya. Tapi aku tidak patut berhenti di sini. Setelah aku mulakan, aku harus sudahkan hingga akhir.
            “Kenapa bos tak solat?” antara perkara yang aku ingin nak tahu. Ya, mungkin dia tidak waras. Tapi tidak sepenuhnya. Ada waktu dia kelihatan elok saja. Dan mungkin, kalau dia tidak meninggalkan tuntutan wajib itu, penyakit yang ada dalam dirinya berjaya disembuhkan.
            “Buat apa aku nak solat?” lama barulah ada jawapan dari encik Afdhal.
            “Kenapa pula bos tak nak solat?” sungguh aku tidak mengerti.
            “Aku ni, dah confirm masuk neraka. Nak solat buat apa lagi?”
            Aku beristigfar panjang dalam hati mendengar luahan encik Afdhal. Aku pula yang terdiam kini. Kenapa encik Afdhal boleh terfikir sampai begitu sekali? Meletakkan dirinya di dalam kelompok yang dimurkai ALLAH di hari akhirat nanti.
            “Tak baik encik Afdhal cakap macam tu...” sayu aku suarakan rasa hati.
            “Tak baik apa pula, memang itu kenyataan. Cuba kau fikir. Emak dengan ayah akupun tak maafkan aku, jadi macam mana tuhan nak maafkan aku?” ada takungan air dalam tubir mata encik Afdhal.
            “Apa yang encik Afdhal dah buat?” dengan berat aku bertanya, walaupun aku tahu tak mungkin encik Afdhal akan membuka cerita.
            “Aku tak tahu... aku dah tak sanggup nak tanggung semua ni. Semua orang tak boleh tolong aku. Kenapa tuhan tak nak ambil nyawa aku?” Encik Afdhal tunduk. Suaranya serak menahan tangis. Tangannya pula diramas kuat. Berlaga antara satu sama lain.
            Melihat keadaan encik Afdhal, aku jadi tak tentu arah. Apa aku nak buat? Aku sendiri sebak. Kalaulah aku tahu apa yang terjadi pada encik Afdhal, pasti lebih mudah untuk aku membantu. Bagaimana baru aku dapat tahu semuanya? Siapa yang boleh bercerita? Aku mahu tahu! Benar-benar ingin tahu!
            “Encik Afdhal, er... saya belanja encik Afdhal makan lolipop nak? Jom?” aku tidak tahu cara untuk memujuk. Jadi aku gunakan teknik yang biasanya abang Naim gunakan ketika memujuk aku. Semoga berhasil.
            Encik Afdhal angkat muka. Membuatkan aku boleh berasa sedikit lega. Titisan air jerinh yang kelihatan mengalir di pipi, segera encik Afdhal hapuskan. Ada senyuman kecil terbit di bibirnya.
            “Lolipop? Kau ingat aku kekasih kesayangan kau tu ke? Tak nak! Kau suka minum air apa?” encik Afdhal angkat keningnya.
            “Milo ais.”
            “Okey. Aku nak air milo ais.” Encik Afdhal buat permintaan.
            Laju saja aku bangun untuk memenuhi permintaan encik Afdhal. Itu lebih baik daripada membiarkan encik Afdhal tenggelam dalam emosinya yang mudah hilang graviti kestabilannya. “Okey, bos tunggu sini diam-diam!” segera aku melangkah.
            “Woi.” Jerkah encik Afdhal.
            Aku berpaling, menoleh.
            “Ikat tepi tau!” pesan encik Afdhal.
            Aku senyum sambil tunjukkan ibu jari. Tanda mengerti. Perjalanan menuju ke kedai mamak aku teruskan. Tapi sebelum tu, aku perlu ambil dompetku dahulu.
            Selesai urusan jual beli, aku kembali ke atas bumbung lagi. Encik Afdhal masih di situ, menungguku. Dapat minum free, siapa yang tak mahu? Terbang lagi duit aku.
            “Nah. Milo ais siap.” Aku hulurkan milo ais yang begitu menyelerakan.
            Encik Afdhal ambil. Plastik jernih yang berisi air berwarna coklat itu dibelek berkali-kali. “Tak naklah air ni. Tak ada selera pula. Kau belikan aku air nescafe lah. Aku tak suka milo.”
            “Tadi...”
            “Cepatlah, aku haus ni.” Encik Afdhal memotong kata.
            Mahu atau tidak, aku terpaksa juga pergi. “Iyalah, nak pergilah ni.” Kini langkahku lemah. Tidak ada semangat lagi.
            “Gomez...”
            Aku menoleh. Rasanya aku tahu apa yang ingin disampaikan oleh encik Afdhal. “Ikat tepikan?” terlebih dahulu aku berbicara sebelum encik Afdhal membuat pesanan.
            “Ha’ah. Pandaipun kau. Dah pergi cepat.”
            Mujurlah aku penyebab kepada tragedi air mata encik Afdhal sebentar tadi. Kalau tidak, tak kuasa aku nak layan.
            Hampir lima belas minit kemudian, aku membawa seplastik nescafe ais. Aku harap, tiada lagi lain-lain permintaan selepas ini. Aku sudah penat berjalan. Nampaknya encik Afdhal sudah mengambil alih tempat dudukku. Itu tidak mengapa kerana aku juga sudah bercadang untuk turun selepas menyerahkan air nescafe.
            “Nah.”
            “Sampai pun. Ingatkan kau lari.” Air yang dihulurkan, segera disambut oleh encik Afdhal. 
            Aku masam muka. Suka sangat berburuk sangka padaku. Setelah plastik air berpindah tangan, aku berpusing, mahu turun. Tidak mahu lagi terus berada di situ.
            “Ha, nak pergi mana pula tu?
            “Nak turunlah encik Afdhal. Sejuklah kat atas ni.”
            “Habiskan milo ni dulu.”
            Aku pandang air milo yang tadinya penuh. Kata tak suka milo? Kenapa pula sudah tinggal separuh plastik? Sekarang nak suruh aku habiskan pula. Takkan aku nak kongsi minuman dengan dia? Aku sudah kembang tekak.
            “Tak apalah, encik Afdhal. Saya tak haus.” Aku menolak dengan cara baik.
            “Minumlah, jangan membazir.” Pandai pula encik Afdhal menasihatkan. Plastik air milo sudah dihulurkan.
            Aku ambil juga sudahnya. Dengan niat, aku akan buang bila turun nanti. “Saya turun dulu encik Afdhal.” Aku minta diri.
            “Minum dulu sampai habis baru kau boleh turun.” Ada syarat yang dikenakan sebelum aku dibenarkan turun..
            Aku diam. Mencari jalan untuk mengelak.
            “Apasal kau tak nak minum?” encik Afdhal kelihatan serius.
            “Bukan tak nak. Saya jaga keselamatan. Bos kena faham, saya ni perempuan. Manalah tahu bos letak apa-apa dalam milo ni.” Aku rasa alasan itu yang paling sesuai digunak pakai.
            Encik Afdhal merampas plastik milo dari tanganku. Air di dalam plastik itu berkocak, membuatkan ia tertumpah sedikit. Air milo disedut sehingga tinggal suku plastik. “Nah, minum.” Encik Afdhal serahkan kembali air itu setelah dia berjaya menafikan tuduhanku dengan bukti yang jelas nyata.  Aku ambil air itu dengan terpaksa.
            “Sebenarnya kau geli nak minum bekas aku kan?”
            Patutkah aku mengangguk? Memang itu yang aku rasa.
            “Kalau kau geli tak payahlah minum. Aku saja nak test kau. Aku ingatkan kau lain. Rupanya kau pun pandang aku sama macam orang lain pandang aku.” Kecewa nada yang encik Afdhal tuturkan. “Kalau lelaki tu yang bagi, mesti kau minum kan?”
            Aku rasa bersalah. Terdiam. Aku tahu encik Afdhal maksudkan abang Naim. Benarkah aku begitu? Aku tidak berniat. Cuma aku juga manusia biasa, yang punya rasa. Encik Afdhal orang asing bagiku. Pastinya aku rasa sebegitu. Nampaknya encik Afdhal sudah salah sangka. Aku perlu buat sesuatu. Tidak mahu dia melihat aku sama seperti orang lain di luar sana. Aku tidak berniat. Aku perlu cari jalan.
            “Eh, eh... cik Dahlia buat apa atas tu?” aku arahkan tangan pada bumbung bangunan sebelah.
            Encik Afdhal memusingkan kepalanya, memandang ke arah yang aku tunjukkan. Saat itu juga aku pantas menarik keluar penyedut minuman. Aku terbalikkannya, dan kembali memasukkannya ke dalam plastik. Kemudian aku sedut air milo. Minum tanpa memikirkan apa-apa lagi.
            “Kau ti...” kata-kata encik Afdhal hanya mati di situ.
            “Saya tak macam orang lain.” Kataku sebaik penyedut minuman aku lepaskan dari bibir. Plastik yang mula kosong aku angkat untuk ditunjukkan padanya.
            Senyuman encik Afdhal kelihatan kini. Sebuah senyuman yang lebar. Encik Afdhal tunduk bersama senyumannya. Tidak ubah seperti seorang gadis yang malu saat dilamar. Aku pula menanti. Apa pula bakal jadi selepas ini.
            Encik Afdhal bangun dari duduk. “Lain kali aku belanja kau pula. Kekalkan prestasi kau.” Bicara encik Afdhal sebelum dia pergi membawa senyumannya yang tak henti-henti.
            Aku termanggu. Kekalkan prestasi? Kata-kata itu kedengaran seperti pesanan daripada iklan minyak pelincir kenderaan. Namun tanda sedar, aku juga senyum kerana pesanan itu.

SMS yang aku terima daripada Fina begitu memeningkan kepala. Lain yang aku tanya, lain pula yang dijawabnya. Mesej yang bercampur antara nombor, abjad dan gambar. Apa maksud Fina? Sekali lagi aku tatap. Cuba meneliti.
            “Bintang, D, satu, B, empat, U, bintang, empat, hati.” Satu persatu aku sebut. Tiada yang tertinggal. “Apa bendanya ni?” memang aku fail kalau bab mentafsir. Kertas putih  yang aku ambil dari tempat encik Afdhal dulupun masih tidak dapat aku rungkaikan. Lagilah pula, pendek saja nota yang tertulis.
Aku tak fhmlah. Kau ckp bhs apa ni?
            Aku hantar pesanan pada Fina. Memang aku tak faham. Aku cuma bertanya pendapatnya tentang hubungan aku dan abang Naim. Aku harapkan kata peransang daripadanya, tapi lain pula yang dikirimkan oleh Fina. Seketika kemudian, jawapan balas daripada Fina aku terima.
Takkan kau x fhm?  Perlahan betullah otak kau!
Dah kau guna bhs planet, mahunya otak aku tak jd perlahan?
Hahaha... carilah sendiri.
            Kemudian aku balas.
Ni yg aku malas. Lain kali aku x nk cerita apa2 kat kau!
            Kali ini aku balas dalam bentuk ugutan. Sementara menunggu jawapan Fina, aku meletakkan kepala di atas bantal. Sedapnya dapat baring atas katil. Bunyi mesej masuk membuatkan mataku yang baru saja pejam kembali terbuka.
Dah pandai mengugut nampak?
Bukan ugut. Aku ckp betul-betul ni!
Oklah aku bg tahu. Senang aje. Kau baca laju2 dlm bhs Inggeris. Mesti kau dapat!
            Terus aku mencari mesej tadi. Aku baca kuat. “Bintang? Oh, Star D one B four U star D four heart.” Aku diam sekejap. Macam tak kena aje.
Star D one B four U star D four heart, ke?
            Aku tanya Fina. Meminta kepastian.
            Fina balas.
Aduhai, kwn aku sorang ni. Star D Firts B 4 U Star D Four Love LAH!. @ bhs betulnya... Study first before you study for love. FAHAM!!!
            Aku mengangguk walaupun Fina tidak dapat melihat. Kini aku faham. Tak sangka begitu cara membacanya.
Thanks, Fina
Welcome. Dahlah aku nak tidur. Mengantuk. Da...
Nite.
            Aku mengakhiri. Sekali lagi aku baca mesej yang Fina bagi. Aku senyum gembira. Fina.. Fina... dia dengan abang palsunya sama saja. Suka bermain dengan perkataan. Dan tiba-tiba aku terfikir. Mungkinkah dengan cara yang sama aku akan dapat mengetahui maksud nota encik Afdhal dulu?
            Tanpa berlengah, aku turun katil. Berjalan mendapatkan kertas putih yang masih aku simpan hingga ke hari ini. Kamus bahasa Inggeris aku tarik dari tempatnya. Aku simpan kertas putih itu di dalam kamus yang sama. Ya, masih ada. Aku keluarkan, lalu membuka lipatannya.
            “1 M kosong empat kosong.” Otakku cuba membuat terjemahan. “One m zero four zero.” Aku rasa yang betul hanya terjemahan nombor empat. Yang lain semuanya salah. “first m zero... eh! First m, zero for zero.” Aku cuba lagi. Masih aku rasa salah. Sungguh aku tak pandai. Baik aku tanya Fina.
Fina, tolong aku translate maksud 1M040
            Dengan debar aku tunggu jawapan balas daripada Fina. Satu minit, dua minit, lima minit. Fina masih belum menjawab. Takkan dah tidur? Cepatnya terlelap. Dengan gelisah aku tetap menunggu. Mahu saja aku telefon Fina. Tapi tak sampai hati pula. Takut Fina memang dah tidur. Jadi aku redha. Esok pasti aku dapat jawapannya.
            Aku letak telefon bimbitku di atas meja dan berjalan ke katilku semula setelah suiz lampu aku tutup. Hampa. Kenapa dari tadi aku langsung tak terfikir? Kalau tak, mesti aku dah tahu maksudnya. Aku baring. Selimut aku tarik. Mata aku pejam rapat sambil mulut kumat kamit membaca doa tidur.
            Telefon bimbitku berbunyi saat aku sudah hampir dengan lena. Terus aku terjun dari katil, berlari mendapatkan telefon bimbitku. Tentu daripada Fina. Telefon bimbit aku capai. Memang Fina. Dalam gelap aku baca mesej balas Fina.
Mungkin... Im nothing for Nothing.
            Im nothing for nothing? Kali ini aku rasa Fina betul. Itukah yang encik Afdhal rasa sebenarnya? Kenapa setiap kali ada yang aku tahu tentang encik Afdhal, semuanya mengundang sayu di hatiku? Encik Afdha! Entah apa kisah sebenar yang dilindungkannya?

Bersambung...

Kata AH :
Assalamualaikum. Terima kasih krn membaca JJC 17 hingga titik akhir. Tiada yg dpt AH zahirkan selain drpd ucapan terima kasih buat semua rakan yang menyokong karya AH, walaupun karya AH tidaklah sebaik mana. Tanpa semua AH tidak akan kemana2 dan karya AH mungkin sepi tanpa cerita. Semperna Bulan mulia ini, AH ambil kesempatan utk mengucapkan SALAM RAMADHAN buat semua. AH mohon maaf atas segala kesalahan, kesilapan mahupun khilaf yg pernah AH layangkan pada semua. Semoga bulan ini menjadikan kita umat yang kuat dan hamba yang taat. Salam Ramadhan. Selamat melipatgandakan pahala. AH juga bercadang untuk merehatkan JJC semperna bulan ramadhan ini. Harap semua pembaca tidak keberatan. Bolehkan?  

            

12 comments:

rahsia hatiku said...

aduhai.. kecian abag naim.. mesti terseksa dia, saya suka ana dengan abang naim la cik AH..

kak nora said...

yes...kaka pun suka ana ngan naim... rasa mcm kejam plak mak lang buat mcm tuh...mesti terseksa bangat abg naim bila terpaksa buat tak layan kat ana...padahal dlm hati tuhan je yg tahu siksanya menanggung prasaan sayang n rindu kat ana...

Anonymous said...

cerita yg makin menarik..

Kak Sue said...

Kasihan Ana dan Abang Naim kan... rasanya x patutlah Abang Naim buat Ana macam tu... kan sama-sama terseksa... mak lang dan pak lang x rasa besalah ke melihat keadaan anak mereka yg dah x happy ja... boleh ke Abang Naim bahagia kalau kahwin dgn pilihan mak lang... cuba mak lang fikir...
en Afdha rasanya ada hati kt Ana tu... hanya Ana ja yg dapat ubah en Afdha tu.... Insyallah.....

Anonymous said...

Akak suka ana ngan en.afdha...hehe tentu banyak cabarannya nak pulihkn en afdha tapi akak tetap suka..tak sabar nak baca bab seterusnya

..Dg.Siti

Unknown said...

makin lama makin best.. ternanti-nanti entry baru..

memang layan watak psyco afdhal nie..
walaupun naim hensem n sweet..
rasanya afdhal lebihhh lagi.. kihkih..

yg lain jgn marah tau... :)

Anonymous said...

tak sabar nak tahu apa sebenarnya yng berlaku kat afdhan..kesian plak kat dia..-___-

lili marina said...

AH thank you for n3 nie. skrg dah x sabar nak tunggu next n3. banyak betul rahsia En Afdhal yg belum diketahui....jeng3x
AH..kalu boleh jgnlah rehatkan next n3 JJC nie :(

kak na said...

readers pun tersiksa jugak AH
nk ana dgn naim...buleh ke?

Eijan said...

Ana patut cari rumah lain utk jauhkan diri dari dr Naim...biar mak lang terasa yg dia telah lupakan 2 hati. Klu mereka masih ada dlm sebuah rumah makin terseksa mereka menanggung perasaan. Sy masih harap Ana & Naim bersama. Bengang sebenarnya dgn keluarga mak lang yg x sedar @ buat tak faham perubahan Ana & Naim...

Afdal pun dlm kekurengan dia tu mungkin tlh jatuh hati pada Ana tanpa sedar...tp x sesuai kot Ana dan Afdal tu....Jangan Ana Jatuh Cinta sudah kat Afdal tu.....

ida said...

Suka dgn watak Afdal yg pelik sbb lain dari watak2 dlm criter Adah before this. Ana & Naim maybe sepadan tapi kadang2 cinta tu datang dlm keadaan yg kita langsung x expect...so kalau Ana jatuh cinta pada Afdal pun rasanya x salah...

Anonymous said...

AH janganlan rehatkan terus sebulan JJC ni, rindu sgtlah

-chah husain-

Post a Comment