Sunday, June 9, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 9



9
            Puas aku berfikir. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk mencuba. Mencari tahu apakah kata-kata abang Joe benar? Betulkah Afdhal sukakan Dahlia? Mungkinkah orang yang punya masalah seperti Afdhal masih mampu untuk punya perasaan cinta? Itu aku tidak dapat pastikan dengan jelas.
            Namun mengikut abang Naim. Itu tidak mustahil. Katanya, ada gangguan jiwa yang berlaku tidak sepenuh masa. Apabila pesakit tidak terjebak dalam dunia yang mengganggu jiwa dan emosinya, pesakit mampu untuk memberikan reaksi sama seperti manusia normal.
            Boleh jadi abang Naim betul. Kerana itu jugalah aku bersusah payah memikirkan jalan ini. Aku mahu lihat reaksi Afdhal nanti. Kalaulah betul, mungkin aku boleh gunakan itu sebagai cara untuk membantu.
            Ya, mungkin sukar untuk aku memberikan pertolongan. Aku sendiri rasa hampir mustahil untuk aku lakukanya. Tapi aku tetap mahu mencuba. Boleh jadi aku bakal gagal, namun sekurang-kurangnya aku pernah berusaha untuk mencuba. Itu lebih baik daripada terlalu awal berputus asa. Sikap berputus asa, bukan sikap mukmin sejati.
            Nota sudah aku siapkan. Sekadar dilipat empat. Tunggu masa menanti munculnya encik Afdhal. Dialog juga sudah sedia tersimpan difikiran. Tunggu masa untuk dituturkan. Kali ini aku mahu ubah gaya. Oleh kerana encik Afdhal tidak dapat menerima aku seadanya, maka kau harus memberi tindak balas yang sama. Mungkin encik Afdhal akan lebih selesa begitu. Teori baru lagi! Sejak berada di sini, entah sudah berapa banyak teori yang aku cipta sendiri?
            Encik Afdhal akhirnya muncul ketika aku sedang sibuk-sibuk memasukkan inbois-inbois semasa ke dalam fail yang baru aku buka. Masih banyak yang perlu diuruskan di Arena Printing. Dokumennya tidak diurus dan diselaras dengan betul. Aku intai dari arah mejaku. Nampak gaya seperti dia dalam keadaan waras. Dia menyandar pada kerusinya lalu memejamkan mata.
Sejak dari pagi dia menghilang, dan kini baru menampakkan wajah. Jadi inilah masa yang sesuai untuk bertindak. Kakiku mula melangkah, membawa diri menghampiri meja encik Afdhal bersama sehelai nota di tangan. Sementara ada keberanian, lebih baik aku teruskan.
“Ehem..” aku memberi isyarat, memaklumkan kehadiranku.
Encik Afdhal membuka mata. Melihatkan aku di situ, dia membetulkan duduknya. Enggan bercakap banyak, lantas aku hulurkan nota yang dari tadi membuatkan aku tidak senang duduk selagi tidak bertukar tangan.
“Apa ni?” encik Afdhal hanya memerhati nota yang dihulurkan.
Aku menjungkitkan bahu. Buat-buat tak tahu, sambil mencukakan wajah. Seolah tidak berminat langsung dengan situasi itu.
Encik Afdhal sudahnya mencapai juga nota yang aku hulurkan setelah sekian lama. Sebaik sahaja nota diambil, aku terus berjalan untuk kembali ke tempat. Ketika aku mula duduk di kerusi, mata aku singgahkan pada encik Afdhal. Dia masih memandang nota yang sudahpun dibuka lipatannya. Terpaku dia di situ tanpa sebarang reaksi yang aku harapkan. Nampaknya, rancanganku kali ini tidak menjadi. Cis! Lalu aku kembali menyambung kerja dengan hati yang kecewa.
“Yes!”
Teriakan kuat suara encik Afdhal memeranjatkan aku. Rasanya, bukan hanya aku, malah beberapa pekerja lain yang turut ada terkejut sama. Terhenti langsung tugas yang baru saja disambung kembali. Encik Afdhal datang ke arahku dengan langkah penuh semangat. Lebar senyumannya. Inilah pertama kali aku dapat melihat senyuman dari bibir encik Afdhal. Sebuah senyuman yang hampir sempurna daripada seorang lelaki yang tidak sempurna mindanya.
“Siapa bagi kau note ni?” soal encik Afdhal.
Aku pula jadi terdiam, sedangkan jawapan bagi soalan ramalan itu sudahpun dirangka tadi.  “Er...” lidah enggan beri kerjasama.
“Eh, aku tanya kau ni. Siapa yang bagi note ni?” sekali lagi soalan yang sama diulang.
“Entah, mana saya kenal. Perempuan tu suruh saya bagi pada encik Afdhal, saya bagi ajelah.” Berjaya juga aku menjawab akhirnya.
“Perempuan?”
“Ha’ah, perempuan cantik, rambut panjang.”
Mendengar kataku, encik Afdhal tersenyum lagi. Mungkin penjelasanku itu mengesahkan apa yang ada dihatinya.  
“Tak sangka aku, kau ni bawa tuah!”
Aku telan liur. Bawa tuah? Kalaulah encik Afdhal tahu kebenarannya...
“Kau ada curi baca note ni, tak?” buntang mata encik Afdhal. Seperti memberi amaran.
“Alah, saya tahulah encik Afdhal tak suka saya. Tapi janganlah asyik tuduh saya ni mencuri. Hari tu tuduh saya curi art block, sekarang tuduh saya curi baca nota encik Afdhal pula. Ingat saya ambil kursus pengurusan mencuri ke, kat univerisiti tu?” aku tunjuk riak protes. Cuba melindung sebuah kebenaran.
Kali ini senyuman encik Afdhal sudah bertukar kepada sebuah tawa kecil. “So, kau tak tahulah isinya?”
Aku hanya menggelang. Enggan menjawab dengan lidah. Aku tidak mahu tertangkap. Mustahil aku tidak tahu isinya, sedangkan akulah yang menulis nota ringkas itu. Terima kasih kerana selalu memerhati saya! Sungguh aku tidak sangka, ayat yang tidak sampai sepuluh patah perkataan itu dapat menceriakan harinya. Langsung tak pernah aku melihat encik Afdhal sebegitu gembira.
Ternyata tekaan abang Joe sangat tepat. Sebagai manusia biasa, encik Afdhal punya perasaan pada kak Dahlia. Itu satu kenyataan. Ini bermakna aku sudah bertemu dengan kesukaan encik Afdhal.
Good!” encik Afdhal beredar begitu sahaja. Dan kali ini dia menghilangkan diri sekali lagi. Entah kemana dia mahu pergi? Jangan dia terus bersemuka dengan kak Dahlia, sudah!
Kepalaku menggeleng beberapa kali dengan sendirinya. Tak padan dengan ada masalah jiwa, tinggi pula citarasa! Encik Afdhal... encik Afdhal...

TEPAT jam enam petang, aku terus bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Syukur alhamdulillah, hari ini sahaja aku sudah berjaya memfailkan semua inbois dari tahun 2009. Fail-fail itu sudah aku lebelkan dan disimpan di dalam kabinet pejabat. Itu satu kejayaan besar pada diriku.
            Walau bagaimanapun, masih ada kejayaan yang lebih besar yang berjaya aku capai pada hari ini. Apa lagi kalau bukan tentang encik Afdhal. Nampak gayanya aku perlu mendapatkan bantuan Kak Dahlia dengan kadar segera. Aku yakin, dengan adanya kak Dahlia membakar semangat, encik Afdhal akan sembuh sedikit sebanyak.
Masalahnya aku kini ialah, mahukah kak Dahlia membantu? Itu yang aku risaukan.  Mahu atau tidak, aku perlu melibatkan kak Dahlia dalam perkara ini. Lagipun kak Dahlia kelihatan seperti orang baik-baik. Pasti dia tidak keberatan untuk menolong.
“Ana, tunggu...”
Aku yang baru saja mahu meninggalkan bangunan Arena Printing, mematikan niat apabila terdengar suara abang Joe memanggil. Berlari abang Joe mendapatkan aku bersama bungkusan berwarna putih dan merah di tangan.
“Kenapa ni abang Joe?” aku bertanya.
“Ana nak balik dah ke?”
“Ha’ahlah. Abang Joe ada nak minta Ana tolong apa-apa, ke?”
“Taklah, nah ambil ni.” Abang Joe menghulurkan bungkusan plastik yang tertera gambar Kolonel Harlends Sanders.
“Wah, KFC. Untuk Ana ke, ni?” soalku tidak percaya.
“Untuk Analah, untuk siapa lagi?” Abang Joe melepaskan pegangan sebaik sahaja aku memegang plastik.
“Ada apa-apa yang special ke hari ni, abang Joe?” soalku lagi sebelum menghidu bau ayam goreng yang sungguh enak.
“Itu yang abang Joe nak tanya Ana ni?”
“Aik, kenapa nak tanya Ana pula?”
“Apa yang Ana dah buat dengan Afdhal?” abang Joe memeluk tubuhnya.
“Apa yang Ana dah buat dengan encik Afdhal?” dahiku mula berkerut, memikirkan pertanyaan abang Joe. “Buat apa? mana ada buat apa-apa? Ana nampak muka encik Afdhal pun sekali aje hari ni.” Aku jelaskan.
“Habis tu, kenapa Afdhal suruh abang bagi KFC ni pada Ana?”
“Hah?” aku terkejut. “Encik Afdhal yang bagi KFC ni pada Ana?” aku seakan tidak percaya.
Abang Joe hanya mengangguk, membenarkan kata-kataku. Aduh, ini mesti kes nota tadi! Dahiku sudah mula mengeluarkan peluh. Mujur kain tudung yang menutup kepala menelan peluh yang mengalir.        
“Apa yang Ana dah buat sampai Afdhal happy macam tu? Dah lama, baru hari ni Afdhal senyum balik. Apa yang Ana dah buat? lebih baik Ana terus terang dengan abang Joe.” Jari telunjuk abang Joe sudah mula naik ke mukaku.
Serba salah aku dibuatnya. Mahu memberi tahu atau tidak? Rasanya untak kali ini, aku tak boleh menceritakan perkara itu pada abang Joe. Buatnya abang Joe cerita pada kak Lin, dan kak Lin terlebih dahulu sampaikan pada kak Dahlia sebelum aku memohon bantuanya, pasti rancangan aku bakal gagal. Itu tak boleh berlaku!
“Ana tak buat apapun.” Aku berdalih. “kalau abang Joe tak percaya, abang Joe pergilah tanya encik Afdhal.” Alamak! Macam manalah aku boleh bagi idea sebegitu. Salah percaturan pula. Kalau abang Joe tanya pada encik Afdhal, habislah aku.
“Dah tanya dah.”
“Hah?” sekali lagi aku terkejut. Kasihan jantungku hari ini, asyik dikejutkan.
“Afdhal tak nak share, sebab tu abang Joe tanya Ana direct. Dah dia belikan KFC ni untuk Ana, mesti Ana ada kaitan.” Cekap saja otak abang Joe berkerja.
“Betullah abang Joe. Ana tak tahu apa-apa. Ana sendiri terkejut bila abang Joe cakap encik Afdhal bagi KFC ni untuk Ana.” Bersungguh aku menafikan. Mengharapkan kepercayaan abang Joe. “Entah-entah encik Afdhal rasa bersalah sebab tuduh Ana curi art block dia hari tu kut?” aku reka sebuah cerita untuk menutup satu cerita. 
“Entahlah. Dahlah pergilah balik.” Abang Joe akhirnya melepaskan aku.
“Iyalah, Ana balik dulu. Terima kasih abang Joe. Assalamualaikum.” Aku sudah tidak mahu menambah bicara. Lebih baik aku segera menghilang. Itu lebih selamat.
“Wa’alaikumusalam.” Balas abang Joe perlahan.

WAKTU maghrib sudahpun masuk sewaktu aku keluar dari stesyen putra LRT. Bergegas aku berjalan pulang. Hujan rahmat pula mula turun rintik demi rintik. Lalu aku bawa kaki berjalan lebih laju. Kalau hujan lebat membasahi bumi sebelum aku sempat sampai, itu bermakna aku bakal basah kuyup. Kini kakiku menambah kelajuan lagi. Hampir saja berlari anak.
            Bunyi hon kenderaan yang kedengaran beberapa kali membuatkan aku berpaling. Kerata Nissan Almera, milik abang Naim jelas kelihatan. Kereta itu kini betul-betul berhenti di sebelahku.
            “Ana, jom... ” abang Naim sudah membukakan pintu penumpang hadapan melalui tempat duduknya.
            Aku tersenyum. Bantuan sampai tepat pada masanya. Syukur. Lalu aku menumpang kereta abang Naim untuk pulang ke detinasi yang sama.
            “Pakai seat belt.” Arah abang Naim
            “Alah, tak payahlah... dekat aje.” Aku enggan. Bukan jauh sangat pun. Kalau naik kereta kurang lima minit perjalanan.
            “Dekat ke, jauh ke, tetap kena pakai. Ana kena selalu utamakan keselamatan. Dah, pakai cepat.” Abang Naim masih bertegas.
            Nampaknya aku harus bertindak mengikut arahan. Terpaksa juga aku tarik tali pinggan keledar.
            “Sedapnya KFC... Ana beli untuk abang, ke?”
            Aku memandang bungkusan KFC yang aku letakkan di atas pehaku. “Taklah, ada orang bagi pada Ana.”
            ‘Siapa yang bagi?” laju abang Naim bertanya.
            “Bos Ana...”
            “Semua staff dapat ke?” soal abang Naim lagi.
            “Taklah, Ana seorang aje.” Aku balas jujur.
            “Kenapa Ana seorang aje yang dapat?” dahi abang Naim mula berkerut. Sekilas dia memandang diriku sebelum kembali memberikan tumpuan pada pemanduannya.
            Soalan itu membuatkan aku lidahku kaku. Apa pula nak jawab kali ini? Soalan itu walaupun berlainan strukutrnya, namun maksudnya masih sama seperti yang abang Joe tanyakan tadi.
            “Kenapa diam?” abang Naim kelihatan seperti memerlukan jawapan segera bagi soalannya.
            “Sebab Ana staff baru. Kawan-kawan kat ofis cakap, bos tu memang akan belanja staff baru makan. Selalunya dia akan belanja makan kat luar. Tapi Ana tak, dia just belikan KFC aje.” Aku harap abang Naim senang hati mendengar jawapan yang aku berikan.
            “Oh... baguslah kalau ada bos macam tu.” Kini abang Naim tersenyum. Dan senyuman itu membuatkan aku menjadi lega.
            Kereta akhirnya diberhentikan sebaik sahaja memasuki perkarangan rumah. Aku bersiap untuk turun. Tali pinggan keledar yang tadinya dipasang, kini ditanggalkan kembali. Pintu kereta sudah aku buka dan kaki mula menapak keluar, untuk turun.
            “Ana.”
            Panggilan abang Naim membuatkan aku tidak jadi turun. Aku kembali menoleh. Mungkinkah ada barangku yang tertinggal?
            “Ana tahu tak kenapa umi dengan ayah Ana datang KL?”
            “Entah, tak tahu. Kenapa?” sungguh aku tidak tahu dengan jelas kenapa. Kerana umi tidak mahu memaklumkan apa-apa. Cuma yang aku itu, ianya punya kaitan dengan abang Naim.
            “Tak apalah, nanti Ana tahu juga.” Abang Naim menguntum senyuman. Kemudian dia mematikan enjin lalu turun. Aku turut sama turun dengan hati penuh tanda tanya. Mungkinkah abang Naim cuba sampaikan sesuatu melalui pertanyaan tadi? Hati masih bersoal jawab.

Bersambung...

Kata AH: 
Alhamdulillah. Selamat Membac entry 9. Semoga entry ini membuatkan anda jatuh cinta pada JJC... hi2 Tq to all.. <3 br="">

3 comments:

Eijan said...

Takut keluarga Naim minta tlg parents Ana pergi meminang someone...kesiannya Ana...sbb mak Ana ada kata ada kena mengena dgn Naim tp bukan Ana..kesian Ana mengharap Naim...

tini said...

Mak Ana ckp takde kaitan dgn Ana maksudnya diaorang nk join rombongan meminang org lain ker? Ntah2 pg pinang Kak Dahlia kot?????

Anonymous said...

A'ahkan tini... mungkin jugak tu...

Post a Comment