8
Hujung
minggu ini adalah hujung minggu yang paling menyeronokkan. Pak lang, mak lang
dan abang Naim sama-sama turun padang,
menunjukkan kemahiran memasak. Sudah terasa seperti pertandingan Master Chef
Malaysia pula. Mana tidaknya, pak lang sibuk membantu mak lang menyediakan lauk
daging kawah dan pajeri terung. Manakala aku diminta untuk membantu abang Naim
menyediakan siput masak lemak cili api. Kata mak lang, abang Naim memang pakar
dalam menyediakan lauk itu.
Tapi
daripada tadi aku hanya memerhati abang Naim menyelesaikan urusan dengan siput
yang masih merayap, memanjat mangkuk besar. Geli geleman aku dibuatnya.
Melihatkan tahap hubunganku dengan siput itu, maka abang Naim meminta aku supaya duduk dan memerhati. Itu saja!
Aku
tidak tahu apa istimewanya dengan hari ini. Namun hatiku kuat mengatakan bahawa
ada sesuatu. Entah apa agaknya. Biarlah,
nanti akan ketahuan juga. Kini aku kembali memerhati abang Naim. Sungguh cekap
dia menguruskan siput-siput itu. Saling tak tumpah macam Chef Fabio Viviani,
Chef kelahiran Italy cukup terkemuka pada ketika ini. Untunglah aku nanti. Hati
sudah mula ketawa.
“Dulu
masa Ana kecil, Ana selalu suruh abang sedutkan siput untuk Ana. Ana ingat
tak?”
“Hah?”
aku cuba imbas masa. Betul ke?
“Tak
ingat ke?” abang Naim masih bertanya, sedang tangannya sedang galak mencuci
siput-siput yang penuh semangkuk. “Itulah, tak suka lagi makan kismis. Abang
yang selalu kena habiskan kismis Ana.” Lagi kisah lama dibangkitkan.
Kismis
pula? Aduh, kenapa aku langsung tak ingat kisah-kisah itu? “Ingat!” satu
pembohongan aku cipta. Semata-mata menjaga hati abang Naim.
“Nasib
baik ingat, kalau tak, abang dah nak merajuk.” Abang Naim pamerkan senyuman
manisnya.
“Merajuk
pun tak guna. Ana tak reti nak pujuk.”
“Memanglah.
Masa kecil dulupun, abang yang selalu pujuk Ana. Ana tak pernah nak pujuk
abang.” Abang Naim tarik muncung.
Aku
ketawa kecil. Yang itu aku ingat. Sangat ingat! gula-gula lolipop menjadi
saksi.
“Dahlah
berborak, tak siap nanti lauk siput tu. Karang tak sempat pula.” Mak lang
bersuara. Memberi peringatan.
“Itulah
mak, kalau Ana ada, Naim tak boleh nak buat kerja cepat.” Laju saja ayat itu
keluar dari mulut abang Naim.
“Iyalah
tu...” balas mak lang kembali. “Ana, kamu tolong Mak lang potong terung ni.
Jangan dilayan abang Naim kamu tu, nanti tak makan kita.” Arah mak lang.
“Betul
tu Ana.” Suara pak lang pula kedengaran. Mengiyakan semua kata-kata isterinya.
Aku
pandang abang Naim. Abang Naim mencebikkan bibir sambil menggelengkan kepala,
enggan membenarkan. Kemudian dia tersenyum. Sempat lagi dia bergurau. “Baik mak
lang.” Aku atur langkah ke arah mak lang. Membantu seperti pintanya.
“UMI,
ABAH...” aku benar-benar terkejut
melihat kedua orang tuaku. Laju aku
berlari mendapatkan mereka di muka pintu. Sungguh tak aku sangka aku akan
menerima kunjungan mereka tengah hari ini.
“Umi dengan abah tak bagi tahu
Anapun nak datang KL.” Aku tunjuk riak rajuk selepas bersalaman dengan mereka.
“Saja nak buat kejutan.” Umi mencium
dahiku.
“Hai, nak melawat anak sendiripun
nak kena bagi tahu?” giliran abah menambah.
“Alah abah ni, bukan macam tu. Kalau
Ana tahu, bolehlah Ana masakkan untuk umi dengan abah.”
“Kamu bukan pandai masakpun...” abah
membalas kata.
“Abah ni...” rengekku, manja.
“Dahlah, jom masuk. Berborak kat
dalam. Makanan pun dah nak sejuk tu.” Pak lang menjemput.
Hari ini memang hari yang
menggembirakan. Mungkin inilah sebabnya mak lang dan pak lang beriya-iya
memasak. Patutlah abang Naimpun bersungguh hari ini. Nak menghidangkan bakal
mertua dengan air tangan sendiri rupanya. Mereka semua membuatkan aku rasa
sangat bahagia.
Sesudah makan, aku membantu umi
membasuh pinggan. Mak lang pula sedang berbual di talian. Panjang sungguh
perbualan mak lang. Dengan siapalah agaknya? Mungkin kawan mak lang agaknya.
“Umi...” aku mencuit umi yang sedang
asyik melumurkan sabun untuk menanggalkan kotoran.
“Apa dia?”
“Umi datang sini sebab nak jenguk
Ana aje, ke, atau ada sebab lain?” aku tidak mahu simpan pertanyaan itu. Aku
ingin tahu. Kebetulan hanya aku ada umi di sini, maka ada baik aku bertanya
sekarang.
“Kalau umi kata sebab nak jenguk Ana
aje, macam mana?”
“Alah umi ni, cakaplah betul-betul.”
Aku membuat rayuan.
“Memang datang nak jenguk Ana, tapi
kebetulan pula, mak lang kata ada benda nak bincang dengan umi.”
Akhirnya umi menceritakan
segala-galanya. Ada benda yang nak dibincangkan? Ada kemusykilan di situ.
“Nak bincang pasal apa, umi?”
“Ish, yang Ana sibuk nak tahu hal
orang-orang tua ni nak pasal apa?” Umi menghentikan kerja. Tepat dia memandang
wajahku.
“Tak adalah umi, saja nak tahu.
Manalah tahukan ada kena mengena dengan Ana.” Aku tersengih.
“Tak ada kena mengena dengan Ana,
pun. Pasal abang Naim aje. Anak umi tolong jangan nak perasan ya.”
“Alah umi, biasanya hal-hal yang ada
kaitan dengan abang Naim ni, ada kaitan dengan Ana juga.” Aku angkat kening
berkali-kali.
Umi menggelengkan kepala. “Tak
kuasalah umi nak layan perasaan kamu tuh. Nanti umi cakap dengan mak lang yang
kamu suka abang Naim, baru kamu tahu. Dah, habiskan basuh pinggan ni, umi nak
ke depan!”
“Umi...” panggilanku sudah tidak
lagi dihiraukan. Nampak gayanya, memang akulah yang kena habiskan membasuh
semua pinggan mangkuk. Tapi itu tak mengapa kerana pada saat ini ada sekuntum
bunga sedang berkembang mekar di dalam hati.
ORANG pertama yang ingin aku cari sebaik saja
aku sampai di Arena Printing nanti ialah abang Joe. Sungguhpun hujung minggu
yang aku lalui penuh dengan kegembiraan, namun hatiku tidak lepas daripada
memikirkan keselamatan kak Dahlia. Aku harus bersemuka dengan abang Joe dan
menceritakan segala-galanya.
Art
block yang aku ambil tempoh hari juga aku bawa bersama. Aku perlu
mengemukakan bukti supaya abang Joe tidak salah anggap. Abang Joe pasti akan
terkejut dengan penemuanku. Aku yakin dan pasti!
“Abang Joe.” Pekikku kuat sebaik
sahaja melihat kelibat abang Joe yang sedang tekun membuka kunci mangga pada
pintu roller shutter. Abang Joe
menampakkan wajahnya. Dia mengangkat keningnya sambil tersenyum.
Laju aku berjalan menghampiri abang
Joe. Perkara ini harus diselesaikan segera sebelum sesuatu terjadi pada kak
Dahlia. “Assalamualaikum, abang Joe.” Aku mulakan dengan adab Islam. Tidak mahu
nampak begitu kabut.
“Wa’alaikumusalam. Ha, Ana, awal sampai.” Abang Joe mengeluarkan mangga
dari tempatnya lalu menolak pintu roller
shutter ke atas. Dan kini pintu kaca sudah mula kelihatan.
“Ha’ah, awal.” Aku turut mengukir
senyuman. “Abang Joe, Ana ada hal nak cakap dengan abang Joe. Penting!”
“Penting? Apa dia? Cakaplah!” abang
Joe mula menghadap, memandang aku dengan pandangan yang serius.
“Kat sini?” aku mula pandang
sekeliling. Risau pula kalau Afdhal tiba-tiba saja muncul nanti. Buruk
padahnya!.
“Habis tu nak cakap kat mana lagi?”
“Encik Afdhal kat mana?” aku mahu
kepastian.
“Entah, dekat bilik atas bumbung tu
la kut. Kenapa ni, Ana? Cuba cerita.”
“Jom, ikut Ana.” Aku terus masuk ke
dalam bangunan. Sebelum Afdhal sampai, aku harus menunjukkan bukti yang pertama
pada abang Joe.
Abang Joe tidak banyak cakap. Dia
hanya mengikut langkahku. Sampai saja di meja Afdhal, aku terus membuka laci
mejanya. Kertas lukisan semalam aku keluarkan.
“Cuba abang tengok gambar ni, abang
Joe kenal tak perempuan ni?”
“Kenal.” Abang Joe menjawab pantas.
Langsung tidak menunjukkan reaksi terkejut. Seolah dia sudah mengetahui tentang
kewujudan gambar itu.
“Kalau Ana nak tahu, ini gambar owner butik kecantikan kat depan tu.
Nama dia Dahlia. Dia nilah bos kak Lin.” Abang Joe membuat penerangan.
“Abang Joe kenal?” aku memberikan
soalan bodoh. Sudah panjang lebar abang Joe berbicara tentang kak Dahlia,
mustahil dia tidak tahu.
“Kenapa pula tak kenal? Masalahnya
apa sebenarnya ni, Ana?” wajah abang Joe mula kelihatan bosan untuk terus
melayan.
“Abang Joe tahu siapa yang lukis
gambar ni?” aku bertanya lagi. Dan pertanyaanku itu membuatkan abang Joe
terdiam seketika.
“Kalau Ana ambil dari laci meja
Afdhal, dah tentulah Afdhal yang lukis.” Akhirnya ada juga jawapan yang keluar dari mulut abang
Joe.
“Abang Joe tahu kenapa encik Afdhal
lukis gambar ni?”
Abang Joe mendiamkan diri sekali
lagi.
“Kenapa, Ana tahu ke?”
Aku mengangguk. Kemudian aku tarik
nafas seketika. Terasa berat untuk menyatakan kebenaran. “Kak Dahlia mungkin
mangsa ketiga yang encik Afdhal cari. Nyawa kak Dahlia dalam bahaya. Kita kena
buat sesuatu.” Bersungguh aku bercerita. Berharap abang Joe dapat membantu
memikirkan jalan.
Ketawa abang Joe meletus kuat
mendengar kata-kataku. Terbahak-bahak abang Joe ketawa. Reaksi yang abang Joe
tunjukkan itu memeranjatkan aku. Apa yang lucunya dengan cerita yang aku
sampaikan tadi?
“Abang Joe ketawa ni kenapa?”
Soalanku tidak diendahkan. Abang Joe
masih terus dengan tawanya. Jadi aku terpaksa berdiri, terus memerhati abang
Joe menghabiskan rasa geli hati.
“Aduhai, Ana...Ana... nasib baik tak
pecah perut, abang Joe.” Ketawa abang Joe sedikit reda. “Ana banyak sangat
tengok cerita Detactive Conan ni.”
“Abang Joe ni, Ana cakap
betul-betul, abang Joe main-main pula.” Aku tarik muka. Aku tidak mereka-reka
cerita.
“Ana nak cakap yang Afdhal tu nak
bunuh Dahlia? Apa yang Ana merepek ni?”
“Ana tak merepeklah, Abang Joe, cuba
abang Joe tengok ni?” dengan lajunya aku mengeluarkan art block milik Afdhal. Sehelai demi sehelai kertas pada art block itu aku selak. Aku mahu abang
Joe melihat semuanya. Mungkin abang Joe tak pernah melihat semua itu, jadi
abang Joe menyatakan sedemikian.
“Abang Joe tengoklah sendiri, dah
berapa banyak rumah yang encik Afdhal bakar?” tegas aku menyatakan. “Satu dah
mati, dua dah mati, yang ketiga?” aku bacakan ayat yang tertulis pada helaian
terakhir art block itu. Ayat yang
pernah membuatkan art block itu aku
campak di bawah katil. “Dua orang dah
mati tau abang Joe. Sekarang ni tinggal mangsa ketiga. Ini bukan benda
main-main!”
“Astagafirullahal’azim.” Abang Joe
beristigfar panjang.
Aku mula lega. Akhirnya abang Joe
mahu percaya.
“Ana, dengar ni elok-elok.”
Aku memberikan perhatian pada abang
Joe.
“Semua yang Ana cakap tu, tak betul.
Afdhal bukan pembunuh macam yang Ana fikirkan.”
“Tapi abang Joe...”
“Tak ada tapi-tapi, Ana. Abang Joe
lebih kenal Afdhal daripada Ana. Kalaulah abang Joe boleh ceritakan pada Ana,
abang Joe dah ceritakan semuanya. Tapi abang Joe tak boleh nak ceritakan
apa-apa.” abang Joe menundukkan wajah.
“Kenapa pula tak boleh?”
“Abang Joe dah bersumpah pada Afdhal
yang abang Joe takkan ungkit cerita hidup dia.” Sugul wajah abang Joe.
“Kalau macam tu, susahlah Ana nak
tolong. Ana tak ada apa-apa sumber. Apa yang Ana andaikan, semuanya salah. Ana
tak tahu nak buat apa.” Lemah aku berbicara. Kalau beginilah keadaannya. Aku
tak dapat nak berbuat apa-apa.
“Terpulanglah pada Ana. Kalau Ana
tak mampu, abang Joe tak boleh buat apa-apa. ” abang Joe mula meninggalkan aku.
“Ana...” abang Joe memanggil.
Aku kembali memandang abang Joe yang
sudah beberapa langkah di hadapan.
“Satu dah mati. Itu ayah Afdhal. Dua
dah mati. Itu emak Afdhal. Yang ketiga? Afdhal maksudkan diri dia sendiri.”
Mendengarkan itu, langsung terlepas art block yang aku pegang sejak tadi.
“Dulu masa sekolah, Afdhal pernah
bagi tahu abang ciri-ciri wanita idaman dia. Abang rasa Dahlia ada semua
ciri-ciri tu. Mungkin Afdhal sukakan Dahlia, sebab tu dia lukis gambar Dahlia.”
Tambah abang Joe.
Aku sudah tidak mampu berkata-kata. Semua
andaianku tidak benar, membuatkan aku rasa bersalah pada Afdhal.
“Mungkin Afdhal ada masalah jiwa,
tapi dia bukan yang macam Ana fikirkan.”
Abang Joe terus berlalu setelah
meninggalkan kata yang begitu payah untuk aku telan sendiri.
Bersambung...
KATA AH :
Assalamualaikum. Alhamdulillah, selesai update bab 8 utk bacaan semua. Terima kasih krn masih setia dgn JJC. Buat yang mahu mendapatkan Novel SUDI KATA SUDI, tempahan kini dibuka oleh Fajar Pakeer. AH nantikan komen2 daripada semua supaya AH dapat memperbaiki lagi kekurangan2 yg sentiasa ada. Terima kasih.
Salam Ukhwah
AH
3 comments:
terbaik!! agak2 knp afdhal jd cam tu?? ce cite2..
:)
Best! Tak puas baca sebab klu siasatan Ana ckit sgt!
Best, cite ni buat sy tertanya2 dan xblh expect apa yg akn berlaku lps ni...
Post a Comment