9
Puas aku berfikir. Akhirnya aku
mengambil keputusan untuk mencuba. Mencari tahu apakah kata-kata abang Joe
benar? Betulkah Afdhal sukakan Dahlia? Mungkinkah orang yang punya masalah
seperti Afdhal masih mampu untuk punya perasaan cinta? Itu aku tidak dapat
pastikan dengan jelas.
Namun mengikut abang Naim. Itu tidak
mustahil. Katanya, ada gangguan jiwa yang berlaku tidak sepenuh masa. Apabila
pesakit tidak terjebak dalam dunia yang mengganggu jiwa dan emosinya, pesakit
mampu untuk memberikan reaksi sama seperti manusia normal.
Boleh jadi abang Naim betul. Kerana
itu jugalah aku bersusah payah memikirkan jalan ini. Aku mahu lihat reaksi
Afdhal nanti. Kalaulah betul, mungkin aku boleh gunakan itu sebagai cara untuk
membantu.
Ya, mungkin sukar untuk aku
memberikan pertolongan. Aku sendiri rasa hampir mustahil untuk aku lakukanya.
Tapi aku tetap mahu mencuba. Boleh jadi aku bakal gagal, namun
sekurang-kurangnya aku pernah berusaha untuk mencuba. Itu lebih baik daripada
terlalu awal berputus asa. Sikap berputus asa, bukan sikap mukmin sejati.
Nota sudah aku siapkan. Sekadar
dilipat empat. Tunggu masa menanti munculnya encik Afdhal. Dialog juga sudah
sedia tersimpan difikiran. Tunggu masa untuk dituturkan. Kali ini aku mahu ubah
gaya. Oleh kerana encik Afdhal tidak dapat menerima aku seadanya, maka kau
harus memberi tindak balas yang sama. Mungkin encik Afdhal akan lebih selesa
begitu. Teori baru lagi! Sejak berada di sini, entah sudah berapa banyak teori
yang aku cipta sendiri?
Encik Afdhal akhirnya muncul ketika
aku sedang sibuk-sibuk memasukkan inbois-inbois semasa ke dalam fail yang baru
aku buka. Masih banyak yang perlu diuruskan di Arena Printing. Dokumennya tidak
diurus dan diselaras dengan betul. Aku intai dari arah mejaku. Nampak gaya
seperti dia dalam keadaan waras. Dia menyandar pada kerusinya lalu memejamkan
mata.
Sejak
dari pagi dia menghilang, dan kini baru menampakkan wajah. Jadi inilah masa
yang sesuai untuk bertindak. Kakiku mula melangkah, membawa diri menghampiri
meja encik Afdhal bersama sehelai nota di tangan. Sementara ada keberanian,
lebih baik aku teruskan.
“Ehem..”
aku memberi isyarat, memaklumkan kehadiranku.
Encik
Afdhal membuka mata. Melihatkan aku di situ, dia membetulkan duduknya. Enggan
bercakap banyak, lantas aku hulurkan nota yang dari tadi membuatkan aku tidak
senang duduk selagi tidak bertukar tangan.
“Apa
ni?” encik Afdhal hanya memerhati nota yang dihulurkan.
Aku
menjungkitkan bahu. Buat-buat tak tahu, sambil mencukakan wajah. Seolah tidak
berminat langsung dengan situasi itu.
Encik
Afdhal sudahnya mencapai juga nota yang aku hulurkan setelah sekian lama.
Sebaik sahaja nota diambil, aku terus berjalan untuk kembali ke tempat. Ketika
aku mula duduk di kerusi, mata aku singgahkan pada encik Afdhal. Dia masih
memandang nota yang sudahpun dibuka lipatannya. Terpaku dia di situ tanpa
sebarang reaksi yang aku harapkan. Nampaknya, rancanganku kali ini tidak
menjadi. Cis! Lalu aku kembali menyambung kerja dengan hati yang kecewa.
“Yes!”
Teriakan
kuat suara encik Afdhal memeranjatkan aku. Rasanya, bukan hanya aku, malah
beberapa pekerja lain yang turut ada terkejut sama. Terhenti langsung tugas
yang baru saja disambung kembali. Encik Afdhal datang ke arahku dengan langkah
penuh semangat. Lebar senyumannya. Inilah pertama kali aku dapat melihat
senyuman dari bibir encik Afdhal. Sebuah senyuman yang hampir sempurna daripada
seorang lelaki yang tidak sempurna mindanya.
“Siapa
bagi kau note ni?” soal encik Afdhal.
Aku
pula jadi terdiam, sedangkan jawapan bagi soalan ramalan itu sudahpun dirangka
tadi. “Er...” lidah enggan beri
kerjasama.
“Eh,
aku tanya kau ni. Siapa yang bagi note
ni?” sekali lagi soalan yang sama diulang.
“Entah,
mana saya kenal. Perempuan tu suruh saya bagi pada encik Afdhal, saya bagi
ajelah.” Berjaya juga aku menjawab akhirnya.
“Perempuan?”
“Ha’ah,
perempuan cantik, rambut panjang.”
Mendengar
kataku, encik Afdhal tersenyum lagi. Mungkin penjelasanku itu mengesahkan apa
yang ada dihatinya.
“Tak
sangka aku, kau ni bawa tuah!”
Aku
telan liur. Bawa tuah? Kalaulah encik Afdhal tahu kebenarannya...
“Kau
ada curi baca note ni, tak?” buntang
mata encik Afdhal. Seperti memberi amaran.
“Alah,
saya tahulah encik Afdhal tak suka saya. Tapi janganlah asyik tuduh saya ni
mencuri. Hari tu tuduh saya curi art
block, sekarang tuduh saya curi baca nota encik Afdhal pula. Ingat saya
ambil kursus pengurusan mencuri ke, kat univerisiti tu?” aku tunjuk riak
protes. Cuba melindung sebuah kebenaran.
Kali
ini senyuman encik Afdhal sudah bertukar kepada sebuah tawa kecil. “So, kau tak tahulah isinya?”
Aku
hanya menggelang. Enggan menjawab dengan lidah. Aku tidak mahu tertangkap.
Mustahil aku tidak tahu isinya, sedangkan akulah yang menulis nota ringkas itu.
Terima kasih kerana selalu memerhati saya! Sungguh aku tidak sangka, ayat yang
tidak sampai sepuluh patah perkataan itu dapat menceriakan harinya. Langsung
tak pernah aku melihat encik Afdhal sebegitu gembira.
Ternyata
tekaan abang Joe sangat tepat. Sebagai manusia biasa, encik Afdhal punya
perasaan pada kak Dahlia. Itu satu kenyataan. Ini bermakna aku sudah bertemu
dengan kesukaan encik Afdhal.
“Good!” encik Afdhal beredar begitu
sahaja. Dan kali ini dia menghilangkan diri sekali lagi. Entah kemana dia mahu
pergi? Jangan dia terus bersemuka dengan kak Dahlia, sudah!
Kepalaku
menggeleng beberapa kali dengan sendirinya. Tak padan dengan ada masalah jiwa,
tinggi pula citarasa! Encik Afdhal... encik Afdhal...
TEPAT
jam enam petang, aku terus bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Syukur
alhamdulillah, hari ini sahaja aku sudah berjaya memfailkan semua inbois dari
tahun 2009. Fail-fail itu sudah aku lebelkan dan disimpan di dalam kabinet
pejabat. Itu satu kejayaan besar pada diriku.
Walau bagaimanapun, masih ada
kejayaan yang lebih besar yang berjaya aku capai pada hari ini. Apa lagi kalau
bukan tentang encik Afdhal. Nampak gayanya aku perlu mendapatkan bantuan Kak
Dahlia dengan kadar segera. Aku yakin, dengan adanya kak Dahlia membakar
semangat, encik Afdhal akan sembuh sedikit sebanyak.
Masalahnya
aku kini ialah, mahukah kak Dahlia membantu? Itu yang aku risaukan. Mahu atau tidak, aku perlu melibatkan kak
Dahlia dalam perkara ini. Lagipun kak Dahlia kelihatan seperti orang baik-baik.
Pasti dia tidak keberatan untuk menolong.
“Ana,
tunggu...”
Aku
yang baru saja mahu meninggalkan bangunan Arena Printing, mematikan niat
apabila terdengar suara abang Joe memanggil. Berlari abang Joe mendapatkan aku
bersama bungkusan berwarna putih dan merah di tangan.
“Kenapa
ni abang Joe?” aku bertanya.
“Ana
nak balik dah ke?”
“Ha’ahlah.
Abang Joe ada nak minta Ana tolong apa-apa, ke?”
“Taklah,
nah ambil ni.” Abang Joe menghulurkan bungkusan plastik yang tertera gambar Kolonel
Harlends Sanders.
“Wah,
KFC. Untuk Ana ke, ni?” soalku tidak percaya.
“Untuk
Analah, untuk siapa lagi?” Abang Joe melepaskan pegangan sebaik sahaja aku
memegang plastik.
“Ada
apa-apa yang special ke hari ni,
abang Joe?” soalku lagi sebelum menghidu bau ayam goreng yang sungguh enak.
“Itu
yang abang Joe nak tanya Ana ni?”
“Aik,
kenapa nak tanya Ana pula?”
“Apa
yang Ana dah buat dengan Afdhal?” abang Joe memeluk tubuhnya.
“Apa
yang Ana dah buat dengan encik Afdhal?” dahiku mula berkerut, memikirkan pertanyaan
abang Joe. “Buat apa? mana ada buat apa-apa? Ana nampak muka encik Afdhal pun
sekali aje hari ni.” Aku jelaskan.
“Habis
tu, kenapa Afdhal suruh abang bagi KFC ni pada Ana?”
“Hah?”
aku terkejut. “Encik Afdhal yang bagi KFC ni pada Ana?” aku seakan tidak
percaya.
Abang
Joe hanya mengangguk, membenarkan kata-kataku. Aduh, ini mesti kes nota tadi! Dahiku
sudah mula mengeluarkan peluh. Mujur kain tudung yang menutup kepala menelan
peluh yang mengalir.
“Apa
yang Ana dah buat sampai Afdhal happy
macam tu? Dah lama, baru hari ni Afdhal senyum balik. Apa yang Ana dah buat?
lebih baik Ana terus terang dengan abang Joe.” Jari telunjuk abang Joe sudah
mula naik ke mukaku.
Serba
salah aku dibuatnya. Mahu memberi tahu atau tidak? Rasanya untak kali ini, aku
tak boleh menceritakan perkara itu pada abang Joe. Buatnya abang Joe cerita
pada kak Lin, dan kak Lin terlebih dahulu sampaikan pada kak Dahlia sebelum aku
memohon bantuanya, pasti rancangan aku bakal gagal. Itu tak boleh berlaku!
“Ana
tak buat apapun.” Aku berdalih. “kalau abang Joe tak percaya, abang Joe pergilah
tanya encik Afdhal.” Alamak! Macam manalah aku boleh bagi idea sebegitu. Salah
percaturan pula. Kalau abang Joe tanya pada encik Afdhal, habislah aku.
“Dah
tanya dah.”
“Hah?”
sekali lagi aku terkejut. Kasihan jantungku hari ini, asyik dikejutkan.
“Afdhal
tak nak share, sebab tu abang Joe
tanya Ana direct. Dah dia belikan KFC
ni untuk Ana, mesti Ana ada kaitan.” Cekap saja otak abang Joe berkerja.
“Betullah
abang Joe. Ana tak tahu apa-apa. Ana sendiri terkejut bila abang Joe cakap
encik Afdhal bagi KFC ni untuk Ana.” Bersungguh aku menafikan. Mengharapkan
kepercayaan abang Joe. “Entah-entah encik Afdhal rasa bersalah sebab tuduh Ana
curi art block dia hari tu kut?” aku
reka sebuah cerita untuk menutup satu cerita.
“Entahlah.
Dahlah pergilah balik.” Abang Joe akhirnya melepaskan aku.
“Iyalah,
Ana balik dulu. Terima kasih abang Joe. Assalamualaikum.” Aku sudah tidak mahu
menambah bicara. Lebih baik aku segera menghilang. Itu lebih selamat.
“Wa’alaikumusalam.”
Balas abang Joe perlahan.
WAKTU
maghrib sudahpun masuk sewaktu aku keluar dari stesyen putra LRT. Bergegas aku
berjalan pulang. Hujan rahmat pula mula turun rintik demi rintik. Lalu aku bawa
kaki berjalan lebih laju. Kalau hujan lebat membasahi bumi sebelum aku sempat
sampai, itu bermakna aku bakal basah kuyup. Kini kakiku menambah kelajuan lagi.
Hampir saja berlari anak.
Bunyi hon kenderaan yang kedengaran
beberapa kali membuatkan aku berpaling. Kerata Nissan Almera, milik abang Naim
jelas kelihatan. Kereta itu kini betul-betul berhenti di sebelahku.
“Ana, jom... ” abang Naim sudah
membukakan pintu penumpang hadapan melalui tempat duduknya.
Aku tersenyum. Bantuan sampai tepat
pada masanya. Syukur. Lalu aku menumpang kereta abang Naim untuk pulang ke
detinasi yang sama.
“Pakai seat belt.” Arah abang Naim
“Alah, tak payahlah... dekat aje.” Aku
enggan. Bukan jauh sangat pun. Kalau naik kereta kurang lima minit perjalanan.
“Dekat ke, jauh ke, tetap kena
pakai. Ana kena selalu utamakan keselamatan. Dah, pakai cepat.” Abang Naim
masih bertegas.
Nampaknya aku harus bertindak
mengikut arahan. Terpaksa juga aku tarik tali pinggan keledar.
“Sedapnya KFC... Ana beli untuk
abang, ke?”
Aku memandang bungkusan KFC yang aku
letakkan di atas pehaku. “Taklah, ada orang bagi pada Ana.”
‘Siapa yang bagi?” laju abang Naim
bertanya.
“Bos Ana...”
“Semua staff dapat ke?” soal abang Naim lagi.
“Taklah, Ana seorang aje.” Aku balas
jujur.
“Kenapa Ana seorang aje yang dapat?”
dahi abang Naim mula berkerut. Sekilas dia memandang diriku sebelum kembali
memberikan tumpuan pada pemanduannya.
Soalan itu membuatkan aku lidahku
kaku. Apa pula nak jawab kali ini? Soalan itu walaupun berlainan strukutrnya,
namun maksudnya masih sama seperti yang abang Joe tanyakan tadi.
“Kenapa diam?” abang Naim kelihatan
seperti memerlukan jawapan segera bagi soalannya.
“Sebab Ana staff baru. Kawan-kawan kat ofis cakap, bos tu memang akan belanja staff baru makan. Selalunya dia akan
belanja makan kat luar. Tapi Ana tak, dia
just belikan KFC aje.” Aku harap abang Naim senang hati mendengar jawapan
yang aku berikan.
“Oh... baguslah kalau ada bos macam
tu.” Kini abang Naim tersenyum. Dan senyuman itu membuatkan aku menjadi lega.
Kereta akhirnya diberhentikan sebaik
sahaja memasuki perkarangan rumah. Aku bersiap untuk turun. Tali pinggan
keledar yang tadinya dipasang, kini ditanggalkan kembali. Pintu kereta sudah
aku buka dan kaki mula menapak keluar, untuk turun.
“Ana.”
Panggilan abang Naim membuatkan aku
tidak jadi turun. Aku kembali menoleh. Mungkinkah ada barangku yang tertinggal?
“Ana tahu tak kenapa umi dengan ayah
Ana datang KL?”
“Entah, tak tahu. Kenapa?” sungguh
aku tidak tahu dengan jelas kenapa. Kerana umi tidak mahu memaklumkan apa-apa.
Cuma yang aku itu, ianya punya kaitan dengan abang Naim.
“Tak apalah, nanti Ana tahu juga.” Abang
Naim menguntum senyuman. Kemudian dia mematikan enjin lalu turun. Aku turut
sama turun dengan hati penuh tanda tanya. Mungkinkah abang Naim cuba sampaikan
sesuatu melalui pertanyaan tadi? Hati masih bersoal jawab.
Bersambung...
Kata AH:
Alhamdulillah. Selamat Membac entry 9. Semoga entry ini membuatkan anda jatuh cinta pada JJC... hi2 Tq to all.. <3 br="">3>
3 comments:
Takut keluarga Naim minta tlg parents Ana pergi meminang someone...kesiannya Ana...sbb mak Ana ada kata ada kena mengena dgn Naim tp bukan Ana..kesian Ana mengharap Naim...
Mak Ana ckp takde kaitan dgn Ana maksudnya diaorang nk join rombongan meminang org lain ker? Ntah2 pg pinang Kak Dahlia kot?????
A'ahkan tini... mungkin jugak tu...
Post a Comment