10
Hari ini terasa satu keajaiban
berlaku. Sesuatu yang tidak disangka-sangka. Aku sendiri rasa seperti tidak
mahu percaya. Aku melangkah ke dalam bangunan Arena Printing dengan perasaan
yang tidak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata. Mana tidaknya, encik Afdhal
tolong membukakan pintu kaca untuk aku masuk. Dia siap menyambut kedatanganku
dengan senyumannya yang berkelopak mekar. Mimpikah aku?
Tapi
aku kawal perasaan yang sudah teruja. Tidak sangka, hanya kerana sekeping nota,
encik Afdhal berubah laku. Rasanya aku sudah tidak punya masalah untuk
mendekatkan diri dengan encik Afdhal. Namun begitu aku tidak mahu terlalu
menonjol. Biarlah semuanya berjalan seperti biasa.
Dengan hati yang ceria, aku terus ke
ruang kerjaku. Senyuman mula terukir apabila aku dapat melihat sebuah tin
minuman ada di atas meja. Air nescafe. Ini mesti kerja abang Joe. Antara
ramai-ramai di sini, hanya abang Joe yang tahu tentang air kegemaranku. Mungkin
kerana aku selalu memesannya setiap kali aku malas mahu keluar bersarapan.
Sebaik aku duduk, aku terus capai
tin minuman yang terlekat dengan sticky
note. Aku tarik nota kecil berwarna kuning itu, membawanya rapat pada
pandangan.
Sorry.
–Afdhal-
Ketawaku hendak pecah apabila
membaca nota itu, namun aku tahan. Terus mataku memandang pintu kaca. Rupanya
encik Afdhal sedang memerhatikan aku melalui pintu kaca. Dia menunjukkan ibu
jarinya padaku. Mengharapkan kemaafan. Mujur aku tak ketawa tadi. Kalau tidak,
pecah tembelang.
Lekas aku alihkan pandangan.
Langsung tidak memberikan sebarang respon pada perbuatannya tadi. Rasa berdosa
mula mengambil tempat. Aku tidak berniat untuk berbohong. Aku hanya ingin
mengesahkan sebuah kebenaran. Kini sudah sampai ke tahap ini. Patut untuk aku
teruskan atau tidak? Aku benar-benar berniat untuk membantu. Tapi bukanlah
Islam mengajar bahawa matlamat tidak menghalakan cara?
Nampaknya aku harus bersemuka dengan
kak Dahlia segera. Hanya dia dapat menyelesaikan. Kalau kak Dahlia sudi, ini
bermakna aku akan berasa sedikit lega. Ah, aku sudah tidak boleh berlengah. Aku
mahu bertemu dengan kak Dahlia sekarang juga. Tidak mahu bertangguh. Aku kembali
bangun dan menyusun langkah untuk keluar.
“Nak pergi mana?”
Pertanyaan encik Afdhal tidak aku
jawab. Aku hanya memandangnya sekilas dan kemudian meneruskan perjalanan ke
Belleza Beauty Boutique. Semua harus diselesaikan segera sebelum berlarutan.
Aku melangkah masuk ke dalam butik
kecantikan yang dekorasinya sungguh memikat hati. Cantik! Perlahan mulut menyebut
tanpa disuruh-suruh. Memang cantik. Padanlah dengan pemiliknya. Dua orang
wanita yang berada di kuanter tersenyum manis ke arahku.
“Boleh saya bantu?” kata seorang
pekerja yang memakai pakaian seragam berwarna merah jambu. Seorang pekerja lagi
sedang sibuk dengan komputer riba di hadapannya.
“Saya nak jumpa dengan Cik Dahlia.
Dia dah sampai?”
“Cik ada buat temujanji ke?”
“Temujanji?” alamak! Aku terdiam
seketika. “Tak ada.”
“Kalau cik nak dapatkan khidmat consultation, cik kena buat temujanji
dulu.” Terang pekerja yang sama sambil menghulurkan sebuah booklet padaku.
Aku ambil booklet yang diberikan.
Satu persatu helaian aku selak. Semuanya bercerita tentang Belleza Beauty
Boutique dan jenis perkhidmatan yang disediakan.
“Boleh saya setkan temujanji?”
cadang pekerja yang mungkin sebaya dengan kak Lin.
“Sebenarnya, saya...” aku cuba untuk
menerangkan situasi sebenar. Aku tidak ke situ untuk mendapatkan sebarang
perkhidmatan kecantikan. Aku hanya ingin bertemu dengan kak Dahlia atas urusan
peribadi. Namun sukar pula untuk aku menerangkannya.
“Ana...”
Suara kak Lin kedengaran. Syukur,
mungkin kak Lin dapat memberikan bantuan. Segera aku berjalan menghampiri kak
Lin yang baru turun dari tingkat atas.
“Ana buat apa kat sini?”
“Kak Lin boleh tolong Ana tak?”nampaknya
aku terpaksa harapkan kak Lin
“Tolong apa?” kak Lin sudah pelik.
“Kita cakap kat tempat lain boleh
tak, kak Lin?” aku membuat permintaan. Tidak mahu ada orang lain yang
mendengarnya.
“Okey. Jom ikut akak.” Kak Lin
menarik tanganku.
LAMA
kak Lin mendiamkan diri. Aku juga begitu. Entah apa yang akan kak Lin katakan.
Boleh jadi kak Lin bersetuju. Boleh jadi juga, tidak. Aku terpaksa juga
menceritakan semuanya pada kak Lin padahal aku sudah berniat untuk merahsiakan
daripada pengetahuannya. Tiada jalan lain lagi melainkan yang ini.
“Ana yakin ke?” akhirnya kak Lin
mengeluarkan suara.
“Ana tak berani nak bagi jaminan.
Tapi hati Ana rasa yang ini aje jalan yang ada.” Aku genggam tanganku sendiri.
“Kalau cik Dahlia tak nak, macam
mana?”
“Kita cuba dulu.”
“Akak bukan tak nak support Ana. Akak tahu Ana betul-betul
nak tolong Afdhal. Tapi ni bukan perkara main-main. Ana yang nak kena tanggung
risikonya nanti.”
“Risiko apa, kak Lin? Takkan nak
tolong orangpun ada risiko?” sungguh aku tidak faham.
“Akak tak sure, tapi setahu akak, Cik Dahlia tu dah bertunang. Buatnya Afdhal
beria nanti, bertambah gila pula Afdhal jadinya.”
“Dah bertunang?” satu kejutan
padaku. Kalau begitu, semakin tipis harapan untuk membantu encik Afdhal. “Mana
kak Lin tahu?”
“Staff
kat sini yang bagi tahu.” Jawab kak Lin. “Tapi kalau Ana nak cuba juga,
terpulanglah. Akak boleh cari masa untuk Ana jumpa dengan Cik Dahlia. Itu aje
yang boleh akak bantu.”
Aku terdiam lagi. Mungkinkah kak
Dahlia mahu menolong? “Ana nak minta tolong satu perkara lagi boleh tak kak
Lin?”
“Apa dia?”
“Kak Lin tolong rahsiakan hal ni
daripada abang Joe. Kalau abang Joe tahu, mesti encik Afdhal pun tahu.” Semua
kerisauan yang terbuku aku luahkan. Harap kak Lin faham.
“Insya’ALLAH.” Kak Lin tersenyum.
“Kak Lin nak tanya Ana pula, boleh?”
Aku mengangguk. Dengan bantuan yang
dihulurkan, mustahil untuk aku berkata tidak pada kak Lin.
“Kenapa Ana beria nak tolong
Afdhal?”
Soalan itu membuat aku bisu.
Sepertinya tidak ada jawapan. Padahal boleh saja aku maklumkan, semuanya kerana
Abang Joe. Ah, mungkin aku patut berkata begitu. “Sebab abang Joe minta Ana
tolong.”
“Itu akak tahu. Abang Joe pernah
bagi tahu pada akak. Tapi bukan tu maksud akak.”
“Habis tu?”
“Kenapa Ana tetap nak tolong Afdhal?
Anakan boleh tolak. Lagipun pakar psikitri tu, bakal tunang Ana, bukannya
Ana.”
Kali
ini aku memang hilang kata. Apa yang dinyatakan oleh kak Lin ada benarnya.
Tidak dapat aku sangkal dengan lidah.
“Sebenarnya
akak marah sangat pada abang Joe sebab libatkan Ana.”
Aku
hanya tunduk mendengar. Sedikitpun tidak angkat muka.
“Tak
apalah, mungkin ada hikmahnya. Mana tahu memang Ana aje yang boleh tolong
Afdhal kan?” kak Lin menepuk-nepuk bahuku. Membuatkan aku kembali berani untuk
mengangkat wajah.
“Ana
bagi nombor telefon Ana, nanti bila semua dah ready, akak call Ana.”
Senyuman
kak Lin membuatkan aku lega. “Terima kasih kak Lin.” Ujarku penuh rasa syukur.
SELESAI
berdoa, aku mengalunkan zikir-zikir munajat. Memantapkan hati dan menguatkan
jiwa yang selalu rapuh dengan hal-hal dunia. Sendirian di ruangan solat
membuahkan ketenangan hati. Lagi pula waktu rehat begini suasana memang sunyi.
“Dah habis?”
“Astagfirullahalazim...” kuat aku
laungkan kalimah itu. Terkejut dibuatnya.
Encik
Afdhal tersenyum. Entah bila pula dia duduk mencangkung di situ? Betul-betul di
laluan keluar ruang solat.
“Kau
pergi 3B tadi buat apa?”
“Hah?”
aku tidak faham. 3B? “3B tu benda apa?” disebabkan aku langsung tidak faham,
maka aku bertanya.
“Tak
tahu?”
Aku menggelengkan kepala sambil
bangun. Sejadah ditangan bersedia untuk dilipat.
“Belleza Beauty Boutique lah..
itupun kau tak tahu.”
Aku
tersenyum kecil. “Oh.. ingatkan pensil tadi.” Kini sejadah yang sudah siap
dilipat aku letakkan di atas kabinet kayu. Aku geleng kepala. Suka-suka hati
saja encik Afdhal nak pendekkan nama Belleza Beauty Boutique.
“Kau
buat apa kat sana?”
“Er...”
apa aku nak jawab ni? otak masih memikirkannya. Alamak, saat-saat begini pula
fikiran tidak dapat menjana sesuatu untuk membantu. “Encik Afdhal boleh pegi
jauh-jauh tak, saya nak buka telekung ni. Faham-faham ajelah, sini tak ada
pintu.” Sebelum terus diasak, ada baik aku melarikan diri. Mujur ada alasan
yang sesuai. Jadi soalan yang sepatutnya ada jawapan, dibiarkan sepi.
Encik
Afdhal yang tadinya mencangkung, mula bangun. “Okey. Aku tunggu kau kat luar.
Cepat sikit.” Encik Afdhal melambaikan tangan. Pergi juga dia sudahnya.
Kini
aku duduk kembali. Apa aku nak jawab nanti? Itu yang sibuk aku fikirkan.
“Nanti
aku suruh orang buatkan pintu!”
Kuat
suara encik Afdhal kedengaran. Buatkan pintu? Kemudian aku tersedar maksudnya,
membuatkan aku tergelak sendiri. Sempat pula tinggalkan pesanan begitu. Encik
Afdhal... encik Afdhal...
HABIS
saja waktu bekerja aku tidak terus pulang ke rumah. Aku memenuhi termujanji
yang diaturkan oleh kak Lin. Temujanji antara aku dan kak Dahlia. Kerana itu
jugalah aku tidak putus-putus berdoa semoga ALLAH membuka pintu hati kak Dahlia
untuk membantu.
Pintu bilik kak Dahlia aku ketuk.
Apabila terdengar suara kak Dahlia menjemput masuk, barulah aku memulas tombol.
“Sampai pun, Ana.” Kak Dahlia
menyambut kedatanganku dengan senyumam. “Jemput duduk.” Pelawanya.
Tanpa banyak bicara aku terus duduk.
Sambil-sambil itu, bola mata masih menerewang, memandang bilik pejabat kak
Dahlia. Tidak nampak kekurangannya.
“Kak Lin kata, Ana ada hal nak
bincang dengan akak. Hal apa tu?”
Mata kembali fokus pada kak Dahlia
apabila diheret ke soalan itu. Bagaimana untuk aku mulakan? Apa kata-kata yang
sesuai yang dapat mengail hati kak Dahlia?
“Sebenarnya
macam ni, kak...” aku memulakan. Harap semuanya membuahkan hasil. “Selain
daripada memenuhi keperluan hidup, akak rasa, apa lagi tanggungjawab kita
sebagai manusia?”
“Hah?”
Kak Dahlia terpanar dengan soalan yang diajukan. Dia menampakkan reaksi yang
kabur, tidak jelas. Mungkin dia perlukan pencerahan.
“Maksud
saya... Kita ni kan manusia. Kita makan, kita minum, kita tidur, kita rehat,
kita kerja... selain tu apa lagi yang kita patut buat?” eh, apa yang aku cakap
ni? Aku kembali memikir kata-kata yang aku luahkan. Macam tak kena aje.
“Akak
tak faham?” Dahi kak Dahlia mula berkerut.
Apabila
kak Dahlia gagal menangkap maksudku, peluh terasa mula meleleh. Padahal bilik
itu dilengkapi dengan penghawa dingin. Nampak sangat aku tidak pandai nak
bermain dengan kata-kata. Susah juga nak mempengaruhi kak Dahlia kalau macam
ni. “Kalau ada orang susah, akak sanggup
nak tolong tak?” aku berterus terang. Itu lebih mudah. Senang cerita. Aku yakin
kak Dahlia faham kali ini.
Kak
Dahlia ketawa. Ketawa dengan penuh sopan. Geli hati dengan gelagatku
barangkali.
“Ana
ni, terus terangkan senang.” Masih berbaki tawanya. “So, Ana nak minta tolong akak lah ni?”
Aku
mengangguk. Tidak mahu berbicara lagi.
“Okey,
apa yang akak boleh tolong Ana?” tanya kak Dahlia penuh minat.
“Bukan
Ana...”
“Habis
tu?”
“Encik
Afdhal.”
“Encik
Afdhal?”
“Ha’ah.
Taukeh syarikat printing kat depan butik kak Dahlia, tu. Akak kenal kan?”
peneranganku cukup ringkas, kerana aku yakin kak Dahlia kenal orangnya. Takkan
kak Lin sekalipun tak pernah bercerita tentang Arena Printingkan?
“Lelaki
yang tiap-tiap pagi baca surat khabar depan Arena Printing tu?” Kak Dahlia
meneka.
Aku
menganguk. Tekaan yang tepat.
“Kenapa
pula akak kena tolong dia?”
Kak
Dahlia nampak keberatan. Kalau kak Dahlia tak mahu, aku sudah tidak ada iktiar
lain. Mahu atau tidak, rancangan ini harus berjaya.
“Akak
tahu tak yang encik Afdhal ada masalah besar, dan kak Dahlia seorang aje yang boleh
tolong dia?” lekas-lekas aku masuk tahap kedua. Tahap pertama, memaklumkan misi
sudah selesai. Kini masa untuk menekan kak Dahlia.
“Ana,
listen. Akak tak tahu apa dan besar
mana masalah bos Ana, tapi persoalannya sekarang, kenapa akak yang kena bantu
dia? Kenapa bukan orang lain?”
“Sebab
encik Afdhal tu hanya akan dengar cakap kak Dahlia.” Aku jelaskan.
“But why?” kak Dahlia masih mempersoal.
“Kak
Dahlia tahu tak kenapa encik Afdhal selalu baca surat khabar kat depan pintu
tu?” soalku dengan muka mendebarkan. Sengaja aku berkelakuan begitu. Mahu
menarik minat kak Dahlia untuk terus mendengar kataku.
Kak
Dahlia menggeleng.
“Sebab
dia nak tengok kak Dahlia. Encik Afdhal suka kat kak Dahlia.” Aku terus terang.
“What?”
Aku
yakin kak Dahlia sedang terkejut. Kalau encik Afdhal kelihatan normal seperti
lelaki-lelaki di luar sana, mungkin kak Dahlia tidak terkejut sangat. Tapi
dengan pakaian serba hitam hari-hari, mahunya tak terkejut. Kalau akupun, aku
terkejut. Kesimpulannya, aku faham perasaan kak Dahlia.
“Dia
nampak macam...”
“Kurang
siuman!” aku bantu kak Dahlia menghabiskan ayatnya yang seperti tidak sanggup
untuk diluahkan. “Memangpun! Tapi bukan selalu. Kadang-kadang aje.” Hal itu
tidak dapat aku sembunyikan sebab untuk membantu, kak Dahlia perlu tahu tentang
itu.
“Sorry Ana, akak rasa... akak tak dapat
nak bantu.” Kak Dahlia membuat keputusan. Terus dia menolak. Pasti gara-gara
perkataan tidak siuman tadi.
“Kak
Dahlia...” keputusan yang kak Dahlia umumkan sama seperti apa yang aku
andaikan. Cukup mengecewakan.
“Akak
betul-betul minta maaf. Lagipun akak takut kalau tunang akak dapat tahu, nanti
jadi salah faham pula.” Kak Dahlia memberikan alasan.
“Jadi
betullah, kak Dahlia dan bertunang?” soalku lemah.
Kak
Dahlia hanya menganggukkan kepala. Menjawab soalan yang aku timbulkan. Aku
mendiamkan diri seketika. Menarik nafas panjang. Aku sedang di fasa akhir
perjuangan. Sama ada aku bawa pulang kemenangan atau tewas dipertempuran. Hanya
itu pilihan yang aku ada. Mata aku pejamkan,
“Rasullulah
saw pernah bersabda, siapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari
berbagai kesulitan-kesulitan dunia, niscaya Allah akan memudahkan
kesulitan-kesulitannya di akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang sedang
kesulitan, niscaya Allah akan mudahkan baginya di dunia dan akhirat.” Nafas aku hembuskan perlahan setelah selesai
mengungkapkan hadis yang aku ambil masa hampir setengah jam untuk menghafalnya.
Tak sangka aku mampu melafazkannya dengan lacar, sedangkan setengah jam tadi,
ada saja perkataan yang aku tinggalkan tanpa sengaja. Terlupa.
Ya,
itu senjata akhir aku. Fasa terakhir itu, aku perlu sudahkan dengan jayanya.
Sengaja aku siapkan hadis itu andai kak Dahlia enggan membantu kerana aku tahu,
naluri manusia akan tetap mendengar sesuatu kebaikan. Oleh kerana keadaan sudah
menjadi begitu, maka terpaksa juga aku mengeluarkan senjata yang ada.
“Ana...
jangan macam ni.” Rayuan kak Dahlia
kedengaran.
“Ana
cuma bagi tahu apa yang Ana tahu. Ana dah cuba nak bantu encik Afdhal, jadi
urusan Ana dah selesai. Kalau kak Dahlia tak nak bantu, Ana tak boleh paksa.”
Satu persatu aku tuturkan kata. Mahu jelas kedengaran di telinga kak Dahlia. Nampaknya
aku terpaksa menggunakan emosi sebagai medium utama.
“Ana
balik dulu. Maaf sebab dah buang masa kak Dahlia.” Aku bangun, kemudian tangan
aku hulurkan untuk bersalaman. Wajah penuh kekecewaan aku saksikan buat tatapan
kak Dahlia. Mahu mengganggu hatinya.
Kak
Dahlia turut bangun. Tanganku disambut. “Ana, boleh Ana bagi masa untuk akak
fikir?”
Hatiku
sudah mahu menjerit gembira mendengar permintaan itu. Namun ianya tidak boleh
dilayan. Kalau aku berikan masa, takut nanti ada pula anasir luar yang bakal
mengugat dan menghakis apa yang aku semai tadinya. Aku tak boleh berikan masa.
“Tak
apalah, kak Dahlia. Ana tak nak paksa. Mungkin dah memang takdir encik Afdhal
macam tu.” aku cuba menambah rasa bersalah pada hati kak Dahlia. “Ana balik
dulu.” Kerusi yang tadinya aku duduk, aku tolak sedikit ke belakang. Mahu
laluan yang cukup untuk bergerak keluar.
“Okey,
akak setuju. Tapi Ana kena ajar akak, apa yang patut akak buat untuk tolong
encik Afdhal.”
Aku
yang belumpun sempat melangkah jauh, segera berpatah balik apabila mendengar
persetujuan daripada akak Dahlia. Lebar senyuman aku ukirkan. Akhirnya
kemenangan berpihak pada aku. “Terima kasih kak Dahlia. Insya’ALLAH, sama-sama
kita cuba.” Kini kami berpegangan tangan tanda sehati untuk membantu.
Bersambung...
Kata AH:
Alhamdulillah. Selesai dipostkan bab 10. Terima kasih buat semua rakan pembaca yang mengirimkan komentar. Ada yang seakan hampir dapat meneka dengan betul.. Hi2 Namun semoga terus mengikuti kisah JJC ini. Jumpa next week.. Assalamualaikum.. :)
3 comments:
alahai kesian ana..berat beban yang di tanggung tu...harap semuanya berjalan lancar..
semoga dipermudahkan segala urusan.
Kenapa pakai hadith membantu org lain, lepastu tolong dgn cre membohong pulak tu. Mohon di betulkan.
Post a Comment