Monday, June 17, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 10



10
            Hari ini terasa satu keajaiban berlaku. Sesuatu yang tidak disangka-sangka. Aku sendiri rasa seperti tidak mahu percaya. Aku melangkah ke dalam bangunan Arena Printing dengan perasaan yang tidak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata. Mana tidaknya, encik Afdhal tolong membukakan pintu kaca untuk aku masuk. Dia siap menyambut kedatanganku dengan senyumannya yang berkelopak mekar. Mimpikah aku?
            Tapi aku kawal perasaan yang sudah teruja. Tidak sangka, hanya kerana sekeping nota, encik Afdhal berubah laku. Rasanya aku sudah tidak punya masalah untuk mendekatkan diri dengan encik Afdhal. Namun begitu aku tidak mahu terlalu menonjol. Biarlah semuanya berjalan seperti biasa.
            Dengan hati yang ceria, aku terus ke ruang kerjaku. Senyuman mula terukir apabila aku dapat melihat sebuah tin minuman ada di atas meja. Air nescafe. Ini mesti kerja abang Joe. Antara ramai-ramai di sini, hanya abang Joe yang tahu tentang air kegemaranku. Mungkin kerana aku selalu memesannya setiap kali aku malas mahu keluar bersarapan.
            Sebaik aku duduk, aku terus capai tin minuman yang terlekat dengan sticky note. Aku tarik nota kecil berwarna kuning itu, membawanya rapat pada pandangan.
Sorry. –Afdhal-
            Ketawaku hendak pecah apabila membaca nota itu, namun aku tahan. Terus mataku memandang pintu kaca. Rupanya encik Afdhal sedang memerhatikan aku melalui pintu kaca. Dia menunjukkan ibu jarinya padaku. Mengharapkan kemaafan. Mujur aku tak ketawa tadi. Kalau tidak, pecah tembelang.
            Lekas aku alihkan pandangan. Langsung tidak memberikan sebarang respon pada perbuatannya tadi. Rasa berdosa mula mengambil tempat. Aku tidak berniat untuk berbohong. Aku hanya ingin mengesahkan sebuah kebenaran. Kini sudah sampai ke tahap ini. Patut untuk aku teruskan atau tidak? Aku benar-benar berniat untuk membantu. Tapi bukanlah Islam mengajar bahawa matlamat tidak menghalakan cara?
            Nampaknya aku harus bersemuka dengan kak Dahlia segera. Hanya dia dapat menyelesaikan. Kalau kak Dahlia sudi, ini bermakna aku akan berasa sedikit lega. Ah, aku sudah tidak boleh berlengah. Aku mahu bertemu dengan kak Dahlia sekarang juga. Tidak mahu bertangguh. Aku kembali bangun dan menyusun langkah untuk keluar.
            “Nak pergi mana?”
            Pertanyaan encik Afdhal tidak aku jawab. Aku hanya memandangnya sekilas dan kemudian meneruskan perjalanan ke Belleza Beauty Boutique. Semua harus diselesaikan segera sebelum berlarutan.
            Aku melangkah masuk ke dalam butik kecantikan yang dekorasinya sungguh memikat hati. Cantik! Perlahan mulut menyebut tanpa disuruh-suruh. Memang cantik. Padanlah dengan pemiliknya. Dua orang wanita yang berada di kuanter tersenyum manis ke arahku.
            “Boleh saya bantu?” kata seorang pekerja yang memakai pakaian seragam berwarna merah jambu. Seorang pekerja lagi sedang sibuk dengan komputer riba di hadapannya.
            “Saya nak jumpa dengan Cik Dahlia. Dia dah sampai?”
            “Cik ada buat temujanji ke?”
            “Temujanji?” alamak! Aku terdiam seketika. “Tak ada.”
            “Kalau cik nak dapatkan khidmat consultation, cik kena buat temujanji dulu.” Terang pekerja yang sama sambil menghulurkan sebuah booklet padaku.
            Aku ambil booklet yang diberikan. Satu persatu helaian aku selak. Semuanya bercerita tentang Belleza Beauty Boutique dan jenis perkhidmatan yang disediakan.
            “Boleh saya setkan temujanji?” cadang pekerja yang mungkin sebaya dengan kak Lin.
            “Sebenarnya, saya...” aku cuba untuk menerangkan situasi sebenar. Aku tidak ke situ untuk mendapatkan sebarang perkhidmatan kecantikan. Aku hanya ingin bertemu dengan kak Dahlia atas urusan peribadi. Namun sukar pula untuk aku menerangkannya.
            “Ana...”
            Suara kak Lin kedengaran. Syukur, mungkin kak Lin dapat memberikan bantuan. Segera aku berjalan menghampiri kak Lin yang baru turun dari tingkat atas.
            “Ana buat apa kat sini?”
            “Kak Lin boleh tolong Ana tak?”nampaknya aku terpaksa harapkan kak Lin
            “Tolong apa?” kak Lin sudah pelik.
            “Kita cakap kat tempat lain boleh tak, kak Lin?” aku membuat permintaan. Tidak mahu ada orang lain yang mendengarnya.
            “Okey. Jom ikut akak.” Kak Lin menarik tanganku.

LAMA kak Lin mendiamkan diri. Aku juga begitu. Entah apa yang akan kak Lin katakan. Boleh jadi kak Lin bersetuju. Boleh jadi juga, tidak. Aku terpaksa juga menceritakan semuanya pada kak Lin padahal aku sudah berniat untuk merahsiakan daripada pengetahuannya. Tiada jalan lain lagi melainkan yang ini.
            “Ana yakin ke?” akhirnya kak Lin mengeluarkan suara.
            “Ana tak berani nak bagi jaminan. Tapi hati Ana rasa yang ini aje jalan yang ada.” Aku genggam tanganku sendiri.
            “Kalau cik Dahlia tak nak, macam mana?”
            “Kita cuba dulu.”
            “Akak bukan tak nak support Ana. Akak tahu Ana betul-betul nak tolong Afdhal. Tapi ni bukan perkara main-main. Ana yang nak kena tanggung risikonya nanti.”
            “Risiko apa, kak Lin? Takkan nak tolong orangpun ada risiko?” sungguh aku tidak faham.
            “Akak tak sure, tapi setahu akak, Cik Dahlia tu dah bertunang. Buatnya Afdhal beria nanti, bertambah gila pula Afdhal jadinya.”
            “Dah bertunang?” satu kejutan padaku. Kalau begitu, semakin tipis harapan untuk membantu encik Afdhal. “Mana kak Lin tahu?”
            Staff kat sini yang bagi tahu.” Jawab kak Lin. “Tapi kalau Ana nak cuba juga, terpulanglah. Akak boleh cari masa untuk Ana jumpa dengan Cik Dahlia. Itu aje yang boleh akak bantu.”
            Aku terdiam lagi. Mungkinkah kak Dahlia mahu menolong? “Ana nak minta tolong satu perkara lagi boleh tak kak Lin?”
            “Apa dia?”
            “Kak Lin tolong rahsiakan hal ni daripada abang Joe. Kalau abang Joe tahu, mesti encik Afdhal pun tahu.” Semua kerisauan yang terbuku aku luahkan. Harap kak Lin faham.
            “Insya’ALLAH.” Kak Lin tersenyum. “Kak Lin nak tanya Ana pula, boleh?”
            Aku mengangguk. Dengan bantuan yang dihulurkan, mustahil untuk aku berkata tidak pada kak Lin.
            “Kenapa Ana beria nak tolong Afdhal?”
            Soalan itu membuat aku bisu. Sepertinya tidak ada jawapan. Padahal boleh saja aku maklumkan, semuanya kerana Abang Joe. Ah, mungkin aku patut berkata begitu. “Sebab abang Joe minta Ana tolong.”
            “Itu akak tahu. Abang Joe pernah bagi tahu pada akak. Tapi bukan tu maksud akak.”
            “Habis tu?”
            “Kenapa Ana tetap nak tolong Afdhal? Anakan boleh tolak. Lagipun pakar psikitri tu, bakal tunang Ana, bukannya Ana.” 
Kali ini aku memang hilang kata. Apa yang dinyatakan oleh kak Lin ada benarnya. Tidak dapat aku sangkal dengan lidah.
“Sebenarnya akak marah sangat pada abang Joe sebab libatkan Ana.”
Aku hanya tunduk mendengar. Sedikitpun tidak angkat muka.
“Tak apalah, mungkin ada hikmahnya. Mana tahu memang Ana aje yang boleh tolong Afdhal kan?” kak Lin menepuk-nepuk bahuku. Membuatkan aku kembali berani untuk mengangkat wajah.
“Ana bagi nombor telefon Ana, nanti bila semua dah ready, akak call Ana.”
Senyuman kak Lin membuatkan aku lega. “Terima kasih kak Lin.” Ujarku penuh rasa syukur.

SELESAI berdoa, aku mengalunkan zikir-zikir munajat. Memantapkan hati dan menguatkan jiwa yang selalu rapuh dengan hal-hal dunia. Sendirian di ruangan solat membuahkan ketenangan hati. Lagi pula waktu rehat begini suasana memang sunyi.
            “Dah habis?”
            “Astagfirullahalazim...” kuat aku laungkan kalimah itu. Terkejut dibuatnya.
Encik Afdhal tersenyum. Entah bila pula dia duduk mencangkung di situ? Betul-betul di laluan keluar ruang solat.  
“Kau pergi 3B tadi buat apa?”
“Hah?” aku tidak faham. 3B? “3B tu benda apa?” disebabkan aku langsung tidak faham, maka aku bertanya.
“Tak tahu?”
            Aku menggelengkan kepala sambil bangun. Sejadah ditangan bersedia untuk dilipat.
            “Belleza Beauty Boutique lah.. itupun kau tak tahu.”
Aku tersenyum kecil. “Oh.. ingatkan pensil tadi.” Kini sejadah yang sudah siap dilipat aku letakkan di atas kabinet kayu. Aku geleng kepala. Suka-suka hati saja encik Afdhal nak pendekkan nama Belleza Beauty Boutique.
“Kau buat apa kat sana?”
“Er...” apa aku nak jawab ni? otak masih memikirkannya. Alamak, saat-saat begini pula fikiran tidak dapat menjana sesuatu untuk membantu. “Encik Afdhal boleh pegi jauh-jauh tak, saya nak buka telekung ni. Faham-faham ajelah, sini tak ada pintu.” Sebelum terus diasak, ada baik aku melarikan diri. Mujur ada alasan yang sesuai. Jadi soalan yang sepatutnya ada jawapan, dibiarkan sepi.
Encik Afdhal yang tadinya mencangkung, mula bangun. “Okey. Aku tunggu kau kat luar. Cepat sikit.” Encik Afdhal melambaikan tangan. Pergi juga dia sudahnya.
Kini aku duduk kembali. Apa aku nak jawab nanti? Itu yang sibuk aku fikirkan.
“Nanti aku suruh orang buatkan pintu!”
Kuat suara encik Afdhal kedengaran. Buatkan pintu? Kemudian aku tersedar maksudnya, membuatkan aku tergelak sendiri. Sempat pula tinggalkan pesanan begitu. Encik Afdhal... encik Afdhal...

HABIS saja waktu bekerja aku tidak terus pulang ke rumah. Aku memenuhi termujanji yang diaturkan oleh kak Lin. Temujanji antara aku dan kak Dahlia. Kerana itu jugalah aku tidak putus-putus berdoa semoga ALLAH membuka pintu hati kak Dahlia untuk membantu.
            Pintu bilik kak Dahlia aku ketuk. Apabila terdengar suara kak Dahlia menjemput masuk, barulah aku memulas tombol.
            “Sampai pun, Ana.” Kak Dahlia menyambut kedatanganku dengan senyumam. “Jemput duduk.” Pelawanya.
            Tanpa banyak bicara aku terus duduk. Sambil-sambil itu, bola mata masih menerewang, memandang bilik pejabat kak Dahlia. Tidak nampak kekurangannya.
            “Kak Lin kata, Ana ada hal nak bincang dengan akak. Hal apa tu?”
            Mata kembali fokus pada kak Dahlia apabila diheret ke soalan itu. Bagaimana untuk aku mulakan? Apa kata-kata yang sesuai yang dapat mengail hati kak Dahlia?
“Sebenarnya macam ni, kak...” aku memulakan. Harap semuanya membuahkan hasil. “Selain daripada memenuhi keperluan hidup, akak rasa, apa lagi tanggungjawab kita sebagai manusia?”
“Hah?” Kak Dahlia terpanar dengan soalan yang diajukan. Dia menampakkan reaksi yang kabur, tidak jelas. Mungkin dia perlukan pencerahan.
“Maksud saya... Kita ni kan manusia. Kita makan, kita minum, kita tidur, kita rehat, kita kerja... selain tu apa lagi yang kita patut buat?” eh, apa yang aku cakap ni? Aku kembali memikir kata-kata yang aku luahkan. Macam tak kena aje.
“Akak tak faham?” Dahi kak Dahlia mula berkerut.
Apabila kak Dahlia gagal menangkap maksudku, peluh terasa mula meleleh. Padahal bilik itu dilengkapi dengan penghawa dingin. Nampak sangat aku tidak pandai nak bermain dengan kata-kata. Susah juga nak mempengaruhi kak Dahlia kalau macam ni.  “Kalau ada orang susah, akak sanggup nak tolong tak?” aku berterus terang. Itu lebih mudah. Senang cerita. Aku yakin kak Dahlia faham kali ini.
Kak Dahlia ketawa. Ketawa dengan penuh sopan. Geli hati dengan gelagatku barangkali.
“Ana ni, terus terangkan senang.” Masih berbaki tawanya. “So, Ana nak minta tolong akak lah ni?”
Aku mengangguk. Tidak mahu berbicara lagi.
“Okey, apa yang akak boleh tolong Ana?” tanya kak Dahlia penuh minat.
“Bukan Ana...”
“Habis tu?”
“Encik Afdhal.”
“Encik Afdhal?”
“Ha’ah. Taukeh syarikat printing kat depan butik kak Dahlia, tu. Akak kenal kan?” peneranganku cukup ringkas, kerana aku yakin kak Dahlia kenal orangnya. Takkan kak Lin sekalipun tak pernah bercerita tentang Arena Printingkan?
“Lelaki yang tiap-tiap pagi baca surat khabar depan Arena Printing tu?” Kak Dahlia meneka.
Aku menganguk. Tekaan yang tepat.
“Kenapa pula akak kena tolong dia?”
Kak Dahlia nampak keberatan. Kalau kak Dahlia tak mahu, aku sudah tidak ada iktiar lain. Mahu atau tidak, rancangan ini harus berjaya.
“Akak tahu tak yang encik Afdhal ada masalah besar, dan kak Dahlia seorang aje yang boleh tolong dia?” lekas-lekas aku masuk tahap kedua. Tahap pertama, memaklumkan misi sudah selesai. Kini masa untuk menekan kak Dahlia.
“Ana, listen. Akak tak tahu apa dan besar mana masalah bos Ana, tapi persoalannya sekarang, kenapa akak yang kena bantu dia? Kenapa bukan orang lain?”
“Sebab encik Afdhal tu hanya akan dengar cakap kak Dahlia.” Aku jelaskan.
But why?” kak Dahlia masih mempersoal.
“Kak Dahlia tahu tak kenapa encik Afdhal selalu baca surat khabar kat depan pintu tu?” soalku dengan muka mendebarkan. Sengaja aku berkelakuan begitu. Mahu menarik minat kak Dahlia untuk terus mendengar kataku.
Kak Dahlia menggeleng.
“Sebab dia nak tengok kak Dahlia. Encik Afdhal suka kat kak Dahlia.” Aku terus terang.
What?”
Aku yakin kak Dahlia sedang terkejut. Kalau encik Afdhal kelihatan normal seperti lelaki-lelaki di luar sana, mungkin kak Dahlia tidak terkejut sangat. Tapi dengan pakaian serba hitam hari-hari, mahunya tak terkejut. Kalau akupun, aku terkejut. Kesimpulannya, aku faham perasaan kak Dahlia.
“Dia nampak macam...”
“Kurang siuman!” aku bantu kak Dahlia menghabiskan ayatnya yang seperti tidak sanggup untuk diluahkan. “Memangpun! Tapi bukan selalu. Kadang-kadang aje.” Hal itu tidak dapat aku sembunyikan sebab untuk membantu, kak Dahlia perlu tahu tentang itu.
Sorry Ana, akak rasa... akak tak dapat nak bantu.” Kak Dahlia membuat keputusan. Terus dia menolak. Pasti gara-gara perkataan tidak siuman tadi.
“Kak Dahlia...” keputusan yang kak Dahlia umumkan sama seperti apa yang aku andaikan. Cukup mengecewakan.
“Akak betul-betul minta maaf. Lagipun akak takut kalau tunang akak dapat tahu, nanti jadi salah faham pula.” Kak Dahlia memberikan alasan.
“Jadi betullah, kak Dahlia dan bertunang?” soalku lemah.
Kak Dahlia hanya menganggukkan kepala. Menjawab soalan yang aku timbulkan. Aku mendiamkan diri seketika. Menarik nafas panjang. Aku sedang di fasa akhir perjuangan. Sama ada aku bawa pulang kemenangan atau tewas dipertempuran. Hanya itu pilihan yang aku ada. Mata aku pejamkan,
“Rasullulah saw pernah bersabda, siapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari berbagai kesulitan-kesulitan dunia, niscaya Allah akan memudahkan kesulitan-kesulitannya di akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan, niscaya Allah akan mudahkan baginya di dunia dan akhirat.”  Nafas aku hembuskan perlahan setelah selesai mengungkapkan hadis yang aku ambil masa hampir setengah jam untuk menghafalnya. Tak sangka aku mampu melafazkannya dengan lacar, sedangkan setengah jam tadi, ada saja perkataan yang aku tinggalkan tanpa sengaja. Terlupa.
Ya, itu senjata akhir aku. Fasa terakhir itu, aku perlu sudahkan dengan jayanya. Sengaja aku siapkan hadis itu andai kak Dahlia enggan membantu kerana aku tahu, naluri manusia akan tetap mendengar sesuatu kebaikan. Oleh kerana keadaan sudah menjadi begitu, maka terpaksa juga aku mengeluarkan senjata yang ada.
“Ana... jangan macam ni.”  Rayuan kak Dahlia kedengaran.
“Ana cuma bagi tahu apa yang Ana tahu. Ana dah cuba nak bantu encik Afdhal, jadi urusan Ana dah selesai. Kalau kak Dahlia tak nak bantu, Ana tak boleh paksa.” Satu persatu aku tuturkan kata. Mahu jelas kedengaran di telinga kak Dahlia. Nampaknya aku terpaksa menggunakan emosi sebagai medium utama.
“Ana balik dulu. Maaf sebab dah buang masa kak Dahlia.” Aku bangun, kemudian tangan aku hulurkan untuk bersalaman. Wajah penuh kekecewaan aku saksikan buat tatapan kak Dahlia. Mahu mengganggu hatinya.
Kak Dahlia turut bangun. Tanganku disambut. “Ana, boleh Ana bagi masa untuk akak fikir?”
Hatiku sudah mahu menjerit gembira mendengar permintaan itu. Namun ianya tidak boleh dilayan. Kalau aku berikan masa, takut nanti ada pula anasir luar yang bakal mengugat dan menghakis apa yang aku semai tadinya. Aku tak boleh berikan masa.
“Tak apalah, kak Dahlia. Ana tak nak paksa. Mungkin dah memang takdir encik Afdhal macam tu.” aku cuba menambah rasa bersalah pada hati kak Dahlia. “Ana balik dulu.” Kerusi yang tadinya aku duduk, aku tolak sedikit ke belakang. Mahu laluan yang cukup untuk bergerak keluar.
“Okey, akak setuju. Tapi Ana kena ajar akak, apa yang patut akak buat untuk tolong encik Afdhal.”
Aku yang belumpun sempat melangkah jauh, segera berpatah balik apabila mendengar persetujuan daripada akak Dahlia. Lebar senyuman aku ukirkan. Akhirnya kemenangan berpihak pada aku. “Terima kasih kak Dahlia. Insya’ALLAH, sama-sama kita cuba.” Kini kami berpegangan tangan tanda sehati untuk membantu.

Bersambung...
Kata AH:
Alhamdulillah. Selesai dipostkan bab 10. Terima kasih buat semua rakan pembaca yang mengirimkan komentar. Ada yang seakan hampir dapat meneka dengan betul.. Hi2 Namun semoga terus mengikuti kisah JJC ini. Jumpa next week.. Assalamualaikum.. :)
     

3 comments:

nur fakhariah said...

alahai kesian ana..berat beban yang di tanggung tu...harap semuanya berjalan lancar..

elfa said...

semoga dipermudahkan segala urusan.

ash said...

Kenapa pakai hadith membantu org lain, lepastu tolong dgn cre membohong pulak tu. Mohon di betulkan.

Post a Comment