Thursday, May 3, 2012

Saat Ada Cinta - Bab 5


5
Tergopoh-gapah aku berjalan menuju ke lobi lif. Waktu pejabat sudah hampir lima belas minit berlalu, dan kini, tinggal sepuluh minit sahaja lagi mesyuarat bahagian kewangan akan bermula. Aku tak mahu lewat buat yang kesekian kalinya pada hari yang sama. Semuanya gara-gara Zulhairi. Kalau dia tidak berbual panjang denganku dalam telefon semalam, sudah pasti semua ini tak terjadi. Keletihan masih lagi terasa, sarapanpun tidak sempat aku ambil pagi ini.
            Sambil menunggu lif sampai, aku membuka ladies briefcase milikku. Mahu memastikan bahawa laporan bulanan ku ada bersama. Laporan itu harus dibentangkan dalam mesyuarat nanti. Bayang laporan itu sudah kelihatan, tapi hati tetap tidak puas. Jadi aku keluarkan laporan yang belum sempat aku binding itu. Tersenyum aku melihat kulit laporan itu. Lega menamani hati. Tinggal untuk binding,  kemudian boleh aku bawa masuk kedalam mesyuarat dengan aman dan tenang.
            Bunyi loceng yang kedengaran membuatkan perhatianku pada laporan tadi menjadi hilang. Bunyi yang menandakan lif sudah tiba. Hanya menunggu masa untuk pintunya terbuka. Segera aku kembali cuba memasukkan laporan itu ke dalam briefcase sambil menapak ke arah lif yang lampu isyarat untuk naik ke atas tersedia bernyala. Tapi entah bagaimana, laporan yang tadinya cuba aku masukkan ke dalam briefcase, terlepas daripada pegangan tangan. Membuatkan laporan yang hampir tujuh helaian bertaburan di hadapan pintu lif.
            “Aduhai…” keluhku panjang. Saat nak cepat, saat itu jugalah bermacam-macam hal mahu terjadi. Mujur tidak ada orang lain di lobi itu. Jadi dengan pantas aku mengutip lembaran kertas yang bertaburan. Pintu lif terbuka ketika aku cuba mendapatkan helaian terakhir yang duduknya betul-betul di hadapan pintu lif. Belum sempat aku mengangkat helaian itu, ada kasut yang terlebih dahulu singgah, menumpang tapak di atas kertas yang tadinya putih bersih.  Segera aku angkat wajah, memandang pemilik kasut tersebut.
            “Sorry
            Perkataan tunggal itu sampai di telingaku. Lelaki itu akhirnya mengalihkan langkah, membongkokkan badanya, mengambil kertas yang tadinya dipijak, lalu diserahkan kepadaku. Aku hanya mampu memandang tajam wajah lelaki itu. Kemudian pandangan aku alihkan pada kertas laporan yang sudahpun bercorakkan tapak kasut.
            “Maaf, saya tak sengaja” kali ini ucapan maaf itu lebih panjang daripada yang sebelumnya.
            Aku sudah tidak tahu apa yang patut aku lakukan saat ini. Nak marah pada lelaki itu, ternyata bukan salah dirinya. Jadi aku terus mengambil kertas yang dihulurkan, segera bangun dan mendapatkan lif yang pintunya sudah mahu tertutup. Tiada patah kata yang aku hulurkan pada lelaki itu. Tidak ada masa untuk berbual panjang untuk perkara yang dah pun terjadi. Lebih baik aku kejar masa yang tinggal. Itu lebih berfaedah.

“WOI, Zul!” aku terus menyergah Zulhairi yang begitu tekun dan asyik sekali memerhati wanita yang lalu lalang. “Amboi, sampai naik juling mata tengok perempuan. Berdosa tau tak!” selaku seorang kawan, nasihat percuma aku berikan bersama senyuman yang menghiasi bibir. 
            “Hei, kau ni, Su… tak habis-habis sebut pasal dosa. Aku tahulah!” Zulhairi Nampak tidak senang. “Kau punya pasallah ni, Su. Kalau tak jumpa juga, aku nak bawa siapa jumpa mak aku hujung minggu ni?” Zulhairi mula memaparkan kerisauannya.
            “Kau tu yang degil, nak salahkan aku pula. Aku suruh kau terus terang aje, kau tak nak!” aku tarik kerusi, kemudian duduk bertentang mata dengan Zulhairi.
            “Kau agak-agaklah, Su. Mak aku marah tak kalau dia tahu aku tipu dia?” baru kini Zulhairi memberikan perhatian kepadaku.
            “Ermmm… tak! Aku rasa, tak. Mak kau takkan marah, tapi…”
            “Tapi apa?”
            “Mungkin mak kau kecewa sikit, kut” perlahan ayat itu aku sampaikan. Terdengar keluhan Zulhairi.
            “Peninglah kepala aku, Su. Aku tak faham kenapa mak aku nak juga aku kahwin? Aku tak bersedia langsung nak pikul tanggungjawab sebagai suami” Zulhairi meluahkan apa yang mungkin terpendam di hatinya selama ini. Mendengarkan itu, aku hanya mampu tundukkan wajah. Apa yang perlu aku katakan untuk aku lindung hati Zulhairi yang mungkin sedang tersiksa saat ini.
            “Jangalah macam ni, Zul.  Mungkin mak kau…”
            “Aku balik dululah, Su” Zulhairi terus bangun sebelum sempat aku menghabiskan kata.
            “Zul...” panggilanku tidak lagi dihiraukan.  

SUDAH tiga hari aku tidak terserempak dengan Zulhairi. Alih-alih, hari ini aku menerima panggilan telefon daripada mak cik Khamsiah, menjemput aku dan adik-adikku untuk makan tengah hari di rumahnya. Mujur aku masih belum menyiapkan makanan tengah hari. Jadi sekurang-kurangnya, aku dapat berehat.
            “Suruh adik-adik siap” arahan itu aku beri pada Alia, sebaik sahaja talian aku matikan.
            “Kita nak pergi mana, Along” terus Alia meletakkan pen yang tadinya ada di tangan.
            “Tak payah nak banyak tanyalah, siapa aje!” enggan aku hulurkan jawapan. Kakiku terus menapak menaiki anak tangga, menuju ke bilik. Aku juga harus bersiap segera. Namun hati terus tertanya-tanya untuk apa mak cik Khamsiah menjemput aku sekeluarga makan bersama hari ini? Apakah yang istimewanya dengan hari ini? Cuba juga aku risik-risik tadi, namun mak cik Khamsiah hanya ketawa kecil kemudian meminta supaya aku ke rumahnya untuk mengetahui hal selanjutnya.  
            Walaupun rumahku dengan rumah Mak Cik Khamsiah hanya dipisahkan dengan satu deretan rumah, namun aku masih tetap mahu memandu ke rumah mak cik Khamsiah. Tidak tega pula melihat  Alia, Azira dan Amira berjalan kaki waktu tengah hari terik begini. Pantas enjin aku hidupkan. Azira dan Amira, awal-awal lagi sudah masuk ke dalam kereta. Kini tinggal Alia sahaja yang masih belum nampak batang hidungnya. 
            “Terhegeh-hegeh!” kata-kata itu keluar dari mulutku ketika Alia baru saja meletakkan punggungnya di dalam kereta. Alia hanya tunduk, tidak sesekali cuba membalas kata”
            “Along…” suara kecil Amira kedengaran. Mungkin kerana dia hanya duduk di sebelahku, lalu dengan pantas saja telinga menyambut panggilan itu. “Along nak bawa kita orang pergi makan, ya?” 
Hampir saja bibirku mengukir senyuman saat alunan pertanyaan itu selesai disuarakan. Amira memang pandai menyejukkan hati. Mungkin kerana dia yang paling bongsu, maka aku lebih senang dengan keletah dirinya. Namun tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh bibir itu, diambil alih dengan segera oleh hati, semata-mata tidak mahu meraka bertiga terlihat akan senyuman itu.
            “Duduk situ diam-diam.” langsung tidak padan jawapan yang aku berikan. Sedikitpun tidak menjawab pertanyaan Amira. Dan seperti selalu, tiada siapa yang berani mengingkari arahan.
            Enjin kerata aku matikan walaupun tidak sampai lima minit dihidupkan. Alia dan Azira berpandangan sesama sendiri. Dapat aku perhatikan dari cermin pandang belakang. Aku yakin meraka sudah berjaya menjawab teka-teki yang tadinya bermain di minda mereka. Pasti mereka tidak akan menyangka yang aku akan membawa mereka ke rumah mak cik Khamsiah kerana memang jarang sekali aku membawa mereka ke situ.
            Aku tidak mahu kehadiran mereka bertiga terus menyusahkan mak cik Khamsiah. Cukuplah dulunya aku menjadikan mak cik Khamsiah tempat mengadu kasih. Aku tidak mahu mereka meraih simpati sama sepertiku. Lagipun aku ada untuk menjaga mereka. Aku masih memegang janjiku pada arwah ayahku untuk tidak meninggalkan mereka. Aku akan terus pegang janji itu.
            “Jangan nak buat bising kat rumah orang. Jangan usik barang-barang orang dan yang paling penting, jangan makan selagi orang tak pelawa” pesanan itu aku berikan sebagai tanda peringatan. Aku mahu mereka menjadi orang yang beradab biarpun kini mereka tidak lagi mempunyai ibu bapa yang berperanan besar untuk memberikan dididikan. Setidak-tidaknya mereka masih boleh dididik olehku. Dididik dengan sepenuh hati walaupun itu tanggungjawab yang berat buatku.
            “Baik Along” hanya suara Amira yang kedengaran, manakala Alia dan Azira hanya memberikan isyarat kepala, tanda memahami mahuku.
             Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah teres dua tingkat itu, dapat aku perhatikan pelbagai hidangan sudah sedia terhidang di atas meja makan. Mak cik Khamsiah terus mengajak kami ke meja makan. Kebetulan jam sudah hampir pukul satu petang, jadi perut yang kosong benar-benar senang dengan agenda pertama itu.
            “Meriah semacam aje lauk-pauk ni, mak cik. Ada majlis apa sebenarnya?” sambil mula menempatkan diri di meja makan, aku mengambil kesempatan untuk mengetahui apa sebenarnya tujuan jemputan makan tengah hari.
            “Majlis apa lagi, Su. Majlis suai kenal dengan bakal menantulah” lebar senyuman mak cik Khamsiah.
            “Bakal menantu?” aku terkejut! Biar betul? Takkan dalam tempoh dua, tiga hari ni, Zulhairi sudah berjaya berjumpa dengan calon isterinya? Pelbagai soalan mula mengambil tempat di fikiran. “Zul mana, mak cik?” entah kenapa kelibat Zulhairi sangat aku perlukan saat ini. Aku sangkakan Zulhairi sudahpun berterus terang dengan ibunya dengan menceritakan perkara sebenar. Nampaknya, aku sudah silap membuat tekaan.
            “Zul kat dalam bilik dialah, Su. Kejap lagi turunlah tu” Mak cik Khamsiah mula menyusun pinggan-pinggan kosong. “Alia, Azira dengan Amira, sihat?” soal mak cik Khamsiah pada budak bertiga yang turut bersedia untuk menjamu selera.
            “Alhamdulillah, kami sihat. Mak cik sihat? Lama dah tak jumpa mak cik” Alia menjawab. Mungkin atas faktor usia, jadi dia menjawab soalan itu bagi pihak dua orang lagi adiknya. Dapat aku liha sifat kematangan yang terselah dari dalam dirinya. 
            “Mak cik pun, sihat. Mak cik sebenarnya rindu juga dengan kamu semua. Tapi Kakak kamu ni, bukannya reti nak bawa kamu jumpa mak cik. Geram mak cik dibuatnya”
            Kakak! Sikitpun hati tidak senang dengan gelaran itu.
            “Mak cik rindu Amira, ya?” tiba-tiba Amira mencelah. Membuatkan semua yang ada terlepas tawa, kecuali aku!  aku berjaya menghalang tawa itu. Pantas mata aku buntangkan pada Amira, tangan telunjuk sudah aku rapatkan pada bibir, mahu dia berhenti daripada berkata-kata.
            “Rindu… rindu sangat-sangat” mak cik Khamsiah meletakkan tangannya pada pipi Amira. Aku pula hanya mampu memerhati.
            “Siap dah, mak?” Zulhairi muncul sudahnya. Muncul bersama muka yang berseri-seri. Seolah-olah sudah tidak sabar lagi untuk memperkenalkan calon isterinya. “Wah, adik-adik abang Zul pun semua dah sampai!” Zulhairi tersenyum pada semua, kecuali padaku. Dia seakan-akan enggan melihat kehadiran aku di situ. Sedikitpun aku tidak dipedulikannya. Mungkinkah Zulhairi marah? Hati mula membilang persoalan-persoalan yang timbulnya bersealng seli. Mungkin juga Zulhairi marah. Mana tidaknya, aku langsung tidak menghulurkan bantuan pada saat-saat dia benar-benar mengaharapkan pertolonganku.
            “Hensemlah abang Zul hari ni” Amira bersuara lagi. Jari ibunya diperlihatkan pada Zulhairi.
            “Abang Zul memang hensem!” Zulhairi melayan kata. Kini dia merapatkan jari ibunya pada jari ibu Amira. Membuatkan Amira kelihatan begitu gembira.
            Dipinggirkan oleh Zulhairi begitu, membuat aku mati kutu di situ. Dudukku tidak lagi senang. Nak tersenyum salah, nak ketawa lagilah salah. Jadi aku hanya mampu jadi pemerhati pada babak-babak mesra Zulhairi dan mak cik Khamsiah melayan Alia, Azira dan Amira.
            Selesai makan tengah hari, kami dijamu pula dengan aneka puding dan kek. Perutku memang tidak dapat mengisi makanan dengan banyak apabila memikirkan sikap dingin Zulhairi pada hari ini. Dan yang bertambah peliknya, bayang calon isteri Zulhairi juga tidak muncul-muncul sehingga kini.
            Meja kopi sudah penuh dengan piring-piring yang masih lagi penuh berisi pencuci mulut untuk dinikmati. Semua juga sudah mengambil tempat di atas sofa di ruang tamu, kecuali mak cik Khamsiah. Hanya dia yang menghilang entah ke mana. Azira membuka langkah pertama, cuba bangun untuk mengapai makanan yang ada.
            “Aku pesan apa?” perlahan aku bisikkan kata, namun pantas tangan Azira aku tarik. Cuba menghalang daripada meneruskan niatnya. Pandangan tajam yang aku berikan dibalas sepi oleh Azira. Lalu dia kembali duduk di tempatnya.
            “Biarlah, Su. Budak-budak nak makan. Biarkan dia orang makan” pak cik Ismail cuba menenangkan keadaan yang tidak setegang mana.
            “Su nak dia orang belajar untuk hormat orang tua, pak cik” aku balas. Aku mahu pak cik Ismail faham maksudku yang sebenar.
            “Su… Su…” Pak cik Ismail menggeleng-gelengkan kepalanya.
            Zulhairi bangun tiba-tiba, mendapatkan piring yang ada di atas meja, lalu dihulurkan pada Azira. Pantas Azira menyambut huluran itu tanpa sedikitpun melihat ke arahku. Selama ini dia tidak pernah membantah kata. Entah kenapa dengannya hari ini? Zulhairi pun sama. Seperti ada yang tidak kena.
              “Zul, aku nak cakap dengan kau sekejap!” terus aku melangkah keluar dengan harapan Zulhairi akan turut serta. Aku perlu bertanya mengapa dengan dirinya? Sikap acuh tak acuh yang ditunjukkannya menyeret aku ke dalam dilema. Andainya ada salah yang aku lakukan, aku perlu tahu apa kesalahan itu?
            Aku bersandar pada tembok, menanti Zulhairi. Sayangnya, wajah mak cik Khamsiah pula yang muncul saat ini. Zulhairi ni memang nak kena! Hatiku dah mula rasa panas.
            “Su…”
Panjang pangkal namaku disebut oleh mak cik Khamsiah. Di bibirnya ada senyuman. Melihat senyuman itu, aku turut memberikan balasan.
“Kenapa Su tipu mak cik? Su buat mak cik berharap aje tau. Kempunan mak cik nak ada menantu cantik macam yang Su cakap hari tu”
Terkejut aku mendengar ayat yang baru saja mak cik Khamsiah lafazkan. Jadi, bukankah ini bermakna, Zulhairi sudahpun menceritakan semuanya. Patutlah Zulhairi bukan main marah lagi padaku. Ini punca yang sebenarnya. Kali ni baru aku boleh senyum lebar. Kalau hal sekecil ini, tak jadi masalah padaku. Esok, lusa, hilanglah marah Zulhairi tu. Zulhairi mana boleh marah aku lama-lama.
“Mak cik, Su betul-betul minta maaf. Su…”
“Tak apalah Su. Sebenarnya mak cik pun tak kisah, siapa-siapa yang Zul pilih jadi menantu mak cik. Yang penting, dia mesti pandai jaga Zul macam mak cik jaga. Dan mak cik rasa, kali ni Zul dah buat pilihan yang tepat”
“Zul dah buat pilihan yang tepat?” ayat akhir itu aku ulang kembali. Seperti ada kepincangan pada ayat itu. Bukan picang dari sudut sturukturnya, tapi dari segi maksudnya. “Zul dah ada pilihan ke, mak cik?”  dahiku mula berkerut.
“Dahlah, Su. Kamu hentikanlah dialog sama kamu tu. Jangan nak ulang drama dulu”
“Tapi mak cik, Su…”
“Tak ada tapi-tapi. Su dengar cakap mak cik ni. Mak cik tahu, Su perlukan masa untuk fikirkan pasal adik-adik Su. Tapi mak cik tak nak pasal adik-adik Su, Su rahsiakan pasal hubungan Su dengan Zul. Mak cik juga tak nak disebabkan hal-hal kecil macam ni, Su nak tangguhkan rancangan perkahwinan Su dengan Zul. Mak cikkan ada… mulai hari ni, mak cik akan bantu Su uruskan adik-adik. Sekarang ni, mak cik cuma nak Su tumpukan pada majlis Su dengan Zul. Kalau boleh secepat yang mungkin. Bulan depan bertunang, boleh?”
Jantungku rasa direntap keluar mendengar luahan kata mak cik Khamsiah. Rasa macam nak pengsan. Kenapa tiba-tiba pula soal perkahwinan aku dengan Zulhairi dibangkitkan? Sejak bila aku atur agenda itu? Aku sendiri tak pernah terfikir untuk berkahwin, inikan pula berkahwin dengan Zulhairi. Aku yakin, mak cik Khamsiah salah faham. Ya, salah faham! Ataupun yang sebenarnya…
Zul! kuat jeritan nama Zulhairi kedengaran. Tapi nyaringnya jeritan itu hanya mampu didengar dari dalam hati. Kurang asam kau Zul, kau main taktik kotor ya! Patutlah nak pandang muka akupun kau tak berani hari ni. Mati-mati aku sangkakan yang dia sedang marah. Rupa-rupanya… aku betul-betul tak puas hati!
“Mak cik, Su…”
“Dah! Sekarang ni bukan masa untuk Su cakap apa-apa. Su cuma perlu dengar cakap mak cik! Sejak kecil lagi Su sentiasa ikut nasihat mak cik, kali ni pun mak cik nak Su buat yang sama. Mak cik betul-betul gembira sebab Su bakal jadi  menantu mak cik” satu ciuman singgah di dahiku.
“Mak cik hadiahkan loket ni, pada Su. Memang mak cik dah niat nak hadiahkan loket ni pada menantu mak cik. Kalau mak cik tahulah Su orangnya, dari dulu lagi mak cik dah bagi loket ni pada Su” loket berbentuk hati itu diletakkan atas tapak tanganku. Kemudian aku dipeluk erat. Saling tidak tumpah seperti pelukan kasih sayang seorang ibu untuk seorang anak.
Aku sudah jadi seperti orang bisu. Hanya mampu mendengar, tidak lagi mampu membalas. Bayangan wajah Zulhairi yang sedang gelak sampai guling-guling, tergambar di fikiran. Aku takkan biarkan ini terjadi. Aku ada tanggungjawab yang lebih besar untuk aku galas hingga hujung nyawa. Perkahwinan ini takkan pernah terjadi!

Bersambung...

P/S : atas kesibukkan, maka entry inipun lewat dipostkan. mohon maaf pada semua rakan pembaca. apapun terima kasih kerana tetap setia menantikan entry ini. Insya'ALLAH buat yg bercadang ke Pesta Buku esok, bolehlah singgah ke booth Karyaseni kerana AH akan berada di sana pada jam 11-12.30 tgh hari. Semoga kita dapat bertemu dan menjalinkan ukhwah. Salam sayang buat semua

8 comments:

zuraidah said...

hahaha...dah agak dah, pasti zulhairi pilih su.....

fara said...

Akak!!!! Kite jmpe esok eyh... Hehehe..

M.T said...

like sangat!! pandai betul zul kelentong su erk??

Liza said...

Sian Su kena ..but I loike

nadiah said...

aaahhhhhh
akhirnyaaaaa

kak na said...

hopefully jd kawin....terima aje la su

Anonymous said...

Panjang lagi cerita ni....tunggu apa yang bakal terjadi.....@bluescarf

Eppy Safri said...

X Sabo nk tau next

Post a Comment