6
“SU…”
Dari
jauh sudah kedengaran suara Zulhairi melaung. Kuat suaranya memanggil namaku, namun
aku buat-buat seperti hilang pendengaran. Malas mahu bertemu muka dengannya
buat masa ini. Aku perlukan sedikit ruang untuk memikirkan tindakan wajar yang perlu
aku lakukan untuk menggagalkan rancangan yang dibuat oleh Zulahiri. Rancangan
yang boleh aku kategorikan sebagai rancangan yang tak berapa nak betul.
Laju
langkah aku bawa meninggalkan pintu utama. Kaki aku hayun kemas untuk segera
sampai ke kawasan parkir berbayar yang letaknya tidak jauh dari Wisma Conlay.
Punat alat kawalan jauh kereta Perodua Myvi milikku, aku tekan sebaik sahaja
menghampiri kereta. Setibanya di situ aku terus membuka pintu kereta lalu masuk
ke dalamnya.
“Su…
tunggu sekejap!” Zulhairi nampaknya tidak mahu mengalah. Tangannya pantas
sahaja menghalang pintu keretaku daripada tertutu rapat.
“Apa
ni, Zul? Tepilah, aku nak balik!” masih aku terus cuba menutup pintu keretaku
walaupun aku tahu kudratku tidak mampu menyaingi tenaga Zulhairi.
“Su..
kau ni, janganlah macam budak-budak. Jomlah berbincang. Aku terpaksalah! Kau
pun tahu keadaan aku kan?” Zulhairi masih terus menghalang.
“Amboi
sedap aje mulut kau cakap aku macam budak-budak ya! Dah.. tepi, aku nak balik!”
“Memang
kau macam budak-budak. Dah tu, mungki janji pula” Zulhairi tunjuk muka garang.
“Bila masa pula aku
mungkir janji? Bila masa yang aku janji yang aku nak kahwin dengan kau? Bila? Cuba
kau cakap?” akhirnya aku melangkah keluar dari kereta. Tidak puas hati dengan tuduhan
yang baru dilemparkan.
“Bila masa aku cakap
yang kau dah janji nak kahwin dengan aku?”
Soalan yang Zulhairi
pulangkan itu membuatkan aku kembali berfikir. Iya tak ya juga. Bila masa pula
Zulhairi menyebut yang aku dah berjanji untuk berkahwin dengan dia? Kenapa
perkataan kahwin itu tak habis-habis muncul dalam kepalaku sejak menerima loket
daripada mak cik Khamsiah semalam? Semua itu cukup untuk membuatkan aku terus
terdiam.
“Itulah orang
perempuan, berjanji pandai, lepas tu buat-buat lupa. Dulu kau juga yang buat janji yang kita wajib
tolong kalau ada antara kita dalam kesusahan. Sekarang ni kau pula yang nak
mungkir janji. Apa cerita?
Lagi kata-kata Zulhairi
yang berjaya menutup rapat mulutku. Hanya otak yang sibuk menyelongkar semula
fail-fail janji yang dulunya pernah aku tabur. Wajib tolong kalau dalam
kesusahan? Pernah ke, aku buat janji macam tu? Anak mataku memandang tepat ke
wajah Zulhairi sambil memikirkannya. Oh ya! Baru kini aku dapat imbas kembali
semuanya. Cepat juga otak mengimbas maklumat lama. “Janji lima belas tahun lalu
pun kau nak berkira ke?” aku cekak
pinggang.
“Ah… lima belas tahun
ke, lima belas hari ke, janji tetap janji!” Zulhairi tetap mahu aku berpegang
pada janji. Mana tidaknya, dia yang sedang dalam kesulitan. Cuba kalau aku yang
hadapi masalah besar itu kini. Confirm
dia orang pertama yang buat-buat hilang ingatan. Nak mengelak daripada
menunanikan janji yang aku minta untuk dipersetujui bersama sewaktu kami di
tingkatan 5 dulu.
“Ah… tu janji masa
zaman kita budak-budak. Mana boleh ambil kira!” amarah yang semalamnya
meluap-luap, kian surut sedikit demi sedikit.
“Ada aku kisah?”
Zulhairi pantas membalas.
“Tak kuasalah aku nak
layan kau ni, Zul. Tepi!” aku tolak Zulhairi. Membuatkan dirinya terdorong ke
belakang. Lalu, segera aku menaiki kereta, menutup pintunya dan menghidupkan
enjin. Bersedia untuk bergerak meninggalkan kawasan parkir. Zulhairi sudah
tidak lagi aku hiraukan.
KAFETERIA memang penuh sesak saat-saat
begini. Tapi perut yang bunyinya bukan main kuat kedengaran telah memaksa aku
untuk turun membeli roti lebih awal daripada kebiasaan. Kalau tidak diikutkan,
pasti tumpuan untuk menyiapkan kerja bakal hilang, terbang melayang.
Seperti
selalu, rak roti menjadi perhatian utamaku apabila sampai saja di kafeteria.
Tidak berminat untuk singgah di kiosk nasi ayam ataupun nasi campur walaupun
yang sebenarnya, anak mata sentiasa melirik melihat warna warni lauk-pauk yang
dijual setiap kali melintasi kiosk jualan. Wajib makan roti untuk menjimatkan
perbelanjaan harian. Al-maklumlah, ada tiga lagi tanggunggan yang perlu aku
jaga kebajikannya. Jadi berjimat cermat adalah jalan terbaik.
Bukan
arwah ayah tidak meninggalkan simpanan untuk mereka, tapi biarlah simpanan itu
mereka gunakan untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi
nanti. Setidak-tidaknya, tak perlulah mereka menanggung hutang pendidikan
berpuluh-puluh ribu macam aku ni, ha! Umur
dah masuk 33 tahunpun tak habis-habis lagi bayar. Entah bila nak habispun aku
tak tahu. Apa yang pasti, aku harus melangsaikannya sebelum nyawaku dicabut.
Kalau tidak, mahu tidak aman hidup di alam baru tu. Hutang tetap hutang! Wajib
dibayar!
Baru
saja tangan mahu menggapai plastik roti kegemaranku, tiba-tiba pula ada tangan
lain terlebih dahulu menyambar bungkusan roti itu. Terus kaku pergerakan
tanganku. Mata aku alihkan, ingin melihat gerangan yang berjaya mendapatkan
roti itu. Macam kenal! Tapi siapa? Erm… otak mula bekerja. Lantaklah. Aku
mengalah setelah beberapa detik, apabila ternyata otak gagal memberikan
sebarang output. Lalu aku ambil saja bungkusan roti yang masih banyak tersusun
pada rak itu. Tak perlu berebut!
“Ingat
saya lagi tak?”
Baru saja aku mahu beredar ke kuanter
bayaran, soalan itu menerjah ruangan telinga. Lantas aku kembali memandang lelaki
yang sudah terang-terang tidak dapat aku ingat kewujudannya. “Tak!” balasku
ringkas.
“Cuba
ingat betul-betul” arah lelaki itu.
Aku berikan pandangan penuh makna
apabila diarah sebegitu. Aku bukan setakat tidak ingat, malah aku juga tidak
berminat untuk ingat apa-apa tentang dirinya. Tidak perlu ada sebarang
pertambahan kenalan dalam hidupku. Yang ada saja sudah lebih daripada
mencukupi. “Memang tak ingat. Sorry lah
ya” aku terus beredar. Tak ada masa untuk bermain kata dan membalas renungan
lebih lama.
Selesai
membuat bayaran aku mengambil keputusan untuk berdiri makan di sudut kafeteria.
Memandangkan semua kerusi meja penuh dengan penghuni, maka keputusan itu aku
anggap sebagai keputusan terbaik. Lagi pula dapat makan sambil menyaksikan
permandangan indah lanskap dari tingkat enam. Senang hati dibuatnya. Apabila
hati senang, makananpun akan mudah dihadam. Teori yang aku rangka sendiri.
Entah betul, entah tidak.
“Kan
tak elok makan sambil berdiri. Apa kata duduk kat sini!”
Aku
menoleh apabila dapat aku rasakan, kata-kata itu ditujukan padaku. Pandangan
lanskap yang menghijau tidak lagi berada di mata, yang ada kini cuma susuk
tubuh seorang lelaki yang siap memegang sebuah kerusi bersamanya. Siapa lagi
kalau bukan Zulhairi.
“Duduk”
pelawa Zulhairi.
Aku hanya diam memandang kerusi kosong
itu. Pasti Zulhairi yang mengangkut kerusi itu lalu dibawanya ke sini.
“Duduk
ajelah” Zulhairi menarik bajuku, lalu membuatkan aku terduduk di atas kerusi
itu secara paksa.
“Zul,
boleh tak kau jangan jumpa aku buat masa sekarang ni?” aku buat permintaan.
“Kenapa?”
Zulhairi melutut. Seperti mahu kedudukan kami setara. Melihat tindakan Zulhairi
itu, mataku melilau memandang sekeliling kafeteria. Risau kalau ada yang
beranggapan bahawa Zulhairi sedang cuba membuat lamaran. Mujur hanya satu, dua
anak mata yang melihat ke arah kami. Itu pun hanya seketika, yang lainnya pula
sibuk menikmati hidangan masing-masing.
“Sebab
aku takut kau cedera parah nanti” aku berkias, berharap Zulhairi faham
maknanya.
Zulhairi
ketawa berdekah-dekah. “Kau nak pukul aku dengan apa? Dengan kayu ke, dengan
besi? Kalau setakat dengan penumbuk kau tu, tak payahlah… silap hari bulan,
tulang tangan kau tu pula yang hancur. Elok-elok boleh makan sambil duduk atas
kerusi, tak pasal-pasal kena makan sambil berbaring atas katil hospital”
Zulhairi menyambung tawanya.
Kurang
asam punya Zulhairi, bukannya nak meredakan kemarahanku ini. Malah ditambahnya
pula dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Perangai tak berubah langsung lelaki
yang seorang ini. Ada saja modal untuk dia menyekat aku daripada terus mara
dengan kata-kata.
“Kau
tengok muka aku ni, ada nampak macam orang yang tengah buat lawak, ke?” roti
yang masih separuh berbaki sudah tidak dapat lagi aku makan, hanya mampu aku
pegang kini.
“Alah,
tu pun nak marah. Tak habis-habis dengan marahlah kau ni, Su. Cuba bawa-bawa
bersabar. Tenangkan fikiran, lapangkan dada, buka minda… baru boleh senang hati
macam aku ni” Zulhairi cuba bertindak mendidik. Namun subjeknya tidak dapat aku
kenal pasti dengan jelas.
“Eh,
bangunlah Zul. Kau tak penat ke, melutut kat depan aku ni. Bangun! Karang tak
pasal-pasal orang ingin kau nak melamar aku pula!” sebenarnya aku sendiri tidak
selesa dengan kedudukan Zulhairi. Ada satu rasa dalam jiwa, yang pastinya aku
yakin bukan kuch kuch hota hai! Aku belum gila untuk jatuh hati pada dia.
“Peduli
apa dengan orang lain. Lagipun mak aku dah tolong melamar kau bagi pihak
akukan? Kau pun dah setujukan?” sinis ketawa Zulhairi.
Tengok,
lagi-lagi aku yang kena! “Melamar kepala otak kau. Mati hidup balikpun aku
takkan kahwin dengan kau! Aku tahulah apa aku nak buat nanti!” aku jelir lidah.
Geli-geleman! Namun Zulhairi sedikitpun tidak berubah riak wajahnya.
Senyumannya itu masih terus panjang walaupun kata-kataku itu sepatutnya
menguris hati lelakinya. Tak ada perasaan ke apa lelaki seorang ini?
“Zul…”
Pandanganku
dan Zulhairi yang tadinya bertaut sudah beralih tempat. “Eh, Wafi, kau buat apa
kat sini? Ada hal penting ke?” Zulhairi bingkas bangun, kemudian dia menepuk-nepuk
lutut seluarnya yang kotoran habuk dan debu dapat dilihat.
Alamak!
Aku telan liur. Lelaki itukan, lelaki yang beli roti tadi. Aduh, kawan Zulhairi
rupanya. Kenapalah Zulhairi duk berkawan dengan lelaki ini? Aku sudah tidak
sedap hati. Rasanya aku patut beredar segera sebagai langkah melarikan diri.
“Tak
ada apalah, nampak kau melutut kat sini… ingatkan kenapa, tu yang singgah!”
lelaki itu memberikan penjelasan yang turut dapat aku dengar.
“Siapa
ni?”
Baru
saja aku mahu bangun, lelaki itu sudah bertanya tentang diriku. Cis! Tak sempat
nak bertindak. Nak tak nak, aku buat-buat membetulkan duduk. Padahal tadinya
aku sudah bersedia untuk bangun.
“Kenalkan,
yang ni Suraya, kawan aku!” Zulhairi memperkenalkan aku. Aku pula hanya mampu
menganggukkan kepala dan tersenyum paksa.
“Oh,
Suraya. Nice name. Saya, Wafi…”
lelaki itu menghulurkan tangan, tanda perkenalan.
Kini
barulah aku bangun, sambil memerhatikan salam yang masih belum aku sambut itu.
“Zul, aku gerak dulu” kerusi yang tadinya aku duduk, aku tolak ke tepi untuk
memberikan aku ruang untuk berlalu dari situ. Salam lelaki yang bernama Wafi
itu tidak aku sambut dengan sebab munasabah, dia seorang lelaki. Lagipun aku tak kenal dia, walaupun aku dah
tahu nama dia, tapi tetap aku tidak punya rasa minat untuk mengenali dirinya.
Harap dia tak muncul lagi depan aku selepas ini.
PAGI-PAGI lagi Encik Fahmi sudah
memanggil aku untuk bertemu dengannya. Arahan yang baru aku terima melalui
telefon itu membuatkan aku yang baru saja mahu membuka komputer terpaksa
menangguhkannya. Terlebih dahulu aku harus bertemu dengan Encik Fahmi di
biliknya.
Pintu
bilik aku buka luas setelah mendengar suara Encik Fahmi membenarkan melalui
ruang pintu yang sedikit terbuka. Di hadapan Encik Fahmi sudah ada seorang
wanita yang aku kira usianya jauh lebih muda daripadaku. Perempuan bertudung
litup itu melemparkan senyumannya padaku. Jelas kelihatan lesung pipit pada
kedua-dua pipinya. Cantik! Desis hatiku.
“Duduk,
Suraya” Encik Fahmi memberikan arahan sambil sibuk dirinya mencari sesuatu di
balik timbunan kertas, atas tray
dokumen.
“Inipun
dia” senyuman puas Encik Fahmi dapat aku lihat kini. Sampul surat putih yang
tertera logo syarikat ditarik keluar, namun nama pemilik surat itu tidak dapat
aku lihat dengan jelas.
“Suraya,
saya kenalkan, ini Cik Nurul Madihah”
Sesi
perkenalan itu membawa tanganku dan Madihah bertaut erat. Walaupun aku masih
belum mengenali diri wanita itu sepenuhnya. Namun dapat aku rasakan yang wanita
muda itu mempunyai akhlah yang cukup baik. Sopan dirinya membuatkan aku rasa
senang, walhal aku bukanlah orang yang mudah bergaul dengan orang yang baru aku
kenal.
“Mulai
hari, Madihah akan ambil alih tempat awak”
Jantungku
rasa direntap keluar saat perkara itu diumumkan. Apa yang cuba disampaikan oleh
Encik Fahmi? Hati tertanya-tanya. Melihat pula sampul putih yang masih lagi
dalam pegangan Encik Fahmi, hatiku jadi kurang senang. Apakah ini bermakna aku
akan dibuang kerja? Serabut aku memikirkannya.
“Maksud
Encik Fahmi?”
“Maksud
saya, tugas awak sebagai eksekutif kewangan akan diambil alih oleh Madihah
mulai dari hari ini” Encik Fahmi cuba menerangakan dengan lebih terperinci.
Walhal apa yang diterangkan sama saja maknanya daripada tafsiranku.
“Jadi,
saya…?” gagap aku untuk meneruskan kata.
“Suraya…”
perlahan nada Encik Fahmi. Seolah-olah, dirinya tidak sanggup untuk meneruskan
kata. “Awak dinaikkan pangkat sebagai eksekutif kanan kewangan. Tahniah!”
“Naik
pangkat!” lagi tidak aku duga. “Alhamdulillah” lidah mengucapkan syukur. Berita
gembira itu membuatkan hatiku tersenyum. Rezeki budak bertiga di rumah itu
agaknya.
“Tahniah!”
Madihah sekali lagi menghulurkan salam.
“Terima
kasih” aku membalas kata dan salam yang dihulurkan itu serentak.
“Suraya,
saya nak awak bagi tunjuk ajar pada Madihah. Awak senior dia sekarang. Betulkan
kalau ada apa-apa kesalahan. Madihah saya letakkan bawah penyeliaan awak” Encik
Fahmi menyampaikan amanat.
“Insya’ALLAH,
Encik Fahmi, saya akan berusaha untuk bantu Madihah” aku memberikan jaminan.
“Madihah.
Awak perlu belajar cara Suraya bekerja. She’s
the best!” ujar Encik Fahmi lagi, membuatkan aku melirik senyuman.
“KAK SU nak pergi lunch ya, boleh Ihah ikut sekali?”
Permintaan yang diluahkan oleh Madihah
membuatkan aku terdiam seketika. Selama hampir 13 tahun aku bekerja di sini,
aku sudah terbiasa untuk bersendiri untuk kemana saja. Agak berat untuk aku
memenuhi permintaan Madihah.
“Itupun
kalau kak Su tak kisah. Kalau kak Su tak biasa, tak apa, Ihah Faham” Madihah
mula bergerak menuju ke tempat duduknya.
Simpati
pula aku melihat keadaan Madihah. Dia masih baru di sini, jadi pasti dia rasa
janggal untuk semuanya. Tidak patut untuk aku membiarkan dia berseorangan,
lebih-lebih lagi kini dia adalah tanggungjawabku.
“Ihah…
jom lunch dengan akak” sapaku sebaik saja lalu di hadapan work station Madihah. Madihah
menunjukkan riak wajah gembira. Dan kegembiraannya itu menimbulkan rasa senang
di hati.
“Terima
kasih kak Su” Madihah pantas mengeluarkan dompet dari beg tangannya lalu
bergerak menyaingi aku.
SEGERA aku bergerak ke ruang meja yang
kosong. Mujur ada, itupun di hujung sudut, jadi agak jauh untuk berjalan
membeli makanan. Tidak mengapa, asalkan ada tempat duduk untuk aku dan Madihah.
Oleh kerana aku hanya perlu membeli sekeping roti, jadi aku arahkan supaya Madihah
membeli makanannya terlebih dahulu.
Sementara
menungguh Madihah sampai, aku memerhati sekeliling. Harap-harapnya Zulhairi
tidak ada di sini. Memandangkan aku masih belum dapat sebarang idea untuk
mematahkan rancangan Zulhairi, jadi ada baiknya aku mengelakkan diri daripada
berjumpa dengan dirinya. Pening aku memikirkannya. Mak cik Khamsiah pun satu
hal juga. Apa yang dia berkenan sangat pada aku ni, akupun tak tahu. Sampaikan
sekarang ni, hari-hari mak cik Khamsiah menghantar lauk-pauk ke rumah dengan
alasan aku tidak perlu lagi bersusah payah untuk memasak selepas balik kerja.
Susah sungguh!
“Dari
tadi melilau aje anak mata, cari aku ke?”
Dah
aku jangka, dia pasti muncul! Ini yang aku lemah ni. “Tak ada maknanya cari
kau!” aku kalih wajah. Zulhairi sudah ambil tempat duduk. Mujur ada dua lagi
tempat duduk yang kosong.
“Su,
kau dah bersedia ke, belum? Mak aku dah bising dah ni” Zulhairi buat muka
sepuluh sen. Mengharap belas simpati.
“Bersedia
apanya?” aku pula buat-buat tak faham, walaupun sebenarnya kau tahu sangat apa
yang cuba Zulhairi nyatakan.
“Kalau
kita terus kahwin tak payah bertunang kau setuju tak, Su?”
“Ish…
kau ni kan Zul, kau tak faham bahasa Melayu ke, apa? Suka hati kau aje nak ajak
aku kahwin. Aku cakap, aku tak nak… aku tak naklah… Kau pergilah cari orang
lain, orang yang kau cinta, yang kau sayang, baru kau boleh hidup bahagia.” aku
bantah macam selalu.
“Kalau
kau tak nak kahwin dengan aku, habis tu, aku nak kahwin dengan siapa?”
“Alah,
alasanlah kau Zul. Macam aku baru kenal kau semalam. Kau tu bukan tak ada yang
suka, kau aje yang jual mahal. Kat facebook kau tu bukan main ramai lagi
perempuan yang take care pasal kau.
Ingat aku tak tahu ke? Perempuan macam mana lagi yang kau nak cari?” aku
mulakan hujah. Pada awalnya malas aku mahu ungkitkan pasal kawan-kawan wanita
dia kat facebook yang hari-hari aku tengok bertanya khabar. Ada juga yang tidak
putus asa, mengajak Zulhairi keluar bersama-sama tanpa rasa malu. Semuanya
mampu aku baca.
“Kau
pun tahu akukan, Su. Aku malaslah nak pikul tanggungjawab” senang jawapan
Zulhairi.
“Pandai kau ya. Habis
tu kau nak jadikan kau kambing hitamlah. Kurang asam kau Zul!” aku betul-betul
tak puas hati.
“Eh, Su, kau ingat
senang ke nak jadi suami? Lainlah kalau aku dah jumpa dengan perempuan yang aku
suka. Masa tu mungkin aku sanggup kut nak pikul semua tanggungjawab tu”
Zulhairi tersengih sendiri dengan katanya.
“Assalamualaikum”
Madihah tiba tepat pada masanya. Pasti perbincangan yang tak berkesudahan itu
akan terhenti dengan kehadiran Madihah. “Ihah boleh duduk sini, kan?” tanya
Madihah.
“Duduklah, Madihah” aku
bantu Madihah meletakkan dulang coklat yang berisi sepinggan nasi ayam,
semangkuk sup dan air soya yang dipegangnya itu ke atas meja.
“Zul, semalam kau
kenalkan kawan, kau si Wafi tu, kan. Hari ini aku nak kenalkan kau dengan kawan
aku pula” aku buka bicara baru.
“Zul, kau dengar tak
ni” meja aku hentak perlahan, mengharap sedikit perhatian Zulhairi yang tak
henti-henti memerhatikan Madihah dari tadi.
“Ya, aku dengar…
teruskan” baru kini anak matanya beralih arah. Itupun hanya seketika.
“Ini Nurul Madihah.
Hari ni dia punya first day kat sini”
Melemparkan sebuah senyuman manis buat Zulhairi sebelum kembali memandang menu
makanannya. Dan senyuman itu dibalas sama manis oleh Zulhairi. Melihat reaksi
mereka berdua, aku jadi terfikirkan sesuatu. Mungkin mereka berpeluang untuk
mencipta jodoh! Jadi aku akan selamat daripada rancangan gila Zulhairi. Bibir
sudah tersenyum.
“Kau orang berboraklah
dulu, aku nak pergi beli makanan. Kau nak makan apa-apa tak, Zul?’ aku sekadar
bertanya, tak ada niatpun nak belikan apa-apa buat dia. Kalau Zulhairi meminta
sesuatupun, tak mungkin akan aku belikan kerana aku sudah berkira-kira untuk
meninggalkan mereka berdua di situ, mencipta detik pertemuan yang mampu
meninggalkan bibit-bibit awal cinta. Harapnya rancanganku ini berjaya.
“Fresh Orange, satu” Zulhairi betul-betul membuat pesanan.
“Okay!” aku sekadar
mengiyakan. “Madihah akak pergi beli makanan dululah ya” sebaik sahaja Madihah mengangguk,
aku terus bangun. Berjalan meninggalkan mereka berdua bersama satu senyuman.
Kakiku sudahpun
mengatur langkah untuk pergi, namun mataku masih di situ, mengikuti
perkembangan awal. Zulhairi juga tidak pula dia menoleh ke arahku, jadi aku
boleh katakan yang pada saat ini 50 peratus rancanganku terlah berjaya.
“Aouchhhh” aku terpaksa
membetulkan pandangan yang dari tadi tak henti-henti mengintip Zulhairi dan
Madihah setelah terlanggar seseorang. Wafi! Aduhai, dalam ramai-ramai orang kat
kafeteria ni, kenapa dia juga yang aku langgar? Malas betullah nak berhadapan
dengan lelaki ini.
“Su, okay?”
Belum sempat aku
menghulur maaf, Wafi terlebih dahulu bertanyakan keadaanku. “Aku okay, sorrylah tak sengaja” aku tak pasti apa
reaksi yang perlu aku tunjukkan saat ini. Sebenarnya, bila saja terjumpa dengan
Wafi, hati aku rasa tak sedap.
“Tak apa, kalau
hari-hari Su nak langgar sayapun tak apa” Wafi melirikkan senyuman.
Aku sudah terasa lain
benar saat ini. Ayat-ayat yang dituturkannya rasa macam sengaja mahu membuatkan
aku terus berlari jauh daripada dirinya.
“Tengok siapa tu, asyik
sangat, sampai tak nampak orang lain?” Wafi mula membuka pandangannya jauh,
melihat keadaan sekeliling. Alamak! Aku mula risau. Buatnya dia nampak Zulhairi
tengah duduk berdua dengan Madihah, lepas tu dia pun turut serta. Habislah….
Buatnya lepas Madihah tengok dia, Madihah jatuh hati pula kat dia, lagi punah
rancangan aku. Bukan aku tak percaya pada kehebatan dan kekacakan Zulhairi,
tapi Wafi juga tidak kurang hebatnya. Jadi aku harus bertindak!
“Kau dah makan ke,
belum?” pantas aku bertanya, cuba membawa pandangannya kembali ke arahku.
“Belum. Kenapa, Su nak
belanja ke?” Wafi kelihatan teruja.
“Taklah. Saja nak bagi
tahu kau, tempat semua full. Kau
turun makan sekejap lagi ajelah” cepat-cepat aku perbetulkan andaian Wafi yang
ternyata jauh menyimpang.
“Oh…” Wafi ketawa
sendiri. Mungkin malu dengan kata-katanya tadi. “It’s okay, saya pun nak beli roti aje, tak perlukan tempat
dudukpun”
“Baguslah…”
lega rasa hatiku.
“Bagus?
Kenapa bagus pula?”
Aduh!
Salah perkataan pula. “Err… baguslah, sebab akupun nak pergi beli roti juga.
Bolehlah kita jalan sama-sama” terpaksa juga aku cipta asbab yang aku sendiri
tidak berapa suka. Nak tak nak, nampaknya terpaksalah aku bertindak sama
seperti kataku.
“Betul
ke, ni?” Wafi seakan tidak percaya.
“Kalau
kau percaya, bolehlah jalan sekarang. Tapi kalau rasa macam tak percaya, kau
berdirilah kat situ sampai esok pagi” aku terus membuka gerak. Lebih lama
bertapak dekat situ, lebih bersar kemungkinan yang dia akan dapat melihat
Zulhairi dan Madihah di situ.
“Su,
boleh kita jadi kawan?” sambil berjalan ke rak roti, Wafi membuat permintaan.
Ini
yang aku malas ni. Lagi rasa tidak senang bertandang. “Kau memang suka kumpul
koleksi kawan, ke?” aku menyoal dengan soalan yang tak masuk akal. Lantas
mencetuskan tawa Wafi.
“Awak
ni, peliklah Su”
“Pelik? Apa yang
peliknya? Aku rasa aku sama aje dengan orang lain”
“Tak. Sikitpun tak sama
dengan perempuan-perempuan yang pernah saya kenal. Su sangat istimewa”
Istimewa!
Aduh, ini dah boleh disenaraikan dalam kes-kes berat ni. Dah lain macam sangat
dah bunyinya.
“Su
sudi nak berkawan dengan saya kan?” lagi soalan yang sama berkumandang.
“Wafi,
aku rasa kau dah salah faham ni. Biar aku terus terang dengan kau” sambil mendapatkan
roti di atas rak, aku cuba memperbetul keadaan. Wafi langsung tidak mencapai
roti yang ada, sedangkan dia yang beriya-iya nak membeli roti tadinya.
Sambil berjalan menuju
ke kuanter bayaran, aku tarik nafas panjang. Aku harap Wafi tidak berkecil hati
dengan apa yang bakal aku katakan. Wafi terus menanti aku meneruskan kata.
“Aku sebenarnya memang
tak ramai kawan, tapi buat masa sekarang ni aku belum ada rasa minat nak
jadikan aktiviti mengumpul kawan sebagai hobi. Macam yang kau tengah buat
sekarang ni” dengan tega aku bercerita. Semoga Wafi tidak berkecil hati. Sungguh
aku tak mampu ada kawan lain, selain Zulhairi. Atau mungkin juga yang
sebenarnya aku tidak perlukan kawan lain. Cukup saja dengan Zulhairi.
“Lagipun, aku jaminan
100 peratus yang aku bukan kawan yang baik. Buang masa kau ja nanti” aku cuba
menyakinkan.
“Saya ikhlas nak
berkawan dengan, Su. Saya tak ada niat nak memaksa, tapi saya harap Su boleh pertimbangkan.
Mungkin hari ni Su tak dapat nak terima saya, tapi saya tetap akan tungguh
sampai Su sudi”
Terus aku terdiam
mendengar bicara Wafi. Wafi sudahnya mengeluarkan not lima ringgit lalu
diserahkan kepada juruwang. “Saya harap saya ada peluang untuk jadi kawan Su
satu hari nanti” ujar Wafi sebelum berlalu pergi.
Aku masih berdiri kaku
umpama patung lilin, dan hanya tersentak saat juruwang memulangkan baki wang
atas pembelian roti itu. Tiga ringgit empat puluh sen! Masih sempat otakku
mengira baki yang dipulangkan. Baki yang sepatutnya disimpan oleh Wafi.
TERMENUNG aku di meja. Wang milik Wafi
harus aku pulangkan. Tapi bagaiman itu akan berlaku andai aku tidak ingin
bertemu dengannya lagi? Kepala yang tidak gatal aku garu dengan harapan idea
bakal muncul.
“Kak
Su” Madihah menyapa, membuatkan fokusku kini beralih kepadanya. Harap dia tidak
marah apabila aku meninggalkan dirinya begitu sahaja, berdua dengan Zulhairi.
“Kak
Su ke mana? Lama Ihah dengan abang Zul tunggu kak Su”
Abang
Zul? hatiku yang tadinya sesak kini sudah mampu kembali tersenyum. Nampaknya
seperti sudah ada perkembangan positif. “Maaflah Ihah, akak sakit perut tadi,
lama sangat dalam toilet. Inipun baru
aje balik dari toilet” aku berbohong
walaupun aku tahu dengan pembohongan aku sudah menempah dosa.
Tiba-tiba saja
teringatkan arwah ayah. Mana tidaknya, ayah cukup membenci pada pembohongan.
Pernah satu ketika, aku berbohong pada ayah mengatakan aku ada kelas tambahan
di sekolah semata-mata ingin mengelakkan diri daripada menguruskan kerja-kerja
di rumah. Aku cukup penat atas tugas harian itu, jadi aku putuskan untuk
berbohong buat pertama kalinya. Sayangnya ayah dapat tahu pembohonganku itu.
Entah daripada mana berita itu sampai aku pun tidak pasti. Yang pastinya teruk
aku dimarahi ayah gara-gara permbohongan itu.
Lepas aje dimarahi
ayah, aku terus berkurung di dalam bilik. Sebutir nasipun aku tak makan,
setitik airpun aku tak minum. Memboikot walaupun hanya tuhan yang tahu betapa
laparnya perutku, betapa dahaganya tekakku. Namun atas dasar memberontak, aku
tahankan juga semua rasa.
Pagi esoknya pada
tanganku sudah ada lipatan kertas putih sebaik sahaja aku bangun daripada
tidur. Dalam rasa mengantuk yang masih bersisa, kertas yang berlipat kemas itu
aku buka.
"Seseorang yang selalu berkata benar, maka ia
akan ditulis di sisi Allah sebagai orang yang benar. Dan jauhilah kebohongan.
Sesungguhnya kebohongan menghantarkan kepada kejahatan, dan kejahatan
menghantarkan ke neraka. Seseorang yang biasa berbohong, maka ia akan ditulis
di sisi Allah sebagai pembohong." (HR Bukhari dan Muslim)
Sehingga hari ini aku
masih ingat setiap patah kata yang aku terima. Aku yakin, ayah yang memberikan
peringatan itu. Saat ini terasa rindu akan arwah ayah walaupun aku tahu aku
bukanlah anak yang disayanginya.
“Kak Su…”
Panggilan Madihah
mengejutkanku. Terhenti lamunan yang tadinya singgah bertandang.
“Nah, ini untuk kak Su”
Madihah menyerahkan plastik berwarna jingga yang berisi polistren makanan.
“Untuk akak?” agak
terkejut diriku menerima bungkusan makanan itu.
“Untuk kak Su” Madihah
mengesahkan.
“Alahai, kenapalah Ihah
susah-susah belikan untuk akak ni” rasa bersalah timbul kini. Sudahlah aku
berbohong padanya, kini dia membelikan makanan untukku pula. Sungguh-sungguh
rasa bersalah.
“Bukan Ihah, kak Su…
abang Zul yang kirim”
“Zul?” lagi aku
terkejut saat ini.
“Haah, Ihah balik
tempat Ihah dulu ya” Madihah tersenyum.
Setelah Madihah pergi,
aku mengeluarkan polistren makanan itu daripada plastik, lalu polistren putih
itu aku buka. Selain nasi goreng ayam, aku juga dapat perhatikan, nota yang
tertulis pada bahagian atas penutup polistren putih itu.
Kalau iya pun nak jadi matchmaker, jgn sampai korbankan mkn
tgh hr kau, tu. Aku tahu apa yg ada dlm fikiran kau!
Aku jadi tersenyum
membaca nota yang ditulis dengan pen berwarna biru. Ceh, dia tahu rupanya semua
yang aku rancangkan! Apapun, aku tetap rasa rancangan aku berjaya. Selesai masalah!
Bersambung...
P/S :
Jutaan terima kasih buat semua pembaca setia SAC... Jumpa next entry :)
11 comments:
Bestnya..!!!! Hahaha..
Sumpah tak sabor tggu next n3..
Thanks K Adahh for the luvly story..
=)
bestnya..:)
tq adah..tak sabar utk next entry..")
Sambung jangan tak sambung...
best lah..su dgn wafi ke zul nnti..
kalu su dgn wafi pon ok jg , zul dgn ihah..hehe,..
::TR::
Best2. Lain dr yg lain. Hehe. Thumbs up! Tak sabar nak tunggu sambungan. :)
btul3x...sgt2 best.
Terima kasih buat semua yang meninggalkan komen dan juga silent reader.... tanpa sokongan anda, SAC akan hambar tanpa rasa... terima kasih semua. Semoga bjumpa di entry selanjutnya...
Salam Sayang,
Adah.
Best...part last tu..cute..
sokong kak Adah sntiasa :)
ala nk su ngn zul ek...x skela wafi n ihah tu..heheh
rrrr nie mane 1 nieh hehehee
Post a Comment