5
Tergopoh-gapah aku berjalan
menuju ke lobi lif. Waktu pejabat sudah hampir lima belas minit berlalu, dan kini,
tinggal sepuluh minit sahaja lagi mesyuarat bahagian kewangan akan bermula. Aku
tak mahu lewat buat yang kesekian kalinya pada hari yang sama. Semuanya gara-gara
Zulhairi. Kalau dia tidak berbual panjang denganku dalam telefon semalam, sudah
pasti semua ini tak terjadi. Keletihan masih lagi terasa, sarapanpun tidak sempat
aku ambil pagi ini.
Sambil
menunggu lif sampai, aku membuka ladies
briefcase milikku. Mahu memastikan bahawa laporan bulanan ku ada bersama. Laporan
itu harus dibentangkan dalam mesyuarat nanti. Bayang laporan itu sudah kelihatan,
tapi hati tetap tidak puas. Jadi aku keluarkan laporan yang belum sempat aku binding itu. Tersenyum aku melihat kulit
laporan itu. Lega menamani hati. Tinggal untuk binding, kemudian boleh aku bawa
masuk kedalam mesyuarat dengan aman dan tenang.
Bunyi
loceng yang kedengaran membuatkan perhatianku pada laporan tadi menjadi hilang.
Bunyi yang menandakan lif sudah tiba. Hanya menunggu masa untuk pintunya terbuka.
Segera aku kembali cuba memasukkan laporan itu ke dalam briefcase sambil menapak ke arah lif yang lampu isyarat untuk naik ke
atas tersedia bernyala. Tapi entah bagaimana, laporan yang tadinya cuba aku masukkan
ke dalam briefcase, terlepas daripada
pegangan tangan. Membuatkan laporan yang hampir tujuh helaian bertaburan di
hadapan pintu lif.
“Aduhai…”
keluhku panjang. Saat nak cepat, saat itu jugalah bermacam-macam hal mahu terjadi.
Mujur tidak ada orang lain di lobi itu. Jadi dengan pantas aku mengutip lembaran
kertas yang bertaburan. Pintu lif terbuka ketika aku cuba mendapatkan helaian terakhir
yang duduknya betul-betul di hadapan pintu lif. Belum sempat aku mengangkat helaian
itu, ada kasut yang terlebih dahulu singgah, menumpang tapak di atas kertas
yang tadinya putih bersih. Segera aku angkat
wajah, memandang pemilik kasut tersebut.
“Sorry”
Perkataan
tunggal itu sampai di telingaku. Lelaki itu akhirnya mengalihkan langkah, membongkokkan
badanya, mengambil kertas yang tadinya dipijak, lalu diserahkan kepadaku. Aku hanya
mampu memandang tajam wajah lelaki itu. Kemudian pandangan aku alihkan pada kertas
laporan yang sudahpun bercorakkan tapak kasut.
“Maaf,
saya tak sengaja” kali ini ucapan maaf itu lebih panjang daripada yang
sebelumnya.
Aku
sudah tidak tahu apa yang patut aku lakukan saat ini. Nak marah pada lelaki itu,
ternyata bukan salah dirinya. Jadi aku terus mengambil kertas yang dihulurkan,
segera bangun dan mendapatkan lif yang pintunya sudah mahu tertutup. Tiada patah
kata yang aku hulurkan pada lelaki itu. Tidak ada masa untuk berbual panjang untuk
perkara yang dah pun terjadi. Lebih baik aku kejar masa yang tinggal. Itu lebih
berfaedah.
“WOI, Zul!” aku terus menyergah Zulhairi
yang begitu tekun dan asyik sekali memerhati wanita yang lalu lalang. “Amboi,
sampai naik juling mata tengok perempuan. Berdosa tau tak!” selaku seorang
kawan, nasihat percuma aku berikan bersama senyuman yang menghiasi bibir.
“Hei,
kau ni, Su… tak habis-habis sebut pasal dosa. Aku tahulah!” Zulhairi Nampak
tidak senang. “Kau punya pasallah ni, Su. Kalau tak jumpa juga, aku nak bawa
siapa jumpa mak aku hujung minggu ni?” Zulhairi mula memaparkan kerisauannya.
“Kau
tu yang degil, nak salahkan aku pula. Aku suruh kau terus terang aje, kau tak
nak!” aku tarik kerusi, kemudian duduk bertentang mata dengan Zulhairi.
“Kau
agak-agaklah, Su. Mak aku marah tak kalau dia tahu aku tipu dia?” baru kini
Zulhairi memberikan perhatian kepadaku.
“Ermmm…
tak! Aku rasa, tak. Mak kau takkan marah, tapi…”
“Tapi
apa?”
“Mungkin
mak kau kecewa sikit, kut” perlahan ayat itu aku sampaikan. Terdengar keluhan
Zulhairi.
“Peninglah
kepala aku, Su. Aku tak faham kenapa mak aku nak juga aku kahwin? Aku tak
bersedia langsung nak pikul tanggungjawab sebagai suami” Zulhairi meluahkan apa
yang mungkin terpendam di hatinya selama ini. Mendengarkan itu, aku hanya mampu
tundukkan wajah. Apa yang perlu aku katakan untuk aku lindung hati Zulhairi
yang mungkin sedang tersiksa saat ini.
“Jangalah
macam ni, Zul. Mungkin mak kau…”
“Aku
balik dululah, Su” Zulhairi terus bangun sebelum sempat aku menghabiskan kata.
“Zul...”
panggilanku tidak lagi dihiraukan.
SUDAH tiga hari aku tidak terserempak
dengan Zulhairi. Alih-alih, hari ini aku menerima panggilan telefon daripada
mak cik Khamsiah, menjemput aku dan adik-adikku untuk makan tengah hari di rumahnya.
Mujur aku masih belum menyiapkan makanan tengah hari. Jadi sekurang-kurangnya, aku
dapat berehat.
“Suruh
adik-adik siap” arahan itu aku beri pada Alia, sebaik sahaja talian aku
matikan.
“Kita
nak pergi mana, Along” terus Alia meletakkan pen yang tadinya ada di tangan.
“Tak
payah nak banyak tanyalah, siapa aje!” enggan aku hulurkan jawapan. Kakiku
terus menapak menaiki anak tangga, menuju ke bilik. Aku juga harus bersiap
segera. Namun hati terus tertanya-tanya untuk apa mak cik Khamsiah menjemput
aku sekeluarga makan bersama hari ini? Apakah yang istimewanya dengan hari ini?
Cuba juga aku risik-risik tadi, namun mak cik Khamsiah hanya ketawa kecil
kemudian meminta supaya aku ke rumahnya untuk mengetahui hal selanjutnya.
Walaupun
rumahku dengan rumah Mak Cik Khamsiah hanya dipisahkan dengan satu deretan
rumah, namun aku masih tetap mahu memandu ke rumah mak cik Khamsiah. Tidak tega
pula melihat Alia, Azira dan Amira
berjalan kaki waktu tengah hari terik begini. Pantas enjin aku hidupkan. Azira
dan Amira, awal-awal lagi sudah masuk ke dalam kereta. Kini tinggal Alia sahaja
yang masih belum nampak batang hidungnya.
“Terhegeh-hegeh!”
kata-kata itu keluar dari mulutku ketika Alia baru saja meletakkan punggungnya
di dalam kereta. Alia hanya tunduk, tidak sesekali cuba membalas kata”
“Along…”
suara kecil Amira kedengaran. Mungkin kerana dia hanya duduk di sebelahku, lalu
dengan pantas saja telinga menyambut panggilan itu. “Along nak bawa kita orang
pergi makan, ya?”
Hampir saja bibirku mengukir senyuman
saat alunan pertanyaan itu selesai disuarakan. Amira memang pandai menyejukkan
hati. Mungkin kerana dia yang paling bongsu, maka aku lebih senang dengan
keletah dirinya. Namun tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh bibir itu,
diambil alih dengan segera oleh hati, semata-mata tidak mahu meraka bertiga
terlihat akan senyuman itu.
“Duduk
situ diam-diam.” langsung tidak padan jawapan yang aku berikan. Sedikitpun
tidak menjawab pertanyaan Amira. Dan seperti selalu, tiada siapa yang berani
mengingkari arahan.
Enjin
kerata aku matikan walaupun tidak sampai lima minit dihidupkan. Alia dan Azira
berpandangan sesama sendiri. Dapat aku perhatikan dari cermin pandang belakang.
Aku yakin meraka sudah berjaya menjawab teka-teki yang tadinya bermain di minda
mereka. Pasti mereka tidak akan menyangka yang aku akan membawa mereka ke rumah
mak cik Khamsiah kerana memang jarang sekali aku membawa mereka ke situ.
Aku
tidak mahu kehadiran mereka bertiga terus menyusahkan mak cik Khamsiah.
Cukuplah dulunya aku menjadikan mak cik Khamsiah tempat mengadu kasih. Aku
tidak mahu mereka meraih simpati sama sepertiku. Lagipun aku ada untuk menjaga
mereka. Aku masih memegang janjiku pada arwah ayahku untuk tidak meninggalkan
mereka. Aku akan terus pegang janji itu.
“Jangan
nak buat bising kat rumah orang. Jangan usik barang-barang orang dan yang paling
penting, jangan makan selagi orang tak pelawa” pesanan itu aku berikan sebagai
tanda peringatan. Aku mahu mereka menjadi orang yang beradab biarpun kini
mereka tidak lagi mempunyai ibu bapa yang berperanan besar untuk memberikan
dididikan. Setidak-tidaknya mereka masih boleh dididik olehku. Dididik dengan
sepenuh hati walaupun itu tanggungjawab yang berat buatku.
“Baik
Along” hanya suara Amira yang kedengaran, manakala Alia dan Azira hanya
memberikan isyarat kepala, tanda memahami mahuku.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah
teres dua tingkat itu, dapat aku perhatikan pelbagai hidangan sudah sedia
terhidang di atas meja makan. Mak cik Khamsiah terus mengajak kami ke meja
makan. Kebetulan jam sudah hampir pukul satu petang, jadi perut yang kosong
benar-benar senang dengan agenda pertama itu.
“Meriah
semacam aje lauk-pauk ni, mak cik. Ada majlis apa sebenarnya?” sambil mula
menempatkan diri di meja makan, aku mengambil kesempatan untuk mengetahui apa
sebenarnya tujuan jemputan makan tengah hari.
“Majlis
apa lagi, Su. Majlis suai kenal dengan bakal menantulah” lebar senyuman mak cik
Khamsiah.
“Bakal
menantu?” aku terkejut! Biar betul? Takkan dalam tempoh dua, tiga hari ni,
Zulhairi sudah berjaya berjumpa dengan calon isterinya? Pelbagai soalan mula
mengambil tempat di fikiran. “Zul mana, mak cik?” entah kenapa kelibat Zulhairi
sangat aku perlukan saat ini. Aku sangkakan Zulhairi sudahpun berterus terang
dengan ibunya dengan menceritakan perkara sebenar. Nampaknya, aku sudah silap
membuat tekaan.
“Zul
kat dalam bilik dialah, Su. Kejap lagi turunlah tu” Mak cik Khamsiah mula
menyusun pinggan-pinggan kosong. “Alia, Azira dengan Amira, sihat?” soal mak
cik Khamsiah pada budak bertiga yang turut bersedia untuk menjamu selera.
“Alhamdulillah,
kami sihat. Mak cik sihat? Lama dah tak jumpa mak cik” Alia menjawab. Mungkin
atas faktor usia, jadi dia menjawab soalan itu bagi pihak dua orang lagi
adiknya. Dapat aku liha sifat kematangan yang terselah dari dalam dirinya.
“Mak
cik pun, sihat. Mak cik sebenarnya rindu juga dengan kamu semua. Tapi Kakak kamu
ni, bukannya reti nak bawa kamu jumpa mak cik. Geram mak cik dibuatnya”
Kakak!
Sikitpun hati tidak senang dengan gelaran itu.
“Mak
cik rindu Amira, ya?” tiba-tiba Amira mencelah. Membuatkan semua yang ada
terlepas tawa, kecuali aku! aku berjaya
menghalang tawa itu. Pantas mata aku buntangkan pada Amira, tangan telunjuk
sudah aku rapatkan pada bibir, mahu dia berhenti daripada berkata-kata.
“Rindu…
rindu sangat-sangat” mak cik Khamsiah meletakkan tangannya pada pipi Amira. Aku
pula hanya mampu memerhati.
“Siap
dah, mak?” Zulhairi muncul sudahnya. Muncul bersama muka yang berseri-seri.
Seolah-olah sudah tidak sabar lagi untuk memperkenalkan calon isterinya. “Wah,
adik-adik abang Zul pun semua dah sampai!” Zulhairi tersenyum pada semua, kecuali
padaku. Dia seakan-akan enggan melihat kehadiran aku di situ. Sedikitpun aku
tidak dipedulikannya. Mungkinkah Zulhairi marah? Hati mula membilang
persoalan-persoalan yang timbulnya bersealng seli. Mungkin juga Zulhairi marah.
Mana tidaknya, aku langsung tidak menghulurkan bantuan pada saat-saat dia
benar-benar mengaharapkan pertolonganku.
“Hensemlah
abang Zul hari ni” Amira bersuara lagi. Jari ibunya diperlihatkan pada
Zulhairi.
“Abang
Zul memang hensem!” Zulhairi melayan kata. Kini dia merapatkan jari ibunya pada
jari ibu Amira. Membuatkan Amira kelihatan begitu gembira.
Dipinggirkan
oleh Zulhairi begitu, membuat aku mati kutu di situ. Dudukku tidak lagi senang.
Nak tersenyum salah, nak ketawa lagilah salah. Jadi aku hanya mampu jadi
pemerhati pada babak-babak mesra Zulhairi dan mak cik Khamsiah melayan Alia,
Azira dan Amira.
Selesai
makan tengah hari, kami dijamu pula dengan aneka puding dan kek. Perutku memang
tidak dapat mengisi makanan dengan banyak apabila memikirkan sikap dingin
Zulhairi pada hari ini. Dan yang bertambah peliknya, bayang calon isteri
Zulhairi juga tidak muncul-muncul sehingga kini.
Meja
kopi sudah penuh dengan piring-piring yang masih lagi penuh berisi pencuci
mulut untuk dinikmati. Semua juga sudah mengambil tempat di atas sofa di ruang
tamu, kecuali mak cik Khamsiah. Hanya dia yang menghilang entah ke mana. Azira
membuka langkah pertama, cuba bangun untuk mengapai makanan yang ada.
“Aku
pesan apa?” perlahan aku bisikkan kata, namun pantas tangan Azira aku tarik.
Cuba menghalang daripada meneruskan niatnya. Pandangan tajam yang aku berikan
dibalas sepi oleh Azira. Lalu dia kembali duduk di tempatnya.
“Biarlah,
Su. Budak-budak nak makan. Biarkan dia orang makan” pak cik Ismail cuba
menenangkan keadaan yang tidak setegang mana.
“Su
nak dia orang belajar untuk hormat orang tua, pak cik” aku balas. Aku mahu pak
cik Ismail faham maksudku yang sebenar.
“Su…
Su…” Pak cik Ismail menggeleng-gelengkan kepalanya.
Zulhairi
bangun tiba-tiba, mendapatkan piring yang ada di atas meja, lalu dihulurkan
pada Azira. Pantas Azira menyambut huluran itu tanpa sedikitpun melihat ke
arahku. Selama ini dia tidak pernah membantah kata. Entah kenapa dengannya hari
ini? Zulhairi pun sama. Seperti ada yang tidak kena.
“Zul,
aku nak cakap dengan kau sekejap!” terus aku melangkah keluar dengan harapan
Zulhairi akan turut serta. Aku perlu bertanya mengapa dengan dirinya? Sikap acuh
tak acuh yang ditunjukkannya menyeret aku ke dalam dilema. Andainya ada salah
yang aku lakukan, aku perlu tahu apa kesalahan itu?
Aku
bersandar pada tembok, menanti Zulhairi. Sayangnya, wajah mak cik Khamsiah pula
yang muncul saat ini. Zulhairi ni memang nak kena! Hatiku dah mula rasa panas.
“Su…”
Panjang pangkal namaku
disebut oleh mak cik Khamsiah. Di bibirnya ada senyuman. Melihat senyuman itu,
aku turut memberikan balasan.
“Kenapa Su tipu mak
cik? Su buat mak cik berharap aje tau. Kempunan mak cik nak ada menantu cantik
macam yang Su cakap hari tu”
Terkejut aku mendengar
ayat yang baru saja mak cik Khamsiah lafazkan. Jadi, bukankah ini bermakna,
Zulhairi sudahpun menceritakan semuanya. Patutlah Zulhairi bukan main marah
lagi padaku. Ini punca yang sebenarnya. Kali ni baru aku boleh senyum lebar. Kalau
hal sekecil ini, tak jadi masalah padaku. Esok, lusa, hilanglah marah Zulhairi
tu. Zulhairi mana boleh marah aku lama-lama.
“Mak cik, Su
betul-betul minta maaf. Su…”
“Tak apalah Su. Sebenarnya
mak cik pun tak kisah, siapa-siapa yang Zul pilih jadi menantu mak cik. Yang
penting, dia mesti pandai jaga Zul macam mak cik jaga. Dan mak cik rasa, kali
ni Zul dah buat pilihan yang tepat”
“Zul dah buat pilihan
yang tepat?” ayat akhir itu aku ulang kembali. Seperti ada kepincangan pada
ayat itu. Bukan picang dari sudut sturukturnya, tapi dari segi maksudnya. “Zul
dah ada pilihan ke, mak cik?” dahiku
mula berkerut.
“Dahlah, Su. Kamu
hentikanlah dialog sama kamu tu. Jangan nak ulang drama dulu”
“Tapi mak cik, Su…”
“Tak ada tapi-tapi. Su
dengar cakap mak cik ni. Mak cik tahu, Su perlukan masa untuk fikirkan pasal
adik-adik Su. Tapi mak cik tak nak pasal adik-adik Su, Su rahsiakan pasal
hubungan Su dengan Zul. Mak cik juga tak nak disebabkan hal-hal kecil macam ni,
Su nak tangguhkan rancangan perkahwinan Su dengan Zul. Mak cikkan ada… mulai
hari ni, mak cik akan bantu Su uruskan adik-adik. Sekarang ni, mak cik cuma nak
Su tumpukan pada majlis Su dengan Zul. Kalau boleh secepat yang mungkin. Bulan
depan bertunang, boleh?”
Jantungku rasa direntap
keluar mendengar luahan kata mak cik Khamsiah. Rasa macam nak pengsan. Kenapa tiba-tiba
pula soal perkahwinan aku dengan Zulhairi dibangkitkan? Sejak bila aku atur
agenda itu? Aku sendiri tak pernah terfikir untuk berkahwin, inikan pula
berkahwin dengan Zulhairi. Aku yakin, mak cik Khamsiah salah faham. Ya, salah
faham! Ataupun yang sebenarnya…
Zul! kuat jeritan nama
Zulhairi kedengaran. Tapi nyaringnya jeritan itu hanya mampu didengar dari
dalam hati. Kurang asam kau Zul, kau main taktik kotor ya! Patutlah nak pandang
muka akupun kau tak berani hari ni. Mati-mati aku sangkakan yang dia sedang
marah. Rupa-rupanya… aku betul-betul tak puas hati!
“Mak cik, Su…”
“Dah! Sekarang ni bukan
masa untuk Su cakap apa-apa. Su cuma perlu dengar cakap mak cik! Sejak kecil
lagi Su sentiasa ikut nasihat mak cik, kali ni pun mak cik nak Su buat yang
sama. Mak cik betul-betul gembira sebab Su bakal jadi menantu mak cik” satu ciuman singgah di
dahiku.
“Mak cik hadiahkan
loket ni, pada Su. Memang mak cik dah niat nak hadiahkan loket ni pada menantu
mak cik. Kalau mak cik tahulah Su orangnya, dari dulu lagi mak cik dah bagi
loket ni pada Su” loket berbentuk hati itu diletakkan atas tapak tanganku. Kemudian
aku dipeluk erat. Saling tidak tumpah seperti pelukan kasih sayang seorang ibu
untuk seorang anak.
Aku sudah jadi seperti
orang bisu. Hanya mampu mendengar, tidak lagi mampu membalas. Bayangan wajah
Zulhairi yang sedang gelak sampai guling-guling, tergambar di fikiran. Aku takkan
biarkan ini terjadi. Aku ada tanggungjawab yang lebih besar untuk aku galas
hingga hujung nyawa. Perkahwinan ini takkan pernah terjadi!
Bersambung...
P/S : atas kesibukkan, maka entry inipun lewat dipostkan. mohon maaf pada semua rakan pembaca. apapun terima kasih kerana tetap setia menantikan entry ini. Insya'ALLAH buat yg bercadang ke Pesta Buku esok, bolehlah singgah ke booth Karyaseni kerana AH akan berada di sana pada jam 11-12.30 tgh hari. Semoga kita dapat bertemu dan menjalinkan ukhwah. Salam sayang buat semua
8 comments:
hahaha...dah agak dah, pasti zulhairi pilih su.....
Akak!!!! Kite jmpe esok eyh... Hehehe..
like sangat!! pandai betul zul kelentong su erk??
Sian Su kena ..but I loike
aaahhhhhh
akhirnyaaaaa
hopefully jd kawin....terima aje la su
Panjang lagi cerita ni....tunggu apa yang bakal terjadi.....@bluescarf
X Sabo nk tau next
Post a Comment