Wednesday, February 29, 2012

PENGUMUMAN PENTING

Assalamualaikum

Maaf, sudah terlalu lama tidak singgah ke teratak kecil AH ni. Sibuk sakan. Dah bersepah benar rupanya teratak AH. Apapun sebelum kembali untuk tinggal di sini, AH nak buat beberapa pengumuman penting buat semua.

Pertandingan Menyambung Cerpen :

Hadiah buat semua pemenang telahpun berjaya dihantar setelah mengalami beberapa kesulitan dengan pihak Kurier. Insya'ALLAH hadiah akan diterima selewat-lewatnya 2/3/2012. Sekiranya. Masih tidak diterima selepas tempoh ini, diharap menghubungi AH segera melalui email adah_7788@yahoo.com. AH mohon maaf atas kelewatan. Terima kasih Semua

E-Novel Ada Di Hati PDF :

Semua pembaca yang telah memberikan email untuk mendapatkan PDF ADH. Dimaklumkan, bawah PDF ini akan mula diedarkan kepada email masing-masing awal Mac ini. Mohon maaf juga kerana mac ini baru AH mempunyai kelapangan untuk kembali memulakan tugas2 dalam bidang penulisan yang tertangguh mahupun ditinggalkan. Terima kepada semua yang sudi mendapatkan PDF ADH. Sokongan Anda amat AH hargai.

Salam Sayang Dari Hati,
Adah Hamidah 

Sunday, February 5, 2012

Keputusan Pertandingan Menyambung Cerpen Sempena Maulidur Rasul

Assalamualaikum & Salam sejahtera buat semua rakan pembaca AH. Firstly Ah nak ucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul buat semua rakan pembaca seIslam AH. Mudah-mudahan, kita semua sentiasa mengingati dan mencintai Baginda Rasulullah Saw dalam hayat kita yang singkat ini. 
Seperti yang dianjikan. Ah dengan ini ingin mengumunkan para pemenang bagi Pertandingan Sambung Cerpen sempena Program Ukhwah bersama AH. Tapi sebelum itu, AH ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih buat semua rakan pembaca yang sudi menghantarkan penyertaan. Alhamdulillah, AH sangat suka membaca setiap penyertaan yang AH terima walaupun  AH bukanlah jurinya. Sedikit informasi buat semua, karya-karya kali ini diadili oleh beberapa kenalan AH yang terlibat dalam dunia penulisan seperti Editor & Rakan Penulis. Jadi segala keputusan yang telah ditetapkan oleh juri adalah muktamat. Terima kasih buat semua keran sudi menghidangkan karya untuk tatapan rakan2 pembaca AH yang lain. Pada AH, apa yang penting bukanlah hebatnya karya yang dihantarkan, tapi apa yang utamanya adalah semangat untuk menjalinkan ukhwah bersama AH menerusi program sebegini. Terima kasih semua.

3 Karya Pilihan adalah seperti berikut 

(Klik Pada Cover Utk Bacaan)

Utk bacaan kisah awal. Klik SINI







MANAKALA

3 Karya Saguhati








Buat semua pemenang, setinggi-tinggi TAHNIAH AH ucapkan. ini adalah langkah permulaan yang baik. teruskan usaha, Insya'Allah kejayaan pasti bakal menyusul. Buat 3 karya Pilihan dan Saguhati, anda akan menerima hadiah sebelum 29 Febuari 2012. Sekiranya anda masih tidak menerima sebarang hadiah daripada AH selepas tarikh yang dimaklumkan, sila emailkan kepada AH untuk semakan.  Tahniah sekali lagi buat semua.

Pertandingan Cerpen : Dia Kurniaan Illahi

DIA KURNIAAN ILLAHI
“ (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan  lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (Surah An Nur, ayat 26)”
Tafsir di tangan ku tutup. Lima tahun, ya, kenangan lima tahun kembali berputar dalam kotak ingatanku. Memori lalu terimbau kembali. Sejak kejadian di surau itu, aku tidak lagi bertembung muka dengan Ustaz Huzaifah. Telah ku bulatkan hatiku untuk berubah kerana Allah s.w.t. dan bukan sebab keinginanku padanya. Percaya atau tidak, sejak hari itu, aku terus menjauhkan diri dari dia. Kelas tajwid yang aku hadiri juga akan kupastikan sesinya sentiasa bersama Fatanah.
Aku sudah mula berjinak-jinak dengan baju kurung kemana sahaja aku pergi. Tiada lagi t-shirt lengan pendek seperti dahulu. Aku sebaik mungkin menjaga aurat dan pandanganku. Alhamdulillah, kehadiran Ustaz Huzaifah akhirnya memberi ruang untukku lebih mengenal agama. Dia menjadi punca untukku membentuk kembali sahsiah diri dan selebihnya aku bersyukur kepada Ilahi, kerana masih memberi aku peluang untuk mendekati Nya dalam erti kata yang sebenar. Dalam pada sibuk mengelakkan diri dari Ustaz Huzaifah, Allah membuka jalan bagiku. Ayah mendapat tawaran kenaikan pangkat dan ditukarkan ke Sungai Besi. Walaupun kebiasaanya ayah hanya pergi kesana selama seminggu dan kemudian balik semula kemari, namun, akhirnya dalam diam, dia meminta untuk ditukarkan terus kesana. Alasannya, dia sudah penat. Dan akhirnya permohonan itu diluluskan. Aku pastinya gembira kerana tidak perlu lagi bersembunyi di siang hari lagi. Sebulan kemudiannya, kami berpindah ke sini. Walaupun Ustaz Huzaifah ada menjenguk pada hari terakhir kami disana, namun aku sengaja bersembunyi di dalam bilik. Dengan alasan sakit kepala. Aku tidak mahu bersua muka dengannya, lebih-lebih lagi ini adalah pertemuan terakhir kami. Aku tidak ingin menambah catatan duka dalam kamus hidupku. Aku hanya mendengar dia bertanya perihalku kepada emak. Biarlah, aku malas hendak ambil pusing tentang semua itu. Yang pasti, aku bakal meninggalkan kampung ini dan juga dirinya esok hari. Dan kini, aku sudah bisa melupakan segala termasuk dirinya, cuma tatkala aku mengulang baca surah An-nur, pasti aku akan terkenangkannya. Terkenang kisah lima tahun dahulu. Betapa masa telah memisahkan kami. Aku tersenyum sendiri.
“Ya Allah budak ini, dari tadi mak panggil Dahlia kenapa tak jawab? Boleh pulak dia termenung tersengih kat sini, fikirkan apa ni?” sergah emak mematikan lamunanku.
“Eh, bila mak panggil Dahlia? Tak dengar pun.” aku membela diri.
“Mana nak dengar kalau dah termenung panjang macam tu? Semalam Dahlia pesan kat mak suruh ingatkan Dahlia untuk jumpa Ustazah Hafiya.” sungguh aku telah terlupa akan hal ini. Mana tak nya, asyik sangat mengelamun Cik Dahlia oi. Aku mengukir senyum.
“Yelah mak, Dahlia nak siap-siap lah ni. Nanti dah siap Dahlia turun ye. Terima kasih.” Emak menggeleng kepala dan berjalan keluar dari bilikku. Aku terus bersiap-siap untuk bertemu dengan Ustazah Hafiya seperti yang dijanjikan. Kami berjumpa di tempat biasa. Rumah Anak Yatim Nur Qaseh. Di sini aku banyak belajar erti kemanusiaan. Pertemuaan tanpa sengaja dengan Ustazah Hafiya membuka ruang untuk aku menjadi manusia yang lebih menghargai. Kerana itu, aku sering sahaja menghabiskan masa lapangku untuk mendekati adik-adik disini.
“Assalamualaikum, bila Dahlia sampai? Dah lama ke? Maaflah, akak tak perasan tadi?
“Waalaikumussalam. Baru je kak. Nampak budak Alia ni, jumpa dia kejap.” kataku sambil pipi comel Alia aku cubit. Dia menarik muka. Dengan dia aku sering sahaja tercuit. Aksinya selalu sahaja menghibur hatiku dan harus aku akui bahawa, aku sudah mula menyayanginya. Sangat-sangat.
“Dahlia kalau dengan Alia memang macam tu kan. Manjakan dia sangat sampai dia pun dah terikut-ikut. Sekarang dia dah pandai merajuk tau.”
“Betul ke sayang?” Alia hanya buat tak endah akan pertanyaanku. Matanya asyik memandang dua ekor kucing yang berkejaran di padang tidak jauh dari tempat duduk kami.
“Akak nak beritahu ni. Minggu depan pakcik Alia akan datang ambil dia. Lepas ni Dahlia dah tak boleh jumpa Alia lagilah nampaknya. Dia akan bawa Alia duduk dengannya.”
“Eh, sejak bila pula Alia ni ada pakcik kak? Dahlia tak pernah tahu pun?” keterangan Ustazah Hafiya menyentak hatiku. Aku baru sahaja mula bermanja-manja dengan Alia.
            “Ada, tapi pakcik dia ke oversea sebelum ni. Futher study katanya. Sekarang dia dah balik dan nak bawa Alia tinggal sekali lah.”
            “Eh, tak ape ke kalau kita biarkan dia jaga Alia kak? ”
            “Dia lebih berhak Dahlia. Dia ada hubungan darah dengan Alia. Dia nampak macam orang baik. Pengajian pun dalam bidang agama. Insyallah, harap-harap dapatlah dia jaga Alia dengan baik. Kelmarin, dia ada datang dengan neneknya Alia ni. Bincang dengan Ustaz Fahim nak ambil semula Alia .” terang Ustazah Hafiya.
            “Harapnya macam itulah. Tapi kan kak, kenapa dia tak tuntut hak penjagaan sebelum ini? Kenapa baru sekarang?” soalku masih belum berpuas hati.
            “Sebelum ni, mak dia tu duduk sorang-sorang, berpenyakit pulak tu, susah kalau nak jaga budak Alia ni. Kemudahan semua tak ada. Jadi takut nak ambil sebarang risiko, dia bincang dengan akak dan Ustaz Fahim untuk tumpangkan Alia kat sini sementara anaknya tu habis belajar. Dan sekarang kira dah sampai masa untuk dia ambil balik Alia untuk duduk dengan mereka.” penjelasan panjang lebar Ustazah Hafiya sedikit sebanyak membuatkan aku bersedih. Betapa tidak, Alia ini adalah salah satu sebab mengapa aku suka datang ke sini. Dan kini, dia akan pergi meninggalkan kami semua. Sedikit sebanyak terkesan juga dihatiku.
“Ha, kenapa muka tiba-tiba jadi macam itu?” aku melepaskan sebuah keluhan.
“Entahlah kak, dah rasa sayang sangat dah kat Alia ni. Macam tak sanggup pula nak lepaskan dia pergi duduk dengan mereka.” kataku dalam sendu.
“Kalau dah suka sangat dengan budak-budak ni Dahlia, carilah pasangan, kahwin, insyaAllah, adalah pengganti Alia ni nanti. Boleh dikelek kemana pergi, kan?” senyumnya penuh makna.
“Hish akak ni, ke situ pula. Dahlia bukan apa, rasa macam baru aje lagi dekat dengan Alia ni. Erm, bila pakcik Alia nak ambil dia kak?” tanyaku sekaligus menukar topik.
“Hujung minggu ni. Hari Sabtu dalam pukul 5.00 petang katanya. Itulah, akak ingat nak adakan majlis perpisahan dan mendoa sikit untuk Alia Sabtu tu. Lepas Zohor dalam pukul tiga macam tu. Nanti Dahlia datang lah sekali ya.” ajak Ustazah Hafiya.
“InsyaAllah kak, tapi saya tak janji. Sebab Sabtu  ini ada kenduri dekat dengan rumah. Mak pun dah ingatkan banyak kali dah. Kalau sempat lepas kenduri, saya datang ya.” kataku tidak berani membuat janji.
“Erm, yelah. Jomlah kita masuk. Sekejap lagi Ustaz Fahim nak start ceramah dah. Sambungan untuk topik semalam. Lepas itu kita boleh temankan dia orang ini berriadah pula.” kata Ustazah Hafiya seraya berjalan menuju ke dewan ceramah. Aku hanya membuntutinya sambil memimpin tangan Alia.
“Akak ni shantiklah. Alia cuke tingok akak tau. Cayang akak.” puji Alia tiba-tiba. Aku sekadar mencebikkan bibirku dan tersenyum padanya. Berumur empat tahun lebih, dengan pipi yang montel kemerahan dan tuturnya sedikit pelat menjadikan dia sangat comel pada pandanganku. Dengan mudah aku boleh jatuh sayang padanya. Tambahan pula aku memang suka dengan budak-budak. Keletahnya sering membuahkan senyum dibibirku. Sambil mengetap bibir, aku cuit lagi pipinya dan kami terus mengikut jejak Ustazah Hafiya ke dewan ceramah.

Hari Sabtu sesudah kenduri, aku bergegas ke Rumah Anak Yatim Nur Qaseh. Lelah juga aku berkejar dari sana ke mari untuk memastikan aku sempat melihat dan menghantar Alia. Mungkin juga pertemuan ini adalah yang terakhir kalinya untuk aku dan dia. Siapa tahu? Kita manusia hanya mampu merancang. Selebihnya terserah pada Dia. Namun aku amat mengharapkan agar bibit-bibit kemesraan ini akan berkekalan selamanya.
Sewaktu aku tiba, ada dua tiga orang yang telah beransur pulang. Melalui pemakaiannya aku tahu, mereka adalah jemaah masjid. Mungkin dari masjid terdekat. Setelah mereka keluar dari perkarangan rumah, aku segera turun dari kereta dan mengunci keretaku. Aku berjalan terus ke dewan bagi memastikan yang aku tidak ketinggalan untuk berjumpa dengan Alia. Sebaik sahaja sampai di pintu utama dewan, mataku melingas ke sana sini mencari Ustazah Hafiya atau Alia mungkin. Pandanganku tertancap pada Alia yang dikerumuni rakan-rakannya. Disampingnya berdiri seorang lelaki dan seorang perempuan yang berumur kira-kira enam atau tujuh tahun lebih tua dari emak. Lelaki itu tidak dapat pula aku pastikan kerana dia membelakangiku. Aku sedikit tersentak tatkala terasa ada tepukan lembut dibahuku.
“Kenapa berdiri kat sini aje ni Dahlia? Tak nak masuk jumpa Alia ke?” entah dari mana datangnya Ustazah Hafiya secara tiba-tiba dan mengejutkanku.
“Nak masuklah ni kak, cari akak tadi, tak jumpa pula.” kataku sambil mengukir senyum.
“Oh, akak pergi ambil ini kejap.” Diangkat beg kertas berwarna ungu itu di hadapanku. Di tanganku turut terdapat satu beg kertas bewarna merah jambu. Sedikit buah tangan untuk Alia. Aku pasti dia akan menyukainya, lantaran dia pernah bercerita tentang minatnya terhadap buku ini padaku suatu ketika dahulu.
“Dah, jomlah masuk. Boleh kita jumpa Alia.” aku hanya menurut jejaknya masuk ke dalam dewan.
“Makcik Hasnah, saya perkenalkan, ini Dahlia. Dia ini rapat dengan Alia. Alia pun manja dengan Dahlia ni. Kalau dia datang, asyik berkepit aje. Yang ini pula pakcik Alia.” Aku terus tunduk bersalaman dengan nenek Alia. Sebaik sahaja aku mengangkat muka dan memandang pakcik Alia, aku terasa waktu seakan terhenti. Jantungku berdegup kencang. Dia juga seakan terkedu melihat aku. Kami saling memandang. Hanya mata menjadi pengantara. Mulut seolah terkunci sudah. Ya Allah, dugaan apakah ini. Kenapa dalam banyak-banyak manusia, aku boleh bertemu dengannya di sini. Dan yang paling teruk sekali, dia adalah pakciknya Alia. Aduh!
“Huzaifah, kamu kenal ke dengan Dahlia ini?” tanya makcik Hasnah pada anaknya.
“Oh, kami pernah berjumpa sebelum ini ummi. Masa saya berkhidmat di Perak dua tahun lepas.” lembut dia menjawab pertanyaan umminya lantas memandang tepat kepadaku.
“Assalamualaikum Dahlia, lama kita tak berjumpa ya.” tegur Ustaz Huzaifah.
“Waalaikummussalam, hmm…ye Ustaz.” kataku sambil mengangguk. Dia masih terus menerus merenungku. Dalam kalut aku mengalih pandang pada Alia.
“Alia dah nak pergi ya? Ini kak Dahlia bagi barang sikit untuk Alia.” dia memandangku sayu. Terkesankah dihatinya akan  perpisahan kami ini? Aku menahan rasa. Cuba untuk tidak mengalirkan airmata walaupun saat ini dapat aku rasakan kesedihan yang melanda diriku.
“Alia jaga diri baik-baik ya sayang. Kalau ada masa ajak nenek datang sini lagi. Nanti kita boleh jumpa lagi kan.” kataku sambil tersenyum padanya. Aku gagal mengawal airmata bilamana Alia terus memelukku erat sebaik sahaja aku menyudahkan ayat tersebut. Aku membalas pelukannya dengan linangan airmata. Aku cium kedua belah pipinya dan dia membalas ciuman itu.
“Alia, dahlah tu sayang. Pak ngah janji nanti pak ngah akan selalu bawa Alia datang jumpa Kak Dahlia ye?” pujuk Ustaz Huzaifah.
“Janji?” kata Alia pinta pengertian.
“Pak ngah janji. Bila ada masa kita datang jumpa Kak Dahlia, ok?” janji Ustaz Huzaifah membuatkan aku gamam. Kalau dia mengotakan janjinya, bermakna akan ada pertemuan seterusnya antara kami. Aku tidak ambil pusing. Yang penting sekarang adalah memujuk Alia. Dan mungkin Ustaz Huzaifah sekadar menabur janji kosong bagi menutup kesedihan Alia saat ini. Alia lantas tersenyum mendengarnya. Aku turut membalas senyum si comel itu.
“Baiklah Alia, sekarang waktu Asar pun dah masuk. Apa kata kita sama-sama pergi surau dan lepas tu Alia boleh ikut pak ngah dan nenek balik ye.” usul Ustazah Hafiya pula. Alia mengganguk dan kami sama-sama berjalan ke surau. Alia mencangkuk jari kelingkingnya dengan jari kelingkingku. Aku tersenyum memandangnya. Begitu juga Makcik Hasnah.
Seusai solat, aku dekati Makcik Hasnah dan Alia. Setelah bersalaman dan berpelukan, aku meminta diri untuk pulang. Bimbang jika berlama-lama dan menyaksikan sendiri keberangkatan Alia, aku jadi tidak sampai hati pula. Aku berjalan menuju ke keretaku dan setelah hampir, alat kawalan jauh ku tekan.
            “Nak balik dah?” entah dari mana suara itu datang membuatkan aku terkejut. Tapi aku maklum akan pemilik suara itu. Suara yang pernah membuatkan siang dan malamku indah suatu ketika dahulu. Astaghfirullahalazim, aku beristighfar dalam hati. Masih sempat lagi syaitan menglibang-libukan hatiku saat ini.
“Erm..saya..eh..Dahlia, a’ah, nak balik dah Ustaz. Tadi dah cakap dengan emak datang sini sekejapa saja,” entah mengapa sukar benar untukku berhadapan dengan lelaki ini buat masa sekarang. Lantas patah bicara yang keluar pun bunyinya seperti satu macam sahaja.
“ Dan macam biasa Dahlia akan pergi tanpa sepatah kata pun. Tetap nak larikan diri dari saya macam dulu kan? Apa salah yang saya dah buat, Dahlia? Kenapa sampai sekarang pun Dahlia masih nak menjauhkan diri dari saya?” Nah!  Itu dia, seperti peluru pula kurasakan soalan-soalan yang keluar daripada mulut Ustaz Huzaifah saat ini.
“Apa maksud Ustaz ni? Saya tak faham. Dan saya tak rasa saya melarikan atau menjauhkan diri daripada sesiapa pun.” nafiku buat-buat tak faham.
“Saya rasa Dahlia sangat-sangat faham maksud saya tadi. Boleh Dahlia terangkan kenapa?” Dia masih mahukan penjelasan. Dan bagaimana harus aku jelaskan padanya. Ya Allah, bantulah hambamu ini. Takkanlah aku hendak berterus terang bahawa tindakan itu adalah kerana aku mulai sedar yang aku bukan setaraf dengannya. Aku menjauhkan diri kerana aku cemburukan hubungannya dengan Fatanah. Tidak mungkin. Akan aku simpan semua itu kemas dalam kotak hatiku. Berterus terang beerti aku menggantung diriku sendiri. Dalam berkira-kira mencari alasan, Ustaz Fahim menghampiri kami dan menegurku.
“Eh, nak balik dah Dahlia? Kenapa tak tunggu dulu, boleh kita jemaah maghrib dan makan bersama dengan adik-adik nanti.” soalan Ustaz Fahim memutuskan perbualan antara aku dan Ustaz Huzaifah. Syukur, dia datang tepat pada masanya.
“Erm, tak apalah ustaz, saya dah cakap dengan mak nak balik awal tadi. Datang pun nak jenguk Alia saja sebelum dia pergi. Saya minta diri dululah ustaz. Assalamualaikum.” aku terus menghidupkan enjin kereta dan berlalu pergi. Aku tidak lagi menoleh dan memandang ke arah mereka kerana aku sangat yakin yang Ustaz Huzaifah memang tidak berpuas hati dengan caraku yang meninggalkannya dengan tergesa-gesa tanpa menjawab soalannya tadi.
 Sepanjang perjalanan kerumah, aku diamuk resah. Terkenang kembali saat pertemuan kami sebentar tadi. Langsung tidak aku sangka, Ustaz Huzaifah merupakan pakcik kepada Alia. Kalau aku tahu, mungkin aku tidak akan pergi ke majlis itu. Namun apa yang boleh aku lakukan, semuanya berlaku diluar permintaanku dan ia telah pun terjadi. Aku tiada kuasa untuk mengundurkannya kembali. Harapan aku semoga tiada lagi pertemuan antara kami kelak. Cukuplah masa satu jam tadi menjadikan aku nanar dan tidak senang duduk. Sekali lagi aku terpaksa melarikan diri seperti lima tahun dahulu. Ya Allah, kau berilah ketenangan untuk hambaMu ini. Aku pohon bantuanMu Ya Allah. Amin.

 

Aku bersenang lenang di atas katil sambil membaca buku bertajuk 101 Rekreasi Hati: Buat Diriku Yang Mudah Lupa karangan Ustaz Zahazan. Persembahan santai serta humor dan dalam masa yang sama menerapkan ilmu dan pendekatan dakwah untuk pembaca. Aku memang sejak dulu lagi menyukai karangan Ustaz Zahazan ini.

Suara Maher Zain berkumandang di telefon bimbitku menandakan ada mesej masuk. Aku menggapainya dan membuka mesej tersebut.

Assalamualaikum, Dahlia sihat? Alia rindu nak jumpa Dahlia. Bila kita boleh berjumpa?

Tersentak aku membaca mesej itu. Setelah hampir sebulan tiada khabar mengenai Alia dan secara tiba-tiba mesej ini dihantar kepadaku.  Soalannya kini, siapakah yang bertanggungjawab menghantarnya? Makcik Hasnah? Atau Ustaz Huzaifah? Aku jadi takut sendiri. Lantas aku mengambil keputusan untuk membiarkannya sahaja. Setelah dua puluh minit aku menyepi, sekali lagi lagu berkumandang dari telefonku. Namun, kali ini lebih lama menandakan ada panggilan masuk. Tanpa berfikir panjang, aku terus mengangkat panggilan tersebut.

“Assalamualaikum.” kataku memula bicara.

“Waalaikummussalam. Dahlia sihat. Maaf mengganggu ye.” Demi mendengarkan suara itu, aku hampir pengsan. Ustaz Huzaifah? Mana dia dapat nombor telefon aku ini?

“Ha..erm…sihat. Mana Ustaz dapat nombor Dahlia ini?” tanpa berfikir panjang aku terus bertanyakan soalan. Biar kedengaran bodoh, tapi aku perlu tahu.

“Oh, maaflah, saya terdersak. Alia ini dah tiga hari merengek nak berjumpa dengan Dahlia. Tak sampai hati saya tengok. Jadi, saya terpaksa minta daripada Ustaz Fahim nombor Dahlia. Saya harap Dahlia tak marah.”

“Oh, erm..Alia mana? Dia sihat ke ustaz?” Entah bagaimana harus aku lontarkan kata-kata. Soalan apa harus aku tanya pun aku tidak tahu. Aku mendengar dia ketawa kecil. Lucu sangatkan soalan aku tadi?

“Alia sihat. Dia beria benar nak berjumpa dengan Dahlia. Macam inilah, apa kata Dahlia bagi alamat rumah Dahlia dan saya akan bawa Alia kesana. Nak ajak Dahlia datang rumah, ummi pula tak ada. Dia ke rumah makcik saya. Nak berjumpa ditempat lain, tak manis pula kita nak berjumpa di luar bertiga sahaja kan. Maaflah Dahlia, saya tahu agak keterlaluan bila buat perancangan mengejut macam ini, tapi hari ini saja saya free. Takut lama-lama nanti dah tak ada masa pula ”  Wah! Cadangan yang sangat bernas telah dihidangkan oleh Ustaz Huzaifah. Mahu pitam emak kalau perkara ini benar-benar berlaku. Mana tidaknya, kami telah terputus hubungan selama hampir lima tahun dan kini tiba-tiba sahaja dia terpacul depan rumahku membawa seorang budak kecil. Apa pula kata emak nanti. Tapi bila memikirkan Alia dan ini sahaja jalan yang aku ada, aku harus akur. Takkan lah aku hendak mengajak dia berjumpa di tempat lain pula. Lagilah tidak masuk akal. Akhirnya aku bersetuju.

“Baiklah, ustaz boleh bawa Alia datang sini. Dalam pukul 2 petang nanti.” Aku memberi persetujuan dan setelah alamat kuberikan padanya aku mengucapkan salam lalu menamatkan perbualan. Aku terus meluru mencari emak dan memberitahu perihal sebenar. Emak hanya tersenyum meleret mendengar kisah itu.

“Kalau dah jodoh tak kemana, kan Dahlia?”

“Mak, dia datang nak bawa Alia jumpa Dahlia ajelah. Mana ada lebih-lebih. Dia pun entah-entah dah beranak pinak sekarang ini. Lima tahun dah mak, mana kita tahu kan? Tak baik pandang serong niat orang mak.” aku menerangkan kepada emak dan sekaligus membela diri.

“Hmm, betul sangatlah tu. Kalau dia dah berkahwin, kenapa tak diajak Dahlia kerumah dia saja. Bukan salah pun kan.” Aku malas ambil pusing kata-kata emak lalu terus ke dapur untuk menyediakan hidangan makan tengahari. Tepat pukul 2.05 petang, dia dan Alia sampai dirumahku. Aku biarkan ayah dan emak menjemput mereka masuk. Setelah berbual-bual seketika, aku menjemput mereka makan tengahari. Sesudah mengemas meja makan, aku terus menarik tangan Alia untuk naik kebilikku. Sengaja aku merebut peuluang ini untuk bersama dengan Alia dan memberi peluang pada emak dan ayah berbual dengan Ustaz Huzaifah. Pastilah banyak yang ingin dibicarakan lantaran kami telah terpisah lebih 5 tahun. Dan aku, lebih senang menjauhkan diri dari mereka. Cukup ada Alia denganku buat masa ini. Aku terus berbual-bual dan bergurau dengan Alia. Rindu sungguh aku padanya.

Suara emak memanggil Alia menghentikan perbualan kami. Aku menilik jam ditangan dan rupa-rupanya telah hampir dua jam aku bersama dengan Alia. Cepatnya masa berlalu tanpa aku sedari. Terasa seakan belum puas aku bersama dengannya. Aku pimpin tangannya turun kebawah. Ustaz Huzaifah meminta diri untuk pulang kemudiannya. Dia hanya melemparkan pandangannya padaku. Nyata dalam matanya ada rasa tidak puas hati. Pasti kerana aku masih mengelakkan diri darinya. Biarlah, aku cuma tidak mahu merumitkan perasaanku yang telah gundah-gulana sejak hadirnya dia kembali dalam hidupku. Ya, walau telah hampir lima tahun dan aku telah berjaya melupakan dirinya, namun harus aku akui yang aku sebenarnya tidak mampu menipu diri bahawa kini, sejak dia kembali semula, dia telah menyemarakkan rasaku yang satu itu.  Entah bagaimana boleh jadi begitu, aku pun tidak mengerti.

Dan lebih kurang empat puluh lima minit kemudian aku terima mesej darinya yang berbunyi:

Assalamualaikum, kami dah selamat smp rumah. Terima kasih atas segalanya, tapi mengapa perlu melarikan diri lagi, Dahlia?

Aku tidak tahu apa yang perlu aku jawab dan sekali lagi aku rasa berdiam adalah jalan terbaik. Ya Allah, tunjukkan aku jalan yang benar. Seandainya dia bukan untukku, maka jauhkan aku dari perasaan yang satu ini. Bantulah aku menjauhkan diri darinya. Amin. Doaku dalam hati.

Sejak dari hari itu, boleh dikatakan sebulan sekali Ustaz Huzaifah pasti membawa Alia menemuiku. Dan kebanyakan masa hanya emak dan ayah sahaja yang melayannya. Aku pula, lebih senang bersama Alia di dalam bilikku. Sehingga pernah Alia bertanya kepadaku mengapa aku begitu membenci pak ngah nya. Sukar juga untuk aku menjawab soalan itu. Sudahnya aku hanya menerangkan yang agak tidak manis untuk aku selalu berbual-bual dengan pak ngah nya. Nasib baik dia terus mengangguk tanda menerima alasanku.
Emak dan ayah pula kelihatannya sangat menyenangi Ustaz Huzaifah. Sering juga aku dengar pujian-pujian melambung untuknya. Daripada mereka juga aku tahu yang Ustaz Huzaifah masih belum mendirikan rumahtangga. Dia baru sahaja menamatkan pengajiannya iaitu PHD dalam bidang Usuluddin. Dan kini, aku punyai satu lagi sebab untuk membezakan kufu kami. Bertambah yakin lagi yang diri ini sangat-sangat tidak sesuai dengannya. Namun ada juga kadang-kadang emak membuai rasaku dengan pesanan demi pesanan daripada Ustaz Huzaifah. Walaupun aku masih bermain sembunyi-sembunyi, namun dia seperti telah boleh menerima perlakuanku yang satu ini. Mula-mula dahulu kerap dia menunjukkan dan bertanya tentang ‘pengasinganku’. Tetapi, lama-kelamaan dia senyap begitu sahaja seperti sudah maklum akan perangaiku itu. Sehinggalah pada suatu hari sewaktu aku memasak di dapur bersama emak.
            “Tadi pagi, Ustaz Huzaifah ada datang dengan Alia dan umminya.” emak memulakan bicara. Aku hanya diam menunggu butir bicara selanjutnya. Namun dalam hati terselit rasa hairan dengan kunjungan mereka sewaktu ketiadaanku. Emak melemparkan senyum manis.
            “Hm, mereka datang tanyakan Dahlia. Merisik. Emak dengan ayah dah setuju. Tunggu Dahlia punya keputusan saja sekarang ni. Sebab kami tahu Dahlia belum ada sesiapa lagi kan?” Terlepas senduk nasi ditanganku demi mendengarkan ayat dari emak. Aku terkaku seketika. Hatiku dilanda tsunami. Aku beristighfar dan setelah hilang gundah, aku terus membalas kata-kata emak tadi.
            “Mak, tak baik main-main dalam hal macam ni. Takkan lah dia hendakkan Dahlia ni.”
            “Kenapa? Apa yang kurang dengan anak mak ni? Dahlia cukup segalanya. Lengkap pakej untuk jadi seorang isteri. Mak rasa Dahlia memang sesuai dengan dia dan mak tak main-main. Memang dia tanyakan Dahlia dan berniat nak ambil Dahlia jadi isteri dia. Kalau semua setuju, enam bulan dari sekarang, kamu bernikah.”
Aku gamam. Gembirakah aku dengan khabar yang satu ini? Atau perlukah aku melarikan diri lantas menolak rahmat ini? Ya, inilah satu rahmat yang tidak pernah aku sangka menjadi takdir hidupku. Tapi mengapa sedikit rasa suka pun tiada dalam hatiku saat ini? Mengapa hati seolah merusuh apabila mendapat khabar ini? Apa yang perlu aku beritakan pada emak dan ayah tentang keputusanku? Bila mereka sudah bersetuju, apa pula alasan aku untuk menolak? Ya Allah, bantulah hambaMu yang lemah ini. Tunjukkanlah jalan yang benar yang Kau redhai.
           
Setelah seminggu berfikir dan setelah tiga kali menunaikan solat istikharah, aku akhirnya bersetuju. Bila ditimbang-timbang semula, tiada sebab mengapa aku harus menolak. Cuma, hati masih lagi sukar menerima yang aku bakal menjadi isterinya. Dia yang pernah aku cintai sepenuh hati. Dia yang aku sangkakan tidak layak untuk aku gapai cintanya. Dia yang padaku terlalu jauh bezanya. Namun takdir Allah, siapa dapat mengubahnya. Dan dengan izin Ilahi, enam bulan kemudiannya aku sah menjadi isteri kepada Ustaz Huzaifah.
            Siang tadi telah berlangsung majlis akad nikah kami. Majlis yang hanya ada upacara akad nikah dan sedikit sesi bergambar. Bagi kami cukuplah sekadar majlis ringkas yang berlandaskan syariat. Tidak perlu berlebih-lebih kerana padaku, ijab dan qabul yang penting. Setelah berkemas dan semuanya selesai, aku terus mandi dan mengerjakan solat isyak. Suamiku pula mengambil giliran selepasku. Sepanjang hari aku hanya diam. Tidak tahu untuk berbicara dan berkata-kata.
            “Kenapa sembahyang tak tunggu abang? Dan kenapa isteri abang ini senyap aje dari tadi? Dahlia tak suka ke dapat kahwin dengan abang?” dia memula bicara. Tanganku terasa menggigil saat ini. Sungguh, kalau aku boleh lari, aku ingin lari sejauh mungkin.
            “Eh, tak delah. Hm, Dahlia cuma tak tahu nak cakap apa. Semuanya berlaku sekelip mata.  Tiba-tiba saje, ustaz dah jadi suami Dahlia. Dah…” Dia terus meletakkan jarinya ke bibirku sebelum sempat aku meneruskan bicara. Aku terkedu.
            “Bukan ustaz. Abang, panggil abang. Sekarang abang dah jadi suami Dahlia. Abang bersyukur sangat dengan takdir hidup abang sekarang ini. Abang harap kita dapat jalankan tanggungjawab kita sebagai suami isteri dengan baik. Jadi untuk permulaan, kita kena start dengan panggilan manis untuk diri masing-masing. Dahlia kena panggil abang ‘abang’, dan abang akan panggil Dahlia ‘ayang’. Boleh? ” Terasa darah sudah menyerbu ke muka sebaik sahaja suamiku menghabiskan ayatnya itu. Aku tidak mampu menjawab pertanyaannya lantas kepala sahaja aku anggukkan.
            “Ayang dah jadi diam sangat sejak kita berjumpa semula. Banyak benda abang nak tanya ayang, dan kalau ayang terus senyap macam ini, macam mana kita nak berkomunikasi. Boleh tak ayang berkerjasama dengan abang?” pohonnya penuh mengharap. Aku jadi tidak sampai hati. Dan serta merta aku rasa sudah sampai masanya untuk aku berpijak di bumi yang nyata. Mungkin inilah masanya untuk aku leraikan semua kekusutan ini. Lantas aku memulakan bicara.
            “Baiklah, apa yang ustaz, eh abang nak tanyakan pada Dahlia, eh, erm..ayang? tanyaku sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Janggal untuk mengubah panggilan diri. Dia tersenyum memandangku. Senyuman yang sangat menawan. Aku membalas senyumannya.
            “Banyak. Yang pertama, kenapa ayang selalu menjauhkan diri dari abang dulu? Abang ada buat salah ke dengan ayang?” Dia mula mengungkit kisah lima tahun dahulu. Apa yang harus aku jawab kini? Baru aku hendak memulakan bicara, dia telah bersuara kembali.
            “Ayang tahu tak, abang asyik tertanya-tanya kenapa ayang berubah sedemikian rupa? Abang cuba cari silap abang tapi tak pernah berjumpa. Kalau tak dulu ayang suka tegur abang. Pantang nampak, mesti ayang panggil abang. Tapi entah sejak bila ayang berubah, abang pun tak pasti. Abang akui, abang suka perubahan ayang. Ayang dah mula jaga diri, jaga aurat, jaga pandangan. Abang nampak semua tu. Satu pun perubahan ayang tak lepas dari pengetahuan abang walalupun masa itu ayang tak nak langsung bertemu dengan abang. Fatanah takkan lepaskan walaupun satu cerita tentang ayang tau.” Bila nama Fatanah disebut, aku terus mengangkat muka. Hati tertanya-tanya, mengapa perlunya Fatanah menceritakan hal aku kepadanya? Bukankah saat itu mereka sedang memadu kasih?
            “Fatanah? Abang bukan dengan Fatanah ke masa tu? Wazir kata abang dengan Fatanah nak berkahwin, tapi kenapa Fatanah ceritakan pada abang semua pasal ayang? soalku polos.
            “Wazir? Dia ada cakap macam tu ke? Bila?” tanyanya sambil berfikir.
            “Oh, masa yang hari kita nak sambut Maulud Nabi dulu tu ya? Yang masa abang jumpa ayang dekat pondok tu? Wazir main-main sajelah masa tu. Ayang tahu ajelah dia tu kan. Eh, kejap-kejap, jangan-jangan ayang cemburu tak? Dan sebab itu ayang menjauhkan diri daripada abang?” duganya. Dapat aku rasakan mukaku yang sudah merona merah. Mengaku bermakna aku memalukan diriku sendiri.
            “Eh, mana ada. Abang ni pandai-pandai je. Ayang menjauhkan diri sebab ayang rasa ayang ni tak layak bergandingan dengan abang. Abang punya segalanya. Pakej lengkap seorang muslimin sejati, sedangkan ayang masa tu, aurat pun tak tahu nak jaga. Bila Fatanah balik, ayang tahu, abang mesti akan bersama dengan dia. Lagipun pak imam kan berkenan nak abang jadi menantu dia. Manalah abang nak nampak ayang yang macam ini, kan?”
            “ Oh, maksudnya ayang memang cemburulah ye? Cemburukan abang dengan Fatanah?” Aku membuat muka cemberut. Merajuk. Lantas aku memalingkan wajahku ke arah lain.
            “Ok-ok sorry, abang memain aje la. Pandang sini. Dengar apa yang abang nak cakap ni. Sebenarnya memang pak imam tu berkenan nak jadikan abang menantu dia. Tapi, abang tak pernah terlintas pun nak jadikan Fatanah isteri. Macam mana abang nak kahwin dengan orang yang abang tak cintai, sedangkan dalam hati abang ini dah ada satu nama dan tempat istimewa untuk dia. Ayang tahu tak, abang dah mula sukakan ayang sejak ayang tunjukkan perubahan ayang. Abang dapat rasa yang ayang tercipta untuk abang. Tapi abang tak nak la tergersa-gesa, sebab abang rasa abang punya banyak masa lagi untuk itu. Tambahan pula masa tu, kita sekampung. Jadi, mesti tak susah untuk abang. Tapi makin lama abang rasa makin jauh dengan ayang, sampailah hari terakhir ayang kat kampung, abang masih gagahkan juga diri untuk pergi jenguk ayang, tapi ayang pula tak sudi berjumpa dengan abang. Abang sedih sangat masa tu. Tapi abang yakin, kalau dah jodoh tak kemana. Sebab tu lah, lepas je ayang sekeluarga tinggalkan kampung tu, abang ambil keputusan untuk sambung belajar. Ha, kalau ayang nak tahu, waktu tu pun Fatanah dah ada seseorang. Setahun lepas ayang pergi, mereka berkahwin. Sebenarnya, Fatanah tahu perasaan abang pada ayang. Abang selalu sampaikan pada dia dan dia pula selalu bercerita pada abang pasal ayang. Tapi sayang, tuan punya badan tak sukakan kita.” Ucapnya sayu. Aku memandang wajahnya. Sungguh tidak aku sangka, kami berkongsi rasa yang serupa. Dia mengesat airmata yang turun dipipiku dengan wajah sedikit risau.
            “Kenapa ayang menangis ni? Abang ada salah cakap ke? Maafkan abang sayang.” Habis sahaja dia mengucapkan maaf, dia terus merangkul tubuhku. Hanya kesalan yang bermukim dihatiku. Airmata seolah tidak mahu berhenti. Alangkah indahnya kalau aku ketahui hakikat ini lima tahun dahulu. Pasti kini kami sedang diulit bahagia.
            “Dah-dah. Abang nak ayang berhenti menangis. Tak ada apa yang hendak disedihkan lagi. Sekarang kita dah bersatu. Lepas ni jangan jauhkan diri lagi ya sayang. Nanti abang pula yang menangis.” guraunya. Aku melepaskan pelukan dan tersenyum ke arahnya.
            “Ayang sayangkan abang. Dulu ayang ingat kita tak ada jodoh, sebab mak kata lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik. Ayang tak sesuai langsung untuk abang.” Dia seperti terkejut mendengar pengakuan dariku. Sungguh, aku menyatakannya daripada lubuk hati yang paling dalam. Demi mendengarkan pengakuannya sebentar tadi, aku tahu, tidak salah untuk aku berkongsi dengannya perasaan yang pernah aku alami satu ketika dahulu.
            “Sayang, ajal, maut, jodoh pertemuan semua ditangan Nya. Rasa cinta abang untuk ayang telah wujud lama dulu. Cinta itu makin mendalam bila abang tengok cara ayang layan Alia. Abang tahu abang tak salah pilih. Hanya ayang yang layak untuk abang jadikan isteri. Abang harap sangat yang cinta kita ni kekal di dunia dan akhirat. Semoga kasih sayang kita berpanjangan hingga ke syurga. Abang cintakan ayang sepenuh hati. Abang janji akan jaga dan cintai ayang dan juga anak-anak sepanjang hayat abang. Hanya Allah yang dapat memisahkan kita. InsyaAllah. ” Sekali lagi aku dibawa ke dalam pelukannya. Kali ini lebih erat.
Aku mengucap syukur dalam hati. Siapa sangka, akhirnya kami bersatu jua. Sesungguhnya ketentuan Allah itu adalah yang terbaik. Inilah takdir yang terindah buatku. Hadirnya seakan telah melengkapkan dan menyempurnakan hidupku. Dia satu anugerah buatku. Kurniaan dari Ilahi. Semoga kasih sayang kami sentiasa mekar dan kekal dalam rahmat Allah. Amin.
TAMAT

Pertandingan Cerpen : Pilihan Hati


PILIHAN HATI 
Tiba-tiba aku teringatkan kata-kata Wazir tempoh hari mengenai Fatanah akan berkahwin dengan Ustaz Huzaifah. Meskipun pernyataan tersebut bukan dari mulut mereka sendiri, namun entah mengapa hati aku langsung tak tenang pabila sesekali kata-kata itu sesekali terngiang-ngiang di telinga. Gusarnya hati, Tuhan saja yang tahu.
            “Err.. ustaz..” Aku mengancing gigi saat pandangan Ustaz Huzaifah redup menikam mataku. Aku jadi tak betah. Serba salah pun ada! Nak tanya, takut dilabel menjaga tepi kain orang pula. Kalau didiamkan, mahu makan hati cecah jantunglah aku nanti.
            “Ada apa? Dahlia nampak macam sembunyikan sesuatu dari saja aje. Ada apa-apa yang perlu saya tahu, ke?” soalnya lembut tetapi kedengaran tegas dalam setiap kata-kata yang dilontarkan.
            “Betul ke…” Kata-kataku langsung mati apabila ternampak kelibat emak yang sedang terkocoh-kocoh menuju ke sini. Tangan kanan mak menjinjit beg telekung yang sudah hampir lusuh warnanya itu. Ustaz Huzaifah turut memandang ke arah yang sama.
            “Kenapa kalut sangat ni, emak?” soalku sebaik sahaja emak melangkah ke sisi. Ada kerutan pada wajah tua itu.
            “Mak baru teringat yang tadi mak ada rebus telur di dapur. Terlupa nak tutup!” balas emak membuatkan aku dan Ustaz Huzaifah sama-sama terlopong. Hampir tersembul biji mata aku dibuatnya. Sudahlah mata aku ini sudah semula jadi besar, silap hari bulan terus terkeluar biji mata.
            “Minta diri dululah, ustaz. Ada masa kita sembang lain. Terima kasih ye, ustaz! Assalamualaikum!” Cepat-cepat aku tarik tangan emak agar membuntutiku. Pelbagai kemungkinan mula bersarang di fikiran saat ini. Minta-minta dijauhkan segala malapetaka yang tidak diingini.
            “Dahlia!” Aku toleh ke belakang apabila terdengar suara Ustaz Huzaifah memanggilku. Emak turut sama memandang ke belakang. Ada apa-apa yang tertinggalkah? Lama aku berdiri dengan tubuh seratus lapan puluh darjah ke belakang. Macam ada ketul emas dalam mulut!
            “Hmm… Tak apalah! Jalan elok-elok!” Aku hadiahkan senyuman kepada Ustaz Huzaifah sambil menggamit tangan. Ustaz Huzaifah tersenyum cuma. Kau ni pun satu Dahlia, dah nama pun ustaz, bakal suami orang pulak itu, takkanlah senang-senang aje dia nak lambai-lambai kat kau. Tahu dek Fatanah, mahu bercerai-berai mereka berdua. Memikirkan kemungkinan yang satu itu, ada senyum bertandang di wajah saat ini.

MALAM itu, payah benar mata ini mahu lelap. Mengiring ke kanan tak kena, mengiring ke kiri lagi tak kena. Aku baring pula sambil menengadah kipas syiling di atas. Dalam samar-samar biasan cahaya lampu luar, entah mengapa seraut wajah tenang itu juga yang terlayar di hadapan mata. Jawapan Ustaz Huzaifah tadi benar-benar meragut separuh jiwaku pergi. Terasa diri ini begitu kerdil jika dibandingkan dengan Fatanah. Memang patut pun kiranya aku bukanlah pilihan hati Ustaz Huzaifah. Apalah sangat yang ada pada diri ini untuknya.
            “Hmm.. Surah Annur, ayat 26..” Aku berhenti memintal hujung rambut. Hati melonjak-lonjak ingin tahu terjemahan ayat yang dimaksudkan. Kalaulah aku ini seorang hafizah atau ustazah, sudah tentu aku tak perlu bersusah-payah membuka al-Quran terjemahan. Macam… Fatanah!
            Aku bingkas dari perbaringan. Langkah diatur ke arah suis lampu utama. Sambil-sambil itu, aku kerling jam loceng di tepi katil. Sudah pukul satu setengah pagi. Tanpa berfikir panjang, aku terus menapak keluar ke bilik emak di sebelah. Berkeriuk bunyi pintu apabila engsel yang sudahpun berkarat bergeser tatkala daun pintu dikuak dari luar. Perlahan-lahan, aku melangkah ke arah meja kecil di penjuru bilik mak. Pintu sengaja kubiarkan terbuka sedikit agar aku dapat melihat letak duduk al-Quran tafsir milik mak.
            “Kau cari apa tu, Dahlia?”
            Hampir luruh jantung aku dibuatnya. Spontan tangan kanan naik memegang dada. Emak kelihatan terpisat-pisat untuk bangun.
            “Eh, mak! Tidurlah. Dahlia cari.. err.. cari..”
            “Cari apa?”
            “Cari.. haa.. cari.. cari ni, haa..” Tangan kanan laju mencapai sejadah emak yang tergantung elok pada penyidai kayu, bersebelahan meja kecil itu. Meskipun suasana samar-samar sahaja cahayanya, namun wajah emak yang berkerut dapat kulihat dengan jelas.
            “Sejadah? Kau nak buat apa dengan sejadah emak tu, Dahlia?” soal emak terus kepada titik. Aku menggaru kulit kepala yang kebetulan memang gatal. Aku kerling benda yang aku cari. Macam manalah aku boleh tersilap capai sejadah pula?
            “Err… nak solat sunat, mak. Biar tenang sikit hati ini,” balasku sambil menarik sengih panjang. Emak menggeleng cuma sebelum kembali merebahkan badan ke tilam tempat perbaringan. Aku menarik nafas lega apabila emak tidak langsung bertanya lagi. Mungkin sahaja kantuk masih menguasai diri. Dengan penuh berhati-hati, aku sidai semula sejadah di tempatnya. Al-Quran tafsir yang berusia lebih dua puluh tahun itu kucapai dan langkah pantas diorak ke bilikku semula.
            Aku membetulkan duduk silaku di atas katil. Tangan naik mengemas sanggulan rambut yang hampir terlerai. Al-Quran tafsir di sebelah, kuambil lalu diletakkan di atas bantal yang menjadi pengalas kepala. Emak selalu berpesan agar kitab suci ini diletakkan tinggi sedikit daripada kaki kita. Kalau sewaktu kecil dahulu, berbirat betis ini apabila hal ini kupandang entang sahaja. Sekarang, sudah jadi kebiasaan pula bagiku. Kalau tiada rehal atau bantal sekalipun, sejadah akan kulipat empat sebagai pengalas.
            Setelah yakin akan muka surat yang dicari, laju sahaja tangan ini menyelak helaian demi helaian sehingga ayat 26 dari surah yang sama, singgah pada ruangan mata.
            “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”
            Lama aku duduk berteleku mengulangbaca ayat yang sama. Sesekali aku menggaru belakang telingaku dengan harapan ada sebarang perubahan. Tetapi, hampa! Aku tetap tak faham apa yang cuba disampaikan oleh Allah melalui sepotong ayat itu. Kalau yang dikatakan sebagai perempuan yang baik itu adalah yang bersih dari sebarang tuduhan buruk, bermakna, aku ini perempuan baiklah, kan? Girangnya hati bukan kepalang. Namun, cepat-cepat kusedarkan diri ini dengan kenyataan bahawa perempuan baik yang benar-benar sesuai dan layak untuk berdamping dengan Ustaz Huzaifah adalah, Siti Fatanah. Tiada satu, dua, mahupun tiga sepertinya.

KEESOKAN harinya, usai solat Subuh berjemaah di surau, aku pantas mendapatkan Fatanah yang sedang mengenakan sarung kaki berwarna coklat muda di kakinya. Tudung labuh berwarna kuning cair yang dipakai, benar-benar menampakkan Fatanah seorang gadis sunti yang berakhlak dan menjaga pergaulannya. Hati dipagut sayu mengenangkan wanita ini bakal menjadi milik Ustaz Huzaifah tak lama lagi.
            “Assalamualaikum, Fatanah.”
            “Waalaikumussalam, Dahlia,” jawabnya sambil mengulum senyum manis. Hati yang tadinya resah, langsung tenang demi menatap seraut wajah putih bersih itu. Meskipun tanpa secalit mekap di wajah, Fatanah tetap kelihatan cantik dan berseri. Agaknya inilah yang dikatakan sebagai aura orang beriman.
            Aku sambut huluran tangannya. Begitu mesra Fatanah menyapa diriku. Sedangkan aku, langsung tidak merasa bahagia untuknya. Walhal, kami telah berkawan baik sejak kecil lagi.
            “Ada apa, Dahlia? Dahlia nak saya bantu apa-apa, ke? Kalau ada, janganlah segan-segan. Insya-Allah, selagi saya boleh bantu, saya akan bantu.” Ucapan yang terlahir dari seulas bibir itu membuatkan aku bertambah hiba. Mulianya hati seorang insan bernama Siti Fatanah ini. Kalaulah dia tahu aku tergilakan bakal suaminya itu, adakah dia masih mahu melayan aku baik seperti ini?
            Aku pamer senyum segaris. “Tak, tak ada apa. Cuma, pasal kelas Tajwid yang kau cakap hari itu, aku berminat nak ikut sekali. Pukul berapa mula, ye?” soalku mengundang senyum pada wajahnya. Begitu ceria seraut wajah damai itu.
            “Alhamdulillah.. Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang, kelas itu akan bermula jam sembilan pagi nanti. Datang, ye? Tetapi, kalau Dahlia tak sempat dengan menjual, Dahlia boleh datang malam ini. Selepas solat Isyak di surau. Ustaz Huzaifah yang akan mengajar.”
            Hambar sahaja aku rasakan apabila melihat senyuman di wajah Fatanah ketika nama Ustaz Huzaifah disebut. Cepat-cepat aku kuatkan hati dan perasaanku. Berpijaklah pada bumi yang nyata, Dahlia! Sudah terang lagi bersuluh, Ustaz Huzaifah hanya tercipta buat Siti Fatanah. Bukannya Nur Dahlia!
            “Oh, kalau macam itu.. Baiklah, kita jumpa pukul sembilan pagi nanti, ye? Aku gerak dulu. Nak tolong emak aku asing barang-barang untuk berniaga nanti. Terima kasih ye, Fatanah. Aku balik dulu!”
            Aku terpinga saat tubuhku terus ditarik ke dalam pelukan Fatanah. Sendu yang beransur pergi, kembali bertandang. Ya Allah, sungguh bertuah Ustaz Huzaifah untuk menjadi suaminya kelak.
            “Saya percaya awak perempuan yang baik. Memang tak salah lagi. Baik-baik jalan nanti ye, Dahlia. Assalamualaikum,” ujarnya sebelum kami berpisah. Dan saat aku menapak keluar dari surau, ada titisan hangat yang mengalir di mataku. Aku pasrah, betu-betul pasrah dengan ketentuan-Nya.

SUDAH seminggu rutin harianku berubah. Kalau dulu, sebelum jam tujuh pagi lagi, aku sudah terpacak seorang diri di tepi jalan dekat simpang tiga itu. Kalau dulu, dari rumah lagi sudah aku siapkan bekalan nasi lemak buat Ustaz Huzaifah. Kalau dulu, selagi matahari belum meninggi, selagi itulah aku belum pulang ke rumah. Adakalanya, aku duduk lepak dahulu di dangau seorang diri, mencipta angan bahagia aku bersama Ustaz Huzaifah.
            Tetapi kini, selesai sahaja solat Subuh berjemaah, aku terus pulang ke rumah dan membantu emak apa yang patut. Kemudian, aku bantu emak dengan warungnya sebentar sebelum bergegas ke rumah semula untuk mengambil kitab terjemahan dan buku catatan kelas tajwid. Gembira sungguh Fatanah apabila aku ikut serta dalam kelas ini. Dan kerana kegembiraan itulah, aku jadi semakin kuat dan mula berpegang pada hakikat yang Ustaz Huzaifah bukan milikku.
            “Macam mana kelas hari ini? Dahlia boleh tangkap apa yang saya ajar?” soal Fatanah apabila aku bersalaman dengannya. Senyuman sentiasa memekar di wajah itu. Tak pernah sekalipun kulihat Fatanah bermuram. Sentiasa sahaja murah dengan senyuman. Inilah agaknya yang dikatakan dengan senyum itu sedekah. Hati orang yang melihatnya langsung tenang dan terasa dihargai, meskipun ia hanya sebuah senyuman yang biasa. Yang penting, ikhlas dan tidak berpura-pura. Itu yang aku dengar emak pesan sewaktu arwah ayah masih ada.
            Aku mengangguk seraya tersenyum. “Insya-Allah, rupanya belajar tajwid ini tak adalah sesusah mana pun kan, Fatanah? Baru hari ini aku tahu. Kalau sebelum ini, aku main bedal sahaja yang mana panjang, yang mana dengung tak dengung. Bila dah belajar ini, baca al-Quran pun dengar sedap aje,” gurau membuatkan dia tertawa kecil.
            “Nak mengaji ini tak adalah susah mana kalau awal-awal lagi sudah kita niatkan, aku belajar kerana Allah. Yang mana belajar rasa payah itu bukannya apa, sebab terpaksa! Insya-Allah, kalau niat kita mahu memperelokkan bacaan kerana agama Allah, semuanya akan dipermudahkan.” Tenang sahaja nasihat itu meluncur ke dalam hatiku. Aku mengangguk dalam setuju. Benar kata Fatanah, semuanya harus ikhlas kerana Allah. Sebagaimana aku ikhlas belajar tajwid, begitulah aku perlu ikhlas dalam menerima qada’ dan qadar Allah.
            “Terima kasih, Fatanah. Aku dengar tak lama lagi kau akan bertunang. Betul ke?” Fatanah tempaknya malu dengan soalanku. Tersipu-sipu dia dibuatnya.
            “Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, hujung bulan depan, insya-Allah,” balasnya tenang tetapi memberi impak yang besar terhadap hatiku. Aku turut menarik senyum segaris, tawar tak bergula.
            “Tahniah.. Bertuah siapa yang dapat menjadi suami kau, Fatanah.” Aku paksa bibir ini untuk terus-menerus tersenyum, tetapi aku tak boleh! Mata terasa hangat! Tidak! Aku perlu kuat! Aku tak akan sesekali menunjukkan kesedihan di hadapan Fatanah. Dia sudah banyak berbudi terhadap diriku. Biarlah, rasa ini kutanggung sendiri.
            “Alhamdulillah.. Sudah jodoh saya dengan dia. Awak pula, bila lagi Dahlia? Nak tunggu siapa?” usiknya membuatkan aku tertawa kecil. Apa gunanya aku tunggu, kalau orang itu sudah disambar orang.
            “Belum ada jodoh lagi, gamaknya. Belum ada yang berkenan!” jawabku sambil tertawa. Walhal, hati sendiri sedang menangis darah. Aku perlu kuat!
            “Takkan belum ada yang berkenan, kut? Ada aje Siti tengok yang berkenan kat Dahlia. Dahlia tak nampak ke sengaja buat-buat tak nampak?” candanya lagi. Dia tersenyum manis lagi. Haihlah, Fatanah.. Kau buat aku cemburu saja dengan kau. Takkanlah aku nak cakap aku berkenan pada bakal suami kau, kut?
            “Ada-ada aje kau, ni. Sejak nak jadi isteri orang ini, makin kuat mengusik, ye? Sudahlah, Fatanah. Aku balik dulu. Nak singgah warung sekejap tolong mak. Ada masa, kita borak lagi. Tahniah, Fatanah. Aku tumpang gembira untuk kau.” Pantas tubuh kecil Fatanah kubawa ke pelukan. Inilah pelukan yang paling tenang dan damai pernah kurasa selain dipeluk oleh emak. Rasanya ringan sekali apabila sudah aku lepaskan bebanan rindu yang meruntun jiwa ini pergi. Rasa bebas. Bebas dari segala-galanya!
            “Terima kasih, Dahlia. Saya doakan, satu hari nanti Dahlia akan jumpa seorang lelaki yang mencari Dahlia sebagai pelengkap tulang rusuknya. Ingat Dahlia, perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Majlis saya nanti, jangan lupa datang pula, ye?” pesannya lagi sebelum kami berpisah. Aku mengeratkan genggaman tangannya. Hati ini begitu tersentuh mendengar kata-kata itu. Benar, perempuan yang baik, untuk lelaki yang baik. Dan aku juga harus terima hakikat bahawa, Siti Fatanah hanyalah untuk Ustaz Huzaifah. Melangkahnya aku dari surau itu, telah aku titipkan segala kenangan dan anganan bahagia yang pernah ada untuk Ustaz Huzaifah.

“DAHLIA, tadi mak jumpa dengan Ustaz Huzaifah.”
            Emak membuka bicara malam itu. Aku hanya buat endah tak endah sambil mengunyah potongan epal merah di tangan. Mata pula setia tertancap pada kaca televisyen. Bohonglah kalau aku kata tak dengar apa yang emak cakap. Setakat rancangan bual bicara, apalah sangat yang menarik jika dibandingkan dengan cerita terbaru mengenai ustazku itu.
            “Dia singgah warung sekejap, beli nasi lemak. Makin kacak pula mak tengok ustaz kau, itu. Patutlah kau berkenan sangat, mak yang tua tengok ini pun rasa terpikat. Ustaz tanya mak, kau macam mana? Sihat ke, tidak? Kenapa lama tak hantar nasi lemak kat dia. Kau ada terasa hati dengan dia, ke? Risau benar ustaz itu mak tengok,” sambung emak lagi apabila melihat aku berdiam diri.
Aku berhenti mengunyah. Epal yang belum cukup hadam terasa tersekat di kerongkong. Pandanganku jatuh pada jemari kaki yang melunjur ke arah televisyen. Terkesan aku dengan kata-kata emak tadi. Mengapa pula Ustaz Huzaifah sibuk-sibuk bertanyakan soal aku? Bukannya aku yang bakal menjadi suri di hatinya nanti. Patutnya dia sibukkan majlisnya yang tak sampai dua minggu lagi itu.
“Habis tu, mak jawab apa?” soalku, berminat. Berminat ingin tahu jawapan emak. Bukannya berminat ingin tahu perkembangan suami orang. Aku masih ada harga dan maruah diri. Kalau dah sah-sah, lelaki itu bukan milik aku, buat apa lagi aku nak terhegeh-hegeh berdamping dengannya.
“Mak cakaplah sekarang ini kau sibuk. Sibuk mengalahkan perdana menteri Malaysia!”
“Mak ni, main-main pulak dia. Dahlia serius ni, mak. Betul-betullah!” Aku menarik rajuk panjang. Debaran di dada makin kuat saja getarannya. Entah apalah yang diberikan emak sebagai jawapan. Sudah hampir dua minggu juga aku tak bersua muka dengan Ustaz Huzaifah. Entah bagaimanalah dia sekarang agaknya. Sihat ke tidak, ye?
“Mak gurau je..”
“Tahu..” balasku sepatah.
“Mak cakaplah yang kau sekarang ini sibuk belajar tajwid dengan si Fatanah. Pasal terasa hati itu, mak cakaplah yang kau sekarang ini malas nak keluar tak tentu hala. Duduk rumah aje tolong mak kemas apa yang patut,” jawab mak sambil meneruskan lipatan baju.
“Yang pasal tak hantar nasi lemak tu, pulak?” soalku sekadar ingin tahu.
“Mak tak kata apa pun. Dia pun diam, tak tanya dah lepas itu. Ini Dahlia, kau tahu kan yang Fatanah nak bertunang minggu depan?”
Aku pantas menggangguk. “Kenapa, mak?”
Emak meletakkan baju yang sudah dilipat sebelum menyambung, “Dengar kata, esoknya mereka akan terus nikah. Tunang sehari aje. Itu pun, Fatanah yang minta.”
Terlopong aku dibuatnya. Tunang sehari saja? Jadi.. Sehari sajalah aku dapat menatap Ustaz Huzaifah sebelum dia bergelar suami orang. Ya Allah, Engkau kuatkanlah hatiku ini.
“Oh, dah tu, kenapa?” Aku seakan dapat mengagak tujuan emak membuka soal nikah kahwin malam-malam sebegini. Tak lain tak bukan, pasti emak mahu bertanya soal bila giliran aku pula. Telinga aku dah kebal dengan semua itu. Dah masak sangat dengan perangai emak.
“Kalau mak cakap ni, kau jangan marah ye, Dahlia.” Emak sudah berhenti melipat baju. Tumpuannya kini beralih kepadaku. Aku bangun dan duduk bersila di bawah. Tak ketinggalan, sempat aku capai sepotong epal dari dalam piring di atas meja kopi.
“Ada apa, mak?” soalku tak sabar-sabar lagi. Emak capai tanganku lalu diusapnya perlahan. Aku jadi makin tak sedap hati. Pelik sungguh perangai emak mala mini. Hati disapa debar halus yang makin lama, makin hebat.
“Tadi, ada orang bertanyakan pasal kau?” tutur emak, tenang. Aku mengerutkan dahi tanda tak faham dengan maksud emak. Bukankah tadi emak sudah bercerita mengenai Ustaz Huzaifah yang bertanyakan soalku?
“Dahlia tak faham, mak..”
“Ada orang risik kau.”
Spontan mataku membuntang. Biar betul emak ini? Ada orang yang merisik, aku? Siapa? Untuk siapa? Dan, untuk apa?
“Siapa, mak? Nak buat apa? Habis, mak jawab apa kat dia? Mak ada cakap tak nak tanya Dahlia dulu?” soalku bertalu-talu tanpa sempat ditepis oleh emak. Gelabah biawak aku dibuatnya! Mana ada orang yang pernah merisik aku sebelum ini. Bila perkara ini berlaku, mahu tak ketar lutut. Sendi-sendi terasa longgar semacam saja.
“Hmm.. Mak terima..”
“Hah?!” Kali ini aku tak teragak-agak lagi mahu menjerit. Kalau ada lalat yang singgah masuk ke dalam mulut pun, aku tak akan sedar kalau aku tertelan serangga jijik itu. Hatiku dipagut sayu. Tangan yang tadinya di dalam genggaman emak, cepat-cepat kutarik. Aku mengelap tubir mata yang terasa panas berair. Sampai hati emak buat aku macam ini!
“Mak cuma nak kau bahagia, Dahlia. Mak sayangkan kau. Mak tak nak tengok anak mak membujang sampai ke tua. Mak yakin kau akan bahagia dengan piliham mak ini, Dahlia. Kau kena percaya cakap mak.” Emak berterus-terusan cuba meyakinkanku. Aku jadi serba salah. Tanpa pamitan, aku terus bingkas ke bilik. Sebaik sahaja pintu bilik ditutup, aku menghamburkan segala macam rasa yang ada. Aku sedih, sedih sekali apabila hidupku berakhir di sini. Selamat tinggal, Ustaz Huzaifah…

PAGI itu semua orang kelihatan sibuk sekali menguruskan apa yang patut. Aku telek inai merah di hujung jemariku. Kemudian, aku telek pula emak yang tampak bahagia sekali dalam persalinan baju kurung kuning cair itu. Ramai tetamu yang hadir memuji kecantikanku. Aku telek pula busana putih mutiara yang tersarung elok di tubuh. Cantik! Memang cantik. Namun, alangkah bahagianya andai baju ini dapat mengundang senyum bahagia di wajahku. Hingga saat ini, aku tak bertemu langsung dengan bakal suamiku dan siapa dia. Sebab apa yang aku tahu, hanya nama Ustaz Huzaifah yang terukir di hati. Ya Allah, beratnya dugaan ini.
            Cepat-cepat aku beristighfar apabila kedengaran riuh-rendah suara orang mengumumkan ketibaan rombongan pengantin perempuan. Cincin belah rotan yang tersarung elok di jari manis tangan kiri kutelek lama. Ada air hanya yang bertakung di kolam mata saat ini. Kelmarin sewaktu ibu bakal suamiku menyarungkan cincin, entah mengapa kurasakan senyumanya saling tak tumpah seperti senyuman yang selaku kulihat di wajah bersih Ustaz Huzaifah.
            Aku duduk bersimpuh dengan diapit emak dan bakal ibu mertuaku di kiri dan kanan. Pandangan sentiasa kuhalakan ke bawah. Tak sanggup mahu melihat rupa bakal suamiku nanti. Biarlah, aku tatap dia setelah sah kami diijabkabulkan nanti. Biarlah aku kenang seraut wajah Ustaz Huzaifah itu puas-puas dahulu. Kelibat Fatanah belum kelihatan. Pasti sahaja dia menunggu Ustaz Huzaifah untuk datang ke majlisku sama-sama. Mutiara mata mengalir dari mataku apabila aku dengar tok kadi menyuruh wakil perempuan menyerahkan borang untuk kutandatangani.
            Aku menyambut huluran kertas yang dimaksudkan. Tanpa memandang nama si dia, aku terus menurunkan tandatanganku. Biarlah, aku redha dengan siapa jua jodohku. Dan aku terima siapa jua pilihan yang emak restu. Asalkan emak bahagia, itu sudah memadai buatku.
            Sedra-sedar sahaja, emak sudah menyiku pinggangku agar aku turut sama menadah tangan dan mengaminkan doa. Sekejap sahaja rasanya. Aku sendiri pun tidak pasti bila lafaz ijab dan kabul dilaksanakan. Begitu lemahnya diri ini sehingga ke saat terakhir ini pun, aku masih teringatkan Ustaz Huzaifah. Air mata makin giat membasahi pipi. Jiwaku dirasuk sedih yang bukan kepalang.
            Terketar-ketar aku menyambut huluran tangan di hadapan. Tanpa memandang siapa gerangan yang menghulurkan, aku sambut jua. Tanpa segan silu, air mata jatuh menitik ke atas tangan lelaki yang sah bergelar suamiku. Lelaki yang salah memilikiku. Alangkah indahnya andai, lelaki itu adalah Ustaz Huzaifah. Ya Allah, bantu aku, Ya Allah.
            Saat kucupan hangat itu singgah di dahiku, aku terasa sebak yang amat. Tak sanggup rasanya mahu membuka mata dan melihat siapa yang selayaknya kutempatkan di hatiku. Apabila daguku didongak sedikit ke atas, mahu tak mahu, aku paksakan juga mata ini untuk beradu pandnag dengannya. Aku terpana! Jantung terasa seakan berhenti mengepam darah. Sejuk mula mencengkam tangan. Aku terpenpam!
            “Ustaz!”
            Ternyata dia senang melihat diriku. Dia tersenyum! Senyuman itu! Rasa bahagia yang menghimpit hati bukan kepalang. Bebab yang tadinya meruntun kalbu, menghilang entah ke mana. Tangannya menyeka sisa air mata di wajahku. Bibirnya tak berhenti mengulum senyum untukku. Ya Allah, mimpikah aku?
            “Isteri abang tak cantik kalau menangis.” Suaranya kelihatan sungguh merdu di pendengaranku. Sungguh, suara inilah yang membuatkan tidurku tak lena. Suara iilah yang membutakan aku hilang arah. Suara inilah yang membuatkan aku hampir nak gila! Suara inilah, suara suamiku yang sah! Suara milik Ustaz Huzaifah.
            Tanpa segan-silu, terus tubuh itu kurangkul kemas seakan tidak mahu kulepaskan lagi. Aku tak tahu apa yang merasuk diri ini sehingga bertindka sedemikian rupa. Yang aku tahu, aku benar-benar bahagia. Syukur pada-Mu, Ya Allah!
            “Ingat, perempuan yang baik, untuk lelaki yang baik..”
            “Surah Annur, ayat 26..” sambungku setelah rangkulan dileraikan. Aku menoleh ke sebelah apabila terdengan suara emak berdehem-dehem.
            Terus aku peluk tubuh tua itu. Emak mengusap-usap bahagian belakang tubuhku. Pelukan makin dieratkan.
            “Terima kasih mak, terima kasih banyak-banyak. Dahlia sayang emak dunia dan akhirat!” ujarku ikhlas dan tiada rasa riak mahupun sombong.
            “Emak pun sayang Dahlia. Sayang sangat-sangat!”
            Kemudian, aku peluk pula tubuh ibu mertuaku. Pantas sahaja aku tidak tahu, rupanya ibu Ustaz Huzaifah menetap jauh di Pahang sedangkan kami di Perak. Apapun, aku amat bersyukur dengan semua ini.
            “Tahniah, Dahlia,” ujar Fatanah yang tersenyum manis tidak jauh dari tempat dudukku. Dia bangun mendapatkanku. Aku tersenyum penuh bahagia. Tubuhku dirangkul kemas. Aku tersenyum lagi.
            “Kau tahu semua ini kan, Fatanah?” tebakku mengundang senyum di wajahnya. Dia mengganguk.
            “Maafkan aku, Dahlia. Aku tahu yang Ustaz Huzaifah memang berhasrat mahu memperisterikan kau. Aku minta maaf, kerana turut sama bersekongkol dengan mereka. Aku doakan kau bahagia dengan dia,”
            “Habis, siapa bakal suami kau, itu?”
            “Ustaz Fikri. Senior aku sewaktu menuntut di Mesir dahulu.”
            Jawapan Fatanah benar-benar membuatkan aku terasa lapang dada. Hilang pergi semua kisah duka dan hiba yang kupendam selama ini. Tak sia-sia aku bersabar dan ikhlas dengan qada; dan qadarnya. Kini, aku benar-benar bahagia. Sungguh aku gembira apabila akulah pilihan hati Ustaz Huzaifah.
  
TAMAT