Thursday, July 25, 2013

Jangan Jatuh Cinta - Bab 20



20
            Bilikku yang baru hampir sama besarnya dengan bilikku di rumah pak Lang dahulu. Cumanya, bilikku ini siap dilengkapi dengan penghawa dingin. Dekorasinya moden. Segan pula rasanya. Langsung tidak punya sebarang talian dengan kak Dahlia, tetapi duduk menumpang di rumahnya. Kak Dahlia nampak mengalu-alukan kehadirian aku di sini.
            Bagasi yang penuh mula aku punggah. Mengemasnya kembali. Asalnya aku hanya mahu menunpang untuk sehari dua. Tapi kak Dahlia mahu aku menyewa terus bilik di rumahnya. Dia tinggal seorang diri. Bagus juga kalau punya teman. Kata-kata kak Dahlia terimbas. Oleh kerana kak Dahlia menawarkan sewa yang berpatutan, maka aku bersetuju untuk menetap terus di rumahnya sehingga urusanku di sini selesai.
            Pintu bilikku diketuk walaupun terbuka luas. Kak Dahlia memang sopan. Aku memberikan sebuah senyuman padanya.
            “Boleh akak masuk?”
            “Masuklah kak. Ini bilik akak juga.”
            “Itu dulu. Sekarang Ana dah sewa, so dah jadi bilik Ana.” Kak Dahlia melangkah masuk.
            Betul juga cakap kak Dahlia. “Dah lama kak Dahlia duduk sini?”
“Taklah, baru dua bulan. Akak baru beli rumah ni.” Jelas kak Dahlia.
Beli? Rasa kagum menyelinap masuk dalam diri. Muda-muda dah boleh beli rumah sendiri. Itu tidak mustahil kerana kak Dahlia punya perniagaan. “Beraninya kak Dahlia duduk seorang. Mak dengan ayah kak Dahlia mesti duduk jauhkan?” aku hanya mengagak. Jika emak dengan ayahnya ada di sini, pastilah kak Dahlia tinggal dengan keluarganya. Aku faham, ada kalanya, tuntutan kehidupan membuatkan kita terpaksa berjauhan dengan keluarga.   
            “Mak, ayah akak ada dekat KL juga.”
            Terhenti langsung tanganku yang sibuk mengeluarkan baju-baju dari bagasi. Terkejut. Tidak sangka. Andaianku tidak benar. “Habis tu, kenapa kak Dahlia tak duduk dengan keluarga?” soalku, ingin tahu.
            Kak Dahlia tidak menjawab. Dia hanya menundukkan wajahnya. “Wah, banyaknya lolipop. Suka makan loliloplah ni.” Topik bertukar dengan pantas.
            Aku pula terus memandang lolipop yang bertaburan dalam bagasi. Semua lolipop pemberian abang Naim. Satupun tidak aku tinggalkan, melainkan balang kaca yang aku beli. Balang itu tidak bernilai sama sekali. Jadi tidak perlu di bawa. Ingatan pada abang Naim kembali lagi.
            “Boleh akak ambil satu?”
            “Tak boleh.” Pantas aku tutup bagasi. “Sorrylah kak Dahlia. Lolipop ni tak boleh makan.” Lekas aku minta maaf. Tidak mahu kak Dahlia menganggap bahawa aku seorang yang kedekut.
            “Kenapa pula?”
            “Sebab...” aku tidak berjaya menjawab. Jadi aku diam. Sama seperti kak Dahlia tika gagal menjawab pertanyaanku.
            “Sebab pakwe yang bagikan?” tepat tekaan kak Dahlia.
            “Mana kak Dahlia tahu?” pelik aku dibuatnya. Boleh pula kak Dahlia membaca hatiku.
            “Mestilah akak tahu, akak makan garam dulu daripada Ana tau.”
            Kami sama-sama ketawa. Tidak ada apa yang pelik. Setiap manusia mempunyai kisah cinta masing-masing. Tersendiri dan eksklusif buat diri.
            “Banyak lagi ke yang nak kemas?”
            “Banyak juga. Kenapa kak?” aku bangun. Mahu menempatkan baju-baju yang aku keluarkan dari bagasi ke dalam almari.
            “Tak ada apa. Akak nak ajak Ana keluar makan. Kalau Ana sibuk, tak apalah. Akak bungkuskan, ya. Ana nak makan apa?”
            Aku renung wajah mulus kak Dahlia. Layanannya sama macam layanan seorang kakak kepada adik. Sangat mengharukan. “Tak apalah kak. Nanti Ana beli sendiri.” Aku menolak. Bukan kerana tidak lapar. Tapi aku tidak mahu menyusahkan kak Dahlia.
            “Ish, janganlah macam tu. Alang-alang akak nak keluar ni, biar akak belikan sekali. Ana nak makan apa? Nasi goreng boleh?”
            “Bolehlah kak. Apa-apapun tak apa.” akhirnya aku akur.
            “Okey, akak pergi dulu ya.”
            “Terima kasih kak Dahlia.”
            “Sama-sama.”

TELEFON bimbit aku belek lagi. Beberapa hari sudah berlalu sejak aku meninggal rumah Pak Lang. Tapi aku masih tidak berhenti menunggu panggilan daripada abang Naim. Andai abang Naim tidak mahu aku kembali sekalipun, setidak-tidaknya dia boleh telefon, bertanyakan khabar aku. Itu sudah cukup memuaskan hati. Tidakkah dia risaukan keadaan aku yang bersendirian di kota besar ini? Penantian itu sememangnya satu penyiksaan kerana aku sedang tersiksa dalam diam.
            Susuk tubuh encik Afdhal kelihatan. Yakin, pasti aku orang pertama yang dia akan cari. Aku pura-pura tidak nampak. Tangan menghidupkan suis komputer. Lebih baik aku selesaikan tugasan yang abang Joe berikan. Mengemaskini data-data Arena Printing.
            Pandanganku singgah sebentar pada encik Afdhal. Dia tidak datang padaku. Dia bermuram durja. Terus duduk di mejanya. Mesti ada yang tidak kena. Cuma aku tidak pasti masalah berpunca dari mana? Alam nyata, atau dunia halusinasinya?
Asalnya aku tidak ingin menghiraukan. Tapi aku pula jadi tidak senang. Ada saja yang salah dengan kerjaku. Maknanya aku harus selesaikan masalah encik Afdhal terlebih dahulu. Andai masalah dia selesai. Kekalutan aku juga selesai.
Kerusi aku gerakan. Mendapatkan ruang yang lebih besar untuk bangun. Aku berjalan menuju ke ruang kerja encik Afdhal. Dia sedang menangkup mukanya dengan tapak tangan. Nampak besar masalah yang dihadapi.
“Encik Afdhal.” Panggilku. Langkah masih belum lengkap sepenuhnya. Masih ada beberapa lagi tapak perlu disudahkan sebelum betul-betul sampai ke meja encik Afdhal.
Encik Afdhal menunjukkan wajahnya yang nampak tidak bersemangat. Aku terus duduk pada kerusi tetamu, menghadap encik Afdhal.
“Kenapa ni bos? Macam ada problem aje.” Tanpa dalih, aku bertanya. Aku mahukan jawapan segera.
Renungan mata encik Afdhal begitu tajam. Menikam pandanganku. Soalan yang aku ajukan tidak dijawab. Apa yang berlaku?
“Apa ni bos, pandang saya macam tu. Apa yang daha jadi? Cuba bos cerita kat saya ni. Mana tahu saya boleh tolong settle kan.” Aku berusaha mematikan pandangan yang membuatkan aku berasa tidak selesa.
“Kenapa kau bagi harapan palsu kat aku?”
“Harapan palsu?” buntu aku dibuatnya. Sudah! Apa pula kaitannya dengan aku. “Bos cakap apa ni?” aku betulkan duduk. Bahang panas mula terasa.
“Dahlia tak suka kat aku kan?” meja dihentak dengan tangan. tegang wajah encik Afdhal.
 Aku cuak. Posisi badan yang tadinya duduk dalam keadaan lurus, kini sudah berubah. Kenapa pula encik Afdhal nak naik hantu? “Bos, rilekslah... Bawa bertenang. Tarik nafas dalam-dalam... lepas.” Aku bertindak menjadi trainer bertauliah. Encik Afdhal harus ditenangkan terlebih dahulu sebelum bertanya lanjut. “Apa yang jadi sebenarnya? Cuba bos cerita. Barulah saya faham.” Aku beranikan diri bertanyakan kisah sebenar. Bagaimana encik Afdhal boleh tahu tentang hal itu? Tak mungkin kak Dahlia yang beri tahu. Itu mustahil!
            “Aku tegur Dahlia tadi. Tapi dia buat tak tahu aje. Senyumpun tak ada.” adu encik Afdhal.
            “Bos tegur cik Dahlia?” aku agak terkejut. Tapi tidak sehebat mana. Alahai! Itu rupanya. Encik Afdhal... encik Afdhal. Aku ingatkan apalah tadi. Buat penat jantung aku terlompat-lompat aje. “Siapa suruh bos tegur?” sendiri yang cari pasal.
            “Kau juga yang suruh aku tegur dia hari tu.”
            “Ye ke?” aku imbas masa.  “Bos ni, cepat sangat salah faham. Bos tahu tak kenapa cik Dahlia tak tegur bos balik?”
            Encik Afdhal menggeleng. “Kau tahu ke kenapa?”
            “Mestilah saya tahu. Sekarang nikan saya duduk dengan cik Dahlia.” Aku mendabik dada. Kononya ketahuan. Padahal, saat ini aku hanya mahu menyelamatkan keadaan. “Semua salah bos.”
            “Apasal aku pula?”
            “Cik Dahlia tu sebenarnya marah sangat dekat bos.”
            “Apahal pula nak marah aku?.”
            “Itulah bos... Hari-hari bos dapat nota, tapi bos buat-buat tak tahu aje.” Aku buat penjelasan. “Cik Dahlia nak sangat tengok bos pakai baju colour lain. Bos tak buat pun. Hari-hari colour hitam. Cubalah sekali sekala bos tukar. Pakailah colour biru ke, pink ke, hijau ke, kan ada banyak warna.” Lancar sahaja ayat itu keluar. “Satu lagi, Cik Dahlia suruh bos rajin senaman pun bos tak ikut. Mana cik Dahlia tak merajuk.”
            “Sebab tu ke?”
            “Ha’ahlah. Cik Dahlia mengadu kat saya.” Aku mengiyakan. “Kalau bos terus macam ni, nampak gayanya bos tak ada peluanglah nak dapat cik Dahlia tu. Bos jangan main-main, cik Dahlia tu ramai peminat!” aku bagi amaran.
            “Habis tu aku nak kena buat apa sekarang?”
            “Nak buat apa lagi bos? Lupakan ajelah cik Dahlia tu.”
            “Lupakan Dahlia? Mana boleh. Takkan kau tak ada jalan lain?” encik Afdhal sudah gelabah.
            Aku sedaya upaya menahan tawa. Tadi bukan main marah lagi. Sekarang kecut perut pula bila aku suruh lupakan kak Dahlia. Seronok juga dapat kenakan encik Afdhal sekali sekala. Hati ketawa besar, cuma tidak kedengaran di telinga.
              “Payahlah bos. Sebab bos tak nak dengar cakap. Bos nak ikut kepala bos aje. Macam mana saya nak tolong?” aku geleng kepala berkali-kali. Menampakkan betapa rumitnya keadaan untuk membantu.
            “Eh, mana ada. Kadang-kadang aku dengar juga cakap kau.” Encik Afdhal menafi keras.
            “Susahlah bos...” aku masih bermain.
            Encik Afdhal muram kembali. Dia termenung sambil menampar pipinya berkali-kali. Melihatkan keadaan itu, aku pula jadi kalah. “Nantilah saya tolong fikir-fikirkan. Bos jangan kacau saya dua, tiga hari ni.”
            “Betul ni?”
            “Betul. Bos duduk diam-diam. Biar saya buat perancangan. Yang penting, mulai esok, bos kena jogging setiap pagi. Pusing kawasan sini sudahlah. Asalkan cik Dahlia nampak yang bos betul-betul serius.”
            “Okey.” Encik Afdhal bersetuju.
            Aku senyum. Tak sangka dia akan bersetuju. Senaman penting untuk kesihatan mental dan fizikal. Itu yang abang Naim ajar dahulu. Ada banyak lagi yang perlu dilakukan. Aku akan usahakan satu persatu. Harap masa membenarkan aku membantu sebelum aku perlu meninggalkan situ buat selama-lamanya.

KAK DAHLIA termenung mendengar kisah yang aku cerita. Kerana kak Dahlia sudah bertanya, maka aku ceritakan semua yang aku tahu pasal encik Afdhal. Impaknya, kak Dahlia jatuh simpati pada kehidupan encik Afdhal.
            “Patutlah Ana beriya-iya nak tolong encik Afdhal.” Kak Dahlia mendongkat dagu.
            Aku senyum sendiri. Akhirnya nama encik Afdhal meniti di bibir kak Dahlia. Kalau beberapa hari yang lalu kak Dahlia sentiasa mengelak daripada mendengar cerita tentang encik Afdhal, tapi tidak hari ini. Dia hanya duduk diam tatkala aku bertanyakan mengapa dirinya tidak mengendahkan teguran encik Afdhal? Dan persoalan itu akhirnya membawa pada perbualan yang tidak berpenghujung.
            “Kesiankan, Ana. So, apa plan Ana sekarang?”
            “Ana tak buat plan hebat-hebatpun, kak. Sebab Anapun bukannya pandai benda-benda macam ni. Misi Ana cuma nak bawa encik Afdhal berubat. Sebab abang Joe cakap, encik Afdhal tak nak berubat. Buat rawatanpun sekali dua je. Mana boleh macam tu.” Secara ringkas aku menerangkan. “Kalau Ana nampak dia duduk seorang kat office tu, memang Ana kena turun padanglah, kacau dunia dia. Ana nak dia lebih banyak hidup dalam dunia nyata.”
            “Dah berjaya bawa jumpa pakar ke belum?”
            “Mana ada kak. Encik Afdhal tu, bukannya nak dengar cakap orang lain. Sebab tu saya nak kak Dahlia tolong. Dia sukakan kak Dahlia, jadi kalau kak Dahlia suruh apapun, mesti dia buat.” Aku yakin seratus peratus.
            “Apa-apapun, Ana kena bagi tahu akaklah, sebab akak memang kosong.”
            “Selain nota-nota yang saya minta kak Dahli tulis tu, boleh tak akak buat satu perkara lagi?”
            “Ana nak akak buat apa?”
            “Kalau boleh, Ana nak kak Dahlia terima encik Afdhal.” Sebuah harapan aku perdengarkan.
            Kak Dahlia diam. Suasana jadi sunyi sepi.
            “Ana tahu kak Dahlia dah bertunang. Maksud Ana, Ana nak kak Dahlia terima encik Afdhal sebagai kawan. Barulah senang kita nak tolong dia. Boleh kak?” aku betul-betul mengharap.
            Panjang kak Dahlia menghela nafas. “Insya’ALLAH, akak cuba.”
            Jawapan yang dituturkan kak Dahlia menjadikan aku lega. Kini aku tidak lagi bersendirian. Kak Dahlia ada bersama. Semoga jalan pada masa hadapan lebih mudah untuk ditempuhi. Dengan niat yang baik, ALLAH SWT pasti akan membantu.  

TIGA hari seperti yang diarahkan untuk encik Afdhal duduk diam sudah berlalu. Tiga hari itu jugalah aku aman daripada gangguan encik Afdhal. Buat pertama kalinya dia mendengar kata. Setiap kali kami bertemu, encik Afdhal hanya menampakkan senyuman. Dia langsung tidak bersuara. Nampaknya, dia betul-betul mengharapkan bantuanku. Aku nampak kesungguhan pada wajah encik Afdhal. Dia benar-benar mengharapkan cinta kak Dahlia. Kalau tidak, dia tidak akan sanggup menghabiskan masa pagi dengan berjogging sendirian. Abang Joe sendiri yang memaklumkan. 
            “Boleh ke ni, Ana?” abang Joe tidak yakin.
            “Insya’ALLAH, abang Joe. Apapun, kita kena cuba. Sampai bila encik Afdhal tak nak bercampur dengan orang luar? Kitapun tak tahu sampai bila kita hidup. Jadi sementara kita ada ni, kita kena biasakan encik Afdhal bergaul dengan masyarakat. Abang Joe pun tak nak encik Afdhal bergantung pada abang Joe sampai bila-bilakan?”  
            Abang Joe masih memikir. Berat sungguh dia mahu melepaskan tugas itu pada encik Afdhal. Sudah pasti abang Joe tidak yakin kerana selama ini dia yang menguruskan semua. Tiba-tiba pula aku memberi saranan begini. Tapi padaku, hal itu tidak sesukar mana. Sekadar menghadiri perbincangan dengan wakil TF Trading mengenai cetakan katalog baru. Aku yakin encik Afdhal mampu melakukannya. Masa encik Afdhal perlu diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah. Dia tidak akan hanya terikat dengan dunianya. Ini akan memudahkan proses untuk sembuh.
            “Okey. Abang Joe percayakan Ana.” Bersetuju juga abang Joe sudahnya.
           
SENYUM aku memandang katalog yang memuatkan maklumat percetakan Arena Printing. Katalog ini akan dibawa setiap kali temujanji dengan pelanggan dipenuhi. Katalog ini jugalah yang akan aku serahkan kepada encik Afdhal. Apapun caranya, aku akan memaksa encik Afdhal menguruskan sendirian temujanji kali ini.
            Encik Afdhal seakan mengerti yang aku sedang mencarinya. Turun saja tangga, wajahnya sudah kelihatan. Makin mudah kerja aku jadinya.
            “Kau dah fikirkan jalan ke?” soalan pertama daripada encik Afdhal singgah di telinga.
            “Jalan apa bos? Jalan raya ke?” sengaja aku buat-buat tak faham. Padahnya kepalaku ditolak dengan tangan.
            “Aku cakap betul-betul ni.” Garang encik Afdhal menunjukkan taringnya.
            “Dahlah, saya dah fikir dah. Saya ni jenis yang menepati janji.” Aku gosok kepalaku yang ditolak tadi.
            “Hah, macam mana? Apa rancangannya?” teruja encik Afdhal ingin tahu.
            “Alah, bos tunggu ajelah. Sampai masanya nanti, bos tahulah sendiri.”
“Ada pula macam tu. Bagilah tahu aku!” encik Afdhal mendesak.
“Saya cakap tak boleh, maknanya tak bolehlah bos. Nanti orang lain dengar macam mana? Habislah rancangan kita.” Kali ini aku bersuara perlahan. Sebenarnya tidak ada satupun rancangan yang berjaya diaturkan oleh kepala otak. Aku hanya bercakap kosong. Isinya langsung tidak ada.
            Memang aku tidak ada rasa bersalah, kerana aku sudah menyatakan apa yang sepatutnya pada kak Dahlia. Lagipun aku hanya berbohong dengan menyatakan kak Dahlia marah padanya. Hanya encik Afdhal yang terlalu berfikir sehingga aku didesak mencari jalan untuk pulihkan keadaan. Padahal tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Jadi aku berlepas tangan.
“Bila rancangan nak berjalan?”
“Bila-bila masa aje bos. Tapi untuk menjayakan rancangan tu, bos kena buat satu perkara.” Aku senyum lagi. Kalau encik Afdhal jenis yang bijak pandai, pasti dia sudah dapat melihat senyumanku yang punya niat sebaliknya. Inilah peluang terbaik. Aku takkan lepaskannya.
“Buat apa pula?”
“Senang aje. Bos kena pergi TF Trading.”
“Nak pergi sana buat apa?”
“Bos kena pergi deal pasal projek baru. Make sure bos dapat projek tu. Nah ni katalognya.”
“Apasal pula aku? Joe mana?” encik Afdhal mula mempersoal.
Katalog yang aku hulurkan tidak bersambut. “Inikan rancangan kita, takkan nak libatkan abang Joe pula? Bos tahu tak, betapa susahnya saya nak pujuk abang Joe, biarkan bos yang uruskan benda ni? Bos ingat senang, ke?” giliran aku mempersoal. “Sekarang ni, bos nak buat ke, tak nak? Kalau tak, saya batalkan aje rancangan nak pujuk kak Dahlia.” Ugutan terpaksa aku perdengarkan. Aku tidak punya cara lain. Encik Afdhal perlu bersetuju.
Encik Afdhal memadang aku dari atas hingga bawah. Berkali-kali. “Kenapa aku rasa macam kau nak kenakan aku, hah?”  
Alamak! Adakah Encik Afdhal dapat menghidu? “Kenakan apa pula ni bos? Sampai hati bos tuduh saya macam tu. Saya ikhlas nak tolong bos ni.” Terpaksa aku tunjuk rajuk.
“Okey. Kalau kau sengaja nak kenakan aku, siap kau, Gomez!” encik Afdhal menayangkan jari telunjuknya.
Eleh! Ingat aku takut sangat dengan jari telunjuk dia. Aku pun ada jari telunjuk juga. Aku bisik sendiri. Hanya hati yang tahu. “Encik Afdhal kena percayakan saya.”
Encik Afdhal tidak lagi bercakap. Muncungnya panjang. Maklumlah, kena buat benda yang dia tak suka. Pasti berdepa panjang muncungnya. Katalog yaang aku hulurkan tadi dirampas kasar. “Bila nak kena jumpa ni?” suara encik Afdhal juga kasar.
“Pukul 10 nanti. Jangan lambat.” Rancanganku berjaya. Dapat mengarahkan encik Afdhal begitu, terasa seperti Arena Printing ini aku yang punya. Andai encik Afdhal berjaya mendapatkan projek dalam temujanji itu, pasti abang Joe akan lebih yakin dengannya selepas ini. Selemat berjaya encik Afdhal. Aku sekadar mengucapkannya di dalam hati.

PESANAN yang disampaikan oleh abang Zack membuatkan mee hailam tidak berjaya aku telan. Kata abang Zack, encik Afdhal menyuruh aku bertemu dengannya sesegera mungkin. Bersemuka dengan encik Afdhal itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah padaku ialah, tempatnya. Encik Afdhal sedang menunggu aku di atas bumbung bangunan.
            Tiba-tiba pula mahu berjumpa. Apakah ada kena mengena dengan arahanku pagi tadi? Encik Afdhal dah tahu ke? Apa yang aku nak jawab nanti? Sibuk otak memikirkan jawapan. Tak adalah tergagap nanti. Aku masih berkira-kira. Sudahlah matahari terik memancar. Duduk pula atas bangunan. Memang sengaja nak membakar kulit. Kalau aku buat tak tahu boleh tak? Rasa macam tak boleh. Karang mengamuk pula dia.
            Habiskan makan dululah. Aku membuat keputusan. Membiarkan encik Afdhal terus menunggu. Laju aku menyuap masuk mee hailam ke dalam mulut. Belum sempat mengikut sunnah, 44 kali kunyahan, aku terlebih dahulu menelan.
            Selesai membuat bayaran aku bergegas keluar dari restoran. Mahu balik ke Arena Printing. Kaki tidak jadi melangkah apabila terserempak dengan kak Dahlia, kak Lin dan dua lagi yang lain, yang memakai pakaian seragam sedondon dengan kak Lin.
            “Eh, Ana... kelam kabut ni nak pergi mana?” kak Lin menegur.
            “Sakit perutlah kak Lin.” Melihat kak Dahlia ada sama, mulut tidak mahu berkata benar. Entah kenapa? Takut kak Dahlia salah sangka agaknya.
            “Akak ada benda nak cerita dengan Ana ni. Tapi tak apalah, nanti kita cerita dekat rumah.” Kak Dahlia masuk dalam perbualan.
            “Okey. Ana pergi dulu ya. Dah tak tahan sangat ni.” Aku kerutkan wajah sambil memegang perut. Kemudian aku teruskan perjalanan. Terntanya-tanya juga apa yang ingin kak Dahlia kisahkan? Tapi tak mengapa, aku akan tahu menjelang malam nanti.
            Sampai saja atas bumbung, langkah kakiku mengecil. Encik Afdhal membelakangkan aku.  Tekun dia memandang permandangan dari atas bangunan. Kalau dilihatkan daripada cara encik Afdhal berdiri, aku rasa encik Afdhal dalam keadaan tidak tenteram. Aku jadi gerun tiba-tiba.
            “Encik Afdhal cari saya?” aku berkelakuan formal. Agak jauh jarak antara aku dan encik Afdhal. Aku tidak mahu menghampiri. Itu tidak selamat bagiku.
            Encik Afdhal berpusing. Tangannya masih memeluk tubuh. Matanya merah. Menangiskan dia? Aku sendiri tidak pasti. Sedangkan dia enggan  bercakap apa-apa, apakah sebabnya aku dipanggil untuk menghadapnya? Dari tadi dia hanya memerhatikan aku.  
            “Encik Afdhal nak jumpa saya?” aku soal sekali lagi.
            Langkah encik Afdhal, mara mendekati. Kakiku pula tidak dapat bergerak untuk mengundur. Sepertinya sudah digam ketat.
            “Kau tahu apa jadi tadi?”
            Aku menggeleng selesai mendengar soalan yang diajukan. Memang aku tak tahu. Apa yang telah terjadi? Detik semakin mendebarkan.
            “Kau...”
            Ayat itu hanya mati di situ saja. Encik Afdhal tidak meneruskan kata. Membuatkan aku memikirk sendiri kemungkinan-kemungkinan yang ada. Kenapa pula dengan aku? aku masih menanti ayat itu dihabiskan.
            “Kau memang penyelamat aku!” berjaya juga ayat itu disudahkan.
            Aku tercengang? Aku penyelamat? Bila masa pula aku memberikan khidmat menyelamat? Aku bukan ahli bomba.
            “Kau banyak tolong aku. Terima kasih. Aku sayang kau sangat-sangat. Rasa macam nak peluk-peluk aje kau!”
            Terus tanggal gam yang tadi melekatkan tapak kaki. Aku berundur mendengar ayat akhir yang diluahkan encik Afdhal. Nak peluk aku? ingat aku apa? anak patung beruang? Mujur saya ayat itu keluar dari mulut seorang yang tidak waras. Maka aku anggap saja dia berkata begitu kerana otaknya gagal berfungsi dengan baik saat ini. Tapi apa yang dah berlaku? Aku memang tak faham? “Apa ni bos? Saya tak fahamlah.” Aku bertanya kerana aku sudah tidak kuasa memikir sebabnya.
            “Rancangan kau dah berjaya. Otak kau memang genius. Macam mana kau boleh fikir nak buat semua tu?” Dengan penuh teruja encik Afdhal bercerita.
            “Apa yang saya dah buat?” jawapan yang diberikan encik Afdhal, sedikitpun tidak membantu. Aku memang tak tahu. Bertambah pening kepalaku.
            “Alah, kau ni buat-buat tak tahu pula. Apapun kau memang terbaiklah Gomez.”
            Aku sudah tidak berdaya untuk bertanya. Tidak ada jawapan yang aku peroleh.
            “Aku tak tahu nak cakap apa? Dah lama aku tak rasa macam ni.” Encik Afdhal mengesat matanya. “Okeylah, kau pergilah turun. Aku nak tunggu mak dengan ayah aku datang. Nanti aku jumpa kau lagi. Pergi... pergi..”
             Aku dihalau turun. Langkahku perlahan meninggalkan pergi sambil kepala terteleng, masih memerhati encik Afdhal. Gembira sungguh dia. Dan aku, sampai sekarang tidak tahu puncanya. Aku tidak pernah merancang apa-apa. Jadi apakah yang terjadi sebenarnya?

Bersambung...

Kata AH :
Alhamdulillah, selamat sudah entry 20. Masuk saja entry 20, itu bermakna, kisah JJC bakal diberhentikan bila-bila masa saja lagi. membuatkan AH terfikir sendiri, setelah JJC berhenti, apakah masih ada rakan2 pembaca yg rindukan JJC? Insya'ALLAH jumpa next entry. Terima kasih atas komen idea dan semangat dari semua pembaca pd entry yg lepas.

10 comments:

Anonymous said...

Alaa cite ni dh nk stop ke?cite ni best sgt.smbung sikit lg xblh ke kak adah?

Unknown said...

dah kenapa plk si afdhal nie..
haii.. tak plan pape pun menjadi je rancangan nyee.
memang hebat ana nie..
hihihi..
panjang lg cite nie. nasib naim pun blm tahu lg..
ntah2 dahlia nie tunang naim.. oh men!!

Anonymous said...

Nk satu lg n3 pls AH

nana said...

Kesian Naim tak ramai yang pilih dia buat Ana. Mohon Adah buatlah ending yang molek buat dia walaupun bukan dgn Ana.

Anonymous said...

hahah..sukanya watak afdal yg psycho nih...ape pon smbg lah n3 baru ..cpt sikit x sbr nax tnnggu...mnx2 afdal jth cnta kat ana

Anonymous said...

mstilah akan rindukan jjc ni..hari2 jengah blog AH untuk tengok entri

-chah husain-

Anonymous said...

nak lagi banyak2 n3 ana-afdhal...jalan cerita yang sangat menarik...tahniah kepada penulis kerana menghasilkan sebuah cerita yang sangat hebat yang buat akak suka....


...DG.SITI...

Anonymous said...

thnx fpr entry 20. tp nak kene berhenti lak... baru nk masuk intermission da nk stop lak... sedih nyer... sure rindu giler ngan JJC pas ni...
psyscho yg hammat si afdhal ni... sure got simeting releted ngan apa yg kak dahlia nk story mory ngan Ana kat umah nt kan.... jeng3x... misteri nusantara JJC sungguh... AH nk minta byk2 entry lagi sebelum stop yer... -Dendalion White-

Kak Sue said...

Kalau nak stop pun tunggu kami tahu adakah Cik Dahlia tu tunang abang naim... ataupun cik Dahlia akan jatuh hati pd en afdhal... dan Abang naim akan kembali pada ana semula... bagi yg happy sikit...
sentiasa merindui JJC....

shahira afiza said...

dh xnk sambung ke?

Post a Comment