15
Aku membatukan diri. Tanda protes.
Baru berangan dapat tidur di atas katil empuk. Ingatkan abang Naim yang
menyapa. Rupa-rupanya makhluk yang tak punya hati perut tu. Tadi beria benar
menghalau aku. Sekarang, tiba-tiba pula muncul di sini, duduk di sebelah.
“Eleh, merajuk la tu.”
Berusaha
keras encik Afdhal mahu memancing aku bersuara. Tapi semangat aku lebih kental.
Cakaplah apapun, aku tidak punya minat untuk berbual-bual dengannya.
“Kau
ni kan... Dahlah tak padan dengan nama orang putih. Perangai entah apa-apa.
Sombong, pemarah, bongkak. Buruk perangai betul!.”
Telingaku mula panas apabila
diserang bertubi-tubi. Mentang-mentanglah aku mendiamkan diri. Dia ambil
kesempatan pula. Ini tak boleh jadi. Tak boleh dibiarkan.
“Kepala keras macam batu!” tambahnya
lagi.
“Memanglah semua orang kepala keras
macam batu. Encik Afdhal pernah jumpa orang yang kepala lembik macam jeli ke?”
kali ini aku balas tanpa sedikitpun memandang encik Afdhal.
“Ha, bolehpun bercakap.”
“Mestilah boleh. Saya bukan bisu.” Pantas
aku jawab. Tidak mahu lagi mendiamkan diri.
Encik Afdhal ketawa senang hati.
Seronok benar dia dengan jawapan-jawapan balas yang aku berikan.
“Marah?” tanya encik Afdhal.
Kali ini aku diam. Dia boleh lihat
sendiri dengan matanya reaksi aku saat ini. Tidak perlu aku menjawabnya.
“Encik Afdhal buat apa kat sini?
Pergilah balik, tidur.” Giliran aku menghalau.
“Stesyen ni bukan kau yang punya
kan? Bus stop ni pun bukan kau yang
bina kan? So tak payahlah kau nak
halau aku. Ikut suka akulah nak tidur dekat mana.”
Aku terdiam lagi. Betul juga kata
encik Afdhal. Aku tidak punya hak ke atas stesyen ini. Nampaknya untuk tidak
terus bersama bos senget itu, akulah yang perlu angkat kaki, meninggalkan
stesyen. Kaki mula berdiri tegak. Bersedia untuk melangkah.
“Hah, nak pergi mana pula tu?” encik
Afdhal turut bangun sama.
“Tak payahlah pedulikan saya. Encik
Afdhal tidur aje kat situ. Saya nak pergi buat stesyen saya sendiri.”
“Kau jangan nak mengada-ngada.
Duduk!”
“Tak nak.” Kemudian aku terus
berjalan pergi.
“Suka hati kaulah. Tapi jaga-jaga,
kau tu perempuan. Jangan sampai jadi mangsa. Sini kawasan hitam.”
Kata-kata encik Afdhal yang begitu
kuat kedengaran membuatkan kakiku enggan terus mara. Kawasan hitam? Terus
hatiku berdebar. Kalau aku terus melangkah, ini bermakna aku sedang
membahayakan diri. Jadi sepantas kilat aku berpatah balik.
Tapi kali ini aku tidak duduk di
tempatku tadi. Encik Afdhal sudahpun menguasai tempat dudukku dengan aksi
baringannya. Aku duduk selang dua kerusi dari tempat duduk asal. Rasa macam dah
lama duduk di situ. Tapi apabila aku tengok jam, baru pukul satu setengah.
Masih lama lagi sebelum matahari tunjukkan wajah. Takkan aku nak duduk di situ
sampai pagi? Sering kali aku menyesal dengan keputusan yang aku buat. Kalau aku
balik tadi mesti semua ni takkan terjadi!
Encik Afdhal sudah bangun daripada
pembaringan. Dia berjalan menghampiriku dan memilih untuk duduk pada kerusi
yang terletak bersebelahan dengan kerusiku.
“Kenapa kau lari rumah?”
“Siapa yang lari rumah?” aku peluk
beg tangan.
“Kaulah, takkan aku pula.”
“Mana ada lari. Cuma malam ni tak ada
rasa nak balik.” persepsi encik Afdhal yang salah, cuba aku betulkan. Aku tidak
lari rumah, dan langsung tidak berniat berbuat begitu.
“Habis tu? Kau gaduh dengan emak
bapa kau ke?” lagi andaian daripada encik Afdhal.
“Taklah. Saya tak boleh nak balik.”
“Kenapa tak boleh balik pula?”
“Sebab saya tak nak balik.”
“Sekejap tak nak balik, sekejap tak
boleh nak balik. Mana satu ni? Kau nak aku tinggalkan kau seorang kat sini?”
“Tak nak!” kuat suaraku. Sudah dia
menakut-nakutkan aku tadi, sekarang nak tinggalkan aku pula. Aku takkan
benarkan.
“Baik kau cerita cepat. Kalau tak
aku balik...” encik Afdhal bangun dengan gerak perlahan. Berniat mahu mengugut.
“Esok abang Naim nak bertunang. Tak
sangguplah tengok dia bertunang dengan perempuan lain.” Aku berterus terang.
Biarlah. Lagipun ada juga tempat untuk luah perasaan.
Encik Afdhal duduk kembali. “Abang
Naim? Bakal tunang kau tu ke?”
Aku mengangguk. Tepat tekaan encik Afdhal.
“Kata suka kat aku. Yang sedih
sangat lelaki tu nak bertunang apasal?” perlahan suara encik Afdhal.
“Apa dia encik Afdhal?” sengaja aku
soal kembali. Padahal aku dengar apa yang diperkatakan tadi.
“Tak ada apalah. Kau sedihlah ni?”
“Sedihlah.” Aku tunduk. Tak sanggup
pandang encik Afdhal. Hati yang sedang menangis sibuk mengajak mata mengalirkan
titisan jernih.
“Tak payahlah nak berdrama. Kau
bukan suka kat dia pun.”
Aku angkat muka. Memandang encik
Afdhal yang sedang asyik mengoyangkan kakinya.
“Siapa cakap saya tak suka kat dia?”
aku bantah keras penyataan encik Afdhal.
Pandai- pandai aje dia buat kenyataan begitu. Penuh yakin pula tu.
“Buat-buat lupa pula. Hari tu kau
cakap kau suka kat akukan? bukan dia. Kau ni apasal cakap suka putar belit?”
Alamak. Lupa pula kisah hari itu.
Kuat pula ingatan encik Afdhal. Ingatkan dia dah lupa. Ingat lagi dia, cis!
“Iyalah... dah encik Afdhal tak suka kat saya. Saya sukalah kat dia pula.” Aku
cuba menyelamatkan keadaan.
“Aik, cepat betul kau berubah hati.
Mana boleh macam tu?” encik Afdhal nampak tak bersetuju.
“Kenapa tak boleh pula? Lagipun
abang Naimlah satu-satunya lelaki yang sukakan saya kat dunia ni.”
“Mana kau tahu dia satu-satunya
lelaki yang suka kat kau?”
“Saya
tahulah...” aku balas penuh bangga.
“Kalau
dah suka sama suka, apasal tak bertunang
dua aje?” encik Afdhal menjeling.
Aku diam. Itu impianku. Tapi aku
tidak mampu melawan takdir yang tertulis untuk aku dan abang Naim. “Itulah
masalahnya. Suka aje tak cukup untuk hidup bersama.” Perlahan aku suarakan
pandangan. Ya, masih banyak yang perlu dipertimbangkan.
“Ah, peninglah aku layan kisah kau.
Tidur lagi bagus.” Encik Afdhal terus baring atas kerusi. Tidurnya mengiring di
sebelah kanan, berbantalkan tapak tangan kanannya juga.
Aku geleng kepala. Mahu sakit badan
tidur atas kerusi tak rata macam tu. “Bos, nak tidur pergilah balik.” sengaja
aku menguji.
“Diamlah kau Gomez.”
Aku senyum. Bunyinya kedengaran
macam merajuk. Gomez pun, Gomezlah! Asalkan aku rasa selamat.
CAHAYA
lampu kereta sudah jelas kelihatan walaupun dari jarak yang jauh. Lantas aku
bangun, berjalan ke arah kereta yang datang untuk memastikan. Ya, betul kereta
abang Naim. Sempat aku toleh pada Encik Afdhal yang sedang tidur lena. Dari
tadi, posisinya tidak ubah langsung.
Tidak
sanggup pula menunggu sehingga matahari terbit. Maka aku membuat keputusan
untuk menghubungi abang Naim bagi menjemputku pulang. Lagipun rasa janggal
duduk di situ berdua dengan encik Afdhal. Walaupun ditempat terbuka, tapi masih
tetap berdua. Tak elok pula rasanya. Mungkin otakku sudah mampu kembali berfikir dengan waras.
Sempat
juga aku tulis nota terima kasih di atas lengan kiri encik Afdhal sebelum kereta
abang Naim sampai. Memang jenis tidur mati agaknya. Langsung dia tidak sedar
saat aku mencatit nota itu.
Dapat
aku dapat lihat kesan luka pada tangan encik Afdhal ketika aku tekun menulis
ucapan penghargaan. Sepertinya luka itu masih baru. Kalau diukur dengan
pembaris, rasanya ada dalam tujuh ke lapan sentimeter panjang lukanya. Mungkin
dah boleh dikategorikan sebagai kesan kelar. Encik Afdhal ada buat cubaan
mencederakan diri ke? Ish, bahaya betul. Kena cepat bawa berubat ni.
Kereta
abang Naim sudah berhenti. Abang Naim kelihatan tidak ceria. Wajahnya masam.
Tiada langsung senyum untukku seperti selalu. Mungkin dia sedang marah kerana
aku tidak menunaikan janji, dan menghilangkan diri. Aku masuk ke dalam kereta,
kemudian menutup pintu.
Terus
saja kereta abang Naim bergerak setelah pintu ditutup. Mataku memandang encik
Afdhal yang nyenyak tidur sewaktu melintasinya. Semoga dia terjaga sebelum pagi
menjelma. Abang Naim tidak bersuara. Jadi akupun mendiamkan diri. Membuang
pandangan jauh pada ruang gelap di luar. Sunyi sahaja keadaan. Sama sepi macam
hatiku.
“Kenapa
Ana buat abang macam ni?” abang Naim sudah mahu bersuara.
“Ana
buat apa?” soalku kembali. Akukah yang bersalah? Ini urusan takdir, bukan aku
yang mengaturkan segalanya.
“Kenapa
Ana larikan diri?”
“Ana
tak larikan diri. Ana cuma tak nak kecewakan mak lang.”
“Tapi
Ana dah kecewakan abang!”
“Ana
sendiri kecewa, abang Naim. Kalau kita memang tak ada jodoh, Ana tak boleh buat
apa.” aku harap abang Naim faham. Dia lebih matang untuk memahami segala.
“Jadi
Ana tak kisahlah kalau abang bertunang esok?”
Aku
diam. Tidak menjawab. Kalau aku jawab sekalipun, jawapanku tidak akan didengar
sesiapa. Akhinya aku juga yang patah hati.
“Jawablah,
kenapa Ana diam?” abang Naim memaksa.
“Jawapan
Ana dah tak penting. Sekarang ni, abang Naim kena belajar terima kenyataan.
Abang Naim kena cuba cintakan tunang abang Naim. Itu harapan mak lang.” Aku
tunduk. Hati rasa dipukul-pukul ketika meluahkan kata. Sakitnya hanya tuhan
yang tahu. Bertahun-tahun aku menantikan abang Naim. Tetapi khatimahnya, tidak
punya apa-apa. Menjadi sebuah penantian yang sia-sia.
“Abang
tak boleh cintakan perempuan lain, selain Ana. Bukan baru semalam Ana ada dalam
hati abang.” Abang Naim makin memecut laju keretanya.
“Abang
Naim akan bahagia.” Aku sekadar memujuk hati abang Naim.
“Tak
mungkin. Mati hidup balikpun, abang takkan dapat cintakan orang lain. Ana ingat
tu!”
Sudah
tidak ada ayat yang dapat aku tuturkan. Setiap apa yang aku bicarakan, abang
Naim dapat membalasnya dengan mudah. Mungkin adalah lebih baik untuk aku
mendiamkan diri sehingga sampai ke destinasi.
BERIYA-IYA
mak lang mengajak. Tapi aku tetap menolak untuk turut sama dalam rombongan
pihak lelaki. Aku tidak boleh ada di majlis itu. Aku takkan menyertai mereka.
Itu keputusanku.
Abang Naim turun bersama baju melayu
berwarna jingga. Walaupun tidak bersampin, namun abang Naim tetap kelihatan
segak. Cuba kalau dia letakkan sedikit senyuman pada bibirnya, pasti kacak
dirinya lebih terserlah. Kalaulah hari ini merupakan hari aku dan abang Naim,
pasti kami akan bahagia. Jangan bermimpi! Ada suara yang menyedarkan.
Aku cepat-cepat bergerak ke dapur.
Tidak sanggup untuk menghantar pemergian mereka. Tiada apa-apa yang dapat aku
buat di dapur. Semuanya sudah siap berkemas. Untuk tidak disyaki, terpaksalah
aku menyediakan secawan air milo untuk diriku sendiri. Perlahan gerakkanku
dalam misi menyiapkan secawan air. Aku mahu duduk lama di situ.
Sekurang-kurangnya sehingga mereka semua pergi.
Terasa seperti ada kaki yang
melangkah masuk ke dapur. Mungkin mak lang. Aku toleh, untuk memandang.
Sangkaanku silap. Abang Naim rupanya. Dia membuka pintu peti sejuk dan
mengeluarkan jus oren. Gelas yang ada berhampiran denganku pula dicapai.
“Abang tanya Ana buat kali yang
terakhir. Betul Ana nak abang bertunang?”
Aku sudah sebak. Melihat dia hari
ini, bakal menjadi milik wanita lain, membuatkan jantungku sesak. Tapi aku
tidak boleh mengatakan bahawa aku tidak mahu dia meneruskan
pertunangannya. “Ini jalan hidup abang
Naim. Teruskanlah. Ana doakan yang terbaik untuk abang Naim.” Sebenarnya ada
air mata yang mengalir. Segera aku hapuskan. Aku berharap abang Naim tidak
melihatnya.
“Ana bertanggungjawab, atas apa yang
jadi hari ni.” Abang Naim beredar sebelum sempat meneguk jus oren yang
dituangnya.
Aku membatu. Tidak mampu bergerak
lagi.
“Ana,
mak lang pergi dulu.” Laungan mak lang kedengaran jelas.
Ada
bunyi pintu ditutup. Suasana yang tadinya riuh, sudah bertukar sunyi. Aku
terduduk di atas lantai. Menangis sendirian. Tersedu-sedan umpama anak kecil
yang tidak dipenuhi permintaannya. Tiada sesiapa yang dapat mententeramkan diri.
Memujuk hati. Abang Naim, tolong jangan jatuh cinta dengan perempuan lain! Hati
masih berharap. Menyampaikan pesanan yang tidak mungkin mampu abang Naim
dengar.
MINGGU
baru menjelma lagi. Setelah melalui cuti hujung minggu yang sukar, hari ini aku
kembali lagi ke tempat kerja. Walaupun aku bertekad untuk bermula semula dengan
semangat yang baru, semangat itu menjadi runtuh setiap kali menatap wajah abang
Naim.
Sejak bertunang, abang Naim kian
rasa jauh dariku. Dia langsung tidak mahu senyum padaku. Sentiasa saja dia
mengelak ketika kami bertembung. Mungkin abang Naim sedang cuba melupakan aku.
Aku tidak patut muncul di hadapannya lagi. Tapi bagaimana? Aku terpaksa terus
menumpang di rumahnya untuk satu tempoh masa lagi.
Aku letakkan kepala di atas meja.
Mata aku pejam rapat. Letih dengan urusan hidup yang aku rasa lebih banyak
pahit daripada manis. Rasa tidak bermaya. Mereka yang mengalami pastinya
memahami.
“Ana!”
Kepala aku angkat apabila abang Joe
memanggil. Pura-pura aku bersemangat seolah musim luruh sudah berlalu. “Apa
dia, abang Joe?”
“Delivery
order untuk TF Trading hari tu, mana?”
“Delivery
order?” aku memikir. Ha’ah, delivery
order hari tu. Terlupa, mana pula aku letak?
“Ana letak dekat mana? Ana bagi dia
orang sign tak hari tu?” abang Joe
tanya lagi.
“Eh, mestilah bagi, abang Joe.
Kenapa?” aku dapat rasa ada yang tidak kena.
“Dia orang complain. Barang yang kita hantar tak cukup. Itu yang abang Joe nak
tengok DO. Mana DO?”
Risau aku dibuatnya. Mana aku letak
DO tu? Sungguh aku lupa. Otak kembali mengimbas hari berlakunya kejadian.
Gara-gara nak cepat, ikut abang Naim, aku lupa mana DO yang penting itu aku
campak. Alahai...
“Ana tak ada bagi pada abang Joe
ke?” aku bertanya walaupun aku tahu aku langsung tak berjumpa dengan abang Joe
petang itu.
“Tak ada. Ana jangan main-main,
penting tu. Marah Afdhal nanti.” Abang Joe mengingatkan.
“Apa kes ni?”
Encik Afdhal tiba pada masa yang
tidak sesuai. Boleh saja dia menghidu masalah yang ada, lalu sepantas kilat
menjelmakan diri.
“Oh, tak ada apa. Tangan kau dah
okey?” seperti selalu abang Joe cuba menyelamtakn aku.
Encik Afdhal melihat luka pada
tangannya. “Okeylah juga. Apasal kecoh-kecoh ni. Ada yang tak kena ke?” masih
encik Afdhal menyoal. Dia tetap mahu tahu apa yang berlaku.
“Tak ada apa. Aku nak minta DO kat
Ana aje.” Akhirnya abang Joe terpaksa membuka cerita.
“DO yang mana?”
“TF Trading punya DO.”
“Oh... DO tu ada kat aku. Sekejap
lagi aku bagi kat kau. Ingatkan apa tadi.”
Fuh... aku rasa lega. Kat encik
Afdhal rupanya. Bila masa pula aku bagi kat dia? Encik Afdhal sudah pergi.
Tinggal aku dengan abang Joe.
“Kat Afdhal rupanya. Okeylah Ana.
Kalau kerja Ana dah settle nanti, naik atas, ya. Tolong printing department.” Abang Joe juga sudah mahu gerak.
“Abang joe, sekejap.” Aku menghalang
abang Joe melangkah. Ada yang ingin aku tanyakan.
“Kenapa dengan tangan encik Afdhal
tu?” aku soal. Boleh juga aku tahu kebenarannya. Adakah sama dengan apa yang
aku fikirkan.
Abang Joe nampak keberatan mahu
bercerita. Jadi dapat aku andaikan ianya sesuatu yang serius.
“Ada cerita yang Ana tak tahu ke?”
bunyinya macam menyeronokkan, membuatkan aku makin teruja.
“Kalau abang Joe cerita, Ana jangan
sebarkan pula.” Abang Joe sedikit mendekat. “Last week Arena printing kena pecah masuk. Kalau tak silap... hari
rabu rasanya.”
Terkejut aku mendengar berita itu.
“Iya ke abang Joe? Kenapa Ana boleh tak tahu pula? Soalku tidak puas hati.
“Bukan Ana seorang aje yang tak
tahu... semua orang tak tahu. Afdhal tak kasi bagi tahu sesiapa.”
“Oh...”
aku mula faham. Patutlah tak dengar khabar angin langsung. “Apa yang ada kat sini sampai orang nak pecah
masuk?” aku pandang sekeliling. Rasanya tak ada yang berharga melainkan mesin
cetak di tingkat atas. Itu pun bukan main berat. Tak teralih rasanya.
“Bukan masuk nak mencuri, Ana. Kes
khianat. Dengki!”
“Nak dengki kenapa?”
“Kan kita baru dapat tender besar.
Adalah yang tak puas hati tu.” Jelas abang Joe.
“Habis tu, apa kena mengena dengan
luka encik Afdhal?” aku kembali pada pertanyaan asal.
“Masa tu, encik Afdhal ada dalam
opis. Bergelutlah, apa lagi. Dia orang siap boleh ugut nak datang balik. Itu
yang encik Afdhal suruh pasang CCTV. Ana tak perasan ke, kita dah ada CCTV?”
Mataku terus memandang CCTV yang
jelas kelihatan dari ruang kerjaku. Patutlah encik Afdhal beriya menghalau aku
keluar. Tidak membenarkan aku menumpang tidur di sini. Sayang juga dia kat aku!
Aku ketawa sendiri. Ingatkan tak ada hati perut. Salah jangkaan aku.
“Tak buat report?”
“Tak. Afdhal tak bagi. Ana kan tahu
Afdhal tu macam mana orangnya.”
Ya aku tahu. Semua perkara mahu ikut
kepalanya. Macamlah kepala dia saja yang dianugerahkan otak untuk berfikir.
“Okeylah. Nanti naik atas. Jangan
lupa.” Pesan abang Joe sekali lagi.
“Okey bos!” aku berjanji mematuhi
arahan.
“NAH!”
kertas berwarna merah jambu, berlipat empat aku serahkan pada encik Afdhal.
Senyum lebar dia menerima kertas itu. Siapa tak gembira menerima pesanan
daripada kekasih hati.
Encik Afdhal membuka lipatan kertas
itu penuh berhati-hati. Takut koyak agaknya. Aku masih berdiri di situ. Di tepi
meja encik Afdhal. Bukan nak menyibuk, tapi mahu lihat reaksinya ketika membaca
nota kiriman kak Dahlia.
Ceria air muka yang ditunjukkan
encik Afdhal. Senyuman semakin melebar. Pasti nota itu telah berjaya mencairkan
hatinya sekali lagi. Parah kelihatan.
“Kau tak baca kan?”
“Taklah. Tahu bos tak suka saya curi
baca.” Sengaja aku tekankan kata curi pada ayatku tadi.
Encik Afdhal ketawa. Sejak
akhir-akhirnya aku banyak melihat dia ketawa. Tidak seperti awal-awal dahulu.
Mukanya ketat. Sangat kelat.
“Kau nak baca?”
“Eleh, macamlah bos nak bagi, huh!”
Aku jungkit bibir. Padahal tak ingin langsung membaca nota yang sudahpun aku
tahu isinya. Akukan penyumbang idea terbesar.
“Nah, ambillah baca.” Kertas dihulurkan
oleh encik Afdhal.
Aku seakan tak percaya. Betulkah ini
encik Afdhal? Kenapa dia begitu baik hati memberikan kebenaran untuk aku
membaca nota cintanya? Sengaja aku capai nota itu. Buat-buat ingin tahu isinya.
“Tak payahlah, nanti kau jealous pula.” Encik Afdhal menarik
tangannya sebelum sempai aku pegang kertas itu.
“Ini yang malas ni.” Aku tarik muka apabila terasa sedang dipermainkan.
“Okey. Kau cakap dulu yang kau tak jealous, baru aku kasi baca.” Encik Afdhal
perdengarkan tawaran.
“Ah, tak nak saya.” Aku enggan. Merepek
saja lelaki seorang ni. Macamlah aku teringin sangat nak tahu. Pinggan tak
retak, nasi tak dingin. Tak ingin. Pada aku baca notanya, lebih baik aku baca
cara menyelenggarakan mesin cetak kat atas tu. Ada juga faedah.
“So,
kau jealous
la ni?”
“Tak ada pasal saya nak jealous.”
“Habis tu, kenapa muka kau macam jealouse je?”
Eh, aku tengah tunjuk muka cemburu
ke? Aku soal sendiri? Rasa macam tak? Ah, sebelum dia kenakan aku, lebih baik
aku cabut. “Malaslah nak layan encik Afdhal. Bacalah sendiri nota tu. Saya naik
atas tolong abang Joe lagi bagus.” Aku sudah menapak, berjalan untuk memberikan
bantuan kepada pasukan pencetak yang sedang tekun bekerja di atas.
“Kejap. Kau duduk sini kejap!”
Encik
Afdhal tidak membenarkan pergerakkanku. Terpaksalah aku undur langkah. Duduk di
atas kerusi yang ditarik oleh encik Afdhal.
“Merajuk
aje kerja kau kan. Nah baca!” nota sudah diletakkan di atas meja.
Mulanya
aku teragak-agak untuk mengambil. Tapi aku yakin kali ini encik Afdhal serius. Lalu
laju tangan mencapai nota merah jambu. Hmm.. mujur tulisan kak Dahlia lebih
kurang sama dengan tulisanku. Selamat!
“Kau
ni bagus jugakan. Kenapa kau sanggup tolong Dahlia hantar nota ni untuk aku?”
Pujian
encik Afdhal menyenangkan hati. Nota yang sudah di baca aku letakkan kembali di
atas meja. “Tolong apanya. Mana ada kerja percuma zaman sekarang ni. Cik Dahlia
bayar saya apa.”
“Iya
ke?” encik Afdhal nampak tidak percaya.
“Ya
lah. Kalau tak saya tak buat kerja-kerja macam ni.” Aku cuba menyakinkan.
“Pandai
kau cari duit.”
“Nak
hidup, kenalah pandai.” Nampaknya aku sudah berjaya. “Encik Afdhal, agak-agak
emak dengan ayah encik Afdhal suka tak kalau cik Dahlia tu jadi menantu?”
sengaja aku soal begitu. Sekali sekala, dalam keadaan normal, aku mahu masuk
lingkup dunianya. Apakah dia mampu berfikir waras atau tidak.
“Tak
pastilah. Tapi takkanlah dia orang tak suka!”
Aku
tidak tahu apakah encik Afdhal sengaja menyembunyi fakta bahawa kedua ibu bapanya
sudah tidak ada ataupun memang pada ketika ini dia dalam dunianya? Jawapan yang
diberikan tidak dapat aku pastikan.
“Manalah
tahu, emak dengan ayah encik Afdhal lebih sukakan saya berbanding dengan cik
dahlia tu...”
Encik
Afdhal ketawa berdekah-dekah. “Jangan nak perasanlah, Gomez.”
“Alah,
encik Afdhal tak bawa saya jumpa dia orang lagi, mana encik Afdhal tahu? Apa
kata encik Afdhal bawa saya jumpa mak dengan ayah encik Afdhal. Baru kita boleh
buktikan.”
Tawa
encik Afdhal terus mati mendengar cadangan yang aku berikan. Tajam dia merenung
aku. Aku pula jadi takut.
“Betul
kau nak jumpa mak dengan ayah aku?”
Aku
telan liur. Takkan encik Afdhal nak bawa aku jumpa orang yang dah tak ada. Macam
mana tu? “Boleh ke?” aku beranikan diri
walaupun perutku sudah kecut.
“Kenapa
pula tak boleh? Kau nak sangat jumpakan? Jom aku bawa kau!” encik Afdhal sudah
bangun dari duduknya.
Berkelip
mataku, sama laju dengan dengupan jantung. Bolehkah aku menolak setelah
beriya-iya aku mengajak? Kalaulah aku boleh lari...
Bersambung...
Kata AH:
Alhamdulillah. Sengaja AH poskan entry 15 lebih awal. Istimewa buat semua pembaca setia JJC. Semoga semuanya senang dengan entry kali ini. Jumpa next entry. Terima kasih atas sokongan dan kiriman komentar daripada semua pembaca. Sgt AH hargai setiap komen yang diberi. Ia umpama semangat padu buat AH. Terima kasih dari hati.
8 comments:
agaknye la.. mne afdhal nk bwa ana?? niyg kne tggu n3 16.. tk sbar ni..
suka crita ni lain dari yg lain. Memang slalu ternanti2 n3 ni
Part Naim nak bertunang tu sedih. Saya ikut nangis. Pandai Adah mainkan perasaan pembaca. Memang best cerita ni. Harap boleh dibukukan nanti.
aiseh sedih bagi pihak abg naim..
Cepatlah sambung FI..X sabar ni...
Gomez.. Gomez.. Macam2 dia buat.. Mmg mcm dia yg minat afdhal.. :)
best..sntiasa tertgu2 next n3..
Rasanya en Afdhal ada hati kt Ana tapi berselindung dgn sikap yg dia buat sendiri.... bestttt
Post a Comment