11
Kedua-dua ibu bapaku sudah mengambil
keputusan untuk pulang. Berat pula hati melihat beg pakaian mereka yang
sudahpun diangkat keluar oleh abang Naim dari bonet kereta. Hanya seminggu
dapat aku duduk bermanja dengan mereka. Dan kini mereka harus pulang.
Terminal LCCT masih lengang. Mungkin
masih terlalu awal. Umi dan ayah memang cukup suka penerbangan awal pagi. Kami
berpisah untuk menunaikan solat subuh. Aku mengikut umi manakala abang Naim
mengikut ayah. Wajah umi yang kurang ceria membuatkan hatiku rasa tidak sedap. Sejak
semalam umi berkelakuan janggal. Selalu lari daripada berbicara lama denganku.
Kenapa?
Selesai menunaikan solat subuh, aku
terus memeluk dan mencium umi. Tangannya aku pegang penuh kasih. Umi membalas
pelukan. Lama pelukan umi. Dapat aku rasakan ada sesuatu yang umi rahsiakan.
Aku regangkan pelukan. Aku mahu
tahu. Kenapa umi begitu? “Umi ada rahsiakan apa-apa daripada Ana?” soalku pada
umi. Dapat aku lihat ada takungan air pada tubir mata umi.
“Tak adalah.” Ringkas umi membalas.
“Umi
tipu. Habis tu kenapa umi menangis?” aku soal lagi. Selagi tak berpuas hati,
selagi itulah aku akan bertanya.
“Mestilah umi sedih, sebab umi kan dah nak
balik.” Umi melukis senyuman palsu.
“Ana
tak percaya. Umi bukan tak pernah berpisah dengan Ana sebelum ni.” Aku tahu umi
berbohong. Umi sudah biasa dengan ketiadaanku. Sejak dari tingkatan tiga lagi
aku sudah duduk di asrama. Sekalipun umi tidak pernah menitiskan air mata.
Umi
hanya membisu. Tetap tidak mahu menceritakan apa yang disimpan di hatinya. Maka
dengan itu, aku terpaksa mencari helah. Beg tangan umi aku selongkar. Tiket
penerbang umi dan ayah aku keluarkan. “Ana takkan bagi umi balik selagi umi tak
ceritakan perkara sebenar pada Ana.” Aku sorokkan tiket mereka di belakang
badan.
“Ana...”
umi menyebut namaku penuh kelembutan.
“No! Baik umi cerita kat Ana juga.” Aku
tidak mahu mengalah. Mujur surau tidak ada orang lain. Maka kami bebas untuk
berdiskusi.
“Umi
tak sampai hati.” Akhirnya umi memberikan sedikit bayangan.
“Kenapa?”
“Umi
tak nak Ana sedih.”
Aku
senyum nipis. Kata-kata umi sedikit mengoyah hati. Apa maksud umi? “Kenapa pula
Ana nak sedih?”
“Ana
janji dulu dengan umi yang Ana takkan sedih.” Umi memegang bahuku.
“Ana
janji. Anak perempuan umi ni kuat tau. Bukan minah air mata.” Aku mengikat
janji. Sengaja aku selitkan jenaka, mahu umi yakin bahawa aku tidak akan
apa-apa. Ternyata umi percaya kerana ada tawa kecil yang mampu aku dengar,
keluar dari mulut umi.
“Umi
minta maaf. Umi tak dapat nak tolong Ana.”
“Tolong
apa pula ni, Umi?”
“Mak
lang...” umi membuka kisah.
Aku
mendengar dengan teliti. “Kenapa dengan Mak Lang?” senyuman yang ada di bibir
masih aku kekalkan duduknya. Menampakkan riak bersedia menerima sebarang
kemungkinan.
“Mak
Lang dah ada calon isteri untuk Naim. Mak lang dah siap merisik.”
Langit
terasa seperti mahu runtuh, menghempap bumi. Nafas rasa tersekat, sukar untuk
dilepaskan. Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan. Senyuman yang tadinya
terpamer, kini perlahan-lahan makin menghilang.
“Naim
dah nak bertunang hujung bulan ni. Nak tak nak, Ana kena lupakan Naim.”
Kenyataan
yang cukup menyakitkan itu sudah membunuh semangat. Melupakan abang Naim? Aku
tidak pernah terfikir langsung untuk membiarkan dia pergi dari hati. Aku tidak
punya kemampuan untuk melakukannya.
“Sebab
tu umi tak nak bagi tahu Ana. Tengok, kalau Ana macam ni, umi berat hati nak
tinggalkan Ana kat sini.”
Cepat-cepat
aku gores senyuman yang sudah hampir mati. Tidak mahu merisaukan umi. “Umi
jangan risau. Ana faham, bukan jodoh Ana dengan abang Naim.” Aku buat-buat
faham untuk perkara yang aku tak ingin faham. Bertahun aku letak abang Naim
dalam hati. Membiarkan dia duduk di situ dengan rasa bahagia. Tiba-tiba saja
diminta untuk mengosongkan ruangan yang memang hanya aku khaskan buat dirinya.
Bisakah aku?
“Umi
yakin ada lelaki yang lebih baik tengah tunggu Ana.” Umi cuba memujuk.
Aku
sekadar senyum dengan anggukkan. Bersetuju semata-mata menjaga perasaan umi.
Walhal, hati menyangkal keras. Takkan ada tempat untuk lelaki lain selain abang
Naim!
“Dah,
jom. Nanti umi terlepas flight pula.” Umi bergegas bangun.
“Nah,
umi.” Aku kembali menyerahkan tiket penerbangan pulang umi dan ayah. Aku turut
bangun sama. Mahu menghantar kepulangan umi dengan hati tercalar.
KERETA
Nissa Almera milik abang Naim meluncur laju meninggalkan Terminal LCCT. Kalau
ikutkan perancangan yang dibuat, abang Naim akan menghantar aku terus ke tempat
kerja. Kalaulah aku punya kuasa untuk menghentikan rancangan itu, sudah pasti
aku lakukan.
Aku
tidak betah berada bersama abang Naim saat ini. Lelaki yang harus aku lupakan
seumur hidup.
“Ana diam aje dari tadi. Sedih ke,
umi dengan ayah dah balik?” abang Naim memulakan perbualan.
Aku yang sememangnya hanya membisu
dari tadi enggan menoleh memberikan perhatian pada abang Naim. Hatiku dibalut
kabus tebal, setebal kabus pagi.
“Ana, abang tanya ni, sedih ke?”
abang Naim menguatkan sedikit suaranya.
“Mestilah sedih.” Terpaksa juga aku
menjawabnya.
“Kesedihan tu tak elok untuk emosi.
Dah, jangan sedih. Nak sarapan kat
mana?”
“Tak
naklah, Ana tak lapar.” Hanya sekilas aku memandang abang Naim.
“Tapi
abang lapar. Ana tak kesian kat abang, ke?”
“Abang
Naim pun tak kesian kat Ana.” Laju saya ayat itu keluar dari mulut.
“Ana
macam marah kat abang aje. Abang ada buat salah apa-apa ke?”
“Siapalah
ana nak marahkan abang Naim...” perlahan aku lagukan rasa bertapak dalam diri.
“Sekejap.”
Naim membuka dashbox keretanya.
Sesuatu dikeluarkan dari dashbox itu.
“Nah, ambil ni. Jangan merajuk lagi.”
Lolipop tertayang di hadapan mata. Teringat
langsung lambakan lolipop pemberian abang Naim yang tersimpan dalam balang
kaca. Saat ini barulah aku tersedar yang abang Naim hanya menganggap aku
seorang anak kecil yang dapat dibeli rajuknya dengan lolipop. Sungguh
menyakitkan hati.
“Ana dah tak makan lolipop.” Aku
menolak pemberiannya.
“Hah?” abang Naim terus memandang.
“Kenapa tiba-tiba?”
“Umi dah tak kasi Ana makan
lolipop.” Alasan berjaya dicipta.
“Why?” lagi soalan dari abang Naim.
“
Takut gigi rosak.”
Abang Naim sudah ketawa besar.
Sungguh gembira dia mendengarnya. Mungkin padanya itu satu jenaka. Namun padaku
ia umpama gerhana. Selamat bergembira! Bisik hatiku.
“Serius abang cakap, yang abang rasa
happy sangat setiap kali dapat
berbual dengan Ana.” Abang Naim memberhentikan kenderaan apabila lampu isyarat
berwarna merah.
Aku diam lagi. Kata-kata itu sudah
tidak punya makna. Aku tetap perlu melupakan impian untuk menjadi suri
hidupnya. Aku bukan pilihan hati!
“Abang Naim suka kat Ana tak?”
soalku umpama kanak-kanal kecil yang tidak tahu apa-apa.
“Mestilah suka. Abang ada banyak
kenangan dengan Ana. Ecspecially masa
kita kecil dulu.” Mudah abang Naim menjawab pertanyaan yang diajukan.
Cukup!
Aku hanya mahu tahu itu. Sekurang-kurangnya aku masih menjadi kesukaan abang
Naim sehingga hari ini. Aku mahu simpan kenangan itu sampai bila-bila.
“So, macam mana dengan kawan Ana yang ada
masalah tekanan hari tu?”
Topik
bertukar tiba-tiba. Entah disengajakan atau betul-betul abang Naim ingin tahu. Dan
tika ini, ingatanku terus mencerap wajah encik Afdhal. Lega apabila
mengingatkan encik Afdhal. Sebabnya, kak Dahlia sudah bersetuju untuk turut
serta memberikan bantuan kemanusian. Jadi aku tak perlu berbohong apa-apa lagi.
Aku
hanya mahu kak Dahlia menggunakan auranya untuk mengumpan encik Afdhal membuat
rawatan. Menurut abang Joe. Encik Afdhal biasanya hanya hadir sekali sahaja ke
sesi rawatan semasa abang Joe membawa encik Afdhal berubat dulu. Pendek cerita,
encik Afdhal memang tak mahu berjumpa dengan orang asing. Dia tak suka sebab
kononnya mengganggu dunianya.
“Entahlah.
Ana harap dia boleh pulih.”
“Bawalah
datang tempat abang. Insya’ALLAH nanti abang bantu.”
“Betul
ke, ni?” aku rasa teruja. Terus terbang rasa hati yang tadinya galau sahaja.
“Yup!”
“Kos
rawatan mahal tak, abang Naim?”
“Tak
juga. Tapi ubat dia memang agak mahal.” Abang Naim membetulkan duduknya.
Mungkin sudah letih memandu. “Tapi tak apa, Ana bawa dia datang dulu, nanti
kita tengok macam mana.” Saran abang Naim.
“Insya’ALLAH,
Ana cuba.”
“Hah,
bolehpun senyum..”
Teguran
abang Naim membuatkan aku tersentak. Aku tersenyum? Eh, Iya ke? Tapi senyuman
itu untuk apa?
ABANG
NAIM tidak mahu mendengar kata. Arahanku supaya aku diberhentikan di simpang
jalan sebelum sampai ke Arena Printing tidak dihiraukan. Dia tetap mahu
menghantar aku sampai ke depan bangunan Arena Printing. Puas aku merayu, namun
tidak diendahkan langsung.
Kalau ikutkan kebiasaannya, pada
waktu-waktu beginilah encik Afdhal akan tercongok depan pintu kaca, mencari
wajah kak Dahlia. Alamak, habislah. Aku tak tahu kenapa aku tidak suka encik
Afdhal melihat kehadiranku bersama abang Naim.
“Bangunan yang mana satu?” abang
Naim melilau memerhati bangunan pejabat yang berhanpiran dengannya.
“Depan bangunan biru tu, belok kanan.”
Dengan berat hati aku memberi makluman. Aku berdoa, moga-moga encik Afdhal tidak
ada.
“Hah, bangunan warna merah tu kan?”
abang Naim tersenyum.
Aduh, ada pula lot parking yang kosong hari ni. Betul-betul
depan Arena Printing pula tu! Hatiku sudah tidak senang. Belum pun kereta abang
Naim berhenti, aku sudah dapat melihat kelibat encik Afdhal. Nampaknya, aku
tidak mampu mengelak. Kereta abang Naim sudah sedia diletakkan di lot kenderaan
yang kosong tadi.
Tali pinggang keledar aku buka. Mahu
cepat-cepat turun.
“Ana kat sini ada kedai makan kan?
Jomlah sarapan, abang betul-betul lapar ni.” Ajak abang Naim. Dia juga mula
membuka tali pinggang keledarnya.
“Hah?” aku yang baru sahaja mahu
membuka pintu kereta, menoleh dengan memandang abang Naim. Terkejut dengan
permintaannya. “Ana...” aku tidak tahu bagaimana mahu melolak. Sempat juga
mataku mencari susuk tubuh encik Afdhal yang memang sedang memerhatikan kami.
“Ana minta maaflah abang Naim,
sebenarnya Ana dah lambat. Pagi ni Ana kena handle
morning routine.” Aku berharap abang
Naim percaya dengan kata-kataku.
“Ye ke? Erm... okeylah, next time abang belanja Ana makan. Dah,
jom abang hantarkan sampai depan pintu.” Abang Naim sudah bersiap sedia untuk
turun.
“Eh, tak payahlah abang Naim. Depan
tu ajepun, tak sampai sepuluh langkah, dah sampai.” Laju aku menolak. Bukan
jauhpun. Parking pun depan bangunan.
“Memang depan tu, aje. Tapi abang
tak berkenan tengok lelaki baju hitam tu. Dari tadi asyik pandang Ana, aje.”
“Itu bos Analah. Abang Naim tak payah
risau.” Aku menjelaskan. Nampaknya abang Naim sudah salah faham.
“Bos? Tak nampak macam bos pun.
Macam...”
“Ana masuk dululah, abang Naim.
Terima kasih tumpangkan Ana. Assalamualaikum.” Aku cantas terus kata-kata abang
Naim kerana aku rasa, aku tahu bagaimana mahu menyudahkan ayatnya itu.
Aku turun tanpa berlengah. Selepas
pintu kereta ditutup, aku memberikan lambaian tanda berterima kasih atas jasa.
Rasa macam lambaian perpisahan pun ada juga. Impian sudah musnah. Tak ada lagi
yang tinggal.
“Ana...”
Panggilan abang Naim yang jelas
kedengaran, menghentikan langkah. Abang Naim turun dari keretanya.
“Makan lolipop ni. Kalau takut umi
marah, jangan bagi tahu umi.” Abang Naim menyerahkan lolipop tadi kepadaku.
Aku tidak sempat berkata apa-apa
kerana sebaik sahaja lolipop itu aku ambil tanpa rela, abang Naim kembali masuk
ke dalam keretanya.
Selepas kereta abang Naim menghilang
daripada pandangan, aku kembali menyusun langkah untuk masuk. Mata encik Afdhal
masih tidak lepas memandang aku. Rasa macam tak tahu bagaimana untuk bergerak
apabila diperhatikan begitu.
“Assalamualaikum, encik Afdhal.
Selamat pagi.” Terpaksa juga aku keluarkan kata. Menutup rasa yang kekok.
Salam yang diberikan tidak dijawab.
Encik Afdhal sekadar mengangguk. Mungkin dia menjawabnya dalam hati. Aku
berbaik sangka. Ada senyum pada bibirnya. “Itu ke bakal tunang kau?”
Soalan yang singgah pada telingaku
langsung tak kena masa. Bagaimana encik Afdhla boleh tahu tentang hal itu?
Pasti abang Joe yang ceritakan. Bakal tunang? Itu cuma mimpi yang sudahpun
selamat pulang dijemput pagi hari. Istilah itu sudah tidak boleh lagi diguna
pakai. Air mata sudah mula bertakung. Sebelum ia menitis, aku harus segera
angkat kaki.
“Tumpang lalu.” Aku minta ruang.
Lantas aku buka pintu dan terus masuk. Soalan encik Afdhal tadi, tidak aku
jawab. Kalau aku mengatakan tidak, dia bukan orangnya, niscaya air mata akan
gugur.
“Siap dapat lolipop lagi. Macam
budak-budak.” Encik Afdhal ketawa. Penuh keriangan.
Aku tahan air mata yang hampir
menitis. Gara-gara gula-gula lolipop, hari ini aku ditertawakan oleh dua orang
lelaki. Sungguh aku benci! Aku sambung langkah. Teruskan ketawa. Dipersilakan!
“Pada semalam lagi aku perhati, asal
aku tanya aje, kau mesti tak jawab. Apahal?”
Encik Afdhal mengikut langkahku
masuk ke dalam. Aku yang sememangnya tidak ada mood untuk berbual dengan sesiapa terus membiarkan gam melekat pada
mulut. Hari ini, hariku mendung menghitam. Takkan ada seorangpun yang boleh pinjamkan
matahari untuk hariku bersinar kembali.
“Kau
pekak ke?”
Kalau ikutkan hati, memang aku mahu
terus memekakkan telinga. Tapi sebelum sabarku mencapai had maksimum, lebih
baik aku lakukan sesuatu. Nasib baik kau bos!
“Ya, encik Afdhal. Apa yang saya
boleh tolong?” aku palingkah wajah. Nak sangat diberikan perhatiankan!
Kini encik Afdhal tersenyum. “Tak
ada apa. Pergilah duduk. Nanti kita sambung cerita. Aku ada kerja penting nak
buat.” Encik Afdhal mengenyitkan matanya sebelum pergi.
Gila! Kerja penting konon. Nak
perhatikan kak Dahlialah tu, macam aku tak tahu. Pentinglah sangat! Tak sedar,
kak Dahlia pandang dia sebelah mata aje. Hatiku marah. Geram!
Astagfirullahalazim... lebih baik aku beristigfar!
DI
SINI kadang-kadang rasa disayangi. Kadang-kadang pula rasa dibuli. Aku takkan
rasa begitu kalau bukan aku yang diarahkan untuk naik, turun ke stor atas
bumbung. Itu nak kena ambil. Ini nak kena ambil. Kalau cakap sekalikan senang.
Tak payah aku ulang alik. Mentang-mentanglah aku budak praktikal!
Atas dasar letih, aku ambil sedikit masa untuk
merehatkan diri. Kebetulan tugas menyimpan semula barang-barang telah aku
selesaikan. Angin yang bertiup sungguh nyaman terasa. Aku duduk di tepi stor. Kepala didongakkan memandang
langit. Dari sini, awan dapat dilihat lebih jelas. Kenapa hatiku tidak secerah
awan?
Tangan
menyeluk poket seluar. Lolipop pemberian abang Naim dikeluarkan. Terus
terdengar kembali berita yang umi sampaikan. Siapalah perempuan bertuah yang
dapat memiliki abang Naim?
“Tahniah,
abang Naim.” Suaraku mula serak, menahan sebak. Aku hanya mampu mengucapkan
ucapan itu tika aku sendiri. Aku tidak punya keberanian untuk berkata di
hadapan abang Naim, kerana aku sering kali kalah dengan air mata.
Hujung
bulan nanti abang Naim bakal mengikat tali pertunangan. Tidak lama mana, hanya
seminggu saja lagi. Menunggu sehingga tempoh itu saja sudah menjadi satu
penderitaan buatku. Jadi bagaimana harus aku habiskan masa 3 bulan yang masih ada?
Bagaimana cara untuk aku berhadapan dengan abang Naim tanpa sebarang rasa?
Bunyi
hentakan pintu yang kuat membuatkan aku tersentak. Aku sorokkan tubuh. Encik
Afdhal melepasi stor simpanan barang. Mulutnya kumat-kamit, seperti berkata
sesuatu. Cuma tidak jelas kedengaran.
Aku
tarik nafas lega. Mujur juga tidak tertangkap. Encik Afdhal sudahpun meninggalkan
ruangan atas bumbung. Aku kembali sendiri. Bagus juga kalau... otak mula
bekerja. Menghantar idea ke minda untuk direalisasikan.
Aku
berdiri tiba-tiba, seakan sudah bersetuju untuk memenuhi kehendak minda.
Perlahan kaki berjalan ke kediaman encik Afdhal yang hanya bersebelahan stor.
Sambil memerhatikan sekeliling, tanganku sudahpun mencapai tombol pintu. Aku
ingin sekali melihat tempat tinggal encik Afdhal. Apa yang ada di dalamnya? Lantas
tombol dipulas, dan aku melangkah masuk.
Pintu
aku rapatkan sahaja kerana aku perlukan sedikit cahaya dalam ruang yang gelap
itu. Berselerak, padahal kalau tidak silap, kak Lin dan abang Joe sudah
mengemas semalam. Ya, aku masih ingat. Kak Lin enggan bersama menemani aku
bertemu dengan kak Dahlia atas alasan mahu membantu abang Joe menguruskan
kediaman encik Afdhal.
Nampak
gayanya encik Afdhal perlukan orang gaji. Kalaulah aku boleh mencadangkan
padanya, alangkah bagusnya. Dia bos, pasti dia mampu membayar. Mataku kini
terus melekat pada dinding yang kelihatan penuh dengan contengan. Sedikit bias
cahaya yang menebusi masuk dari pintu masih gagal membantu. Aku tidak dapat
membaca coretan yang tertera pada dindingnya.
Ilham
bersuara, memberikan pandangan supaya cahaya pada telefon bimbit digunakan. Aku
tersenyum. Telefon bimbit dikeluarkan. Langsung aku dekatkan dengan dinding.
Mencari perkata-perkataan yang tertulis di situ.
“Selamatkan
ayah kau...” aku baca salah satu dari banyak kata yang tertulis. “Maut, mana
kau?” aku terus membaca walaupun jantung rasa bergoncang laju. “Mak, jangan
tinggalkan Af...”, “Gelap.” “Mak cakaplah... mak” “Tuhan takkan maafkan aku!” “Bila
mak dengan ayah nak datang?” aku pejam mata. Tidak sanggup membaca kata-kata
lain yang tertulis di dinding. Lidah cepat-cepat beristigfar. Rasanya, itulah
cara encik Afdhal meluahkan perasaan.
Ada
bunyi derap kaki. Mungkin ada yang menghampiri. Alamak. Aku mencari ruang untuk
bersembunyi. Nak terus keluar, rasanya itu kerja gila. Pasti jadi isu besar
nanti. Ruang kediaman encik Afdhal pula tak besar mana. Macam sebuah bilik
kecil yang hanya mampu menempatkan sebuah katil, almari pakaian dan bilik air.
Menyorok
dalam bilik air? Itu bukan keputusan yang baik. Katil! Ya, hanya itu ruang yang
tinggal. Tanpa melengahkan masa aku mengambil tempat di bawah katil. Tertiarap,
bersembunyi di situ. Tangan sudah menutup mulut. Semoga aku tidak dijumpai.
Sangkaanku tepat. Ada tubuh yang masuk dan
menutup rapat pintu dengan kuat. Membuatkan jantungku makin laju berdegup. Aku
hanya nampak susuk kakinya dan aku yakin kaki itu kepunyaan encik Afdhal. Ya
ALLAH, selamatkan aku. Doaku sambil mata terpejam.
“Ayah
tak faham... sampai bila-bilapun ayah tak faham.”
Suara
encik Afdhal kedengaran. Mataku yang tadinya terpejam, kini sudah aku celikkan.
Ayah? Encik Afdhal berbicara dengan siapa? Ada orang lainkah bersama dengan
encik Afdhal? Abang Joe? Tapi kalau tak salah, hanya sepasang kaki yang
melangkah masuk tadi.
“Af
yang tak faham. Dunia Af dengan dunia ayah tak sama macam dulu.”
“Mak,
tengok ayah ni. Af nak hidup dengan ayah dengan mak.”
“Af
janganlah macam ni. Af ada kehidupan Af sendiri. Mak dan ayah ada kehidupan mak
dan ayah.”
“Tapi
kenapa tiba-tiba mak dengan ayah nak tinggalkan Af?”
“Sebab
tu ayah cakap Af kena faham. Ayah dengan mak pergi dulu. Af kena lepaskan ayah
dengan mak. Faham!”
Aku
sudah menggigil di bawah katil. Dialog yang kedengaran seperti ada tiga orang
yang sedang berbicara. Sedangkan hanya suara encik Afdhal menuturkan semua kata.
Ya, seolah-olah dia yang melakonkan watak untuk ayah dan ibunya. Dan aku, sudah
ada rasa seperti mahu pengsan. Lalu aku tutup telinga, tidak mahu mendengar
apa-apa lagi.
“Tak
nak! Mak, ayah tunggu Af...”
Pang!
Sekali lagi bunyi pintu di tutup dengan kuat. Boleh gugur jantung dibuatnya.
Tidak ada lagi suaran yang kedengaran. Mungkin encik Afdhal sudah pergi. Aku
menunggu seketika, mahu memastikannya sebelum segera melangkah keluar. Setelah
yakin, barulah aku bergerak.
Aku
sudah tidak boleh tunggu lama. Dan aku berjanji, aku takkan menginjakkan kaki
ke situ lagi. Inilah kali pertama dan terakhir. Aku serik! Aku bingkas bangun
dan mencari pintu dalam kegelapan.
“Telefon
aku?” badan makin lemah dibuatnya. Telefon pula entah di mana. Langsung tidak
aku ingat. Sudahlah gelap. Mana aku nak cari telefon bimbitku? Mahu ataupun
tidak, aku perlu mencarinya segera.
Meraba-raba
aku dalam gelap. Mahu membuka pintu? Tak boleh! Takut ada yang ketahuan nanti.
Maka aku usaha mencari diteruskan. Sebelum encik Afdhal kembali lagi, aku perlu
keluar.
“Alhamdulillah.
Terima kasih Ya Allah.” Hampir sepuluh minit, akhirnya telefon bimbitku
dijumpai. Aku memanjatkan syukur. Sudah tiba masa untuk keluar dari situ.
Aku
nyalakan telefon, mahu mendapatkan bantuan cahaya. Aku akan dapat bergerak
dengan lebih pantas. Tanganku sudah berjaya mencapai tombol. Tinggal untuk
pulas, kemudian aku boleh keluar dengan senang hati. Namun aku terpaku di situ.
Ada satu kata tertulis di pintu. Tulisannya berwarna putih. Dengan bantuan
cahaya telefonku, ianya jelas kelihatan.
“HELP!”
aku baca dengan hati yang tidak senang. Ia umpama satu mesej yang disampaikan
buat sesiapa yang mahu keluar dari situ. Terasa sedang ditujukan padaku.
Ana
cepat keluar! Suara hati mengingatkan. Aku tersedar. Tombol dipulas, pintu di
tarik. Namun belum sempat aku melangkah keluar, sekali lagi langkahku di paku.
Wajah encik Afdhal kelihatan. Tangannya sudah melepaskan tombol yang tadinya di
pegang dari luar. Dia terkejut melihat aku sebagaimana aku terkejut melihat
dirinya. Matilah aku kali ini!
Bersambung...
Kata AH:
Assalamualaikum. Terima kasih terus mengikuti JJC. Sengaja AH poskan lebih awal. Mungkin next entrypun akan lebih awal. Jadi rajin2 jengah blog AH ni ya. Terima kasih kepada. Insya'ALLAH jumpa nanti.. :)
6 comments:
best... nak sambungannyer.. sbr nak tau apa akan jd kat Ana... thnx AH
jgn risau, sememangnya setiap hari saya akan menjengah blok AH untuk sambungan JJC ini.
teruskan berusaha ya :)
-chah husain-
Berdebar2 plk. Enchik Afdhal tu mcm psyco. Haishhh.
-nuyrah-
tahan nafas baca entri nih..huhu...
sokong..mmg tahan nafas baca entry kali ni...bayangkan beto khusyairi pegang watak afdhal heheh mmg psiko lah
huh seram! abis lah ana..
nur fakhariah.. aah best kan kalau beto yg jadi afdhal.. hensem tp sewel sikit.. hehehe..
Post a Comment