2
AKU
menarik selimut, menutup tubuhku yang kesejukan. Mata juga sudah mengantuk.
Letih seharian membantu pekerja-pekerja di Arena Printing. Hari pertama yang
menyeronokkan. Semua pekerja-pekerja di Arena Printing baik dan ramah, tidak
termasuk Encik Afdhal. Dia hanya duduk di mejanya saban hari, sikitpun tak
masuk campur kerja kami. Duduknya menyendiri bersama muka ketatnya yang
langsung tidak menampakkan senyuman.
Terbukti
kebenaran kata-kata Fina. Sememangnya abangnya itu seorang pendiam. Mujur aku
telahpun mendengar suaranya pagi tadi. Jika tidak, pasti aku akan menyangkakan
yang abangnya itu bisu. Mana tidaknya, lelaki itu lebih banyak berinteraksi
dengan mimik muka dan pergerakkan tangannya untuk berkomunikasi. Memang pelik!
Dengan aku lagilah pula, jangan kata bercakap, memandang wajah akupun lelaki
itu tidak mahu. Mungkin masih marah. Namun padaku, aku tetap tidak bersalah!
Bunyi
ketukan pintu membuatkan aku kembali menolak selimut. Pantas aku berjalan
mendapatkan pintu. Tombolnya aku pulas, apabila pintu telah terbuka, kepala dijengahkan
melihat gerangan yang mengetuk pintu itu sebentar tadi. Namun tidak ada sesiapa
yang kelihatan. Aku kerutkan dahi. Mustahil aku silap pendengaran! Kemudian
mata mula menangkap satu objek yang tergantung pada tombol pintu.
“Lolipop!”
aku terkejut. Bagaimana lolipop itu boleh tergantung pada tombol pintu bilikku
itu? Walaupun persoalan itu tidak ada jawapannya, namun tanganku pantas
mengambil lolipop yang tergantung itu. Ada kad kecil di situ.
Abang minta maaf pasal pagi tadi.
Sengaja nak tengok Ana merajuk. Ternyata
masih comel macam dulu!
Selepas
membaca ayat itu, aku jadi hilang kata. Rasa seperti tidak percaya dengan apa
yang aku baca. Benar-benar mengejutkan. Kemudian, perlahan-lahan hati mula
tersenyum. Pintu kembali aku tutup rapat, tidak perlu aku cari lagi siapa
gerangan yang muncul sebentar tadi kerana jawapan itu sudah pasti kini. Rasa
mengantuk hilang dengan tiba-tiba dan rasa itu digantikan pula dengan rasa
bahagia yang teramat sangat.
PAGI
ini aku tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Abang Naim kerana dia terlebih
dahulu telah keluar bekerja. Namun aku tetap masih mampu untuk tersenyum.
Semuanya gara-gara lolipop pemberian Abang Naim semalam. Dan aku yakin, masih
banyak lolipop yang akan aku terima selepas ini. Mengenangkan itu, aku sudah
mengatur rancangan untuk petang nanti. Aku mahu mendapatkan balang kaca untuk
aku simpan setiap lolipop yang aku terima. Rancangan itu membuatkan hariku
bertambah ceria.
Setibanya aku di premis Arena
Printing, seperti semalam, Afdhal sudah tercongok di hadapan pintu kaca
syarikat miliknya itu bersama akhbar yang menutup wajahnya. Hari ini juga dia
berpakaian serba hitam. Mungkin itu memang warna kegemarannya atau mungkin juga
itu baju semalam! Langkah yang tadinya laju, kini mula aku perlahankan. Otak
ligat menyusun ayat untuk menyapa. Tidak mahu kejadian semalam berulang.
“Assalamualaikum Encik Afdhal, boleh
saya tumpang lalu” terpaksa juga aku berbicara.
Afdhal
mengalihkan surat khabar yang dibacanya. Sama seperti hari semalam. Cuma, pada
kali ini aku tidak akan bertindak seperti melulu. Afdhal hanya memandang aku
sekilas, sebelum dia mula mengubah kedudukannya agar tidak lagi menghalang
laluan. Kemudian dia kembali menyambung bacaannya. Kalau diikutkan, sememangnya
aku sudahpun boleh melepasi pintu kaca itu. Namun entah kenapa kakiku terkunci
di situ. Aku tidak tahu apa yang aku rasakan, tapi apa yang pasti, langkahku
terpaku di situ kerana dirinya. Aku tidak pernah berjumpa lelaki pelik seperti
dirinya. Sukar untuk aku tafsirkan keadaannya. Tapi aku dapat rasakan ada yang
aneh tentang dirinya.
Menyedari
aku masih berdiri di tempat tadi bersama renungan yang tidak putus-putus ke
arahnya, Afdhal kembali memberikan sedikit tumpuan padaku. Keningnya diangkat
bersama wajah penuh persoalan, cuba memberikan isyarat. Aku faham maksud
isyaratnya itu. Pantas aku ukirkan senyuman, lalu aku menggelengkan kepala
tanda tidak ada apa-apa yang tidak kena, sebelum segera angkat kaki masuk ke
dalam premis. Hati menghembuskan nafas lega. Jujur, semuanya berada diluar
kawalanku.
JANTUNGKU
mula berdegup laju apabila Abang Joe menyampaikan pesanan bahawa Afdhal ingin
berjumpa denganku di mejanya. Aku yang dari tadi sibuk membantu pekerja-pekerja
yang lain menyusun majalah sekolah yang
sudah siap dicetak, mula rasa tidak senang hati.
“Habislah kau, Ana...”
Kata-kata
Abang Ijad telah membuatkan aku jadi bertambah kecut perut. Apa maksud Abang
Ijad yang sebenar? Aku yang baru saja mahu bangun dari duduk, tidak jadi
meneruskan niat itu. Aku harus mendapat jawapan daripada Abang Ijad sebelum aku
berjumpa dengan Afdhal.
“Apa
maksud Abang Ijad?” Aku menyoal. Aku perlu tahu.
Abang
Ijad hanya tersenyum panjang. Tidak ada tanda-tanda yang dia mahu menjawab
soalan yang aku berikan sebentar tadi.
“Dahlah
Ana, jangan duk dengar cakap Ijad. Lebih baik Ana cepat pergi jumpa Afdhal.
Nanti tak pasal-pasal kena marah” Abang Joe memberikan peringatan.
Aku
mengangguk, lantas aku atur langkah menuju ke meja Afdhal. Langkah yang tadinya
laju bertukar menjadi perlahan apabila melihatkan keadaan Afdhal dari jauh. Aku
tidak pasti apa yang dilakarkannya, tapi yang aku pasti lakarannya itu
berbentuk contengan bersama deruan nafasnya yang turun naik. Tidak tumpah
seperti keadaan orang yang sedang melepaskan marah. Terus mati langkahku.
Kertas lakaranya itu kemudian dikoyakkan dan direnyukkan sebelum mencampakannya
merata.
Aku
jadi kecut perut. Meneruskan langkah atau berpatah balik? Hati mula membuat
pertimbangan. Membatu aku di situ. Aku alihkan pandangan, cuba meraih simpati
Abang Joe dan Abang Ijad dari jauh. Tapi ternyata sia-sia kerana mereka kelihatan
biasa-biasa saja, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Ketika Afdhal
mengangkat wajahnya dan melihat aku, barulah dia kembali menenangkan dirinya.
Lama dia terdiam bersama renungan tajamnya. Seketika kemudian, dia mengarahkan
jari telunjuk padaku sebelum memanggil aku menghampirinya juga dengan isyarat
jarinya itu.
Dengan
langkah terketar, aku berjalan juga menghampiri meja Afdhal. Takut
diapa-apakan. Aku tidak tahu kenapa, yang pasti saat ini memang dia kelihatan
tidak waras. “Encik Afdhal cari saya” terus aku bertanya sebaik sahajaaku
berhenti beberapa langkah sebelum sampai di mejanya.Afdhal memandangku tanpa
sebarang kata. Lama aku tunggu dirinya berbicara.
“Kau
ambil jurusan apa?” akhirnya Afdhal bersuara juga. Drawing block yang berada di atas mejanya itu, diangkat lalu
dicampakkan ke bawah mejanya.
“Pengurusan
pejabat” jawabku sekadar memenuhi soalan yang diberikan. Tidak berani berlebih
kata.
Afdhal
mengangguk lemah. “Nah” Sampul surat besar yang mempunyai lambang institusi
pengajianku, dihulurkan kepadaku. Sampul yang sama, yang aku serahkan pada
abang Joe semalam. Aku tahu apa isi dalam sampul putih itu. Borang penilaian
yang perlu diisi oleh majikan setelah selesai menjalani latihan industri. Semua
itu menimbulkan rasa tidak senang di hati. Apa mungkin, dia tidak mahu aku
meneruskan latihan praktikal ditempatnya?
“Kenapa
Encik Afdhal bagi borang ni pada saya?” sampul yang dihulurkan oleh Afdhal
tidak aku sambut. Aku mahukan jawapan kepada soalanku terlebih dahulu.
“Habis
tu, kau nak aku bagi borang ni kat siapa? Ni borang kau, kan?” serius kata yang
Afdhal tuturkan.
“Memang
borang saya, Encik Afdhal. Tapi sepatutnya Encik Afdhal kena bagi borang ni
masa minggu terakhir saya kat sini. Lagipun, Encik Afdhal kena isi dulu borang
ni” walaupun ada rasa getar, namun aku tetap terangkan prosedur yang sebenar.
“Sekarang
ni, siapa majikan?” Satu pertanyaan sinis diajukan. Afdhal meletakkan sampul
yang sedari tadi dipegangnya di atas mejanya dengan kasar. Mungkin dia sendiri
keletihan memegang sampul yang tidak bersambut itu.
“Encik
Afdhal lah majikan” balasku pantas.
“Habis
tu, yang banyak sangat hal ni, pasal apa? Sekarang ni, kau nak ambil sampul ni,
ke tak nak? Kalau kau tak nak, aku nak buang”
“Saya
ambil!” pantas aku berjalan, menapak beberapa langkah dan terus mencapai sampul
di atas mejanya itu.
“Satu
lagi... meja kau kat situ” Afdhal menunjukkan arah letaknya mejaku dengan
muncungnya.
Hati
rasa gembira saat menerima perkhabaran itu. Buat pertama kalinya aku bakal
mempunyai ruang kerjaku yang tersendiri. Yes!
Memang gembira, lantas dengan segara aku mengalihkan wajah, memandang ke arah
yang dimaksudkan oleh Afdhal. Namun senyuman yang tadinya lebar aku ukir, kini
hilang sedikit demi sedikit semata-mata kerana kegagalan mencari meja yang
diperkatakan oleh Afdhal tadi. Setelah lama memerhati, barulah aku perasan di
mana kedudukan meja itu.
Meja
ke, rak simpan kotak? Aku hanya mampu bertanyakan soalan itu tanpa suara.
Terkedu aku melihatkan keadaannya. Aku akui, memang ada sebuah meja di situ,
tapi meja itu dikelilingi dengan kotak-kotak besar. Tidak cukup dengan itu, beberapa
buah kotak juga ada terletak di atas meja yang baru sahaja diisytiharkan menjadi
milikku sepanjang berada di Arena Printing ini.Aku kembali memandang wajah
Afdhal. Tertanya-tanya benarkan itu tempatku? Mengharap, semoga Afdhal akan
ketawa lalu menyatakan semua itu hanya gurauan semata-mata.
“Mulai
hari ni, kau boleh duduk kat situ. Pandai-pandailah kau kemas ikut kreativiti kau”
Afdhal memberikan kebenaran. Dia kemudiannya bangun mahu meninggalkan
tempatnya. “Lupa pula aku nak cakap. Kau jangan buka sampul tu selagi kau tak
habis praktikal kat sini, faham!” sempat pula Afdhal menghentikan langkahnya
semata-mata ingin menyampaikan pesanan itu.
Aku
hanya mampu mengangguk pada setiap perintah yang disuarakan. Lain yang aku
harapkan, lain pula yang diperkatakan.Afdhal akhirnya berlalu pergi
meninggalkan aku di situ. Aku pula hanya mampu memandang Afdhal dengan rasa
hampa. Mahu ataupun tidak, aku perlu juga menduduki meja itu, muktamad! Tidak
ada alasan untuk aku ingkar pada arahan Afdhal. Mataku kembali aku bawa menyoroti
kawasan yang penuh dengan kotak pelbagai saiz. Aku cebikkan bibir, bagaimana
untuk aku menguruskan semuanya seorang diri? mungkin aku boleh dapatkan bantuan
rakan-rakan yang lain, tapi mahukah mereka di sini membantuku?
KOTAK
yang banyak di situ, aku pandang dengan senyuman lebar. Bukan kerana gembira
berpeluang mengemas kawasan yang saling tidak tumpah macam tongkang pecah itu,
tapi kerana janji yang dibuat oleh abang Joe, dan abang Ijad untuk menghulurkan
bantuan padaku. Setidak-tidaknya, ringan sedikit bebanku untuk menguruskan
tempat baruku. Sementara menunggu abang Joe, dan abang Ijad menyelesaikan tugas
mereka, aku sendirian cuba mengalih kotak yang aku rasa aku mampu alihkan tanpa
bantuan sesiapa.
Mujur benar jangkaanku, kotak
bersaiz sederhana itu tidaklah seberat mana. Dengan kudrat yang ada, berjaya
juga aku mengalihkan hampir enam buah kotak ke atas troli besar untuk dibawa ke
atas bumbung bangunan yang telah diubahsuai menjadi ruang stor. Aku duduk
sebentar apabila mula ada rasa lelah. Nafas aku tarik panjang sambil mengesat
peluh yang menitik di dahi.
“Aik, dah rehat?” suara abang Ijad
kedengaran.
Aku kembali berdiri melihat
kehadiran abang Joe dan abang Ijad di situ, menunaikan janji mereka. “Ingatkan
abang Joe dengan abang Ijad dah lupa nak tolong Ana kat sini” sengaja aku bermain
bahasa dengan mereka.
“Kalau difikir-fikirkan pasal kotak
yang melambak-lambak ni, memang abang Ijad dengan abang Joe nak lupakan aje
niat nak tolong Ana. Tapi, bila mengenangkan yang Ana ni duduk dalam kategori
kaum yang lemah, tak sampai hatilah pula, kan Joe” abang Ijad menyiku lengan
abang Joe. Abang Joe pula hanya menampakkan tawanya sambil mencekak pinggang.
“Lagipun, kita orang ni kan jenis
lelaki budiman. Takkan nak biarkan Ana buat seorang diri” tambah abang Ijad
lagi.
“Iyalah... bertuah Ana dapat bantuan
daripada lelaki-lelaki budiman ni. Nanti Ana belanja minum ya. Tapi kena tunggu
dapat elaun dululah” aku mengikat janji bagi membalas budi. Harap mereka senang
mendengarnya.
“Ha... tu yang sedap didengar tu!”
masih lagi abang Ijad bersuara.
“Dahlah, jom start kerja, bercakap aje dari tadi, bila nak siapnya?” barulah
kini abang Joe mencelah kata.
“Okay, jom kita mula” balasku. “Tadi
abang Joe cakap, semua kotak-kotak ni boleh letak kat stor atas bumbung kan?”
“Ha’ah, kita sumbat dalam stor ja.
Tak payah fikir banyak” abang Joe mengiyakan pertanyaanku.
“Kalau semua dah sumbat dalam stor,
wah... luaslah tempat Ana. Bolehlah main bola kalau boring” abang Ijad yang mula memindahkan kotak, melontarkan kata.
Membuatkan rasa senang di hatiku.
“Itulah, Ana ingat, nanti Ana nak
tarik meja ni ke kiri sikit. Lepas tu, Ana nak minta tolong abang Joe dengan
abang Ijad pasangkan partition yang
ada ni. Bolehlah Ana buat ruang untuk solat kat sini” aku tersenyum dengan
cadangan yang aku ajukan itu. Rasa segan untuk menumpang solat di premis
sebelah. Aku sendiri tidak pasti mengapa Arena Printing langsung tidak
menyediakan ruang solat untuk pekerja-pekerjanya sedangkan semua kakitangan di
sini beragama Islam. Ketika soalan itu aku ajukan pada kak Jun masa dia membawa
aku bersolat di premis sebelah, dia cuma tersenyum sambil menjungkitkan bahu,
tanda tidak tahu sebab musababnya. Jadi, soalan itu tidak ada jawapannya.
Abang Joe dan abang Ijad
berpandangan sesama sendiri ketika aku suarakan cadanganku itu, seolah-olah
tidak menyenanginya. Reaksi yang mereka tunjukkan itu menimbulkan tanda tanya
di hatiku. Mengapa begitu?
“Abang rasa tak payahlah Ana nak
buat ruang solat. Ana solat kat sebelah ajelah” abang Joe nampaknya tidak
menyokong cadanganku.
“Kenapa pula? Lagipun, kat sini
bukanya ada tempat untuk solat” aku yang tidak berpuas hati, terus
mempertahankan ideaku.
Abang Ijad mula mengaru kepala.
“Betul cakap abang Joe tu. Ana tak payahlah nak tanya kenapa. Ana pun bukan
lama kat sini, empat bulan aje kan?”
“Alah... apa salahnya Ana buat ruang
solat kat sini? Kalau Ana tak ada nanti pun, orang lain boleh terus guna ruang
solat ni. Kalau abang Joe dengan abang Ijad tak nak tolong pasangkan partition ni, tak apalah, Ana boleh
pasang sendiri”
“Bukan pasal partition ni, Ana.
Abang cuma tak nak timbul masalah. Nanti tak pasal-pasal, Ana kena marah”
“Marah? Siapa pula yang nak marah?”
tanyaku, tidak berpuas hati dengan setiap tutur kata abang Joe dan abang Ijad.
Mereka terdiam akhirnya. Tiada jawapan balas untuk pertanyaanku.
“Aku yang marah, kenapa?”
Segera aku menoleh ke arah suara
yang tiba-tiba kedengaran. Muncul Afdhal di situ. Terkejut aku dibuatnya.
“Tak sampai seminggu kat sini, dah
nak buat kecoh, apa kes?” Afdhal meneruskan kata.
“Tak, encik Afdhal. Saya cuma
bercadang nak buat ruang solat kat sini” mampu juga aku bersuara akhirnya,
setelah kian lama hanya membisu dengan kehadirannya di situ.
“Ruang solat? Boleh kau bagi aku
satu sebab kenapa kena ada tempat solat ofis aku ni?”
“Sebab kat sini tak ada tempat nak
solat. Setiap kali nak solat, nak kena pergi kedai sebelah” pantas aku
menjawab. Memang itu kebenarannya. Berubah air wajah Afdhal aku perhatikan.
Abang Joe dan abang Ijad pula hanya mampu memerhati.
“Kalau
aku kata tak boleh, kau nak buat apa?”
“Janganlah macam tu encik Afdhal.
Kan lebih afdhal kalau ofis ni ada tempat nak solat. Encik Afdhal juga yang
dapat pahala” Dengan sengaja aku menggunakan namanya untuk tetap cuba bertahan.
Afdhal terdiam. Abang Joe dan abang
Ijad lagilah pula, langsung tidak bersuara sejak Afdhal tiba. Menikus mereka di
situ.
“Okay, kau boleh buat apapun ikut
suka hati kau, tapi dengan satu syarat” Afdhal memandangku acuh tidak acuh.
“Saya akan tunaikan walau apapun
syaratnya” sungguh yakin aku berbicara. Hati mula senang. “Apa syaratnya encik
Afdhal?” begitu teruja untuk mengetahui apa syarat yang dimaksudkan. Akan aku
lakukan apa saja demi ruang solat itu. Semoga ianya bakal memberikan manfaat
yang besar buat semua kakitangan Arena Printing.
“Okay... aku nak kau settle semua kotak ni tanpa bantuan
sesiapa hari ni juga. Kalau kau tak boleh
settle, jangan mimpi kau dapat buat apa-apa” syarat itu Afdhal tuturkan
bersama senyuman di bibir.
“Afdhal... kesian dia Afdhal” Abang
Joe seakan cuba menentang. Segera dia berjalan menghampiri Afdhal, namun Afdhal
lebih dahulu bertindak mengangkat tangannya, tidak mahu abang Joe mencampuri
urusannya. Lantas langkah abang Joe hanya mati di situ.
Aku terkedu, tidak sangka syarat itu
yang ditetapkan. Agak mustahil untuk aku memenuhi syarat itu. Mengangkat enam
buah kotak yang saiznya tidak besar manapun sudah membuatkan aku terduduk
keletihan. Inikan pula menyudahkan kerja-kerja mengalihkan kotak-kotak besar itu
ke ruang stor secara bersendirian. Mana mungkin aku mampu melakukannya seorang
diri? Gila apa?
“Macam mana? Setuju?” Afdhal masih
lagi dengan senyumannya. Senyuman itu aku perhatikan seolah-olah mentertawakan
aku. Membuatkan hatiku menjadi sakit. Saat itu muncul semangat juang yang
tinggi. Aku tidak mahu kalah. Walau apapun terjadi, aku harus sahut cabaran
itu. Andai pinggangku patah sekalipun, aku tak peduli. Niat baik harus
diteruskan walau apapun rintangannya.
“Okay, saya setuju, encik Afdhal.
Insya’Allah saya akan usahakan” balasku. Puas hati dengan jawapan yang aku
berikan.
“Tapi ingat, tak ada orang boleh
tolong kau!” sekali lagi Afdhal mengingatkan tentang hal itu. Mungkin mahu
memutuskan semangat juangku.
“Tak apa, Allah sentiasa ada untuk
bantu saya!” giliran aku melemparkan senyuman buat Afdhal. Dan senyumanku itu
mematikan senyuman Afdhal yang tadinya megah menunjukkan diri.
“Joe, Ijad... aku ingatkan kau orang
ya, jangan pandai-pandai tolong budak ni tanpa arahan aku. Jangan sampai ada
yang langgar arahan aku ni. Ingatkan yang lain juga!”
Itu pesanan terakhir Afdhal yang aku
dengar sebelum dia berlalu pergi dari situ.
“Sorry
Ana, harap Ana faham” abang Joe menunjukkan wajah ehsannya.
“Abang pun
minta maaf. Ana jangan paksa diri. Kalau tak boleh tinggalkan aje” giliran
abang Ijad menyampaikan kata.
“Tak apa. Ana faham. Doakan Ana
berjaya ya” hanya itu yang mampu aku nyatakan. Mereka tidak bersalah. Kalau
boleh, pastinya mereka mahu membantu. Dan aku tidak berkecil hati dengan hal
itu. Sebaik sahaja melemparkan senyuman bersalah buatku, abang Joe dan abang
Ijad berlalu meninggalkan aku sendirian.
Aku melihat jam di pergelangan
tangan, sudah hampir jam 4.00 petang. Sempatkah aku menyelesaikan semuanya hari
ini? Walau apapun, aku mesti selesaikannya! Sendirian aku mengucapkan kata-kata
peransang. Kotak-kotak yang banyak itu pula kelihatan mula melambai-lambaikan
tangannya ke arahku...
Bersambung...
Kata AH:
Assalamualaikum semua.... Alhamdulillah sempat AH postkan n entry JJC-2 utk tatapan semua. Semoga AH menerima komen2 membina bg membina kembali semangat AH yang sejak kebelakangan ni hanyut entah ke mana. Sokongan semua rakan2 pembacalah menaikkan semangat AH untuk terus menulis. Terima kasih AH ucapkan kepada semua yg selalu ada bersama AH. Sangat AH hargai. Insya'ALLAH entry JJC-3 Ah akan cuba uplodkan secepat mungkin ya.
Salam Ukhwah,
Adah Hamidah.
8 comments:
nape plak afdal perangai camtuh!cian kat ana,dh kira kes dera tuh!kalu yer pn agak2 lh afdal...ana tu pempuan,camner lh nk kemas sensorang camtuh!mau pitam jadik nyer...nasib mu lh ana dpt bos yg poyo cam afdal tuh!!
best2... nk lg x?
Best sangat! Good job kak Adah. I like berjuta-juta lemon. Tapikan, siapakah heronya? hehee... Encik Afdhal yang garang ataupun Abang Naim? jeng, jeng... menantikan JJC bab 3. terima kasih kak Adah. :)
Cepat2 upload N3 baru ye adah. Sering ternanti2 novel keluaran baru dari Adah. BTW.....SAC dah di bukukan ke ? Rindu sungguh dgn Sue & Zul :)
Bab awal yg menarik. Sentiasa tertunggu2 bab yg seterusnya...
Manusia mcm2 perangai...
Apapun intro yg baik...good luck
oh siapakan hero kali ni ek..tertunggu2 jjc bab 3,
semoga semangat adah kembali menyala untuk menyiapkan entry seterusnya untuk kami yang sentiasa menyokong adah
-chah husain-
oh men.. nama dah afdhal tapi perangai tak berapa pulak..
huh.. nie mesti diam2 suka kat ana nie... kerek!
:)
Post a Comment