3
Aku
tarik nafas panjang. Tercungap-cungap. Ada rasa ingin mengalah. Tapi
mengenangkan niat yang sudah aku tanam, jadi aku tetap teruskan juga. Kotak
yang masih banyak mula memeningkan kepala. Rasanya sudah tiga kali aku naik ke
stor atas, menghantar kotak. Tapi mengapa baki kotak yang masih tinggal seakan
tidak surut?
Seketika
aku duduk, membuang lelah. Ya Allah, bantulah hambaMu ini. Sungguh aku tidak
berdaya menyudahkan semuanya sendiri. Tinggal beberapa minit saja lagi jam akan
menapak pada angka tujuh. Semuanya semakin kelihatan mustahil untuk aku
sudahkan. Air minuman yang tinggal kurang satu per tiga itu aku teguk perlahan
sesudah melafaskan kalimah basmalah. Perlu ada tenaga untuk kembali menyambung
tugas. Aku perlu teruskan juga, biarlah Allah SWT yang tentukan semua.
“Dah...
jom cepat, Ana.”
Aku
terkejut, hampir tersedak dibuatnya. “Abang Joe?” seakan tak percaya melihat
kemunculan abang Joe. “Abang Joe, buat apa kat sini?” aku soal penuh ragu.
Untuk apa dia kembali ke sini? Untuk membantuku? Itu tidak mungkin.
“Dah...
jangan banyak tanya. Sebelum Afdhal bangun, lebih baik kita alihkan kotak-kotak
ni cepat.” Abang Joe mula memunggah
kotak yang ada ke atas troli.
“Kalau
encik Afdhal tahu macam mana?” soalku lagi.
“Dia
takkan tahu.” Balas abang Joe ringkas.
“Kenapa
pula?”
“Nantilah
abang Joe cerita. Sekarang kita selesaikan mana yang penting dulu.” Abang Joe
tidak menjawab pertanyaan.
Aku
mengangguk saja. Betul cakap abang Joe. Perkara yang penting perlu diberikan
keutamaan. Semangat kembali mencanak naik. Bersama rasa lega, aku sempat
memanjatkan syukur kepada Illahi atas bantuan yang dikirimkan. Tersenyum aku
sendiri, mengakui kebenaran bahawa Allah SWT tidak akan pernah membiarkan
hambanya yang berperang, menegakkan agama Allah, berjuang bersendiriaan. Bantuan-NYA
akan tiba tepat pada waktu dan saatnya. Akan aku pegang kata itu sepanjang
hayat.
TALIAN
aku matikan selesai memaklumkan kepada Pak Lang tentang kelewatanku.
Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Bukan sekadar siap menyimpan kotak-kotak
di stor, malah ruang solat juga sudah berhasil disiapkan dengan pertolongan
abang Joe. Makanya, aku akan tidur lebih lena malam ini. Itu pasti!
“Ana nak ucapkan terima kasih
banyak-banyak pada abang Joe dengan kak Lin. Allah SWT saja yang dapat balas
jasa baik abang Joe dengan kak Lin.” Tersenyum aku melafaskan penghargaan itu.
Abang Joe dan kak Lin juga
tersenyum. Tanda membalas kata.
“Tapi... kalau boleh, Ana nak
tahulah juga. Macam mana abang Joe boleh berani nak tolong Ana pula? Abang Joe
tak takut ke, kalau encik Afdhal tahu?” ya, memang itu yang aku musykilkan
sejak dari tadi. Soalan yang tidak aku temu jawapannya.
Abang Joe, dan kak Lin berpandangan
sekali lagi. Kemudian, mereka sama-sama ketawa kecil.
“Kalau tak kerana isteri abang Joe,
ni... memang abang Joe tak mampu nak tolong Ana.” Abang Joe membuat penjelasan.
“Maksud abang Joe?” dahiku kerut.
Sebuah penjelasan yang tidak jelas. Sukar untuk aku fahami makna di sebaliknya.
“Maksud abang Joe... kalau bukan
sebab idea kak Lin, belum tentu abang Joe boleh tolong Ana. Ana kan tahu Afdhal
tu macam mana? Ingat senang ke abang nak tolong senyap-senyap.” Jelas abang Joe
lebih terperinci. “Sebenarnya, kak Lin dah masukkan ubat tidur dalam air kopi
Afdhal. Lepas dia tidur, abang terus
cari ana. Itu sebab abang Joe sampai lambat tadi.” Sambung abang Joe penuh
semangat.
“Lah, iya ke?” aku mula tersengih
lebar. “Wah, pandai kak Lin atur rancangan! Kiranya kak Lin pun kenallah dengan
encik Afdhal?” kini soalan aku ajukan pula pada kak Lin. Mahu mendengar suaranya
yang dari tadi asyik terdiam dan tersenyum
“Mahu tak kenal, Ana. Sejak akak
kahwin dengan abang Joe, akaklah yang selalu tolong abang Joe uruskan Afdhal.”
Akhirnya suara kak Lin kedengaran.
“Uruskan encik Afdhal?” ada lagi
perkara yang masih gagal aku fahami. Apa maksud kak Lin.
“Ana jangan tak tahu. Selama ni,
akak dengan abang Joelah yang banyak uruskan hidup Afdhal. Rumah dia kat atas
bumbung tu, pakaian dia, makan dia... semua kita orang yang tolong beres.” Tambah
kak Lin lagi.
Terdiam aku seketika sebelum kembali
bersuara. “Ana tak fahamlah, kenapa pula macam tu? Ana tengok encik Afdhal tu
elok aje, tak adalah pula cacat kat mana-mana sampai nak kena orang lain tolong
uruskan hidup.” Aku tak puas hati. Gaya
penceritaan kak Lin menampakkan yang encik Afdhal tergolong dalam golongan
orang kurang upaya. Padahal aku perhatikan, sedikitpun kekurangan tidak ada
pada anggota tubuh encik Afdhal. Semua baik-baik sahaja. Sama macam manusia
normal yang lain. Jadi apa masalah yang sebenarnya?
“Lah... Ana tak tahu, ke? Abang Joe
tak cerita?” Kak Lin pula bertanya.
Aku hanya mampu menggeleng sambil
mata memerhati pada abang Joe. Berharap ada penjelasan di situ. Namun mulut
abang Joe terkunci rapat. Seakan tidak mahu bersuara menceritakan perihal
sebenar.
“Abang Joe tak nak cerita kat Ana?”
terpaksa aku meluahkan. Kalau menunggu abang Joe bercerita, rasanya itu tak
akan berlaku.
Abang Joe hanya membalas dengan
pandangan matanya pada pertanyaan yang aku utarakan. “Dahlah, jom balik. Lewat
dah ni...” pantas abang Joe bangun. Nampak tergesa-gesa seperti mahu melarikan
diri.
Aku hampa. Andai abang Joe tidak
mahu berkongsi cerita, itu bermakna, tak akan semudahnya aku dapat menggorek rahsia.
“Jom, Ana. Abang hantarkan sekali.”
Pelawaan itu aku terima baik. Jam
hampir pukul sepuluh malam. Ada baiknya aku bersama dengan orang yang aku kenal
berbanding bersendirian di luar. Lagi pula, kak Lin juga ada. Aku akan rasa
lebih selamat.
SEWAKTU
sampai di hadapan rumah, abang Naim turut tiba. Pasti dia juga baru pulang dari
tempat kerja. Macam dah berjanji pula. Aku membantu abang Naim membuka pintu
pagar yang masih belum dikunci.
Hari
ini takdir aku memang cukup baik. Hajat untuk punya tempat kerja tersendiri
terlaksana. Malah ruang solat yang sangat aku dambakan juga sudah tersedia.
Kini pula, satu-satunya lelaki yang berjaya menapak kukuh di hati ada di depan
mata. Siapa yang tak bahagia?
Aku tunggu abang Naim keluar
daripada kereta. Mahu sama-sama melangkah masuk ke dalam rumah. Macam pasangan
suami isteri. Alahai, tingginya angan-angan. Harapnya yang ini juga menjadi
kenyataan satu hari nanti.
“Assalamualaikum...” sapaku terlebih
dahulu sebaik sahaja abang Naim turun dari keretanya.
“Wa’alaikumusalam.” Balas abang Naim
dengan senyuman nipis.
“Nak Ana tolong bawakan beg tu?”
mataku mula menangkap briefcase hitam
yang baru dikeluarkan dari tempat duduk belakang.
“Tak apa, abang boleh bawa.” Abang
Naim tidak membenarkan. “Lambat balik hari ni?” langkah abang Naim semakin
menghampiri. “Kalau tak silap abang, hari ni baru hari kedua Ana praktikalkan?
Takkan dah kena buat overtime?” soal
abang Naim.
Pertanyaan demi pertanyaan yang
abang Naim lontarkan membuatkan aku terdiam. Soalannya aku faham. Namun, nada
pertuturan bagi pertanyaan itu
menimbulkan tanda tanya padaku. Marahkah dia? Atau cemburu? “Ana...” hanya
namaku sendiri yang berjaya dituturkan lidah. Tiada jawapan untuk pertanyaan
tadi. Apa yang harus aku katakan? Bercerita perihal encik Afdhal? Tidak! Aku
tidak boleh berbuat begitu.
“Okaylah, Ana. Abang masuk dululah. Have a good rest.” Abang Naim terus
berjalan mendapatkan pintu masuk. Sedangkan aku masih berdiri, terpaku di situ.
Hanya mampu melihat langkah-langkah abang Naim yang terlalu cepat menghilangkan
diri.
Aku tampar pipiku perlahan. Kalaulah
aku berjaya menjawab soalan tadi, pasti perbualan kami akan jadi lebih panjang.
Sungguh aku rindu untuk kembali ke zaman kanak-kanakku. Ya, hanya aku dan abang
Naim!
AKU
fikirkan aku mampu untuk tidur lena setelah semua yang aku lalui hari ini. Tapi
ternyata aku silap. Sehingga kini, mataku masih lagi belum berjaya lelap.
Seolah dihantui sesuatu. Memang, itu yang sedang berlaku kini. Mengapa sejak
dari tadi, aku tidak sudah-sudah memikirkan tentang encik Afdhal? Entah apa
yang terjadi pada encik Afdhal sebenarnya?
Ke kiri dan ke kanan pembaringan
cuba aku alih. Namun masih tetap sama. Aku marah diri sendiri. Kenapa perlu
sibuk-sibuk tentang orang lain. Encik Afdhal sedikitpun tidak punya kaitan yang
kuat dengan diriku melainkan seorang majikan dengan pekerja. Jadi mengapa aku
perlu memikirkannya?
“Ish...” aku bangun sudahnya. “Iyalah,
esok tanya pada abang Joe.” Aku maklumkan pada diri sendiri. “Tapi sekarang
kena tidur dulu!” arahku. Kemudian aku kembali baring. Selimut aku tarik,
menutupi tubuh. Dan kini perlahan-lahan
mata mula tertutup rapat.
HARI
ini aku pergi lebih awal. Maka pagi ini aku tidak dapat bersua muka dengan
abang Naim. Untuk hari ini aku relakan, kerana aku sudah punya agenda. Sebaik
sahaja tiba di Arena Printing nanti, aku mahu terus berjumpa dengan abang Joe.
Aku mahu tidur lena malam nanti. Jadi aku perlu tahu kisah encik Afdhal yang
sebenar.
Satu keajaiban berlaku hari ini.
Memecah rekod hari-hari yang lalu. Encik Afdhal langsung tidak kelihatan di
hadapan pintu kaca seperti selalu. Maka aku dapat masuk ke dalam dengan
perasaan senang hati. Jadi sangkaanku ternyata meleset sama sekali. Aku
ingatkan encik Afdhal memang akan sentiasa di situ pada setiap pagi. Umpama
satu rutin harian yang tidak dapat diubah. Aku salah!
Lebar senyumanku menghiasi wajah.
Aku letakkan beg tangan yang tidak besar mana ke dalam laci meja kerja. Ruang
solat di sebelah menambah keceriaan hati. Dari tempat dudukku, aku perhatikan
ruang kerja encik Afdhal yang berserabut bagai. Pening kepala melihatnya.
Kalaulah aku dapat kemas tempat itu, entah berapa banyaklah plastik sampah yang
harus aku gunakan. Sepuluh plastik pun belum tentu cukup! Aku gelengkan kepala.
Apalah masalah encik Afdhal sebenarnya?
“Abang Joe...” nama itu aku sebut
dengan tiba-tiba. Ya, memang lelaki itu punca aku sampai lebih awal hari ini.
Mujur premis sudah dibuka walaupun masih ramai pekerja yang belum menampakkan
wajah. Segera aku bangun, berjalan ke seksyen cetak untuk mencari abang Joe.
Kebiasaannya dia memang selalu di situ.
“Assalamualaikum
abang Joe.” Salam aku hulurkan. Gembira, abang Joe ada.
“Wa’alaikumusalam. Eh, Ana... awal
sampai hari ni?” riak wajah terkejut abang Joe pamerkan.
Aku cuma tersenyum.
“Ada apa-apa yang Ana nak abang Joe
tolong, ke?” tanya abang Joe sambil terus tekun menyusun kertas-kertas iklan
yang sudah siap di cetak. Seolah dia mengetahui ada sesuatu yang membawa aku ke
situ di awal pagi begini.
“Ha’ah. Boleh abang Joe tolong Ana?”
aku mengiyakan katanya.
“Ana nak suruh abang Joe tolong Ana
kemas kotak lagi, ke?” abang Joe senyum.
“Abang Joe ni, macam perli Ana
aje...” kataku sambil mula memberi bantuan kepada abang Joe, menyusun kertas
iklan yang banyak sungguh.
“Ish, tak adalah. Abang Joe gurau
aje. Ana nak abang Joe tolong apa?”
“Erm...” lama aku begitu. Berat
mulut untuk membuat permintaan. Namun aku perlu katakannya juga. Bertanya pada
soalan yang amat aku perlukan jawapannya.
“Apa dia? Cakap ajelah, Ana. Tak
payah nak malu-malu.” Abang Joe mengerling sekilas.
“Abang Joe...” aku tekad untuk
bertanya. “Kalau Ana nak minta abang Joe tolong ceritakan pasal encik Afdhal,
boleh tak?”
Terus terhenti gerak kerja abang
Joe. Aku direnungnya tajam. Membuatkan aku terpaksa matikan perhatian yang dari
tadi banyak tertumpu padanya. Nampak gayanya, abang Joe seperti tidak mahu
menjawab pertanyaanku. Sudah aku jangkaan.
“Kenapa Ana sibuk sangat nak tahu pasal
Afdhal?” sedikit keras nada abang Joe.
“Ana...” terketar aku menjawabnya. Sungguh
aku tidak punya jawapan. Aku sendiri tak pasti untuk apa aku harus tahu kisah
encik Afdhal. Namun hati seakan tidak senang selagi aku tidak mendapat jawapan
pada pertanyaan itu.
“Baru masuk hari ketiga Ana kat
sini, jangan kata kat abang Joe yang Ana dah jatuh cinta dengan Afdhal!”
“Eh, tak. Sumpah!” aku angkat
tangan. Saling tak tumpah seperti orang yang sedang berikrar. Cuba sedaya upaya
menyakinkan abang Joe bahawa kata-katanya itu tidak benar sama sekali.
“Dah tu, kenapa Ana nak sangat tahu
pasal Afdhal?” masih lagi abang Joe bertanya. Ya, mungkin wajar baginya untuk
tahu. Lagi pula aku masih baru di sini. Tiba-tiba saja mahu ikut campur pasal
encik Afdhal. Pasti abang Joe curiga.
“Ana saja nak tahu. Kalau abang Joe
tak boleh nak cerita, tak apalah. Ana tahu, Ana tak patut tanya soalan macam
tu.” Aku tunduk. Mengalah daripada terus mencari jawapan. Lebih baik aku lupakan
saja niatku untuk ambil tahu. “Ana minta maaf. Ana balik tempat Ana dululah...”
aku minta diri. Tidak ada apa-apa lagi yang boleh aku buat di situ. Lebih baik
pulang ke ruang kerja dan bersedia untuk memulakan tugas.
Aku berjalan mahu pergi meninggalkan
abang Joe sendirian di situ. Beredar bersama rasa yang tidak menyenangkan hati.
“Ana...” suara abang Joe lantang
kedengaran.
Terhenti langkahku yang tadinya laju
membawa diri. Aku toleh, memberi pandangan pada abang Joe.
“Jom pergi sarapan. Abang belanja!”
abang Joe senyum.
Perlahan-lahan bibirku turut sama mengukir
senyuman. Bukan kerana gembira menerima pelawaan itu, tapi kerana aku tahu
senyuman yang masih kelihatan pada bibir abang Joe punya makna tersendiri.
Bersambung...
Kata AH:
Alhamdulillah, sempat juga AH postkan entry JJC 3. Terima kasih kerana masih ada yg sudi jengah ke teratak AH. Insya'ALLAH entry utk JJC akan AH postkan setiap hari selasa... semoga anda berpuas hati dgn entry kali ini. Assalamualaikum n salam sejahtera semua... <3 br="">3>
6 comments:
apa rahsia nya yer....
napa ngn afdhal?? moga abg joe tbuka ati nk cite
adakah ini misteri nusantara?
haha..apa2 pun saya enjoy dengan setiap tulisan AH
-chah husain-
hehe... menarik! da bomb! tapi apa rahsia Afdhal? jeng, jeng... terima kasih kak Adah :D
tak kan baru keje tiga hari dah jatuh cinta dgn afdhal??
hahaha...ayat memang tak boleh blah..
afdhal kecewa dgn awek kut.. tu dengki je kat ana..
kesian ana..yg naim kenapa?? adoi..
Best la cite ni.. nnti saya nak beli lah...
-Hazwani-
Post a Comment